Bab 56

Romance Series 77048

Deringan telefon yang berkali-kali berbunyi menyebabkan Ann Layli terkocoh-kocoh menggeledah Hermesnya apabila selesai mencuci tangan sebaik keluar dari tandas kawasan rehat dan rawat tadi.

Berhenti seketika dari perjalanannya menuju ke kereta dia menjawab panggilan yang entah ke berapa itu sebaik mendapatkan alat peranti komunikasi tersebut.

Tertera nama Hasnah di atas papan pemuka telefon segera membuatkan dada Ann Layli di serbu debar yang tiba-tiba.

Jemari laju menyeret ikon hijau lantas telefon segera dilekapkan ke telinga.

“ Aa..Waalaikumsalam.." tanpa sempat memberi salam, suara risau di balik talian terlebih dulu menyapa gegendang telinganya.

“ Ya, mak..kenapa mak?"

“ Oh..Ya Allah! Kenapa boleh jadi macam tu mak?" Riak risau mula tergambar di wajah.

“ Ye ke mak..tak apalah kalau macam tu. Nanti Manja usaha tanyakan Benji ye mak.."

“ Hmm..aahh..ya, baik mak.” angguk Ann Layli masih cemas.

“ Ya mak..Sekejap lagi Manja telefon mak semula kalau kami boleh balik. Mak jangan susah-susah hati. Kalau apa-apa mak panggilkan Azman dulu. Okay mak Manja letak dulu. Assalamualaikum." pamit Ann Layli setelah berpesan kepada Hasnah.

Sebaik menyimpan semula telefon, langkah kaki diatur laju menuju ke tempat letak kereta kawasan rehat dan rawat Tapah itu. Perasaan cemas dan risau bersilih ganti bermain di minda dan jiwa. Perkara-perkara buruk juga tak kurang hebat mendominasi fikiran membuatkan Ann Layli hampir di serang anxiety.

Hampir lima minit berjalan, Hilux Benz Fahri menerpa pandangan membuatkan Ann Layli memboloskan diri ke dalam kereta gopoh. Air mata yang sejak tadi ditahan, akhirnya tumpah juga membuatkan Benz Fahri yang sedang bersantai menantinya itu kaget.

“ Benji..." menggigil suaranya memanggil sang suami.

“ Askìm..why? Anything bad happened? Or did someone are chasing you?" tanya Benz Fahri panik sambil menilik tubuh sang isteri namun tak menjumpai yang mencurigakan membuatkan dia meninjau pula situasi di luar kereta melalui cermin sisi dan cermin pandang belakang. Al hasil tiada juga yang pelik berlaku tetapi entah kenapa isterinya itu menangis demikian.

“ Askìm you sakit ke? Kenapa menangis ni?" soal Benz Fahri sekali lagi. Jemari isterinya diraih lalu dibawa ke bibir dan dicium hangat.

Ann Layli menggeleng bersama tangisan yang masih belum reda.

Benz Fahri tarik nafas lega melihatkan gelengan itu. Tenang hatinya.

“ It's okay, I'm here." Meraih isterinya ke dalam dakapan, belakang Ann Layli dielus lembut cuba mententeramkan perasaan sedih itu sambil bibir melafazkan zikir penenang dan berselawat. Setelah sepuluh minit berlalu, tangisan itu reda dan dia andaikan isterinya sudah pun tenang apabila Ann Layli menyisihkan tubuh dari pelukannya.

“ Benji..." panggil Ann Layli membuatkan Benz Fahri memandangnya dengan penuh kasih.

“ Yes askìm.." bersama senyuman yang tak pernah lekang di bibir, jemarinya ligat mengelap sisa air mata di pipi si isteri.

“ Saya nak minta izin balik rumah mak sekejap boleh?" pinta Ann Layli berhati-hati.

Risau kalau terus mengajak Benz Fahri balik ke kampung membuatkan suaminya itu berasa terpaksa pula sementelah dia tahu esok suaminya akan mulai bekerja dan minggu seterusnya Benz Fahri akan terbang ke Dubai semula. Tentu lelaki itu sibuk dan dia tidak mahu menyusahkan Benz Fahri hanya dengan perkara sekecil itu.

Terdahulu perkahwinannya bersama Muqri, lelaki itu selalu memarahinya agar tidak menyusahkan dan perlu berdikari sendiri. Katanya hidup jangan terlalu bergantung dengan suami. Makanya, sejak itu dia belajar untuk berdikari sendiri dan belajar untuk tidak berharap dan menyusahkan suami.

“ Kampung?!...” belum sempat menjawab pertanyaan isterinya, iPhone di atas dashboard berdering pula. “ I pick up fon sekejap.." pintanya.

Menoleh dari wajah Ann Layli tangan langsung mencapai alat komunikasi itu sambil melirik nama panggilan pada papan pemuka telefon yang bercahaya.

Berkerut dahinya saat melihat nama gerangan yang tertera itu. Tanda soal muncul di tengah-tengah kotak fikiran membuatkan dia sedikit hairan. Malas berteka teki, dia terus mengangkat panggilan itu.

“ Ya Man..Waalaikumsalam.”

“ Alhamdulillah sihat. Ada ni hah, kenapa Man nak cakap dengan dia ke?" ujar Benz Fahri sambil melirik ke arah isterinya.

“ Okay..." panjang lirik suara Benz Fahri sebelum mimik wajahnya bertukar sedikit cemas mendengarkan khabaran dari pemilik suara di balik talian itu.

“ Baik..baik. Abang on the way. "

“ Terima kasih Man tolong infokan kita orang.."

Panggilan ditamatkan lantas iPhone dikembalikan ke tempat asalnya.

Menarik nafas, dia lepas perlahan. Cuba mengawal emosi tetapi risaunya tidak mampu di sorok. Jantung di buru adrenalin cemas. Pandang wajah Ann Layli, kalut dia mengkhabarkan berita yang baru di terima.

“ Askìm kita balik rumah mak sekarang ya,"

Ann Layli terpinga-pinga. Tak sempat bertanya apa, laju saja tubuhnya disandarkan lalu Benz Fahri memasangkan tali pinggang keledar untuknya.
“ Siapa yang telefon?" soal Ann Layli pelik.

“ Azman. Katanya mak dah telefon you tadi, beritahu yang ayah sakit..dia cakap mak tengah tunggu you call semula tapi lambat sangat. That's why dia minta Man yang call I. Kenapa tak cakap dengan I awal-awal yang ayah sakit?" tanya Benz Fahri.

“ Er...saya baru nak cakap dengan awak tadi.." serba salah Ann Layli menjawab.

“ I izinkan kalau ada hal kecemasan macam ni berlaku. Bagitahu je..Insha Allah kalau tak ada aral apa-apa kita boleh balik kampung. Tak perlu nak tanya boleh ke tak boleh. Mak dan ayah awak tu dah jadi mak ayah saya juga." nasihat Benz Fahri seraya menggeleng sedikit kesal kerana Ann Layli tidak bercerita lebih awal kepadanya.

“ Sorry.." gumam Ann Layli.

“ I don't need your sorry. You tak buat salah pun tapi please jangan ulang silap yang sama macam ni lagi. Sebagai suami, I perlu tegur. Ini tanggungjawab I dengan semua hal yang berlaku dalam rumahtangga kita. Mulai hari ni, I tak mahu ada rahsia langsung antara kita. Besar atau kecil sesuatu masalah kita akan kongsi bersama. Kita akan selesaikan semuanya berdua. Dalam hubungan suami isteri, komunikasi yang baik dan berkesan sangat penting untuk mengelakkan salah faham. Barulah rumahtangga aman bahagia.." panjang ulasan Benz Fahri seraya mengusap pundak kepala Ann Layli.

“ Saya takut awak tak boleh balik sebab esok awak dah start kerja. Lagipun saya tak nak susahkan awak sebab tu saya tak beritahu awal-awal. Saya boleh balik sendiri untuk ziarah ayah..” lambat-lambat Ann Layli bersuara memberi penjelasan yang difikirkan munasabah olehnya.

Benz Fahri angguk setelah mendengar penjelasan. Menarik jemari Ann Layli lalu di elus penuh kasih. Mata isterinya di tatap dalam sebelum meneruskan bicaranya.

“Askìm, ayah tu ayah mentua I. Taraf dia sama macam bapa kandung juga. Kalau dia atau mak yang sakit, you kena beritahu I supaya kita boleh balik ziarah dia orang. Seluruh keluarga you dah jadi priority I sekarang ni. I tak nak you hadap masalah seorang diri sebab you ada I as a husband. Dan I takkan biarkan you balik kampung sendiri selagi I masih bernyawa ni. Lagipun nanti apa mak dan ayah akan cakap kalau tahu I biarkan you balik seorang." jelas Benz Fahri sebaik mendengarkan idea kurang bernas isterinya itu.

“ Tapi awak kerja esok!" Ann Layli memberi alasan lagi kerana dia benar-benar tidak mahu menyusahkan suaminya.

Tarik senyum singkat Benz Fahri menggeleng.

“ Kerja bila-bila boleh. Mak ayah yang penting sekarang ni. Kerja boleh cari tapi mak ayah tak ada pengganti. You kena bersyukur yang Allah masih pinjamkan ayah untuk you terus berbakti even ayah bukan ayah kandung you. Dah jangan fikir pasal kerja I. Tahulah I uruskan nanti. Yang penting sekarang, jom kita balik tengok ayah.” ujar Benz Fahri.

.
.

Melewati pukul 9 malam Ann Layli dan Benz Fahri akhirnya tiba ke kampung. Masa yang di ambil tidak begitu lama memandangkan mereka memang sedang menuju ke selatan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Begitu sebaik mendapat khabar kecemasan dari Azman terus saja Benz Fahri memecut pacuan empat rodanya ke sana.

Memasuki rumah, laju Ann Layli mendapatkan Zahid yang sedang lena di atas katil di ruang tamu memandangkan kakinya yang terseliuh dan membengkak tidak membenarkannya untuk berehat di dalam bilik kerana sukar untuk Hasnah mahupun Azman membawanya ke tandas. Hasnah menggeleng melihat keletah anaknya yang satu itu.

“ Ayah..Manja balik ni.." ujar Ann Layli mengejutkan Zahid yang sudah terlena.

Setelah dua kali panggilan si anak barulah Zahid membuka matanya.

“ Manja dah lama sampai? Ben mana?" soal Zahid. Wajah Ann Layli dielus penuh kasih. Bercahaya wajahnya melihat susuk anak di hadapan mata. Pun begitu, mata melilau mencari susuk si menantu.

“ Ada dekat luar tengah angkat beg. Sekejap lagi Ben..er abang masuk..”

Zahid angguk. Perlahan-lahan dia cuba bangun dari baring. Melihatkan itu, Ann Layli memaut Zahid dan membetulkan kedudukan ayahnya dengan pertolongan Hasnah.

“ Ayah..macam mana ayah boleh sakit ni? Dah berapa hari sakit? Kenapa tak pergi hospital?" bertubi-tubi soalan cemas keluar dari bibir Ann Layli. Kaki Zahid yang sedang berselimut dia kuak lalu menilik bengkak di kaki tua itu.

Zahid tersenyum mendengar ocehan anaknya. Baginya sakit di kaki mulai hilang dan beransur pulih setelah melihat wajah anak kesayangan ada di depan mata. Rindunya sedikit terubat.

“ Alah sikit aje ni. Ayah dah makan ubat. Esok-esok baik lah tu. Jangan risau."

“ Sikit apanya yah..tengok dah bengkak dan merah macam ni. Ni hah, badan ayah pun panas. Ayah demam ni. Jom kita pergi hospital." bebel Ann Layli seraya menekap tangannya pada dahi dan leher Zahid.

“ Tak perlu susah-susah. Ni kamu balik pun ayah dah rasa menyusahkan. Kesian Ben kena bawa kereta jauh-jauh nak balik sini.” keluh Zahid.

“ Tak ada yang menyusahkan pun ayah. Ayah sakit, jadi kami sebagai anak akan balik ziarah ayah." sampuk Benz Fahri sebaik muncul dari luar. Merapati katil Zahid, tangan tua itu dia salam dan kucup penuh hormat.

“ Terima kasih Ben jauh-jauh balik nak ziarah ayah." ucap Zahid.

“ Tak perlu terima kasih ayah. Dah jadi tanggungjawab kami sebagai anak." balas Benz Fahri.

Tersenyum Zahid mendengar ucap balas menantunya itu. Senang hatinya melihat sikap dan budi pekerti anak itu. Rasanya kali ini, dia tidak lagi salah perkiraan apabila menyerahkan satu satunya anak perempuan yang dia sayang sepenuh hati untuk di kahwini dengan seorang lelaki.

.
.

“ Mak!" tegur Benz Fahri.

“ Oh mak kau!" latah Hasnah. Hampir dia meloncat mendengar suara teguran itu. Tidak jadi melangkah, Hasnah menoleh ke belakang.

Dengan bantuan cahaya dari lampu jalan yang menyuluh dari jendela, suasana samar ruangan rumah itu membuatkan Hasnah terpandang susuk menantunya yang sedang bersandar di kerusi malas berdekatan ruang tamu utama.

“ Ben ke tu! Ya Allah, mak ingat siapa lah tadi duduk dalam gelap-gelap ni." ujar Hasnah sambil urut dada. Tidak jadi hendak ke dapur, dia melenggang ke arah Benz Fahri. Kerusi rotan berhampiran menantunya dituju lalu duduk di situ

Melenggang ke satu sudut, suiz lampu dia petik lantas cahaya dari lampu kalimantang di ruangan itu terang benderang jadinya.

“ Awal mak bangun?" soal Benz Fahri dengan sengihan. Terasa bersalah kerana sudah mengejutkan si ibu mertuanya.

“ Lepas subuh nanti ada ustaz Rahman nak datang mengurut kaki ayah. Itu yang mak bangun awal nak siapkan barang yang ustaz tu minta." beritahu Hasnah.

“ Oh..ye ke mak. Bagus juga kita cuba urutan tradisional tu. Bengkak kaki ayah tu pun dah berkurang lepas pergi klinik semalam. Doktor pun ada juga nasihat suruh mengurut." cerita Benz Fahri kepada Hasnah.

“ Ya Ben, mudah mudahan lepas mengurut tiga hari ni, kesihatan ayah makin beransurlah. Risau mak tengok ayah macam tu.." tutur Hasnah. Nafas ditarik dalam.

“ Ni kamu duduk sini kenapa subuh subuh ni? Kenapa tak berehat dalam bilik aje? Tak selesa ya?" soal Hasnah semula. Berkerut dahinya melihat menantunya itu dengan santai bersandar di atas kerusi malas yang berada dekat dengan ruangan dapur itu.

“ Bukan tak selesa mak. Selesa sangat dah. Saya ni semalam minum kopi banyak sangat sebab nak memandu jauh. Bila dah minum susah lah nak tidur. Badan pun jadi sengal-sengal. Itu, yang saya berehat dekat sini. Kot, boleh lelap sepicing dua." ujar Benz Fahri sambil tersenyum sumbing.

Dia yang tidak nyenyak tidur malam tadi dan mengalami sedikit insomnia akibat terlalu banyak mengambil caffeine serta berasa sakit belakang badan membuat keputusan untuk berehat saja di ruangan itu sementara menunggu masuk waktu subuh.

“ Oh! Mak ingatkan kamu tak selesa ke apa.." ujar Hasnah. “ Manja mana?" teringatkan si anak, wanita itu bertanya.

“ Tidur lagi mak. Dia pun letih tu." ujar Benz Fahri sambil meregangkan leher yang terasa pegal itu. Dielus-elus batang lehernya.

“ Laa letih kenapa? Bukannya dia memandu macam kamu. Gerak aje dia suruh picitkan-picitkan kamu. Manja tu kalau di manjakan sangat naik lemak dia nanti." bebel Hasnah.

Benz Fahri tersengih. “ Tak apa mak, orang kata sayangkan isteri manja-manjakan."

“ Pelik pelik aje perangai orang sekarang ni. Pepatah orang lama di ubah-ubahnya. Ada pula dimanja manjakan.” tergelak Hasnah mendengar peribahasa baru Benz Fahri seraya menggeleng kepala.

“ Dahlah, mak nak ke dapur siapkan apa yang patut. Kamu nak berehat masuk ke bilik. Jangan tidur sini. Dekat luar ni sejuk tak elok biar badan berdingin macam ni. Masuk angin semua urat-urat badan tu." oceh Hasnah lagi. Tubuhnya sudah berlenggang ke arah dapur meninggalkan si menantu.

“ Ya mak, kejap lagi saya masuk."

.
.

Selepas Ustaz Rahman selesai mengurut kaki Zahid, dia memulakan sesi urutannya untuk Benz Fahri pula.

Pada mulanya Benz Fahri menolak tawaran Ustaz Rahman kerana tidak mahu menyusahkan lelaki itu tetapi saat di desak Hasnah dia akhirnya bersetuju mendapatkan urutan dengan lelaki bergelar ustaz itu.

“ Insha Allah dengan izin Allah kaki pakcik akan sembuh nanti. Saya dah ikhtiar dengan mengurut bahagian yang terseliuh tu. Pakcik cuma kena pantang makan aje lah ya.. Jangan sembarangan makan lagi sebab nak elak urat tu sejuk," pesan Ustaz Rahman selepas menyimpan botol minyak urutnya ke dalam beg.

“ Ya, baik ustaz. Terima kasih banyak-banyak datang ke mari." balas Zahid dengan senyuman.

“ Terima kasih ustaz tolong urutkan kaki ayah saya." ucap Benz Fahri juga.

“ Sama-sama."

“ Ustaz.." Hasnah berseru selepas meletakkan dulang minuman yang di bawa ke ruangan tengah itu untuk menjamu tetamunya.

“ Ya, saya.."

“ Ni menantu saya ni sengal-sengal badan katanya. Memandu jauh dari Kl ke Perak lepastu ke mari pula semalam. Ustaz boleh mengurut badan juga kan?" soal Hasnah sambil menepuk perlahan bahu Benz Fahri.

Benz Fahri angkat wajah, sedikit terkejut dengan obrolan Hasnah. “ Eh, saya ok je mak.” elak Benz Fahri.

“ Tak apa, kita cuba dulu!" sengih Hasnah ke arah Ustaz Rahman.

Ustaz Rahman senyum nipis seraya menghala pandangan ke arah Benz Fahri yang berhadapan dengannya. Menilik sedikit susuk itu dari atas ke bawah. Nyata, terpeta kelesuan dari air wajah Benz Fahri membuatkan dia terangguk-angguk dengan segaris senyuman.

“ Boleh juga mengurut. Biasa memandu jauh-jauh memang buat badan lemau dan lesu. Bisa badan tu. Kalau mahu, boleh saya urutkan terus sekali. Alang-alang saya di sini." pelawa Ustaz Rahman bersama pendapatnya.

“ Eh, tak apa kot ustaz. Segan saya nak susahkan ustaz pula." tolak Benz Fahri penuh hormat.

“ Tak ada susah mana pun. Lagipun jadual mengurut saya kosong pagi ni." tingkah Ustaz Rahman semula.

“ Mengurut aje Ben. Jangan biar badan tu lemau lesu macam tu. Kamu tu muda lagi. Badan lama nak pakai nanti." suruh Hasnah masih tidak putus asa menyuruh menantunya mendapatkan rawatan dari tulang urut itu.

“ Kebetulan ustaz ada pagi ni, mengurut aje Ben. Badan sakit sakit susah nak bekerja nanti. Tambah di bandar sana susah nak dapat khidmat urutan tradisional macam khidmat ustaz ni. Lepas mengurut nanti, Insha Allah badan rasa segar balik. Baru semangat nak bekerja.." celah Zahid pula memberi pendapat.

Benz Fahri berasa serba salah apabila Zahid dan Hasnah memberikan terlebih perhatian kepadanya. Sungguh dia berterima kasih kerana mendapatkan keluarga mertua yang baik seperti mereka. Untuk tidak membuatkan mertuanya berasa kecil hati, dia menerima pelawaan ustaz Rahman secara sukarela.

“ Dah kalau macam tu kata mak dan ayah saya ikut aje. Harap tak menyusahkan ustaz lah.." balas Benz Fahri beserta senyum singkat ke arah lelaki berkopiah putih itu.

Hampir dua jam menjalankan sesi urutan di tubuh Benz Fahri, akhirnya ustaz Rahman meminta diri untuk pulang. Di muka pintu, sempat lelaki berusia lewat 40 an itu menitipkan pesanan kepada Zahid dan Hasnah ketika mengiringinya untuk pulang. Sementara Benz Fahri di nasihatkan untuk berehat di bilik saja.

“ Pakcik, makcik saya ada sesuatu nak tanya ni. Itupun kalau kalian tak keberatan." ujar Ustaz Rahman penuh hati-hati.

“ Ada apa tu ustaz? Insha'Allah kami jawabkan.” balas Zahid seraya memandang wajah Hasnah sebaik melihatkan respon positif isterinya.

“ Boleh saya tahu, menantu makcik dan pakcik tu dah berapa lama kahwinnya?"

“ Erm..kalau tak silap dekat dekat tiga empat bulan macam tu" balas Hasnah saling berpandangan dengan Zahid. Sedikit musykil dengan pertanyaan rawak seperti itu.

“ Bukan saya nak ambik tahu hal rumahtangga keluarga pakcik makcik cumanya sebagai orang yang berpengalaman, saya nak beri nasihat sedikit ajelah. Mudahan ianya beri kebaikan dan asbab itu, Allah mudahkan lagi urusan kita sesama insan.." ujar Ustaz Rahman dengan riak serba salah.

“ Dah begitu kata ustaz, tiada daya kami nak menolaknya. Mudahan baik juga untuk keluarga kami. Apa halnya tu?" soal Hasnah.

“ Hmmm.. Masa mengurut tadi, saya perasan anggota badan menantu pakcik makcik tu tak ada masalah apa pun. Cumanya urat-urat dia tu macam beku..kejung aje. Masuk angin pun iya juga..Kalau baru kahwin, saya faham."

“ Maksud ustaz? Boleh terangkan pakcik tak berapa faham." kerut di dahi Zahid naik berlapis. Wajah Ustaz Rahman dia renung minta pencerahan.

“ Beginilah, saya pendekkan ceritanya. Mengikut pengalaman saya selama menjadi tukang urut dalam perkhidmatan urutan tradisional dan batin ni, menantu makcik dan pakcik tu masih anak teruna. Kalau tak salah saya lah.” ujar Ustaz Rahman dengan senyum simpul.

Melopong Hasnah dan Zahid usai mendengar pernyataan Ustaz Rahman itu. Zahid seperti hilang kata-kata manakala Hasnah sudah memerah wajahnya. Entah segan atau marah dengan cerita tukang urut tersebut mengenai menantunya itu. Namun yang pasti ketika ini, hatinya panas dengan si anak.

******

Ann Layli menyiapkan makan tengah hari bersama Hasnah setelah Ustaz Rahman pulang sebentar tadi. Manakala, Benz Fahri sudah ketiduran selepas selesai mendapatkan urutan badan dengan ustaz itu. Mungkin tubuhnya yang keletihan setelah di urut di samping tidur yang tidak berkualiti sebelumnya membuatkan lelaki itu senang dijemput lena.

“ Mak kita nak masak apa ni? " soal Ann Layli yang berada di hadapan muka pintu peti sejuk. Dia membelek bahagian sayuran pula selepas mengeluarkan ikan serta daging beku dari bahagian sejuk beku tadi.

Hasnah yang baru selesai menanak nasi menoleh ke arahnya dari kabinet dapur.

“ Bawa aje keluar apa yang ada tu. Kena tengok bahan dulu baru tahu nak masak apa!" ujar Hasnah.

Mendengar arahan Hasnah, laju Ann Layli mengeluarkan sayuran serta bahan masak yang lain lalu di bawa ke sinki.

Sambil melihat ikan dan daging yang sedang dinyah beku, Ann Layli berkira-kira dengan sayuran yang berada di hadapan mata. Tengah berfikir lauk yang sesuai untuk di masak.

“ Ikan keli tu buat sambal berlado aje kut mak. Tengok lada hijau mak montel-montel aje ni. Lagipun lama Manja tak makan ikan tu mak.." bebel Ann Layli sambil membelek lada hijau di dalam tupperware plastik Hasnah yang kelihatan segar-segar belaka.

“ Suami kamu makan ke ikan keli?" soal Hasnah.

“ Entah..masak ajelah. Karang kalau dia tak makan tu ada daging. Boleh Manja masakkan daging masak hitam untuk dia." balas Ann Layli berkira-kira dengan menu yang terlintas di kepala.

“ Takkan dia nak makan daging aje?"

Ann Layli garu kepala yang tak gatal bila Hasnah masih berdiri di hadapannya menanti jawapan. Dalam kepala sibuk memikirkan kebenaran kata-kata si ibu dengan sengihan serba salah.

“ Err...goreng telur boleh kot mak." laju Ann Layli menjawab bila Hasnah masih menantinya dengan muka yang sukar di tafsir.

“ Telor kot! Ya Tuhan...” nyaring suara Hasnah memecah suasana hening dapur dengan gelengan kepala. Riaknya berubah geram mendengar jawapan si anak.

Ann Layli terperanjat. Kelam wajahnya melihat reaksi Hasnah begitu.

“ Kamu main-main aje nak bagi makan suami ya Manja. Anak orang tu. Cubalah bersungguh layan suami. Dapat pahala tahu. Ni mak nak tanya kamu? Kamu jujur dengan mak. Jangan nak bagi jawapan kona-kona." leter Hasnah dengan wajah garang.

Ann Layli angkat wajah. Berdebar menanti pertanyaan si ibu yang sedang pamer wajah bengisnya seperti selalu apabila ada yang emaknya tidak puas hati.

“ Err..tan..tanya apa mak?”

“ Kamu ada layan suami kamu ke tidak?"

“ Hah!"

“ Baik kamu jawab betul-betul. Mak tak mahu jawapan kona kona." ulang Hasnah sekali lagi. Pinggangnya dicekak dengan kedua belah tangan.

Ann Layli garu kepala yang tak gatal. Kelam dengan pertanyaan Hasnah.

“ Maksud mak?" kerut wajah Ann Layli.

Hasnah pandang kiri kanan sebelum menjawab. Risau kalau ada telinga lain yang tak patut mendengar obrolan lanjutnya.

“ Ustaz Rahman cakap tadi Ben tu masih anak teruna. Betul ke?"

Ann Layli tersedak liur sendiri saat mendengar soalan Hasnah. Merah padam wajahnya.

“ Errr...errr.."

Pap!

Permukaan meja makan di sebelah mereka di tepuk Hasnah kuat.

“ Ann Layli!" seru Hasnah sedikit kuat.

Hatinya geram dengan gelagat si anak yang seperti cuba mengelak pertanyaannya tadi.

Terkesip Ann Layli apabila mendengar suara Hasnah sudah naik seoktaf. Tanda emaknya benar-benar sudah naik hantu.

Ann Layli serba salah hendak menjawab. Bibirnya diketap perlahan. Mukanya merah akibat segan dengan pertanyaan itu. Hati juga sudah takut melihat air muka Hasnah yang berubah tegang yang mahukan jawapan jujurnya.

“ Errr...errr.." tergagap-gagap Ann Layli cuba merangka jawapan.

“Jawab Manja!" teriak Hasnah. Sudah tidak mampu bersabar dengan keadaan.

Ann Layli tarik nafas. Kedua belah tangan digenggam erat. Mata dipejam rapat. Cuba menggali kekuatan yang sudah berterbangan dek teriakan kuat Hasnah tadi. Dia tahu dia sudah tidak boleh mengelak lagi. Selagi tidak memberi jawapan, selagi itulah Hasnah akan memaksa. Dan dia juga tahu dia tak mampu berbohong dengan Hasnah. Setelah beberapa detik menenangkan diri Ann Layli akhirnya mengangguk kerana sesungguhnya dia tidak mampu lagi untuk berkata-kata dengan lidah.

“ Astaghfirullahalazim!" Hasnah istighfar panjang. Duduknya dijatuhkan ke atas kerusi makan bersebelahan. Kepalanya di sangga dengan kedua belah tangan. Terkejut dengan pernyataan Ann Layli membuatkannya diri mahu rebah.

“ Manja kamu tahukan berdosa buat macam tu. Ya Allah Manja.." rintih Hasnah dengan perasaan kecewa yang bersimpang siur di dalam dada.

Ann Layli hanya menunduk mendengar rintihan emaknya. Dia tahu Hasnah kecewa. Terlalu kecewa dengan sikapnya. Namun untuk menjelaskan secara lanjut tentang alasan yang dia buat sebelum ini sungguh dia tak mampu. Cukup dia berasa bersalah dengan Benz Fahri. Kini, dia perlu berhadapan dengan kekecewaan Hasnah pula.

“ Mak.." Ann Layli raih bahu Hasnah. Mahu memohon maaf.

Hasnah angkat tangan menahan perlakuan Ann Layli. Wajah kecewanya masih jelas terpeta. Pandangannya sedikit pun tidak dialihkan ke wajah Ann Layli kerana dia betul- betul terkilan dengan sikap anak itu.

“ Mak tak mahu dengar alasan apa pun. Pastikan lepas ni kamu layan Ben sebagai suami yang selayaknya. Jangan jadi isteri derhaka. Atau mak tak mampu nanti nak tolong kamu sebab jauh dari syurga Allah. Mak dah bagi didikan agama yang cukup untuk kamu. Harap kamu faham tugas kamu sebagai isteri." ucap Hasnah langsung melengos keluar dari pintu dapur.

Ann Layli terkesima. Perit hatinya menelan bayu tubuh Hasnah yang berlalu pergi tanpa menyapa wajahnya sedikit pun. Dia begitu faham dengan reaksi Hasnah yang sedang dilanda amarah. Perlahan dia menyesali perlakuannya terhadap Benz Fahri selami ini. Namun, apa yang terjadi sepertinya nasi sudah menjadi bubur.

.
. .

“ Askìm, jom teman I pusing-pusing kampung nak? Cuaca nampak elok je petang ni." Benz Fahri bersuara selepas minum petang di beranda rumah ketika itu.

Ann Layli yang baru mahu mengangkat talam berisi piring dan cawan kotor dari meja kopi itu terhenti pergerakan. Tidak jadi meneruskan kerjanya. Wajah Benz Fahri dia pandang.

“ Saya letih la. Boleh tak kalau kita pergi esok petang je." tolak Ann Layli lembut. Sesungguhnya dia tidak ada keinginan saat itu untuk keluar bersiar-siar biarpun dia sudah berjanji dengan Hasnah dan dirinya sendiri mahu memperlakukan Benz Fahri selayaknya seorang suami. Namun, hatinya yang sedang rapuh akibat telah mengecewakan Hasnah membuatkan keinginan itu lebur.

“ Letih apanya Manja. Bukannya buat kerja apa pun. Makan tidur makan tidur aje sejak sampai semalam." tegur Hasnah yang sedang melipat baju dihujung beranda itu tanpa berpaling seinci pun ke arah kedua anak menantunya.

“ Sekejap saya tukar baju." balas Ann Layli semula ke arah Benz Fahri setelah mendengar amaran ribut petir dek teguran maut Hasnah. Tidak mahu Hasnah terus-terusan enteng melayannya langsung saja dia ikut bersetuju mahu menemani suaminya petang itu.

Tidak menunggu lama, talam berisi piring kotor dia bawa ke dapur. Hatinya sedikit rapuh melihat layanan Hasnah yang masih acuh tak acuh. Dia tahu Hasnah masih marahkannya.

Usai menyiapkan kerja di dapur, bilik dituju. Laju Ann Layli menukar t-shirt dan kain batik yang tersarung di badan kepada tshirt lengan panjang bersama tracksuit. Setelah itu, tudung sarung dia sarung lantas turun ke bawah mendapatkan Benz Fahri yang sedang menanti di luar.

Benz Fahri sudah bersedia menanti isterinya di hadapan pintu rumah bersama motor honda ex5 yang dipinjam dari Azman tadi. Berhasrat mahu bersiar-siar menikmati suasana kampung dengan kenderaan dua tayar tersebut.

Sebaik muncul di hadapan pintu, melolot mata Ann Layli melihat Benz Fahri dengan santai menantinya di atas motor entah kepunyaan siapa. Turun naik matanya melihat motor biru jenama honda itu.

“ Kita nak keluar naik motor ke?" terus Ann Layli menyoal sebaik merapati suaminya dengan motor honda itu. Menilik keseluruhan keadaan motor yang sudah seperti motor kebun saja rupanya.

Benz Fahri mengangkat kedua dua keningnya bersama senyuman nipis. Mengiakan pertanyaan si isteri. Sekaligus cuba mengusik Ann Layli.

“ Oh no..no..kalau awak nak naik motor ni ajak Man..saya tak nak." ujar Ann Layli dengan wajah cemberut. Terus saja dia berpusing mahu masuk ke dalam rumah semula. Bertambah hilang moodnya untuk keluar menemani si suami.

Belum sempat dua tapak kaki memecut masuk, laju tangan kanan Benz Fahri menahan tubuh Ann Layli.

“ Eh nak pergi mana? Jomlah naik motor ni. Sementara cuaca elok. Dah lah I tengok muka you monyok aje. Jom kita ambil angin luar sikit. Barulah ceria muka tu.." ujar Benz Fahri cuba menghidupkan suasana.

“ Tak naklah. Saya fobia naik motor. Kalau awak nak naik juga awak ajak Azman.” dengus Ann Layli geram.

“ Tak apa I ada. Jangan risau. Kita bukan nak pergi jauh-jauh pun. Dekat-dekat aje. Jom.." tangan Ann Layli ditarik merapati motor semula.

“ Benji..boleh tak jangan..” belum sempat Ann Layli meneruskan ayat penolakannya, suara Hasnah membantutkan mereka.

“ Manja..." tegur Hasnah di muka pintu.

Oktaf suara Ann Layli mengendur. Kedua kepala mereka lekas berpusing belakang. Terlihat Hasnah berdiri di situ dengan wajah mengancam.

Ann Layli mengeluh.

Belum sempat Benz Fahri cuba menjelaskan situasi sebenar, suara salam dari pagar luar membantutkan keadaan mereka.

“ Hah, ada hal apa Hajah Jamilah ke mari ni? Tak sangka saya, Hajah mahu juga ye pijak lantai buruk rumah saya ni." soal Hasnah sebaik menjawab salam beberapa orang tetamu tak diundangnya itu. Moodnya bertambah tambah swing sebaik melihat kedatangan bekas besannya itu bersama Haji Bakar dan seorang wanita muda yang turut mengendong seorang bayi kecil.

“ Mak.." Ann Layli memangkas bicara kurang enak Hasnah. Terus saja dia menjemput tetamunya masuk ke rumah usai bersalaman dengan bekas ibu bapa mertuanya itu.

“ Apa hajat Haji ke mari?" soal Zahid setelah beberapa minit menjamu tetamunya dengan lebihan hidangan petang mereka tadi.

Wajah tenang Pak Bakar hanya tersenyum manis menjawab pertanyaan bekas besannya itu.

“ Tak ada apa pun. Saja kami ke mari nak ziarah Zahid. Kata Ustaz Rahman, Zahid terseliuh kaki."

Zahid tersenyum mengangguk. “ Betul lah tu."

“ Macam mana kakinya?”

“ Alhamdulillah nampaknya bila dah berurut dengan Ustaz Rahman tu. Hilang dah bisa-bisa tu. Cuma dia tak bagi bergerak banyak ajelah. Biasalah umur-umur senja macam ni pantang silap sikit, mulalah sakit yang datang." sengih Zahid.

Haji Bakar sekadar mengangguk.

“ Alang-alang datang tu saja kami nak ziarah Ann sekali. Ustaz Rahman kata Ann ada balik dengan suaminya. Dah lama saya tak berjumpa dengan dia sejak arwah pergi. Kenduri hari tu pun kami tak sempat datang sebab ada hal kecemasan dekat Branang.” jelas Pak Bakar. Jelas, rasa rindunya buat bekas menantu yang satu itu. Kendatipun, dia amat terkilan dengan cara perpisahannya dengan Ann Layli berikutan isterinya Hajah Jamilah yang telah membuat onar dengan menantunya itu di luar pengetahuannya.

“ Ya, saya faham. Ann balik semalam dengan Ben lepas dengar saya kurang sihat. Tak apalah, semuanya dah selamat sekarang." balas Zahid semula.

“ Ann sihat ke sekarang? Lama ayah tak jumpa Ann.” soal Haji Bakar ke arah Ann Layli yang duduk bersebelahan dengan suaminya.

Ann Layli tersenyum segaris. “ Alhamdulillah ayah, sihat. Ayah sihat?"

“ Alhamdulillah ayah sihat. Ann tak nak kenalkan suami Ann pada ayah?" soal Haji Bakar yang sempat melirik ke arah suami baru Ann Layli itu.

“ Ohh..maaf ayah. Kenalkan suami Ann, Benz Fahri." ujar Ann Layli sekaligus membuatkan Benz Fahri bangun dari duduknya dan bersalaman dengan bekas bapa mertuanya isterinya itu.

“ Saya Benz Fahri pak cik, mak cik. Pak cik, ni arwah ayah Encik Muqri kan." ujar Benz Fahri berbasa basi. Teringat, dia pernah bertemu dengan lelaki itu ketika hari pengebumian arwah suami Ann Layli lebih setahun yang lalu.

“ Ya pakcik lah tu... Err, macam mana Ben kenal pakcik?" soal Haji Bakar hairan.

“ Saya pengurus Khazanah Berhad. Arwah Muqri pernah bekerjasama dengan syarikat abang saya sebagai kontaktor projek. Lagipun, saya pernah datang majlis pengebumian arwah." jelas Benz Fahri.

Haji Bakar mengangguk mendengar penjelasan tersebut.

“ Oh, tak sangka ya..lepas anak makcik meninggal Ann terus kahwin dengan kamu. Cepat buat kerja. Dah ada anak?" sampuk Jamilah.

“ Jodoh makcik. Alhamdulillah. Lambat ke cepat, semua kerja Tuhan. Buat masa ni belum ada rezeki lagi. Kami masih tak rancang untuk ada zuriat dalam masa terdekat. Lagipun bulan depan Ann akan sambung belajar."

“ Baguslah sambung belajar tu. Tahniah ye Ann." ujar Jamilah dengan senyum palsunya sebelum membalas semula. “ Pasal zuriat tu makcik harap cepatlah Ann dengan Ben dapat anak nanti. Jangan jadi macam perkahwinan dengan arwah Muqri pula. Sampai ke mati, kempuanan nak dapat zuriat dari isteri sendiri. Tapi nasiblah ada si Anita ni yang sudi jadi isteri kedua dia. Dapat jugak dia bagi Muqri ni waris. Dan harap-harap Ann tak mandul lah ya," ujar Jamilah cuba memprovok seisi rumah. Bagaikan tanpa perasaan sengaja dia cuba menyakiti hati Ann Layli. Malah dengan bangga dia pamer wajah Qaireen dan memperlihatkan pewaris arwah anak lelakinya itu kepada semua ketika memangku cucunya itu.

Ann Layli sedikit terpempan saat melihat wajah comel milik Qaireen yang hampir seiras dengan arwah Muqri. Berderau darahnya mendengar pernyataan Jamilah tentang isteri kedua tadi. Wajah wanita yang turut duduk bersebelahan Jamilah dia lirik seketika. Jadi, selama ini dia diduakan Muqri. Ya Allah, hebat sungguh ujian dia selami ini sehinggakan dicurangi suami pun dia tidak sedar.

“ Milah.." suara ketapan gigi dari Haji Bakar mula kedengaran memberi amaran buat isterinya yang sepertinya mahu memulakan perperangan.

“ Apa? Tak betul ke apa yang saya cakap ni bang.." Jamilah meningkah. Geram dia bila ditahan dari menyuarakan kebenaran.

Hasnah sudah berdesing telinga. Kecil besar saja dia melihat Jamilah ketika itu. Kalau tidak mendapat tegahan dari Zahid dengan isyarat mata, sudah lama dia terkam wajah bongkak di hadapannya itu. Biar wanita itu tahu bagaimana rasanya langit menimpa diri.

“ Haji..saya tak faham. Apa semua ni?" soal Zahid kepada Pak Bakar. Sedikit sebanyak dia juga turut terasa sakit hatinya.

Haji Bakar mengeluh. Air mukanya diraup perlahan. Wajahnya mengang dek malu yang dipalitkan Jamilah sebentar tadi.

“ Maafkan saya Zahid, Hasnah. Terutama sekali pada Ann dan Ben. Kedatangan saya dan keluarga cuma mahu menziarah saja. Tapi tidaklah saya menidakkan kebenaran yang terungkap dari mulut isteri saya sebentar tadi. Mungkin caranya tidak bersesuaian dengan keadaan. Maafkan kami sekali lagi. Ya, ini Anita isteri kedua Muqri. Pernikahan mereka diluar pengetahuan Ann Layli semasa dia dan Muqri masih berstatus suami isteri. Juga di luar pengetahuan saya dan isteri. Pernikahan mereka berlangsung di selatan tanah air. Dan, ini Qaireen anak Anita dan arwah Muqri. Saya dan isteri pun baru dapat tahu selepas arwah meninggal beberapa bulan lepas. Anita datang ke mari menjelaskan duduk perkara sebenar. Maafkan kami yang banyak lalai dan kurang perhatian dengan Ann semasa dia menjadi menantu kami. Dan sebagai ayah, saya memohon maaf banyak-banyak dari pihak arwah buat Ann dan seluruh keluarga. Berharap, rohnya sentiasa tenang di sana." jelas Haji Bakar dengan suara yang bertukar sendu.

“ Ben.." Haji Bakar memandang Benz Fahri dengan perasaan sayu.

“ Maafkan anak pakcik ye."

“ Sudah lama saya maafkan dia pakcik.” jawab Benz Fahri.

“ Pakcik harap Ben tak sia-siakan Ann macam arwah. Pakcik dah anggap Ann macam anak sendiri. Jaga dia baik-baik. Pakcik tahu, Ben lebih mampu dan lebih bertanggungjawab untuk jadi suami dia." pesan Haji bakar.

“ Ann maafkan Muqri ya nak..Dan terima kasih jadi anak yang baik untuk ayah dan mak selama ini. Ayah doakan kehidupan Ann lebih bahagia dari sebelumnya.”

Ann Layli tidak mampu berkata apa-apa. Air mata sudah bergenang di pipinya. Merapati Haji Bakar, dia memeluk erat tubuh lelaki separuh usia itu dengan hati yang ikhlas. Ikhlas memaafkan di atas segala yang pernah berlaku dalam kehidupannya sebelum ini.

“ Ann dah lama maafkan abang ayah. Abang tak ada dosa lagi dah dengan Ann. Ayah dan mak pun. Ann juga doakan yang baik-baik untuk mak ayah. Terima kasih sudi sayangkan Ann selama Ann jadi menantu ayah.” ucap Ann Layli dengan suara yang sangat berat.

Suasana di situ, menjadi kelam seketika. Beberapa minit berlalu Haji Bakar dan keluarga akhirnya meminta diri untuk pulang.

Sempat lelaki itu memohon segala salah silapnya dan arwah Muqri serta Jamilah di atas ketelanjuran keluarga mereka. Sempat juga dia memohon perdamaian dengan keluarga Zahid. Dia tidak mahu hubungan silaturahim mereka pecah disebabkan ego yang ada.

Hasnah yang tidak rela memaafkan terpaksa juga memaafkan keluarga Haji Bakar terutamanya kepada Jamilah yang sepertinya masih tidak sedar diri itu. Ada di antara kata-kata Zahid yang akhirnya meruntuhkan tembok keegoaannya hari itu untuk melunaskan tanggungjawabnya sesama insan biarpun luka di hati tetap juga berparut.

“ Maafkan mereka. Mereka alpa. Setidaknya tugas kita sebagai khalifah di bumi selesai dengan memaafkan supaya kita tidak sukar untuk berjalan di padang mahsyar nanti. Yang lain biar Allah S.W.T yang uruskan kerana Dialah yang Maha Mengurus.”

*********

Hai semua...Ann Benz kembali. Maaf jika tertypo dan banyak kekurangan. Thanks yang selalu ada utk FFM. Happy reading uols. Boleh comment utk WL upgrade kekurangan yg ada ya. Thanks korang sudi support. Love u to the moon n never been back ;⁠)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience