Iffah duduk merenung ke luar jendela. Sedari tadi dia berteleku di atas katil tanpa mengeluarkan sepatah kata biarpun berkali kali dia diasak pelbagai soalan.
Buat masa ini dia perlukan ketenangan. Jiwanya terlalu berkecelaru. Semuanya seakan hadir satu persatu menghantui dirinya.
Suasana petang itu agak lenggang. Rata rata pelawat sudah mula beransur pulang. Kebanyakan pesakit pula memilih untuk berehat di taman hospital. Menghirup udara segar. Dan dia masih setia memandang keindahan ciptaan Tuhan.
"Puan Iffah".
Iffah diam. Tidak menyahut. Malah pandangannya turut tidak berkalih.
"Leave us. Aku boleh take care sendiri", kedengaran suara garau. Dia masih diam. Tiada niat ingin mengambil peduli tentang perkara di sekelilingnya.
"Baby awak...", Luthfi memulakan bicara namun sengaja digantung kata katanya hingga perhatian Iffah kini beralih padanya. Mata itu berubah tajam. Tangan pula laju memegang perut sendiri. Seakan ingin melindungi kandungan tersebut.
Memang tak salah lagi. Dia yakin Iffah mengalami simpton penderaan baik dari segi mental dan fizikal.
Luthfi memberanikan diri maju ke arah Iffah. "Dia kuat, macam ibu dia", sambungnya. Sebuah senyuman tipis diukir kepada Iffah.
"Dia tak sepatutnya wujud", lemah Iffah bersuara. "Dia cuma akan menjadi asbab utama orang membenci dia".
Satu perkara itu perlu Iffah akui. Walaupun perit itulah kenyataan pahit yang perlu dia telan. Sekiranya orang yang mengenalinya sedar akan kewujudan anaknya, bukan hanya dia tetapi insan suci kecil itu turut terpalit hinaan dan cacian yang sama.
Iffah tak sanggup hingga satu saat ketika dia sedar, dia berharap kandungannya gugur. Itu semua demi melindungi nyawa yang tak bersalah. Dia tak sanggup menahan sekiranya anak yang bakal dilahirkan dianggap hina di mata orang lain.
Namun satu sudut hatinya amat menyayangi darah dagingnya sendiri. Dia ingin mempertahankan anak itu. Hanya anak itu yang dia ada sebagai penguat semangat. Sebagai tempat dia bergantung harap.
Di dunia ini dia tiada sesiapa lagi. Maknya sendiri meninggal kerananya. Huffaz pula, dia tidak ingin menabur harapan pada yang tak pasti. Hatinya tak mampu lagi membohongi diri sendiri bahawa lelaki itu mencintainya. Dia sudah lelah menjadi bodoh.
Biarlah kali ini dia melepaskan semuanya. Baik Huffaz mahupun keluarga suaminya, dia lepaskan semua dengan rela hati. Huffaz tidak salah sama sekali. Jika dia ditempat Huffaz dia juga akan bertindak demikian. Apa lagi mampu dia pertahankan sedangkan kepalsuan dihidangkan ibarat bukti yang tak tersangkalkan lagi.
Biarlah dia mengalah kali ini.
"Saya akan jadi bahu untuk sandaran awak", ucap Luthfi tiba tiba.
Iffah pandang ke dalam anak mata Luthfi. Bersama linangan air mata, dia menyembamkan wajah ke lutut sendiri.
Teresak esak di depan lelaki yang tak dia kenali.
"I'll be with you whenever you want me", entah apa yang merasuk Luthfi dia juga tak pasti. Namun yang pasti hatinya membara bara ingin melindungi Iffah.
Sedari tadi pelbagai reaksi yang dilontarkan orang lalu lalang kepada mereka. Ada yang tersenyum senyum, ada yang berkerut kening malah ada yang memandang jelik ke arahnya. Namun dia memilih untuk tidak ambil peduli.
"Makan banyak banyak. Letih saya masak untuk awak, biarlah berganti dengan nikmat bila selera awak bangkit semula", ucap Luthfi usai mengeluarkan semua mangkuk tingkat untuk dihidangkan padanya.
Luthfi, sebaris nama itu seindah rupa dan sifatnya. "Thanks Luth. Awak tak kerja?", soal Iffah seraya mencedok nasi goreng ke dalam mulut.
"Tak. Sekarang kan masa rehat saya, so saya nak temankan awak makan", balas Luthfi tersenyum melihat air tangannya dijamah penuh selera oleh Iffah.
"Mengada", perli Iffah sebelum tersenyum senang.
"Petang nanti awak discharge kan?"
"Iya, kenapa?", balasnya masih berselera menjamah masakan Luthfi. Tak tipu, memang sedap!
"Awak dah ada tempat tinggal lepas keluar nanti? Tapi sebelum awak syak apa apa, biar saya jelaskan dulu. Saya tanya ni sebagai sahabat awak. Berdasarkan keadaan awak masa kami jumpa haritu, saya yakin awak tak ada tempat tinggal nanti."
Tersenyum lemah, Iffah menolak mangkuk tingkat berisi nasi goreng di depannya. Hilang terus selera dia.
"Awak jangan risau, pandai pandailah saya bawa diri. Pertolongan awak selama ini pun dah cukup banyak. Sampaikan saya rasa tak terdaya nak balas segala jasa awak sepanjang perkenalan kita".
Luthfi laju memandang Iffah. "Kenapa cara awak cakap macam ini perpisahan kita?"
"Bukankah sepatutnya begitu? Kita kenal kerana takdir seperti awak ucap sebelum ni. Jadi, hari ini kita berpisah juga kerana takdir", lancang kata kata Iffah. Walaupun berat hatinya, dia perlu pergi. Dia sudah muak menyusahkan semua orang.
Apatah lagi Luthfi bukanlah sesiapa baginya. Dia cukup malu menerima setiap yang dihulur jejaka bujang itu. Buatnya Luthfi ada kekasih hati, tidakkah bakal timbul pelbagai fitnah nanti?
"Kalau awak tak putuskan hubungan persahabatan kita ni, kita pun tak perlu melalui frasa perpisahan tu".
"Awak mungkin betul. Tapi saya dah muktamadkan keputusan saya Luth. Saya nak mulakan semula hidup saya seperti insan insan lain. Saya nak bebas dari cengkaman semua orang yang saya kenal. Sebab saya taknak lagi terikat dengan kisah silam. Saya nak jadi ibarat rama rama. Terbang merata tapi sampai saatnya bila dah tiba masa saya pergi, semua kenangan indah sahaja yang saya ingati", berhenti sejenak, dia memandang Luthfi lembut, "Itu impian saya Luth", ucapnya yakin.
"Saya pernah salahkan takdir atas apa yang jadi. Saya pernah menidakkan ketentuan Tuhan. Itu silap saya. Jadi saya nak berubah. Untuk perubahan, saya perlu lepaskan perkara yang lalu. Jiwa ni, perlukan ketenangan", ucapnya menepuk nepuk dada perlahan.
Sebaknya masih bersisa, namun dia perlu terus kuat demi anaknya.
"Fine, saya tak mahu halang awak. Tapi seperti yang kita janji sebelum ni, saya tetap dengan keputusan saya untuk pertemukan awak dengan kawan saya. Mental awak masih lemah. Mungkin dengan bantuan dia ,sedikit sebanyak awak dapat atasi trauma yang awak hadapi sekarang", pujuk Luthfi lembut.
"Insyaallah".
"Matahari dah mulai terik, better awak masuk ke dalam. Takut demam pulak nanti. Badan awak masih lemah".
Iffah mengangguk perlahan. Suhu itu sedikit sebanyak hampir membuatkan dia kepanasan yang teramat.
Bangun, lalu berjalan ke arah lif, saat itu juga seorang kanak kanak lelaki berlari ke arahnya. Badannya yang sedia lemah dirempuh kuat membuatkan dia hilang imbangan badan.
Untung saja Luthfi menyambutnya dengan pantas. Jika tidak, sudah pasti dia berbaring di atas lantai hospital.
Jantung Luthfi tika ini hampir tercopot keluar. Pegangan kejapnya di pinggang ramping Iffah membuatkan dia hilang kawalan. Degupan jantung serasa tidak normal. Renungan lembut Iffah sesungguhnya menghanyutkan seorang Luthfi.
Share this novel