Ann Layli mengeluarkan beberapa buku menu mengikut kategori hidangan dari laci meja. Bermula dengan menu kek, dessert dan akhir sekali senarai goodies yang ditawarkan Di kedai mereka. Meletakkan ke atas meja, dia menanti kehadiran Amirah di situ.
Ann Layli menjemput kedua pelanggannya duduk.
“ Jemput duduk puan, tuan.” ujar Ann Layli mesra. Matanya berselang dengan Amirah dan seorang remaja lelaki yang beriringan dengan wanita anggun itu.
“ Terima kasih.” timpal Amirah.
Wanita itu duduk bersebelahan dengan anaknya. Manakala Azhan Wadif pula tersenyum simpul memandang ke arah Ann Layli dengan aura romeo kelas pertamanya.
Ann Layli mula perasan akan tingkah remaja tersebut namun Di buat tak endah. Sudah biasa dengan tatapan seperti itu semenjak Di bangku sekolah lagi. Dia tahu siapa pun yang memandangnya yang mempunyai wajah seperti kacukan Arab itu takkan gagal mengelipkan mata mereka.
“ Ini antara senarai menu kek, dessert dan list goodies yang ditawarkan. Puan boleh tengok dahulu. Kalau ada yang tak tahu saya boleh terangkan secara terperinci.” ulas Ann Layli.
Dua buku menu dan satu list goodies ditolak ke arah Amirah.
Wanita itu mengambil buku kek terlebih dahulu dan menatapnya. Matanya turun naik memerhatikan jenis dan perisa kek untuk majlis yang dia mahukan. Ada kek span, kek buah, kek chiffon, kek mousse dan beberapa jenis lagi. Semuanya membuatkan Amirah rambang mata.
“ Saya nak buat majlis kesyukuran sempena kesembuhan suami saya serta kepulangan anak-anak ke pangkuan Kami. Cik rasa jenis kek yang mana sesuai untuk majlis tersebut ya?” ujar Amirah buntu.
Beberapa minit dia meneliti buku menu tersebut, satu pun tidak dapat dia putuskan kerana terlalu banyak hidangan kek yang nampak sedap dan menyelerakan.
“ Kalau macam tu biar saya jelaskan serba sedikit, harap puan dapat buat pilihan nanti.” senyum Ann Layli tidak putus. Alis matanya yang melentik itu dikerjapkan beberapa kali.
Dia kemudian bangun dari duduk dan melangkah ke arah Amirah. Dia berdiri bersebelahan dengan wanita itu lalu membongkok sedikit menyamai paras Amirah yang sedang duduk.
Menarik dekat, buku menu ke hadapan Amirah dan dirinya sendiri agar mudah untuk memberi penerangan kepada pelanggannya.
Terpampang jelas di muka surat pertama buku menu kek itu menunjukkan beberapa kategori kek untuk majlis perkahwinan, pertunangan, harijadi, kesyukuran, perpisahan dan beberapa lagi majlis keraian yang lain.
Jemari runcing Ann Layli berlari ke arah senarai jenis kek yang ditawarkan di Feeds.Kitchen. Antaranya mousse kek, chiffon kek, fruit kek, sponge kek dan butter kek. Beberapa jenis kek popular yang menjadi pilihan wajib para pelanggan di Feeds.Kitchen seperti Black Forest Indulgence cake, Cream Cheese butter cake, Vanilla Bean Cheese cake, Red Velvet cheese cake, Almond Butter cake, Earl Grey Chiffon cake dan Corrot Cheese cake turut ditunjukkan kepada Amirah.
Di sebelah bawahnya pula, terdapat beberapa jenis perisa kek yang boleh dipilih selepas pelanggan memilih jenis kek yang dimahukan. Ianya terdiri daripada perisa vanilla, pandan, coklat, coffee, laici, strawberry serta beberapa jenis perisa yang selalu menjadi pilihan pelanggan Feeds.Kitchen.
“ Macam mana puan, dah boleh buat pilihan ke?” soal Ann Layli setelah selesai menerangkan setiap perincian kek.
Senyuman manisnya tetap terlakar untuk wanita anggun tu walaupun hampir lima belas minit menerangkan dalam keadaan membongkok.
“ Actually, saya masih buntu.”
Tawa nipis terbit dari mulut Amirah. Dia sedikit serba salah menyatakan namun memilih untuk berterus terang.
“ Ma, lama dah cik ni terangkan details. Takkan satu pun mama tak boleh nak pilih. Han tengok kek tu semua sama je. Warna dengan bentuk je lain-lain. You just select which one you like and that's it.” sampuk Azhan Wadif.
Dia sudah tayang wajah bosan kerana terpaksa menunggu lama untuk mamanya membuat pilihan.
“ Nak pilih kek je pun, bukannya nak pilih bakal menantu!” rungut Azhan Wadif lagi.
Puan Sri Amirah menoleh sekilas memandang Azhan Wadif yang cemberut. Di jeling geram anaknya.
“ Sekejap la Han. Mama nak pilih kek untuk babah dan anak-anak mama. Mestilah kena sempurna. Sebab peluang ni dah lama mama nantikan untuk buat babah happy sempena pertemuan dia dengan Puteri.” ulas Amirah.
“ Kenapa nak sama kan pilih kek dengan bakal menantu pulak? Bukan mama yang nak kahwin kalau mama pilih pun.” sanggah Amirah.
Tergeleng kepalanya dengan gelagat tak semenggah Azhan Wadif yang sedikit protes itu.
“ Pilihan kek yang paling popular dekat Feeds.Kitchen apa ya?” soal Amirah kepada Ann Layli semula selepas membalas kata dengan anaknya sebentar tadi.
Kelihatan dia sedikit cerewet dengan pemilihan kek untuk majlis kesyukurannya itu. Namun, semuanya perlu dilakukan dengan sempurna demi kebahagiaan yang dinantikan suaminya.
Matanya melurus ke arah wajah Ann Layli. Sedikit dia tersentak saat terpandang akan mata gadis di depannya itu. Selayang pandang, dia terlihat mata suaminya di situ.
“ Biasanya pelanggan akan memilih kek jenis mousse dan sponge untuk majlis kesyukuran mereka. Perisa pula lebih kepada coklat, vanilla atau pandan Sebab ianya sesuai untuk semua jenis peringkat umur. Kalau puan nak kek tu kita boleh buat dua untuk setiap kategori. Puan beritahu tadi, satu untuk meraikan kesembuhan suami kan.. so saya cadangkan kita pilih kek sponge dengan perisa coklat dan tambah sedikit cheese, satu lagi perisa pandan. Untuk meraikan kepulangan anak-anak pula; kita pilih jenis mousse kek dengan perisa vanilla atau coffee. Lebih kurang macam Black Forest Indulgence cake tu. Sebab teksturnya lebih lembut dan sedikit ‘moist’.” terang Ann Layli dengan lebih jelas.
“ Err..ada gambar atau contoh tak?” ujar Amirah sedikit gugup cuba menutup debaran di dada. Sedikit tersentak sebenarnya apabila suara gadis itu mengambil alih suasana. Cepat dia mengusir ‘rasa' yang bertandang apabila paduan mata gadis itu membalas renungannya lembut.
Risau kalau-kalau gadis itu perasan kerana dia sibuk menilik wajahnya yang ayu. Sepertinya gadis itu mempunyai darah kacukan Arab. Cantik! Pujinya dalam hati.
Tidak hairan kenapa anaknya Azhan Wadif mengatakan yang lelaki itu seperti ternampak bidadari semasa mereka mahu mulakan perbincangan tadi.
Semerta, pandangannya dipusatkan semula ke arah buku menu di tangan selepas mendengar gadis di depannya menyambung penerangan.
“ Ada, sekejap saya ambil.” ujar Ann Layli yang masih rajin meledani pelanggannya.
Ann Layli berpatah semula ke tempat duduknya lalu membuka laci kedua yang menyimpan gambar beberapa contoh pilihan kek yang paling popular yang selalu menjadi pilihan pelanggan tetap Feeds.Kitchen.
Contoh gambar; Black Forest Indulgence cake, Vanilla Bean Cheese cake, Earl Grey Chiffon cheesecake serta Almond Butter cheese cake disajikan di hadapan Amirah.
“ Sekejap ya puan, saya ambilkan kek-kek pilihan ni. Puan boleh rasa dan nilaikan sendiri perincian kek sebelum buat pilihan.” ujar Ann Layli seraya bangun dan menuju ke peti chiller.
Beberapa minit kemudian dia kembali ke meja perbincangan tadi. Di tangannya terdapat talam berisi empat potongan kecil kek berlainan jenis dan perisa untuk suai rasa Amirah. Kek tersebut diletakkan ke hadapan Amirah bersama sudu kecil. Tidak dilupakan dua botol mini air mineral ‘Spritzer’ di letakkan bersama hidangan pencuci mulut itu.
Bersinar wajah Amirah apabila menerima layanan istimewa sebegitu. Tidak sia-sia dia memilih Feeds.Kitchen sebagai agen pemanis mulut untuk majlisnya.
“ Rasalah puan, encik.” pelawa Ann Layli kepada Amirah dan Azhan Wadif.
Kedua mereka, mula menikmati hidangan kecil itu. Terkembung-kembung pipi Azhan Wadif menikmati keempat-empat kek berlainan jenis sehingga habis kesemuanya manakala Amirah cuma merasa sesudu dari setiap jenis. Itu sudah memadai baginya untuk merasai tekstur dan keunikan rasa setiap jenis kek supaya dia dapat membuat pilihan yang tepat di antara yang tersedap.
“ Ma, ni..ni..kita pilih yang ni..sedap..sedap!” Ujar Azhan Wadif dengan mulut penuh. Vanilla Bean Cheese cake yang separuh digigit Di celahan bibirnya ditunjukkan ke arah mamanya.
Ann Layli tergelak diikuti Amirah. Berasa lucu dengan gelagat Azhan Wadif yang seperti keanak-anakkan itu. Serupa budak empat tahun dapat makan kek buat kali pertama saja.
“ Macam perangai si Aedy je kamu ni Han. Macam budak tadika padahal dah dekat 19 tahun. Perangai tak pernah semenggah langsung!” getus Amirah.
Bahu Azhan Wadif sekali lagi menjadi mangsa cubitan Amirah.
“ Aduh ma..tolong pilihkan pun salah ke?Han bagitahu mama mana yang sedap je. Senang dan cepat sikit mama buat pilihan. Lambat sangat nak pilih kek pun!” balas Azhan Wadif sambil menggosok bahunya yang pedih menerima cubitan. Mulutnya dimuncungkan tidak puas hati.
Ann Layli tersenyum lucu. Dia mengambil tisu dari laci mejanya lalu diserahkan kepada Azhan Wadif.
“ Ada krim dekat tepi bibir tu dik.” tegur Ann Layli sambil menunjukkan tepi bibirnya ke arah remaja itu.
Hampir terjojol biji mata Azhan Wadif saat ditegur Ann Layli tentang krim yang terpalit mengotori wajahnya.
Aduh, habis jatuh saham!
“ Thanks kak.”
Malu-malu Azhan Wadif mengambilnya dari tangan Ann Layli dan mengelap bibirnya sehingga hilangkan kotoran krim tersebut.
“ Welcome.”
Amirah sudah geli hati melihat wajah kemerahan Azhan Wadif akibat termalu itu. Kesian juga anaknya yang sejak tadi menjaga ‘kemachoannya' namun krim kek telah membuatnya malu dihadapan gadis itu. Langsung Amirah membuat keputusan untuk memilih kek yang diingini.
“ Erm..kalau macam tu saya pilih yang ini dan ini. Buatkan dua perisa untuk setiap dua jenis kek.” putus Amirah sambil menunjukkan ke arah kek Black Forest Indulgence cake dan Vanilla Bean Cheese cake kepada Ann Layli.
“ Boleh puan.” ujar Ann Layli kelegaan.
Dia lantas menarik sehelai kertas dan sebatang pen dan mula mencatat pilihan Amirah.
“ Saya nak tengok yang dessert pulak. Door gift sekali. Boleh ke?” soal Amirah seterusnya.
“ Boleh..boleh tak ada masalah.”
Ann Layli mengeluarkan buku menu untuk dessert dan door gift pula. Sama seperti kek tadi dia menunjukkan senarai desert sejuk dan door gift untuk pilihan Amirah.
Tidak seperti kek, Amirah terlalu cerewet membuat pilihan tetapi tidak pada dessert dan door gift. Setelah beberapa minit meneliti senarai dan gambar contoh Amirah memilih Truffle Chocolate Oreo dan brownies untuk tetamu di majlisnya nanti.
Manakala doorgift yang mahu diserahkan kepada para tetamu pula dia memilih pelbagai jenis bentuk cupcakes berperisa coklat untuk tetamu dewasa dan ‘candy meringue cookies’ untuk tetamu kanak-kanak.
Setelah membayar harga pemanis mulut itu semua Amirah dan Azhan Wadif berangkat meninggalkan Feeds.Kitchen. Beberapa butir peribadinya turut ditinggalkan kepada pelayan kedai agar dapat membuat penghantaran ke kediamannya sebelum majlis berlangsung.
******
“ Kak, Kak Fid panggil. Urgent!” laung Zara dari pintu dapur dan lantas menghilangkan diri.
Ann Layli yang sedang menghias kek panggung kepala. Tak sempat menahan Zara, gadis itu sudah berlalu pergi. Hatinya sedikit berantakan mendengar pesanan Zara.
Tidak membuang masa, Ann Layli terus meletakkan paip nozel ke atas meja. Mengambil kain pengelap dia mengelap tangan yang dicemari krim. Apron yang tersarung di tubuh turut di buka lalu berjalan meninggalkan ruang dapur. Tidak mahu Rafidah menantinya lama. Bilik Rafidah di tuju dengan perasaan libang libu.
Setelah membuat beberapa ketukan di pintu dan mendapat arahan kebenaran Ann Layli menolak daun pintu. Wajah Rafidah menabiri ruang mata.
“ Masuk Ann. Sila duduk.” pelawa Rafidah.
“ Ada masalah ke kak?” soal Ann Layli gugup.
Nada suaranya perlahan saja. Kerusi dihadapan Rafidah ditarik dan dia melabuhkan duduknya di situ sambil menanti bicara selanjutnya dari Rafidah.
Rafidah panggung wajah. Senyuman terbit dari dua ulas bibirnya.
“ Tak ada masalah pun. Cuma saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak dekat awak sebab dah entertain pelanggan saya. Vvip tau pelanggan tu. Puan Sri tu dah rate dan komen dekat website Feeds.Kitchen kita. Dia dah bagi feed back yang baik dan naikkan rating kita tau. Saya teruja dan terharu bila dapat tahu.” cerita Rafidah. Wajahnya kelihatan berseri-seri.
“ Oh ingatkan apa tadi. Boleh saya tahu pelanggan yang mana satu, sebab banyak juga yang saya entertain kelmarin dan semalam. Itupun kebetulan Zara minta tolong saya. Lagipun katanya sebelum ini, Anis yang melayan pelanggan sebegitu. Katanya juga, Kak Fid pun tak ada di kedai untuk dia panggil dan entertain customer tu. Memandangkan Anis Dan Kak Fid tak ada saya rasa terpanggil dan bertanggungjawab. Saya minta maaf sebab memandai buat semua tu. Saya sedar itu bukan skop kerja saya. Tapi, kesian dekat pelanggan pula kalau saya tak beri layanan pada mereka. Harap Kak Fid dapat maafkan saya.” tutur Ann Layli. Berharap Rafidah tidak marahkannya kerana memandai mencampuri urusan kerja orang lain.
“ Tak apa Ann. Akk bangga dapat pekerja yang multifunctional macam Ann ni. Tak kekok buat kerja walaupun bukan bidang Ann. Kalau Ann nak tahu pelanggan Vvip tu ibu saudara kawan baik akak. Dia yang rekomen kedai kita ni. Tak silap akak yang Ann entertain semalam tu, yang nak pilih kek dan dessert untuk majlis keraian dia dekat ‘Teratak Kaseh’ hujung minggu ni.” jelas Rafidah panjang lebar.
“ Oh yang itu.. pangkat Puan Sri ke dia kak? Alamak.. saya panggil dia puan je semalam. Nasib dia tak marah. Maaf la saya betul-betul tak tahu.” ujar Ann Layli terkejut. Tangan kanannya naik terangkat menekup mulut kerana sedar terlanjur salah perbuatan.
Rafidah tergelak.
“ Tak apalah, dah tak tahu. Nak buat macam mana kan. Lagipun bukan dia komplen pun pasal Ann dekat web kita tu. ” ujar Rafidah menyedapkan hati pekerjanya.
Ann Layli mengeluh. “ Next time, saya akan baiki lagi skill komunikasi saya dengan pelanggan ya kak!” janji Ann Layli. Dia tidak mahu Rafidah bertanggapan buruk dengannya.
Sebolehnya dia mahu mengekalkan prestasi kerja dan komitmen yang baik di hadapan Rafidah dan akan berusaha ke arah yang lebih maju.
“ Ya, teruskan dengan usaha begitu. Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih pada Ann. Saya percaya Ann akan lebih maju dalam bidang ni nanti.” ujar Rafidah memberi semangat.
“ Terima kasih kak kerana beri kepercayaan kepada saya.” ucap Ann Layli lega.
“ Sama-sama.”
******
Ruhana turun ke bawah setelah bik Rati memanggilnya dan memberitahu ada tetamu istimewa mahu berjumpa.
Dari anak tangga dia sudah mendengar suara riuh di bawah. Fikirnya, ramai juga tetamu istimewanya yang datang, tapi tidak pula Bik Rati memberitahu siapakah gerangan mereka.
Ruhana pasang langkah seterusnya hingga ke tangga akhir sebelum matanya menangkap susuk adiknya Zahid di ruang tamu mewah di kediamannya itu. Ruhana merapati mereka dengan senyuman yang tak lekang di bibir.
“ Oh, orang jauh rupanya! Ingatkan siapa tadi. Assalamualaikum.” tegur Ruhana ramah.
Mereka berempat memandang ke arah Ruhana dengan senyuman juga sebaik wanita itu duduk menyertai mereka di ruangan itu.
Amirah bangun dan bersalaman dengan Ruhana, kakak iparnya diikuti Hasnah dan Tan Sri Zahid kemudiannya.
“ Apa khabar kak?” tegur Amirah selepas meleraikan pelukan.
“ Alhamdulillah, macam nilah Irah. Adakala sihat..adakala sakit. Dah berumur ni tak menentu kesihatan kita.”
Amirah sekadar mengangguk. Dia faham situasi kakak iparnya yang juga kurang sihat akibat masalah kencing manis namun tidaklah begitu kronik.
“ Siapa ni Irah?” soal Ruhana setelah duduk bersebelahan dengan adiknya Zahid. Hasnah Dan Zahid dipandang silih berganti. Serasanya dia pernah melihat kedua pasangan tersebut tetapi tidak ingat pula di mana.
“ Kakak tak kenal ke? Cuba perhatikan betul-betul.” sampuk Tan Sri Zahid.
Ruhana mengecilkan matanya memerhati Hasnah yang tersenyum di sebelah Puan Sri Amirah.
“ Hmm..macam kenal tapi ingat-ingat lupa. Siapa ya?” ujar Ruhana. Kepalanya menggeleng tanda benar-benar tidak ingat wajah tersebut.
“ Kak Hana suka makan nasi lemak pandan kan!” sengaja Hasnah memancing wanita itu dengan menu kegemarannya suatu masa dulu.
“ Ya Allah! Subhanallah. Has..” teriak Ruhana. Bergetar bibirnya. Wajah Hasnah dipandang lama.
Ya, itu Hasnah bekas pembantu rumah adiknya yang menghilangkan diri bertahun dulu dengan anak saudaranya yang masih bayi.
Perlahan dia bangun dari duduk dan merangkul Hasnah dalam pelukan. Hasnah turut membalas pelukan rindu itu.
“ Kak Hana.” Hasnah turut menyeru nama wanita itu. Mereka berpelukan dan saling melepaskan perasaan rindu yang sekian lama bermukim di hati.
“ Dik, Irah.. mana korang jumpa dia? Ya Allah..rindunya akak dengan dia.” soal Ruhana lagi berselang pandangan dengan Tan Sri Zahid dan Puan Sri Amirah.
Tubuh Hasnah ditilik dari atas ke bawah. Tetap sama wajah itu. Senyumannya serta tutur katanya masih sama seperti Hasnah yang dulu. Bezanya kini, raut wanita itu yang sedikit berubah di mamah waktu. Kedua pipi Hasnah juga turut dicium menghilangkan rindu yang sekian lama bermukim.
“ Dah lama saya cari dia kak. Baru aje berjumpanya. Sebab tu saya dan Irah bawa dia ke mari. Nak jumpakan dengan kakak. Benz tak bercerita ke?” soal Tan Sri Zahid bahagia.
“ Alhamdulillah. Nampaknya Allah makbulkan juga doa kita dik.” ujar Ruhana sebak.
“ Tak adanya budak bertuah tu nak bercerita. Mulut dia ada emas la babah. Dua tiga minggu ni asyik M.I.A je. Bonda tanya dia bagi alasan macam-macam.” sampuk Megat Bakhtiar yang tiba-tiba menjengah ke ruang tamu itu.
Tangan Tan Sri Zahid dan Zahid suami kepada Hasnah di salami hormat sebelum melabuhkan duduk dihadapan bapa saudaranya itu.
Tan Sri Zahid ketawa dengan bicara anak saudaranya yang satu itu. Megat Bakhtiar kalau bercakap memang tidak pernah berlapik. Berterus-terang semedang.
“ Dia ada je dengan babah, jadi body guard. At the same time babah minta tolong dia carikan anak babah yang terpisah lama tu. Pakcik Zahid dengan isterinya Makcik Hasnah nilah yang menjaga puteri babah tu.” lanjut Tan Sri Zahid. Kedua telunjuknya diarahkan kepada Zahid dan Hasnah yang sentiasa tersenyum senang itu.
Terangguk-angguk kepala Megat Bakhtiar mendengar cerita babahnya.
“ Patutlah pun selalu M.I.A.” gumamnya. Perhatiannya di pusatkan ke arah Zahid sebelum menyambung bicara semula.
“ Erm..tapi saya macam kenal dengan Pakcik Zahid ni la bah..” Megat Bakhtiar bersuara. Matanya dipicingkan dengan lebih dekat ke arah Zahid.
Zahid beriak biasa. Sudah dapat mengagak tebakan Megat Bakhtiar. Dia juga baru kenal dengan Megat Bakhtiar secara tak langsung. Malah baru tahu cerita yang sebenar daripada Benz Fahri.
“ Projek Belum? Jurutera kontraktor binaan Syarikat Endah Holding?” duga Tan Sri Zahid.
Kerutan di dahi Megat Bakhtiar semakin berlapis. Ya, dia ingat tentang itu tetapi masih samar untuk mengaitkan kaitan antara orang tersebut dengan Zahid di depan. Tetapi setelah beberapa minit cuba mengimbau akal dikepalanya mula memberi ‘signal’.
“ Ya, pakcik kan yang saya jumpa masa majlis pengebumian arwah Encik Muqri tu! Jadi..” tebaknya.
Megat Bakhtiar akhirnya terjeda semula apabila cuba mengaitkan antara Zahid dan jurutera projek syarikat mereka yang tidak nampak rasional pada fikirannya.
Zahid tersenyum dan mengangguk mengiakan fikiran yang berlegar di kepala Megat Bakhtiar.
“ Arwah Muqri tu menantu pakcik. Anak angkat pakcik tu sebenarnya anak kepada Tan Sri Zahid, babah Tuan Megat nilah..” jelas Zahid merungkaikan soalan yang berbelit di kepala Megat Bakhtiar.
“ Allah, kecilnya dunia! Kalau macam tu, Ben la yang paling awal jumpa dengan anak babah tu.” cerita Megat Bakhtiar. Wajah Tan Sri Zahid dipandang meminta kepastian.
Tan Sri Zahid mengangguk mengiakan.
“ Kebetulan masa tu.” ujar Tan Sri Zahid.
“ Kalau tak silap pernah sekali kita orang lawat anak angkat pakcik dekat hospital sebab Ben call bagitahu yang dia ada dekat hospital. Saya dengan isteri kelam kabut pergi, ingatkan Ben kemalangan rupanya dia yang selamatkan anak angkat pakcik tu. Malam tu juga kami hantar anak angkat pakcik balik rumahnya. Masa jumpa Ben, muka dia cuak sangat. Risau dan concern yang berlebihan macam bini dia pula yang sakit nak bersalin.” sambung Megat Bakhtiar dengan tawa yang bersisa. Masih segar diingatannya riak Benz Fahri ketika itu.
“ Tiar!” seru Ruhana. Mimik muka tidak puas hati ditayangkan bondanya. Tidak suka anak sulungnya itu bercakap sehingga mengaminkan orang.
Tapi, siapa yang dapat sangkal perangai Megat Bakhtiar. Sejenis manusia yang tak makan saman kalau bab bercakap dan mengenakan orang.
Nasib Benz Fahri tiada di situ. Kalau tidak pasti bercakaran berdua kerana mulut berbisa Megat Bakhtiar.
“ Itulah, dunia ni memang kecil. Pusing-pusing sebenarnya di situ juga. Tapi alhamdulillah semua Allah permudahkan. Tan Sri pun dah dapat kembali anaknya yang terpisah lama tu.” balas Zahid.
“ Tak apalah Zack, semuanya ketentuan takdir.” bahu Zahid di tepuk Tan Sri Zahid memberi semangat.
“ Dah lama borak, jomlah kita minum petang.” ajak Ruhana. “ Bik..oh bik..” laung Ruhana memanggil pembantu dapurnya kala itu, seraya mematikan cerita mereka semua.
“ Eh, kak tak perlu susah-susah minum semua. Irah dan Abang Zahid nak balik dah ni. Singgah sebentar ke sini cuma nak menjemput kakak sekeluarga ke majlis kesyukuran kami hujung minggu nanti. Sempena kesembuhan Abang Zahid dan kepulangan Puteri. Alang-alang tu, kami lanjutkan sekali majlis kesyukuran untuk Ben sempena tamat belajar tu.” ujar Amirah.
Lengan kakak iparnya dipaut mesra.
“ Datang ye kak! Ajak sekali Lia.”
“ Ya Allah, buat susah je kamu ni Irah. Tak perlu pun nak buat majlis tu semua untuk Ben. Macam Ben tak ada family pulak nak tumpang kamu suami isteri. Segan kakak nak terima pelawaan kamu.” balas Ruhana segan.
“ Kak, ini bukan pelawaan, ini jemputan. Kakak wajib datang. Lagipun kita memang satu keluarga. Abang Zahid nak kenalkan seluruh ahli keluarga serta keturunan Syed dan Sharifah pada Puteri nanti. Datang ya kak!” pujuk Amirah tidak jemu.
“ Kalau dah itu permintaan kamu, kakak tak dapat nak tolak. Insha Allah nanti kakak datang.” jawab Ruhana.
“ Kami balik dulu kak. Jangan lupa datang ya.”
“ Insha Allah Irah.”
Mereka bersalaman dan berpelukan dengan Ruhana dan Megat Bakhtiar. Sempat Tan Sri Zahid berbisik dengan kakaknya mengenai sesuatu sebelum meninggalkan Villa Seroja.
Wajah Ruhana kelihatan berseri-seri dan sangat ceria selepas kepulangan keluarga adiknya. Masih dia tidak sangka akhirnya keluarga mereka dapat menemukan semula seorang Puteri pewaris keturunan Syed dan Sharifah itu. Sangkanya harapan mereka akan melebur dengan kehilangan yang tak terduga itu. Mengingatkan detik-detik tragis itu, Ruhana sangat trauma.
*******
Ann Layli menguak seluruh isi beg pakaiannya. Menarik keluar beberapa pasang baju kurung dan jubah yang ada lalu ditayangkan ke tubuh namun semuanya tidak menepati citarasa.
Teringat akan baju yang dihadiahkan emak sempena ulangtahun ke dua puluh tiganya yang lalu, cepat Ann Layli menarik beg kertas yang tersimpan di dalam beg baju yang lagi satu.
Dia menarik sehelai maxi labuh berwarna ‘matcha green’ yang terlipat elok. Baju itu dihadiahkan emak sehari sebelum pernikahannya dengan Muqri, tetapi tidak dapat dipakai kerana tubuhnya yang sedikit berisi ketika itu. Sudahnya, baju itu tersimpan saja di dalam almari. Sekali pun tidak pernah dipakainya.
Tetapi hari ini, dia teringat akan maxi yang tersimpan lama itu. Ann Layli bangun dan berdiri di hadapan cermin solek. Maxi itu diacu ke tubuh.
Sesuai! Omelnya sendiri.
Dia tersenyum manis dihadapan cermin sambil berpusing ala-ala pengantin menggayakan maxi hijau itu.
Bunyi jam loceng di atas meja solek mengejutkan Ann Layli. Terhenti gerakannya lalu melangkah mendapatkan jam loceng tersebut. Ditekan punatnya dan segera jam itu berhenti dari terus berbunyi.
Sudah pukul enam setengah petang! Ann Layli mengeluh. Dia punyai masa cuma satu jam setengah saja untuk mandi, solat dan bersiap ke rumah kenalan emaknya. Baru tadi emak menelefon mengingatkannya agar datang tepat waktu. Kata emak majlis berlangsung selepas maghrib. Penat juga mahu mengejar masa kerana dia pulang sedikit lewat hari itu disebabkan menemani Andy menghantar pesanan ke teratak Puan Sri Amirah yang melanggan kek, dessert dan goodies sempena majlis keraiannya malam itu.
Andy adalah pekerja penghantaran Feeds.Kitchen yang diupah Rafidah untuk membuat penghantaran ke rumah-rumah pelanggan yang menempah kek dan dessert dari kedai mereka.
Saat pulang, mereka terperangkap pula dalam kesesakan lalu lintas menyebabkan Ann Layli sampai ke rumah ketika hampir senja. Panggilan telefon emak pula membuatkan Ann Layli bertambah kelam kabut. Menurut emak lagi, alamat lokasi majlis telah pun dihantar ke aplikasi whatsapps telefonnya tetapi belum sempat dia menyemaknya lagi.
Ann Layli segera menyambar tuala dan menghilangkan diri ke bilik air. Beberapa minit kemudian dia kembali ke bilik dan menunaikan solat asar yang sudah dihujung waktu. Usai, menunaikan solat fardhu dia segera bersiap.
Mencapai maxi hijau yang terletak di atas katil itu dia menyarungkan ke tubuh. Nasib maxi itu sejenis fabrik tidak mudah renyuk. Kalau tidak bertambah tak cukup kaki tangannya kerana mahu menggosok pula.
Ann Layli mencapai shawl berbunga kuning air serta dihiasi manik swarovski crystals dari penyangkut baju setelah siap bersolek nipis dan memakai skaf kepala. Shawl itu di larikan ke atas kepalanya. Dengan menggunakan jarum peniti dia melipat kedua sudut fabrik itu ke tepi rahangnya. Hujung shawl yang lebih pendek Di tarik ke atas bahu dan dipinkan dengan keronsang kecil. Manakala hujung shawl yang lebih panjang dililit ke belakang kepala. Dia membetulkan letak duduk hujung shawl di bahagian bahu pula. Apabila sudah 'decent' Ann Layli membetulkan lipatan shawl di atas kepalanya sebelum menyelit lagi sebatang peniti di situ. Siap!
Mencapai botol Givenchy Dahlia Divin lalu di arahkan ke tubuhnya. Menyembur beberapa kali ke bahagian lengan baju, belakang shawl dan ke pergelangan tangannya. Menyeruak bauan itu memenuhi ruang. Sudah lama dia tidak memakai minyak wangi malah setelah berkahwin pun. Arwah Muqri tidak gemar dia berwangi-wangian. Katanya tidak suka isterinya di pandang dan dihidu lelaki lain. Padahal Ann Layli jarang keluar rumah. Kalau keluar pun setakat pulang ke kampung saja. Ah! cemburunya sangat buta.
Tetapi entah kenapa malam itu, dia terasa mahu menggunakan minyak wangi yang di hadiahkan Muqri sebagai barang hantaran di hari pernikahan mereka lama dulu. Belum pernah dia pakai lagi. Jadi malam itu dia merasmikannya.
Tote Beg Gucci hadiah hantaran juga digunakan Ann Layli. Terasa malam itu sangat istimewa membuatkan dia mahu berlawa-lawa ke majlis rakan emaknya itu. Apatah lagi, semenjak dia menjadi balu itu inilah kali pertama dia bersiap indah dan berwangi-wangian persis bidadari turun ke bumi.
Setelah siap, Ann Layli bergerak ke lokasi jemputan dengan menaiki grab yang telah dipesan melalui aplikasi grab car. Ketika dia keluar rumah, Hani Wardah dan Zen Huzaini masih belum pulang. Jadi dia meninggalkan nota kepada mereka memberitahu tentang kepergiannya.
Setelah menaiki grab, Ann Layli menyerahkan alamat lokasi kepada pemandu grab carnya malam itu. Pemanduan yang mengambil masa lebih kurang empat puluh minit dan keadaan cuaca yang mengalami hujan renyai-renyai membuatkan Ann Layli terlena akibat kesejukkan dan keletihan.
Sayup terdengar suara seseorang memanggilnya selepas itu. Ann Layli terpisat bangun dari sepicing ketidurannya. Menoleh kiri dan kanan sebelum memusatkan pandangan pada wajah seorang pemandu wanita di depan yang sedang tersenyum memandangnya.
“ Maaf cik, kita dah sampai.” ujar pemandu itu.
“ Oh ya. Maaf saya terlelap. Berapa tambang?” terkocoh-kocoh Ann Layli menyeluk tote beg nya mencari wallet sebelum menyerahkan not hijau kepada pemandu wanita itu.
“ Tiga puluh tujuh ringgit cik.” Bayaran tambang yang dihulur Ann Layli diambil pemandu tersebut dan dia memulangkan bakinya.
“ Terima kasih.”
“ Sama-sama.”
Pintu di buka dan Ann Layli melangkah keluar. Tangannya naik membetulkan letak shawl yang berkemungkinan senget akibat ketiduran tadi. Setelah itu, Sheen ditangan ditilik seketika. Lagi dua minit menginjak ke lapan malam. Nasib sampai tepat pada waktunya.
Ann Layli mengangkat pandangannya ke arah sebuah villa yang tersergam indah disimbahi lampu bercahaya di hadapan matanya.
‘ Teratak Kaseh’ ulasnya dengan senyuman dibibir.
Semerta ingatannya melayang kepada seraut wajah anggun Puan Sri Amirah.
Ann Layli tergeleng sendirian.
‘ What a surprise tonight?’
******
Thanks yg tunggu n bersabar WL update FFM kali ni. WL lanje korang dua chapter tuk minggu ni tau.. harap semua berpuas hati.. Please tinggalkan komen yg murni2 utk FFM..WL hargai sgt2 jasa baik korang tau.. love u to the moon and never been back..(。♡‿♡。)
Share this novel