Bab 45

Romance Series 77048

Usai memberi salam, Benz Fahri mengangkat tangan memulakan bacaan doa selepas solat. Dengan penuh khusyuk dia berdoa.

Ann Layli turut menadah tangan bersama imamnya di hadapan. Pertama kali dalam kehidupan berumah tangganya, inilah pengalaman yang takkan dia lupakan kerana dapat menunaikan solat berjemaah bersama suaminya. Dahulu, semasa pernikahan pertamanya bersama Muqri, lelaki itu tidak pernah mengajaknya bersolat apatah lagi berjemaah. Solatnya juga jarang-jarang. Kadang-kadang terus lompong.Malah kalau ditunaikan pun, apabila mereka pulang ke kampung saja kerana berpura-pura di hadapan orang tuanya. Puas dia menasihati sikap Muqri yang satu itu namun semuanya sia-sia. Sehinggakan berinjaknya waktu, Muqri sudah berani naik tangan ke atas tubuhnya jika dia berkeras menyuruh suaminya itu menunaikan solat. Kata makian dan kejian menjadi zikir di bibir Muqri buatnya sehinggakan dia menjadi lali dengan sikap panas baran lelaki itu.

Menjadi isteri Benz Fahri tidak sampai beberapa jam pun lagi hatinya sudah tersentuh dan terharu kerana diberi peluang merasakan pengalaman menunaikan solat berimamkan suami sendiri. Sebak di hati hanya Tuhan yang tahu.

Selama hampir setahun lebih melayari perkahwinan bersama Muqri dahulu, dia mengimpikan saat seperti ini. Dia tidak pernah berputus asa berdoa agar di beri peluang untuk bersolat jemaah dan mencium tangan suaminya itu. Tetapi Tuhan rupanya mempunyai rencana yang lebih baik buatnya. Kehendak Tuhan melangkaui batas pemikiran seorang manusia. Saat ini, Allah telah menggantikan impian itu menjadi kenyataan walaupun bukan dengan orang yang sama tetapi tetap juga sebagai suaminya. Dia bersyukur.

Benz Fahri menoleh ke belakang setelah selesai berdoa, tetapi hairan apabila melihat makmumnya yang masih termenung panjang bersama tadahan doa yang belum diaminkan. Berkerut wajahnya memikir langsung membuatkan bibirnya bersoal dengan wanita itu.

“ Sayang..” serunya mematikan lamunan tersebut

Tersentak, Ann Layli mengangkat wajah. Perlahan wajah Muqri bergantian dengan figura Benz Fahri di hadapan matanya. Baru tersedar yang dia sedang mengelamun apabila ambien tenang itu menatapnya teduh. Dengan perasaan terkejut pantas Ann Layli mengaminkan doa suaminya tadi. Wajahnya kembali menekur tikar sejadah. Tidak sanggup menatap wajah itu kerana perasaan bersalah mulai menguasai diri. Bersalah kerana memikirkan tentang lelaki lain sedangkan dirinya sekarang sudah menjadi isteri yang sah kepada Benz Fahri.

“ Sayang fikir apa? Abang tengok jauh sangat sayang termenung. Anything you want to share with me..hmm?” soalnya lembut.

Pertanyaan itu berjaya membuatkan Ann Layli bertambah tersentuh. Hatinya merapuh. Tidak pernah dia dilayan sebaik dan selembut itu oleh seorang suami. Tetapi malam ini sekali lagi aura suami milik Benz Fahri yang menikahinya siang tadi berjaya membuatkan hatinya meruntun. Tidak semena air hangat meluncur laju dari kelopak matanya. Tidak dapat menahan sebak, akhirnya dia menangis hiba. Terhinggut tubuhnya cuba menahan pilu namun tidak terlawankan perasaan itu.

Benz Fahri terkesip apabila tiba-tiba saja isterinya menangis seperti itu seolah berada dalam kesakitan yang amat sangat. Tidak mahu mengeruhkan keadaan dia mengambil keputusan untuk tidak mahu bersoal lagi walaupun batinnya sangat mahukan penjelasan dari Ann Layli. Diajarkan dirinya supaya bersabar terlebih dahulu. Diarahkan dirinya supaya menanti saat itu tiba. Dia tidak akan sesekali memaksa. Dia akan menanti dengan penuh sabar sehingga isterinya sendiri yang menceritakan dan menjelaskan sebab musababnya.

Menghela nafas, dia membetulkan posisi duduk. Merapatkan tubuhnya ke arah isterinya sehingga lutut kedua mereka berlaga, tangannya terhulur menangkup kedua pipi Ann Layli. Wajah itu ditatap lekat. Semerta senyuman penuh kasih dilayangkan buat isterinya. Dia cuba memujuk hati isterinya yang sedang rawan itu.

“ Sayang..setiap isteri adalah anugerah terindah dari Allah S.W.T dalam kehidupan seorang suami. Apabila Allah mengurniakan abang gelaran suami saat lafaz ijab kabul tadi, abang bersyukur sangat-sangat kerana Allah beri abang peluang tu agar menjadi seorang pelindung dan pendamping buat sayang. Abang tak tahu mampu atau tidak untuk membuatkan sayang tersenyum, tetapi andai Allah mengizinkan..saat ini, abang tak mahu lagi air mata ni tumpah apabila bersama abang...” kedua ibu jarinya bergerak mengesat rembesan air mata di pipi Ann Layli. Senyumannya masih seperti tadi ketika memandang ke dalam anak mata hazel itu. Tetap redup dan penuh keikhlasan.

“.. ‘dari Ali bin Abu Talib R.A; Yakinlah, akan ada sesuatu yang menantimu selepas banyak kesabaran (yang kau jalani). Sehingga hal itu akan membuatmu terpana sampai kau lupa akan pedihnya rasa sakit.’.Abang tahu sayang kuat dan penyabar orangnya. Dan abang yakin, Allah takkan menguji hamba-hambanya di luar batasan mereka. Pasti ada hikmah atas apa yang terjadi sebelum ini. Yang penting kita sebagai hamba kena selalu bersangka baik dengan setiap ketentuan. Jadi, mulai saat ini abang harap, sayang dapat lupakan setiap perkara yang membuatkan sayang sedih dan sakit. Sekarang adalah masanya untuk sayang nikmati kebahagiaan serta merasakan manis dan indahnya menjadi tulang rusuk kepada Benz Fahri. Boleh?” pujuk Benz Fahri lembut. Berharap Ann Layli terkesan dengan kata-kata itu seterusnya dapat menghilangkan perasaan sakit emosinya itu.

Seperti tadi, kata nasihat itu rupanya tidak membuatkan tangisan Ann Layli mereda sebaliknya bertambah berlagu sedih.

Jiwa Benz Fahri turut merasakan kesakitan apabila melihat wajah itu. Nafas ditarik dalam cuba mententeramkan hati sendiri, sebelum menyisih kedua tangannya dari wajah bening si isteri. Dia kemudian bertindak mencium kedua kelopak mata isterinya yang masih bersisa dengan tangisan itu. Lama sekali sehingga bibirnya terasa basah dek air mata yang panas itu. Harapannya agar sentuhan itu dapat meredakan perasaan sedih yang bersisa. Bimbang jika dia meneruskan kata-kata akan menambah perih atas luka yang sedia ada walaupun dia tidak tahu mengapa isterinya sangat sedih seperti itu.

Ann Layli masih tersedu namun diam dengan sentuhan itu membuatkan Benz Fahri tahu masih belum cukup untuk dia meleburkan perasaan nanar di hati isterinya. Saat lafaz ijab kabul tadi, dia sudah bertekad tidak akan memberi kesakitan kepada wanita itu menyebabkan dia perlu berhati-hati menangani perasaan seorang wanita yang sangat lembut. Tidak mudah tetapi selagi termampu, dia akan mencuba. Perlahan dan hati-hati, tangannya mendakap erat tubuh itu semula agar dapat menyalurkan kekuatan buat jiwa yang sedang rapuh itu. Dan dakapan itu akhirnya di balas membuatkan perlahan senyuman Benz Fahri mengembang kerana berhasil membuatkan isterinya percaya yang sentuhan itu adalah sangat bermakna dan sungguh-sungguh ikhlas.

Benz Fahri masih cuba menenangkan perasaan sedih isterinya lagi. Bibirnya yang basah tidak putus mengalunkan selawat dan zikir penenang buat Ann Layli agar tubuh itu membaikpulih dari rasa sakit yang amat dalam. Mereka berpelukan sebegitu buat beberapa ketika sehingga momen indah itu terganggu dek ketukan di muka pintu.

“ Ben, Manja.. makan malam dah tersedia dekat luar tu. Jom makan sekali dengan keluarga dan tetamu ya.” panggil Hasnah dari luar bilik.

Tidak melepaskan pelukannya di tubuh sang isteri, Benz Fahri hanya menoleh ke arah pintu yang masih bertutup menjawab ajakan Hasnah.

“ Ya mak, sekejap lagi Ben dan Ann keluar.” balasnya.

Setelah mendapat kata putus, Hasnah beredar dari bilik itu. Manakala Benz Fahri membawa pandangannya semula ke bawah tubuh melihat susuk isteri yang terasa diam di dalam pelukannya itu. Membesar kornea matanya apabila menyaksikan kelopak mata isterinya telah tertutup rapat dan hanya deruan nafas halus yang terbit dari ruang pernafasan membuatkan Benz Fahri tersenyum senang. Isterinya tertidur. Entah kerana letih menangis atau letih mengurusi majlis pernikahan mereka dari awal tadi.

Dengan perlahan dan penuh hati-hati Benz Fahri merebahkan isterinya ke dalam pelukan lalu mengendongnya ke arah katil. Diletakkan tubuh itu tertib lalu membetulkan letak kepala isterinya di atas bantal seraya membuka telekung yang masih membalut susuk Ann Layli.

Saat terbuka telekung itu, pandangan Benz Fahri di sajikan dengan rambut ikal, hitam berkilat serta panjang separas dada yang terikat kemas milik Ann Layli. Tertegun dia seketika dengan paras yang sangat rupawan seperti itu. Dielus lembut pelipis isterinya yang terjuntai anak rambut. Ralit dia memerhati wajah yang sedang lena itu. Sungguh hatinya tenang saat melihat wajah polos Ann Layli. Sayu hatinya melihat air mata yang masih bersisa di hujung kelopak mata itu membuatkan dia berazam dan tekad agar tidak sesekali mensiakan isterinya.

Jemarinya beralih pula ke arah kedua ulas bibir isterinya yang merah bak delima. Diusap seketika sebelum terasa suatu perasaan yang sukar di gambarkan jiwa lelakinya hadir mengasak diri. Sedar akan perasaan yang datang lantas dia mengalihkan jemari dari bibir merah itu. Air liur diteguk perlahan menghilangkan debar di dada. Tidak mahu melayan rasa, cepat lafaz istighfar diucap dalam hati. Walaupun sedar dia mempunyai hak untuk menyentuh isterinya namun keras dia melarang diri dari menyentuh sesuka hati tanpa kebenaran sang pemilik diri.

Menarik selimut hingga ke dada Ann Layli, dia beredar dari katil tersebut seterusnya membawa langkah keluar dari bilik.

******

Di luar, keadaan masih rancak kerana ramai tetamu dan ahli keluarga yang masih belum pulang. Rata-rayanya membantu majlis pernikahan itu secara gotong royong. Tambahan apabila majlis tersebut di adakan di kampung seperti itu. Pastinya suasana sangat meriah kerana dapat berkumpul mengeratkan silaturhim sesama keluarga. Ramai rakan-rakan dan sanak saudara Hasnah dan Zahid yang masih berkendara di rumah itu. Terlihatkan susuk Benz Fahri yang keluar seorang diri, semua mata terarah kepadanya sebelum Hasnah bersoal tentang keberadaan anaknya yang tak kelihatan itu.

“ Mana Manja?”

“ Ada kat bilik mak.”

“ Kenapa tak keluar makan sekali?” Tanya Hasnah hairan.

“ Dia tertidur lepas solat tadi.”

“ Laa..tidur pulak. Kenapa tak gerak? Manja tu kalau tidur mahu sampai esok tak sedar. Bertuah punya budak. Ada patut tinggal suami sorang-sorang..” bebel Hasnah. Tergeleng kepalanya mendengarkan keadaan si anak.

“ Dah, kamu keluar pergi makan dulu. Biar mak masuk kejutkan dia..” arah Hasnah kepada menantunya itu.

“ Eh, takpe mak. Biar je Ann tidur. Kejap lagi saya kejutkan dia. Letih sangat tu..” larang Benz Fahri.

“ Ish, takkan nak biar je kamu makan sorang-sorang. Kena panggil dia jugak temankan suami makan. Tidur tu kejap-kejap lagi boleh. Tak pe biar mak kejutkan dia...” ujar Hasnah bersungguh. Dia melangkah namun sekali lagi ditahan Benz Fahri.

“ Mak..mak..tak pe Ben boleh je makan sorang. Kesian dekat Ann letih sangat tu. Lepas makan nanti Ben kejutkan dia.” larang Benz Fahri lagi. Benar, dia amat kasihankan isterinya yang terlihat sangat letih tubuh dan emosi itu sehingga dia mengendong tubuh itu ke katil, Ann Layli langsung tak berkutik sedikit pun.

“ Hmm..kalau dah itu kata kamu.. okaylah. Tapi kena kejut dia juga sampai bangun. Jangan biar dia tidur sampai esok pagi tak layan kamu pulak.” pesan Hasnah.

“ Baik mak.”

“ Dah pergi makan.” arah Hasnah kepada menantunya.

Benz Fahri berlalu dari ruang tamu setelah berbual dengan Hasnah.

Di luar rumah, khemah yang disediakan oleh pihak masjid di tuju. Menyarung selipar, Benz Fahri menghala ke sana.

Semasa melalui khemah kendara yang dipenuhi beberapa orang penduduk kampung yang dipertanggungjawabkan untuk mencuci pinggan mangkuk, periuk belanga serta beberapa barangan kendara yang lain, Benz Fahri disapa beberapa orang pemuda membuatkan langkah kakinya terhenti kerana menyantuni sapaan tersebut. Lagian tidak mahu dikatakan sombong pula.

“ Lamanya pengantin masuk solat. Sabar dulu bang, kami belum balik lagi ni..” usik lelaki yang gempal bernama Ali dengan sengihan.

Benz Fahri sekadar tersenyum. Tidak berniat untuk memberi sebarang komen.

“ Benda sedap mana boleh sabar?” ujar kawan di sebelah Ali yang berambut kerinting itu.

“ Eh, kau ni Mie.. biarlah. Orang dah kahwin. Kau apa tahu!” ujar rakannya sambil tergelak-gelak menyenggol lengan pemuda berambut kerinting tadi.

“ Aku cakap benda betul kut. Pengantin baru biasanya berkepit je dua puluh empat jam. Tambah si Ann tu, tak sampai setahun pun mati laki dah kahwin lain. Nampak sangat kemaruk nak berlaki.” balas lelaki itu dengan riak sinis sambil melirik ke arah Benz Fahri.

“ Eh kau ni Raimi mulut tu cuba jaga sikit.” nasihat Ali yang sedikit gempal dari Raimi bila melihat wajah Benz Fahri sudah berubah tegang.

“ Apa tak betul aku cakap? Benda apa lagi nak fikir kalau bukan benda tu je.” sinis Raimi lagi.

Benz Fahri merenung tajam wajah lelaki bernama Raimi itu. Terasa berasap kepalanya mendengar cemuhan biadap tersebut kepada isterinya. Begemertap rahangnya berlaga cuba menahan sabar. Tangannya terkepal menampakkan urat hijau. Baru saja dia mahu melangkah mara menuju ke arah lelaki yang bernama Raimi, muncul Azman menahan tubuhnya yang sudah tergigil mahu memberi pengajaran kepada si mulut celupar itu.

“ Bang, jom makan dulu. Tak perlu bazirkan tenaga layan depa semua ni. Tunggu lama-lama karang perut masuk angin.” Azman menegur. Lengan Benz Fahri sempat dipaut.

“ Abang Mie kalau tak ada benda baik nak bercakap lebih baik diam. Jaga hal sendiri dulu. Jangan sibukkan orang. Takut kain sendiri terkoyak sampai tak sedar nanti.” ujar Azman pula kepada Raimi memberi peringatan.

“ Kau tak payah nak bela sangat si Ann tu Man. Kau buat baik dengan Pakcik Zahid konon-konon nak tackle anak dia kan. Aku tahu kau pun ada hati kat Ann tu. Nak tunjuk baik konon.” tempelak Raimi. Air liurnya diludah ke tanah.

“ Kau tak ada hak nak nilai aku. Bukan semua orang sama. Jangan nak tabur fitnah kalau kau tak tahu apa-apa. Aku bagi warning pada kau, kalau kau sibuk bercakap yang bukan-bukan lagi aku akan bagitahu hal kau pada Pak Bakar. Dah bang, jom makan!” Keras suara Azman memberi peringatan lantas meraih bahu Benz Fahri mengajak lelaki itu beredar dari situ. Risau kalau berlama lagi pecah pula muka Raimi dia rimbok nanti. Atau Benz Fahri juga akan naik hantu. Muka lelaki tu pun dah merah padam menahan marah. Tak hairan kalau lelaki tu asah muka Raimi dengan buku lima dia nanti.

Benz Fahri yang sedang mencerun pandang ke arah Raimi tadi menoleh ke arah Azman apabila ditahan.

“ Jangan layan orang macam ni bang. Buang masa je!” ujar Azman sekali lagi.

Terkesan dengan nasihat Azman, Benz Fahri mengangkat kaki beredar dari situ. Walaupun sakit hati tetapi dia tidak mahu mengotorkan tangannya memukul Raimi. Jika dia berbuat demikian, tidak ubah perangainya juga sama seperti lelaki itu. Dia tidak mahu orang melihatnya dengan imej yang buruk. Dia perlu menjaga nama dan maruah keluarganya dari berbuat sesuatu yang tidak bermoral. Orang seperti Raimi yang bersifat sampah hanya layak dilayan seperti sampah saja.

“ Sorry bang. Perangai si Raimi tu memang gitu.” ujar Azman sebaik mereka duduk di meja hidangan untuk makan.

“ Raimi tu siapa?” soal Benz Fahri.

“ Anak saudara Cik Milah. Bekas ibu mertua Kak Manja.”

Benz Fahri mengangguk.

“ Kenapa dia macam tak suka dengan Ann?” soal Benz Fahri lagi.

“ Entahlah. Mungkin dia termakan hasutan mak saudara dia yang tak suka jugak dengan Kak Manja tu.” balas Azman.

Benz Fahri yang sedang menyuap nasi ke mulut terhenti gerakan tangannya. Wajahnya mendongak memandang Azman dengan wajah berkerut. Pelik dengan pernyataan Azman itu.

“ Mak mertua Ann tak suka Ann? Sebab apa?”

“ Saya tak pasti. Tapi memang sejak awal kahwin dengan Muqri dulu Cik Milah memang tak suka Kak Manja.”

“ Oh, dah tu kalau tak suka kenapa benarkan anak dia kahwin juga dengan Ann?”

“ Sebab Muqri tu memang tergila-gilakan Kak Manja. Jadi, Muqri pujuk Pak Bakar suruh masuk meminang Kak Manja. Pak Bakar setuju dengan harapan perangai anak dia dapat berubah walaupun Cik Milah tak suka. Mak Nah dan ayah pulak setuju sebab terhutang budi dengan Pak Bakar yang pernah selamatkan ayah masa kena serang strok dulu. Kak Manja pun bila Mak Nah dan ayah setuju dia pun ikut setuju sebab dia kata nak balas jasa baik Mak Nah dengan ayah yang besarkan dia." cerita Azman.

Setelah panjang lebar Azman bercerita Benz Fahri mulai faham kedudukan sebenar orang-orang yang pernah hadir dalam hidup isterinya. Tak sangka isterinya mempunyai kisah hidup yang sangat tragik. Dia termenung panjang memikirkan kehidupan Ann Layli sebelum ini.

“ Tak apalah bang. Abang makan la dulu. Man kenyang lagi ni.” soal Azman setelah rasa terlalu lama dia duduk berbual dengan Benz Fahri untuk menikmati makan malam itu tetapi kelibat Ann Layli langsung tak kelihatan. Matanya meliar ke sekeliling mencari susuk Ann Layli.

“ Man cari apa?” soal Benz Fahri.

“ Kak Manja mana? Tak keluar makan sekali ke?”

“ Tak. Dia penat. Tertidur lepas solat tadi.” ringkas jawapan Benz Fahri.

“ Laa..patut tak nampak. Letih sangat la tu. Dah banyak hari sibuk uruskan majlis ni.” geleng Azman sambil tersengih.

“ Yelah kut. Jom la Man teman abang berbual. Segan pulak sorang-sorang.” ajak Benz Fahri sekali lagi sambil menuang air sirap gula pandan ke dalam cawan minumannya pula.

Azman garu kepala sambil tersengih. Segan dia sebenarnya untuk menemani pengantin itu kerana mereka tidak rapat sebelum ini. Tapi melihatkan wajah Benz Fahri yang mengharap, dia akhirnya bersetuju menemani lelaki itu.

“ Yalah bang. Man teman abang sambil minum je. Man teman abang borak-borak boleh?” beritahu Azman.

“ Boleh, apa yang tak bolehnya. Boleh jugak berkenal-kenal dengan Man.” ujar Benz Fahri yang menyelesakan tubuh di bangku plastik itu selepas selesai makan.

Azman mengangguk. Dia kemudian mengeluarkan sekotak rokok dari poket baju melayunya dan diletakkan atas meja.

“ Rokok bang.” pelawa Azman.

Benz Fahri hanya tersenyum. “ Terima kasih. Abang tak merokok.” jawabnya.

“ Sorry bang. Ingatkan abang layan rokok. Atau abang hisap vape? Man ada jugak kalau abang layan vape. Nak?” ujar Azman lagi. Dia sudah berdiri berkira mahu menyeluk poket seluarnya pula mahu mengeluarkan vape.

“ Tak..takpe Man, rokok ke vape ke abang memang tak hisap.” Benz Fahri menahan tangan Azman yang baru mahu menyeluk ke poket.

“ Oh, sorry bang!” sengih Azman serba salah. Dia duduk semula. Tidak jadi akhirnya untuk menghisap rokok kerana segan dengan lelaki itu.

“ Man dah lama ke kenal dengan keluarga ayah ni?” soal Benz Fahri selepas itu.

“ Lama tak lama jugak la bang. Rasanya lepas Man habis PT3, 10 tahun lepas. Masa tu ayah baru pindah balik kampung ni.” cerita Azman.

“ Macam mana boleh kenal?”

“ Man ni anak orang susah bang. Adik-adik ada 3 orang yang masih kecil dan bersekolah waktu tu. Ayah Man, dah lama meninggal masa tu sebab sakit kanser hati. Mak pula lepas ayah meninggal, kerja sebagai tukang cuci pejabat penghulu saja. Mak ulang alik dari pekan hari-hari. Berapa sangat gaji kalau nak tanggung kami adik beradik. Man ambil keputusan nak berhenti sekolah dan bekerja. Tapi, mak tak izin. Sampailah satu hari, semasa mak balik kerja suatu petang, dia kemalangan. Mak terpaksa buat pembedahan potong sebelah kaki kirinya yang hancur digilis lori. Lepas daripada tu mak dah tak boleh bekerja. Man terpaksa berhenti sekolah sebab nak sara adik-adik dan mak yang sakit. Mulai saat tu, semua tugas ketua keluarga jatuh pada Man. Man ambil upah buat kerja-kerja kat kampung ni je. Tak boleh nak keluar kerja jauh-jauh sebab terpaksa jaga adik-adik juga. Masa ayah dan Mak Nah pindah tu, Man ambil upah kemas dan cuci rumah depa. Maklumlah ayah tak sihat dan diserang strok tiba-tiba lepas dua hari pindah ke sini, Mak Nah terpaksa upah Man jaga ayah sebab dia dan Kak Manja kena kerja. So, lama-lama hubungan kami jadi rapat. Man pun dah anggap keluarga ayah macam keluarga Man sendiri.” cerita Azman panjang lebar. Sesekali terlihat dia menyisip sirap gula pandan yang berada di dalam gelasnya di hadapan. Manakala Benz Fahri terangguk-angguk mendengar cerita Azman tersebut.

“ Bagus Man ni. Bertanggungjawab." timpal Benz Fahri tersenyum bangga. Bahu Azman ditepuknya perlahan. Dia benar-benar berbangga dengan anak muda seperti Azman. Jarang berjumpa dengan anak muda yang punyai semangat gigih yang kuat seperti itu sekarang. Sanggup korbankan pelajaran demi adik-adik dan keluarga.

“ Dah jadi tanggungjawab Man jaga keluarga bang. Lagipun ayah dengan Mak Nah baik dengan Man. Kak Manja pun sama. Man terhutang budi sangat dengan depa. Tapi Man tetap rasa bersalah dengan Kak Manja.” ujar Azman selanjutnya. Riak wajahnya bertukar muram tiba -tiba.

“ Kenapa nak rasa bersalah pula?” tanya Benz Fahri. Nasi dalam pinggan sudah habis dijamah. Menarik teko berisi air basuhan dia mencuci tangan dan mengelap mulutnya terlebih dahulu menggunakan tisu sebelum pandang wajah Azman di hadapan.

Azman menarik keluh. Kepalanya di bawa melihat kiri kanan khemah sebelum melanjutkan cerita. Memastikan tiada orang yang berada berdekatan dan menguping perbualan mereka nanti.

“ Kalau Man cerita abang janji jangan beritahu sesiapa termasuk Kak Manja. Man dah janji dengan akak takkan cerita pada sesiapa pun.” ujar Azman.

Benz Fahri angguk. “ Man boleh percaya dengan abang. Jangan risau. Kenapa? Ceritalah..” Benz Fahri meyakinkan Azman.

“ Sebab Man tahu perangai Muqri macam mana tapi Man tak ceritakan dekat Kak Manja. Kesian Kak Manja dapat suami perangai macam tu.” riak serba salah terpeta di wajah Azman.

“ Perangai macam tu!? Perangai macam mana?” berlapis kerutan di dahi Benz Fahri.

“ Man bukan nak buka aib dia. Tapi masa hayat, itulah yang dia buat. Buat benda-benda yang mungkar. Yang Allah larang. Pendek kata, semuanya nauzubillah. Sebab tu Man rasa bersalah dengan Kak Manja. Tak tahulah macam mana Kak Manja hadap perangai dia time depa kahwin tu. Tapi abang jangan salah faham pula, Man sebenarnya terpaksa buat semua tu sebab Muqri ugut Man. Dia cakap kalau Man tak tolong dia yakinkan dan pujuk akak dia nak buat benda yang tak elok dekat akak. Man takut jadi apa-apa yang buruk pada akak sebab tu Man yakinkan akak, Mak Nah dan ayah untuk terima lamaran Pak Bakar. Sejak keluarga ayah pindah balik ke kampung, Muqri hari-hari suruh Man kirim salam dengan akak. Beri hadiah kat akak. Dia memang tergila-gilakan akak. Bila Man tak ikut cakap dia, dia ugut Man lagi. Man terpaksa buat semua yang dia suruh sebab nakkan duit buat biaya ubat-ubatan mak dan belanja adik-adik. Maklumlah, dia anak orang berpengaruh kat kampung ni. Lagipun semua orang kampung ni suka dia sebab dia tak kedekut bagi duit dan tolong orang yang susah macam Man ni.” lirih nada Azman. Dia tidak suka apabila terpaksa mengingati cerita lama.

“ Kenapa Man tak suka dia minat Ann? Man ada hati pada Ann?” soal Benz Fahri ingin tahu.

Berkerut wajah Azman terkejut apabila di soal sebegitu oleh Benz Fahri.

“ Man sayang akak tu macam darah daging sendiri. Man anggap akak tu macam akak kandung Man, bang. Dia baik sangat dengan Man. Selalu tolong ajarkan adik-adik mengaji dan belajar. Ambil berat hal kebajikan adik-adik. Mak Nah dengan ayah pun sama. Mustahil Man boleh jatuh suka pada orang yang dah Man anggap macam keluarga sendiri. Lagipun Man tak suka Muqri minat akak sebab perangai dia yang berlagak kaya dan buat kerja-kerja yang terkutuk tu. Suka berbangga diri padahal semua hasil kerja dia bergantung dengan ayahnya, Pak Bakar. Maklumlah, dia anak lelaki tunggal dalam keluarga. Semua harta Pak Bakar bakal diwarisi Muqri. Lagipun, Man tak mahu hidup akak sia-sia kalau pilih dia jadi suami yang tak bertanggungjawab macam tu. Akak Tu terlalu baik untuk dipersiakan. Tapi kuasa Allah siapa yang boleh menidakkannya. Mereka tetap berkahwin akhirnya. ”

Terangguk-angguk kepala Benz Fahri mendengar penjelasan Azman.

“ Maknanya, diaorang berkahwin bukan atas dasar cinta? Bukan sebab suka sama suka?”

“ Lebih kurang macam tulah bang. Tapi lepas kahwin nampak juga la akak tu happy dengan Muqri. Nampak hubungan depa bahagia. Muqri pun berubah sikit perangai dia. Jadi Man anggap hubungan depa okey. Tapi lama-lama depa dah jarang balik kampung sampai Mak Nah dengan ayah selalu pergi sana nak jumpa akak. Mak Nah dengan ayah kata, Muqri selalu sibuk dengan syarikat kontraktor dia sebab tu jarang bawak akak balik kampung. Sampailah satu hari kami semua dapat tahu yang Muqri kemalangan kena kejar dengan Ah long dan koma hampir sebulan sebelum dia meninggal.” cerita Azman lagi.

Benz Fahri menarik keluh. Terasa berat dadanya apabila mendengar satu lagi cerita tragik dalam hidup isterinya.

Setelah selesai makan dan berborak dengan Azman, Benz Fahri minta diri untuk masuk ke dalam rumah kerana teringat akan Ann Layli yang masih tertidur dan belum menjamah makanan pun. Dia kemudiannya membawakan sepinggan nasi dan segelas air untuk isterinya. Menuju ke bilik, berhati-hati kakinya melangkah kerana risau air di dalam gelas tertumpah.

Baru separuh kaki melangkah masuk ke ruang tamu dia ditegur Hasnah yang sedang sibuk mencucuk bunga telur untuk dibuat bunga pahar bersama beberapa orang wanita di ruangan tamu itu. Hasnah merasa hairan apabila melihat menantunya menatang pinggan nasi dan gelas air menuju ke bilik.

“ Benz nak bawa makanan dengan minuman tu ke mana?” tanya Hasnah.

Terhenti langkah, Benz Fahri panggung wajah.

“ Bawa untuk Ann mak. Dia belum makan lagi.” jawab Benz Fahri.

Berkerut dahi Hasnah. Dalam kepala sudah berfikir yang bukan-bukan. Mengada betul anaknya sampai suruh suami yang menghidang. Sepatutnya dialah yang bawakan hidangan untuk suami. Belum berapa jam jadi isteri, sudah di bulinya Benz Fahri. Allah!

“ Eh, dia tak keluar lagi ke dari tadi ikut makan? Mengada pulak dia suruh Ben bawa masuk bilik!" omel Hasnah. Bunga telur yang separuh siap diletakkan ke lantai. Hasnah bangun dari duduk dan merapati Benz Fahri.

“ Tak mak. Ann tak suruh pun. Tapi Ben yang nak bawak masuk. Ben nampak dia letih sangat sebab tu Ben bawak masuk makanan ni.” jelas Benz Fahri.

“ Hmm..Manja..Manja..tak berubah perangai. Memang suka tertidur lepas solat dia tu kalau letih sangat.” beritahu Hasnah.

“ Tak apalah kalau gitu. Ben bawa jela nasi tu masuk lepastu gerak dia makan. Kalau tak gerak, alamat sampai subuh dia tidur tak sedar diri.” sambung Hasnah.

“ Ya, mak. Ben masuk dulu.”

Tidak menunggu lama, Benz Fahri beredar ke biliknya. Perlahan tubuhnya menolak pintu bilik kerana risau mengganggu lena Ann Layli.

Saat dia masuk, Ann Layli masih tertidur di atas katil. Pinggan nasi dan gelas air di bawa ke arah meja kecil yang terdapat di sebelah katil. Meletakkan makanan, dia duduk di birai menghampiri tubuh isterinya yang pegun dalam lena.

Tangannya terhulur menyentuh ubun-ubun Ann Layli lalu mengusap perlahan kepala isterinya dengan perasaan sayang. Rasa kasihnya kian bercambah setelah usai lafaz akad siang tadi. Sebelum ini dia merasa gembira apabila mendapat tahu bahawa Ann Layli adalah wanita yang selalu menjadi mainan dalam mimpi-mimpinya. Wajah seorang wanita yang sering kesedihan kerap kali datang menganggu tidur malamnya. Mulanya dia tidak mengambil peduli sehinggakan suatu hari dia di takdirkan bertembung dengan Ann Layli ketika mahu keluar dari perut lif. Pun begitu, insiden itu masih belum terkait lagi dengan mimpinya sehinggakan dia sekali lagi di takdirkan bertemu Ann Layli di mana ketika dia pulang dari Perak dan berhenti rehat di sebuah kawasan RNR negeri tersebut, tiba-tiba saja seorang wanita rebah di hadapannya dan nasib sempat dia memaut tubuh itu dari terhentak kepalanya di bin longkang. Wanita itu kemudiannya di hantar ke hospital berdekatan sehingga dia menghantar pulang ke rumahnya. Berikutan hal tersebut seterusnya pertemuan dengan Ann Layli berlangsung pula di hospital ketika dia mahu menguruskan perubatan Tan Sri Zahid dan terakhir kali dia bertemu dengan Ann Layli adalah ketika menghadiri majlis pengebumian arwah Muqri yang merupakan suami kepada wanita itu. Seterusnya, yang membuatkan jiwanya bertambah bahagia apabila mendapat tahu siapa sebenarnya seorang Ann Layli. Rupanya dialah anak kandung kepada Tan Sri Zahid bersama arwah isterinya dahulu yang terpisah sekian lama. Semenjak mendapat tahu bahawa Ann Layli adalah anak babahnya dan merupakan jodohnya sewaktu kecil Benz Fahri tidak teragak-agak menerima permintaan Zahid yang mahukan dia berkahwin dengan Ann Layli. Sesungguhnya perancangan Tuhan adalah yang sebaik baiknya apabila jodohnya adalah bersama wanita itu. Fikiran Benz Fahri jauh melayang mengingatkan cabaran cabaran yang terpaksa dilaluinya ketika menjadi tunangan wanita itu sehinggalah babah mahu mempercepatkan majlis pernikahan mereka. Dia sangat bersyukur kerana Tuhan memakbulkan doanya mahu memiliki gadis itu sebagai suri hatinya.

Dalam ayan yang panjang, lamunannya terhenti apabila terasa ada gerakan pada tubuh isterinya. Mata di bawa berkalih pada tubuh di hadapan dan terlihat Ann Layli sedang mengerjapkan matanya beberapa kali sebelum kelam kabut bangun duduk seraya mencapai bantal lalu menekup rambutnya yang sudah Benz Fahri leraikan ikatan rambut itu di awal tadi. Wajah Ann Layli panik dan penuh cemas kerana terkejut melihat seorang lelaki di dalam bilik tidurnya. Ann Layli terjerit kecil sebaik melihat susuk Benz Fahri berada dekat di sebelahnya.

“ Arghh..Ben..awak buat apa kat bilik ni?” soalnya mamai. Nada suaranya sedikit meninggi kerana terkejut melihat ada lelaki di dalam biliknya.

Dan itu membuatkan Benz Fahri diterpa rasa bersalah kerana hanyut dalam lamunannya sehinggakan terlupa mahu mengejutkan Ann Layli untuk bangun dari tidur. Dengan pantas, dia menjarakkan kedudukan dan cuba menjelaskan.

“ Ini abanglah. Suami Ann. Sayang lupa ke kita baru je bernikah siang tadi!”

Ann Layli tarik nafas lega sebaik mendengar penjelasan Benz Fahri itu. Tetapi sekali lagi membuatkan dia cemas kerana seingatnya sebelum dia terlena tadi dia sedang berpelukan dengan Benz Fahri di atas tikar sejadah. Matanya di bawa ke arah hadapan dan terlihat tikar sejadah yang masih terbentang elok di atas karpet itu. Allah! Betullah dia tertidur sampai lupa apa yang jadi sebelum ni. Mengingatkan itu, dia menjadi malu apatahlagi menyedari yang dirinya sedang elok terbaring di atas katil. Sudah pasti Benz Fahri yang membawanya ke situ.

Benz Fahri yang sedar isterinya baru mengingati kejadian sebelumnya pantas mencapai bantal yang menjadi alas tutup kepala Ann Layli tadi.

“ Meh bantal ni. Yang tutup kepala kenapa? Bukannya ada orang lain pun.”

Ann Layli sekali lagi menjadi keras kejung kerana baru teringat bantal yang dipegangnya itu. Rambutnya yang terlepas bebas kelihatan keluar dari celah bantal membuatkan dia rasa mahu menyorokkan wajah ke dalam almari. Malu apabila dilihat suaminya.

Ann Layli tidak membenarkan Benz Fahri mencapai bantal tersebut langsung dia melarikan sedikit tubuhnya membuatkan Benz Fahri berkerut hairan.

“ Nak ke mana pula tu!?” tanya Benz Fahri.

“ Err..nak pergi makan.” dalihnya. Padahal mahu mengelak dari Benz Fahri dari terus melihatnya dalam keadaan tidak bertudung itu. Dia masih segan dan tak biasa dengan Benz Fahri walaupun tadi sempat dia membalas pelukan suaminya ketika larut dalam perasaan sedih. Perlahan mata Ann Layli meliar mencari telekungnya tadi. Membulat matanya sebaik melihat telekungnya sudah elok tergantung di penyidai di hadapan katil. Dia berfikir sejenak bagaimana mahu keluar dari bilik itu dari terus bertatapan dengan suaminya. Perasaan segan dan malu berterusan mengasak dirinya ketika itu.

Benz Fahri naik ke atas katil lalu menarik lembut tangan Ann Layli. Dia tersenyum melihat gelagat isterinya yang berada di dalam keadaan panik itu.

“ Abang dah sediakan makanan untuk sayang. Jom makan. Bantal tu bak sini kat abang. Tak payah rasa segan atau malu sebab tak pakai tudung tu. Abang ni suami sayang. Kita dah halal antara satu sama lain.” ujar Benz Fahri seraya menarik bantal di dalam pegangan isterinya lalu diletakkan di sebelah. Ann Layli terpaksa akur dengan tindakan suaminya itu.

Mengambil pinggan makan, di bawa ke hadapan Ann Layli. Wajah isterinya ditatap penuh

“ Jom abang suap. Baca doa dulu.” arahnya.

Ann Layli terpinga-pinga melihat pinggan makanan di dalam pegangan Benz Fahri. Ish, dia ada tangan la buat apa nak suap-suap bagai. Ann Layli bermonolog di dalam hati. Mahu mengambil pinggan makan tersebut tetapi cepat di bawa lari pinggan itu oleh Benz Fahri.

“ No, abang suap. Cepat buka mulut.”

“ Tak apa, saya suap sendiri." elaknya.

“ Sayang cakap sayang tak sempurna..inilah masanya. Biar abang yang sempurna pada pandangan sayang ni untuk entertain sayang. Can you give a chances for me to be a better husband?Please, abang suap ya.” lembut nadanya memujuk.

“ Tak apa, saya boleh suap sendiri. Dah la makan atas katil ni. Saya tak selesa.” dalihnya lagi walau hati tersentuh dengan pernyataan itu.

“ Apa salahnya kalau abang suap? Atau sayang nak abang suap guna mulut abang direct terus ke mulut sayang. Boleh je, no hal.” selamba Benz Fahri menyuapkan sesudu ke mulutnya sendiri setelah membaca bismillah. Lalu ingin mendekatkan wajahnya ke wajah Ann Layli.

Ann Layli sudah terjegil biji mata. Wajahnya di larikan. Terkejut dengan kata-kata dan tindakan spontan Benz Fahri itu cepat dia menggeleng. Risau bibirnya disambar Benz Fahri apabila melihat lelaki itu benar-benar memaksudkan katanya. Aduh! Suaminya ini memang diktator betul!

Ann Layli mengeluh. Hendak tak hendak dia terpaksa mengikut permintaan suaminya. Dia akur akhirnya.

“ Okey saya makan. Tapi suap guna sudu je.” sempat dia memberi syarat.

Tangan diangkat membaca doa sebelum mulutnya di buka menanti suapan Benz Fahri.

Benz Fahri tersenyum kemenangan lantas menyua sudu ke mulut Ann Layli namun belum pun sempat makanan memasuki mulut itu, isterinya menutup mulutnya kembali.

“ Kenapa?" soal Benz Fahri pelik.

“ Saya belum basuh muka dan gosok gigi la. Kan baru bangun tidur ni.” cembeng wajah Ann Layli menjelaskan. Dia berkira mahu merangkak turun dari katil untuk membasuh mukanya namun ditahan Benz Fahri.

“ Sayang tu terlelap aje tadi. Setengah jam pun tak sampai. Tahi mata pun tak sempat bertempel. Air liur pun tak sempat meleleh. Makan aje.” ujar Benz Fahri.

Mengerucut mulut Ann Layli mendengar ucapan Benz Fahri membuatkan perasaan wanita itu sebal.

“ Cuba senyum sikit. Abang suap makan aje pun bukannya buli sayang.” tegur Benz Fahri lalu cepat menyuakan sudu ditangannya semula ke arah Ann Layli dan wanita itu akhirnya menerima suapan demi suapan sehingga nasi di dalam pinggan itu licin.

******

Keesokkan harinya, pasangan berdua itu masih sibuk dengan majlis persandingan di rumah Hasnah dan Zahid. Majlis persandingan itu ternyata meriah dengan kehadiran para tetamu jemputan.

Hasnah dan Zahid tersenyum ceria menyambut kedatangan para tetamu ke majlis itu.

Ann Layli sekali lagi dirias cantik oleh Dina dan pembantunya supaya nampak cocok dengan pasangannya iaitu Benz Fahri yang tentunya tampan persis putera raja.

Bersanding meriah di atas pelamin yang berkonsepkan taman bunga, kedua pengantin itu terutamanya Ann Layli dipaksa agar tersenyum gembira. Paduan warna krim dan merah jambu membuatkan seri pengantin antara mereka sangat jelas kelihatan. Mengenakan pakaian songket berwarna emas, Benz Fahri dan Ann Layli kelihatan sungguh rupawan bak raja dan permaisuri di singgahsana.

Ann Layli dipaksa memaniskan wajah ketika bersanding bersama suami barunya. Dina si mak andam sentiasa memainkan peranan menyuruh dan menjaga perlakuan Ann Layli yang bagaikan patung tegak di pentas peragaan. Bimbang wajah seperti itu bakal mencacatkan momen indah di majlis bahagia mereka.

Manakan tidak, dia memang tidak punyai hati untuk bersanding dalam upacara perkahwinan keduanya itu tetapi Hasnah tetap beria-ia. Bimbang mendapat kejian orang yang mengatakan dia perempuan terdesak kerana cepat mengahwini lelaki lain sedangkan dia baru habis edah. Dan yang membuatkan dia hilang kata untuk membantah dengan cadangan Hasnah adalah Benz Fahri. Lelaki itut bersetuju dan menurut saja kemahuan Hasnah. Membuatkan dia akhirnya terpaksa menerima pujukan Hasnah. Lagian, dia berasa lebih segan kerana perkahwinan kali kedua ini, tetap juga Hasnah membuat kenduri besar-besaran. Kata Hasnah, dia teruja menyambut menantu kaya dan kacak seperti Benz Fahri. Aduh, mak!
Setelah upacara persandingan selesai, kedua pengantin di bawa ke meja santapan pula. Seluruh ahli keluarga Benz Fahri hadir ke majlis perkahwinan itu dan dilayan istimewa ketika menemani pasangan pengantin yang seperti pinang di belah dua itu menikmati makanan di meja hidangan.

