"Huffaz, saya minta maaf"
Lelaki itu kemudian mengeluh perlahan. Mengusir gelora di hati.
"Benda dah jadi pun. Kau dah jadi tanggungjawab aku" balas Huffaz tenang walau hati dilanda badai. Wajah kedua orang tuanya dipandang silih berganti. Rasa serba salah kerana menconteng arang di muka orang tua angkatnya itu.
"Bonda, Abi, Huffaz minta maaf".
"Tak mengapalah, benda nak jadi. Takdir Tuhan. Abi percaya anak Abi tak buat yang bukan bukan dekat anak orang. Dan Abi percaya ada sebab kenapa kamu berdua berjumpa dalam waktu macam tu" ucapnya tenang. Bahu Huffaz dirangkul lembut. Cuba menenangkan rasa gelora di hati anak terunanya.
"Sekarang Huffaz sudah ada amanah yang besar. Tuhan hantarkan Huffaz seorang kekasih halal untuk menemani hari Huffaz. Jaga dia baik baik. Kalau ada silap salah, cuba bincang elok elok. Didik dia menjadi isteri yang solehah. Jaga dia sepertimana ayah dia tatang dia bagai minyak yang penuh. Jangan pernah culas dalam menjalankan tanggungjawab kamu pada dia. Abi percaya Huffaz boleh buat semua itu kan?" soal Haji Rahim. Huffaz sekadar mengangguk lemah.
Iffah menahan sebak. Betapa berdosanya dia pada keluarga itu. Sehingga dari tadi air matanya tidak mahu berhenti mengalir. Mak diam sambil mengusap bahunya. Agaknya apa yang Mak rasa? Terkilan? Sedih? Atau Terluka?
"Mak" Huffaz mendekati kami. Matanya dilarikan ke bawah. Gugup barang kali.
"Mak serahkan Eyfa pada kamu Huffaz. Mak harap kamu mampu jaga dia. Mak tak salahkan kamu berdua sebab Mak percaya setiap yang berlaku pasti suratan takdir dari Ilahi. Mak cuma mahu kamu jaga dia sebaiknya. Eyfa bukan wanita yang kuat, jauh sekali rajin, kalau ada silapnya tegurlah elok elok. Jangan dibiar Eyfa terkapai kapai. Mungkin sepanjang Mak bergelar ibu dan ayah kepada Eyfa, Mak tak mampu jaga dia seperti ayahnya, jadi Mak harap kamu mampu bimbing dia. Tapi andai suatu hari nanti, bila kamu tak mampu galas tanggungjawab ni, Mak mohon hantarlah dia kembali ke pangkuan Mak dengan baik. Mak tak minta lebih" ujar Mak dalam nada sebak. Iffah turut menahan esakannya.
Dia akui, sepanjang Mak membesarkan dia, setiap lelah Mak tiada tandingannya. Mak berusaha keras untuk membesarkan dia dengan rezeki yang halal. Mak tak pernah merungut jauh sekali melepas amarah atau tekanan padanya. Mak lebih gemar mendiamkan diri dikala Mak dilanda masalah atau tekanan. Semua itu akan dia ingat. Betapa besarnya pengorbanan Mak selama ini.
Tapi sayangnya dia perlu membalas jasa Mak seperti ini. Dengan cara yang kejam dan keji!
"Eyfa" laju dia angkat wajah memandang wajah bercahaya Mak. Tenang seketika hatinya. Terdetik mengapa dia sanggup melukakan hati tua itu? Allah, sakitnya rasa yang dia tanggung kini. Perlahan dia gapai tangan kasar Mak.
Tangan yang telah melakukan pelbagai kerja untuk menyaranya. Tangan itu dielus lembut. Dosanya tak terhitung banyaknya, akankah sempat dia meluahkan segalanya dan meminta ampun? Atau paling tepat, mampukah dia membongkarkan semuanya?
"Ya Mak" sahutnya bersama linangan air mata yang masih setia. Redup benar pandangan Hajah Marina menembus sanubari Iffah.
"Eyfa bukan lagi tanggungjawab Mak. Tapi tak bermakna Mak dah buang Eyfa, Eyfa tetap satu satunya anak Mak. Yang Mak bangga. Yang Mak sayang sampai akhir nafas Mak. Eyfa tanda kasih sayang Mak dengan Ayah, kamu cinta hati kami sampai bila bila. Eyfa kena ingat semua itu ya?" lembut Mak berkata menambahkan lagi sebak di dada.
Tubuh Mak didakap erat. Mengapa terasa seakan banyak beban yang dia tanggung? Seakan langsung tidak berkurang. Malah makin bertambah dan terus menyakitinya lagi dan lagi.
Dakapan ini juga terasa seolah satu beban yang berat. Iffah tak mahu detik hangat ini berhenti. Dia ingin selamanya di dakapan Hajah Marina.
"Eyfa sayang Mak dengan Ayah sampai bila bila" balasnya di dalam kehangatan tubuh seorang ibu.
Allah jika ini suratannya, lapangkanlah dada ini untuk terus bertahan. Lapangkan jiwa ini untuk memaafkan. Redakanlah kesakitan ini tanpa menyakiti sesiapa. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
"Barang barang kau semua aku letak dalam bilik tetamu dulu. Buat masa ni aku tak nak tidur sebilik. Aku masih perlukan masa untuk terima semua ni. Maaf kalau kau terluka" ucap Huffaz sebelum berlalu pergi ke bilik tetamu di tingkat dua tanpa memberi Iffah peluang untuk membalas.
Iffah faham, Huffaz masih belum terima hubungan mereka. Dari kekasih olok olok menjadi suami isteri. Semestinya memberi impak kepada Huffaz.
Iffah diam seketika sambil mata memerhati ke segenap ruang serba mewah dan luas itu. Cantik! Tapi entah mengapa mindanya langsung tidak dapat memeta impian yang ingin dibina. Sedangkan itu angannya sejak dulu.
Memiliki Huffaz adalah satu keinginan besarnya, tapi kenapa sehingga kini hati ini terasa kosong?
Tak betah terus melayan perasaan sendiri, Iffah ke dapur untuk mendapatkan sesuatu bagi mengalas perut.
"Susu aje? Hai lah, maafkan aku buat kau terseksa hari ni" sambil usap perut yang kempis, susu yang telah dituang ke dalam gelas diteguk rakus. Selesai, Iffah kembali menyimpan susu ke dalam peti, namun seolah dejavu, nafas Iffah mulai tersekat sekat. Lututnya lemah.
Iffah cuba mengawal diri sendiri, namun bayangan itu seolah semakin mencengkam dirinya. Ditambah lagi suasana gelap dapur tanpa cahaya.
Seluruh tubuh badannya menggigil.
"Malam ni kita enjoy sayang!"
Iffah tekup kedua dua telinganya. Jijik!
Bisikkan itu masih segar membayanginya tanpa henti. Setiap sentuhan lelaki itu meninggalkan rasa jijik dan benci yang bersatu. Dan kebencian ini tiada tandingannya!
"Macam ni lah bagus. Bagi tubuh kau pada aku. Dan aku janjikan kau kepuasan yang tak terhingga"
ARGH!
Iffah jatuh ke lantai memeluk lutut sendiri. Esakkan tangisnya berlagu perlahan.
Dia cuba, cuba untuk melawan segalanya tapi dia tak mampu! Dia lemah! Dia tak terdaya. Dia perlukan sandaran...
"Apa kau buat ni Eyfa?" seluruh ruang tiba tiba diterangi cahaya lampu. Statik matanya memaku ke arah Huffaz. Tanpa kata, Iffah bangun mendapatkan Huffaz.
Tergamam, Huffaz tak mampu menolak saat tubuhnya dirangkul erat oleh Iffah. Kemas dan hangat.
Cairan jernih mengalir di pipi Iffah dikesat dengan jari jemari kasarnya.
"Apa kau buat dalam gelap gelap sambil menangis ni?"
Iffah diam.
"Hey, aku tanya ni, apa kau buat dekat sini?" ulang Huffaz sekali lagi.
Belum sempat menjawab, tubuhnya terlebih dahulu melorot jatuh ke bawah. Laju Huffaz menahan Iffah dari jatuh ke lantai. Terkejut bukan main dia bila Iffah tiba tiba pengsan.
Mahu tak mahu tubuh pucat itu diangkat ke dalam bilik. Mungkin Iffah perlukan rehat. Fikirnya sebelum menutup mata di sofa berhampiran katil. Tak sanggup meninggalkan Iffah bersendirian buat masa ini, wanita itu kelihatan lemah yang teramat!
Share this novel