Tok! Tok! Tok!
“ Boleh akak masuk?” laungnya dari luar.
“ Sekejap kak!” balas suara dari dalam.
Seminit kemudian, pintu terkuak dan terjengul wajah keletihan Ann Layli di balik pintu.
“ Boleh akak masuk?” soal Hani Wardah sekali lagi.
“ Masuk?” Ann Layli bertanya. Kepala yang tak gatal di garu.
Pandangannya di bawa pusing ke belakang biliknya semula lalu menatap Hani Wardah di depan. Sengihan panjang terukir di bibirnya.
“ Aah, masuk bilik.” Hani Wardah mengangguk mengiakan tanda mahu membicarakan sesuatu di bilik itu.
“ Bilik Ann sepah sikit kak. Ada hal penting ke?”
“ Penting la jugak. Tapi kalau Ann tak selesa nak bagi akak masuk, jom kita borak dekat balkoni.” Hani Wardah memberi cadangan.
Berfikir sejenak.
“ Oh, hal apa tu?” Ann Layli menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Sesungguhnya dia malas untuk berbuat apa saat itu. Dia hanya mahu berehat di bilik saja dan kemungkinan mahu tidur terus. Bukan apa, hari itu walaupun Hari kedua dia memulakan kerja tetapi hari itu dia sangat letih menguruskan kerja-kerja yang banyak di kedai selain menanti perkhidmatan grab terlalu lama ketika mahu pulang dari kerja tadi. Hampir lima belas minit dia menunggu di Feeds.Kitchen barulah kereta perkhidmatan pengangkutan itu tiba. Sepulangnya pula, dia tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas pula hampir satu jam. Itu membuatkan dia kelelahan.
“ Ada la. Akak tunggu dekat balkoni tau.” ujar Hani Wardah. Bahu Ann Layli ditepuk lembut.
“ Okeylah. Jap, Ann masuk tukar baju dulu.”
Hani Wardah angguk dan segera berlalu manakala Ann Layli masuk ke bilik dan menukar pakaiannya kepada pakaian yang lebih sopan. Risau kalau terserempak dengan Zen Huzaini pula.
‘ Hal apa yang penting sangat tu?’ Monolog Ann Layli sendirian. Hatinya tiba-tiba jadi tak tenang. Mengingatkan kembali pertengkaran kecilnya dengan Zen Huzaini kelmarin hatinya sedikit kecut. Apakah Hani Wardah mahu membicarakan soal itu? Berbagai andaian memenuhi benaknya dan saling bertingkah dengan soalan di kepala. Tidak dapat tidak, terpaksa juga dia menguruskan hal itu hingga selesai.
Sebaik menutup pintu, cardigan hitam yang tergantung di belakang pintu dicapai bersama tudung sauk warna senada. Menyarung cardigan ke atas t-shirt lengan pendek ke badan lalu tudung di pakaikan ke kepala. Seluar tidur panjang kotak-kotak saja yang tidak ditukar. Memastikan pakaian sudah terapi elok dia bergerak ke pintu dan keluar ke balkoni seperti yang di cadangkan Hani Wardah tadi.
Sementara di balkoni Hani Wardah sudah bersedia elok duduk di atas ‘bench chair’ di situ bersama dua cawan nescafe panas menanti Ann Layli. Air Di cawannya sesekali Di sisip perlahan. Matanya tunak memerhatikan pekat malam di depan. Langit malam itu gelap tanpa taburan bintang. Namun, angin yang sepoi-sepoi bahasa setia menghembus ke wajahnya. Tenang.
Seketika, ingatannya melayang pada malam sebelumnya.
~ “ Yes, then I assume that you really love her.”
Sebuah hakikat yang amat pahit untuk ditelan. Suaminya menyintai orang lain! Pancaran mata suaminya jelas menggambarkan betapa Zen Huzaini sangat tulus menyintai Ann Layli.
~ “ Hani izinkan abang kahwin dengan dia. Hani tahu abang masih cintakan dia. Hani redha.” ~
Pengorbanan itu sangat mahal nilainya. Dia berkorban kasih bukan kerana pasrah tetapi kerana itulah bukti cintan buat suaminya.
~ “ Ini keputusan Hani. Hani sedia lepaskan abang pada dia. Hani tahu abang tak bahagia dengan Hani. Hani tahu abang sangat-sangat mahukan zuriat tapi selama perkahwinan kita Hani tak mampu berikannya pada abang. Jadi, Hani rela lepaskan abang pada dia.” ~
Berbaloikah dia melepaskan suami sendiri untuk wanita lain? Sesungguhnya dia tidak punyai jawapan. Namun, sayang dan cinta yang menggunung buat sang suami buatkan dia sanggup berkorban.
Nafas ditarik dalam dan dilepaskan perlahan. Kelipan lampu neon di kejauhan jalan makin berbalam apabila air mata mula bergenang. Sesaat dia mengelipkan mata, membuatkan titisan hangat itu menitis jatuh ke riba.
Bukan dia menyesali jauh sekali menidakkan takdir. Tapi, sayang dan cinta kalau tak dibajai dengan keikhlasan takkan mampu membuahkan rasa yang bahagia. Kebahagiaan suaminya adalah kebahagiaannya. Jadi, dia rela berkorban demi kebahagiaan Zen Huzaini.
‘ Love is the main key that opens the main gate of happiness’ ~ w£
“ Sayang!” suara suaminya memanggil.
Lamunan itu segera terhenti. Cepat tangan menyeka sisa air mata di pipi lantas kepala di bawa berpusing ke belakang. Kepala naik mendongak dan tampang kacak sang suami menghiasi kornea matanya. Segera senyuman di biaskan.
“ Abang dah balik?”
Tangan suaminya dikucup hormat.
Anggukan bersama senyuman tipis berbalas ke arahnya. Tangan kanan Zen Huzaini naik menyentuh ubun-ubun sang isteri lalu dilabuhkan ciuman di situ. Hangat dan syahdu. Zen Huzaini perasan akan sisa air mata yang bergenang di pelupuk mata isterinya. Dia tahu Hani Wardah menangis. Entah apa sebabnya.
“ Sayang buat apa kat sini?” Dari ubun-ubun ciuman itu beralih pula ke sebelah pelipis lantas menuruni belakang leher Hani Wardah. Wangian mandian dari chamomile yang segar dan harum itu sangat mempesonakannya. Seketika Zen Huzaini diam di situ. Menghidu dan menyedutnya dalam. Terasa stress yang membungkam di kepala hilang begitu saja.
“ Tunggu Ann. Ada hal sikit nak bincang dengan dia.” beritahu Hani Wardah.
“ Abang janganlah, nampak dek Ann nanti. Seganlah Hani.” rengek Hani Wardah cuba mengelak ciuman dan sentuhan hangat dari Zen Huzaini. Tangannya menolak lembut wajah Zen Huzaini yang meliar di belakang lehernya.
“ Sekejap aje. Abang rindu sayang!” gumam Zen Huzaini di belakang Hani Wardah.
Makin isterinya menolak, semakin dia galak mencumbui leher Hani Wardah.
“ Yelah tu. Mulut je cakap rindu Hani, entah-entah hati abang teringat orang tu!” luah Hani Wardah yang berbaur cemburu.
Zen Huzaini tak mempedulikan kata-kata isterinya malah dia semakin galak mengacau Hani Wardah. Kedua tangan sasanya merangkul kuat pinggang Hani Wardah dari belakang sehinggakan terliuk lentok badan isterinya cuba menepis. Suara rengekan manja Hani Wardah berselang dengan suara usikan Zen Huzaini membuatkan ruangan di balkoni itu ‘panas’ seketika sehinggakan pasangan ‘love birds’ itu tidak menyedari seseorang yang memerhatikan mereka.
Ann Layli terkesima saat terpandang suasana romantik ciptaan pasangan itu membuatkan dia terasa segan mahu menganggu. Mahu berpatah balik ke bilik, dia berpusing namun nasibnya kurang baik. Kakinya tersadung akan karpet dan itu menyebabkan sebuah meja kecil yang menampung beban ‘air humidifier’ jatuh tergolek ke lantai mozek.
Ting! Ting! Ting!
Lantunan itu menghasilkan bunyi yang agak kuat.
Dalam masa yang sama, Ann Layli cepat menahan tubuh dari ikut terjatuh. Langsir pintu bilik di paut lantas berdiri tegak semula.
Ann Layli bergerak pantas mahu menghilangkan diri ke bilik, tetapi belum pun sempat dia bergerak terdengar suara pasangan suami isteri itu memanggilnya.
“ Ann!”
Semerta gerakannya kaku di tengah ruang.
‘ Ah, kantoi pulak! ’ Bibirnya digigit nipis lalu menoleh ke arah pasangan itu.
“ Abang la ni. Kan Ann dah nampak. Hish!” bebel Hani Wardah dengan suara separuh berbisik tetapi masih dapat Ann Layli dengar.
Hani Wardah menolak tangan suaminya menjauhi tubuhnya. Bibirnya yang sedikit basah cepat dilap dengan belakang tangan. Cepat saja Hani Wardah bangun dari duduk.
Zen Huzaini turut berdiri tegak. Rambutnya yang sedikit berantakan di urai dengan tapak tangan. Wajahnya di raup seketika sebelum memasang wajah selamba.
Suasana menjadi kelam kabut dengan tingkah keduanya.
Kata-kata Hani Wardah di buat tak dengar saja walaupun saat itu mahu saja dia menjadi halimunan dan menghilangkan diri. Kantoi apabila aksi romantik mereka ternampak dek Ann Layli.
“ Ann cepat la, akak ada hal nak bincang ni.” panggil Hani Wardah seraya menggamit wanita itu setelah cuba menghilangkan rasa segan bermesra dengan suaminya dan dilihat Ann Layli tadi.
“ Err..se-sekarang ke?” Ann Layli beriak serba salah. Lebih tepatnya, dia segan. Wajahnya terasa memerah selepas terlihat aksi mesra Hani Wardah dan Zen Huzaini tadi.
Ann Layli mengutip ‘air humidifier’ berbentuk burung hantu yang sudah tergolek itu dari kaki meja yang sedikit senget saat dia tersadung dek permaidani tadi. Diangkat dan diletakkan semula ke atas meja dan membetulkan sedikit kedudukan meja tersebut.
“ Sekarang la. Hal penting ni.” balas Hani Wardah bersama anggukan.
Ann Layli melangkah dengan berat ke arah pasangan itu. Wajahnya sedikit menunduk ketika melalui hadapan Zen Huzaini yang tegak berdiri di sebelah Hani Wardah. Tidak sanggup mengangkat wajahnya kerana perasaan segan masih merajai.
“ Hani, abang masuk dulu.” ujar Zen Huzaini ke arah isterinya sebaik Ann Layli menghampiri mereka.
“ Ya, abang masuklah rehat. Kejap lagi Hani dengan Ann siapkan makan malam.” balas Hani Wardah dengan senyuman nipis.
Setelah Zen Huzaini berlalu Ann Layli mengambil tempat di sebelah Hani Wardah yang mula duduk di atas ‘bench chair’ di ruangan balkoni itu.
Hani Wardah berdehem seketika sebelum memulakan bicara.
“ Ann..petang tadi mak dan ayah Ann datang sini.” Angkat wajah, Hani Wardah pandang tepat ke arah Ann Layli dihadapannya.
“ Hah? M-mak dan ayah. M-maksud akak mak dan ayah dari kampung?” Ann Layli sedikit terkejut dan tergagap.
Jatuh rahangnya sebaik mendengar khabar yang di sampaikan Hani Wardah. Bulat matanya yang bundar itu bertanya seakan dia membuat kesalahan yang besar.
Hani Wardah tersenyum lucu melihat gelagat Ann Layli seperti itu. Comel.
“ Ya, mak dan ayah Ann datang tadi. Diorang pergi rumah lama Ann dekat sebelah.” Hani Wardah mengiakan ceritanya.
“ Ye ke kak? Habislah Ann kalau mak dan ayah tahu pasal rumah tu. T-tapi macam mana akak tahu?” Matanya mengecil memandang Hani Wardah. Hairan.
“ Sebab mak dan ayah Ann datang ke sini lepas tunggu lama Ann dekat rumah tu.” jelas Hani Wardah lagi.
“ Ye ke kak? Err..akak ada cerita dengan mak ke pasal rumah tu?” soal Ann Layli sedikit gelabah.
“ Tak, akak tak cerita pun. Diorang pun kebetulan teringat yang rumah akak ni bersebelahan dengan rumah Ann. Itu sebab diorang datang ke sini tanya.”
Ann Layli menarik nafas lega setelah diberitahu Hani Wardah.
“ Lepastu akak cakap apa bila mak tanya pasal Ann?” soal Ann Layli.
“ Sorry Ann, akak terpaksa bagitahu dekat mak yang Ann pergi kerja.”
“ Oh, mak ada cakap apa-apa tak pasal kerja Ann tu? Mesti mak bebelkan Ann kak. Betul tak?”
“ Ada la jugak dia bebel. Tapi sekejap jela. Sebab tadi pakcik tolong cover pada makcik. Cakap yang Ann mungkin lupa nak bagitahu diorang pasal Ann dah dapat kerja tu.” balas Hani Wardah. Jelas sangat di pandangannya tadi gelagat pakcik Zahid yang membela Ann Layli dari terus disalaherti makcik Hasnah. Langsung membuatkan Puan Hasnah terdiam selepas itu.
“ Ya Allah kak, Ann betul-betul lupa nak cakap dekat mak. Lagipun akak tahu la rumah Ann di kampung tu memang susah line sikit. Kalau bertelefon dengan mak pun akhir-akhir Ann jugak yang bersembang seorang diri. Mak awal-awal dah letak sebab tak dengar langsung suara Ann. Sedih betul!” rungut Ann Layli. Wajahnya diraup menghilangkan perasaan serba salah itu.
Hani Wardah tergelak.
“ Tak apalah, makcik pun faham keadaan Ann tu. Tapi dia ada pesan suruh akak bagitahu Ann.” jelas Hani Wardah.
“ Bagitahu apa?” soal Ann Layli. Wajahnya berkerut.
“ Dia pesan malam ni lepas Ann balik kerja dia suruh Ann telefon dia semula. Katanya ada hal penting nak cakap dengan Ann.” beritahu Hani Wardah.
“ Hal penting?” berkerut dahi Ann Layli memikir. Wajah Hani Wardah dipandang mencari jawapan tetapi wanita itu sekadar menjungkitkan bahu tanda dia pun tidak tahu membuatkan Ann Layli bertambah pelik.
Entah hal penting apa yang emak mahu sampaikan pada dia sampai sanggup datang ke rumahnya.
“ Erm, tak apalah kak, Insha Allah kejap lagi Ann telefon mak balik.”
“ Eh, jap kak..mak datang sini dengan ayah kan? Naik apa?” Tiba-tiba terlintas dikepalanya tentang persoalan itu.
Dah kalau emak datang Kuala Lumpur dengan ayah yang berkerusi roda mustahil emak memandu keretanya. Emak cuma memandu kalau bawa ayah di kawasan sekitar rumah saja. Paling jauh ke klinik kesihatan yang terletak dua puluh kilometer di pekan dari rumah mereka. Mana mungkin emak memandu sejauh itu bersama ayah yang uzur? Masih banyak soalan yang menganggu benaknya.
“ Itulah, akak pun pelik. Makcik dan pakcik datang dengan bos akak tadi. Entah apa kaitan dia. Tuan Benz tu..Ann kenalkan?”
“ Tuan Benz?”
“ Aah, Benz Fahri, yang datang masa hari pengebumian arwah Muqri tu. Kan dia datang dengan abang dia CEO Khazanah Berhad dengan isterinya dan seorang lagi pegawai bawahan diorang.” ujar Hani Wardah cuba mengingatkan figura seorang ‘ Benz Fahri ’ di ingatan Ann Layli.
“ Oh, ingat-ingat! Yang muka kekwat tu?”
“ Hah muka kekwat! Muka sikit charming macam tu Ann cakap kekwat?” Hani Wardah tergelak sebelum menyambung semula katanya.
“ Tak patut tau! Boss akak tu dia muka je keras dan serius tapi hati dia baik. Dah la baik, sopan, pemurah lepastu nampak alim je. Kalau dekat ofis nak tengok dia angkat muka pun susah. Nak-nak kalau depan staff-staff perempuan. Memang menjaga pandangan betul dia tu. Dekat ofis bukan takat anak dara je yang suka ushar dan nak ‘try’ dia, bini orang pun ada hati dengan dia tau. Sebab tu kut dia buat muka kekwat. Takut orang mengorat dia.” cerita Hani Wardah.
Ann Layli juling mata ke atas mendengar pujian Hani Wardah kepada majikannya.
Ya, dia ingat akan figura seorang Benz Fahri itu. Muka ketat 24/7. Serius sepanjang zaman!
Tapi mungkin betul kata Hani Wardah yang lelaki itu hanya pamer wajah sebegitu dengan perempuan. Bila bersama dengan orang lain muka dia nampak biasa dan okay juga. Tingkah dia pun tidaklah nampak sombong.
Teringat dia akan pertolongan yang dihulurkan lelaki itu suatu ketika dulu semasa dia jatuh pengsan di kawasan rehat dan rawat tol Plus Sungai Buloh dulu lalu di bawa ke hospital. Kali kedua, bilamana dua hari sebelum Muqri meninggal, lelaki itu juga yang kebetulan datang membantu emak dan ayahnya ketika dia sibuk menguruskan hal arwah suaminya di hospital. Dia ingat kebaikan lelaki itu yang membantu ayah untuk ke tandas dan sanggup mengendong ayah turun ke tempat parkir kereta dari tingkat atas hospital. Sampai emak gelarkan dia lelaki yang sangat baik dan kaya budi bahasa. Dan kali terakhir dia bertemu lelaki itu ketika hari pengebumian arwah Muqri.
“ Tapi apa kaitan bos akak dengan pakcik dan makcik?” soal Hani Wardah lagi.
Kerutan di dahinya naik berlapis. Tidak habis berfikir tentang apa kaitan antara Benz Fahri dengan mak dan ayah Ann Layli.
“ Entah la kak. Ann pun naik pelik jugak ni?” Ann Layli jungkit bahu tanda dia juga tidak tahu. Termenung dia seketika.
“ Tak apalah kak, Ann telefon mak dulu. Nanti Ann tanyakan mak. Terima kasih kak bagitahu Ann pasal ni.” ujar Ann Layli seraya menepuk lembut bahu Hani Wardah dengan senyuman nipis.
“ Yelah. Sama-sama.” Angguk Hani Wardah bersama senyuman.
Ann Layli berlalu ke biliknya selepas itu untuk membuat panggilan kepada Hasnah.
*******
Zahid dan Tan Sri Zahid duduk berbual santai di pergola belakang penthouse milik peguam negara yang terkenal itu.
Petang yang cerah itu, mereka duduk bersantai menikmati angin petang yang membuai-buai tenang. Pelbagai perkara dan kisah yang dibualkan mereka. Jelas kelihatan raut Tan Sri Zahid tersenyum senang.
“ Zack, saya tak tahu berapa lama lagi saya boleh bertahan. Tapi, saya harap apa yang saya nak sampaikan ni tidak buatkan awak dan Hasnah merasa susah. Saya harap sangat kamu berdua selesaikan hingga akhirnya.” ucapnya. Wajah Zahid dipandang tenang.
Seketika, Tan Sri Zahid raup wajah dengan tangannya yang sedikit terketar. Nafasnya ditarik perlahan-lahan dan dihembus setelah itu. Jeda.
Zahid bungkam. Mendengarkan kata-kata itu hatinya berasa tidak enak.
Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh bekas majikannya itu memandangkan kondisi lelaki itu yang tidak sihat sepenuhnya.
Dia tahu keadaan Tan Sri Zahid akhir-akhir ini kurang memuaskan. Berbanding dia walaupun sakit juga dan berkerusi roda tetapi kesihatannya masih berada pada tahap yang baik.
Kesihatannya cuma memerlukan dia menjaga pemakanan yang sihat dan mengambil ubat mengikut saranan Dan nasihat doktor saja.
Tidak seperti Tan Sri Zahid yang mengalami sakit lemah jantung. Walaupun bertahan dengan ubat-ubatan tetapi lelaki itu tidak boleh menerima sebarang kejutan atau perkara yang boleh mendatangkan mudarat dengan tiba-tiba pada tubuhnya.
“ Tuan, jangan cakap macam tu. Saya selalu ada untuk tuan sekeluarga. Tak pernah sedikit pun saya rasa susah. Malah saya sangat terhutang budi kepada tuan dan keluarga.” ujar Zahid.
Bahu Tan Sri Zahid ditepuknya lembut.
Tatapan sayu lelaki itu dibalasnya dengan sepenuh harapan. Cuba salurkan kekuatan.
“ Boleh awak berjanji dengan saya Zack?” ucap Tan Sri Zahid lagi.
“ Katakan apa saja tuan, Insha Allah saya akan cuba tunaikan.”
Tan Sri Zahid tersenyum nipis. Kedua tangannya disulam ke atas riba.
“ Pasal Puteri.”
“ Teruskan tuan.”
Tan Sri Zahid meneguk liur sedikit payah. Pandangannya yang tadi menekur di riba diangkat dan beralih ke wajah Zahid. Bersama pengharapan yang tinggi dia berharap Zahid bersetuju dengan kemahuannya.
“ Saya mahu Puteri pulang ke sisi saya untuk kali terakhir ini. Saya mahu berikan kebahagiaan untuknya. Mahu memberikan dia sedikit kasih sayang saya sebagai bapa kandung yang dia tak pernah kenal dan rasa. Saya juga mahu dia tahu asal keturunan dia. Tapi kamu dan Hasnah jangan salah faham. Saya tidak akan rampas apa yang dah jadi milik kamu dan kebahagiaan kamu berdua. Saya cuma mahu menumpang sedikit kasih dari Puteri sehingga ajal ini menjemput.” pilu suara Tan Sri Zahid menyatakan hasratnya. Air mata mula bergenang di pelupuk mata.
Zahid merapatkan kerusi rodanya ke arah Tan Sri Zahid. Diraih bahu itu dan menggosoknya lembut.
“ Allah tuan! Jangan sesekali cakap macam tu. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah. Manja tu amanah arwah Puan Sharifah pada kami. Amanah Allah. Kami tak pernah anggap Manja tu milik kami. Kami cuma jalankan tanggungjawab dunia dan akhirat pada dia. Saya dan Hasnah sangat terhutang seluruh kehidupan saya pada keluarga tuan dan arwah isteri. Saya lega bila dapat berjumpa balik dengan tuan. Saya dan Hasnah sudah lama merancang untuk pertemukan tuan dengan Manja tapi tak kesampaian. Bila pertemuan kita terjadi, saya sangat bahagia. Saya akan kembalikan amanah Puan Sharifah pada tuan. Dia darah daging tuan. Kami tak gamak nak pisahkan dia dengan bapa kandungnya. Darah yang mengalir dalam tubuh dia adalah darah tuan, bukannya saya atau Hasnah. Tuan janganlah khuatir. ” ujar Zahid sebak.
Tangannya ditekapkan ke dada. Sungguh memperlihatkan keikhlasan dia di atas menjaga amanah seorang zuriat itu.
“ Terima kasih Zack. Allah saja yang dapat balas jasa kamu dan Hasnah. Terima kasih sebab jagakan Puteri untuk saya.” lafaznya ikhlas.
“ Tak perlu berterima kasih. Itu amanah. Jadi saya dan Hasnah sangat-sangat bertanggungjawab. Insha Allah, kita akan berjumpa dengan Manja tak lama lagi. Tuan jangan risau.” tukas Zahid.
Bahu Tan Sri Zahid dielus perlahan memberi semangat.
Tan Sri Zahid mengangguk. Dia berasa lega kerana dapat berterus terang dengan Zahid. Itu saja harapannya iaitu mahu bertemu dengan satu-satunya puterinya bersama arwah Sharifah Aini Latifah.
“ Berbual aje dari tadi. Apa yang seronok tu bang?” tegur Amirah dengan senyuman.
Dia berjalan menghampiri lelaki berdua itu dengan menatang dulang berisi teko air. Diletakkan ke atas meja kopi yang terdapat di pergola kayu itu lalu menuang ke dalam cawan satu persatu.
“ Berbual kosong aje.” balas Tan Sri Zahid.
Dia mengerling ke arah Zahid dihadapannya lalu menghantar isyarat mata agar tidak membicarakan apa-apa kepada Amirah. Zahid sekadar mengangguk faham.
Hasnah juga turut muncul di belakang Amirah sejurus itu. Di bawa bersamanya sepinggan kuih tepung talam ubi kayu.
Amirah dan Hasnah duduk di birai pergola bersebelahan selepas menghidangkan minuman petang itu untuk mereka berempat. Kuih tepung talam ubi kayu dan kopi ‘o’ menjadi jamuan petang mereka.
Amirah pandang suaminya, Zahid dan Hasnah silih berganti. Dia rasa ini saat yang sesuai untuk memberitahu rancangannya. Dia berdehem seketika sebelum membuka bicara.
“ Terlanjur semua ada di sini saya nak bagitahu sesuatu. Abang boleh ke saya bercakap sebentar mengenai perancangan saya yang kita bincangkan sebelum ni?” soal Amirah. Pandangannya terlontar kepada Tan Sri Zahid meminta persetujuan.
“ Silakan Irah. Dah alang-alang Zack dan Hasnah ada kita lanjutkan aje rancangan kita. Lebih cepat lebih bagus. Kerja yang baik tak patut ditangguhkan.” ujar Tan Sri Zahid. Dia mengangguk dan mempersilakan isterinya.
Amirah tersenyum memandang Hasnah dan Zahid yang beriak hairan. Setelah mendapat lampu hijau dari suaminya dia memulakan kata.
“ Insha Allah hujung minggu nanti saya dan suami akan buat majlis doa selamat sempena kesembuhan abang Zahid. Jadi, saya rasa elok juga kiranya kita buat majlis kesyukuran sempena pertemuan Puteri semula. Sekali dengan majlis untuk Benz, sempena pulang ke tanah air. Dia baru tamatkan pengajian dia dalam bidang perniagaan.” jelas Amirah.
“ Saya mahu kenalkan Puteri kepada seluruh ahli keluarga Syed dan Sharifah. Zack dan Hasnah perlu ada dalam majlis sebagai orang kepercayaan saya. Harap Zack dan Hasnah tak keberatan untuk berada dalam majlis ni.” tokok Tan Sri Zahid seraya memandang Amirah.
“ Ya Allah tuan, buat apa kami nak keberatan. Puteri tu kan anak Tuan Zahid. Kami cuma penjaga amanah aje. Kami berbesar hati sangat menerima pelawaan tuan dan puan sekeluarga. Kami hargai sangat-sangat.” jelas Hasnah dengan riak teruja.
Tak sangka begitu sekali penghormatan yang diberikan kepadanya dan suami.
“ Betul tu tuan, kami berdua tak mempermasalahkan pun tentang hal ni. Puan dan tuan terima kami di sini pun kami sudah cukup berbesar hati.” simpul Zahid pula.
“ Kalau semua dah bersetuju senang sikit kerja saya.” balas Amirah lega.
“ Okay tak bang kalau kita buat majlis hujung minggu ni?” soal Amirah.
Kepalanya di bawa berpusing ke arah Tan Sri Zahid di hujung lantai pergola mahu mendapatkan persetujuan.
“ Abang ikut je Irah. Baik untuk Irah, baik juga untuk abang. Benz dah tahu ke hal ni? Dia setuju tak untuk join majlis tu nanti.” soal Tan Sri Zahid.
“ Awal lagi saya dah beritahu dia. Dia setuju aje.”
“ Kalau macam tu baguslah. Kak Hana dah tahu? Megat dan Lia? Jemput semua sekali nanti. Diorang wajib ada.” tokok Tan Sri Zahid lagi.
Teringat akan kakak kandungnya Ruhana dan anak beranak yang lain. Sudah lama mereka tidak mengadakan majlis keramaian. Tentu meriah majlis tersebut dengan kehadiran seluruh ahli keluarga dan kenalan mereka nanti.
“ Kak Hana belum tahu. Esok kita ke rumah sana jemput mereka anak beranak. Lagipun, abang cakap ada nak bincang dengan Kak Hana sesuatu. Esok sekali ajelah perginya bang.” cadang Amirah.
“ Betul juga tu. Tak apalah kalau macam tu esok kita ke sana. Zack dan Hasnah pun ikut sekali.” arah Tan Sri Zahid selepas menerima cadangan isterinya Amirah.
“ Tapi tuan, kami segan. Buat apa kami ikut? Kami boleh tunggu di rumah aje buat persiapan apa yang patut.” tolak Hasnah tidak selesa.
“ Tak apa, kamu ikut je. Dah lama kan tak berjumpa dengan dia. Persiapan dekat rumah ni tak ada apa pun. Esok perancang majlis datang buatkan semuanya. Kita tunggu bawa diri aje.” jelas Amirah dengan suara ceria.
Sudah terbayang bagaimana gamatnya nanti rumah besar mereka ini saat majlis berlangsung.
“ Kalau dah itu kata puan, apalah daya kami. Kami ni tetamu aje. Takkan mahu berlebih dari tuan rumah pula.” canda Zahid.
“ Jangan begitu Zahid. Tiada istilah tetamu atau orang luar. Kita di sini satu bumbung semua bersaudara. Saya dah anggap kamu dan Hasnah macam ahli keluarga sendiri.”
“ Terima kasih tuan, puan sebab terima kami seadanya.” jawab Hasnah.
“ Sama-sama.” balas Tan Sri Zahid dan Amirah serentak.
Pandangan mereka jatuh bersilih ganti ke arah Zahid dan Hasnah. Bersyukur kerana kedua orang itu, menjaga amanah arwah isterinya dengan baik.
******
“ Waalaikumsalam. Hah, baru kamu ingat nak telefon mak ye Manja!” sergah Hasnah sebaik mengangkat telefon.
Sengaja di kuatkan suaranya. Menunjukkan kegarangan. Nada suaranya dikawal sehabis baik. Mahu melihat bagaimana reaksi anaknya itu saat mendengar bebelannya.
“ Err..mak janganlah marah-marah macam ni. Mak sihat?” takut-takut Ann Layli bertanya.
“ Mahunya mak tak marah. Dah berapa bulan kamu menyepi baru Hari ni ingatkan mak. Itupun mak ke KL cari kamu. Kalau tidak sampai mak mati pun kamu tak tahu.” sembur Hasnah lagi.
“ Mak, janganlah cakap macam tu. Bukan Manja tak nak telefon mak, tapi setiap kali Manja call line asyik terputus aje. Macam mana nak bercakap kalau dah gitu. Manja minta maaf. Manja sedar salah dan silap manja. Manja janji tak buat lagi. Mak sihat ke mak?” luahnya.
Ann Layli cuba memujuk Hasnah. Soal kesihatan wanita itu di soal sekali lagi.
“ Sihat. Kalau tak sihat tak adanya mak jawab telefon kamu ni. Ke kamu nak tunggu Mungkar Nangkir yang jawab fon kamu ni Manja oii..” bebel Hasnah.
Sudah macam bertih jagung masak dalam periuk aja suaranya. Meletup-letup tak sudah.
Ann Layli tergelak seketika mendengar gurauan emak. Lega sikit hatinya bila dengar suara emak sudah tidak memetir seperti di awal tadi walaupun suara itu masih bingit di balik talian.
“ Kenapa tak cakap dengan mak pasal kamu dah kerja?” soal Hasnah semula setelah terdiam sejenak.
“ Bukan Manja tak mahu cerita mak. Tapi, Manja baru aje kerja dua hari. Sibuk sangat. Belum pandai nak aturkan masa lagi.” bela Ann Layli untuk diri sendiri.
Dengan emak jangan dibuat main. Kalau alasan tidak kukuh, alamatnya bernanah telinga dia dileteri.
“ Yelah tu.”
“ Betul la mak. Mak, ayah mana mak? Ayah sihat ke mak?” teringat akan Zahid, dia bertanya.
“ Ayah ada, tengah berbual dengan kawan lama dia. Setakat ni sihat je ayah tu. Tapi anak dia je yang selalu buat ayah dan mak dia pening kepala.” sindir Hasnah sengaja. Mahu melihat sejauh mana kesungguhan Ann Layli memujuk mereka.
“ Siapa kawan lama ayah? Manja kenal ke mak? Mak sekarang dekat mana? Kak Hani cerita dengan Manja yang mak datang ke KL dengan Tuan Benz. Macam mana Tuan Benz boleh pergi ke rumah kita dekat kampung. Ada kaitan apa mak?” bertalu-talu soalan meniti di bibir Ann Layli. Meluap-luap hatinya ingin tahu.
Hasnah dihujung talian sudah ketawa. Kepalanya digelengkan mendengar soalan yang bertalu dari si anak. Banyak sangat hingga tidak tahu menjawab yang mana satu.
“ Banyak sangat soalan kamu tu. Itulah jarang sangat nak telefon mak. Semua benda tak tahu.” usik Hasnah.
“ Mak..cakaplah. Apa kaitan Tuan Benz tu?” rengek Ann Layli mahukan kepastian. Sakit kepalanya memikirkan kaitan si lelaki muka serius itu dengan kedua ibu bapanya.
“ Kenapa, kamu ada masalah ke dengan dia?” soal Hasnah.
“ Tak adalah masalah apa pun. Tapi Manja macam pelik tiba-tiba dia datang rumah bawa mak dan ayah cari Manja dekat KL. Atas urusan apa? Ada cerita apa-apa yang Manja tak tahu ke mak?” korek Ann Layli mahu mengetahui cerita selanjutnya.
“ Dia datang nak meminang kamulah!” usik Hasnah dengan tertawa riangnya.
Seronok dapat menyakat anaknya yang sudah lama tidak bertemu dan berbual itu.
Dulu, semasa hayat Muqri ada susah juga mahu berbual dan bermesra dengan anaknya. Terasa ada sekatan ke atas hubungan mereka sebagai ibu dan anak.
Saat Ann Layli berkahwin, anaknya itu seolah di culik oleh orang bunian aje. Ghaib. Lama-lama sekali baru dapat berjumpa. Bila berjumpa, dia dapat mengesan ketidakbahagiaan dalam kehidupan anaknya. Hati ibunya tidak pernah salah menafsir biarpun Ann Layli tidak pernah menceritakan apa-apa padanya.
“ Hah, me—minang? Eh, mak ni biar be—betul!” cuak Ann Layli bersoal.
Allah! Haru sungguh kalau mak terima.
Hasnah dihujung talian masih tidak berhenti tawanya. Besar suaranya menggelakkan Ann Layli.
“ Nantilah mak ceritakan. Hujung minggu ni kamu kerja tak? Kalau tak kerja, mak nak kamu datang ke Teratak Kaseh. Nanti mak kirimkan location dekat whatsapps. Ada hal mustahak yang perlu kamu tahu.” jelas Hasnah.
Dia sudah menerima pelawaan dari Tan Sri Zahid dan Puan Sri Amirah. Jadi, bagaimanapun caranya dia akan membuatkan Ann Layli turut menerima pelawaan ke majlis kesyukuran itu. Dia tidak mahu mengecewakan Tan Sri Zahid dan memungkiri janji yang telah mereka sepakati.
” Hal apa mak? Teratak Kaseh? Rumah siapa tu?” timbul lagi soalan di benaknya. Malam ini sahaja banyak sangat cerita yang diterimanya.
“ Adalah, nanti mak cerita. Bercakap dalam telefon ni payah.” ujar Hasnah.
“ Baiklah mak. Nanti kita jumpa.”
“ Janji dengan mak, apa yang jadi pun Manja tetap kena datang. Tak boleh tak jadi. Ini soal masa depan Manja.” suguh Hasnah.
“ Ya mak, nanti Manja datang. Manja minta maaf tau mak. Selalu susahkan mak dan ayah.” Sekali lagi Ann Layli memohon kemaafan dari emaknya, Hasnah.
“ Tahupun selalu susahkan mak dan ayah. Lain kali selalu-selalu la buat perangai macam ni. Biar nanti tengok jasad kaku mak dan ayah je.” Provok Hasnah.
“ Mak..Manja sayang mak dan ayah sangat. Janganlah cakap macam tu. Manja janji nanti Manja datang jumpa mak dan ayah ya.” pujuk Ann Layli lagi. Hatinya terusik mendengarkan rajuk Hasnah.
“ Yelah, kalau macam tu jumpa nanti baru minta maaf. Mak geram dengan kamu belum habis lagi tau. Kalau jumpa berdepan senang sikit mak nak piat telinga tu. Jangan ingat dah besar dah tak ada suami senang buat keputusan sendiri. Dah macam gaya tak ada mak bapak aje.” bebel Hasnah.
Kalau ikutkan geramnya, mahu sampai ke esok subuh dia ceramahkan si anak. Tetapi mengenangkan kini mereka suami isteri berada di rumah orang, dibiarkan tergantung saja amarahnya itu.
“ Ye mak, Manja janji. Nanti kita jumpa ye mak. Manja minta diri dulu. Mak jaga diri elok-elok ya. Sampaikan salam Manja pada ayah.” ujar Ann Layli.
“ Yelah, nanti mak sampaikan salam pada ayah. Kamu tu yang kena jaga diri baik-baik. Status kamu tu dah bertukar sekarang. Jangan biarkan orang pandang serong pada kamu. Jaga maruah diri. Apa-apa telefon mak beritahu. Mak ada je kat KL ni. Talian telefon mak elok aje. Jangan kamu bagi alasan line tak elok ke apa. Mak tak terima. Kalau mak tahu kamu buat hal siap kamu Manja.” gertak Hasnah setelah menitipkan pesanan dan nasihat kepada Ann Layli.
“ Ye mak. Sayang mak. Jumpa nanti.”
Ann Layli mengeluh sendirian setelah selamat menamatkan panggilan kepada Hasnah.
Jenuh dia tadah telinga mendengar nasihat dan kata-kata pesanan Hasnah itu. Itu belum lagi emak tahu pasal kisah dia dihalau mertuanya dan menumpang di rumah bekas kekasihnya. Dia tidak tahu bagaimana nasibnya kelak jika emak mendapat tahu tentang itu. Runsing dia memikirkan.
******
Seorang wanita yang berkelas sosial tinggi melangkah masuk ke kedai dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Dia menegur Zara yang sedang berada di kaunter.
“ Assalamualaikum.” ucapnya.
“ Waalaikumsalam. Selamat datang ke Feeds.Kitchen. Boleh saya bantu puan?” Zara menyambut pelanggan wanita itu dengan sopan dan berhemah.
“ Saya nak tempah kek dan dessert serta goodies. Boleh cadangkan untuk saya?” soal wanita itu.
Zara mula menggaru kepalanya yang tak gatal. Sedikit buntu untuk memberi cadangan kerana dia tidak arif tentang hal itu. Selalunya Anis yang melayan pelanggan dan memberi cadangan. Tetapi kali ini Anis masih bercuti. Sekejapan matanya memerhati Ann Layli dan terus mendapat idea.
“ Sekejap ya puan, saya panggilkan seseorang yang arif dengan permintaan puan. Puan boleh duduk sebentar sementara menunggu pekerja kami melayan puan.” ujar Zara. Bench chair dihujung sudut kedai ditunjukkan kepada wanita itu agar menunggu di situ.
Wanita anggun itu mengangguk faham dan beredar ke arah bench chair yang disediakan. Sambil menanti pelayan yang akan membantunya, wanita itu membelek beberapa majalah berkaitan pastri.
“ Psst..psst.. Akak!” panggil Zara kalut. Terkocoh-kocoh dia menghampiri Ann Layli yang sedang sibuk memasukkan brownies dan blueberry cream cheese ke dalam chiller.
Ann Layli menoleh memandang Zara setelah mendengar gadis itu menyerunya tadi. Hairan dengan gadis itu yang gelagatnya seperti kucing hilang anak.
“ Kenapa Zara?”
“ Akak, kita ada pelanggan.” ujar Zara sedikit cuak.
“ Baguslah. Pergilah layan.” Tangan Ann Layli masih lincah memasukkan satu persatu brownies ke dalam talam yang terdapat di dalam chiller. Memenuhkan kembali hidangan pencuci mulut di rak makanan pemanis itu.
“ Masalahnya Zara tak pandai nak layan. Pelanggan kita tu nampak berkelas. Dia minta Zara beri cadangan dekat dia. Dia nak tempah kek, dessert dan goodies. Ala tolonglah Zara akak. Selalunya kak Anis yang entertain customer macam tu.” rengek Zara. Dia mula menggoyang-goyangkan lengan Ann Layli.
“ Eh Zara, janganlah goyang tangan akak. Jatuh brownies ni nanti.” sanggah Ann Layli.
“ Sorry kak. Cepatlah kak tolong Zara. Kesian pulak customer tu tunggu lama. Meh sini brownies tu Zara susun dalam chiller. Akak pergi la entertain customer tu kejap.” ujar Zara. Cepat saja dia menyambar bekas brownies yang dah tinggal separuh dari tangan Ann Layli itu.
“ Zara, tu bukan kerja akak la. Nanti kalau akak pandai-pandai Kak Fid marahkan akak pula.” Ann Layli beralasan. Dia baru saja bekerja. Masih belum tahu selok belok perniagaan itu. Lagipula itu bukan skop kerjanya.
“ Tak, Kak Fid tak marahnya. Lagi dia suka ada la. Akak pergi la kak. Kali ni aje Zara minta tolong akak. Nanti Zara tolong akak susun semua ni bagi siap.” ujar Zara memberi jaminan seraya pandangannya dijatuhkan pada bekas brownies di tangan.
“ Yelah, yelah.. mana customer tu?” Akhirnya Ann Layli mengalah.
“ Tu dekat kerusi hujung tu. Zara suruh dia tunggu dulu dekat situ sementara Zara panggilkan akak.” tunjuk Zara.
Mata Ann Layli ikut terarah ke arah yang ditunjukkan Zara. Ya, kelihatan seorang wanita anggun di situ sedang membelek majalah.
“ Kalau macam tu akak pergi tengok sekejap. Zara siapkan kerja akak ni ye.” pesan Ann Layli.
Zara mengangguk tanda bersetuju.
“ Thanks kak. Sayang ketat-ketat.” sengih Zara bersama hantaran pandangan ke arah langkah Ann Layli yang dah menuju ke arah pelanggan mereka.
Saat Ann Layli menghampiri wanita itu, kelihatan seorang remaja lelaki sudah duduk disamping wanita itu. Mereka berbual seketika, sebelum sama-sama tersenyum senang sambil melihat beberapa design kek yang terdapat di dalam majalah yang berada di tangan wanita itu.
“ Assalamualaikum. Selamat Datang ke Feeds.Kitchen. Boleh saya bantu?” tegur Ann Layli. Senyuman cerianya dibiaskan terhadap pelanggan wanita dan anak muda itu.
Meletakkan majalah ke tepi, wanita itu bangun dari duduknya. Sementara anaknya disebelah masih pegun di tempat duduknya. Menatap lekat kepada Ann Layli dengan mata yang tak berkelip.
“ Waalaikumsalam. Ya, saya nak buat majlis kesyukuran hujung minggu ni. Jadinya saya nak tempah kek, goodies dan dessert untuk majlis tersebut. Memandangkan kedai ni banyak pilihan so, saya nak cik beri cadangan untuk saya buat pilihan yang tepat. Boleh ke?” soal Amirah ramah.
“ Oh begitu. Baiklah puan..puan boleh ke meja kami di sana. Kita tengok dulu menu dan kita putuskan ikut selera puan nanti. Sila ikut saya ye.” ujar Ann Layli dengan senyuman yang manis. Sungguh tertib dan sopan cara layanannya.
“ Baiklah.” Angguk Puan Sri Amirah.
Ann Layli langsung melangkah terlebih dahulu ke meja perbincangan yang menyediakan beberapa menu istimewa yang di tawarkan kedai mereka itu.
Saat Ann Layli melangkah pergi, Amirah menoleh kebelakang mencari susuk Azhan Wadif. Namun figura anak masih kekal pegun di tempat duduknya. Matanya menangkap telatah sengal si anak. Tergeleng kepala Amirah.
“ Han..oh Han! Kau tengok apa sampai tak berkelip mata tu?” desis Amirah.
“ Hah! apa dia ma..?” soal Azhan Wadif setelah tersedar. Itupun sebab Amirah telah melayangkan cubitan kecil ke bahunya. Kalau tidak, masih dia berleka di situ.
“ Mama cakap kau tengok apa sampai tak berkelip mata tu?” tegur Amirah sambil menjegilkan matanya.
Azhan Wadif bangun seraya menggosok lembut bahunya yang terasa pedih akibat cubitan Amirah. Dia tersengih selamba.
“ Han nampak bidadari ma!”
“ Banyaklah Han punya bidadari. Sini kedai pastry bukannya syurga. Dah, jom ikut mama pilih menu untuk majlis kesyukuran tu.” bebel Amirah.
Nasib lah dia bawa Azhan Wadif saja. Kalau dibawa sekali Azlan Waqif mahunya dua beradik tu buat perangai tak semenggah dekat sini. Tenung anak dara orang macam nak tembus! Ya Allah, perangai gatal siapalah yang menurun dekat kembar itu.
*******
Thanks yg tunggu n bersabar WL update FFM kali ni. WL lanje korang dua chapter tuk minggu ni tau.. harap semua berpuas hati.. Please tinggalkan komen yg murni2 utk FFM..WL hargai sgt2 jasa baik korang tau.. love u to the moon and never been back..(。♡‿♡。)
Share this novel