Kelihatan Ruhana tersenyum panjang melihat anak terunanya yang segak dan tampan itu telah menamatkan zaman bujangnya walaupun bukan dengan wanita pilihannya tetapi dia cukup berbangga dengan anak itu kerana begitu menghormatinya dan Tan Sri Zahid yang mengharapkan anak itu bernikah dengan pilihan mereka. Dia berharap jodoh anak itu berkekalan sepanjang hayat.

Usai di meja santapan, pasangan itu di biarkan santai beramah mesra dengan ahli keluarga yang jauh dan tetamu yang hadir di majlis itu sebelum melalui upacara seterusnya iaitu mengikuti aktiviti fotoshoot secara outdoor pula.

“ Nak pergi mana tu cik kak?” panggil Dina dengan nada tinggi. Memicing matanya melihat susuk Ann Layli yang sudah mahu masuk ke dalam rumah. Tak lain kerana mahu melarikan diri serta menyorok dari bertemu dengan ramai orang.

“ Err..” Ann Layli garu kepalanya yang tak gatal sambil tersengih serba salah.

“ Kau jangan nak lari ya Ann? Kita nak gerak pergi fotoshoot dah ni.” Dina memberi amaran.

“ Ala kena pergi ke? Kalau tak pergi tak boleh ke? Aku penat dah ni!” dalih Ann Layli.

“ Tak boleh. Kau jangan buat hal. Mak Nah dah bayar aku package sekali dengan fotoshoot ni. Photographer aku dah tunggu tu. Cepat pergi panggil cik abang kau!” arah Dina. Ann Layli menarik wajah masam. Sempat Dina memujuk dia selepas itu dan akhirnya dia bersetuju meneruskan sesi bergambar tersebut.

Sesi fotoshoot itu dapat dijalankan secara outdoor berikutan cuaca redup di sebelah petang mengizinkan. Pihak photography telah memilih kawasan tasik semula jadi yang berhampiran kawasan kampung Ann Layli, untuk mengadakan sesi fotoshoot tersebut. Aktiviti bergambar pasangan pengantin itu berlalu dengan penuh dramatik.

“ Kak, tangan tu peluk rapat sikit. Lepastu, kepala tu angkat setentang dahi abang macam ni.” arah Hafizul dengan menunjukkan gaya yang dia mahukan sebelum menangkap gambar momen bahagia pasangan itu.

Terketar tangan Ann Layli memeluk rapat pinggang Benz Fahri secara berhadapan dengan wajahnya setentang wajah Benz Fahri. Nafasnya juga terasa mahu berhenti menghela berikutan hidung mancung lelaki itu bergesel dengan puncak hidungnya. Dadanya berdetak laju. Malah dia hampir lemas dengan pandangan redup suaminya itu.

Aduh, kenapa la ada sesi bergambar macam ni!

“ Yes, that angle!” teriak Hafizul sambil memetik jarinya.

Pantas tangan Hafizul merakam babak romantik tersebut ke dalam lensa kamera DSLR-nya.

Sesekali pembantu Dina iaitu Janna datang mengelap peluh yang merenik di dahi Ann Layli dan membetulkan nett kepala Ann Layli yang panjang meleret di tanah.

“ Kita amik shoot menghadap tasik pulak! Okay sedia eh. Abang tangan tu letak belakang pinggang akak.”

Benz Fahri menurut. Tangan kirinya diletakkan di pinggang isterinya dengan kedua tubuh mengiring 90 darjah menghadap tasik yang damai di depan. Wajah sipi Ann Layli sedikit kelihatan dari pandangan belakang.

“ Haa gitu...tapi bahu tu bersentuh sikit. Dada abang pulak toughkan 45 darjah ke depan. Hidung hala ke telinga akak. Tunduk 10 darjah. Sebab nak ambil angle cahaya matahari terbenam dekat depan tu. Allah, jauh-jauh tu nak pergi mana bang. Saya nak amik aksi romantik ni!” komen Hafizul lagi dengan gelengan kepala apabila nampak sedikit jarak antara pasangan tersebut. Tubuhnya turut di ubah ke arah kedudukan 120 darjah dari sudut berdirinya pasangan pengantin yang menghala ke arah tasik itu di bahagian belakang.

“ Akak, muka tu dongak and hala ke kiri sikit..lepastu buat macam menjeling tu. Tangan yang pegang bunga tu angkat 40 darjah separas bahu!” Hafizul turut mengarah Ann Layli.

Benz Fahri menurut arahan Hafizul. Tangannya diperkemaskan lekapan pada pinggang Ann Layli dan bahunya di bawa rapat ke belakang badan isterinya sehingga dia dapat merasakan debaran jantung isterinya yang berdegup laju. Senyumannya mengembang tidak semena. Bahagia.

Ann Layli pula yang sudah hampir lima enam minit beraksi seperti yang disyorkan Hafizul mula berdecit malas. Namun, perasaan segan lebih mendominasi diri kerana aura sang beku suaminya sebelum ini sudah bertukar kepada mod terlebih mesra. Jika dahulu memandang wajah itu tidak membuatkan dia berasa apa-apa selain takut kerana riak itu sentiasa tegang dan terlihat beku. Untuk memandang wajahnya juga seperti tidak sudi. Kini, wajah itu mudah saja tersenyum dan tersengih malah tidak segan silu bermesra dengannya. Apa sudah jadi? Benz Fahri tertelan pink lady ke? Haru!

“ Lenguh..Cepatlah sikit. Banyak betul komen budak ni..” suaranya halus berdecit kedengaran di cuping telinga Benz Fahri. Tidak kalah mulutnya juga ikut sama diherotkan ke kiri dan kanan walaupun masih juga mengikuti arahan Hafizul di belakang. Segala urat sarafnya bergetar kini. Terasa semua sendi kaki juga hampir bergegar saat dipeluk Benz Fahri dan itu membuatkan rona wajahnya berubah sedikit demi sedikit menjadi merah kerana bersentuhan rapat di dalam separa pelukan lelaki itu.

“ Sayang comel sangat bila buat mulut macam tu.Jangan sampai abang kiss nanti.” usik Benz Fahri nakal. Bahagia dia rasa dapat memandang wajah polos Ann Layli ketika itu.

Ann Layli menjeling sebal walaupun dalam hati terasa mahu menjerit takut kerana aura warden penjara itu sudah bertukar kepada aura kasanova kelas pertama. Oh no!

“ Okay done!” laung Hafizul setelah dapat menangkap posisi yang dia mahukan. Cahaya matahari yang hampir terbenam bersilau indah menerobosi celahan wajah keduanya membuatkan Hafizul tersenyum suka kerana dapat merakamkan aksi tersebut. Dia yakin, setelah siap di edit nanti, aksi itu akan menjadi gambar yang paling cantik antara gambar yang ada.

Benz Fahri dan Ann Layli akhirnya berpusing dan menuju ke meja rehat di mana terdapat Dina dan seorang lagi pembantunya di situ.

“ One more kak, abang. Kali ni kita buat gambar candid pulak.” pinta Hafizul sebaik kedua mereka sampai ke situ.

Benz Fahri jungkit bahu. “ Up to you!”

Ann Layli yang sudah duduk di atas kerusi lipat yang di bawa Dina sebagai kelengkapan bergambar ketika sesi fotoshoot tersebut mencemikkan wajah. Pandang Dina dia bersoal dengan mak andam itu tidak menghiraukan kata-kata Hafizul.

“ Dina banyak lagi ke angle budak kau ni! Aku letih dah la. Kejung badan aku ikut ‘styling pose’ dia.” rungut Ann Layli.

“ Ala kau ni tak sporting betul lah. Sekali seumur hidup kut. Relax la. Chill sikit. Ini tidak, sikit-sikit nak sentap. Orang lain happy tau nak buat wedding photoshoot semua ni. Kau dari tadi kerja nak mengelak je. Kau tahu tak momen ni akan dikenang sepanjang hayat dalam perkahwinan!” tegas Dina memberi nasihat.

“ Masalahnya aku kahwin dah dua kali. Segan kau tahu tak. Lagipun dah tak valid la nak simpan album gambar-gambar semua ni. Aku rakam dalam kepala je nanti.”

“ Itulah kau, kalau aku cakap kau marah. Seganlah, malu lah. Masalahnya kau dah kahwin. Dah sah. Dapat husband pun bukannya suami orang ke tunang orang ke. Husband kau tu anak teruna tahu tak. Satu kampung Mak Nah dah canang anak dia kahwin dengan anak teruna. Kau nak hairan apa! Lantaklah orang nak cakap and fikir apa pun. Sibuk sangat fikir halnorang dari hal sendiri. Lagipun, masa kau kahwin dengan Muqri dulu kau ingat tak kau cakap apa dengan aku. Kau tak nak ambil gambar kahwin sebab Muqri tak suka bergambar. Sekarang ni husband kau okay je bila Mak Nah ambil package kahwin sekali dengan sesi wedding photoshoot ni. Kau tu je nak meroyan tak tentu pasal.” tazkirah Dina panjang lebar.

Benz Fahri yang berdiri tegak di belakang Ann Layli menanti isterinya menghilangkan penat sebentar hanya tersenyum mendengar tazkirah Dina tersebut. Hampir dia ketawa melihat wajah Ann Layli yang sudah bertukar cemberut dan masam tu!

“ Bang, akak jom shoot sekali lagi. Ni last one.” panggil Hafizul dari kawasan batang pokok tumbang yang tak jauh dari tepi tasik dan meja rehat itu. Dia kira, angle yang berlatar belakangkan tasik dan area pokok tumbang itu juga akan menjadi gambar yang cantik nanti.

“ Sekejap dik, tunggu wife abang rehat lima minit. Kejap lagi kita sambung balik.” ujar Benz Fahri ke arah Hafizul.

“ Boleh bang, boleh..tak ada masalah." balas Hafizul memberi pasangan itu masa.

“ Minum air dulu sayang. Ann nampak penat sangat tu.” ujar Benz Fahri seraya menghulurkan botol air mineral kepada isterinya.

Ann Layli melangut ke atas saat dipanggil suaminya. Melihat botol air mineral berisipadu 25 ml itu lalu menyambutnya serta mengucapkan terima kasih sebelum membawanya ke mulut. Hati yang mendongkol geram diceramahkan Dina tadi harus dibasahi dengan air mineral agar menjadi sejuk semula.

“ Thanks.”

Klik! Klik!

Seketika kedua pasangan itu terpanar apabila lampu dari lensa kamera milik Hafizul menyambar wajah mereka membuatkan keduanya menoleh serentak.

“ Nice angle!” teriak Hafizul seraya mengangkat ibu jari tangannya ke arah pasangan itu.

“ Bukan tadi abang mintak rest 5 minit ke?” soal Benz Fahri.

“ Sorry bang. Angle tu cantik sangat so saya candid la.” sengih Hafizul.

“ Oh..okey.” sengih Benz Fahri.

Ann Layli yang sudah meneguk air mineral itu menjeling Hafizul sebal. Geram kerana tak menyempat nak beri dia peluang berehat sebentar.

“ Sayang okay? Penat lagi ke?” soal Benz Fahri prihatin. Tangannya mengesat sisa air mineral yang tersisa di hujung bibir isterinya lantas tangan kiri di bawa menyentuh pundak kepala isterinya. Wajah itu walaupun kelihatan berseri ditutupi solekan namun tetap terpeta riak kelelahan. Benz Fahri jatuh kasihan.

Dan sekali lagi pancaran cahaya dari lensa kamera DSLR Hafizul sempat merakam babak mesra tersebut.

Hafizul tersenyum ceria setelah dapat mengambil gambar candid kedua. Nyata, mengambil gambar candid pasangan pengantin lebih mudah berbanding mengambil gambar posisi menurutnya.

Benz Fahri dan Ann Layli sudah malas menegah Hafizul agar tidak mengambil gambar mereka ketika sesi rehat itu berlangsung.

Mengambil air mineral yang sudah tinggal separuh dari tangan Ann Layli, Benz Fahri membawa ke mulutnya pula. Belum pun sempat mencecah bibir, terdengar Ann Layli berteriak.

“ Abang!” Ann Layli kaget dek perlakuan sang suaminya. Tangannya terhulur mahu menarik botol air tersebut tetapi terhenti di tengah angin kerana pancaran cahaya lampu flash DSLR Hafizul sekali lagi merakam babak spontan pasangan itu.

Ann Layli serta Benz Fahri sedar tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana keduanya lebih sibuk terhadap botol air yang sudah dalam pegangan Benz Fahri itu. Belum pun sempat Ann Layli mencapai botol air itu, Benz Fahri meneguknya rakus sehingga tidak tersisa sedikit pun.

“ Kenapa?” terpinga-pinga Benz Fahri memandang isterinya setelah selesai meneguk air.

“ Itu air minuman saya. Kenapa minum bekas saya?” keluh Ann Layli. Kecewa apabila tidak sempat menahan botol air itu dari di minum suaminya.

Benz Fahri kerut dahi. Matanya menala ke arah botol air di tangan dan berselang dengan wajah Ann Layli. Hairan namun sejenak saja sebelum dia sedar sesuatu dan tersengih suka. Idea nakal kembali terbit di fikiran.

“ Tak apa, kongsi botol air je pun. Tak ada masalah. Manatahu bekas mulut sayang ni buat sayang addicted nak cium abang pulak. Boleh kita kongsi nafas sama-sama.” Benz Fahri mengenyit matanya seraya mendekatkan bibirnya ke telinga Ann Layli. Monoton suaranya direndahkan seperti berbisik agar tidak kedengaran di pendengaran Dina yang turut berada di meja itu.

Hafizul yang masih dalam keadaan mod bersedia dengan lensa DSLR itu sekali lagi merakam babak mesra pengantin baru itu.

Ann Layli menggumam sebal. “ In your dreams!" ujarnya geram. Geram dengan Hafizul juga kerana tidak sudah merakam gambar candid mereka.

Benz Fahri tersenyum senang melihat mod marah-marah-manja isterinya. Sedikit pun dia tidak ambil hati kerana faham Ann Layli yang sudah kepenatan itu. Tentu emosi isterinya yang lelah itu terganggu dan menyebabkan mod swing itu terjadi.

Setelah hampir menginjak senja barulah mereka semua pulang ke rumah. Dina serta pembantunya menaiki kereta berasingan dengan mereka. Ann Layli sempat terlelap seketika di dalam kereta walaupun jarak antara rumah dan kawasan photoshoot itu tidaklah jauh mana. Mengambil masa hanya sepuluh minit jika berkereta. Tetapi di sebabkan kantuk yang menyerang dan tubuh yang begitu penat membuatkan dia terlelap begitu saja.

Benz Fahri diam-diam memerhati wajah lena isterinya yang keletihan itu ketika menghentikan kereta sebentar di persimpangan lampu isyarat. Mengelus seketika pipi bersih isterinya, dia tersenyum bahagia kerana wanita yang seringkali menjadi igauannya kini di dalam taklukan dan jajahan sahnya. Dia bersyukur kerana Allah mengurniakan bidadari syurga itu buatnya. Harapannya semoga perkahwinan itu kekal dan sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience