“ Maaf kak, Ann tak sepatutnya susahkan akak. Tapi Ann betul-betul tak ada tempat nak pergi. Mak mertua Ann dah halau Ann. Ann nak minta jasa baik akak tumpangkan Ann sekejap sementara Ann cari rumah atau bilik sewa.” dengan wajah sendu Ann Layli terpaksa menceritakan semua perkara. Meskipun saat itu, wajahnya telah bertukar rona. Malu sekali mahu menceritakan asbab dia dihalau si ibu mertua. Namun, pilihan apa yang dia ada selain meraih pertolongan dari seorang sahabat yang baru dikenali itu.
Hani Wardah bangun dari duduk. Dia merapati Ann Layli yang masih bersembap muka. Mungkin terlalu banyak menangis. Bahu Ann Layli diraih dan digosok perlahan memberi ketenangan.
“ Sabar ya Ann. Akak tahu Ann kuat. Allah akan sentiasa bersama orang yang teraniya. Tak apalah, buat sementara waktu Ann duduk sini dulu. Tak perlu nak fikir apa-apa. Apa yang penting sekarang Ann kena pandang masa depan Ann. Ann masih muda lagi. Jangan sebab hal remeh seperti ni boleh buatkan hidup Ann bertambah teruk dan buruk. Kena percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah hilangkan sesuatu hari ini sebab nak gantikan sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya. Okay.” nasihat Hani Wardah penuh hemah. Walaupun pada awal tadi dia sedikit ragu-ragu kerana kehadiran wanita itu disebabkan dia baru mengetahui hubungan Ann Layli dengan suaminya dahulu.
Tetapi mungkin kerana Allah telah menetapkan dan menjadikan sekeping hati miliknya itu sangat baik dan bersih malah sangat lembut lalu membuatkan dia tak bisa berdendam dan beriri hati dengan wanita itu. Baginya urusan hati mereka itu telah menjadi sebuah kenangan yang lepas. Tak perlu lagi untuk diungkit. Malah, di tolak ke tepi perasaan ragu dan kecewa itu. Niatnya hanya ingin membantu rakan yang berada dalam kesusahan. Memikirkan jika dia diuji sebegitu hebat seperti Ann Layli pastinya dia tidak mampu untuk mengharunginya seperti wanita itu.
“ Ye kak. Terima kasih kerana beri semangat pada Ann. Kalau tak ada akak, tak tahulah apa nak jadi pada Ann. Buat masa sekarang Ann memang tak mahu susahkan mak dan abah Ann di kampung. Mak dah cukup terbeban dengan masalah kesihatan abah. Kalau Ann balik ke sana bertambah masalah mak nanti. Tapi, akak beritahulah suami akak dulu. Nanti apa kata dia pulak. Niat Ann nak tumpang sini sementara je. Ann janji dapat kerja Ann akan pindah tempat lain.”
“ Tak perlu nak berterima kasih ke apa. Akak senang hati ada Ann teman akak. Tak adalah akak boring sangat dekat rumah. Pasal suami akak tu tak payahlah Ann risau, kejap lagi akak beritahu dia. Sekarang Ann pergilah bersiap kita keluar makan. Kalau nak masak pun barang dapur semua dah habis. Alang-alang kita keluar makan boleh Ann ikut akak beli barang dapur sekali. Abang Ajai dah tiga hari outstation ke Kedah. Lusa baru balik. Kalau nak tunggu dia alamatnya kebulur kita.” ujar Hani Wardah.
“ Bolehlah. Lagipun Ann pun nak cari barang sikit. Terima kasih banyak kak. Allah saja yang dapat balas jasa akak sekeluarga.” balas Ann Layli. Dia bersyukur sangat kerana masih ada lagi insan yang baik hati membantunya ketika di dalam masalah. Kalau tidak ada Hani Wardah kemana sajalah dia mahu membawa diri.
***********
“ Bonda buat apa tu?” soal Sharifah Julia sebaik masuk ke dalam ruangan dapur. Peti ais dia tuju. Membuka ruangan sejuk beku itu lalu mengeluarkan sekampit plastik berisi frozen mini karipap. Di bawa ke sinki untuk di nyah bekukan. Dia kembali menghampiri Puan Ruhana yang berada di meja island di tengah-tengah ruangan dapur bersama sekotak susu berperisa coklat.
“ Tak buat apa pun. Bonda ada ternampak dekat tv tadi resipi ni, jadi nak cubalah. Tak tahulah jadi ke tidak.” balas Puan Ruhana sambil menilik kertas resepi yang sempat dia tulis semasa program masakan tadi disiarkan.
“ Resepi apa?” soal Sharifah Julia lagi. Dia sedikit menjenguk ke arah kertas yang ditilik Puan Ruhana. Tetapi akibat tulisan Puan Ruhana yang bersambung menyebabkan dia sukar untuk membaca isi kandungan tersebut.
“ Bonda nak buat cream puff kastard. Rasa teringin nak makan. Dulu arwah adik ipar bonda pernah buatkan. Katanya resepi turun temurun keluarga. Keluarga Syed Sharifah. Adik kepada mummy Lia.” jawab Puan Ruhana.
“ Ohh.. Bonda nak Lia tolong ke?” tanya Sharifah Julia.
“ Lia tak sibuk ke? Kalau Lia tak free tak apalah. Bonda buat sendiri aje.”
“ Lia free je ni. Bukan ada kerja sangat pun. Lia turun ni pun sebab lapar. Tu nak goreng karipap mini frozen tu. Alang-alang nampak bonda kat sini Lia joinlah sekaki,” sengih Sharifah Julia.
“ Okaylah kalau macam tu. Jom kita start buat sekarang. Kejap lagi kalau Tiar dengan Ben balik boleh makan dah rasanya.” tukas Puan Ruhana seraya mengerling jam dinding yang terdapat di ruangan dapur itu. Angka sudah menginjak ke pukul tiga empat puluh lima minit petang. Sempat lagi ni! Detik hati Puan Ruhana.
Puan Ruhana dan Sharifah mula menjalankan misi mereka. Mereka berbahagi tugas untuk menjayakan misi memasak itu. Sharifah Julia mula mengeluarkan bahan yang diperlukan setelah Puan Ruhana memintanya berbuat begitu. Laju saja kakinya melangkah menghampiri kabinet penyimpanan bahan kering dan mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan apabila disebut oleh Puan Ruhana. Manakala Puan Ruhana pula menyiapkan perkakasan untuk memasak dan membuat cream puff tersebut. Beberapa ketika aktiviti membuat cream puff mereka berjalan lancar sehinggalah Sharifah Julia melihat riak ketidakpuasan di wajah ibu mertuanya.
“ Kenapa bonda?”soal Sharifah Julia apabila terlihat wajah Puan Ruhana yang sedikit berkerut setelah merasa bahan makanannya itu.
“ Cer Lia rasa okey ke tak? Bonda rasa macam ada yang kurang ni.” sambil menyudu sedikit hujung sudu tadi lalu disuakan ke arah mulut Sharifah Julia.
Wanita itu mencicipnya perlahan-lahan. Dengan seluruh deria rasa yang ada di lidahnya Sharifah Julia cuba menginterpertasi bahan masakan itu.
“ Macam kurang susu. Tapi bonda sukat bahan-bahan tadi ikut sukatan ke tak?”
“ Itulah bonda pun rasa macam kurang susu. Sebab tak rasa lemak sangatkan! Semua bonda sukat ikut sukatan dia.” balas Puan Ruhana. Dia mengeluh sendirian apabila rasa masakannya tak menepati selera di tekak.
“ Mungkin pemilik asal resepi ni tak suka berlemak sangat kut. Tak apalah bonda, bonda cuba tambah sikit lagi susu. Mana tahu boleh rasa sama yang macam tekak kita nak.” cadang Sharifah Julia lalu menghulurkan kotak susu full cream yang masih berbaki pada awal penggunaan tadi.
“ Boleh ke? Takut nanti tak jadi pulak krim ni.” balas Puan Ruhana berkerut dahi sambil memandang Sharifah Julia risau.
“ Boleh apa salahnya. Lagipun ini sos saja. Kalau tercair sikit pun tak apa asalkan rasanya sedap di tekak.”
“ Oh baiklah. Bonda cuba ye, harap-harap menjadi kali ini.” Puan Ruhana memegang dadanya yang sedikit berdebar. Risau tak jadi, tapi dek kata-kata semangat dari si menantu Puan Ruhana mengaggahkan tanggannya juga lalu tangan kanannya menarik kotak susu yang berlebihan mungkin satu pertiga baki lagi. Dengan berhati-hati dia menuang isi susu di tangan. Apabila telah bertambah isipadu sos kastard tersebut kelihatan sedikit asap dari periuk yang dah tersedia sos creampuff itu. Ianya mula naik berkepul. Dan bauannya menyeruak serata dapur setelah penggunaan esen vanilla turut ditambah ke dalam masakan itu.
“ Insha Allah jadi bonda. Kita yang buat dia bukan dia buat kita. Level konfiden tu kena tinggi sikit.” usik Sharifah Julia. Tangannya naik mengelus lembut lengan si ibu mertua.
Dengan lafaz bismillah Puan Ruhana memulakan pengacauan di mulut periuk itu. Sosnya bertambah mendidih saat itu. Setelah beberapa minit mengacau dia menutup api masakan untuk memberi kesejukkan kepada sos tersebut sebelum dipaipkan ke dalam cream puff.
Sementara itu, Sharifah Julia menuju ke arah sinki. Mencapai paket karipap frozen yang telah di nyah beku itu dia memulakan misi menggoreng makanan segera itu pula. Usai, dia membawa hidangan itu ke arah meja makan. Dia kembali menghampiri Puan Ruhana di meja island.
“ Dah siap ke bonda?” soalnya apabila melihat Puan Ruhana sedang memaipkan cream puff yang terakhir itu.
“ Ini yang last. Siap dah ni. Ya Allah Lia, kecur liur bonda nak rasa creampuff ni. Tak sabar nak makan.” teruja Puan Ruhana melihat hasil pembuatan cream puffnya yang tergolek comel di dalam pinggan. Sharifah Julia tergelak melihat kerenah ibu mertuanya itu. Dia juga tak sabar untuk merasa cream puff yang nampak sangat menyelerakan itu.
“ Ye bonda, Lia pun tak sabar nak rasa. Mesti sedap. Bonda masak tak pernah tak sedap.” puji Sharifah Julia sambil memaut bahu ibu mertuanya itu.
“ Yelah tu, pandai aje Lia bodek bonda kan!” usik Puan Ruhana pula. Tersengih hingga ke telinga apabila dia mendengar pujian menantu perempuannya itu. Apa-apa pun dia sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang menantu yang baik hati seperti Sharifah Julia.
“ Ada apa-apa yang boleh Lia bantu bonda lagi ke?" soal Sharifah Julia.
“ Oh, Lia tolong bonda buat air dulu. Buatkan vanilla chai. Petang-petang macam ni sedap pekena vanilla chai dengan pastry kita. Bonda nak kemas dan bersihkan barang-barang masak sekejap. Mesti kejap lagi Tiar dengan Ben balik nak makan.” tambah Puan Ruhana lalu menatang beberapa bekas penyedian cream puff di awal tadi.
“ Okey boleh.” balasnya. Tanpa berlengah dia menuju ke rak penyimpanan cawan dan teko di dapur itu. Mencapai teko porcelin di bawanya ke arah kaunter dapur basah. Oh, heavennya dapat pekena vanilla chai! Dah lama tak minum ni, desis hati Sharifah Julia. Dengan cekap, Sharifah Julia membancuh air kegemaran mereka sekeluarga.
Sedang Sharifah Julia ralit membancuh air, tiba-tiba ada pergelangan tangan yang memeluknya dari belakang. Sharifah Julia tersengih. Walau tidak melihat siapa gerangan tersebut dia sudah tahu. Ini kerana bauan segar dari minyak wangi sang suaminya itu telah sebati di rongga hidungnya membuatkan dia mengenali dan mengecam gerangan itu. Tentunya tangan kekar milik suaminya Megat Bakhtiar yang baru pulang dari ofis.
“ Abang dah balik.” tutur Sharifah Julia. Seraya meletakkan sudu ke atas kaunter kabinet dia berpaling dan melemparkan senyuman paling manis buat suaminya dan dibalas kucupan singkat di dahinya. Megat Bakhtiar mengangguk lalu meleraikan pelukan di pinggang isterinya.
“ Baru sampai je. Tengok sayang tak ada dekat ruang depan abang agaklah sayang dekat sini.” ujar Megat Bakhtiar dan mereka berjalan beriringan ke arah meja makan.
“ Lia lapar tadi. So, datang dapur nak cari something.” terangnya buat suami.
Mereka melabuhkan duduk di meja makan tersebut sambil Sharifah Julia membukakan tali leher yang masih terlilit di leher kemeja suaminya. Memang itu menjadi rutin harian dirinya apabila menyambut kepulangan Megat Bakhtiar dari ofis. Suaminya itu pula memang sudah sebati dengan layanan istemewa yang diberikannya. Bukan suaminya tidak boleh membukanya sendiri tetapi Sharifah Julia yang mahu membuatnya dengan rela hati. Katanya dia mahu membuat lebih pahala buat sang suami. Jadi Megat Bakhtiar akur sahaja kehendak isterinya.
Terangguk-angguk kepala Megat Bakhtiar mendengar penjelasan isterinya.
“ Habis tu dah makan ke belum? Anak- anak mana? Tak nampak pun. Kalau tak laju je menerpa sambut daddy balik.” Kepalanya terjengah ke ruang tengah mencari kelibat anak-anaknya.
“ Belum, tunggu abang dan Ben balik makan sekali. Anak-anak dekat atas. Tidur. Letih balik school tadi sebab hari ni ada aktiviti outdoor.” cerita Sharifah Julia. Megat Bakhtiar membuat mulut berbentuk 'o' tanda faham. Belum sempat dia menyambung kata-kata Puan Ruhana muncul di hadapan mereka.
“ Dah balik Tiar?” soal Puan Ruhana apabila dia melewati meja makan dan terlihat anaknya di situ. Puan Ruhana meletakkan pinggan berisi cream puff yang dah siap tadi di sebelah gorengan karipap mini ke atas meja makan untuk dihidangkan. Mata Megat Bakhtiar mengekor gerakan Puan Ruhana itu. Bersinar matanya apabila ternampak hidangan petang di atas meja itu.
“ Baru sampai aje. Wow, ada special menu today! Siapa buat ni? Ada tetamu nak datang ke?” terjongket kening Megat Bakhtiar melihat dua hidangan di hadapan matanya. Selalunya petang-petang begitu jarang ada hidangan petang. Kalau ada pun tentu ada tetamu yang nak datang dan bondanya dengan ringan tulang membuat hidangan seperti petang itu. Tapi seingatnya tiada pula tetamu yang akan datang kerana baik Puan Ruhana mahupun Sharifah Julia tidak menceritakan kepadanya.
“ Mestilah Lia dan bonda. Mustahil Fetty pulak yang buatkan.” Puan Ruhana menggeleng kepala. Dia juga hampir tergelak apabila tanpa sengaja menyamakan Fetty iaitu kucing jenis Ragdoll yang dipelihara mereka sekeluarga yang membuat hidangan petang itu. Haiwan manja itu kerjanya tahu menggolek, bermain dan bersantai sahaja dalam rumah. Masakan boleh memasak pula. Kalau boleh itu tandanya dunia nak kiamat. Haru dibuatnya!
Sharifah Julia sudah terkekeh disebelah suaminya. Tidak tahan sungguh mendengar ocehan kedua kesayangannya itu. Pandai juga ibu mertuanya membuat lawak. Selalunya suaminya saja yang suka buat lawak dan mencari pasal dengan si adik mereka Benz Fahri. Tetapi petang itu, nampaknya penyakit itu sudah terjangkit sama dengan ibu mertuanya pula.
Megat Bakhtiar menjuihkan bibirnya geram apabila terkena dengan si ibu mereka.
“ Kalau Fetty yang buat terbaliklah rumah ni. Lepas ni ramailah manusia ambil kucing buat jadi pembantu dapur. Jimat kos gaji. Hanya beri makanan yang berkhasiat buat si kucing yang berkhidmat.” tukas Megat Bakhtiar tak mahu kalah.
Puan Ruhana menjongket keningnya. Megat Bakhtiar jangan diajak beradu mulut pasti akan kalah dibuatnya. Boleh menyakitkan hati juga. Patutlah anak terunanya yang lagi seorang itu kerap saja beradu mulut dengan Megat Bakhtiar. Tidak tahan telinga mendengar rupanya dengan mulut yang tiada insurans itu. Malas memanjangkan isu tersebut, dia akhirnya melabuhkan duduk sama di meja makan itu.
Sharifah Julia sekadar berdiam diri. Tidak kuasa mahu menyampuk dalam perdebatan mulut antara kedua orang kesayangannya itu. Tidak memberi manfaat. Silap hari bulan dia juga boleh terlibat dengan perdebatan mengarut si suami. Akibat perut yang sudah berkeroncong dan minta diisi dia bangun dari duduk dan menuang vanilla chai ke dalam cawan dan dibawa rapat ke arah suaminya. Menjemput suaminya serta Puan Ruhana minum dia duduk semula ke sisi lelaki itu bersama secawan vanilla chai buat dirinya sendiri.
“ Jemput minum abang, bonda.” Laju saja Sharifah Julia mencicip vanilla chai yang berasap nipis itu ke bibirnya. Mendapat anggukan dari keduanya mereka bertiga menikmati hidangan tersebut.
“ Mana Ben?” soal Puan Ruhana setelah keadaan reda.
“ Oh, lupa Tiar nak cakap dengan bonda. Ben tak balik hari ni. Dia cakap ada hal. Apa-apa dia akan call or messege bonda.” beritahu Megat Bakhtiar santai.
“ Dia ada hal apa? Outstation ke?” berkerut kening wanita separuh abad itu.
“ Entah, tak cakap pun ke mana. Lagipun sekarang company mana ada hantar staff outstation selagi kes dekat Belum tu tak selesai.” ujarnya semula.
“ Laa kemana pulak dia. Hal penting pun susah nak cerita ke mana. Buat risau bonda ajelah budak ni.” bebel Puan Ruhana. Mulalah perutnya terasa libang libu. Wajahnya tiba-tiba bertukar keruh.
Melihatkan wajah yang sudah bertukar itu, Sharifah Julia cuba mententeramkan ibu mertuanya itu. Bimbang Puan Ruhana stress dan itu akan menyebabkan tekanan darah tingginya melambung. Kalau itu terjadi, lebih rumit keadaan mereka.
“ Bonda janganlah risau. Tak kemananya adik tu. Mungkin Ben balik ke kondo dia atau keluar berjumpa dengan sesiapa.” tukas Sharifah Julia.
“ Lagipun Ben tu anak teruna bukannya anak dara yang bonda takut diapa-apakan. Entah-entah dia pergi jumpa bakal besan bonda. Untung, cepatlah bonda terima menantu nanti.” tambah Sharifah Julia cuba memancing emosi ibu mertuanya agar tidak terlalu khuatir.
“ Pandai je la you sayang, entah-entah dia pergi Thailand. Sebab tadi dia kelam kabut semacam. Macam nak kejar tiket flight pun ada jugak gayanya. Dahlah tu, boleh je aci redah jalan tak tengok kiri kanan sampai langgar Tiar depan ofis. Nasib tak tergolek.” adu Megat Bakhtiar.
Sharifah Julia menjulingkan matanya. Sempat juga sikunya menyenggol rusuk Megat Bakhtiar memberi peringatan agar tidak berkata yang bukan-bukan sehingga lelaki itu terjerit kecil. Bimbang bertambah risau Puan Ruhana pula nanti.
Namun, yang namanya Megat Bakhtiar itu mana faham bahasa. Hendak juga bibirnya berkata sesuka hati.
“ Kenapa dia nak pergi Thailand pulak? Ada apa dekat sana. Bakal besan bonda orang Thailand ke?” Tak habis berfikir Puan Ruhana dibuatnya sehinggakan wanita itu tergaru-garu kepalanya cuba mengaitkan negara tersebut.
“ Iyelah dah berkurun balik dari US tu tak ada calon lagi. Seorang pun dia tak bawak balik kenalkan dekat kita. So, Tiar assume Ben tu gay la. Mungkin sebab tu dia ke sana. Takkan la tak tahu yang ramai rakyat gajah putih tu kaum transgender. ”
Sharifah Julia yang mendengarkan andaian mengarut sang suami sudah pecah ketawanya. Berair matanya menahan ketawa yang tak putus putus menjentik perasaan di hati.
Puan Ruhana pula sudah menayang wajah cemberut mendengar andaian dari mulut celupar Megat Bakhtiar.
“ Tiar, ada pulak cakap macam tu!” nyaring suara bonda menjerit. Hampir saja pitam Puan Ruhana mendengar ocehan mengarut Megat Bakhtiar. Subhanallah! Minta simpanglah perkara-perkara yang tak masuk di akalnya.Tangannya naik mengurut dada yang terasa mengecut.
“ Buruk-buruk pun perangai Ben tu bonda tahu dia takkan buat perkara yang diluar batasan dan tabii manusia. Bukannya nak mendoakan yang baik-baik. Ada saja mulut tu nak bercakap yang bukan-bukan. Hish, peninglah bonda layan perangai kamu ni. Entah menurun siapa agaknya!” bebel Puan Ruhana.
Megat Bakhtiar sendiri kemudiannya tergelak. Niat dihati sengaja mahu mengusik si ibu akhirnya di marahi dan dibebeli. Nasib badan oii!!
“ Dahlah tu abang pun. Asyik nak menyakat bonda aje kerjanya. Kesianlah bonda.” ujar Sharifah Julia akhirnya.
Tidak sampai hati lagi membiarkan ibu mertuanya kerunsingan memikirkan anak terunanya itu. Sudah fitrah menjadi seorang ibu akan berasa tidak senang dan khuatir jikalau tidak tahu dimana keberadaan si anak meskipun anak-anak menginjak dewasa. Malah, di mata seorang ibu, anak-anak tetap mempunyai tempat paling istimewa. Anak-anak tetap malaikat kecil di hati dan hidup mereka. Jika dia ditempat Puan Ruhana sekalipun sudah tentu dia akan risau dan khuatir seperti itu.
“ Mungkin Ben ada hal yang penting la tu bonda. Mana tahu kejap lagi dia akan call atau messege bonda untuk inform. Kita doa yang baik-baik aje ya.” pujuk Sharifah Julia kemudiannya.
“ Mungkin la tu. Terima kasih Lia sebab faham bonda. Tapikan, bonda lebih suka opinion pertama dari Lia tu. Lebih ideal. Tak apalah bonda akan cuba bersangka baik. Mungkin pergi jumpa bakal besan bonda la tu. Untung juga kalau bonda dapat menantu perempuan seorang lagi. Meriah rumah kita lepas ni. Boleh jugak timang cucu lagi.” ujar Puan Ruhana tersenyum simpul. Sedikit lega apabila dipujuk Sharifah Julia.
“ Ya, untunggg sangat bondaaa.” meleret-leret balasan Megat Bakhtiar dengan senyum sumbing menghiasi bibirnya.
Puan Ruhana mengerutkan dahi tanda tidak faham dengan ayatnya itu.
Malas mahu memanaskan keadaan, dia mula bangun dari duduk sambil membetulkan seluarnya yang sedikit melonggar itu. Dipandang wajah Puan Ruhana dia menyambung kata semula.
“ Apa kata sekarang ni bonda kasi balik wife Tiar ni sebab Tiar bercadang nak tambah cucu lagi untuk bonda. Jom sayang. Mana tahu kut-kut hujung tahun ni bonda dapat hadiah special from us.” ujar Megat Bakhtiar tidak malu. Menarik pinggang Sharifah Julia merapati tubuhnya laju saja dia mengendong wanita itu ke dalam pelukan sehinggakan Sharifah Julia menjerit nyaring dan menampar-nampar dada bidang suaminya yang tidak beragak menunjukkan aksi terlebih 'intim' itu.
Tergeleng kepala Puan Ruhana melihat gelagat Megat Bakhtiar yang semakin tidak makan saman tersebut.
***********
“ Babah okay ke?” soal Benz Fahri sambil menoleh ke kerusi belakang memandang Tan Sri Zahid yang leka dalam dunianya.
“ Hmm.. boleh la. Lama lagi ke kita nak sampai ni?” Kepala Zahid meliar kiri kanan apabila tersedar soalan dari Benz Fahri itu. Kereta mereka sudah menelusuri kawasan bersawah padi di kiri kanan jalan.
“ Kalau ikut location ni, nampak dah tak jauh. Mungkin kawasan sekitar sini je. Kalau babah ada tak selesa mana-mana kita berhenti dulu. Depan sana nampak ada warung kopi. Boleh babah?”
“ Bolehlah. Pinggang babah pun dah lenguh ni. Dapat regangkan sikit urat-urat yang bersimpul.”
“ Abang Mat kita berhenti dekat warung tu sekejap ye.” ujar Benz Fahri kepada pemandu peribadi Tan Sri Zahid itu.
Setelah mendapat anggukan abang Mat aka pemandu peribadi Tan Sri Zahid itu memperlahankan pemanduannya dan memberhentikan Vellfire putih itu betul-betul dihadapan sebuah warung makan berhampiran laluan sawah padi tersebut.
Benz Fahri memimpin Tan Sri Zahid dengan berhati-hati turun dari Vellfire putih itu menuju warung kampung tersebut. Setelah melihat abang Mat memilih tempat dia menuntun Tan Sri Zahid dengan penuh hemah ke sana.
Seorang lelaki pertengahan umur 40an melewati meja mereka dengan senyuman.
” Assalamualaikum. Selamat datang ke warung kampung Cik Man. Nak makan apa ye. Minum?” ramah lelaki itu bertanya dengan pen dan buku nota kecil di tangan bersedia untuk mencatit pesanan pelanggannya.
“ Waalaikumsalam.” serentak ketiga lelaki itu menjawab.
“ Buatkan saya kopi kosong panas.” jawab Zahid.
“ Saya air suam.”
“ Saya teh panas aje.”
“ Makan?”
Ketiga mereka berpandangan sesama mereka sebelum Benz Fahri memutuskan yang mereka tidak mahu menikmati makanan kerana belum lapar. Cukup saja membasahkan tekak dengan minuman.
“ Tunggu sekejap ye. Kejap lagi saya hantarkan.” ujar lelaki itu dan kembali ke tempatnya semula.
“ Tenang je tempat ni. Dah lama babah tak datang ke tempat-tempat macam ni.”
ujar Tan Sri Zahid. Anak matanya meliar ke serata kawasan yang terhampar di depan mata.
Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang meliuk lentokkan daun-daun pokok padi di depan benar-benar menggamit kerinduannya pada kampung halaman. Tetapi semuanya sudah menjadi kenangan sejak kematian ibu bapanya berpuluh tahun dahulu. Cuma yang tinggal sebuah memori yang penuh kerinduan di hati.
Benz Fahri tersenyum. “ Tak apa bah, nanti lepas dah habis rawatan, dah sihat sepenuhnya kita datang rehat-rehat kat tempat macam ni. Ben pun suka kawasan yang tenang-tenang ni. Tak adalah serabut kepala macam kat Kl tu. Kita buat gathering ramai-ramai. Babah, mama, adik-adik, bonda semua. Insha Allah mesti seronok kalau ramai-ramai.” ujar Benz Fahri memberi angan.
Zahid mengangguk senang. “Amiin.Mudah-mudahan. ”
Dalam rancak mereka berbual lelaki pertengahan umur 40an tu datang semula menatang talam bersama air yang dipesan mereka tadi.
“ Jemput minum encik semua.” ujarnya.
“ Ya, ya. Terima kasih encik.” balas Benz Fahri.
Mereka bertiga mula menikmati minuman yang dipesan sebelum semuanya sebulat suara mahu beredar dan meneruskan niat di awal tadi.
Beberapa minit melewati kawasan perbatasan sawah, kereta yang dipandu Abang Mat tadi melewati kawasan tali air pula. Disana kelihatan beberapa orang budak-budak kampung menghabiskan masa bermandi manda di situ. Tidak jauh dari situ kelihatan juga beberapa orang pemuda sedang mengail ikan menghabiskan waktu petang.
“ Babah dulu kecik-kecik sempat juga ada pengalaman macam tu. Mandi sungai. Terjun parit. Pancing ikan.” tiba-tiba Zahid bersuara dengan mengimbau sedikit kenangan waktu kecilnya.
“ Ye. Seronok tak babah? Kalau Ben ada kampung macam ni teringin jugak nak try mandi kat sungai macam tu. Dari kecik asyik mandi pool je.” ujar Benz Fahri.
“ Seronok tu seronok la. Tapi yang tak seronok tu bila balik tokwan babah siap tunggu depan rumah dengan pelepah kelapa sebab balik dah senja. Memang kena libas lah cerita dia. Sakit dapat malu pun dapat. Lepas tu kena hambat mandi sebab nak pergi solat jemaah kat surau pulak. Mandi pun kelam kabut terus bersiap pergi surau. Tau-tau lepas solat kawan-kawan jerit solat babah tak sah.” cerita Zahid sambil tergelak mengingati. Itu antara kenangan yang dia tak boleh lupa.
“ Kenapa?” teruja Benz Fahri bertanya.
Zahid masih tergelak. Merah mukanya mengingati antara kenangan itu.
“ Yelah darah penuh kat kain pelikat babah. Diorang kata babah datang bulan.”
Berkerut dahi Benz Fahri mendengar ocehan Zahid. Sungguh tak masuk dek akal. Mana ada lelaki datang bulan?
“ You mean period?”
Anngukan Zahid membuatkan Benz Fahri turut tergelak. Sekali dengan Abang Mat yang sedang memandu itu pecah ketawa.
“ Kenapa babah datang bulan?” soal Benz Fahri. Walaupun dia tahu itu bukan soal period tetap juga dia mahu bertanya kesudahan cerita.
“ Pacat gigit sampai kenyang kat betis tak sedar. Tahu-tahu pacat tu dah gemok tergolek kat lantai surau. Penuh lah kain pelikat dengan darah. Maunya diorang tak jerit tengok kain babah penuh darah. Balik rumah satu hal lagi kena besit rotan kat punggung dengan tok wan.” cerita Zahid.
Mengekek Benz Fahri bersama Zahid dan Abang Mat gelak sehingga berair mata.
Bunyi bip dari location di telefon pintar Benz Fahri mematikan ketawa mereka. Seraya Benz Fahri mencapai alat pintar itu dan mengarahkan Abang Mat memberhentikan kereta. Tanpa mereka sedar mereka telah memasuki kawasan perkarangan beberapa biji rumah di hujung jalan tadi.
“ Kenapa Ben?” soal Zahid.
“ Dah sampai la bah. Sekejap Ben turun tanya.” jawab Benz Fahri lalu menanggalkan tali pinggang keledar yang membelit badannya dan membuka pintu.
Benz Fahri turun dari kereta dan berjalan perlahan ke depan sebuah rumah separuh batu dan kayu yang bercat coklat. Kawasan lamannya sangat bersih dan rapi di hiasi pokok bunga raya dan beberapa jenis pokok bunga mawar dengan berbagai warna.
Salam di beri penuh hormat. Dia menanti di depan porch rumah itu. Entah kenapa dia merasakan debaran yang luar biasa. Jantungnya terasa sangat berdebar membuatkan seluruh darah yang sedang mengalir itu terasa menyerbu ke otak. Benz Fahri menarik nafas perlahan-lahan cuba menstabilkan ritma jantungnya.
Seketika suara seorang lelaki menyambut salamnya. Benz Fahri mengangkat wajah. Bertambah degup jantungnya berdebar dan terasa kakinya tak terasa memasak tanah di bumi.
“ Benji!”
Antara senyum dan air mata sedang berlumba pada riak dan rona wajahnya saat itu. Debaran di dada tadi masih sama. Malah saraf-saraf di seluruh tubuh pula sedang membelit antara satu sama lain. Sel-sel di otaknya mula berhubung antara satu sama lain walaupun masih samar.
“ Ben.”
Laju Benz Fahri berpusing ke belakang saat diseru namanya. Kelihatan Zahid terketar-ketar turun dari Vellfire putih itu sementara Abang Mat pula terkial-kial mahu turun dari tempat pemandunya.
“ Bah tunggu Ben datang, nanti jatuh bah.” Benz Fahri melaung. Kelam kabut dia berlari mendapatkan Tan Sri Zahid.
“ Betul ke ni rumahnya?” soal Zahid tidak sabar.
“ Belum sempat lagi Ben tanya bah. Babah dah turun.” termengah Benz Fahri menjawab. Macam tak cukup nafas tadi dia berlari nak dapatkan Tan Sri Zahid agar tidak jatuh. Sudahlah terkejut tadi melihat sosok yang keluar dari rumah tersebut. Allah!
**********"
chapter santai-santai aje ye. thanks yg sudi tunggu FFM ni. Love yall. Till we meet again. Doakan WL dapat idea yg best-best k ..^_^
Share this novel