Setelah tiba di rumah Tan Sri Zahid, Ann Layli melangkah masuk ke dalam. Wajah kedua adik kembar lelaki yang berada di ruangan rehat itu menyapa pandangan.
“ Hai kakak!” Serentak melambai ke arah dia yang baru nak melangkah dengan tangan dipenuhi beg baju dan tote beg apabila mereka menyedari kehadirannya. Tersenyum senang dua beradik itu ke arahnya.
Ann Layli tersenyum manis membalas. Turut menyapa. Lambaian tangan juga membalas sapaan si adik-adik yang sedang duduk di sofa berukir berhadapan dengan televisyen 80 inci itu. “Assalamualaikum.”
Salam bersambut oleh kedua beradik tu. Turut tidak ketinggalan si mamat muka ketat tu pun berada di antara celah budak berdua tu menjawab sapaannya tapi tak memandang sikit pun. Tunduk saja dengan wajah menatap skrin telefon di tangan. Tak pasti apa yang di lihatnya dengan roman serius seperti itu. Yang nyata muka tu memang ketat dan kelat sangat. Entah apa yang tak kena. Tapi sempat juga anak mata dia menangkap gerakan mulut Benz Fahri mengatakan “Manners tu jaga!” sambil menjeling ke arah dua beradik kembar. Terus terangguk kepala budak berdua tu macam burung belatuk. Senyuman ceria tadi pun dah bertukar kepada sengihan separa terpaksa. Kelat semacam!
Mungkin sebab menyapa dia dengan kata 'hai' tadi sedangkan dia membalas sapaan itu dengan memberi salam. Serba salah riak budak-budak tu di lihatnya. Dan dia sendiri sudah terjangkit perasaan serba salah terhadap adik-adiknya itu. Tapi apa nak di kata, terpaksa ucap dalam hati saja perkataan kata ‘sorry’ buat budak berdua itu.
Malas melayan perasaan lagi, Ann Layli teruskan langkah, tapi suara Hasnah pula menyapa dari belakang menyambut ketibaannya membuatkan kakinya terpasak semula di laluan tengah itu.
“ Manja..sampai dah ke?” suara ceria Hasnah menyapa.
Kepala di bawa menoleh ke arah Hasnah. seraya beg baju di tangan diletakkan ke bawah. Dia merapati Hasnah bersalaman lalu mencium kedua tangan ibunya. Eh, tapi kenapa muka mak ceria aje. Macam tak ada hal kecemasan pun! Hairan.
“ Baru mak. Mak, kenapa Encik Ben cakap suruh balik sini. Babah tak sihat ye mak?” Tak menyempat dia bertanya. Risau dan kalut dia bersoal. Mukanya juga terpampang riak cemas.
“ Taklah. Babah yang suruh Manja balik sini..rindu katanya...” sengih Hasnah. Mengerti saat menangkap riak cemas itu. Pasti risau. Alhamdulillah, anaknya sudah boleh menerima keluarga barunya itu.
Allah! Ann Layli picit pelipis. Terkejut dengar pernyataan Hasnah. Maknanya babah tak sakit! Alhamdulillah. Lega. Tapi, dia pula rasa macam nak sakit jantung. Maunya tak, bergegas kalut tak menyempat bila Benz Fahri telefon tadi bagitahu suruh balik ke villa. Dalam hati bedebar punya risau. Fikir segala kemungkinan buruk yang menimpa. Punya nak cepat sampai mandi pun tidak. Sempat solat Asar aje, itupun nasib akal waras mendahului kesedaran yang tak berapa kuat sebab takut jadi apa-apa pada babah kalau dia lambat tadi. Adoi, Ingatkan kecemasan sangat. Padahal babah rindu dia aje! Mak ai, ni betul-betul kena game ni.
“ Rindu? Ann baru je jumpa babah pagi tadi. Baru beberapa jam aje kut mak..” Nafasnya dihela. Lelah. “ Ingatkan babah sakit balik, kelam kabut Manja bersiap datang. Mandi pun tak sempat. Solat Asar pun main baca surah ringkas je. Nasib abang Mat datang jemput. Kalau tak mau lambat sampai.” adu Ann Layli. Terus wajah cemas tadi bertukar riak. Hampa.
Terkekeh Hasnah pandang muka cemberut si anak. “ Memanglah Tan Sri tu sakit, tapi sakit rindu aje! Dah pergi naik. Malam ni kita ada dinner sikit. Lepas tu Tan Sri ada hal nak bincang dengan kita semua.” arah Hasnah selepas memberitahu rancangan tuan rumah itu.
Muncung Ann Layli bertambah berdepa. Hasnah menggeleng. Tak mahu melihat riak dengan muncung tajam seperti paruh burung itu, terus bahu Ann Layli dielus manja. “ Cepat naik mandi. Busuk aje mak bau. Cepat mandi cepat boleh dinner.” Tarik lengan Ann Layli dengan beg baju sekali. Mahu di tarik masuk anaknya ke dalam bilik. Seterusnya membuatkan kedua beranak tu bergandingan berjalan masuk ke bilik tamu.
“ Amboi mak pandai speaking ye!” usik Ann Layli saat mendengar perkataan inggeris keluar dari mulut Hasnah tadi. Jari telunjuk naik mencuit pipi si emak setelah selamat masuk ke bilik.
Hasnah menepis laju dengan sengihan melebar. “ Eh, sejak mak duduk sini mak pandai dah cakap omputih. Kau ingat mak tak pandai ke?”
“ Ye ke mak? Siapa ajar mak? Dulu-dulu kalau Manja ajar mak, macam-macam mak cakap..malas lah, tak reti sebutlah, tergeliat lidah lah..” Provok Ann Layli. Di cuit-cuitnya pinggang Hasnah kiri dan kanan pula sehingga Hasnah tergelak-gelak mengelak sambil melatah.
“ Eh, kiri..eh kanan. Hesy..budak ni!” getus Hasnah. Tangannya naik menahan serangan telunjuk Ann Layli yang masih giat menyerang pinggangnya.
Setelah berjaya menangkis serangan, tangan si anak ditangkap dan dipegang erat. Tubuh mereka di bawa duduk ke birai katil.
“ Tu adik beradik kembar Manja yang ajar mak. Puan Sri pun selalu jugak sembang-sembang orang putih dengan orang dalam rumah ni. Mak dengar aje, faham sikit-sikit sebab Manja pernah ajar mak kan. Encik Ben pun sama; asyik bukak berita orang putih, drama orang putih maunya mak tak pandai.” Wajah bangga Hasnah tayang depan Ann Layli. Bangga sebab dia mulai belajar dari rumah itu dan orang-orang yang ada di sana.
Ann Layli menggerakkan mulutnya berbentuk ‘O’ sambil terangguk-angguk. Sedikit sebanyak dia dapat mengetahui aktiviti orang dalam rumah ini. Taklah dia terasa canggung nanti nak bermesra dan hadam perangai umat dekat sini. Hasnah sudah bercerita serba sedikit.
“ Mak tahu ke babah nak bincang pasal apa malam ni?”
Hasnah jungkit bahu. Wajah pun menayang riak tak tahu. Ann Layli garu kepala yang tak gatal. Masih berfikir dalam kepala tentang isu apa yang nak dibincangkan Tan Sri Zahid tu nanti? Ada masalahkah?
“ Babah ada suruh Manja pindah sini semalam... Mak rasa macam mana?” setelah berdiam beberapa saat, Ann Layli bersuara kembali. Wajah Hasnah di pandang bertanya pendapat.
“ Baguslah kalau macam tu. Bolehlah Manja berbaik dengan Tan Sri dan yang lain. Manja kan dah jadi sebahagian dari keluarga Tan Sri.” ujar Hasnah lembut.
Dia tumpang gembira dengar berita itu. Setidaknya, selepas memujuk Ann Layli untuk kembali ke kampung setelah kematian Muqri; anak itu menolak mentah-mentah permintaannya. Risau dan bimbang saja mengisi harinya semenjak itu. Tapi bila mendengar berita baik ini, dia lega. Setidaknya tak adalah anak itu akan kesunyian dengan kehidupan depannya lagi. Sudah Ada keluarga baru yang boleh beri kehidupan yang baik padanya. Dia boleh menarik nafas lega.
“ Ermm..tapi Manja seganlah mak. Tak rasa Manja ni mengacau ke family babah? Lagipun tu Encik Ben pun duduk sini..”
“ Eh budak ni!” Paha Ann Layli jadi mangsa tamparan sayang Hasnah.
“ Adoi mak ni, sakitlah..” rengek Ann Layli Manja seperti anak kecil. Menggosok tapak tangannya ke permukaan peha nak menghilangkan pedih.
“ Nak segan apanya, Tan Sri tu kan babah Manja. Bapa kandung tau. Bukannya bapak tiri. Nak segan apa? Tu kembar Han dengan Lan pun adik-adik Manja juga. Puan Sri pun baik aje mak tengok layan Manja. Diorang semua happy Manja ada sini. Semua excited pasal Manja tau. Tan Sri tu dari pagi tadi tak habis bertanya pasal Manja. Sikit-sikit Puteri.. Puteri.. Itu Puteri, ini Puteri. Ruhana pun sibukkan pasal Manja tau. Sekecil hal pun di tanya pada mak. Naik rimas mak.” cerita Hasnah lagi.
“ Tak seronok ke dapat tinggal dekat rumah besar macam ni? Mewah lagi.. sekelip mata je jadi anak Tan Sri. Hesy, kalau mak la kan bertuah badan!” soal Hasnah.
“ Manja segan dengan Encik Ben!” Bibirnya digigit menyatakan ketidakselesaan. Memandang saja wajah ketat dan serius lelaki itu buatkan perutnya kecut. Macam tak ada perasaan langsung! Setidaknya sapalah dia dengan senyuman. Ini tidak, asyiknya usung muka ketat tu aje.
Berkerut dahi Hasnah. “ Buat apa segan dengan dia? Dia tu pangkat sepupu dengan Manja aje. Lagipun mak tengok tak adanya dia usik ke kacau Manja pun. Nak bercakap lagi la payah. Pandang orang pun susah. Dia tu bukan selalu ada sini pun. Kalau babah panggil aje baru dia datang. Dia pun ada rumah. Rumah bonda dia pun besar. Tu tak masuk lagi rumah dia dekat Klcc Resident nun.” tokok Hasnah. Tergawang-gawang tangannya ikut bercerita penuh perasan.
Wajah Ann Layli nampak blurr melihat reaksi Hasnah. Apakah kaitan segan dia dengan rumah besar lelaki tu? Tak dapat kepalanya nak mencerna. Lain yang dia tanya, lain pulak yang emak jawab!
Eh mak ni, tahulah BFF dengan mamat muka ketat tu. Kamceng tak kamceng pun takkan pasal rumah dia sana sini semua mak tahu? Jangan cakap semua harta dia ada berapa dalam akaun simpanan pun mak tahu? Ni betul punya siasat ni. Macam nak buat menantu pula dia korek rahsia orang tu. Haru mak oii!
Hasnah menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan. Wajah Ann Layli di tatap lembut. Tapak tangan kanan naik memegang pipi putih si anak. Mahu memahamkan lagi anaknya yang sedang dalam dilema itu.
“ Manja kena terima kenyataan yang sekarang ni Manja dah ada keluarga besar. Ada babah yang sayang sangat dengan Manja. Ada adik-adik. Itukan keinginan Manja dulu. Manja cakap dengan mak teringin nak ada adik-adik macam kawan-kawan Manja. Nak rasa ada family besar macam orang lain. Nak bahagia bergelak ketawa semua. Manja cakap tak adalah hidup manja bosan duduk sorang-sorang. Lupa? Sekarang Allah dah makbulkan doa Manja. Allah dah bagi apa yang Manja minta sebelum ni. Manja kena bersyukur banyak-banyak. Kena berterima kasih banyak-banyak pada Allah tanda kita beriman dengan qada' dan qadar nya walaupun Manja tak sangka inilah saatnya. Lagipun, dengan kesihatan Tan Sri yang tak menentu tu, berbaktilah sebaiknya. Tunaikan segala hajat dan permintaan dia. Tak susah pun nak bahagiakan dia. Mak akan sentiasa doakan kebahagiaan anak mak.” Tak putus nasihatnya. Tangannya turun ke bahu si anak pula. Menggosok memberi ketenangan buat Ann Layli.
“ Tak lupa, tapi mengejut macam ni.. Manja tak tahu nak rasa apa. Lagipun Manja takut penerimaan orang lain pada Manja. Manja takut orang cakap Manja sengaja nak tumpang senang babah. Nak kaut harta babah. Nak ganggu kebahagiaan rumahtangga babah. Mak tengoklah betapa bahagia babah tanpa Manja dua puluh lima tahun ni. Mampu memiliki harta kemewahan, isteri cantik, anak-anak rupawan. Babah boleh je bahagia tanpa Manja. Jadi Manja ada ke tak ada hidup babah baik-baik aje kan?!” tuturnya.
Itu yang dirunsing Ann Layli. Hatinya berbelah bahagi. Dia mula berprasangka yang tidak-tidak. Hatinya berbolak balik. Separuh hatinya mahu mengikut kehendak Tan Sri Zahid tetapi separuh lagi menyuruh jangan. Bimbang di hujani dengan tohmahan manusia lagi. Cukuplah, ibu mertua sendiri menghina diri dan keluarganya angkatnya itu. Sakitnya amat dalam dan sukar untuk menerima lagi umpatan dan kejian jika sesuatu yang bukan kemahuan dia terjadi. Dia sedar diri. Selama ini, bertahun tanpa keluarga kandung, dia masih mampu hidup biarpun bersederhana. Hidup dilingkari kasih sayang yang tak bertepi dari Zahid dan Hasnah membuatkan dia tidak pernah merasa kurang sedikit pun. Dia bahagia walau tanpa kemewahan. Dan dia juga tahu, bermewahan pun buatkan dia tidak bahagia. Cukuplah dahulu hidupnya sebagai isteri Muqri yang dilimpahi kemewahan tetapi bertukar derita tiba-tiba dek bukan kehendaknya.
Pintu bilik tiba-tiba di tolak dari luar. Serentak wajah Amirah dengan senyuman muncul di situ. “ Boleh mama masuk?” kepalanya terjengul di balik bukaan pintu. Ann Layli dan Hasnah kaget. Tadi tak tutup pintu ke? Eh, tutup kut! Itulah, ralit bersembang sampai tak perasan pintu tu bertutup atau pun tidak. Allah!
Hasnah bangun cuak dari duduk menyambut kedatangan Puan Sri Amirah di hadapan pintu. Membuka lebih lebar pintu tersebut. Menjemput. “ Masuklah puan.”
Amirah melangkah masuk. Ann Layli turut bangun dari duduk. Segan. Tangan Amirah dicapai dan disalam hormat. Amirah di dudukkan Ann Layli ke birai katil tadi. Dia dan Hasnah elok berdiri di hadapan wanita itu. Menyerngit wajah masing-masing, risau dek bualan mereka tadi di dengari Amirah. Kini, seakan pesalah menanti hukuman lagaknya.
“ Puteri baru sampai ye? Sorry tadi mama dekat dapur tak perasan Puteri sampai. Datang dengan Ben kan?”
“ Tak apa ma, Ann faham. Tak adalah baru sampai. Dekat sepuluh minit juga lah. Ann datang dengan abang Mat tadi.” jelasnya dengan senyuman.
“ Eh, bukan dengan Ben? Laa.. mama ingat Ben jemput Puteri tadi. Mama dengar babah call dia suruh jemput Puteri. Hesy budak ni..” Terkejut Amirah mendengar penjelasan Ann Layli. Bibirnya diketap geram.
“ Tak apa puan, Manja dah selamat sampai pun. Siapa jemput pun sama je. Ben tu pun baru balik kerja, penat jugak.” ujar Hasnah membela bagi pihak anak muda itu.
“ Budak tu sambil lewa aje. Tan Sri suruh orang lain, orang lain pulak kena sambung buat kerja dia. Tak patut!” bebel Amirah. Kepalanya tergeleng geram.
“ Ma, tak apa Ann okay je siapa yang jemput. Ann pun naik segan siap nak berjemput bagai. Bukannya anak raja pun. Ann boleh je datang sendiri.” ujarnya.
Lengan Amirah diraih lembut. Senyuman manis dilayarkan agar geram wanita itu menyurut. Tidak mahu menjadi penyebab buat hubungan orang lain berantakan. Malah, berasa segan apabila diri menjadi topik bualan semata mamat muka ketat tu tak menjemput dia.
Inilah..Inilah cerita yang dia tak mahu. Bila masuk mencelah suka suki dalam family orang tiba-tiba jadi interupter. Nanti kata dia nak tarik perhatian pulak. Sebab apa? Sebab orang yang dah memang lama dalam family tu bermasam muka pasal orang baru. Tak pasal boleh buat gaduh. Nanti yang buruk dia juga walau dia tak hadap pun nak suruh orang datang menjemput. Kesian betul nasib!
“ Bukan soal anak raja ataupun tak. Ini arahan. Arahan kena turut. Lagipun babah risau keselamatan Puteri. Babah dah arahkan dia, sepatutnya dialah yang kena buat. Bukan orang lain.” Masih seperti tadi, Amirah tetap dengan pendiriannya.
“ Tak apa puan, kali ini maafkanlah dia. Dia tak sengaja tu!” ujar Hasnah memujuk. Meredakan geram Amirah dari terus bermaharajalela.
Sedikit terpujuk dengan nasihat Hasnah, Amirah akhirnya mengangguk saja. Dia tahu Benz Fahri itu kesibukan. Dan mungkin benar, anak itu keletihan kerana baru pulang dari kerja. Malah, kalau nak diikutkan lokasi kerja Benz Fahri dengan Ann Layli adalah berlainan haluan. Hidup di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur ni kerjanya terpaksa mengadap kesesakan lalu lintas yang sangat ekstrim saja. Sabar dengan tak sabar saja.
“ Puteri..” panggilnya. Wajah si anak di pandang sayang, lalu pandangan mereka bertembung. Saat itu, tangannya naik memaut lengan Ann Layli. “ Duduk sekejap sayang, mama ada nak cakap sikit.”
Ann Layli menurut tanpa banyak bicara. Mengambil tempat di katil bersebelahan Puan Sri Amirah, dia melabuhkan duduknya kembali.
“ Err..Puan Sri saya keluar dulu lah ye.” Hasnah berasa tidak senang. Rasanya dia perlu memberi ruang kepada mereka berdua untuk berbual. Bimbang juga kehadiran dia menganggu perbualan keduanya.
“ Tak apa Has.. duduk lah sama. Tak ada yang penting pun. Saya saja nak santai-santai dengan Puteri.” larang Amirah.
Kaki Hasnah yang tadinya dah bergerak berputar nak ke pintu terhenti. Sudahnya pegun berdiri di tempat asal.
Amirah menoleh memandang Ann Layli di sebelahnya dengan senyuman yang tak padam.
Tangan Ann Layli di riba ditautnya kemas. Ditepuk-tepuk lembut. Amirah tarik nafas dan menghembusnya perlahan. Senyuman manis terukir di bibirnya.
Ann Layli dapat merasakan getaran kecil di sebalik tangan yang sedang menaut tangannya itu. Pandangannya di angkat menatap wajah Amirah yang cerah dan bersih itu. Langsung senyuman nipis di hadiahkan buat wanita itu lagi.
“ Ada apa mama?” soalnya.
Amirah menarik tubuhnya ke dalam pelukan dengan tiba-tiba. Terkejut, tetapi dia membiarkan saja. Esak kecil dari bibir tuan yang sedang memeluknya itu mulai kedengaran. Terdengar hiba dan sayu. Ann Layli terpinga-pinga. Namun tangannya naik juga mengelus belakang badan Amirah. Sejenak dia sempat mengerling Hasnah di sebelah tetapi nampak juga wajah ibunya yang terkejut.
Agak lama Ann Layli membiarkan kedua tubuh mereka bersatu dalam pelukan. Membiarkan Amirah melepaskan apa yang tersimpan di dalam hatinya. Suara hiba dari tangisan Amirah membuat hatinya juga turut tersentuh. Entah wanita itu menangisi apa? Benaknya mulai penuh dengan pelbagai soalan. Namun, mulut terkunci untuk bertanya.
“ Mama sabar ya, walaupun Ann tak tahu kenapa mama sedih macam ni tapi Ann nak mama tahu Ann ada dengan mama. You can count on me. I'm glad to hear whatever it is.” ujar Ann Layli setelah Amirah melepaskan pelukan. Tangannya yang masih ditaut Amirah, di balas lebih erat genggamannya. Air mata Amirah yang berbekas di pipi, disekanya lembut. Dia jatuh kasihan dengan wanita itu. Juga sudah jatuh sayang walau baru beberapa kali saja bersua muka. Ya, dia mula jatuh sayang pada isteri bapa kandungnya itu. Setidaknya dia mahu berterima kasih kepada wanita itu kerana sanggup berkorban demi babahnya selama hampir dua puluh lima tahun ini. Sanggup setia di sisi babahnya selepas kehilangan arwah ibunya dan dirinya juga.
Amirah tersenyum. Sudah sedikit lega setelah melepaskan perasaan di hati dan dapat memeluk anak suaminya itu.
“ Terima kasih Ann. Mama terlebih emosi.” ujarnya.
“ It's okay mama.” bahu Amirah digosok lembut.
“ Puteri..”
“ Ya ma.”
“ Boleh Puteri janji dengan mama?”
“ Janji apa ma?” berkerut keningnya.
“ Mama tahu sekarang bukan masa yang sesuai tapi mama berharap sangat yang Puteri takkan kecewakan babah, walaupun semua ni berlaku mendadak dan sangat asing untuk Puteri.” Nafasnya dilepaskan perlahan. Anak mata hazel Ann Layli ditatap dalam.
“ Babah dah banyak menderita. Selama hampir dua puluh lima tahun ni babah tak bahagia tanpa Puteri. Apa yang Puteri nampak hari ini bukanlah apa yang sebenarnya babah mahu. Semua yang babah ada sekarang adalah kerana sebuah tanggungjawab dan amanat. Ini semua milik Puteri. Babah bertahan demi Puteri. Demi nak menjaga semua harta milik Puteri dari tak jatuh ke tangan yang salah. Jadi, mama berharap sangat yang Puteri akan pulang ke sini temani babah sehingga ke akhirnya dan takkan menolak sebarang permintaan dia.
Kami semua sayangkan Puteri seadanya. Ikhlas dan tak pernah terbahagi. Berlapang dadalah dengan aturan Allah. Berilah peluang pada babah dan Puteri sendiri untuk menikmati hubungan kalian bersama. Mama percaya yang Puteri akan lebih bahagia.”
“ Ma, Ann tak tahu nak cakap apa. Betul semua yang jadi sangat mengejut. Ann betul tak sangka selepas dua puluh lima tahun ni Ann sebenarnya masih ada keluarga kandung. Tak percaya pun sebenarnya. Sekelip mata saja kehidupan Ann berubah. Tapi, melihatkan keikhlasan mama Ann akur. Jujurnya, Ann takut dengan tanggapan orang. Ann takut orang akan anggap Ann kembali semata nak rampas kebahagiaan keluarga babah. Ann tak mahu ma. Ann tak nak rosakkan kebahagiaan babah dan mama. Ann selesa dengan kehidupan sekarang.” ujar Ann Layli perlahan. Bibirnya diketap menahan rasa yang menjerut di hati.
“ Tak sayang, tak.. Puteri tak rosakkan kebahagiaan kami. Sebaliknya kebahagiaan kami ada pada Puteri. Kami berasa gembira dengan kehadiran Puteri. Babah orang yang paling terbahagia saat ini dengan kepulangan Puteri. Percayalah.” Amirah menjelaskan semuanya.
“ Ma, seperti mana permintaan Ann untuk babah seperti itu juga sekarang. Boleh mama bagi Ann masa untuk berfikir? Ruang untuk Ann membuat keputusan yang tepat untuk kita bersama. Ann harap mama faham. Ann hargai semuanya.” pinta Ann Layli. Bukan dia menolak. Dia cuma mahukan masa untuk membuat keputusan yang terbaik agar kedua pihak antara mereka tiada yang terluka dan tersakiti.
Amirah menarik nafasnya dalam. Terasa sesak tiba-tiba dengan permintaan Ann Layli. Dia berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat mengotakan janjinya kepada sang suami. Ann Layli masih tidak dapat menerima mereka dalam kehidupannya lagi. Tak apa, dia takkan mengalah. Biarpun jalannya tidak mudah. Dia akan berusaha memujuk Ann Layli sehingga anak itu menerima mereka.
“ Tak apalah, mama faham. Cuma satu aje yang mama harapkan. Apa juga perhatian dari babah dan mama untuk Puteri percayalah kami sangat ikhlas sayangkan Puteri dan terima Puteri seadanya.” beritahu Amirah sungguh-sungguh. Dia sudah begitu kasih dengan anak ini. Akan dia salurkan kasihnya yang tak bertepi ini biarpun bukan dari hasil kandungannya. Setidaknya anak itu adalah dari benih lelaki yang diijab kabulkan kepadanya dahulu. Dia bersyukur menerima kehadiran anak perempuan ini. Akhirnya, Allah makbulkan doanya untuk memiliki anak perempuan juga.
“ Terima kasih mama.”
Tubuh Amirah dirangkulnya erat. Dia mula menyenangi Amirah. Wanita itu sangat baik melayaninya bagai anak sendiri.
“ Jangan segan-segan lagi. Ini rumah Puteri. Ini semua milik Puteri.” tutur Amirah senang. Dia tidak mahu Ann Layli merasa terasing di rumah sendiri. Gembira anak itu gembira juga hatinya. Bahkan, gembira itu bakal dipersembahkan buat suaminya. Itu janjinya buat Tan Sri Zahid.
“ Terima kasih mama terima Ann dalam keluarga mama dan babah.”
“ Sama-sama. Mama keluar dulu. Nanti turun makan. Has pun sama. Maaf saya ganggu kamu berdua.” ujar Amirah kepada Ann Layli sebelum perhatiannya beralih kepada Hasnah yang masih setia di sebelah Ann Layli sejak dari tadi. Tangan Ann Layli yang dipegang erat tadi ditepuk lembut sebelum dilepaskan. Ann Layli mengangguk.
“ Tak apa Puan Sri, tak ada yang menganggu pun. Kejap lagi saya dan Manja turun.” tutur Hasnah mengiringi langkah tuan rumah itu ke muka pintu.
Amirah menghadiahkan senyuman kepada kedua beranak itu. Dia kemudian berlalu keluar dari bilik tamu tersebut.
Sebaik Amirah berlalu, Hasnah pusing tubuh pandang anaknya. Hatinya sedikit mendongkol geram akibat ulah Ann Layli. Dia berasa malu kepada Amirah kerana sikap kurang bijak Ann Layli dalam berkata-kata tadi sehingga mungkin menyebabkan Amirah berkecil hati. Dapat dia lihat melalui riak wajah Amirah yang mengendur kecewa setelah Ann Layli menyatakan hasrat sebenarnya.
“ Manja, apa cakap macam tu pada Puan Sri? Tak boleh ke Manja terima cadangan Puan Sri tu baik-baik. Mak nampak diorang ikhlas terima Manja. Kenapa cakap tak berlapik langsung. Mak tak pernah ajar Manja bersikap kurang sopan dengan orang tua.” meluncur laju patah kata yang Hasnah tahan sejak dari tadi. Kini, meruap dilepaskan dihadapan sang anak. Mimik muka sedikit geram dibiaskan buat tatapan Ann Layli tanda dia memang memaksudkannya dengan sikap tidak berakhlak anak itu. Entah apa yang merasuk Ann Layli sehingga anak itu berani bersikap sedemikian. Apatah lagi dengan beraninya mempamerkan akhlak kurang adab begitu dihadapan mata kepalanya sendiri. Jika tidak mengenangkan mereka kini dirumah orang sudah pasti api kemarahan Hasnah lebih membakar ujarannya buat Ann Layli lagi.
Ann Layli sedikit terhenyak. Kata-katanya tadi buat Amirah telah Hasnah anggap kurang berakhlak. Dia tahu dia sudah terlanjur bersikap begitu tetapi dia tidak mahu menunjukkan kepura-puraan terhadap keluarga barunya. Dia menyatakan dengan jelas perasaannya agar mereka tidak tersalah erti. Dia bukan menolak mentah-mentah cuma meminta sedikit masa dan ruang buatnya saja untuk memikirkan kebaikan tindakannya untuk hari depan. Adakah salah?
Ann Layli mengeluh. Dia berpatah ke arah Hasnah yang telah melabuh ke birai katil semula.
Duduk melutut separuh badan dia mendekatkan tubuhnya ke arah Hasnah. Tangan emaknya dipegang erat.
“ Mak, maafkan Manja. Tak terniat sikit pun dekat hati Manja nak malukan mak depan mama. Manja cuma minta masa dan ruang aje. Manja akan cuba belajar untuk terima qada' dan qadar ni. Percayalah, suatu saat andai Allah mengizinkan semuanya pasti semuanya akan berjalan dengan lancar.” ucap Ann Layli panjang lebar. Tangan tua itu dikucup penuh hormat kerana menyesali perbuatannya yang terlanjur berkata tadi.
Termenung Hasnah dengan Ann Layli. Sikap anaknya itu sekarang bertambah sukar untuk difahami. Tetapi, sebagai emak dia akan mendoakan kesejahteraan anaknya itu. Dia tidak mahu kata kata negatif dan sikap buruk itu menjadikan anaknya, anak yang kurang bijak dan boleh merosakkan imejnya.
“ Tak apalah kalau dah Manja cakap macam tu. Mak cuma tak mahu Manja bersikap kurang adab macam tadi. Jangan sesekali ulangi. Manja dah cukup dewasa untuk bertindak dan bersikap selayaknya sebagai seorang manusia. Tan Sri dan Puan Sri terlalu baik untuk kita persiakan. Dan mak nak Manja tahu, tanpa Tan Sri Manja tak kan hidup bernafas di bumi ni. Dan tanpa Puan Sri yang dah banyak berkorban demi Tan Sri dan anak perempuannya Manja takkan boleh ada di sini hari ini. Lagipun mak tak nampak kat mana salahnya kalau Manja terima permintaan Tan Sri tu. Tan Sri mungkin takkan hidup lama dan sebelum mak rasa bersalah dengan dia sebab tak dapat pujuk dan nasihatkan anak mak ni, mak rasa baiklah Manja fikir sebaiknya. Jangan menyesal di kemudian hari. Sebab masa tu nanti, segala apa yang Manja cuba nak buat semuanya dah tak bererti lagi. Bertindaklah mengikut akal dan bukannya mengikut nafsu.” pesan Hasnah panjang lebar. Puas hatinya dapat bersyarah panjang dan padat seperti itu. Biar akal anaknya itu terbuka dan berfikiran panjang sebelum membuat sesuatu keputusan. Baik yang benar mahupun yang tidak. Agar kehidupan anak itu terlangsung bahagia di masa hadapan.
“ Maafkan Manja mak. Manja bersalah. Manja janji takkan ulanginya lagi. Tentang babah, mak jangan risau. Manja akan beritahu dia nanti.” pohon Ann Layli meminta kemaafan dan berjanji akan membetulkan keadaan.
Hasnah mengangguk faham. Dia tersenyum nipis menggosok kepala Ann Layli. “ Dah lah, cepat mandi. Nanti keluar solat maghrib dan makan. Maghrib dah nak masuk ni. Mak keluar dulu.” pesan Hasnah lantas bangun dari katil seterusnya melangkah ke pintu.
Ann Layli mengangguk bersama hantaran mata membiarkan Hasnah berlalu keluar dari bilik tamu itu. Dia juga akhirnya bangun dari duduk dan berlalu ke bilik air untuk mandi dan menyiapkan diri sebelum menemui babah dan ahli keluarga yang lain.
******
Benz Fahri usai mengimami solat Maghrib buat ahli keluarganya yang ramai malam itu. Panjang doanya mengimami bacaan di tikar sejadah. Yang lain ikut menadah tangan dan mengaminkan setiap bacaan. Semuanya tentang rasa syukur mereka terhadap pemberian nikmat yang tak terhingga sebagai hamba Allah yang beriman. Tidak terlepas juga permohonan doanya tentang permintaan babah sebelumnya. Semuanya di pinta dalam doa ketika usai solat itu. Berharap semuanya berjalan lancar dan dimudahkan.
Selesai, semuanya bergerak keluar dari ruangan solat itu menuju ke meja hidangan. Tinggal Tan Sri Zahid saja yang masih kekal di kerusi tidak mahu diurusi anak kembarnya keluar dari ruangan itu. Dia mahukan Benz Fahri sahaja yang mengurusinya jika lelaki itu bersama mereka. Akur kedua beradik kembar berlalu meninggalkan babah mereka bersama si abang.
Benz Fahri merapati Tan Sri Zahid bersama dengan tongkat tiganya terhulur buat lelaki itu. Tidak menyambut malah Tan Sri Zahid memintanya tinggal sebentar untuk berbual seketika. Turut akur, Benz Fahri bersila di sisi Zahid yang masih kekal di atas kerusi solatnya. Tongkat tadi ikut diletakkan dihujung kaki Tan Sri Zahid.
Tan Sri Zahid mengurut belakang Benz Fahri dengan perlahan. Mengelus beberapa kali. Dia mengerjap bibirnya seketika sebelum melepas nafas. Beberapa minit begitu baru diluahnya buat sang pendengar di sisi. Matanya lurus pandang ke hadapan seolah telah nampak jalan dari sinaran cahaya petunjuk.
“ Babah dah buat istikharah.” perlahan nadanya tapi tegas. Masih sampai ke telinga sang pendengar. Dan pendengar itu, masih kekal berdiam diri mendengar.
“ Jawapannya tetap sama seperti dulu. Kali ini babah takkan minta persetujuan Ben lagi. Takkan minta masa untuk Ben berfikir juga. Babah akan buat keputusan sendiri. Muktamad. Suka atau tidak babah dah putuskan. Demi kebaikan kita semua.” Lancar kata-kata itu menusuk ke telinga terus ke hati lalu ke otak agar dapat mencerna maklumat dengan baik.
Benz Fahri pejam mata mendengar keputusan. Seolah mendengar pihak hakim mahkamah menjatuhkan hukuman akhir terhadap pesalah tanpa perlu lagi dibicarakan. Bezanya dia, keputusan itu merupakan begita gembira buat seluruh ahli keluarganya. Rela dalam terpaksa dia telan keputusan itu bulat-bulat. Itu kehendak babah walaupun bukan kehendaknya. Tetapi bukanlah dia terpaksa menerima. Dia yakin dengan rasa hatinya. Apalagi yang boleh dia perdebatkan jika keputusan itu benar dan adil dari yang di atas. Siapa dia hendak menidakkan ketentuan takdir.
Ya, jadinya ini bukan permintaan lagi. Tapi merupakan suruhan. Bila permintaan sudah bertukar kepada suruhan, dia faham dan harus akur dengan kehendak Tan Sri Zahid. Dia tidak punyai kuasa untuk menolak mahupun membantah. Zahid merupakan orang yang sangat dia taati. Dia takkan membantah bicara Zahid sedikit pun apabila Zahid sudah berbuat keputusan. Semuanya di rasakan betul dan baik buatnya. Zahid juga seperti bapa biarpun bukan bapa kandung tetapi darah antara mereka tetap mengalir dari keturunan yang sama. Dari sumber paduan yang sama. Walaupun tidak banyak terwarisi tetap ada juga.
“ Ben!” Zahid seru namanya.
Benz Fahri buka mata. Angkat wajah lalu berpusing menghadap Zahid. Di bangunkan tubuh melutut di hadapan Zahid lalu meraih tangan itu. Dikucup lama sebelum air matanya turut menitis membasahi permukaan tangan Zahid. Zahid masih lagi membelai rambutnya lembut.
Dia langut wajah Zahid selepas beberapa saat meredamkan perasaan di tangan tua itu. Senyuman dibiaskan dengan wajah serta hati yang sudah tenang menerima qada'dan qadar.
“ Restukan Ben ya babah. Doakan yang terbaik untuk Ben. Harap Ben dapat tunaikan amanah babah dengan baik. Ben serahkan nyawa Ben sebagai cagaran untuk semuanya jika tidak berbuat sebaiknya seperti kemahuan babah.” bergetar bibirnya memulakan bicara. Biar sudah tidak menjerut lagi perasaan tetapi dia berasa sedikit lega kerana dapat mengungkapkannya dari sudut hatinya yang paling dalam. Dia redha. Dan Allah telah melembutkan hatinya dengan keredhaan sang bonda juga.
******
Buat pertama kalinya Ann Layli sedikit terpegun melihat layanan Benz Fahri kepada bondanya. Sangat sopan dan mentaati wanita itu. Mencair hatinya melihat perlakuan manis Benz Fahri terhadap Puan Ruhana. Mendahulukan sang ibu dengan basuhan tangan. Mencedokkan lauk kegemaran ke dalam pinggannya juga menuang air buat minuman si ibu. Semuanya manis di mata Ann Layli. Alangkah beruntungnya sang ibu itu. Didahulukan segala hal berbanding dirinya sendiri.
Matanya tak lepas memandang Benz Fahri yang duduk di sudut hujung meja meledani makanan Puan Ruhana bersama senyuman paling manis dan kata-kata yang paling baik. Biarpun tidak secara bertentangan tetapi jika mempunyai peluang matanya tidak melepaskan wajah itu. Terasa bagai ada satu aura yang menghasutnya agar mencuri pandang ke wajah mamat muka ketat itu. Tetapi malam itu, tiada pula wajah ketat dan serius yang lelaki itu pamerkan membuatkan dia dengan beraninya melirik Benz Fahri.
“ Puteri, tambah lauk lagi. Sikit aje makan tu.” tegur Amirah.
Ann Layli hampir tersedak. Cepat saja tangannya menyambar gelas air di sebelah lalu di bawa ke mulut. Diteguknya habis separuh gelas. Terkejut bukan kepalang kerana suara Amirah menghentikan pandangannya pada wajah sang muka ketat itu. Nasib orang lain semua tak perasan. Kalau tidak, tentu muka dia tak tahu nak sorok ke mana. Aci ke kalau dia tukar muka jadi alas untuk meja kayu ni? Biar cantik meja tu bertutup.
“ Cukup dah ma.” balas Ann Layli malu. Haraplah dapat kontrol wajahnya yang terasa berbahang tadi. Jangan ada yang menegur lagi. Risau dia boleh mati terkujat saat itu.
“ Sikit sangat makan. Cukup ke? Patutlah slim aje badan tu.” Amirah masih tak henti menegur. Dia menyendukkan seketul kurma daging ke dalam pinggan si anak. Menyuruh Ann Layli menghabiskan makanan yang dimasak khas untuk si anak itu.
“ Makan banyak sikit. Jangan malu-malu. Banyak lagi lauk ni. Semua mama masakkan lauk kegemaran Puteri.”
Ann Layli mengangguk saja. Tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Cuma ucapan terima kasih saja yang mampu keluar dari mulutnya buat Amirah. Tanda menghargai kepayahan wanita itu memasak buatnya.
Mereka semuanya lantas menikmati hidangan makanan dengan berselera sekali tetapi bukan Ann Layli. Mukanya seperti terpaksa saja mahu menghabiskan lauk-lauk yang diletakkan Amirah ke dalam pinggannya. Walaupun semuanya sedap tetapi dia tidak dapat menghadamnya dengan baik.
Hatinya di landa risau yang tak bertepi. Di kepalanya masih berlegar-legar fikiran yang tidak-tidak. Malah berlebihan dari siang tadi. ‘ Perbincangan’ yang di katakan Hasnah tadi juga seolah telah menjerut rasa Ann Layli. Terus tak lalu mahu menjamah makan lagi disebabkan hal itu. Entah perkara penting apa yang mahu babah sampaikan padanya sehingga perlu menjemput ahli keluarga seramai ini.
Suara gelak dan meriah mereka masih tak luput di pendengaran tetapi sebutir pun tidak masuk ke telinga. Dia begitu ralit dalam dunianya untuk menghabiskan saki baki makanan sehinggalah Hasnah mencuit lengannya semula.
“ Kenapa di kucar lagi lemak daging tu? Dah, bangun cuci tangan. Melamun aje kerjanya.” bebel Hasnah. Walaupun perlahan, tetapi Ann Layli tetap mendengarnya juga.
Dia tidak menjawab malah menurut saja suruhan Hasnah. Pinggan di bawa ke sinki untuk di basuh tetapi dilarang oleh Bik Sitah. Wanita Indonesia yang di gaji Tan Sri Zahid dan Puan Sri Amirah tu berkeras melarangnya membantu dirinya di situ.
“ Tak apa non Puteri. Biar bik aje yang lakuin. Nanti bik di marahin sama Puan Sri. Udah ke sana aje.” dihalaunya Puteri dengan ketawa lembutnya.
“ Tak apa bik. Saya tolong.” Ann Layli masih berdegil mahu mencuci pinggan mangkuk di dalam sinki. Span scotch brite diperah sehingga menitik air sabun ke atas pinggan porcelain putih ditangan. Berkeras juga. Malulah jika dia tidak pandai menolong di dapur. Nanti dikatakan mahu bersenang lenang pula dalam villa besar bak istana ni. Lagipun apalah sangat setakat membasuh dan mencuci pinggan. Itu perkara biasa untuk seorang perempuan yang tahu taraf hidupnya sebagai golongan bawahan.
“ Nanti Puan Sri marahin dong!” Tak habis lagi Bik Sitah menegah.
Bik Sitah garu kepalanya yang tak gatal. Masih teragak-agak mahu membiarkan anak perempuan majikannya itu melakukan kerja tersebut.
“ Tak apa, jika Puan Sri marah, saya akan jelaskan sendiri.” janji Ann Layli. Senyumannya membungar buat Bik Sitah. Badan kembali dipusing mengadap sinki meneruskan basuhan yang tersisa.
Memang tabiat orang dalam rumah ni semua suka marah ke? Siang tadi abang Mat pun risau kalau Benz Fahri marah. Nah, malam bik Sitah pula. Pening kepala Ann Layli dengan gelagat pembantu bawahan rumah besar ini. Semuanya kelihatan risau saja.
Ann Layli lalu meneruskan cucian pinggannya dengan tenang setelah Bik Sitah tidak melarangnya lagi. Dia berasa bangga dapat duduk di dapur mewah rumah besar ni. Segala dekorasi dan susun aturnya sangat menarik perhatian Ann Layli.
“ Bik, saya letak baki makanan di sini ya. Saya tutup sekali. Terima kasih bik masakan lauk sedap- sedap untuk keluarga saya.” tegur suara garau tiba-tiba di belakang Ann Layli. Mungkin sedang bercakap dengan Bik Sitah. Ann Layli tak hiraukan suara itu. Dia masih lanjut dengan perbuatan dia yang sedang mencuci pinggan di sinki dan sangat mengenali suara peti emas itu.
“ Ya Tuan Benz. Sama-sama. Terima kasih juga bantuin bik simpan bakinya.” ucap Bik Sitah dengan senyuman. Benz Fahri senyum saja lantas keluar dari ruangan dapur cepat-cepat.
Ann Layli usai mencuci pinggan di dapur mewah itu. Melihatkan Bik Sitah sedang memegang penyapu untuk menyapu sisa sampah yang tumpah sebelumnya langkah kakinya terundur semula.
“ Bik, tadi kenapa Bik tak bagi saya tolong bik. Lelaki tu tolong bik boleh pula?” soal Ann Layli sedikit protes. Mamat muka ketat tu aci je simpan baki lauk berlebihan makan tadi tak pula dilarang Bik Sitah. Dia mahu mencuci saja pun tak dibenarkannya. Haih, tak habis fikir Ann Layli dibuatnya. Bik Sitah mendikriminasi kehadirannya ke? Tak mungkinlah.
“ Err, Tuan Benz tu emang selalu nolong. Bik udah biasa dengannya.” ujar Bik Sitah menahan diri dari serangan Ann Layli dengan sengihan. “ Lagian, makanan Tan Sri emangnya tuan yang urusin. Menu diet Tan Sri tidak boleh di campuri dengan menu orang sihat. Banyak buruk dari baiknya. Makanya saya biar tuan saja urusin. Senang dong. Bapaknya cerewet bangat ama menunya.” sambung Bik Sitah menjelaskan.
Melongo Ann Layli dengan penjelasan Bik Sitah. Sampai macam tu sekali mamat muka ketat itu menjaga babahnya? Dahtu kalau dah jaga makan maknanya hari-harilah mamat tu bersidai dekat villa ni?
Kalau dia setuju duduk sini makanya hari-harilah dia perlu mengadap mamat muka ketat tu. Hish, tak boleh jadi. Dia takkan pindah ke villa besar ni. Takut dengan mamat muka ketat tu. Seram tengok muka yang serius dua puluh empat jam tu. Bak kata abang Mat, garang.
Tadi aje dia rasa nak pandang lebih-lebih, intai-intai mamat tu sebab muka dia bertukar watak jadi lelaki paling sopan depan bondanya. Dia suka lihat kemesraan lelaki itu melayani bondanya. Entah apa yang merasuk sampai dia rasa tak boleh kalih mata dari menatap perbuatan mamat tu. Hatinya terbuai suka.
“ Manja, dah siap ke? Jom ke depan. Tan Sri nak mulakan meeting.” Panggil Hasnah dari muka dapur. Tersentak, Ann Layli cepat meninggalkan ruangan dapur basah itu mengekori langkah Hasnah.
Dalam kepala kembali bermain soalan yang tak sudah. Bermacam andaian yang memenuhi benak sehingga wajahnya sangat keruh. Sedar tak sedar, langkah kakinya sampai ke ruang rehat keluarga yang telah di duduki ramai ahlinya. Lembik lutut bertambah menahan gigil Ann Layli di buatnya saat terpandang satu saja tempat kosong yang masih belum terusik dengan kehadiran ahlinya. Bersebelahan Puan Ruhana tepatnya . Maka ianya harus berhadapan dengan wajah ketat dan keruh Benz Fahri. Lagak wajah itu, sedang menangung masalah wilayah bergolak saja.
Setelah hampir satu jam berbual mesra dengan semuanya terutama Ann Layli, Tan Sri Zahid mengangkat wajah setelah selesai meneguk air dan selesai makan ubat pemberian Benz Fahri kerana telah sampai waktu makan ubat-ubatan yang dibekalkan doktor.
“ Puteri.” serunya dengan mata terarah tepat ke wajah anak perempuannya itu.
Ann Layli bertambah tak selasa berhadapan dengan pandangan keras dari Tan Sri Zahid yang sedikit serius itu. Bukan seperti kali pertama pandangan lelaki itu buat dirinya. Pandangan yang penuh kasih sayang. Tetapi ini pandangan penuh penyeksaan. Ya Allah, mudahkanlah semuanya. Titip Ann Layli di dalam hati. Agar semua mendung berarak berlalu pergi.
“ Puteri tahu apa tujuan Puteri dipanggil ke mari?” soal Tan Sri Zahid. Masih dengan nada serius.
Terlihat Puan Sri Amirah meraih lembut lengan Tan Sri Zahid dan berbisik sesuatu ke telinga suaminya. “ Abang, lembut sikit nada tu. Takut anak kita dengar suara petir abang. Abang bukan peguamcara dalam prosiding mahkamah.” Amirah memberi peringatan.
Mendengarkan ayat ‘ anak kita’ di bibir Amirah terus bibirnya di pacu senyuman manis. Menggaris hingga ke telinga lantas menghasilkan suara ketawa yang terhibur. Lagaknya seperti sang isteri membuat lawak. Bahagia dia rasa hingga ke hujung dunia mendengarkan Amirah memanggil Ann Layli dengan gelaran anak kita. Nampaknya, Amirah betul-betul sudah jatuh sayang dengan anaknya bersama Sharifah Aini Latifah itu.
Berkerut wajah Amirah. Pandangan mengancamnya di riakkan lagi buat suami agar tidak memberi ketakutan pada Ann Layli. Tan Sri Zahid mengerdipkan matanya tanda menerima teguran Amirah dengan serius. Selagi tidak, selagi itulah mata galak Amirah menikamnya tajam.
“ Puteri tahu ke kenapa babah panggil Puteri balik petang ni?” sekali lagi Zahid bersoal namun kali ini dengan nada yang begitu lembut. Bahasanya juga sudah bertukar sedikit manis. Amirah menarik nafas lega.
Ann Layli hanya mampu menggeleng. Masih lemah mulutnya mahu menjawab pertanyaan Zahid selepas mendengar suara serius babahnya tadi. Takut serta kecut perut. Siapa je yang tak takut dengan peguamcara terhandal di Malaysia itu.
“ Babah nak kahwinkan Puteri!” senafas Tan Sri Zahid menuturkan. Biarpun terasa debaran yang menggila menanti penerimaan si anak tetapi Tan Sri Zahid sudah mampu menarik nafas lega kerana berjaya menyampaikan keputusan berat itu.
Mendengarkan ayat keramat itu, semerta terloncat Ann Layli kerana terlampau terkejut. Melonjak tubuhnya bangun berdiri dari duduk di sofa bertentangan Tan Sri Zahid. Cuak wajahnya sudah bertukar pucat lesi sehingga kalau di toreh dengan pisau sekali pun takkan keluar darah setitik langsung.
Hasnah sudah mengagak. Cepat di sambarnya lengan si anak lalu di dudukkan semula. Zahid bapa angkatnya sudah menggeleng kepala. Sudah dapat membaca reaksi Ann Layli. Namun apa dayanya, Tan Sri Zahid lebih berhak membuat keputusan atas anak itu. Siapalah dia untuk menghalangnya biarpun dengan tulang empat kerat itulah dia menyara Ann Layli sehingga menjadi seorang anak yang berpekerti mulia.
Tan Sri Zahid dan Amirah ikut terkejut dengan reaksi Ann Layli itu. Tak menyangka penerimaan anak itu tentang perkahwinan yang di rancang mereka akan bertukar seperti itu. Tetapi, misi mahu menyelamatkan anak itu bersama harta warisan milik Ann Layli lebih penting dari perasaan anaknya. Biarlah masa merawat hati anaknya. Dia tahu Ann Layli kuat menerimanya.
“ Ke..kenapa babah nak kahwinkan Ann? Ann bagi beban pada babah ke? Kalau beban, Ann sedia berundur. Ann boleh hidup sendiri tanpa keluarga kandung pun. Ann tahu babah bahagia sebelum kedatangan Ann. Jangan risau, Ann takkan tuntut apa-apa pun.” ujarnya setelah mendapat kekuatan. Air mata yang merembes ke pipi di lapnya kasar. Wajah Tan Sri Zahid di pandangnya dalam. Mencari keikhlasan dibalik wajah tua bapa yang membilang sayang dan kasih kepadanya saat pertama kali mereka bersua semalam.
Tan Sri Zahid cuba bangun dari duduk bersama tongkatnya. Benz Fahri ikut membantu tetapi ditahan lelaki itu. Sudahnya lelaki itu pegun di tempatnya saja. Perlahan dan bertatih Tan Sri Zahid meneruskan aturan langkah mendekati Ann Layli.
Melepaskan tongkat, tubuh anak itu disambar ke dalam pelukan. Erat bersama esakan yang terlepas dari bibir tuanya.
“ Babah tak mampu jaga Puteri sayang. Banyak halangannya. Sama seperti dua puluh lima tahun dulu. Bukan sebab Puteri menjadi bebanan. Tetapi sebab amanat ibu Puteri sendiri. Juga amanat keluarga Sharifah dan Syed. Datuk dan nenek Puteri berhajat dengan waris Sharifah Aini Latifah. Kerana kesilapan babah Puteri jadi mangsa. Babah tak mahu hidup Puteri menjadi mangsa lagi. Kalau tak kerana ugutan dan ancaman datuk dan nenek babah juga takkan sewenangnya mahu membuat keputusan ni. Babah tahu susah untuk Puteri terima. Tapi inilah kenyataannya. Babah terpaksa. Masa babah tak lama. Babah khuatir Puteri dituntut keluarga datuk dan nenek selepas ini dan babah tak punya daya lagi. Kalau boleh ditunjukkan kasih sayang yang ada dalam hati ini dah lama babah tunjukkan agar Puteri nampak semuanya.” jelas Tan Sri Zahid. Hatinya seolah ditikam sembilu yang tajam kerana terpaksa meluahkan dan membuat keputusan mendadak seperti ini.
Ann Layli melurut jatuh terjelopok mendengar penjelasan Tan Sri Zahid. Berpusing kepalanya seketika. Dan babahnya ikut terduduk di hadapannya memohon keampunan. Menyatakan kemaafan yang tak terhingga. Meluahkan kesal yang menggunung. Dia tak mahu lagi menggadaikan kasih sayang anaknya yang di cari bertahun sehingga hampir gila. Hidup ketakutan di ugut dan di ancam orang suruhan bapa mentua sendiri benar-benar buatkan Zahid berasa hidupnya sangat tak bermakna. Apalah ertinya jika satu-satunya cinta hati dengan wanita yang paling dia kasih menjadi galang ganti lagi. Bertahun perit sukar menerima kenyataan tentang dua kehilangan buatkan Zahid serik. Kali ini dia nekad. Setidaknya jika hayatnya ditarik dia sudah menyerahkan kekasih hatinya itu untuk orang yang paling layak menjaganya. Kerana dia tahu lelaki itu dapat menjaga tanggungjawabnya dengan sempurna. Sementelah, lelaki itu juga adalah waris utama Syed Fathullah. Dan bapa mertuanya tidak akan sanggup mengapa-apakan waris utama dari peninggalan Syed Fathullah kerana anak itu adalah cucu tunggal dalam keluarga Sharifah Hanum ibu kepada Syed Fathullah. Dialah pewaris takhta segala peninggalan keluarga di raja mereka dari Bakhara itu.
“ Siapa lelaki tu bah?”
Tan Sri Zahid menoleh ke arah Benz Fahri meminta kebenaran lelaki itu. Ann Layli juga mengikuti pandangan Tan Sri Zahid dan lantas terhenti di laman wajah yang penuh misteri itu. Menanti bicara dari ulas bibir itu. Namun, sehingga ke sudah ulas bibir itu senyap sunyi tak berkata apa.
“ Ben.” seru Tan Sri Zahid.
Benz Fahri angkat wajah tanpa senyuman. Roman serius dia pamerkan tetapi lebih keras. Mulutnya terkunci rapat daripada menyuarakan sesuatu pun. Tidak mahu menambah apa-apa penjelasan kepada pernyataan Tan Sri Zahid. Bimbang ianya akan bertambah keruh dan menyulitkan keadaan. Biarlah Ann Layli mahu menanggapi apa sahaja dari cerita Tan Sri Zahid dan dia bersedia menanggung risikonya. Akhirnya, hanya kerdipan mata saja yang dibiaskan Benz Fahri menyatakan kebenarannya.
Alangkah terkejutnya Ann Layli. Nafasnya hampir berhenti sekali lagi. Mustahil?
Saat Ann Layli cuba menghadam berita mengejut itu, tubuhnya disambar Ruhana pula.
“ Puteri, sabar ye nak. Bonda akan sentiasa bersama sayang. Bonda restu hubungan kamu berdua. Dah lama bonda terima Puteri sejak dari dalam perut Sharifah Aini lagi. Terimalah semuanya dengan hati yang terbuka. Demi kebaikan Puteri sendiri. Itu yang penting.” pujuk Ruhana. Lembut saja kata-kata itu menusuk ke dalam hatinya tetapi mengenangkan wajah tegang dan serius Benz Fahri membuatkan ketakutannya kepada lelaki itu bertambah banyak. Benarkah lelaki itu mahu memperisterikannya? Kalau benar mengapa wajah terpaksa saja dia layangkan. Benar-benar Ann Layli tidak dapat berfikir. Hampir putus segala neuron di kepalanya memikir.
Menunduk Ann Layli lemah. Apa semua ni? Dia rasa mahu menjerit kuat tetapi ditahan akalnya. Dalam hati tak sudah beristighfar dan berzikir agar tak dipengaruhi hasutan syaitan kerana perasaan kecewa yang sedang mendahului akal fikiran.
Dia boleh menerima keputusan mahu dikahwinkan kalau itu dapat menebus segala pengorbanan Tan Sri Zahid kerana memperjuangkan kehadirannya di atas muka bumi ini. Tetapi dia tidak berjanji akan mencintai dan mengasihi lelaki itu. Dia bimbang cintanya akan dikhianati lagi. Lebih bimbang jika tubuhnya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki bergelar suami lagi. Mengenangkan wajah tegang Benz Fahri saja sudah membuatkan perutnya kecut tak terhingga.
Ann Layli berteleku lama di kaki Tan Sri Zahid sebelum berkata semula.
“ Kalau itu yang babah harapkan, Ann terima. Tapi Ann juga ada syarat.”
“ Apa dia?” serentak Tan Sri Zahid dan Ruhana bersoal. Pandangan mereka juga bersatu ke arahnya.
Liur ditelan kesat bersama lelehan air hangat yang mencurah ke pipi. “ Ann takkan pulang ke sini hingga hari pernikahan kami. No phone call. No message or whatever to take me over him.” Noktahnya. Dia mahu mencari harga diri dan ruang agar dapat membuat keputusan yang tepat nanti.
Tan Sri Zahid menelan liur. Pandangannya beralih ke arah Benz Fahri semula. Menanti balasan lelaki itu. Ann Layli ikut sama memandang ke laman wajah Benz Fahri, mahu membaca riaknya. Tapi yang nama Benz Fahri tetap pamerkan riak keras dan seriusnya. Hanya rahangnya kelihatan begemertap menunjukkan dia sedang mengawal emosi.
“ Deal. Pulang dan duduk di rumah arwah Muqri sehingga hari kita diijab kabulkan.”
Putusnya lalu bangun meninggalkan ahli keluarga yang lain dengan penuh tanda tanya. Apa maksudnya?
Ann Layli sekali lagi terasa mahu putus nafas. Kenapa? Kenapa Benz mahu dia pulang ke rumah yang bukan lagi miliknya. Benz Fahri tahu? Mustahil. Tiada siapa yang tahu cerita dia berpindah ke rumah Zen Huzaini. Cerita dia dihalau keluar oleh Hajah Jamilah juga tidak pernah diceritakan kepada sesiapa melainkan Hani Wardah. Juga mustahil jika wanita itu memberitahu Benz Fahri.
Puan Ruhana mengongoi sedih di belakang tubuh Ann Layli. Hasnah juga sudah merapati anaknya. Tidak ketinggalan Amirah. Ketiga wanita penting itu memeluk tubuhnya kuat. Dapat dia rasakan kasih sayang yang menjalar ditubuh mereka sampai ke tubuhnya pula. Saat itu, dia sudah kering air mata mahu menangis. Begini sekali kepulangannya di sambut mereka. Walaupun kini dia bahagia, tetapi cerita yang bakal bermula ke depan nanti dia tidak tahu bagaimana. Dan dia juga malas mahu memikirkan lagi. Biarlah semuanya selari dengan peredaran masa.
*******
Happy CNY semua.. Happy reading korang..Cer komen sikit jalan cerita ni..ok ke tak..macam pening pulak nak sudahkan cerita Ben dan Ann ni..komplikated sgt..huhu
Share this novel