“ Kenapa Ajai masuk?" marah Ann Layli. Cuak wajahnya saat melihat susuk lelaki itu di situ. Langkahnya semerta terhenti di tengah ruangan.
“ Hah!" Zen Huzaini tercenggang di soal Ann Layli tiba-tiba.
“ Ann tanya kenapa Ajai masuk?" diulang pertanyaannya dengan lebih jelas.
“ Kenapa pulak tak boleh masuk?” Seperti tadi, Zen Huzaini kembali menyoal hairan wanita itu. Keningnya berkerut cuba memahami rentak Ann Layli.
“ Ajai nak suruh kita kena tangkap khalwat ke?” Keras suaranya. Wajahnya juga menyinga menunjukkan tahap kemarahannya sudah mencanak naik.
“ Kan Ann pesan suruh tunggu luar aje!" ujarnya lagi.
Zen Huzaini tersenyum simpul. Barulah dia mengerti disebalik pertanyaan kedua Ann Layli tadi. Takut rupanya!
Mendapat satu akal, Zen Huzaini memulakan langkahnya. Daun pintu sengaja ditolak rapat dan menguncinya. Dia mahu menguji Ann Layli.
Ann Layli menjadi gementar apabila melihat pintu mula di tutup rapat lelaki itu. Bahkan, kenopnya dikunci juga. Tubuhnya perlahan menggigil. Tiba-tiba saja Zen Huzaini berkelakuan pelik begitu. Hatinya berdebar kuat.
“ Ajai..” panggilnya cemas. Dalam hati tidak putus melantunkan zikir Nabi Nuh. Berharap dia terselamat dari perkara yang mungkar.
“ Hmmm.." Zen Huzaini tegak berdiri di belakang pintu dengan senyuman menggoda. Dia menggeliat meregangkan otot tubuhnya yang terasa pejal.
“ Aduh, lenguh betul badan abang ni!” Zen Huzaini bermonolog sendirian cuba menarik perhatian Ann Layli yang masih tercegat di tengah ruangan.
“ Kenapa kunci pintu tu! Tak elok la kita berdua dalam rumah macam ni? Bilik pulak tu!"
“ Apa yang tak elok?” soal Zen Huzaini berpura-pura.
Ann Layli sudah ketakutan. Melihat aksi Zen Huzaini yang bersahaja itu saat melangkah mendekatinya.
“ Ajai keluar!” Ann Layli mula meninggi suara.
“ Eh, kenapa nak jerit-jerit ni sayang!" Zen Huzaini merapati Ann Layli. Bahu Ann Layli disentuh. Panik dia tiba-tiba apabila mendengar suara wanita itu yang sudah meninggi.
“ Stop calling me sayang! Keluar!!" jeritnya tak mengendahkan Zen Huzaini. Tangan lelaki itu ditepis kasar dari menyentuh bahunya. Lantas jari dituding ke muka pintu mengarahkan lelaki itu agar keluar. Kakinya sudah bersedia dengan segala kemungkinan.
Menyedari Ann Layli yang sudah ketakutan, paniknya hilang. Senyuman dilebarkan lagi mahu menduga.
“ Rileks la sayang. Kita berdua je dalam rumah ni. Kalau jadi apa-apa pun bukannya orang tahu! Kenapa takut dengan abang?" ujar Zen Huzaini. Dia bergerak ke katil lalu melepaskan tubuh yang keletihan akibat berlama di dalam perut kapal terbang tadi ke tilam. Butang baju kemejanya mula di buka satu persatu dengan sengihan bersama mata yang tak lepas memandang Ann Layli yang masih ketakutan.
“ Ajai dah gila ke? Ajai tu suami orang!" hambur Ann Layli berang. Hampir saja dia pitam dek aksi Zen Huzaini yang sudah terlentang di katil dan cuba menanggalkan kemejanya pula.
“ Kuota abang ada empat sayang. Nak risau apa? Hani pun dah bagi greenlight." santai Zen Huzaini bersuara. Matanya dikenyitkan kepada Ann Layli.
“ Baik Ajai keluar sekarang sebelum Ann jerit atau Ann keluar terus dari rumah ni!" gertak Ann Layli. Kenop pintu di dekati. Dia sudah bersedia mahu berlari keluar.
“ Okay..okay..Abang keluar! Takut sangat Ann ni. Tapi Ann tahu ke nak ambil baju Hani yang mana? Barang-barang dia yang mana?" soal Zen Huzaini dengan gelak ketawa yang kuat. Risau apabila melihat Ann Layli sudah nekad untuk berlari keluar.
Lantas Zen Huzaini bangun dan duduk di birai katil. Butang kemeja yang separuh terbuka dipasang semula. Dia sudah dapat mengagak Ann Layli tidak mudah digoda dan goyah imannya ketika bersama seorang lelaki. Dan dia berjaya memancing emosi amarah wanita itu.
“ Tahu.. Ajai keluar sekarang! Pintu luar tu pun tak payah kunci..biar je terbuka.” rengusnya geram kerana mulai faham akan permainan Zen Huzaini yang sengaja mahu mengenakannya. Panik yang menguasai dirinya tadi masih berbaki. Dia masih di dalam mood berjaga-jaga dek kelakuan lelaki itu. Mustahil jika syaitan tidak dapat menguasai akal dan nafsu lelaki itu. Tambahan, hampir sebulan berjauhan dengan isterinya di seberang laut sana tidak mungkin dia akan melepaskan ‘keinginannya' sebagai imbalan kepada dirinya pula memandangkan Hani Wardah tidak ada ketika itu.
“ Okay." balas Zen Huzaini seraya melangkah ke pintu dan keluar dari bilik kelaminnya yang dimasuki Ann Layli kerana mahu mengambil barang-barang milik Hani Wardah yang dipesan Salmi.
Saat Zen Huzaini melangkah keluar, segera Ann Layli menutup pintu bilik tidur itu. Dikunci dari dalam sebagai langkah berjaga-jaga. Dia tersandar lemah di balik pintu. Perlahan dia melorot ke bawah. Rentak jantungnya laju menderu. Risau Zen Huzaini melakukan perkara yang tidak elok kepadanya tadi. Kalau sampai perkara buruk terjadi kepadanya bagaimana dia harus berdepan dengan keluarganya dan keluarga tunangannya?
Wajah Tan Sri Zahid, Hasnah dan terutamanya Benz Fahri menerpa fikiran.
Ann Layli meraup wajah. Dalam kepala mengutuk tindakan bodoh sendiri.
Ann! Ann! Kenapa kau setuju ikut cakap Ajai nak balik rumah ni? Ann Layli mengetuk dahinya dengan genggaman penumbuknya. Geram dengan diri sendiri yang mudah mendengar pujukan orang.
Ketukan di pintu mengejutkan Ann Layli. Membuyar segala wajah yang menabiri ruangan mindanya tadi. Cepat tubuhnya di bawa berdiri. Merenung pintu di depan dengan debar yang masih menggila.
“ Ann dah siap ke belum? Dah dekat pukul 6 ni. Cepat sikit!” laung Zen Huzaini kuat.
“ Ye..ye..tengah cari baju ni!” balas Ann Layli. Kelam kabut kaki di bawa melangkah laju ke almari apabila suara bariton Zen Huzaini menjerit dari luar sana menyatakan waktu.
Mereka sudah berjanji dengan Salmi mahu mengambil beberapa barangan Hani Wardah terlebih dahulu sebelum ke hospital bertemu dengan wanita itu.
Ann Layli tegak berdiri di hadapan dua buah almari tinggi. Memandang atas bawah almari tersebut sebelum membuat keputusan untuk membuka salah satu daripadanya
Sekali lagi ketukan bergema di muka pintu apabila Ann Layli masih teragak-agak mahu membuka almari di depannya
“ Ann cepat sikit boleh tak? Abang nak guna tandas ni!"
“ Ye..ye..Sekejap!" Ann Layli garu kepala.
Bingung!
Langsung pintu almari pertama di buka. Tetapi ditutup semula selepas melihat isi di dalamnya yang dirasakan tiada barangan peribadi milik Hani Wardah.
Pintu almari kedua pula di buka. Selepas melihat dan merasakan tepat, pantas saja tangannya mengambil dua helai baju tee dan seluar serta pakaian dalam Hani Wardah yang terletak di dalam drawer di bahagian bawah pula.
Kesemua pakaian wanita itu di bawa ke atas katil. Kepalanya tercari-cari beg untuk diisikan pakaian tersebut. Tidak menjumpai Ann Layli berlari ke pintu yang masih digendang Zen Huzaini.
“ Ajai!"
“ Ya!”
“ Beg baju ada tak? Nak isi baju Kak Hani ni.."
“ Dalam almari first tu. Bawah sekali."
“ Okay!" Ann Layli berlari semula ke arah almari pertama tadi dan mencari seperti yang diarahkan Zen Huzaini. Setelah menjumpai dia memasukkan baju tersebut.
Siap!
“ Ann jangan sampai abang rempuh pintu bilik ni. Cepat sikit. Abang nak guna tandas!” laung Zen Huzaini lagi. Kali ini semakin kuat nada suaranya. Perutnya memulas menahan sakit.
Klack! Pintu bilik terkuak. Ann Layli muncul bersama beg baju di tangan memandang Zen Huzaini dihadapannya yang sudah merenik peluh di dahi.
Zen Huzaini yang sudah tidak dapat menahan sakit perut cepat saja merempuh Ann Layli di hadapannya dan masuk ke dalam bilik kelaminnya yang mempunyai tandas di situ.
Sementara menanti lelaki itu menyudahkan hajat, Ann Layli bergerak ke ruangan depan dan duduk berteleku di sofa.
Telefon pintarnya tiba-tiba saja berbunyi minta diangkat. Ann Layli bangun dan mencapai telefon itu dari dalam tote begnya yang terletak di kabinet tv.
Sekilas pandangannya tertera pada nama pemanggil di skrin. Berkerut dahinya melihat video call dari nombor tak dikenali membuatkan dia terasa malas mahu mengangkat. Beberapa saat berdering, panggilan tersebut tamat sendiri. Ann Layli membiarkan telefon pintar itu di atas meja kopi akhirnya.
Namun belum sempat dia menarik nafas, telefon itu berbunyi semula. Lama dia menimbang akal sama ada mahu mengangkat ataupun tidak. Dan akhirnya panggilan itu di jawab juga.
Sejurus menyeret butang hijau kelopak mata Ann Layli membulat penuh. Jantungnya mula mengepam darah dengan sangat laju semula. Bergetar seluruh tubuh saat terpandangkan wajah itu.
Bonda!
“ Assalamualaikum puteri.”
“ Wa..alaikumsalam bonda."
“ Ann kerja ke tu? Maaf bonda ganggu.”
“ Err..tak..tak ganggu pun. Ann dah balik rumah. Kenapa bonda?”
“ Lega bonda dengar Puteri dah habis kerja. Risau menganggu aje. Tak ada apa, saja bonda call ni. Lama tak dengar berita. Puteri sihat?”
“ Oh.. Alhamdulillah sihat. Bo..bonda?
“ Alhamdulillah sihat je..tapi cara orang tualah. Puteri, bonda call ni ada hajat...” senyuman ceria merekah dibibir Ruhana. Tak sabar mahu menyatakan permintaannya.
“ Hajat? Ada apa ye bonda?” soal Ann Layli.
“ Kalau tak keterlaluan, bonda nak ajak Puteri keluar petang esok. Itupun kalau Puteri free!”
“ Keluar? Ke mana bonda? Petang esok Puteri kerja lagi. Mungkin lusa baru free. Sebab hujung minggu kan.." beritahunya jujur.
“ Saja keluar bonding. Tak ada apa pun... Bonda bosan duduk rumah aje. Kalau dapat keluar hi-tea dengan bakal menantu mungkin hilang sikit bosan tu. Bonda pun lama tak jumpa dengan Puteri. Rindu nak berbual-bual.”
“ Kak Lia kan ada bonda. Tak ajak Kak Lia?”
“ Lia dengan Tiar ada business conference di Dubai. Ni pun, baru aje Ben sampai dari Grik. Di ambilnya Hasnah dan Zahid ke sini. Katanya dah alang-alang ke Grik, balik tu dia singgah ke kampung dan bawa terus mak dan ayah Puteri ke sini.” terang Ruhana dengan senyum lebar.
“ Aah, betul tu Manja. Mak dengan ayah baru sampai ni. Ben tu beria sangat ajak mak datang. Ann dah habis kerja ke? Kalau dah habis, petang esok terus ajelah datang sini. Mak dengan bonda ada hal nak bincang dengan Manja ni.” celah Hasnah di sebelah Ruhana. Berseri-seri wajahnya. Begitu gembira dia menceritakan kedatangannya ke rumah bakal besannya itu.
“ Jadi ya Puteri..Kita keluar sama-sama lusa.” Ruhana meminta persetujuan.
Tidak berfikir lama Ann Layli terus memberi persetujuan kerana risau Zen Huzaini muncul di belakangnya tiba-tiba dan mungkin mengakibatkan Ruhana berfikir yang tidak-tidak nanti. “Insha'Allah bonda."
“ Kalau gitu.. Puteri berbual lah dulu dengan mak. Bonda nak siapkan makan malam untuk bujang sorang tu. Balik kerja tadi lapar katanya.” ujar Ruhana kepada Ann Layli dengan sengihan.
“ Has..akak masuk dapur sekejap. Korang berbual lah dulu.” beritahu Ruhana kepada Hasnah pula sebelum beredar dari situ.
“ Bila mak sampai? Amboi mak, sekarang ni kemana-mana kemain orang jemput ehh!" usik Ann Layli.
“ Baru je sampai. Alah, bukannya siapa pun. Bakal menantu mak jugak. Manja tu aje yang jual mahal dengan tunang sendiri." Hasnah balas dengan memprovok kembali usikan Ann Layli tadi.
“ Ish mak ni ke situ pulak. Ni ayah mana?" Teringat akan Zahid, Ann Layli bersoal. Matanya melilau ke serata ruangan di belakang Hasnah mencari susuk si ayah.
“ Berborak dengan Benz dekat depan tu!"
“ Oh..lama ke mak kat sini?"
“ Tengoklah, lepas jumpa Manja lusa nanti mak dengan ayah balik ke kampung semula. Sebab katanya Ben nak melawat balik site dia di Grik nun. Sekali jalan, dia hantar balik.” cerita Hasnah.
“ Tak apalah kalau macam tu...” Ann Layli jeda. Sudah tidak tahu mahu berbual dengan emaknya.
“ Eh Manja..” Hasnah jeda. Matanya meliar meneroka suasana persekitaran belakang Ann Layli sebelum terhenti pada hiasan rak itu. “ Kenapa rumah ni macam rumah Hani aje! Tu kan gambar kahwin Hani dengan Ajai tu!" Hasnah mengecilkan mata lagi. Memusatkan pandangan ke arah belakang Ann Layli agar lebih jelas. Terlihat, bingkai gambar perkahwinan bersaiz 4R yang terletak elok atas meja konsol di belakang sofa itu. Malah gantungan bingkai ayat seribu dinar yang terdapat di dinding belakang juga menguatkan lagi andaian Hasnah. Dia pernah ke rumah jiran anaknya itu sebelum ini. Dia pasti matanya tidak tersalah pandang.
Ya Allah! Nafasnya terasa mahu terhenti.
Ann Layli terkedu. Pertanyaan Hasnah langsung mematikan katanya saat itu.
Malah, sesaat itu juga susuk Zen Huzaini sedang melintas di belakang Ann Layli tanpa baju di tubuh dan hanya bertuala lalu berhenti di gantungan cermin kaca yang terletak betul-betul di sebelah frame ayat seribu dinar tadi.
“ Ajai!" Hasnah terjerit kecil. Hampir saja dia pengsan saat melihat susuk Zen Huzaini yang separuh bogel itu.
Ann Layli pantas melipat kepala ke belakang. Jantungnya juga hampir luruh saat terpandang susuk Zen Huzaini itu. Dan masa saat itu, bagaikan terhenti membuatkan Ann Layli terus membeku dari bertindak.
Zen Huzaini yang terdengar namanya diseru pantas memandang ke arah Ann Layli dibelakang. Matanya terkebil-kebil melihat Ann Layli yang sedang terkedu bersama telefon yang masih aktif dengan panggilan video itu.
******
“ Sayang, please!!..Abang tak ada niat pun nak buat Ann macam tu. Sumpah! Abang tak tahu Ann tengah video call dengan mak." ujar Zen Huzaini. Terkocoh-kocoh dia sarung baju tee biru ke badan seraya menarik lengan Ann Layli dari terus melangkah ke luar pintu.
Sempat dia menahan Ann Layli dari berlalu bersama beg pakaian di depan pintu itu. Nafasnya termengah dek larian tak cukup tanah mengejar Ann Layli.
“ Stop call me sayang! I'm not your sayang anymore. Ajai tolonglah..Ann tak perlukan penjelasan Ajai pun.” dengus Ann Layli. Bengang tangannya ditarik kasar sehingga kaki terbejat dari melangkah pergi meninggalkan rumah itu. Lagian kata sayang yang terbit di bibirnya membuatkan Ann Layli rasa jelak mendengarnya. Mudah diucapkan sehingga terdengar tidak bermakna.
Setelah kejadian tadi, terus saja kakinya melangkah ke bilik dan mengemas pakaian. Tidak mahu terus berlama. Bimbang mengundang malapetaka lebih besar. Tetapi nasibnya agak malang bila Zen Huzaini sempat menahannya dari berlalu pergi.
Kini, baru dia sedar akan permintaan babahnya tempoh hari yang berharap sangat agar dia pulang ke Teratak Kaseh. Kalau dia tidak berdegil mahu mengurusi hidupnya sendiri, pasti kejadian memalukan tadi tidak terjadi. Pasti saat ini juga mama Amirahnya bahagia menerima kehadirannya di sana sebagai ahli keluarga baru.
“ Tapi Ann nak kemana dengan beg semua ni?” soal Zen Huzaini kaget. Beg baju yang tersadai di lantai, diangkat dan dipegang. Risau Ann Layli bertindak melarikan diri semula.
“ Keluar dari sini. Sini bukan tempat Ann. Ann cuma menumpang Ajai dengan Kak Hani aje buat sementara waktu. Tapi rasanya, sekarang keadaan dah lain. Rasanya tak perlu kut untuk Ann terus duduk sini.. Maaf..” ujar Ann Layli. Tangan merampas semula beg baju di tangan Zen Huzaini namun cepat dilarikan jauh di belakang badan lelaki itu. Ann Layli mendengus sebal.
Ketika ini, dia sudah nekad. Apa saja yang terjadi harini akan segera dia tamatkan. Mungkin sudah tiba masanya dia mengikut permintaan keluarganya pula.
“ Takkan sampai macam tu... Ann tolonglah jangan keluar dari sini. Abang minta maaf. Abang tak ada niat pun nak buat Ann macam tadi. Tolong jangan tinggalkan abang. Abang pasti Ann dah tahu hasrat abang kan?” ucap Zen Huzaini merayu. Bersungguh sungguh dia memohon maaf.
“ Ann tak boleh terima hasrat Ajai tu. Ann minta maaf. Pergilah dekat Hani. Dia lebih memerlukan Ajai. Kita bukan siapa-siapa pun!" ucapnya. Nada suaranya sedikit tinggi memangkah kata-kata lelaki itu. Lengan yang diraih Zen Huzaini direntap kasar dan terlepas dari pautan itu.
“ Ann..Hani dah restu hubungan kita. Dia izinkan abang kahwini Ann. Abang nak sambung balik hubungan kita yang tak jadi dulu tu. Please..sayang!" beritahu Zen Huzaini.
Ann Layli bertambah geram apabila Zen Huzaini masih berdegil memanggilnya sayang. Dia sudah muak mendengar kata-kata manis seperti itu. Sikit pun dia tidak terhanyut dengan panggilan cinta buatnya kerana lelaki memang pandai menanam tebu di pinggir bibir. Bila sudah habis sayang, mula sepahnya dibuang. Cukuplah pengalaman lalu. Lelaki seperti Zen Huzaini memang tak layak untuk cintanya. Sudah beristeri pun masih sanggup menjaja cinta untuk perempuan lain. Dia bosan. Dia muak. Rimas dengan cinta yang mudah diungkap seperti itu.
“ Huh..alasan Ajai memang tak masuk akal. Siapa beri persetujuan yang Ann terima Ajai?" soal Ann Layli geram. Nafasnya turun naik cuba mengawal amarah yang menggunung. Malu wajahnya masih belum hilang saat Hasnah menangkap perlakuan tidak bermoralnya yang berdua-duaan dengan suami orang di rumah kelamin itu. Bertambah sakit hatinya, kerana Zen Huzaini pula sewenangnya keluar dari tandas dengan hanya bertuala. Dan itu, akan menguatkan andaian Hasnah yang dia dan Zen Huzaini melakukan sesuatu yang terkutuk.
“ Ann..please sayang jangan buat abang macam ni. Abang sayang dan cinta Ann sampai bila-bila. Kita kahwin ya.." pujuknya. Sekali lagi lengan Ann Layli diraih namun ditepis kuat wanita itu.
“ Kahwin? Kak Hani macam mana?" soalnya sinis.
“ Ya kita kahwin...Hani tetap isteri abang. Abang tak boleh tinggalkan Hani. Abang dah janji dengan keluarganya. Tapi abang juga nak Ann dalam hidup abang. Abang tak mampu hidup tanpa Ann..Abang cintakan Ann. Abang janji akan berlaku adil." rayu Zen Huzaini lagi. Wajahnya penuh mengharap meminta persetujuan Ann Layli.
“ Adil? Sekarang pun Ajai tak mampu berlaku adil. Ann belum pun jadi isteri, Ajai dah lebihkan Ann. Sanggup tinggal Kak Hani yang sedang sakit demi cinta. Entah-entah lepas kahwin Ajai abaikan Hani! Dan Ann akan dituduh perampas kebahagiaan rumah tangga orang.. Oh, nonsense!” ujar Ann Layli. Pelipisnya dipicit kuat. Sakit kepalanya mendengar penjelasan Zen Huzaini itu.
Dia tidak akan sekali merampas kebahagiaan rumah tangga wanita lain. Tidak sekali dia mahu memegang gelaran perampas. Cukuplah gelaran janda yang dia ada kini. Itupun terpaksa dia redha kerana sudah takdir Allah menetapkan jodohnya terhenti setakat itu bersama arwah Muqri.
Baginya cinta boleh dipupuk dan boleh juga dibuang. Tetapi kata-kata nista yang akan diterima tak mampu dilenyapkan di hati. Parutnya akan berbekas dan memakan diri.
“ Ann please bagi abang satu aje peluang?”
“ Peluang tu tak pernah wujud Ajai. Sedarlah..antara kita dah lama berakhir. Terimalah kenyataan yang Hani jodoh Ajai.”
“ Tapi abang masih cintakan Ann.. Banyak kenangan antara kita. Impian kita dulu... harapan kita... angan-angan kita yang belum tertunai. Kita dah janjikan dulu.. Ann dah lupa?” soal Zen Huzaini cuba mengingatkan sejarah yang pernah tercipta antara mereka.
“ Ann tak pernah lupa. Terima kasih sebab pernah hadir dalam hidup Ann. Kenangan, impian, harapan, angan-angan semua tu dah tertinggal di belakang bersama masa lalu. Dah menjadi sejarah. Sekarang adalah takdir yang tertulis..dan takdir Ann bukan dengan Ajai. Maaf..” ujar Ann Layli.
Bersama itu tangan kirinya diangkat separas wajah Zen Huzaini. Panahan dari cahaya lampu kalimantang yang memanah tepat ke arah cincin emas yang tersarung di jari manis menyilau ke wajah Zen Huzaini. Tunak mata lelaki itu pandang jari manis Ann Layli yang tersarung cincin pertunangan!
“ She's mine!" Suara seseorang di belakang Ann Layli menjawab.
Tunak kedua pandangan Zen Huzaini dan Ann Layli menoleh ke arah suara tersebut.
Benz Fahri berdiri tegak dengan aura wajah yang keras dibelakang Ann Layli bersama Hasnah yang sudah merah wajahnya akibat menahan marah.
Zen Huzaini telan liur. Otaknya segera menidakkan kenyataan tersebut. Kepalanya digeleng lemah. Wajah Ann Layli dipandang tidak percaya.
*******
Zen Huzaini bungkam. Tubuhnya mengeras di duduk saat dipandang tajam Benz Fahri dan Hasnah. Namun, pandangan membunuh Benz Fahri yang sesaat tadi membilang Ann Layli adalah miliknya itu lebih menggerunkan daripada pandangan marah Hasnah kepadanya.
Memang dia mahu menikahi Ann Layli, tapi bukan dengan cara yang aib begini. Tambah pula memalukan nama baiknya dan Ann Layli. Lebih parah Hasnah sudah memandang serong kepada dia.
Ann Layli pula sudah menikus di sebelah Hasnah. Wajahnya benar-benar malu mahu diangkat. Tatapan tajam Hasnah buatkan dia rasa mahu menghaibkan diri saat itu. Dia pasti Hasnah akan mengamuk besar kepadanya.
Tak sempat dia keluar dari rumah Zen Huzaini kerana sedang bertekak dengan lelaki itu. Muncul emaknya dan Benz Fahri di sana. Dia benar-benar rasa bersalah saat itu.
“ Boleh jelaskan apa yang jadi?” soal Benz Fahri keras kepada Zen Huzaini.
Hampir sepuluh minit berlalu, masih tiada suara yang keluar dari mulut Zen Huzaini dan Ann Layli. Tiada siapa yang mahu bersuara menjelaskan. Kepalanya sudah serabut saat itu memikirkan yang tidak-tidak. Tetapi jika berpeluang membetulkan keadaan, lebih baik dilakukan dari membiarkan masalah berlanjutan dan mungkin akan memusnahkan dua hubungan.
Zen Huzaini tarik nafas dalam lalu menghembus perlahan. Dia perlu memperjelaskan keadaan aib tadi seraya mendapatkan penjelasan tentang hubungan Benz Fahri bersama Ann Layli.
Zen Huzaini menceritakan kisah itu bermula sejak kali pertama Ann Layli menjejakkan kaki ke rumahnya selepas dihalau ibu mertua wanita itu. Berlanjutan pula apabila dia dipujuk isterinya agar membenarkan Ann Layli terus menumpang mereka kerana mahu mencari pekerjaan. Sehinggalah lama kelamaan perasaan sayang dan cintanya kembali berputik melihat kepayahan hidup Ann Layli yang berjuang sendiri tanpa dahan untuk bergantung. Katanya kerana tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapanya. Di ceritakan juga, tentang Hani Wardah yang baru mengetahui hubungan lamanya dengan Ann Layli dan kerana itu isterinya memberikan keizinan untuknya mengahwini Ann Layli.
Hasnah panggung kepala. Wajah Ann Layli dipandang geram. Bertambah rasa marahnya kepada anak itu. Sanggup membelakangkan hal sebesar itu kepadanya sebagai ibu. Sangat tak dapat dia percaya yang Ann Layli berfikiran cetek kerana sanggup menumpang di rumah bekas kekasihnya itu. Hasnah sudah tidak boleh menahan sabar, langsung mulutnya menyerang memarahi Ann Layli tetapi sempat dilarang Benz Fahri dari terus menghukum tanpa usul periksa.
“ Teruskan tuan..” pinta Benz Fahri ke arah Zen Huzaini semula.
“ Bermula itu, Ann terus di sini. Dan Hani mahu saya mengahwini Ann sebab dia tahu saya masih sayangkan Ann disamping menjaga maruah saya. Dia tak mahu hidup Ann terkontang kanting selepas hilang tempat berpaut. Dulu, saya redha bila dapat tahu dia dah kahwin tapi bila saya tahu dia tak bahagia dengan arwah, perasaan tu kembali mekar..."
“ Mana tuan tahu dia tak bahagia?” Benz Fahri terpaksa mencelah di tengah perjalanan cerita apabila mendengar kisah yang meragukannya.
“ Saya pernah dengar Ann di marahi arwah. Mereka bertengkar entah perkara apa sehingga saya perasan suatu hari wajahnya lebam. Dan..”
“ Stop it Ajai. Awak tak layak bercerita tentang kisah saya se ‘detail’ itu.” bergetar suara Ann Layli memberi amaran memintas cerita Zen Huzaini tetapi Zen Huzaini tidak mempedulikannya lantas menyambung cerita sehingga selesai.
“ Maaf andai cerita ini membuka aib orang yang dah pergi, tetapi saya bercerita kerana mahukan keadilan buat Ann. Dia sudah cukup menderita bersama arwah. Saya sebagai insan yang pernah menyayangi dan masih menyintainya cuma mahukan kesaksamaan buat dia kerana kisah ini adalah separuh dari cerita yang dia alami dan rasanya tiada siapa pun yang tahu.” Zen Huzaini jeda seketika. Nafas digali dalam sebelum menyambung semula.
“ Pernah suatu ketika, bangkai ayam digantung di pagar rumahnya serta tembok rumah disimbah cat angkara ceti haram. Mungkin kerana arwah pernah membuat pinjaman dengan pihak tersebut dan tidak dapat melangsaikannya. Saya pasti arwah di buru pihak pengurup wang tak berlesen tersebut dan sebagai memberi peringatan, mereka cuba menakutkan penghuninya. Malah saya pernah menyelesaikan kes arwah yang ditangkap polis kerana berada di bawah pengaruh dadah sintetik jenis ‘ecstasy’. Mulai saat tu, saya nekad mahu membela nasib dia. Sampailah arwah dah tak ada. Tapi saya tak tahu dia dah bertunang. Dan kejadian tadi sebenarnya tiada apa yang berlaku. Saya yang paksa Ann ikut saya balik ke rumah dulu untuk ambil barangan Hani sebelum bertolak ke hospital semula.” terang Zen Huzaini satu persatu. Semuanya jelas dan tidak tertinggal satu pun.
Benz Fahri meraup wajah. Lega mendengar penjelasan Zen Huzaini walaupun hatinya cemburu yang bukan sedikit apabila mengetahui lelaki itu menaruh hati dengan tunangannya. Malah kisah Ann Layli yang baru diketahuinya itu membuatkan hatinya bertambah pedih dan sakit. Tidak pernah dia terfikir sehingga sesukar itu perjalanan hidup yang terpaksa Ann Layli lalui bersama arwah Muqri. Semerta kisah Ann Layli yang pernah jatuh pengsan di RNR dulu dan diselamatkan olehnya menganjal di fikiran.
“ Ann anything to say?” soalnya setelah berpuas hati dengan penjelasan Zen Huzaini tadi dan kini mahu penjelasan dari pihak Ann Layli pula.
Ann Layli angkat wajah apabila namanya di seru. Namun, tidak terus menatap ke arah pandangan Benz Fahri. Dia malu dengan lelaki itu. Lelaki itu walau terlihat tegang dan aura keras menyaluti wajahnya, dia masih mampu berlembut dan bercakap baik. Masih juga mahu mendengar penjelasan. Jika di hadapannya arwah Muqri sudah tentu Zen Huzaini sudah menerima padah. Dia juga turut menjadi amukan baran lelaki itu. Mengenang itu, dia sedikit bersyukur.
Kepalanya digeleng tanda tiada apa yang mahu diperkatakan. Jika tadi Zen Huzaini sudah menjelaskan, apalagi yang hendak dia ceritakan. Semuanya sama saja kisahnya. Cuma dia tidak menyangka kesilapan dirinya yang mahu menumpang di rumah pasangan itu membuatkan Zen Huzaini kembali menguntai perasaan cinta buatnya. Itu yang sangat dia kesalkan saat ini selain beberapa kisah dia bersama arwah Muqri yang disangkakan tiada sesiapa mengetahuinya kini bukan lagi rahsia.
“ Habis tu takkan nak biar perkara ni macam ni. Ini dah melibatkan soal maruah. Mak tak kira..apa nak jadi pun jadilah. Manja kena kahwin dengan Ajai!" ucap Hasnah berang. Matanya mencerun pandang Ann Layli di sebelah.
“ Mak, Manja tak mahu kahwin dengan Ajai!” spontan Ann Layli menjerit, membantah keputusan Hasnah. Air matanya mula menitis mendengar permintaan tak masuk akal emaknya.
“ Habis Manja nak malukan mak dan ayah ke? Kalau Tan Sri Zahid tahu lagi patah hati dia dengan perangai Manja. Malu muka mak tak tahu nak letak mana Manja.” marah Hasnah. Hari ini, kali pertama dia bersuara keras dengan anak itu. Selama hampir dua puluh lima tahun dia mendidik dan mengasuh Ann Layli, tidak pernah sekali dia meninggi suara dan mengherdik. Tapi kali ini, sabarnya sudah berada di garisan yang paling akhir. Emosi yang terganggu membuatkan dia melepaskan kemarahan yang memuncak kepada Ann Layli di depan orang.
“ Mak tolonglah Ann tak mahu kahwin dengan Ajai. Ann takkan rampas kebahagiaan Kak Hani.” bantah Ann Layli. Masih mempertahankan kemahuannya. Tidak sekali dia akan mengkhanati hati wanita yang begitu baik terhadapnya. Tangan Hasnah dicapai dan digenggam erat meminta jasa baik si ibu.
“ Ann, tak rampas kebahagiaan dia. Hani dah lama izinkan. Memang abang dah berniat lama dah untuk lamar Ann. Abang akan memperisterikan Ann. Lagipun memang salah abang. Abang akan bertanggungjawab.” celah Zen Huzaini tidak sanggup melihat wanita kesayangannya dimarahi Hasnah. Kesalahan besar itu bermula darinya dan seharusnya kemarahan itu harus diletakkan ke atas bahunya. Bukan Ann Layli.
Ann Layli pandang Zen Huzaini geram. Kalau tidak mengenang ramai orang di ruangan rumah ini, pasti lelaki itu dihamburkan marahnya yang membukit. Sakit hatinya dengan bicara sembarangan lelaki itu. Salah apa yang mahu dicanang? Mereka tidak sempat berbuat apa-apa pun! Buat apa nak bertanggungjawab semua? Tak tahu malu ke? Tunangannya ada disebelah. Tak boleh ke dia jaga hati dan perasaan tunangannya itu. Ini tidak sibuk pula nak melamar dia depan semua orang. Argh, gila! Ingat gentleman ke melamar macam ni! Dah tu depan mak lagi. Lagi sadis ada pulak abang mat di situ yang sejak tadi diam memerhati.
Mati hidup semula dia takkan berkongsi kasih. Cukuplah kisah hitam dulu bersama arwah Muqri. Tidak mahu lagi dia memperjudikan nasib. Terang-terangan Zen Huzaini mahu madukan Hani Wardah dengan dia. Apa mak mahu anaknya di madukan dan menderita lagi? Tak cukup dulu emak menjodohkan dia dengan arwah Muqri kerana terhutang budi dengan Haji Bakar.
“ Ann, betul cakap abang Ajai tu. Kak Hani izinkan Abang Ajai nikahi Ann. Kami dah berbincang awal lagi..sebelum hal ni jadi teruk macam ni. Kak Hani rela bermadu dengan Ann.” tiba tiba Hani Wardah muncul. Mencelah memberi keizinan secara rasmi di depan semua orang.
Semua mata menala ke arah susuk Hani Wardah yang baru melangkah masuk ke dalam rumah dengan wajah yang masih pucat.
Zen Huzaini tegak berdiri. Terkejut melihat kepulangan isterinya. Sedangkan dari awal lagi Salmi sudah mengkhabarkan kepada Ann Layli bahawa Hani Wardah perlu di tahan di hospital kerana doktor mahu memberi rawatan khusus dengan lebih teliti akibat saluran ususnya yang bengkak kerana mengalami gastrik yang kronik.
“ Sayang, bukan ke kena admit ward?" soal Zen Huzaini mendapatkan Hani Wardah yang berjalan sangat perlahan menahan sakit. Di raih tubuh itu ke dalam pelukannya.
“ Hani minta balik. Tak selesa duduk sana. Lagipun Hani tunggu Ann dengan abang lama sangat. Hani kesiankan abang dan Ann kalau terpaksa ditahan di wad nanti. Tak ada siapa dekat rumah. Jadi, Hani minta doktor buat surat pelepasan rawatan." jelasnya seraya tunduk bersalaman dengan Hasnah dan Ann Layli. Terkejut juga dia saat sampai di hadapan rumah tadi apabila dihantar Salmi pulang. Rumahnya ramai di datangi tetamu. Entah kerana apa tetapi yang jelasnya mengenai hubungan suaminya dengan Ann Layli.
“ Tak apalah, nanti rehat saja di rumah.” ujarnya. Dia kemudian, membawa Hani Wardah duduk di sampingnya. Zen Huzaini menggeleng kepala apabila mengenang sikap baik hati isterinya itu selain sudah menduga sikap isterinya yang lagi satu iaitu tidak suka makan ubat seta tidak suka tinggal di hospital. Isterinya lebih rela menahan sakit di rumah saja dari mendapatkan rawatan.
“ Hah! Eloklah tu. Isteri Ajai pun dah setuju. Cepat kita selesaikan semuanya. Rasanya prosedur menikah sekarang lagi senang sebab Ann balu..Ajai pun dah beristeri. Persetujuan isteri pertama pun dah dapat." Hasnah kembali bersuara dan masih berdegil mahu mengahwinkan Ann Layli dengan Zen Huzaini.
“ Mak!" tergetap bibir Ann Layli. Sebaknya tak dapat ditahan. Kolam air matanya pecah mengenangkan emak tidak mahu mendengar penjelasan mereka. Mudahnya mak buat keputusan. Tidak menyangka mak tetap dengan keputusan berat sebelah itu. Hatinya sedikit terluka.
“ Tak perlu nak beremak-emak. Mudahkan apa yang patut. Sakit kepala mak dengan perangai Manja macam ni. Masa nak buat sesuatu, tak fikir panjang. Sudah begini tahu pula menolak." bebel Hasnah geram. Masih tak mampu untuk menerima berita yang mengaibkan itu.
“ Mak, ni hidup Manja mak. Mana boleh mak main setuju je nak nikahkan Manja. Mak tak boleh buat keputusan macam ni. Lagipun kami tak buat apa-apa..tak ada apa yang perlu dipertanggungjawabkan!” ucap Ann Layli sebak.
“ Tak buat apa-apa Manja kata...” Hasnah tersenyum sinis. “ berdua duaan dengan lelaki bukan ajnabi saat isteri dia tak ada di rumah bukan kesalahan? Macam tu?.. Ini kalau Bonda tak call berapa lama lagi Manja nak bersembunyi dekat sini. Ahh, mak tak mahu dengar lagi. keputusan mak muktamad.” tegas Hasnah melontar kata-kata. Begitulah Hasnah. Bila sudah marah, dia boleh menjadi setegas-tegas manusia yang akan membuat keputusan yang dirasakan baik.
“ Mak!” Ann Layli bangun dan melutut di kaki Hasnah. Dipeluk erat kaki itu. Walaupun wanita itu bukan ibu kandungnya, dan tiada syurganya di situ namun dia tetap menghormati Hasnah selayak ibu yang berjaya mendidik dan membesarkannya. Mengongoi dia meminta ampun kepada Hasnah dan berharap Hasnah memaafkannya.
“ Maafkan Manja mak..ampunkan Manja..Tolonglah Manja mak.. Manja rayu pada mak. Selama Manja hidup dibesarkan mak, Manja tak pernah merayu macam ni. Tapi kali ini Manja minta sangat jasa baik mak agar tak nikahkan Manja dengan Ajai.” pintanya.
“ Habis manja nak malukan mak? Mana mak nak letak muka ni. Orang pandang serong dengan manja sebab manja balu tahu. Manja buat perangai duduk mengeletis rumah orang kelamin kenapa? Macam dah tak ada mak ayah. Allah! Manja..Mak tak kira, Manja kena kahwin untuk tutup aib ni. Muktamad.” Hasnah urut pelipis yang mula terasa tegang. Tebal mukanya tahan malu saat mengungkap keputusan itu. Jujurnya dia juga tidak mahu membuat keputusan seperti itu tetapi mengenangkan Ann Layli yang membelakangkan dia sebagai ahli keluarga hatinya terguris luka. Jiwanya remuk dengan sikap anaknya itu. Hari ini, dia terasa gagal keseluruhannya kerana tidak dapat mendidik anak itu dengan baik. Hanya Allah yang tahu betapa hancur luluh hatinya sebagai seorang ibu.
“Ann akan kahwin tapi bukan dengan Ajai.” ucap Ann Layli setelah suasana kembali reda. Keputusan yang paling drastik yang pernah dia buat tanpa berfikir panjang. Dia nekad jika Hasnah dapat memaafkannnya dan menerimanya kembali.
“ Siapa nak kahwin dengan Manja kalau dah buat perangai tak berakhlak macam ni?” soal Hasnah lagi. Berang dia mendengar ucapan Ann Layli. Hatinya kembali panas.
“ Mak cik sabarlah..jangan macam ni. Jangan desak dia. Kita selesaikan dengan baik. Beri Ann peluang ya!" Benz Fahri terpaksa masuk campur apabila melihat wajah Hasnah kembali menegang.
Wajah Ann Layli yang sugul juga membuatkan dia berasa kasihan. Melalui keseluruhan cerita yang disampaikan Zen Huzaini tadi, dia tahu Ann Layli tersalah langkah. Percaturan yang di rasakan betul itu telah memakan diri. Dia tahu Ann Layli tidak lagi mencintai Zen Huzaini. Dapat dilihat dari sinaran mata bundar wanita itu.
“ Makcik malu dengan Ben. Makcik tak sangka Manja sanggup buat hal sampai macam ni. Kalau dia tak berdegil mahu ruang dan masa berfikir dengan permintaan kita tempoh hari, tentu sekarang dia bahagia dengan Tan Sri Zahid.” luah Hasnah kesal.
“ Tak ada apa yang nak di malukan. Saya faham semuanya. Kita kena bagi peluang pada Ann betulkan kesilapan bukannya menambahkan beban masalah pada dia. Makcik sabar ya.” pujuk Benz Fahri lagi.
“ Tapi Ben, makcik rasa bersalah dengan Ben dan Tan Sri. Makcik kesal sebab tak dapat didik dia dengan baik sampai dia sanggup conteng arang dekat muka orang tua. Makcik mahu dia bertanggungjawab dengan kesilapan dia.” ujar Hasnah.
“ Mak kenapa Ann kena bertanggungjawab sedangkan yang salah tu Ajai?"
Mencerlung tajam mata Hasnah memandang Ann Layli yang masih mahu mempertahankan dirinya.
“ Dua-dua memang salah. Sebab tu mak nak Ajai pun bertanggungjawab dengan salah dia dengan berkahwin." timbal Hasnah lagi. Masih tetap dengan keputusannya.
“ Mak, tolonglah Manja tak mahu! Manja janji balik rumah babah. Manja janji akan jaga babah. Manja janji ikut semua permintaan mak selepas ini tapi bukan dengan berkahwin dengan Ajai. Mak tak boleh paksa Manja.” rayu Ann Layli bersungguh-sungguh.
“ Beginilah..Untuk tidak memanjangkan cerita saya selaku tunangan Ann memohon maaf atas kesilapan yang tak di sengajakan ni. Saya tahu ini bukan kemahuan dia. Jadi kepada Tuan Zen dan Puan Hani saya memohon maaf di atas kesulitan ni bagi pihak tunang saya.” ujar Benz Fahri ke arah pasangan suami isteri itu.
Tidak dapat di tahan lagi hatinya yang merapuh melihat rayuan Ann Layli terhadap Hasnah dan dia terpanggil untuk meleraikan kekusutan yang terjadi.
“ Dan saya juga berharap Tuan Zen dapat menghentikan perasaan mengasihi dan menyintai terhadap Ann Layli selepas ini juga sebanyak apa pun persiapan yang telah dibuat. Ini kerana selepas ini, dia adalah tanggungjawab dan keutamaan saya. Haram jika, Tuan Zen masih lagi menyimpan perasan terhadap tunangan saya. Saya telah memaafkan kesalahan tuan jika sebelum ini tuan tidak mengetahui statusnya. Di sini, saya juga ingin menjelaskan sejelasnya tentang Ann Layli yang sebenarnya adalah anak kepada Tan Sri Zahid yang merupakan Peguam Negara.” tegas dan lancar Benz Fahri memberi penjelasan serta tidak lupa mengingatkan Zen Huzaini tentang status wanita bernama Ann Layli itu kini.
Kelihatan Zen Huzaini dan Hani Wardah terkejut mendengar penjelasan lelaki alpha di hadapan mereka itu.
“ Makcik..Ben juga nak memohon maaf bagi pihak Ann terhadap makcik dan pakcik. Dia mungkin tersalah langkah dan percaturan. Tetapi, sebagai orang yang paling rapat dan lebih mengenali hati budinya saya rasa Ann harus di beri peluang. Setiap penjelasan yang di suarakannya harus di ambil kira sebelum membuat keputusan. Memaafkan adalah perbuatan mulia yang dicintai Rasulullah daripada memendam perasaan yang akhirnya akan memusnahkan diri. Sama-samalah kita memperbaiki diri tentang kekurangan yang ada. Saya berharap perkara ini selesai dengan baik di sini dan tidak berlanjutan.” ucap Benz Fahri. Tegas kata-katanya seraya memujuk Hasnah agar tidak terlalu meletakkan kesalahan kepada Ann Layli sebelum bangun berdiri dan menghulur tangannya berjabat dengan Zen Huzaini.
******
Happy reading gais..Tq yg support WL..love u to the moon and never be back..
Share this novel