Bab 33

Romance Series 77048

“ Kau tersenyum-senyum kenapa?”

“ Saja.”

“ Kau saja-saja!” Azlan Waqif tersengih sinis. Telunjuk naik ke wajah si kembarnya. “ Ingat aku nak percaya?” matanya disepetkan seolah tak percaya dengan jawapan si kembar dia itu.

“ Aku tak paksa.” Azhan Wadif balas senyum sambil angkat bahu. Meneruskan suapan nasi briyani berlaukkan daging kambing ke mulut. Santai menikmati suapan. Sekali sekala bila wajah itu menerpa ingatan, dia tersenyum sambil menggeleng lagi.

Azlan Waqif makin pelik lihat lagak si abang kembarnya. Buang tabiat agaknya!

“ Kau fikir apa? Tersenyum, tersengih layan ayan?” masih tak berpuas hati dia bersoal. Tangan naik menongkat dagu pandang muka di sebelah. Mood nak makannya hilang bila tengok Azhan Wadif buat aksi pelik begitu. Nasi briyani berlauk kari kambing elok je tersadai atas meja di hadapan tak berusik.

“ Tak..”

“ Dah tu!”

Kepala di bawa pusing ke arah Azlan Waqif. Dia menyengih dengan mulut lebar. “ Sebab aku happy. Overloaded.”

Azlan Waqif senggol siku si kembar itu. Geram. Tersengguk dibuatnya Azhan Wadif.

Burrrr!!!

Tersembur sedikit nasi yang baru hendak ditelan. Merah wajah Azhan Wadif tahan perit di rengkung.

“ Mintak air..mintak air!” mengelupur dia macam tak cukup tanah. Maunya tidak, tersedak kari kambing super pedas tu. Berasap la tekak sekali telinga bila rempah pedas tu mengaum dekat rengkung.

Azlan Waqif bantai gelak. Kuat. Seronok tengok muka abang kembarnya merah tahan pedas. Rasakan!

“ Poyo je!”

Azhan Wadif mengipas mulutnya yang terjelir kepedasan. Mulut tak henti-henti mengomel marahkan si adik kembarnya. Memang dia kena buli teruk malam ni. Mintak air pun tak dapat. Dahlah kena pedajal dek budak tu.

“ Apahal korang ni!” Secawan jus sunquick terhulur depan mata. Cepat-cepat Azhan Wadif ambil lalu teguk rakus sehingga habis secawan.

Fuh. Lega! Hilang pedas bila kena air sejuk tu.

“ Thank you abang.” cawan dikembalikan ke atas meja.

“ Hmmm..” kerusi disebelah Azhan Wadif ditarik lalu duduk di situ.“ Korang apahal bersilat time tengah makan ni?”

Pinggan berisi dua ketul karipap pusing dan dua ketul cream puff custard yang berada di tangan kanan diletakkan di atas meja bersama secawan jus sunquick di tangan sebelah kiri. Tapi, selamat dah jus sunquick tu jadi habuan Azhan Wadif tadi.

Usai hantar Doktor Junaidi pulang tadi, terus dia tuju khemah makan nak mengisi perut yang dah lapar. Tadi ingatkan nak makan sambil melayan borak si teman. Dahtu, isteri doktor tu pulak buat panggilan kecemasan suruh balik terpaksalah dia makan seorang diri. Sedang je elok dia ambil makanan dan nak mencari tempat duduk dengar pulak budak kembar tak cukup umur tu bertekak entah apa. Itu yang terus dia melangkah menapak ke arah dua beradik tu buat teman makan malam dia.

“ Bukan bersilat bang! Kitaorang main cak lempong je ni.” balas Azlan Waqif cuba berloyar buruk. Dia gelak besar sesaat sebelum mata tajam Benz Fahri menyapa pandangannya. Terus hilang taring nak berloyar buruk bila tengok muka garang si abang.

“ Nak abang panggil mama ke? Perangai macam bebudak tak cukup umur je.” Dia geleng kepala. Ada je akal budak ni menaya orang!

“ Lan ni la bang, main kasar pulak memalam ni.” adu Azhan Wadif. Si kembarnya dijeling geram. Beberapa helai tisu ditarik dari kotak tisu yang berada tak jauh dari tempatnya. Di bawa ke mulut dan mengelap saki baki nasi briyani yang melekat dipinggir bibir bahana tersedak tadi.

“ Pehal pulak aku. Kau tu yang dok layan ayan sengih macam mulut tu dah hilang saraf. Lagi tak mau mengaku.” sekali lagi lengan Azhan Wadif disenggol.

“ Abang pun nampak kau dok tersenyum kambing macam tengah nak terberanak tu apahal?” usik Benz Fahri juga. Saja nak join sekaki dengan si Azlan Waqif tu nak menyakat Azhan Wadif.

“ Mana ada!” sangkal Azhan Wadif geram.

“ Tengok bang, kan Lan dah cakap dia tak ada nak ngaku nyerr..” sepotong buah tembikai dalam pinggannya dicapai dan di bawa ke dalam mulut. Mengunyah nikmat buah merah yang manis itu sekali dengan mata yang terpejam-pejam.

“ Kau tengok apa tu?” soal Benz Fahri yang mula perasan kepala si Azhan Wadif yang sekejap lurus ke depan dan sekejap lagi mula kepalanya ditundukkan seolah menyorokkan wajahnya.

“ Tak ada apa.” ujarnya datar.

“ Hmm..membongak je dia ni!” balas Azlan Waqif tak puas hati. Dia lantas menyelitkan kepala di sebelah Azhan Wadif. Turut mengintai ke mana arah kepala si kembarnya itu.

Benz Fahri geleng kepala tengok perangai tak cukup umur versi sekolah tadika budak berdua tu. Malas nak masuk campur. Sebiji karipap pusing di ambil dan digigit perlahan. Menikmati hidangan malam itu. Nak makan nasi, macam dah tak sesuai pulak memandangkan dah lewat malam sangat. Dia mana pernah ambil nasi time time lewat malam begini. Diet katakan.

Maklumlah, orang jaga badan ni memang pentingkan kualiti bentuk tubuh dia dari jaga perut yang kelaparan. Nak jaga body katanya. Kalau tak, tak adanya tubuh dia serupa macam model pakaian antarabangsa si Ben Hill tu. Dekat perut tu ada enam ketul roti bun berketak-ketak. Tangan pun sama berketul dan berurat hijau. Nampak fit and tough. Hasil dia beraktiviti dekat gym seminggu tiga kali.

“ Angel!” bisik Azlan Waqif sambil ternganga. Itu hasilnya setelah sibuk menempel mencelah dan menyelit kepala di sebelah Azhan Wadif tadi. Punya nak menyibuk tengok apa yang kembarnya pandang sampai tersenyum tersengih sorang-sorang. Walaupun perlahan, tapi butir ayat tu sampai jugak dekat pendengaran Benz Fahri.

Yang membuatkan Benz Fahri yang tadi khusyuk menghabiskan karipap pusing di tangan terus angkat muka. Matanya berkerut pandang Azlan yang dah over react. Angel celah mana pulak turun memalam buta ni!

Pandangannya ikut sama terlontar dengan pandangan si Azlan Waqif tu. Semerta figura seorang Ann Layli bersama kakaknya yang sedang mengambil makanan di meja hidangan tak jauh dari tempat mereka bertiga duduk menyapa anak matanya.

Betul lah tu angel!

Tapi Benz Fahri pantas larikan anak mata bila dengar arahan dari otak. ‘ Kau apehal tenung anak orang. Jaga sikit pandangan tu!’

Automatik tangan dia sauk sekali belakang bahu si adik-adiknya.

“ Hey korang, mata tu jaga sikit. Tenung perempuan macam esok dah nak kiamat apahal?” tegur Benz Fahri.

Berlipat dua kepala si kembar tu menoleh pandang si abang. Wajah keras si abang menyapa anak mata.

“ Kan kakak kita orang tu. Bukan salah pun.” jawab Azlan Waqif menyeringai. Gigi putih bersih yang sama barisnya tu dia tayang dengan mulut lebar.

“ Aah, kita orang speechless tau tak masa babah kenalkan tadi.”

“ Apasal speechless pulak?” kerut di dahi Benz Fahri naik berlapis.

“ Tula abang tak faham. Abang bukannya ada kakak pun!”

“ Eh-eh..korang ni kena sampuk dengan hikayat sukma cenderawasih ke apa! Kak Lia tu bukan kakak abang ke?” kening Benz Fahri terjongket.

Azhan Wadif dan Azlan Waqif tergelak-gelak. Baru teringat yang Sharifah Julia tu kakak kepada Benz Fahri. Dua-dua dah garu kepala bilamana tersedar kekhilafan kata pada si abang.

“ Sorry-sorry lupa. Tapi kak Lia tu cantik je..Kakak Puteri ni super cantik. Macam bidadari turun dari kayangan.” jujur Azhan Wadif menjawab.

“ Betul, Lan sokong.” tokok Azlan Waqif disebelah. “ Second time aku sokong kau tahu!” wajah Azhan Wadif dia pandang buat pengakuan persetujuan.

Terangguk-angguk dua beradik tu jadi teman sekutu. Walhal, sebelum ni segala pendapat asyik tak sebulu. Masing-masing nak tegak pendirian dan fakta sendiri. Bila bab kakak diorang, boleh pulak sekepala. Haru!

“ Masa first time tengok tak berapa cantik sangat walaupun memang cantik.” perlahan saja nada Azhan Wadif dengan kepala masih menala pada figura di depan. Menilik wajah putih gebu yang berkacukan arab-melayu tu.

“ Jargon apa kau pakai ni budak?” kerut di dahi Azlan Waqif berlapis. Pelipisnya digaru. Pening nak mengolah ayat dari mulut si kembarnya tu. ‘ Tak berapa cantik sangat walaupun memang cantik!’ Ni kalau bagi penterjemah bahasa macam Awang Sariyan pun pening nak terjermah maksud. Keliru habis. Bahasa Jerman yang paling complicated tu pun tak susah macam ayat si Han ni!

“Jargon - first time - jumpa - kakak - cantik - macam - angel.” sengih Azhan Wadif.

“ Putus fius!!” kutuk Azlan Waqif.

Benz Fahri dah tergelak dengar bahasa Jerman - Perancis dua beradik kembar tu. Berpencak tak sudah. Jargon asing mereka tu pun memang pening nak olah dengan otak yang sememangnya semput nak fikir bab-bab luar alam macam tu. Geleng kepala sudahnya. Dua beradik tu sesaat tu pun cukup jela nak berbaik bersetuju pendapat. Masuk je minit kedua dan ke - 24jam seterusnya terus jadi musuh tradisi. Jadi seteru. Hmmm..

“ Bila first time kau tengok? Bukan baru malam ni ke babah kenalkan dia pada kita semua.” soal Benz Fahri pelik.

“ Tah kau ni. Jumpa mana? Dalam mimpi?”

Ek! terkedu sekejap Benz Fahri tu. Yang jumpa dalam mimpi tu abang dik oi! Dia geleng kepala sendiri nak menyedarkan diri. Nasib tak terlepas cakap. Kalau tak naya kena soal jawab dengan budak dua ketul ni. Hish!

“ Jumpa kat kedai bakery yang mama order makan untuk malam ni.” ujar Azhan Wadif. “ Tula, aku ajak kau ikut aritu teman mama kau tak nak. Kalau tak kau boleh jumpa dah.” kepalanya dah berpusing pada Azlan Waqif pula.

“ Oh I see..” serentak Azlan Waqif dan Benz Fahri mengangguk.

“ Kakak buat apa situ?” Tak puas hati Azlan Waqif bersoal lagi.

“ Kerja situ la. Dia yang tolong mama decide kek, goodies, dessert semua tu.”

Sejenak Benz Fahri layan ayan. Sejak bila Ann kerja kedai bakery tu? Bukan sebelum ni dia duduk rumah je ke? Takkan suami dia tak tinggal harta sehabuk pun yang sampai dia nak kena kerja bagai? Banyak ayat yang berpencak dalam kepalanya yang tak dapat jawapan pasti tentang Ann Layli. Dan lamunan tu mati bila Azlan Waqif senggol tangan dia.

“ Tapi, abang mesti dah banyak kali jumpa kakak kan? Sampai hati tak bagitahu kitaorang.”

Dia tarik keluh. Pandang muka kembar dua beradik tu berselang. “ Banyak kali jugak. Tapi masa tu mana tahu dia anak babah. Bulan lepas baru tahu, masa abang teman babah balik kampung kawan dia tu. Lepas pada tu, mana jumpa dah.” jelas Benz Fahri.

“ Oh diam-diam eh buat kerja.” usik Azlan Waqif.

“ Apa?”

“ Awal-awal usha kakak kitaorang tak bagitahu... Bang, kira jadi ek!” keningnya terjongket jongket dihadapan lelaki itu. Mood mengusik belum lagi padam malah bertambah galak.

“ Apa yang jadi?” wajah blur Benz Fahri tayang depan dua beradik kembar tu. Tiba-tiba jadi! Apa yang jadi?

“ Han.. kura-kura dalam perahu, abang hensem kita pura-pura tak tahu!” sakat Azlan Waqif di depan Benz Fahri. Lebar sengihan dia mengusik si abang sambil angkat kening double - jerk dekat Benz Fahri manakala tangan Azhan Wadif disenggol dengan siku kirinya mengajak si kembarnya turut dalam adengan usik mengusik tu.

“ Dalam peti ada kunci, kasi tahulah kalau sudi!” Azhan Wadif turut sama mengusik. Menambah lagi pantun dua kerat versinya pula. Dah balik ke minit ke-25 dua beradik tu ‘berbaik' dan masuk fasa bergandingan. Masing-masing tayang wajah macam penyiasat antarabangsa sebab nak baca riak wajah pengebom berani mati yang nak mengebom White-House depan Benz Fahri.

Benz Fahri pula rasa nak benam kepala dia bawah kain meja di depan bila dengar pantun menggiat tu. Malu! Muka dah merah macam kena simbah dengan segala jenis sos yang ada dalam dunia je. Telinga yang putih bersih tu pun dah sama warna merah dengan muka. Tak tahu nak buat riak apa. Betul la budak dua ni buat hidup dia jadi lintang pukang malam ni. Menyeksa betul hidup. Menyesal dia datang join tadi. Kalau tahu nak kena bahan sampai macam ni baik awal-awal lagi dia makan sorang-sorang tak pun masuk dalam join dengan bonda makan. Hati senang. Pahala pun bergantang.

Tapi dah nama Benz Fahri mana nak bagitahu perasaan dalaman dia tu walaupun hati sendiri berpencak sakan nyanyi lagu keroncong dulu-dulu. Cepat je dia papar wajah beku. Kalah paras takat beku lautan artik hujung dunia tu. Dingin. Korang tunggu jelah budak.

“ Sorry la adik-adik ku sekalian, I'm not interested!” kedua tangannya di angkat ke atas angin seperti tanda menyerah dengan muka tak berperasaan. Datar.

Kedua kembar yang parasnya teruja tadi kini dah bertukar wajah jadi layu. Macam si bunga tak kena siram dengan air sebulan di waktu kemarau aje.

“ I'm off. Bye!” ujar Benz Fahri seraya bangun dari duduk. Piring kosong di depan diangkat sekali nak di bawa buang ke dalam plastik sampah. Dah habis masa makan sekali main dengan budak tak cukup umur. Tu kalau dia berlama lagi mau macam-macam pantun yang keluar dari dua beradik tu nak menaya dia. Semoga tak teruk kena kecam. Sebelum cerita jadi havoc, lebih baik dia angkat kaki. Semua tu bala bin bahana je.

“ Dey bang, takkan lari kut! Chill la..”

“ Malu tapi mahu..ingat gue tak tahu!”

Sakan dua kembar tu berteriak mengusik dan ayat mereka tu berselang bersahut sahut di tepi telinganya tapi Benz Fahri buat tak layan. Terus jalan laju menonong bawa piring kosong walau muka nak tersenyum dari tadi. Jenuh dia kontrol punya takut kena bahan lagi teruk. Dan sempat dia menghilangkan jejak masuk ke dalam rumah selepas itu.

********

“ Bonda dah makan?” suaranya menyapa sebaik mampir ke arah Ruhana.

“ Tengah tunggu Lia dengan Puteri ambilkan. Ben?” mengangkat wajah, tersenyum nipis Ruhana menjawab pertanyaan anaknya saat Benz Fahri muncul di ruangan itu.

Ruhana sedang leka melihat telefon bimbitnya ketika disapa jejaka itu; sedang membalas beberapa pesanan penting di aplikasi whatsapps dari teman-teman ‘usrahnya’.

Angguk seketika. “ Bonda makan lah..Ben makan dah tadi dengan adik adik. Ni naik atas tengok babah kejap. Kut dia dah sedar tak ada siapa pulak tengok nanti.”

“ Iyalah. Kalau dia sedar cepat beritahu bonda. Bonda nak tengok dia." masih beriak risau sempat Ruhana berpesan kepada Benz Fahri.

“ Baik bonda.” akurnya.

Benz Fahri melangkah pergi berlalu ke tingkat atas.

Gerak langkah dua figura pula datang bergantian susuk Benz Fahri tadi.

Meletakkan pinggan berisi nasi dan pencuci mulut Sharifah Julia serta Ann Layli duduk di sebelah Ruhana mengapit kiri kanan wanita itu. Senyuman manis dilemparkan kepada Ruhana oleh Ann Layli. Manakala Sharifah Julia tiba-tiba bangkit dari duduknya.

“ Kak Lia nak pergi ambil air sekejap. Ann teman bonda makan dulu.” pesannya kepada mereka. Ann Layli mengangguk. Setelah itu Sharifah Julia menghilang ke luar semula.

“ Jemput makan bonda.”

“ Jomlah makan sekali.”

Ann Layli tersenyum mengangguk. Dia menarik pinggan nasi beriani lalu disuakan kepada Ruhana berserta sudu. Ruhana berasa senang dengan layanan Ann Layli yang baru pertama kali bersua dengannya. Dia turut tersenyum melihat tingakah gadis itu yang sangat sopan santun.

“ Kak Lia, jemput makan.” ajak Ann Layli ke arah Sharifah Julia yang baru duduk setelah pergi mengambil air minuman.

“ Aah Lia, makan la sekali.” Ruhana pula mengajak menantunya.

“ Tak apa bonda dengan Ann makan dulu. Lia tunggu abang. Dah janji tadi nak makan dengan dia.” beritahunya.

Ruhana tergeleng dengan jawapan Sharifah Julia. Seketika jam dinding di sudut ruangan itu dikerling. Hampir ke sebelas malam. Dah lewat begini pun, masih nak tahan perut! Sanggup nak tunggu si suami. Getus Ruhana dalam hati. Namun, mengingatkan sikap Sharifah Julia yang setia itu dia iakan saja. Kalau A katanya, maka A juga jawapannya.

“ Puteri tidur sini ya malam ni. Dah lewat sangat kalau nak balik pun.” ujar Ruhana.

“ Eh, tak apa bonda. Ann kena balik. Esok kerja. Lagipun, apa barang pun Ann tak bawa.” tolak Ann Layli lembut. Dia sudah usai dengan aktiviti makannya. Hanya duduk menemani Ruhana menanti wanita itu selesai saja.

“ Tak apa, esok pergi kerja dari sini aje. Baju-baju semua tak perlu risau lah, ada banyak kat atas tu. Bonda pasti dan yakin kalau babah sedar nanti dia mesti nak jumpa dengan Puteri. Please sayang, demi babah.” pujuk Ruhana. Tangan Ann Layli ditepuk lembut bersama senyuman manis. Berharap benar gadis itu menyetujui permintaannya.

“ Setuju jela Ann..Kak Lia ada bawak lebih baju sebab kita orang tidur sini jugak. Nanti Kak Lia ambil dan bagi pada Ann.” Sharifah Julia turut sama menyampuk sekali gus memberi jalan penyelesaian pada masalah Ann Layli membuatkan gadis itu terpaksa akur dengan kehendak Ruhana. Lagian, demi babahnya terpaksa Ann Layli bersetuju kerana merasa bertanggungjawab dengan kesihatan babahnya. Malahan, dia juga risau dengan kesihatan babahnya jika merosot dan khuatir dia tidak sempat mengenali sosok orang tua kandungnya itu dengan lebih mendalam.

“ Kalau dah itu permintaan bonda Ann ikut aje. Kejap lagi Ann bagitahu dengan mak.” balas Ann Layli.

Dia berhasrat untuk memberitahu pada kedua ibu ayahnya yang mungkin sudah selesai makan di bawah khemah tadi ketika dia dan Sharifah Julia ke sana untuk mengambil makanan. Mereka meminta Ann Layli menemani Ruhana dan memberi peluang kepada anak gadis mereka bertemu muka dan mengenali keluarga kandungnya yang sebenar. Dan sekarang itu, mungkin Hasnah dan Zahid sedang berbual-bual bersama para tetamu tuan rumah yang mereka kenali.

Sementara di tingkat atas;

Benz Fahri berselisih bahu dengan Megat Bakhtiar di tengah tangga.

“ Abang baru nak cari kau!”

“ Kenapa? Babah dah sedar?”

“ Belum sedar tapi abang lapar sangat dah ni. Kesian dekat Kak Lia tu jugak. Tadi dia janji dengan abang nak makan sama-sama. ”

“ Oh, ingatkan apa tadi. Hmm..pergilah makan biar Ben naik tengok babah.”

Tak menunggu lama susuk Megat Bakhtiar bergerak turun dari anak tangga meninggalkan Benz Fahri.

Melangkah masuk ke bilik Tan Sri Zahid, Benz Fahri merapati katil. Tenang saja tidur lelaki itu dilihatnya. Menarik kerusi meja solek Benz Fahri melabuhkan duduk. Tangan lihat mencapai buku Yassin di atas meja tepi katil. Mula mengalunkan bacaan itu. Berharap ayat-ayat Al-quran itu menjadi pendamping roh Tan Sri Zahid.

Baru baris ke lima bacaan ayat dibacakan, Benz Fahri melihat tubuh Tan Sri Zahid mula memberi respon. Pantas dia mengakhiri bacaan itu dan mengembalikan buku Yassin ke atas meja kecil tadi.

Meraih jemari kanan Zahid, dia menggenggam erat tapak tangan yang sejuk itu. Entah kerana dari suhu penghawa dingin yang memenuhi ruangan bilik atau sememangnya dari tubuh tua yang terlalu lemah dan rapuh saat itu.

“ Babah..” panggilnya perlahan.

Kerutan di wajah Tan Sri Zahid dengan mata masih terpejam membuatkan Benz Fahri sedikit cemas. Hitungan beberapa saat kemudian, kelopak mata lelaki itu mula terbuka dan membuatkan Benz Fahri akhirnya menarik nafas kelegaan. Sungguh dia belum bersedia untuk kehilangan sosok lelaki yang bergelar ayah itu walaupun umum mengetahui dia bukanlah anak kandung lelaki itu. Namun aura dan kehadiran lelaki itu di sepanjang hidupnya membuatkan Benz Fahri sangat menyayangi Tan Sri Zahid selayaknya bapa kandung.

“ Ben, Pu..Puteri mana?” itu ayat pertama yang meluncur laju dari bibir Zahid. Dia kemudian bergerak seakan mahu bangun dari baringannya.

Benz Fahri segera bangun dari duduk dan menahan tubuh Tan Sri Zahid dari terus bergerak. Yakin, tubuh itu masih lemah dan tak berdaya.

“ Ada bah. Semua dekat bawah. Kejap lagi Ben panggilkan. Babah masih rasa sakit lagi dekat sini?” soal Benz Fahri setelah memberitahu keberadaan ahli keluarga yang lain. Tangan kanannya naik menyentuh dada kiri Tan Sri Zahid bertanya keadaan lelaki itu.

Membetulkan nafas yang sedikit buru, Tan Sri Zahid mengangguk saja. Bohong jika dia mengatakan sakit di dada itu hilang sekelip mata namun tidaklah sesakit di awal waktu tadi. Dia yakin dia telah mendapat rehat sebaiknya serta ubatan yang di berikan oleh Doktor Junaidi yang datang merawatnya sebelum itu bertindakbalas dengan tubuhnya.

“ Babah nak turun jumpa Puteri. Boleh Ben bawakan babah?” perlahan saja suaranya membuat permintaan membuatkan Benz Fahri merapatkan deria pendengarannya ke mulut Tan Sri Zahid.

“ Babah belum sihat lagi. Doktor Junaidi pesan babah tak boleh bergerak banyak. Babah rehat dulu nanti Ben panggilkan diorang semua ya..” pujuk Benz Fahri lembut.

Sedangkan Tan Sri Zahid menggeleng lemah. Dia merasakan hidupnya benar-benar di penghujung waktu. Dia mahu saat itu juga bertemu dengan satu-satunya puteri kandungnya bersama arwah Sharifah Aini Latifah. Biarpun kudratnya tidak berdaya, dia nekad mahu bertemu anak itu. Mahu memeluk dan mencium sepuasnya kesayangannya itu. Biar segala rasa yang terbenam jauh dilubuk hati selama ini dapat dia luahkan malam itu.

“ Babah tak mahu susahkan Ben tapi tolonglah babah. Babah merayu pada Ben untuk nafas terakhir babah. Babah nak sangat peluk puteri.” sayu suaranya. Air mata mula bergenang dikolam matanya. Terketar tangan kanannya naik menyentuh pundak kepala Benz Fahri.

Melihatkan itu, Benz Fahri turut tersentuh. Pilu hatinya mendengar bicara Tan Sri Zahid. Dia akhirnya akur. Tangan kanan Tan Sri Zahid ditarik lembut dari kepala. Di bawa kucup ke bibirnya yang hangat. Dia cuba memahami kehendak lelaki itu biarpun merasa masa sangat tidak sesuai untuk membenarkan Tan Sri Zahid bertemu Ann Layli memandangkan tubuhnya yang benar-benar nampak tidak kuat dan tidak stabil sepenuhnya.

Menarik alat komunikasi dari poket seluar dia membuat carian atas nama Megat Bakhtiar. Namun nada dering dari telefon abangnya yang terletak di atas meja solek menyambut pendengaran halwa telinganya. Bulat matanya memandang telefon itu di sana. Mematikan talian dia mula membuat carian atas nama Sharifah Julia pula. Beberapa saat menanti talian bersambut dan dia menyampaikan hasrat Tan Sri Zahid.

“ Ben dah bagitahu dengan Kak Lia. Diorang semua tengah makan. Kejap lagi diorang naik.” beritahunya.

“ Babah nak air. Haus tak?” soal Benz Fahri apabila terperasan akan bibir Tan Sri Zahid yang mengering dan pucat itu.

Tan Sri Zahid mengangguk kecil lantas Benz Fahri cepat mengambil air minuman yang telah tersedia di sudut katil. Menuang air ke dalam gelas separuh penuh dia membawa air itu ke bibir Zahid. Beberapa teguk menyambut air dari gelas yang disua Benz Fahri ke mulutnya Tan Sri Zahid memberi isyarat sudah cukup dan tidak mahu lagi. Benz Fahri akur. Setelah itu, dia membetulkan kedudukan kepala babahnya dan posisi tubuh itu agar lebih selesa.

Tidak menunggu lama, akhirnya wajah yang dinantikan Tan Sri Zahid muncul bersama Amirah, Ruhana, Hasnah dan Zahid. Mereka mengelilingi katil lelaki itu. Benz Fahri bangun dari duduk memberi ruang kepada Ann Layli untuk mengambil alih posisinya dihadapan Tan Sri Zahid.

Semerta wajah mendung Tan Sri Zahid mencerah. Bibirnya juga merah menguntum senyum saat Ann Layli meraih tangannya.

“ Puteri...”

“ Babah...”

Dan kedua beranak itu berpelukan. Air mata bahagia turut menyertai pertemuan itu. Masing-masing hanyut dalam rasa yang entah menyiratkan apa di hati mereka. Yang pasti antara anak dan bapa itu telah terlerai kasih sayang, cinta dan rindu yang tersimpan berpuluh tahun. Luluh saat dakapan itu bersatu seolah masa selama hampir dua puluh lima tahun itu tak pernah wujud.

Tan Sri Zahid tentunya. Pelbagai perasaan yang bermukim sekian lama terlebur akhirnya saat dapat memeluk anak itu. Dia berjanji dengan sepenuh hati mahu menumpahkan kasih sayang yang tak berpenghujung itu buat ‘puterinya’.
Ann Layli turut larut dalam tangisan hiba itu. Sepanjang umurnya itulah kali pertama dia merasa kasih seorang ayah kandung walau Zahid bapa angkatnya memberi sepenuh kasih buatnya. Namun, anugerah tuhan itu sangat indah buatnya membuatkan dakapan tua Tan Sri Zahid terasa sangat berbeza. Sungguh tak dapat dia ungkapkan dengan kata-kata. Bisikan demi bisikan ditelinganya makin meluluhkan hati. Suara kecil Tan Sri Zahid membuatkan dia terasa begitu dihargai dan disayangi.

‘ babah minta maaf..’
‘ ampuni babah..’
‘ Tolong jangan tinggalkan babah..’
‘ Teman babah hingga akhir nafas ya nak’
‘ Terima kasih sayang..’
‘ Alhamdulillah puteri babah dah kembali..’

Sungguh membuatkan Ann Layli menggeleng lemah dengan bicara itu. Bukan mahu menidakkan tetapi dia tidak kuat untuk menerima kasih sayang yang terlalu tinggi dari babahnya. Sangat suci. Ucapannya bukan sekadar permintaan. Ucapannya membuktikan dia seorang bapa yang sangat penuh dengan kasih dan rasa sakit yang menebal. Dan sebagai anak yang diberi nikmat tak terhingga seperti itu Ann Layli mahu menebus rasa selama hampir dua puluh lima tahun yang terbuang. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah dia akan menemani babahnya.

******

“ Ann dah balik?”

“ Ada dia call?”

“ Ada call dia tak?”

Itu antara ayat Zen Huzaini saat celik mata dan bertembung wajah dengan Hani Wardah.

Yang membuatkan tidur malamnya tadi tidak lena. Yang membuatkan tangkai hatinya digayut resah yang tak sudah. Yang membuatkan jiwanya diamuk badai risau kehilangan kali kedua. Yang membuatkan wajahnya pucat tak bermaya. Hanya kerana seorang Ann Layli. Begitu parah!

Hani Wardah sudah tidak tahu membilang apa. Hanya gelengan saja menjadi penyambung bicara. Dia sudah takut diamuk kata dari suaminya. Bimbang baran lelaki itu datang semula.

Pun begitu, melalui gelengan sudah cukup membuatkan wajah Zen Huzaini mula beriak bengis. Dengusan kasar terbit dari bibirnya terusan menjadikan Hani Wardah bertambah kecut perut. Dentuman kuat yang terbentuk dari bunyi lagaan pintu dan jenang besi bilik menambahkan rasa takut dan ngeri di dalam dirinya di ruangan dapur pagi itu.

Hani Wardah menggeleng tak sudah. Hanya itu yang termampu. Bantut mood paginya yang mahu menyediakan sarapan. Sudahnya dia melangkah longlai ke arah meja makan dan duduk termenung di situ.

Dia nampak kehadiran Ann Layli di rumah mereka begitu memberi impak yang positif kepada Zen Huzaini. Lelaki itu sudah sering berada di rumah berbanding menghabiskan kerja di luar. Wajahnya juga turut ceria senantiasa saat pulang dari kerja semasa kehadiran wanita itu hampir kurang empat minggu ini.

Tetapi baru saja kehilangan Ann Layli kurang daripada dua puluh empat jam sikap panas baran Zen Huzaini sudah mencanak naik.

Begitu hebat penangan Ann Layli kepada seorang lelaki malah dia sebagai isteri kepada lelaki itu turut tercabar egonya walau hati sentiasa berfikir yang baik-baik saja buat seorang wanita bernama Ann Layli.

Begitu melangitkah perasaan sayang dan cinta Zen Huzaini buat Ann Layli berbanding perasaan cinta dan sayang buat isteri yang di akad tanggungjawabnya sebagai seorang permaisuri hati? Allah berat sungguh ujianmu ini berbanding ujian ditangguhkan rezeki mempunyai zuriat sendiri? Hani Wardah bermonolog sendiri.

********

sorry lambat update minggu ni..WL demam tiga serangkai..huhu..mood ke laut idea pun ikut sekali..once again I'm sorry..thanks yang sudi tggu n bace..skrg noti dah tak naik, WL mohon kalian rajin2lah jenguk wall WL ni utk tgok updatenye..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience