Bab 21

Romance Series 77048

“ Terima kasih Ajai sudi datang bantu uruskan jenazah menantu pak cik.” Zahid menepuk lembut bahu Zen Huzaini sebaik merapati anak muda tersebut.

Jenazah arwah Muqri baru saja tiba di perkarangan rumah dari hospital. Jenazah tersebut sedang di bawa masuk ke dalam rumah dan diletakkan di atas katil yang telah di sediakan menghadap arah kiblat. Zen Huzaini berpaling saat bahunya ditepuk lembut seseorang. Lantas senyuman dia berikan buat Zahid.

Zen Huzaini baru saja selesai membantu seorang petugas kesihatan dan pemandu van jenazah mengusung turun jenazah Muqri dari kenderaan rasmi hospital.

“ Tanggungjawab kita sesama islam pak cik. Lagipun ianya fardhu kifayah. Tak perlu pun berterima kasih. Hari ini, hari pak cik sekeluarga. Hari depan mungkin hari saya dan keluarga pula. Siapa tahu kan!? Semuanya sudah di tetapkan.” balas Zen Huzaini.

“ Pak cik tak tahu nak cakap macam mana. Semuanya berlaku tiba-tiba. Nasib ada kamu datang membantu. Pak cik tak mampu nak menolong dengan keadaan yang macam ni. Maafkan pak cik kerana menyusahkan kamu.” Zahid memandang tubuhnya sendiri yang kaku di atas kerusi roda itu. Berasa sedih kerana tak dapat berbuat apa sedangkan yang meninggal adalah menantunya. Kini, terpaksa menyusahkan orang lain pula untuk datang menguruskan jenazah ahli keluarganya itu.

Sementara besannya Haji Bakar masih mengalami trauma mendengarkan berita kepergian anak lelaki tunggalnya itu.

Dia tidak dapat membantu menguruskan hal jenazah anaknya dengan keadaannya seperti itu. Malah, turut menjadi kecoh apabila dia terpaksa menangani keributan isterinya Jamilah yang bagaikan histeria sewaktu tiba dari kampung kerana tidak dapat menerima kenyataan tentang kematian mengejut anaknya. Sangka mereka Muqri akan kembali pulih setelah lama mendapatkan rawatan di hospital. Namun, nyata kehendak Allah melebihi jangkauan manusia.

Zen Huzaini duduk berlutut di tepi kerusi roda Zahid. Tangan tua itu disentuh dan mata sayunya di pandang. Senyum di biaskan.

“ Tak apa pak cik. Tak ada apa yang menyusahkan pun. Saya ikhlas membantu. Saya dan Ann dah lama berkawan. Susah dia susah saya. Senang dia senang juga saya. Saya dah anggap dia macam keluarga saya. Selagi terdaya saya akan tolong.”

“ Terima kasih ya Ajai. Kalau tak ada Ajai tak tahulah pak cik. Sudahlah di tempat orang. Kalau di kampung senang pak cik menguruskan. Dengan keadaan pak cik begini memang terbatas sangat. Semoga Allah saja yang balas jasa baik Ajai.” ucap Zahid. Dia menghela nafas kelegaan.

Apabila mendapat tahu tentang pemergian menantunya Muqri, Zahid dan isterinya Hasnah terpaksa kembali ke rumah anak mereka.

Menurut Ann Layli dia mahu mengebumikan jenazah suaminya di tanah perkuburan yang berhampiran dengan kawasan perumahan mereka. Ini kerana lebih afdal sekiranya seseorang yang meninggal itu dikebumikan di tempat terakhir mereka semasa masih lagi hidup. Malah senang juga baginya nanti untuk datang menziarahi.

Zen Huzaini seraya mengangguk lantas senyum segaris. Bahu lelaki tua yang sama baya bapanya itu digosok lembut.

“ Ya, sama-sama pak cik. Insha Allah kalau perlukan apa-apa bantuan pak cik beritahulah saya.”

“ Insha Allah. ”

“ Jomlah pak cik kita ke dalam. Orang ramai dah datang ziarah. Tak baik biarkan jenazah berlama dan lengahkan urusan kebumi. Rasanya sampai masa dah ni.” ujar Zen Huzaini sambil melirik Casio di tangan yang dah menunjukkan hampir pukul sepuluh pagi.

“ Yalah. Marilah Ajai.” Zahid mula menggerakkan kerusi rodanya menghala ke dalam rumah di bantu Zen Huzaini.

Belum sempat gerakan roda kerusi itu, terdengar suara memberi salam. Lantas, kedua kepala mereka berpaling pusing ke belakang mencari punca suara dengan jawapan salam serentak.

Kornea mata Zahid dan Zen Huzaini menyapa susuk tiga orang lelaki berkaca mata hitam serta seorang wanita berkurung kapas bercorak horizontal kelabu dengan kepala berhijab selendang hitam.

Dengan langkah kejap Zen Huzaini mendahului gerakan dari kerusi roda Zahid apabila ambien lelaki yang paling hadapan dengan berkemeja hitam lengan panjang dan slack senada serta retro wayfarer di wajah cukup membuatkan dia tertanya dan berasa hairan akan kehadiran lelaki itu bersama yang lain.

Apakah kaitannya?

“ Tak silap pak cik, anak ni Benj kan!” Belum sempat Zen Huzaini bertanya lanjut, laju suara Zahid meluncur dari sebelah bersoal apabila kerusi rodanya berhenti tepat di sebelah Zen Huzaini.

Anggukan mesra Benz Fahri layarkan.

“ Benz pak cik.”

“ Ya..ya Benz. Ada apa kamu kemari? Nak jumpa siapa?” soal Zahid. Bola matanya melepasi ke belakang susuk Benz. Ada lagi tiga orang di sana. Melihat gaya mereka yang elegen, Zahid beranggapan mereka terdiri daripada pegawai atasan.

“ Ya, ada hal apa Encik Benz?” soal Zen Huzaini mencelah. Lagaknya ala tuan rumah cuba melindungi isi dalam dari di ruak sang penceroboh. Entah kenapa dia berasa tergugat dek wajah tenang itu.

Jauh di dasar hati, tak mampu lagi dah untuk dia berteka teki sendiri dengan akal tentang usul kedatangan lelaki itu tatkala wajah milik Benz Fahri yang dia tanpa sengaja kenal tempohari ketika bertemu di hospital itu hadir di hadapan rumah milik Ann Layli serta arwah suaminya.

Dia mahu mengajukan pertanyaan. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Dalam diam dia merasakan ada saingan antara dirinya dengan lelaki itu. Masakan tidak, lirikan mata lelaki berwajah ala arab itu ketika memandang Ann Layli amat misteri. Sebagai lelaki, dapat dia tebak. Sedikit sebanyak membuatkan hati jantannya berasa tercabar.

“ Saya Sharifah Julia. Ini suami saya Megat Bakhtiar. Ini pembantu syarikat kami Rauf. Kami dari Khazanah Berhad. Betul ke ini rumah arwah Encik Izz Muqri bin Bakar?” suara lunak Sharifah Julia memantul dari belakang badan Benz Fahri memperkenalkan diri apabila adiknya itu mengambil masa agak lama untuk menjawab pertanyaan lelaki berkopiah putih itu. Seraya dua kepala di hadapan setentang Benz Fahri menghala pandangan ke arah wanita itu.

Saat wanita yang berselendang hitam itu memperkenalkan diri mereka kerut di dahi Zen Huzaini pula naik berlapis. Rasanya telinga dia tak salah dengar tadi. Wanita itu menyebut nama Megat Bakhtiar. Dan setahunya nama itu cukup femes dan glamor pada pendengarannya yang selalu disebut ulang-ulang oleh Hani Wardah.

Nah, kan betul saat pandangan matanya berlabuh pada gurat wajah lelaki berbaju kemeja kelabu di sebelah wanita elegen itu tadi. Majikan isterinya! Dan kalau tidak silap, company yang disebut tadi itu juga tempat kerja Hani Wardah.

Allah! Macam manalah dia lupa dan tak perasan Megat Bakhtiar itu yang kadang kala menjadi buah mulut isterinya di rumah.

“ Tuan Megat? What bring you here? ” Zen Huzaini memasakkan bola matanya pada empunya badan. Kedua keningnya terangkat bertanya dengan tangan turut terhulur mahu berjabat.

Manakala Megat Bakhtiar pula yang terpinga. Lelaki di hadapannya itu kenal dirinya. Dan seingatnya dia tidak mengenali lelaki itu.

“ Hani Wardah husband! Inspektor..” tak sempat ayat terakhir Zen Huzaini olah Megat Bakhtiar pula meletuskan ketawa kecil dengan gelengan kepalanya tiba-tiba.

“ Oh! how's a small world. I'm really forgot. Maybe my head planted by all creepy creatures now. I remembered you Inspektor Zen!”

Zen Huzaini angguk.

“ Maaf ganggu pak cik, encik. Kami semua ni datang nak ziarah untuk kali terakhir arwah Encik Muqri. Arwah adalah kontraktor binaan yang sedang berkerjasama dengan syarikat milik tuan dan puan ni.” Rauf pula menceritakan tujuan utama mereka sambil mengarah mata serta telunjuknya kepada Megat Bakhtiar dan Sharifah Julia buat Zahid.

“ Kami baru saja dapat tahu tentang berita ni. Jadi, tuan dan puan saya sebagai teraju utama dan pemilik syarikat datang untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya serta mengucapkan salam takziah buat keluarga arwah.” sambung Jeffri lagi.

Zen Huzaini dan Zahid mengangguk. Mula faham situasi dan letak duduk perkara benar yang tadinya menjadi persoalan kepada akal dan minda mereka berdua. Kini, sudah terang lagi bersuluh akan tujuan kehadiran mereka itu.

“ Oh, kalau macam tu jemput masuklah semuanya. Kami semua dalam proses terakhir untuk membawa jenazah ke tanah persemadian.” terang Zahid lalu menggerakkan sedikit kerusi rodanya memberi laluan untuk ke dalam rumah buat tetamunya.

Mereka semua akhirnya masuk ke dalam rumah dan memberi penghormatan terakhir pada jenazah sebelum beberapa orang dari ahli keluarga si mati mengangkat jenazah ke dalam keranda lalu mengusung masuk ke dalam van.

Sementara Hani Wardah dari jauh memerhati susuk suaminya yang baru saja membantu ahli keluarga dan pemandu van jenazah menguruskan suami Ann Layli di tanah perkuburan itu. Besar bantuan suaminya itu. Dia tahu suaminya mempunyai jiwa yang besar. Tidak pernah berkira untuk memberi bantuan kepada sesiapa. Baik yang dikenali mahupun tidak. Ringan saja tulangnya.

Namun, hatinya tiba-tiba membisikkan perasaan cemburu apabila Zen Huzaini kelihatan mesra terhadap ayah Ann Layli itu. Kelihatan suaminya sangat rajin membantu Encik Zahid yang kurang upaya di atas kerusi roda itu. Seperti suaminya telah mengenali lama pak cik Zahid. Tidak mahu berterusan membuat andaian Hani Wardah abaikan saja perasaan yang datang. Dia merapati Ann Layli yang duduk berteleku di sebelah ibunya Puan Hasnah tidak jauh dari tanah perkuburan itu.

Ann Layli kelihatan mengenakan jubah hitam bersama ibu dan mertuanya Hajah Jamilah. Hani Wardah berjalan merapati mereka. Dia yang baru tiba ke tanah perkuburan itu bersalaman lalu duduk di sebelah Ann Layli. Dia melontarkan senyum segaris pada Ann Layli sebaik wanita itu mengangkat wajah.

“ Salam takziah. Sabar ye Ann. Kuatkan hati dan semangat. Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar.” bisik Hani Wardah seraya menggosok lembut belakang tubuh Ann Layli memberi semangat.

Tidak berkata apa Ann Layli dengan wajah sugul itu mengangguk saja. Jelas terpeta wajahnya yang sedih kerana kehilangan tempat berpaut. Susuknya juga kian mengecil dek derita yang tertanggung sebelumnya. Kini, telah menyandang pula gelaran balu dalam kamus hidupnya. Bertambah kabut dalam episod hidup wanita itu.

Suasana suram kelihatan di perkarangan tanah perkuburan itu. Ianya menyimpan duka seluruh ahlinya.

Esak tangis Hajah Jamilah tuba-tiba mengocak suasana itu. Pandangan Hani Wardah serta yang lain berlabuh pada wanita berusia emas itu. Walaupun sudah berkali suaminya Haji Bakar memujuk namun esak tangis itu masih kedengaran hiba. Dia mengongoi pilu saat jasad terakhir Muqri di bawa turun ke dalam liang. Tangisan hibanya mengusik hati seluruh tetamu yang hadir.

“ Sudahlah Milah. Tak baik meratap macam ni. Kesianlah dekat arwah anak kita tu. Janganlah siksa roh dia. Kamu menangis air mata darah sekalipun tetap takkan kembalikan anak kita.” pujuk Haji Bakar sekian kalinya.

Hajah Jamilah masih mengongoi sedih di bahu suaminya yang duduk agak jauh dari kuburan. Bimbang menganggu pak imam membaca talkin setelah selesai mengebumikan jenazah Muqri tepat pukul sebelas pagi dengan bantuan beberapa kariah masjid dan ahli keluarga yang lain.

“ Milah sedih bang. Muqri jelah anak lelaki tunggal kita. Dialah satu-satunya anak harapan saya. Sanggup diorang bunuh dia. Saya takkan ampunkan dosa orang yang membunuh anak saya hingga ke liang lahad.” Ngongoi Hajah Jamilah lagi. Nyata dia masih belum menerima hakikat.

“ Astaghfirullahaladzim. Bawa mengucap Milah. Kamu bersedih begini takkan kembalikan Muqri semula pada kita. Ajal maut Allah dah tetapkan bila dan sebab apa. Jangan persoalkan. Kerja Allah siapa kita nak menidakkan.”

“ Sabarlah Milah. Banyakkan istighfar. Allah saja yang boleh menghilangkan sedih kita. Jangan meratap macam ni. Berdosa Milah. Tak baik. Ingat Allah banyak-banyak.” pujuk Haji Bakar lagi. Bahu gempal Hajah Jamilah digosok lembut memberi ketenangan.

Dia faham rasa kehilangan Jamilah sebagai ibu yang melahirkan terhadap anak mereka itu. Dia juga sebagai bapa turut berasa sedih. Tapi, apa yang boleh mereka lakukan selain menerima kehilangan Muqri dengan qada' dan qadar dari Allah. Semua yang terjadi adalah ketetapan takdir. Dia dan Jamilah harus redha walaupun amat berat dan sulit. Hanya masa mampu merawat segalanya.

Seluruh ahli keluarga hadir memberi penghormatan terakhir termasuklah Hani Wardah dan suaminya serta beberapa orang dari syarikat kecil Muqri sendiri. Mereka datang memberi penghormatan terakhir pada arwah juga membawa sekalung ucapan takziah buat Ann Layli yang baru kehilangan suami.

Kini, di hadapan tanah merah itu Ann Layli duduk berteleku mendengar bacaan ayat suci Alquran seterusnya talkin serta bacaan tahlil. Usai membaca, mereka mula menjirus air ke atas tanah diikuti guntingan daun pandan serta taburan bunga-bungaan. Ann Layli di beri peluang terakhir untuk berbakti kepada suaminya dengan menjirus air bacaan tahlil tadi. Dalam hati, dia memohon agar urusan suaminya di sana dipermudahkan yang ESA. Dia sudah merelakan semuanya. Sudah meredhakan segala-galanya. Dia tahu semuanya telah ditetapkan sesuai dengan takdirnya.

******

Hani Wardah tersandar lemah di dinding tandas. Benda pipih di tangan di angkat sekali lagi ke depan mata. Masih satu garisan. Kecewa, sayu dan putus asa sekali lagi mengasak jiwanya. Harapannya bertahun masih belum tertunai. Dia tahu suaminya juga turut menaruh harapan dan impian yang sama. Melihat pasangan lain yang baru berkahwin telah mendapat rezeki zuriat membuatkan dia seringkali di hambat perasaan cemburu.

Dari luar pintu tandas, suara Zen Huzaini masih memanggil tak henti.

“ Sayang, bukak pintu ni. Sayang okay ke tu?” gelisah nadanya. Sebaik bangun tidur tadi dia mencari isterinya yang tiada di sebelah. Mendengarkan wanita itu termuntah-muntah dan air pancuran berbunyi dari tandas bilik mereka laju langkahnya menghampiri.

“ Aah, okay.” membalas Hani Wardah dengan suara lemah. Dia yang sudah dua hari muntah-muntah terus membuat ujian pengesanan hamil pagi itu. Malah jadual datang bulannya mengalami perubahan semenjak kebelakangan ini membuatkan dia berasa yakin yang dia telah hamil benih sang suami. Tetapi keputusan dari test kit di tangannya tika itu tak membuktikan sangkaannya.

Mencampak test kit di tangan ke dalam tong sampah kecil di hujung tandas dia menghampiri sinki membasuh tangan seterusnya wajah. Meraup muka dengan seluruh perasaan hampa membuatkan dia terasa begitu lemah. Pili ditutup lalu tuala kecil yang di sangkut di tepi penyidai itu ditarik. Di bawa lap ke muka. Pintu bilik air dikuak dari dalam. Wajah mamai sang suami ditatap sayu.

“ Hey, kenapa ni?” soal Zen Huzaini melihat wajah pucat sang isteri. Tangan sasanya memaut bahu Hani Wardah.

Hani Wardah menggeleng seraya air matanya segera menitis. Zen Huzaini membawa tubuh sang isterinya terus ke dalam pelukan. Digosok belakang tubuh wanita itu yang sedikit panas memberi keselesaan.

“ Sayang kenapa? Muka pucat je? Tak sihat ke?” Zen Huzaini membelek wajah Hani Wardah lalu memimpin isterinya ke katil. Didudukkan isterinya dan dia di sebelah wanita itu. Tangan kanan Hani Wardah dirangkul erat dan dielus lembut penuh kasih. Sekali sekala di bawa ke mulutnya untuk dikucup.

Hani Wardah menggeleng. Hatinya sebak untuk berbicara.

“ Tak apalah sayang rehat dulu. Esok pagi kita pergi klinik.” ujar Zen Huzaini apabila kelihatan Hani Wardah tidak mahu meneruskan kata-katanya.

Wanita itu cuma mengangguk lemah lalu perlahan naik ke atas katil semula. Jiwanya yang kacau itu membuatkan tubuhnya semakin penat. Dia mahu berehat dan tidak mahu menyatakan apa-apa pun pada suaminya. Sementelah melihat wajah Zen Huzaini yang sangat mendambakan zuriat akhir-akhir ini saja membuatkan jiwa wanitanya kian merapuh luluh.

Zen Huzaini amat faham akan situasi yang melanda isterinya yang apabila tidak sihat itu langsung tidak mahu berinteraksi sepatah pun.

Dia membetulkan letak tubuh isterinya yang lemah longlai di atas katil itu. Sekejapan saja Hani Wardah tertidur pulas di dalam pelukannya. Melihat wanita itu kembali tidur dia juga melelapkan matanya kembali.

******

“ Abang ada nampak tak file rumah kita?”

“ File rumah?” Zen Huzaini tercenung. Ligat kepalanya cuba memikir.

“ Kenapa nak cari file rumah malam-malam macam ni?” Zen Huzaini garu kepala. Tak ada angin tak ada ribut isterinya mahu mencari file simpanan segala jual beli rumah mereka terdahulu.

Menghempas duduk ke sofa di sebelah Zen Huzaini yang ralit menatal telefon bimbitnya Hani Wardah memuncung sedepa.

“ Abang ni nampak sangat lupanya. Memang masa latihan polis dulu kepala tu banyak sangat terhantuk kut!”

“ Eh, apasal pulak kepala terhantuk kena mengena dengan file rumah?” Tak puas hati di samakan, Zen Huzaini menyoal. Wajah Hani Wardah yang cemberut masih tak dipandang. Matanya masih ralit turun naik di dada skrin telefon pintar itu dengan kedua belah tangan juga bergerak lancar.

“ Yelah, bila kepala terhantuk banyak la saraf penting dekat otak tu yang putus. Bila putus semua benda la abang lupa.” Nah! Itu dia perumpamaan sesuai di beri.

Masih tak ambil pusing, Zen Huzaini buat tidak dengar. Hani Wardah yang geram tak di endah bangun menuju pintu bilik semula dengan hati yang sebal. Kedua kaki dihentak geram tanda protes.

Bilik di tuju ke arah locker simpanan segala kertas dan dokumen penting. Dia duduk bersila mencari file berkaitan dokumen rumah. Mahu membayar insurans rumah tetapi dia lupa akaun insurans tersebut setelah pegawai insurans menelefonnya pagi tadi mahu mengemaskini insurans itu.

Terlihat sebuah buku biru berbiku di hujung kedua bahagian atas dan bawah Hani Wardah sedikit ragu. Eh! Sejak bila dia ada simpan buku berupa gitu! Tak habis fikir, laju tangannya menarik buku pipih berwarna biru yang terakhir daripada susunan buku-buku jurnal entah kepunyaan Zen Huzaini yang masih di simpan itu. Menyentuh buku biru itu lalu diambil dan di bawa ke atas riba. Dengan tanpa rasa, dia membuka halaman pertama buku yang lebih kepada diari album itu. Terngadah wajah tampan berpakaian lengkap uniform latihan seorang pegawai polis di usia remaja di situ. Hani Wardah tersenyum. Yakin itu barang peribadi milik sang suami tangannya menyelak helaian kedua. Tertancap jelas kornea matanya gambar susuk dua orang remaja lelaki dan perempuan berdiri sama padan bersebelahan dengan senyuman yang entah dan sukar Hani Wardah tafsir. Wajah persis Ann Layli yang tidak bertudung di usia remaja menyentak debaran di dada. Gambar lelaki di sebelah dia tahu dan tak perlu dibesarkan korneanya pun sudah jelas siapa susuk itu. Zen Huzaini. Anak mata di larikan ke arah catatan di sebelah bawah gambar ; A thousand memory to be remembered - Ajai love Ann.

Nah! Terasa jantungnya mahu lucut saat itu. Titipan kata itu benar-benar meruntun perasaan hatinya. Semerta tangannya menggeletar. Masih tak dapat nak mencerna perasaan yang bertandang. Dalam debar yang menggila tangan pantas menutup halaman tersebut. Namun bait patah kata yang tercatat jelas pada lembaran tadi masih terlayar-layar di ruangan minda.

Suaminya pernah mengenali Ann Layli? Ann Layli kah bekas kekasih Zen Huzaini? Dan gitar itu!

Sekarang baru dia perasan dan sedar akan pandangan 'sesuatu' Zen Huzaini pada seorang wanita pemilik nama Ann Layli. Pandangan yang mempunyai perasaan yang sangat mendalam.

Tuhanku! Allahuakbar!

Tangisan tanpa suara sangat menyesakkan dadanya tika itu. Tanpa sedar air matanya mengalir lesu. Jiwanya terasa melayang. Hatinya mula merapuh.

Sayup dari luar bilik suara Zen Huzaini mengelui dirinya. Dengan pantas jemari kanan naik menyeka cairan hangat itu.

Dengan pantas, Hani Wardah mengembalikan buku album itu ke celahan buku yang ada di rak tersebut. Kotak suaranya di betulkan seketika bagi mengembalikan intonasi suara yang hampir serak kerana tangisan dalam diam itu.

Kepala Zen Huzaini terjengul di balik bukaan pintu. Mengitari ruang bilik dan akhirnya tertancap pada susuk Hani Wardah yang duduk berteleku di hadapan kabinet fail setingkat itu.

“ Yang, jumpa tak fail tu?”

Perlahan Hani Wardah pusing badannya mengadap separuh tubuh Zen Huzaini yang di belakang pintu itu. Sayup pandangannya naik menatap wajah polos si suami. Tangan kanan yang memegang buku album diari itu di angkat separa dada di tengah angin.

Gulp! Turun naik halkum Zen Huzaini menelan liur yang tiba-tiba terasa berpasir dan kasar.

Damn it! Macam mana Hani Wardah boleh jumpa album diari tu? Bukankah dia sudah menyimpannya kemas?

Melihat kelopak mata isterinya yang mula di genangi air perasaannya diserang rasa bersalah. Titisan bulir jernih itu lalu menelurusi perlahan di atas ruang pipi lalu membasahi keseluruhan bibirnya yang tergetap-getap menahan perasaan entah apa yang membidik dalam dada.

Ahh kacau!!

“ Abang akan explain but please give me back that book.” pinta Zen Huzaini dengan suara yang sangat gelabah. Roman wajahnya yang tadinya ceria kini bertukar kepada gusar.

Menolak daun pintu luas, dia melangkah kaki merapati Hani Wardah. Laju tangan kanannya mahu menggapai tubuh yang sudah menggigil itu. Namun, caturannya silap apabila ingin saja dia menggapai tubuh isterinya itu sepenuh tenaga wanita yang sedang di lamun kecewa dan terkhianati itu menolak sesungguhnya tubuh sang suami. Tidak sedikit pun membenarkan lelaki itu menyentuh walau sedikit tubuhnya waima seinci kulit pun. Kerana hati yang di tipu itu sesungguhnya sangat sakit dari pelukan nyaman dan kata-kata penjelasan yang sememangnya mahu dia tuntut.

“ Either you explain or not, dont ever think that I'll give you back this roman picisan.” Usai berkata dengan wajah yang membengkak marah tubuh Zen Huzaini dirempuh kasar sehingga lelaki itu terlayah kebelakang tanpa sempat membuat perkiraan. Hani Wardah berlari keluar bersama album diari milik Zen Huzaini dari bilik yang amat menyesakkan dadanya itu.

Zen Huzaini menyauk rambutnya berkali-kali tanda kesal yang tak berkesudahan. Nafasnya turut terengkuh dek tangan yang terkepal kuat membanting dada pintu melepaskan geram dengan diri sendiri.

“ Arghhh!!” Oktaf suaranya menghambur tinggi dan tegang melepaskan bengang yang bermukim di hati.

Salam hujung minggu.. Sedikit hantaran buat pembaca sekalian..thanks yg tggu WL update this short chapter..thanks juga utk silent readers dan buat semua follower yg support WL dari awal. Semoga yg baik baik aje utk kalian.. Selamat Membaca.. Salam Sayang, WL (^^)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience