MALAM itu, Isya dan Aiden bergaduh besar. Mereka bertengkar dan saling menyalahkan antara satu sama lain.
"Saya dah tak tahan dengan awak lagi! Saya tak nak hidup lagi dengan awak!" jerkah Isya.
"Isya ingat abang boleh tahan ke dengan perangai Isya ni? Tapi abang takkan sesekali lepaskan Isya." balas Aiden dengan tegas.
Isya mendekati Aiden. Dia menolak tubuh Aiden dengan sekuat hati. Aiden terundur sedikit ke belakang.
"Kenapa perlu simpan saya lagi? Awak dah ada Rihanna. Dia boleh jaga awak, jadi isteri baik untuk awak daripada saya."
"Tapi abang hanya cintakan Isya! Isya tak faham lagi ke atau buat-buat tak faham?"
Isya merengus kuat, "Cinta atau tak, saya tetap nak awak lepaskan saya!"
"Abang kata tak nak!"
Isya terus menampar kuat pipi Aiden. Aiden terkejut dan memandang tajam wajah Isya.
"Isya jangan kurang ajar dengan abang!"
"Apa awak tunggu lagi? Awak lepaskan saya!"
"No! You're my wife forever!"
BUNYI penggera telah mengejutkan Isya dari tidur. Isya bangkit dari pembaringan. Dia meraup wajahnya.
"Ya Allah, kenapa aku asyik mimpi benda yang sama? Apa yang Kau cuba tunjukkan pada aku?" soal Isya sendirian.
Penggera di handphone dimatikan. Dia melihat jam, sudah pukul 8 malam. Untung saja dia sudah setkan penggera, kalau tidak mungkin dia terlepas daripada menghadiri Majlis itu.
Isya turun dari katil. Dia mencapai tuala di tepi pintu lalu berjalan menuju ke bilik mandi. Dia perlu bersiap sebelum jam 10 malam.
GAUN labuh terletak elok di tubuhnya. Dia menilik gaun itu di hadapan cermin. Dia kelihatan menawan. Lebih-lebih lagi, gaun itu dihadiahkan oleh orang tersayang.
Dia mencapai beg tangan di atas meja solek. Dia sudah bersedia untuk pergi ke majlis itu. Tapi sebelum itu, dia harus ke rumah Tan Sri Ahmad. Mereka ingin pergi bersama-sama.
AMBIEN di majlis itu sungguh meriah. Ramai CEO dan staf syarikat lain yang hadir. Kesemuanya termasuklah dirinya memakai pakaian mengikut tema iaitu 'bling, bling'.
Isya, Rihanna dan Tan Sri Ahmad berjalan memasuki dewan tersebut dengan senyuman tidak lekang di bibir. Mereka disapa mesra.
Rihanna dan Isya duduk di meja manakala Tan Sri Ahmad pergi bertegur sapa dengan rakan-rakan perniagaannya.
"Isya, you nak minum apa? I boleh ambilkan." soal Rihanna.
"Tak apalah, saya duduk dulu. Kejap lagi saya ambil sendiri." tolak Isya dengan lembut.
"Okey, saya pergi ambil air jap tau." Isya mengangguk.
Dari jauh, Tan Sri Ahmad memanggil Isya. Dia segera berjalan menuju ke arah Tan Sri Ahmad.
"Yes, pa?"
"Hah, Isya. Ini papa nak kenalkan dengan Dato Amin. Papa Rihanna."
"Papa Rihanna? Erm... Hai uncle."
"Hai, nice to meet you." Isya hanya tersenyum manis.
"Mesti Isya pelik kenapa baru sekarang papa kenalkan papa Rihanna pada Isya, kan?"
"Pelik tu tak lah sangat... Tapi... Kenapa waktu majlis tahlil hari itu tak datang?"
"Oh, uncle ada kat London. I'm sorry..."
"It's okay... Just rasa terkilan sikit aje. Isya nak pergi minum. Papa sambunglah sembang dengan uncle." beritahu Isya lalu pergi dari situ.
Tan Sri Ahmad memegang bahu Dato Amin.
"It's okay, aku faham. Dia perlukan masa."
Isya menjadi sensitif sejak daripada itu. Dia tidak sama seperti dulu yang ceria dan banyak bercakap. Isya juga sering memendam rasa.
DAUD memberi salam seusai solat Isyak. Setelah itu, dia menadah tangan, bermunajat kepada Ilahi.
"Ya Allah, Ya Tuhanku. Aku memohon ampun atas segala dosa-dosa yang telah aku dan ahli keluargaku lakukan. Ya Allah, Kau sembuhkanlah luka di hati anakku, Isya. Berikanlah dia kekuatan untuk menghadapi dugaan ini, Ya Allah. Aamiin Ya Rabbal Alamin." doa Daud dengan penuh kesungguhan.
Kring, Kring!
Bunyi deringan handphonenya berdering. Dia bangun lalu melipat sejadah dahulu sebelum menjawab panggilan itu.
"Assalamualaikum, Isya. Macam mana majlis itu?" soal Daud.
"Majlis tak start lagi. Isya sebenarnya tak selesa and tak ada mood nak pergi majlis ni. Tapi Isya pergi juga sebab papa." luah Isya.
"Isya, sayang..." Daud duduk di birai katil.
"Walid faham kesakitan yang kamu alami sebab walid pernah rasa benda yang sama. Walid cuma nak pesan pada Isya... Kita yang masih hidup ni kena teruskan hidup."
"Tapi walid... Isya tak kuat. Rasa bersalah Isya pada dia terlalu kuat, walid. Isya... Isya..."
"Semua yang terjadi ada hikmahnya, Isya. Isya tak boleh berterusan macam ni. Aiden pun tak nak Isya sedih macam ni."
"Isya cuba, walid tapi Isya tak janji. Isya minta maaf, walid."
"Walid tahu Isya kuat. Walid sentiasa doakan kebahagiaan Isya."
"Kebahagiaan Isya dah mati, walid. Takkan ada bahagia lagi lepas ni."
"Isya..."
"Okeylah, walid... Majlis dah nak start. Isya letak dulu, bye." ujar Isya dan mematikan talian. Tidak sempat Daud untuk membalas apa-apa.
Daud mengeluh hampa. Dia bangun dan mengatur langkah ke meja kecil di tepi dinding. Dia membuka laci meja itu. Sepucuk surat diambil. Dia duduk semula di birai katil.
SAAT semua sedang menunggu di luar bilik wad, doktor mengatakan bahawa Aiden mahu bertemu dengannya.
Di dalam bilik, Daud melihat Aiden sedang bertarung nyawa. Dia dalam keadaan begitu lemah. Dia mendekati katil wad Aiden.
"Aiden, walid datang." ujar Daud dengan nada bergetar, menahan sebak.
Aiden meminta Daud untuk mendekatkan telinga dengan telinganya.
"Walid, Aiden dah minta tolong Naim tuliskan surat untuk Isya. Aiden nak minta jasa baik walid untuk bagi kat Isya bila Aiden dah tak ada nanti."
"Tak, Aiden akan selamat. Walid yakin dan surat tu tak penting sebab Aiden akan selamat."
Aiden memegang tangan Daud. Terlihat air mata mengalir di celahan tubir matanya.
"Ini permintaan terakhir Aiden. Tolong sampaikan pada Isya."
"MAAFKAN walid, Aiden. Isya dah cukup bersedih. Walid tak sanggup tengok dia sedih lagi."
"ASSALAMUALAIKUM, saya selaku pengerusi majlis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana hadir ke majlis hari ini." ujar Kak Lina. Mereka yang hadir memberikan tepukan gemuruh.
"Baiklah, tujuan majlis ini diadakan untuk meraikan kejayaan syarikat Tihani Mega Enterprise yang telah disenaraikan sebagai syarikat kedua terkaya di Malaysia!" Sekali lagi tepukan gemuruh diberikan.
"Bagi menyempurnakan majlis, saya ingin menjemput pengasas syarikat ini iaitu Tan Sri Ahmad. Dipersilakan."
Tan Sri Ahmad naik ke atas pentas. Dia sudah bersedia untuk memberikan ucapan.
"Assalamualaikum semua, terima kasih kepada semua syarikat yang telah sudi bekerjasama dengan syarikat kami. Tanpa kamu semua, syarikat ini takkan sampai ke tahap ini."
Semua yang hadir begitu fokus mendengar ucapan daripada Tan Sri Ahmad. Isya pula duduk termenung sahaja.
"Saya rasa itu saja daripada saya. Terima kasih." pinta Tan Sri Ahmad. Kak Lina mengambil alih semula majlis tersebut.
"Terima kasih, Tan Sri atas ucapan yang diberikan. Seterusnya, saya ingin menjemput CEO syarikat Tihani Mega Enterprise, dipersilakan Puan Isya Imani!"
Isya termenung sehingga tidak sedar bahawa namanya diseru. Untung saja Rihanna ada untuk menyedarkannya dari lamunan yang panjang.
"Isya, turn awak. Pergilah naik atas." arah Rihanna.
"Hah...! Oh... Okey." Isya bangun dan mengatur langkah menuju ke pentas. Dia naik ke atas pentas bersama hati yang gemuruh.
"Assalamualaikum semua." Semua tetamu sedang memandang ke arahnya. Dia menelan air liur, terasa pahit di tekak.
"Terima... Kasih... Saya..." ujar Isya, gagap. Semua tetamu mula berbisik semasa sendiri.
Tiba-tiba, dia terlihat Aiden sedang berdiri di hujung sana. Aiden tersenyum manis kepadanya.
"Abang?"
Share this novel