Bab 24

Romance Series 77048

Tubuh yang terasa lemah dihempas perlahan di atas sofa. Sengal di kiri kanan bahu serta lenguh pinggang bertambah terasa akibat memandu lebih dari lima jam dengan hujan lebat tak berhenti daripada mula masuk tol Alor Star sehinggalah dia keluar ke tol Sungai Besi tadi. Penat!

Tubuh diregangkan kiri dan kanan. Kedua tangan diangkat tinggi melepasi kepala meregangkan otot tangan yang lenguh.

Berasa sedikit nyaman setelah melakukan senaman ringan dia membawa tubuh rebah ke dada sofa.

Suasana separa gelap di ruang tamu itu membuatkan matanya meredup sementelah kantuk yang masih bersisa ketika memandu tadi belum hilang walaupun sudah dua tin nescafe original dan satu tin redbull dia togak ketika berhenti di kawasan rehat dan rawat Tapah.

Menyelesakan letak kepala, lalu kedua tangan kiri dan kanan di bawa lapik ke bawah kepala. Kedua kaki di bawa silang merapat ke tangan sofa. Sebelum melelapkan mata ‘edifice’ di tangan dijengah. Sudah tiga pagi. Tangan di bawa naik menutup mulut yang menguap. Ah! Tidur lebih baik. Bisiknya sendiri. Dek malas mahu mengejut si isteri dia berhasrat mahu berehat di situ saja.

Tambahan, semenjak peristiwa salah faham dengan Hani Wardah sebelum dia ke Kedah itu, belum lagi dia berpeluang menerangkan perkara sebenar kepada isterinya. Bukan tidak mahu berterus terang tetapi keadaan Hani Wardah yang ketika itu betul-betul menjauhkan diri daripadanya membuatkan Zen Huzaini terpaksa menyabarkan diri. Dia tahu jika dia berkeras juga dengan isterinya itu sudah pasti keadaan lebih teruk. Dia berharap semasa berjauhan inilah dapat menyejukkan hati isterinya itu. Hati wanita itu bak kerak nasi. Keras. Tetapi jikalau direndam, lama kelamaan akan lembut juga. Maka, sudahnya dia bercadang apabila kembali dari outstation nanti akan di ceritakan semuanya kepada wanita itu. Tetapi bukan ini saatnya, kerana sekarang masih subuh. Kepulangannya pun belum di beritakan kepada Hani Wardah.

Jika dia terus ke bilik dan mengejutkan wanita itu pasti bertambah amarahnya. Sudahnya dia melepaskan lelah di sofa itu sahaja. Masuk ke dalam rumah tadi juga hanya menggunakan kunci pendua yang sememangnya ada dalam simpanannya. Kalau tidak ada sudah tentu rehatnya bakal tersadai depan pintu rumah saja.

Menarik keluh dia cuba memejamkan mata. Sedang asyik melayan angan kantuk, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bayangan yang melintas di hujung ruangan tamu. Yakin itu isterinya dia bingkas bangun dari baringan lalu mengikuti tubuh itu sehingga ke dapur.

Apabila sampai ke hadapan sinki dia menyandarkan tubuh di sebelah peti ais berhadapan sinki sambil memerhati tubuh di hadapan yang terbongkok-bongkok di situ.

Zen Huzaini menayang paras santai bersama senyuman paling kacak buat isterinya. Berharap sang isteri terkejut dan akan memeluknya saat berpaling nanti apabila ternampak dia di situ.

Setelah membasuh tangan di paip sinki, Ann Layli memusingkan tubuhnya mahu ke tandas pula. Tuntutan alami yang membuatkan dia tersedar dari lena perlu dilunasi segera. Namun jiwanya tiba-tiba saja melayang dek terlihat susuk tubuh seorang lelaki yang berdiri bersandar dengan santai bersama senyuman. Mendapat isyarat pantas dari otak, tanpa sempat menafsir suaranya meletus nyaring memecah sunyi subuh saat itu.

Dan,

Harapan Zen Huzaini yang setinggi gunung itu lebur dek angan-angan palsu. Semuanya huru-hara. Hatinya yang kembang membugar juga akhirnya kuncup dan layu. Senyumnya pudar semerta melihat susuk itu. Berganti pula dengan paras terkejut yang bukan sedikit.

Ann Layli terkejut bukan kepalang lagi. Menggeletar seluruh tubuhnya saat itu. Sudahlah tidak memakai tudung, Ann Layli kaget. Darahnya menyerbu ke seluruh tubuh. Pantas saja, dia berlari menyusup ke dalam tandas.

Zen Huzaini juga ikut terkejut. Dipejam celikkan kedua matanya berulang kali bagi memastikan susuk yang baru saja dilihatnya. Belum sempat memastikan, pendengarannya diambil alih satu suara di belakang.

“ Abang!”

Zap!!

Kepala di bawa toleh ke belakang. Wajah Hani Wardah dengan baju tidur kelawar terpampang depan mata. Serta-merta dahinya berkerut. Dahtu tadi tu siapa? Hati bertanya sendiri.

“ Sayang!!” sapa Zen Huzaini dengan nada terkejut.

“ Bila abang balik?” soal Hani Wardah juga ikut terkejut.

“ Siapa yang tadi tu?” soal Zen Huzaini bingung. Pelipisnya di urut perlahan. Takkan dia berhalusinasi pulak? Haish! Tiba-tiba bulu romanya berdiri tegak. Meremang.

Menarik keluh, bahunya dijatuhkan. “ Itu Ann lah abang. Macamana abang tetiba je boleh muncul kat sini. Bukan kes abang lambat lagi ke nak habis? ”

“ Ann? Ann Layli! T-tapi macam mana dia boleh ada dekat rumah kita?” telunjuk kanan dan anak matanya di bawa hala ke arah tandas yang tertutup rapat di depan. Bingung.

“ Adalah. Nantilah saya cerita. Yang abang tu nak balik tak reti beritahu ke? Dahlah masuk rumah pepagi buta macam pencuri. Buat terkejut orang je!” bebel Hani Wardah. Muncungnya panjang berjela.

“ Mana Ann? ” soalnya kembali. Kepalanya dijengul di celah tubuh sang suami apabila tidak nampak kelibat wanita itu. Dia yang baru terjaga dari tidur mahu ke tandas tiba-tiba terkejut dek suara pekikan Ann Layli bingkas meluru keluar. Sesampainya di dapur kelihatan suaminya pula terjengul di situ.

“ Abang ingatkan sayang tadi. Mana tahu ada orang lain dalam rumah. Dah sayang pun tak beritahu abang. Manalah abang nak tahu. Abang baru je nak tegur, tup-tup dia dah pusing. Maunya dia tak jerit nampak abang. Tu hah, dia lari dalam tandas!” cerita lelaki itu. Jantung yang berdegup laju akibat terkejut itu pun belum hilang rentaknya. Kus semangat!

Hani Wardah menjuling matanya ke atas. Malas mahu bertanya lanjut kerana sedar dia turut bersalah dalam hal itu.

Dia kemudian melanjutkan langkah ke arah tandas lalu memanggil Ann Layli. Manakala Zen Huzaini berlalu ke hadapan. Setelah beberapa saat, terjengul wajah Ann Layli dari balik pintu itu.

“ Sorry Ann, akak tak tahu abang Ajai nak balik subuh ni. Ann keluarlah. Abang Ajai dah pergi depan dah,” beritahu Hani Wardah.

“ Tak nak la kak. Ann tak pakai tudung ni.” Ann Layli menggelengkan kepalanya. Risau dia mahu keluar kerana tidak berhijab. Sudahlah terkejut nampak suami orang tadi dengan tak bertutup aurat. Bergetar kepala lututnya pun belum hilang lagi.

“ Takkan nak tidur dalam tandas pula. Nah ambil ni tutup kepala. Jalan terus masuk bilik. Abang Ajai ada dekat depan dah tu. Tak adanya dia nak perasan.” arah Hani Wardah sambil menghulur sehelai tuala kecil yang terdapat di rak kain-kain buruknya di dapur itu.

Ann Layli akhirnya menyambut juga tuala kecil itu lalu dilitupkan ke atas kepalanya. Ada betul kata Hani Wardah itu. Takkanlah dia mahu bertapa dalam tandas itu pula.

“ Terima kasih kak.” pantas saja kakinya diayun laju menuju ke biliknya semula. Malu mukanya usah dikata. Tiba-tiba saja dilihat oleh seorang lelaki. Bergetar seluruh tubuhnya saat itu.

Hani Wardah menggelengkan kepalanya. Langkahnya diatur semula ke ruangan tamu setelah Ann Layli berlalu pergi. Melihat susuk suaminya yang berbaring di atas sofa tubuhnya di bawa mendekat.

“ Abang kenapa tak cakap nak balik!”

“ Sayang kenapa tak beritahu ada tetamu dekat rumah?”

Kedua suami isteri itu berbalas soalan.

Hani Wardah memuncung sedepa.

Zen Huzaini yang tidur-tidur ayam itu bingkas bangun dan duduk apabila tidak mendengarkan jawapan dari isterinya. Kedua tapak tangan di bawa meraup wajah. Keluhan kecil terbit dari bibirnya. Sekilas, wajah Hani Wardah dijeling. Wajah isterinya sudah ketat dan muncung berjela. Sudah faham, akan perangai isterinya dia mengeluh sekali lagi. Nampak gayanya dialah yang terpaksa mengalah kalau dah Hani Wardah tayang muka begitu. Mendekat dengan tubuh Hani Wardah dia menarik tangan isterinya dan digenggam erat. Tetapi cepat saja Hani Wardah menarik tangannya semula lalu di bawa silang ke dada. Tanda protes.

“ Yelah-yelah salah abang tak beritahu dekat sayang yang abang balik malam ni. Kalau ikutkan abang nak balik esok je. Tapi tugas abang habis awal. Lepas makan malam dengan ketua kontijen sana abang terus decide nak balik malam ni. Ingatkan sampai awal la. Mana tahu hujan lebat tengah highway tadi. Tu yang lambat sampai. Lagipun tak sampai hati nak kejut sayang tidur. Abang terus masuk rumah pakai kunci pendua.” terangnya bersungguh.

“ Dah tahu nak balik awal lain kali bagitahulah. Ini tak, main masuk je. Kan dah kejutkan si budak Ann tu!”

Zen Huzaini menggelengkan kepalanya. Dia pula dipersalahkan. Hmm, nasib badan.

“ Macam mana Ann boleh ada kat sini. Tadi sayang cakap nak cerita. Cepatlah! abang mengantuk ni!” gesa Zen Huzaini apabila melihat isterinya masih berdiam diri dan tak ada tanda untuk bercerita langsung.

Hani Wardah menarik nafas. Dijengahkan sedikit kepalanya ke arah pintu bilik yg didiami Ann Layli. Dia nak bercerita hal orang. Karang terjengul pulak empunya badan jenuh dia. Tapi bukan dia nak bercerita apa pun. Sekadar menjawab pertanyaan sang suami saja. Mendapati pintu bilik itu tertutup rapat dia membawa pandang ke wajah suaminya semula.

“ Abang janji jangan cerita dengan sesiapa. Ni rahsia. Aib orang. Kalau tak sabit Ann dalam kesusahan, Hani pun tak mahu terlibat.” ujar Hani Wardah. Telunjuk kanannya diangkat lurus depan suaminya memberi amaran. Muka sedikit garang di tayang.

Dia sudah berjanji pada Ann Layli yang dia tidak akan bercerita apa pun dan kepada sesiapa pun tentang hal wanita itu.

Zen Huzaini mengangguk faham. Dia tahu kalau Ann Layli itu sikapnya bagaimana. Sukar sangat untuk bercerita tentang hal peribadi. Terlalu perahsia atau dikenali sebagai seorang yang secretive. Dia sudah arif dengan sikap bekas kekasih di masa remajanya itu.

“ Abang janji tak cakap dengan sesiapa.” datar saja intonasinya.

“ Betul ni?” Hani Wardah masih ragu. Risau juga dengan suaminya itu. Tetapi sebagai ketua rumah dan suaminya Hani Wardah wajar memberitahu kerana melibatkan rumah tangga mereka berdua. Dia juga perlu mendapatkan keizinan suaminya untuk membenarkan Ann Layli tinggal di situ sementara waktu.

“ Iye. Cepatlah cakap. Abang mengantuk dah ni.” Melunjur kaki lalu bersandar ke dada sofa Zen Huzaini membawa tangan menutup mulutnya yang ternganga luas dek menguap. Benar-benar mengantuk.

“ Ann kena halau dengan mak mertua dia. Mak mertua dia dah tak bagi dia duduk rumah arwah suaminya tu.” senafas dia bertutur dengan nada perlahan seakan berbisik.

Akhirnya Hani Wardah membuka mulut. Sambil tu matanya sekejapan mengerling ke arah pintu bilik Ann Layli. Risau wanita itu keluar dan terdengar perbualannya kepada Zen Huzaini.

Rimas dengan suara berbisik isterinya itu, Zen Huzaini menggerakkan tubuh ke depan semula. Di tambah pula dengan suasana yang separa gelap itu bertambah rimas dia.

“ Apa dia? Sayang tolong ulang semula. Abang kurang dengar dan tak jelas. Cuba cakap kuat sikit.” pinta Zen Huzaini.

“ Abang ni, bilik Ann dekat aje tau. Kang kalau Hani cakap kuat-kuat dengarlah dia. Malu dia nanti. Hish!” bebel Hani Wardah. Mukanya kembali cemberut.

“ Dah tahu macam tu yang duduk jauh sebatu tu kenapa. Duduk dekat sebelah abang kan senang abang dengar. Cakap bisik-bisik macam duduk dalam kelambu. Meh sini duduk sebelah abang ni.” ujar Zen Huzaini. Tangannya menggamit sang isteri. Sengaja dia buat tak dengar. Itu salah satu misinya mahu memujuk. Kalau minta elok-elok tak mahunya Hani Wardah ikut. Baiklah dia memanfaatkan waktu kesempitan macam ni. Sambil menyelam dapatlah dia minum air.

Muncung sedepa Hani Wardah masih belum surut malah bertambah kelat saja riaknya. Tetapi dia turuti juga. Menginjak tubuh dia bangun dan berpindah ke sebelah suaminya. Zen Huzaini sudah tersenyum kemenangan.

“ Macam nilah isteri abang.” giatnya dengan sengihan.

Faham dengan maksud Zen Huzaini, Hani Wardah mencebir bibir. Geram dipermainkan suaminya.

“ Cepatlah yang..abang mengantuk!” desak Zen Huzaini semula dengan suara merengek. Benar-benar matanya terasa sangat berat. Bila-bila masa saja boleh terpejam.

Menarik nafas perlahan Hani Wardah melepaskannya semula. Memberat hatinya ingin bercerita lanjut tetapi dia harus juga. Takkan dia mahu membelakangkan suaminya pula.

“ Ann kena halau dengan mak mertua dia. Mak mertua dia dah tak bagi dia duduk di rumah arwah suaminya tu. Sebab tu Ann datang rumah kita minta tolong. Hani kesian dengan dia. Sebab tu Hani benarkan dia duduk sini. Dia cakap nanti dia cari tempat tinggal lain. Sekarang ni dia nak cari kerja dulu.” terang Hani Wardah.

“ Hah! Kena halau? Tapi kenapa dia tak balik kampung je?” soal Zen Huzaini terkejut. Setahunya mak dan ayah Ann Layli ada rumah dikampung. Selalunya anak akan pulang ke pangkuan mak dan ayah jika berlaku sesuatu hal atau masalah. Berkerut dahinya memikir tindakan pelik Ann Layli itu.

“ Hani pun ada tanya tapi katanya tak mahu susahkan mak dan ayah dia. Dia risaukan kesihatan ayah dia makin serius kalau tahu dia macam ni. Jadi, dia harap sangat Hani dan abang boleh tolong dia. Boleh kan bang!” Tangan Zen Huzaini dilelar berkali minta persetujuan.

“ Hmm, nantilah abang fikir.” Zen Huzaini menyandarkan badan ke dada sofa semula. Bertambah letih jadinya bila mendengar perkara itu.

“ Lah, nak fikir apanya bang. Dia dah tinggal sini dah pun. Abang izinkanlah. Dapat juga Hani kawan. Tak adalah boring sangat. Abang pun bukannya selalu ada dengan Hani. Sibuk aje kerja.” getus Hani Wardah tak puas hati.

“ Sayang sedar tak apa yang sayang cakap ni. Abang bukan tak bagi tapi cuba sayang fikir masak-masak. Abang ni kerja syif. Kalau siang tak apalah. Kalau malam macam mana. Abang balik kerja pagi dia ada di rumah. Sayang tu pulak dah ke tempat kerja. Takkan abang nak duduk sebumbung dengan dia pulak. Karang cerita lain pulak yang jadi.” ujar Zen Huzaini memahamkan isterinya.

“ Yang tu abang jangan lah risau. Hani dah fikir masak-masak dah. Esok Hani cuti. Lagipun Hani dah janji dengan Ann nak tolong dia cari kerja sampai dapat. Abang izinkan ye!” pinta Hani Wardah. Matanya dikerdipkan berulang kali menayang wajah comelnya.

“ Nak cari kerja apa? Confirm ke boleh dapat esok jugak. Hari-hari yang lain macam mana?” tebak Zen Huzaini. Risau sungguh dia. Tapi Hani Wardah kemain konfiden.

“ Esoklah kita orang cari. Kelmarin dan semalam pun Ann dah isi form dan hantar resume online. Tunggu company tu reply je. Diorang kata dua tiga hari bekerja dah boleh dapat keputusan.” tambah Hani Wardah semula.

Tak menjawab Zen Huzaini kembali bersoal lagi kerana masih tidak berpuas hati dengan cerita isterinya tentang Ann Layli tersebut.

“ Kenapa mak mertua dia halau? Bukan ke rumah tu rumah suami dia. Bukannya rumah mak mertua dia pun.”

“ Ann kata mak mertua dia memang dari awal berkahwin dengan arwah lagi tak suka dengan dia. Tak tahu kenapa dan sebab apa. Pasal rumah tu arwah Muqri dah tukar nama mak mertua dia. Sepatutnya rumah tu arwah hibahkan pada Ann tapi tak tahu kat mana silapnya sampai jatuh ke tangan mak mertua dia.” sambung Hani Wardah beria.

Zen Huzaini termenung mendengar. Ah, benar-benar berat masalah yang di tanggung Ann Layli ni.

“ Tak ada surat hitam putih ke? Kenapa suka-suka je boleh bertukar hak milik. Gila harta ke mak mertua dia tu!” Menggeleng kepala apabila lelaki itu mendengarnya. Sangat tak masuk akal.

“ Yang tu Ann pun tak tahu katanya. Boleh lah bang.. Izinkan Ann duduk sini sementara dia dapat kerja.” desak Hani Wardah.

“ Kalau tak dapat macam mana?”

“ Hmm..kalau tak dapat Hani sewakan mana-mana bilik sewa untuk dia sementara waktu.” cadang Hani Wardah. Dia sudah berfikir sebaiknya bagaimana cara mahu membantu Ann Layli.

“ Okey baik abang izinkan. Tapi kalau dalam masa seminggu ni tak dapat juga kerja bagitahu dia kita hantar dia balik kampung. Bahaya dia nak survive seorang diri kat bandar besar macam ni.” Setelah berfikir baik dan buruk kata-kata isterinya, akhirnya dia bersetuju. Selagi tak bersetuju, selagi itulah seribu alasan yang akan dikemukakan Hani Wardah.

“ Thanks. Sayang abang!” sengih Hani Wardah. Dia berasa lega dan gembira kerana dapat meyakinkan suaminya serta berjaya mendapatkan keizinan lelaki itu.

“ Huh, ayat manis kalah gula. Mentang-mentang dah dapat apa yang dia nak kan! Kalau tak kemain susah lagi nak bersweet-sweet!” perli Zen Huzaini. Hujung alis matanya mengerling Hani Wardah. Geram saja dia dengan perangai si isterinya itu.

Hani Wardah mencerlung matanya. Geram dipersenda Zen Huzaini.
“ Abang tak baik mengungkit tau!” matanya membulat.

“ Bukan mengungkit. Kenyataan. Dah abang nak tidur ni.” ujar Zen Huzaini lalu merebahkan tubuh ke sofa.

“ Takkan abang nak tidur dekat sini. Pergi masuk bilik kalau nak tidur.” Hani Wardah menampar bahunya perlahan.

“ Tak apa, nak rehat sekejap je.” gumam Zen Huzaini dengan matanya yang dah terpejam.

“ Tak boleh. Kan Ann ada kat rumah kita. Nanti dia keluar tengok abang ada dekat sini macam mana. Abang tu dah la tidur tak sedar diri. Karang tertayang benda pelik-pelik susah pulak.” bebel Hani Wardah. Dia bangun lalu menarik tangan suaminya yang sudah memberat.

“ Apa yang pelik? Hish, orang nak tidur pun macam-macam peraturan pulak.” gumamnya lagi tak puas hati. Sengaja memberatkan lagi badannya agar si isteri tidak boleh menariknya bangun dari tidur. Dia benar-benar mengantuk saat itu.

“ Ikut sukalah. Kang kalau Ann jerit lagi siap abang!” getus Hani Wardah lalu melepaskan tangan suaminya dan beredar dari ruangan tamu tersebut.

Manakala Zen Huzaini terus menyambung aktiviti tidurnya dengan nyenyak sehingga subuh menjemput beberapa jam selepas itu.

****

Setelah pulang ke rumah babanya baru Benz Fahri berkesempatan menilik telefon. Dia terkejut apabila melihat dua puluh satu panggilan tak dijawab dan tujuh pesanan dari aplikasi whatapps serta dua pesanan SMS. Kesemuanya dari bondanya Puan Ruhana.

Menarik keluh dia bersandar santai di tiang pergola. Kaki disilang dua dan di bawa melunjur. Ketika itu, dia baru saja selesai menunaikan solat isya dan membawa diri berehat di situ. Mahu mengambil angin malam yang terasa tenang dan damai setelah seharian menemani Tan Sri Zahid bertemu kenalan lamanya.

Angin malam yang dingin serta suasana yang ditemani bunyi cengkerik itu terasa sangat mendamaikan hatinya.

Tidak berlengah dia mula mendail nombor Puan Ruhana. Beberapa saat menunggu akhirnya panggilan tersebut berjawab.

“ Ya, bonda.” Senyum menarik pinggir bibirnya. Sebelah tangan di bawa meraup juntaian anak rambut kebelakang.

“ I'm sorry bonda. Ada hal sikit. Mungkin sehari dua Ben dekat sini. If habis awal urusan tu Ben balik. If not it might be take a few more days.”

“ Bonda tak perlu risau. Jangan dengar cakap abang Tiar tu bonda. Cerita dia semua lebih sudu dari kuah. I'm totally fine and thanks for the concern.” Pelipisnya digosok perlahan.

“ Nope bonda. I'm not in Thailand. Still in local place.” Senget hujung bibir kanannya lalu tersungging. Keluh nipis ditarik perlahan.

“ What!” Terjongket keningnya mendengar cerita dari pihak bonda setelah beberapa minit mendengar lanjutan cerita dari pihak bondanya.

“ Totally not! Ben takkan buat kerja gila macam tu lah Bonda. Kalau Ben nak jumpa bakal besan bonda pun Ben akan bawa bonda sekali.” Muncungnya pula naik berdepa. Ah! tak guna betul teori Megat Bakhtiar ni. Berdongkol geram hatinya dengan cerita dari bonda.

“ Takkan nak bawak anak dara orang kahwin lari. Allah bonda! Ben masih tahu dosa pahala. Halal haram. Ben tak akan belakangkan family sendiri.”

“ Iya bonda, bonda jangan risau okay. Ben tak ada kena mengena dengan kes kidnap ke kahwin lari ke jumpa bakal mertua ke apa. LGBT punya isu lagi la bukan. You have to trust me. Your son is a guy and masculine.” Sengihnya memandang tubuh sendiri.

“ I'm pretty sure. Yes you've not to worry about that. This matter something more to my future bussiness.”

“ Bonda dah makan? Jangan lupa makan ubat dan vitamin. Rehat dengan cukup. Apa-apa bonda bagitau Ben ye.” Anggukannya amat tertib sekali. Seketika dia menengadah ke langit memandang pekat malam yang tenang itu. Damai.

“ Okay bonda, I have to go. If anything I let you know. Rest and keep a good mind there. Love you beyond.”

Beberapa minit kemudian talian diputuskan Puan Ruhana. Benz Fahri mendesah lega.

Huh!

Baru beberapa jam MIA berbagai versi cerita yang dah selamat keluar dari mulut abangnya Bakhtiar dan kakaknya Julia ke pengetahuan Puan Ruhana. Nyaris tidak sakit jantung dia mendengarnya.

Telefon dikembalikan ke dalam poket seluar semula. Dia tersenyum lega walaupun sempat juga telinganya mendapat beberapa cecehan bonda kerana lambat memberitahu keberadaan dirinya yang M.I.A itu.

“ Hai bang, sengih aje. Muka ada happy. Sembang dengan kekasih ke?”

Suara Azhan Wadif menyentak ketenangannya itu. Benz Fahri tersenyum. Kedua kaki yang melunjur diturunkan ke bawah. Dia beranjak ke tepi memberi ruang kepada adik sepupunya itu.

“ Muka abang yang macam mat bangla ni ada ke yang orang nak buat kekasih? Buat kuli boleh la.” telunjuk di bawa ke hadapan muka sendiri ketika bersoal dengan Azhan Wadif.

“ Mat Bangla pun hensem dah sekarang ni bang! Abang tu sepuluh kali hensem dari mat bangla. Dah la hensem, kaya, baik macam ni mustahil tak ada orang nak buat kekasih. Ke abang memang ada kekasih tapi saja tak nak cerita kat Han?” giat lelaki itu. Dia melabuhkan duduk di sebelah Benz Fahri.

“ Zaman sekarang ni perempuan cari full package tau. Takat muka hensem poket kering tak adanya diorang nak buat boyfriend. Abang semua package dah cukup lengkap mustahil tak ada orang yang nak?” tambahnya lagi.

Terkekeh Benz Fahri mendengarnya. Dia menggeleng kepala. Tak pernah pun sekali dia terfikir yang dirinya tu hensem, kaya dan seangkatan dengan yang disebut Azhan tadi. Dia masih lelaki yang tipikal. Lelaki yang lebih memntingkan adab dan akhlak. Baginya untuk mencari pasangan ini bukan mudah. Perlu berhati-hati kerana ini melibatkan soal hati dan perasaan. Malah jika dia telah ditakdirkan bertemu dengan pasangannya itu nanti pun dia tidak suka dengan hubungan yang tiada komitmen. Tidak untuk sekadar dijadikan teman suka-suka. Cukup ada chemistry dan pandai membawa diri sesuai keadaan. Dan dia mahu hubungan itu terus kearah perkahwinan.

“ Bukan kau cakap hari tu dah cop abang nak buat bakal abang ipar ke?” tiba-tiba satu suara dibelakang menyela.

Kedua anak muda yang berborak santai itu menoleh. Kelihatan Azlan Waqif sedang merapati mereka.

“ Memang la aku dah cop hari tu. Tapi kalau soal hati dan perasaan orang tak kan aku nak masuk campur jugak. Kalau abang dah ada yang empunya takkan la aku nak suruh abang putus dengan kekasih dia and pilih kakak kita tu pulak.” balas Azhan Wadif semula.

“ Oh camtu eh.” Azlan Waqif tayang sengihnya.

“ Korang kalau nak tahu sifat fizikal ni subjektif tau. Pada abang, kalau nak pilih ciri-ciri pasangan tu bukan saja kena pilih dari segi rupa, pangkat dan harta saja. Aspek dalaman pun perlu diambil kira. Katakanlah dah pilih pasangan yang cun, baik dan berharta lepas tu kahwin tiba-tiba bercerai berai pulak. Sebab apa? Sebab tak sependapat. Tak sehaluan. Tak berakhlak dan tak beragama. Contoh dari segi pemikiran dan sifat peribadi seseorang. Kan dah bertambah masalah.” tukasnya memberi pandangan dirinya.
“ Jadinya, nak pilih pasangan ni kena berhati-hati. Kena ambil kira semua aspek. Dan yang paling penting kena tahu diri. Kalau diri pun tak baik tungang langgang macam mana Allah nak bagi pasangan atau teman yang macam kita nak. Lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik dan juga sebaliknya.” nasihat Benz Fahri.

Terangguk-angguk Azlan dan Azhan mendengar nasihat dari Benz Fahri.

“ Habis tu tadi Han tengok abang sekejap sengih, sekejap senyum bukan cakap dengan kekasih ke?”

Benz Fahri tersenyum. “ Yang tadi tu ratu hati abang.” selanya.

Azlan dan Azhan garu kepala yang tak gatal sambil bertatapan hairan sesama sendiri.

Benz Fahri mendepakan tangannya memaut kedua tubuh Azlan dan Azhan yang berada di kiri kanannya mendekat.

“ Lazimnya ratu ni untuk siapa?” soal Benz Fahri apabila terlihat wajah kedua kembar itu yang masih kehairanan.

“ Mestilah untuk perempuan.” ujar Azlan Waqif.

Azhan Wadif turut mengangguk setuju dengan pernyataan si kembarnya itu.

“ Betul tapi selalunya lebih kepada darjatkan? Jadi darjat seorang ratu sesuai untuk siapa?”

Setelah agak berfikir panjang serentak Azlan Waqif dan Azhan Wadif tersengih lalu menyambung kata semula.

“ Untuk ibu!”

“ Pandai pun.”

“ Korang panggil mama Amirah tu mama kan. Abang pulak panggil auntie Ruhana korang bonda. Wanita yang melahirkan cahaya matanya tak kira la lelaki ke perempuan ke perlu disanjung tinggi dan dihormati. Dialah sebaik-baik ibu yang melahirkan zuriatnya. Darjat yang paling tinggi buat seorang wanita apabila dia telah melahirkan anaknya yang dianugerahkan Allah kerana pengorbanannya yang tak ternilai di sisi seorang anak. Jadi, kita perlu patuh, hormat dan menyayangi serta mengasihi ibu kita selayaknya dia. Sebab tu ibu kita adalah ratu dalam hidup kita.”

Ibu..

Ibu..

Engkaulah ratu hidupku..

Bila kami berduka, engkau hiburkan selalu..

Serentak Azlan Waqif dan Azhan Wadif menyanyikan lagu latar dari iklan susu fernleaf yang pernah popular di layar kaca suatu ketika dulu.

Terhibur Benz Fahri dengan suara nyanyian duo kedua beradik itu. Tergeleng kepalanya melihat keletah dua beradik itu.

“ Oh, kiranya tadi abang sembang dengan auntie Ruhana la tu. Aduh! mati-mati Han ingat abang sembang dengan kekasih.” Azhan Wadif tepuk dahi menggeleng.

Anggukan Benz Fahri membuatkan Azlan Waqif ketawa berdekah.

“ Tula kau menyibuk lagi. Kan dah salah faham. Lain kali bagi salam dulu baru nak masuk campur hal orang. Ini tak, main redah je. Kan dah salah!” getus Azlan Waqif.

“ So abang memang tak ada kekasih la ni!” ujar Azlan Waqif.

Menggeleng Benz Fahri menjawab pertanyaan nakal adik sepupunya itu.

“ Umur abang berapa?” Azlan bersoal lagi.

“ Almost 32”

“ And at this age you doesn't have any girl yet?”

“ Nope.”

“ Secret admire ke crush ke tak de jugak ke? Abangkan belajar sampai UK nun! Awek-awek mat saleh tak ada yang berkenan eh?” soal Azhan Wadif pula masih tak percaya.

Tersedak liur Benz Fahri dibuatnya. Sedikit perih tekaknya selepas tersedak air liur yang tak sempat ditelan itu. Mendengar pertanyaan Azhan Wadif yang sememangnya suka bercakap lepas itu membuatkan Bena Fahri menjulingkan matanya. Kembar itu terlalu sibuk sekali dengan kisah zaman mudanya. Tidak seperti Azlan Waqif yang lebih suka memerhati saja.

“ Abang ni dah berusia la Han. Benda-benda remaja macam tu dah tak sesuai and relevan dengan abang. Kalau abang nak cari patner pun mungkin terus buat isteri je atau serahkan jodoh pada yang berkuasa. Tak cukup masa la nak fikir hal yang remeh temeh and bazirkan waktu nak bercinta bagai. Lagipun dulu masa abang banyak di habiskan untuk belajar. Tak sempat nak cari girlfriend. A friend of me call me a nerd boy some old days cause i'm always laydown at library. They called me a bookworm and schoolholic too.” sengihnya ketika mengingati dirinya di UK dahulu. Kehidupannya di sana amat membosankan kata salah seorang rakan di universitinya dahulu. Masakan tidak lifetimenya hanyalah di library, kelas dan rumah bersama buku saja. Ketika cuti semester juga dia banyak menghabiskan masanya dengan melawati negara-negara Eropah yang lain. Dia suka menghabiskan waktu dengan mengembara dan mencari pengalaman.

“ Bagi abang yang penting sekarang ialah nak balas budi auntie Ruhana and babah je. Diorang dah banyak berkorban untuk abang berjaya dan capai cita-cita abang.” sambung Benz Fahri lagi.

“ Then umur berapa abang estimed untuk settle down. Tak rasa hidup abang bosan ke sekarang ni? No friend, no girlfriend, either crush! Abang selalu je ada dekat sini dengan kita orang. Jarang la Han nampak abang keluar hangout kalau hujung-hujung minggu.” soal Azhan lagi.

“ Belum terfikir umur berapa. Jodoh ajal maut dekat tangan tuhan. Kalau ada jodoh ada la. Kalau tak de pun it's okay. Mana tahu hidup abang bosan?” tercongek kening Benz Fahri dengan telahan si Azhan Wadif itu. Memandai je dia dengan teori sebegitu.

“ Yelah, dah selalu sangat abang lepak dekat sini. Siang abang kerja. Malam minggu mesti dekat sini jugak. Kalau tak nampak muka abang, mama cakap abang keluar dengan babah. So, Han assumed kitaran life abang sejak balik dari UK ni membosankan lah.” ujarnya.

Benz Fahri tergelak. Tak sangka sampai begitu sekali Azhan Wadif memerhatikan kitaran kehidupannya.

“ Abang dah biasa macam tu. Kerja abang banyak dan mencabar. So abang akan tumpukan sepenuh perhatian pada kerja. Dahtu, belajar sampai jauh-jauh langkau benua takkan lah nak bazirkan waktu. Mesti nak buat yang terbaik untuk syarikat. Han pun tahukan company abang tu macam mana. Tak cukup kakitangan. Abang dan Abang Tiar kena usaha lebih untuk majukan syarikat tu.” terangnya lagi.

Terangguk-angguk kepala Azhan Wadif mendengar cerita Benz Fahri.

“ Lan doakan abang cepat bertemu jodoh kalau macam tu supaya hidup abang tak adalah membosankan lepas ni.” ujar Azlan Waqif pula.

“ Insha Allah.”

“ Bang, Han tanya sikit boleh?”

“ Sure?”

“ Selalu abang keluar dengan babah tu pergi mana selain bawa babah pergi check up? Sebab semenjak dua menjak ni Han tengok babah nampak happy. Berseri-seri muka dia. Kesihatan dia pun nampak semakin okay.”

“ Tak kemana pun. Saja bawak babah jalan-jalan. Hari ni, abang bawak babah balik kampung dia. Jumpa kawan-kawan lama dia. Bawak dia tenang-tenangkan fikiran. Han dan Lan pun tahukan babah tu sekarang ni susah hati. Selagi dia tak jumpa dengan anak perempuan dia tu selagi tulah dia sibuk ajak abang cari.” ujar Benz Fahri.

“ Oh patutlah. Erm..cakap pasal anak perempuan babah tu macam mana progress nya? Any clue?” soal Azlan Waqif. Rasanya sudah berbulan juga semenjak dia mengetahui tentang hal itu, namun sehingga sekarang belum diketahui mereka sekeluarga. Masihkah babah tidak dapat menjumpai anak perempuannya yang amat ingin dia temui itu?

Wajah Benz Fahri sedikit berseri apabila mengingati tentang pencarian anak perempuan Tan Sri Zahid itu yang hampir sampai ke penghujungnya. Namun, teringat dia akan pesanan Tan Sri Zahid yang berharap dia menyimpan rahsia itu terlebih dahulu sehingga dia bertemu empat mata sendiri dengan anaknya. Setelah itu, barulah mereka akan membuat pengumuman tentang pertemuan dengan satu-satunya puterinya bersama arwah Sharifah Aini Latifah.

“ Dalam proses pencarian lagi. Korang doakanlah pencarian abang dan babah tu berhasil.”

“ Ye ke. Insha Allah. Tak sabar Han nak jumpa kakak. Harap babah cepat sihat la kan.”

“ Yup. Harap babah cepat sihat dan terus sihat.” tambah Azlan Waqif.

Flashback!!

Benz Fahri memimpin tangan Tan Sri Zahid dengan berhati-hati menuju ke rumah yang berada di hadapan mereka.

“ Ben.” perlahan bibirnya menyebut sebaris nama itu.

“ Ben kan!” tegur lelaki yang sedang duduk di atas kerusi roda itu sebaik Benz Fahri merapati laman rumahnya bersama Tan Sri Zahid di sebelahnya.

Bersinar matanya melihat kedatangan anak muda itu. Namun, dalam gembira ada juga ragunya. Apa tidaknya, dia merasa hairan. Menurutnya, bagaimana anak muda bernama Ben itu tahu alamat rumahnya. Perjumpaan mereka sebelum ini pun secara kebetulan saja. Tidak pernah pun dia, malah isterinya Hasnah mengkhabarkan di mana alamat dan tempat tinggal mereka di kampung itu.

“ Macam mana Ben tahu rumah pak cik?” soalnya pelik. Tetapi, tetap juga dia mengalukan kehadiran anak muda itu bersama seseorang di sebelahnya.

Benz Fahri tersenyum nipis. Tidak segera menjawab pertanyaan Zahid kerana tidak tahu membilang apa dan bagaimana untuk menjelaskan kerana di fikirannya juga turut dipenuhi beribu soalan. Yang jelas, dia terkejut kerana tidak menyangka yang pencarian mereka berakhir di rumah pasangan suami isteri ini. Namun dalam terkesima itu, dia melangkah juga dua tapak ke hadapan untuk bersalaman dengan lelaki itu.

“ Alhamdulillah sihat. Lama pak cik tak jumpa kamu. Ada apahal kemari? Itu siapa?” soal Zahid. Seketika wajahnya di bawa berpaling ke arah seorang lelaki bertongkat dan berkaca mata hitam di hadapan mereka ketika itu.

Sementara Tan Sri Zahid yang berada sedikit kebelakang mendengar pertanyaan dari lelaki yang berkerusi roda itu lantas tersenyum. Menurutnya, anak saudara itu berkemungkinan telah mengenali lelaki itu sebelum pertemuan hari ini. Sedikit sebanyak dia merasa lega.

“ Ini babah saya pakcik. Kami..”

Belum sempat Benz Fahri menjelaskan maksud kedatangan mereka Tan Sri Zahid terlebih dahulu mengangkat sedikit tangannya lalu menyentuh bahu Benz Fahri agar tidak melanjutkan bicara. Benz Fahri yang memahami bahasa lelaki itu akhirnya diam dan memimpin Tan Sri Zahid lebih mendekat.

“ Tak apa Ben, biar babah aje yang bercakap.” sela Tan Sri Zahid. Benz Fahri mengangguk.

Perlahan melangkah Tan Sri Zahid tersenyum getir sebaik melihat seraut wajah yang telah lama dia cari demi menemui seorang anak perempuannya yang telah lama hilang. Dialah yang perlu menyatakan maksud kedatangan mereka ke situ dan bukannya anak saudaranya itu.

Hatinya sudah tidak dapat disabarkan lagi. Masih seperti dulu suara itu penuh santun melayan tetamu sekalipun orang asing yang datang. Walau sudah hampir tiga puluh tahun tidak bersua, suara lelaki itu masih kukuh di pendengarannya. Terdengar masih sama cara layanannya. Membuatkan Tan Sri Zahid dihambat rasa rindu yang bukan sedikit. Malah dia terasa harinya pada hari itu cukup bermakna dan istimewa.

“ Zack!” serunya.

Mengecilkan mata, Zahid merenung tekun cuba mengenali susuk di depan. Namun, disebabkan matanya kurang jelas dia tidak pasti akan siapakah gerangan yang menyerunya sehinggalah Tan Sri Zahid membuka kaca mata hitamnya.

“ Kau tak kenal aku Zack? Aku Zahid.” ujar Tan Sri Zahid sekali lagi. Terketar-ketar tangannya cuba menggapai tubuh Zahid yang berada di atas kerusi roda itu.

Melihatkan itu, cepat saja Benz Fahri membantu babahnya memaut tangan Zahid yang berada di hadapan.

“ Tuan Zahid ke? Allah! Has mari ke depan Has. Tengok siapa yang datang ni Has. Allah! Allahuakbar!” tergugu suara Zahid lalu memeluk erat tubuh dihadapannya itu. Menggeletar seluruh tubuhnya tika itu. Dengan lafaz syukur dia memeluk erat tubuh Tan Sri Zahid.

Berkali-kali dia menepuk bahu lelaki itu bersama titisan air mata yang meleleh laju dari pelupuk mata. Air mata kegembiraan buatnya setelah sekian lama dia berdoa. Hari ini, ternyata Allah telah memakbulkan doanya. Sungguh dia terharu.

Puan Hasnah yang baru saja keluar dari bilik setelah solat Zuhur bergegas ke ruang beranda di depan sebaik mendengar suara panggilan suaminya. Tak sedap hati kerana suara suaminya yang kedengaran agak lain. Risau sesuatu yang tak diingini berlaku.

“ Has oh Has.. Cepat sikit!” kali kedua Zahid menyeru isterinya.

Buru-buru Hasnah melajukan langkah ke ruang hadapan. Bertambah tidak sedap hatinya. Langkahnya mati sebaik tiba di situ. Pandangannya menyaksikan suaminya yang sedang berpelukan dengan seseorang.

“ Kenapa bang?”

Zahid dan Tan Sri Zahid akhirnya melepaskan pelukan. Sinar bahagia jelas terpeta di wajah keduanya.

Tan Sri Zahid dibantu Benz Fahri meluruskan tubuhnya sehingga berdiri tegak semula manakala Zahid memusingkan kerusi rodanya mengadap Hasnah di belakangnya.

“ Awak tengok siapa yang datang ni Has. Awak ingat tak siapa ni?” ujar Zahid. Suaranya begitu ceria walaupun kedengaran tenggelam timbul dek suara yang serak akibat menangis tadi.

Seperti suaminya, Hasnah cuba mengingati lelaki dihadapannya itu. Setelah beberapa saat cuba menggali kotak ingatan barulah dia mengingati. Lantas, air matanya juga meluruh. Sebak mula bertandang ke laman hatinya.

“ Tu..tuan!”

Tan Sri Zahid mengangguk mengiakan lalu tersenyum gembira. Syukur kerana kedua suami isteri itu masih mengenalinya setelah hampir tiga puluh tahun tidak bertemu sua.

“ Ya Allah tuan, tak sangka Allah masih menemukan kita. Alhamdulillah Allah dah makbulkan doa saya.” ujar Hasnah sebak. Air mata yang merembes di pipi cepat diseka dengan hujung lengan baju.

“ Masuklah tuan. Kenapa abang tak ajak tuan masuk. Jemput tuan.” pelawa Hasnah. Seketika dia memandang ke sebelah Tan Sri Zahid dan baru terperasan akan seseorang yang dia ingati lalu melemparkan senyuman kepada anak muda itu.

“ Ben kan!” sela Hasnah.

Benz Fahri mengangguk senang. “ Ya mak cik. Mak cik apa khabar?”

“ Alhamdulillah. Sihat. Masuklah.” pelawa Hasnah juga.

Tan Sri Zahid melangkah diiringi Benz Fahri masuk ke dalam rumah setelah dipelawa kedua suami isteri itu.

“ Maaflah tuan kalau tuan rasa tak selesa. Rumah kami ni kecil je.” ujar Hasnah sebaik membawa dulang berisi air ke ruang tamu.

Hasnah menuangkan air teh o panas ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada tetamunya penuh hormat dan menjemput mereka minum.

“ Tak apa Has. Rumah kecil pun tempat berteduh juga. Besar ke kecil bukan ukurannya. Yang penting kasih sayang yang wujud dalam rumah tersebut. Besar-besar pun kalau tak bahagia tak ada gunanya.” balas Tan Sri Zahid.

“ Ya tuan, terima kasih sebab sudi datang ke teratak kami. Tuan nampak kurang sihat. Tuan sakit ke? Dah lama sangat kami berdoa semoga dapat berjumpa dengan tuan.” tambah Hasnah.

“ Biasalah Has, Zack..kita ni bila dah berumur macam nilah keadaannya. Sekejap sihat sekejap kurang sihat. Tapi apa pun saya bersyukur di beri peluang dapat berjumpa dengan kamu berdua lagi. Akhirnya Allah makbulkan doa saya. Setiap hari saya berdoa agar ditemukan kamu berdua. Puas saya mencari selama ni, tapi tak berhasil. Tapi kali ini, berkat pertolongan Ben, Allah permudahkan segala urusan saya.” ujar Tan Sri Zahid memulakan bicaranya. Pandangannya di bawa hala ke arah Benz Fahri di sebelah memberi signature terima kasih atas bantuan tersebut kepada anak saudaranya itu.

Terangguk-angguk Hasnah dan Zahid. Tak sangka mereka juga di beri lagi peluang bertemu dengan bekas majikan yang sangat baik itu. Tak terbalas rasanya dengan kebaikan yang diberikan kepada mereka suatu masa dulu.

“ Boleh saya tahu tuan dengan Ben ni apa kaitan? Kami berdua baru aje kenal dengan Ben ni, itupun secara tak sengaja.” ujar Hasnah.

Tan Sri Zahid tersenyum senang. Wajah Benz Fahri di sebelah dipandang seketika. Nah! kan sudah dia bilang kedua mereka telah mengenali anak saudaranya itu.

“ Babah ingat kes Belum Resort tu? Kontraktornya tulah bekas menantu pak cik Zahid dan mak cik Hasnah.” terang Benz Fahri.

“ Oh, ya. Kecil betul dunia ni.” ujar Tan Sri Zahid. Dia kemudian kelihatan tertinjau-tinjau keadaan rumah papan separa batu itu membuatkan Zahid dan Hasnah dapat mengagak apa yang dicari oleh bekas majikan mereka itu.

“ Kamu berdua memang tinggal berdua saja ke di rumah ni? Mana anak-anak?” soal Tan Sri Zahid. Dia tidak dapat mengurungkan niat sebenarnya untuk bertanya saat tiba ke sini. Hati dan perasaannya meluap-luap untuk mengetahui keberadaan anak perempuannya yang dikhabarkan berada di dalam jagaan pasangan suami isteri tersebut hampir tiga puluh tahun yang lalu. Yang dikatakan telah disuruh oleh isterinya untuk membawa lari anak perempuan mereka sebelum wanita itu meninggal dunia.

Menarik keluh, Hasnah berpandangan agak lama dengan suaminya sebelum membuka cerita yang agak sensitif itu kepada bekas majikan mereka. Setelah, mendapat anggukan dari Zahid untuk menceritakan kisah yang terjadi hampir tiga puluh tahun yang lalu Hasnah mula menceritakan segalanya.

“ Allah tu sebaik-baik perancang tuan. Kami tak ditakdirkan untuk mempunyai zuriat selama berpasangan sebagai suami isteri. Tapi kami bersyukur dengan rahmatnya kerana dapat memelihara amanah arwah Puan Sharifah dahulu. Terima kasih kepada arwah Puan Sharifah sebab tinggalkan amanah yang paling berharga buat kami.”

“ Terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk menjadi kedua ibu bapa buat Puteri. Dia seorang anak yang baik. Anak yang taat dan patuh dan seorang anak yang cerdas serta pintar. Malah dia tumbuh membesar menjadi anak yang cantik dan ayu sama seperti arwah ibunya.” Perasaan bahagia cukup terserlah pada wajah Hasnah ketika menceritakan perihal anak perempuan yang dia didik dan beri sepenuh kasih sayang itu kepada bapa kandungnya.

“ Alhamdulillah, syukur. Boleh saya berjumpa dengannya?” timpal Tan Sri Zahid. Wajahnya bergemerlapan bak cahaya ketika mendengar pujian dari Hasnah. Tidak sia-sia penantiannya selama ini mencari anak gadis itu. Langsung dia bertanyakan anak itu.

“ Puteri dah berkahwin tetapi baru saja kehilangan suaminya. Sekarang ada di Kuala Lumpur. Maafkan kami tuan kerana telah membelakangkan tuan sebagai wali. Puteri berkahwin dengan pilihan hatinya. Puas kami membuat carian tentang tuan, tapi semuanya menemukan jalan mati. Cuma kami tak mengiklankan sahaja pencarian itu kerana khuatir ditemui pengikut-pengikut keluarga Syed dan Sharifah, tuan. Kami terpaksa kahwinkan dia dengan berwakil walikan peguam syarie. Harap tuan dapat maafkan kami.” cerita Zahid.

“ Tak apalah Zack. Saya redha dengan apa yang berlaku. Saya nak ucapkan jutaan terima kasih pada kamu berdua sebab sanggup jaga dan pelihara Puteri untuk saya. Lega sungguh saya dengar tentang hidup Puteri. Boleh saya tahu alamatnya? Sudah lama saya mencari dia.”

“ Ben masih ingatkan rumah Puteri?” soal Hasnah kepada Ben Fahri apabila Tan Sri Zahid bertanyakan tentang tempat tinggal anaknya itu kepada Hasnah.

Benz Fahri yang dari tadi diam tidak menyampuk terpanar apabila namanya disebut Hasnah. Berkerut wajahnya. Duduknya juga terus ditegakkan memberi perhatian kepada wanita separuh abad itu.

“ Puteri?” soalnya pusing.

Setahunya dia tidak pernah mempunyai kawan yang bernama Puteri. Tiba-tiba pula Hasnah menyebut dia tentang perempuan yang bernama Puteri. Siapa? Puteri Kayangan atau Puteri Santubong?

“ Ben dah kenal dengan Puteri?” soal Tan Sri Zahid pula.

Lagi bertambah pusing Benz Fahri dibuatnya. Dia tidak tahu siapakah gerangan Puteri yang di sebut kedua mereka.

“ Ben, anak makcik yang suaminya si Muqri tulah Puteri. Puteri Ann Layli. Kamu ingatkan rumahnya di Kuala Selangor tu!” jelas Hasnah cuba mengingatkan.

“ Oh, saya ingatkan makcik ada anak lain.”

“ Tak ada Ben, itulah satu-satunya anak angkat kami. Kami menggugurkan nama awalannya saja. Bimbang dia ditemui oleh orang-orang Syed dan Sharifah. Dia sendiri pun tak tahu tentang kewujudan nama Puteri tu. Maafkan kami tuan.” ujar Zahid menjelaskan dengan terperinci. Wajah bekas majikannya dipandang cuba mencari riak kemarahan kerana dengan sesuka hati merubah nama anaknya itu. Namun tidak ada. Layar wajah Tan Sri Zahid ternyata tenang dan senang.

Semerta Benz Fahri tersenyum senang. Kini, terjawab sudah kisah pertemuan mereka yang seringkali terjadi tanpa di duga. Rupanya, Tuhan terlebih dahulu merencanakan.

Kalaulah dia tahu lebih awal, tidak perlu dia bersusah payah sehingga ke peringkat ini.

Kenapalah dunia ini kecil saja? Terasa dia mahu bersujud syukur di situ juga. Benarlah, pencariannya ini akhirnya dipermudahkan. Lalu, hati yang seringkali terdetak itu terasa lebih nyaman kini.

Setelah berbulan membuat pencarian dan mendapatkan khidmat penyiasat dalam misi itu, penantiannya berakhir. Sungguh dia rasa gembira kerana dapat membantu bapa saudaranya itu menemukan permata hatinya.

*****

Akhirnya terjawab sudah siapakah yang di cari dalam episod kali ini. Yeay! Thanks yang tak jemu tunggu WL update story ni. Alhamdulillah. Big heart to all of you. I'm appreciated lot. Andai ada yg kurang atau terlebih harap dimaafkan. Komen anda sgt dialu-alukan. Lots of Love, 231122 WL (⁠*⁠_⁠*⁠)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience