Ann Layli duduk termenung di balkoni sambil melayan perasaan. Balkoni kecil yang dihiasi dengan tumbuhan hijau serta sebuah mini akuarium. Dipenuhi dengan beberapa ekor anak ikan emas dan ikan gurami yang berenang di dalamnya, membuatkan Ann Layli tersenyum senang malah ruang kecil yang turut dihiasi landskap kehijauan itu membuatkan dirinya suka bersantai di situ sambil menikmati udara segar.
Hujan masih renyai-renyai diluar. Dingin dan sejuk. Matanya sedikit menancap air hujan yang turun membasahi windbreaker di ruangan itu. Saat ini, walaupun ada badai yang melanda dalam hidupnya, tetap dia berasa syukur kerana masih punya tempat berteduh.
Seketika, ingatannya melayang ke kampung. Teringat akan kedua ibu bapanya di sana. Entah sihat ataupun tidak mereka.
Hampir dua bulan pemergian Muqri, belum sekali dia berkesempatan pulang berikutan masalah yang menimpanya kini.
Bukannya tak rindu kepada kedua orang tua tersebut malah lebih dari itu. Dia khuatir jika kepulangannya dengan masalah yang satu itu dapat dihidu emak. Sudah pasti emak akan mengamuk besar. Tidak keterlaluan jika dia mengatakan mungkin emak akan ke rumah bekas besannya dan membuat onar di sana. Itulah antara beberapa faktor juga dia tidak mahu pulang ke kampung selain tidak mahu menyusahkan emak dan ayah.
Merenung nasib yang tidak tahu hujung pangkal itu membuatkan Ann Layli bertambah runsing.
Pencarian kerjanya masih belum menampakkan hasil. Semenjak empat hari yang lepas dia keluar mencari kerja, namun satu pun belum melekat. Semuanya berakhir dengan kegagalan saja. Sampaikan dia mula terfikir yang dia bernasib malang seperti yang dikatakan bekas ibu mertuanya itu.
Kata-kata nista Puan Jamilah tempoh hari masih berbekas di hati membuatkan kehidupan seharian Ann Layli menjadi terpuruk dan kurang berkeyakinan. Semangatnya benar-benar hilang melayang. Dia benci mengingatkan kata-kata itu.
Deruan enjin motor berkuasa besar Zen Huzaini menyentakkan lamunannya. Menyisip ke celah tirai ‘windbreaker’ kelihatan lelaki itu memakir elok Honda CBR 250rr nya di bawah bumbung rumah sebelum topi keledar 'fullface' ditanggalkan dari kepala. Butang baju hujan di buka satu persatu sebelum ditanggalkan dan disangkut diampaian berhampiran. Jaket kulit di tubuhnya juga turut di buka lalu disangkut ke situ.
Sebaik melihat kelibat lelaki itu mahu masuk ke rumah, Ann Layli bangun dari duduk dan melangkah cepat, mahu beredar dari situ sebelum dia disoal siasat lelaki itu.
Tambahan petang itu, Hani Wardah belum pulang. Tidak manis jikanya dia berlewar di luar bilik. Risau keadaan mereka yang berduaan di rumah boleh mengundang spekulasi tak berasas orang lain. Bangun dari duduk, dia melangkah ke bilik.
Belum sempat meloloskan diri, Ann Layli di sapa Zen Huzaini. Terkejut, langkahnya terbejat. Dia terkaku langsung menekur ke lantai. Segan bersua dengan lelaki itu berikutan kes ‘jeritan pontianak'nya hampir seminggu yang lepas.
“ Ann..” Lelaki itu menegur.
Hampir lima hari di situ, tidak pernah dia bersua muka dengan Zen Huzaini selepas kejadian tak terduga di dapur. Dia mengelak serta menghadkan dirinya daripada terserempak dengan lelaki itu. Tetapi entah kenapa hari ini nasibnya tidak malang. Belum sempat meloloskan diri, lelaki itu berjaya memberhentikan langkahnya. Lebih malang, lelaki itu menegurnya pula membuatkan tangan yang mahu memulas kenop pintu terhenti lalu mengerling sekilas ke arah lelaki yang sedang berada dibelakangnya. Riaknya datar namun seperti ada sesuatu yang mahu diperkatakannya.
“ Abang ada nak cakap dengan Ann sikit. Jom ke depan.” Suara monoton itu mengarah. Tidak menunggu balasan lelaki itu melangkah mendahului ke ruang tamu.
Dia melabuhkan duduk ke sofa satu manakala Ann Layli berdiri dihujung sofa tiga. Agak jauh tetapi buat masa itu Ann Layli merasakan cukup selesa dengan jarak mereka.
“ Duduklah. Kenapa berdiri?” Keningnya terjongket. Pandangannya menala wajah Ann Layli yang tak berperasaan. Hairan.
Bukan dia makan orang pun!
“ Tak apa. Ann dekat sini je. Lagipun tak manis kita berdua macam ni. Kak Hani belum balik.” tutur Ann Layli tanpa memandang lelaki itu. Dadanya sedikit berdebar. Tidak pasti ke mana arah bicara lelaki itu.
Sekilas, Zen Huzaini layangkan senyum senget ke arah Ann Layli sebelum akhirnya dia menghembus nafas sedikit kasar.
“ Ann baru perasan ke yang tak elok sebenarnya kita berdua-duan dekat dalam rumah ni?”
Terhenyak dengan bicara itu Ann Layli mendiamkan diri. Terpaksa mengakui kebenaran kata-kata lelaki itu walaupun sangat pahit.
“ Ann minta maaf. Tapi Ann tak ada pilihan..” gugup nadanya. Tetapi hanya itu yang terluah.
“ Maaf tak boleh selesaikan masalah Ann. Masalah kena ada jalan penyelesaian. Kalau tak, sampai bila pun tak selesai.” tambah Zen Huzaini.
Berselirat otaknya semenjak dua menjak ini. Masakan tidak, dia tersepit dengan hati dan perasaan sendiri. Antara dua orang yang nyata punya tempat yang istimewa di hatinya.
Kerana sedikit perasaan kasihan isterinya terhadap insan lain ianya menimbulkan masalah yang lebih rumit lagi.
Runsing memikirkan Hani Wardah yang masih melayannya acuh tak acuh serta kehadiran Ann Layli yang menumpang di rumahnya dan masih belum mendapat pekerjaan membuatkannya tersepit di tengah-tengah. Semuanya makin berselirat dan sulit.
Menyedari dirinya bukan seorang lelaki yang baik dan beriman.Tetapi apabila bertiga dalam keadaan begini membuatkan imannya yang senipis kulit bawang itu boleh menipis bila-bila masa saja. Tambahan di saat ini kalau tangkai keimanannya tidak kuat, sudah lama dia terjebak dengan hasutan syaitan. Jadi dia sedang cuba menjaga benteng pertahanan dirinya agar tidak roboh dan runtuh. Dia cuba untuk menjadi kalis kepada perasaannya. Tambahan, perempuan yang di depannya itu adalah cinta pertamanya. Mustahil perasaan sayang yang pernah bertapak dalam hati itu senang dibuang dan dicampak sewenangnya.
Melihat kehidupan Ann Layli yang tidak tertata dengan baik itu membuatkan perasaan simpatinya senang tertumpah. Kasih yang pernah putus itu bukan kemahuannya. Cinta itu sebenarnya masih utuh. Dia sebolehnya mahu menjadi pelindung dan pendamping kepada wanita itu. Mahu memiliknya. Mahu menjaganya. Tetapi dia sedar jika dia melewati batas itu, sudah pasti ada yang terluka. Puas dia memikirkan jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka agar tidak bertambah rumit.
“ Ann dah dapat kerja?” soalnya lagi apabila hanya suasana bisu yang menyelubungi saat itu. Di pandang Ann Layli yang berdiri dihujung sofa. Wajah itu masih seperti dulu. Lirikan matanya masih menggetarkan naluri lelakinya. Ditambah pula dengan bola mata yang berwarna hazel itu. Yang selalu membuatkan dia terpikat. Yang selalu membuatkan dadanya bergetar hebat. Di mana, buat kali pertama suatu masa dulu apabila memandang, hatinya sudah jatuh suka. Sudah jatuh cinta.
Ann Layli menggeleng. Tidak mampu untuk bersuara. Sedar dengan keadaan diri yang tersalah perhitungan. Hendak menyesal pun tidak guna. Dia berserah saja apabila lelaki itu mempersoalkan tindakannya.
“ Ada Hani bagitahu Ann apa-apa?”
“ Maksud Ajai?”
“ Ann buat tak faham atau memang tak faham..” Zen Huzaini tertawa sumbang sebelum menyambung kata-katanya semula.. “ Ann tahu tak yang Ann buat Ajai rasa bersalah?” Tangan di bawa raup ke wajah.
“ Ann tak faham. Boleh Ajai berterus-terang?” Berdebar hatinya menanti kata-kata selanjutnya dari lelaki itu.
“ Rasa bersalah sebab Ajai masih sayangkan Ann!!” Menarik nafas, Zen Huzaini melepasnya perlahan. Kepalanya dipanggung lalu menatap lurus ke depan dengan riak yang sukar ditafsir.
“ Ann tahukan hidup dekat KL ni sangat mencabar. Apatah lagi kehidupan seorang perempuan yang tak punya sesiapa macam Ann. Ajai minta maaf kalau kata-kata Ajai menyinggung Ann. Tapi jujur Ajai risaukan Ann. Sangat risau dan takut untuk membiarkan Ann sendirian tempuh semuanya. Ajai tak mahu Ann terus susah dan sendirian pertahankan kehidupan dekat sini. Kalau Ann belum dapat kerja lagi, Ajai rasa eloklah Ann balik kampung dulu. Lagipun tak elok Ann duduk sini sebab.. Ann fahamkan..kecuali Ann sanggup sambung balik hubungan kita yang dulu.”
Bagai halilintar yang memanah bumi saat kata-kata itu menusuk ke gegendang telinga. Cepat saja kepala sofa disangga erat. Risau tubuh tiba-tiba tumbang. Bibir juga tanpa sedar bergetar hebat. Nyata kata-kata terakhir lelaki itu membuatkan tubuhnya terasa mahu melayang.
“ Apa Ajai cakap ni? Ajai sedar tak apa yang Ajai cakap. Ann cuma nak tumpang dekat sini sementara waktu je. Lepas dah dapat kerja Ann akan pindah. Ann tak berniat nak susahkan Ajai dan Hani. Ann cuma minta sedikit pengertian. Itu saja. Tapi, kalau Ajai rasa Ann menyusahkan Ann minta maaf. Ann akan pergi!” ujar Ann Layli dan sedikit bergerak dari tempatnya Ada air yang mula bertakung di kelopak matanya. Sedikit masa saja lagi akan gugur tetapi dia cuba bertahan. Tak mungkin dia menangis di situ dan membiarkan Zen Huzaini melihat tangisannya. Juga mana mungkin dia biarkan lelaki itu melihat sisi kelemahannya.
“ No, Ajai tak izinkan Ann pergi. You have to listen me!” keras suaranya meletus automatik membuatkan Zen Huzaini terbangun dari duduk. Tampangnya berubah tegang.
“ Why? I'm not your wife.” sangkal Ann Layli.
“ Yes, you're not my wife but you're my love. I won't let you go. Ajai tak mahu jadi bodoh lagi. Cukuplah lima tahun lepas Ajai biarkan Ann but not today.”
Ann Layli tersenyum getir. “ Itu cerita lama. Kisah kita dah lama jadi sejarah. Jodoh Ajai dengan Hani. Ann dah lama redha. I'm not meant for you and I'm not worthy to you to fight for.” lirih suara Ann Layli tetapi itulah realitinya.
“ That's my point. Not you, and you have to listen me either you like or not. As long as you stay here you should obey my commands.”
“ Ridiculous. I won't!” Mengetap rahang, dia mengundur langkah ingin berlalu.
“ Ann, please.. dengar dulu apa yang Ajai nak cakap ni. Kalau Ann masih nak teruskan kehidupan Ann dengan cari kerja dekat sini Ajai boleh tolong asalkan Ann terima Ajai sebagai suami Ann. Tolonglah Ann, Ajai masih sayangkan Ann. Ajai tak sanggup tengok Ann derita macam ni. Ajai dan Hani akan tolong Ann tak kira apa pun yang jadi. Ajai nak kita sambung semula hubungan yang pernah putus tu. Ajai tak pernah buang Ann dalam hidup Ajai tapi Ann yang lari dari Ajai. Please Ann..” Zen Huzaini menghampiri Ann Layli. Perlahan, matanya mencari anak mata hazel milik wanita itu. Lengan wanita itu diraih perlahan tanpa sedar.
Kedua anak mata hazel itu ditatap lama. Dalam sehingga ke dasar. Jelas dia masih menyayangi wanita itu. Perasaan itu tak mampu dia sorok lagi walaupun berkali dia cuba menafikannya. Bukannya dia tidak menyayangi perkahwinan pertamanya bersama Hani Wardah tetapi setiap hari semenjak bertemu semula dengan Ann Layli membuatkan perasaan sayang dan cintanya kepada Ann Layli semakin kuat. Tambahan mengetahui nasib wanita itu membuatkan dia semakin tekad ingin melindungi Ann Layli.
Sudah habis fikir dia dengan keputusannya itu dan itulah keputusan yang dirasakan paling baik untuk mereka bertiga. Menyunting Ann Layli sebagai isteri keduanya sekali gus membantu Ann Layli keluar dari masalahnya agar tidak menyusahkan kedua ibu bapanya lagi.
Perasaan yang bercampur baur membuatkan Ann Layli terngadah. Sungguh dia tidak boleh menerima apa yang diperkatakan lelaki dihadapannya itu.
Pegangan yang kejap dilengannya dilelar. Terlepas, dia dengan cepat melangkah ke bilik. Menarik kenop pintu Ann Layli meloloskan diri di sebaliknya sekaligus melepas kuat daun pintu itu sehingga bergaung seluruh kawasan rumah. Cepat dan pantas aksi itu membuatkan Zen Huzaini terkedu dan tergamam bisu.
Dia kemudian melangkah kembali ke sofa dan duduk di situ. Diraup rambutnya kebelakang cuba menghilangkan kusut yang bertandang.
Bertimpa-timpa lagi masalahnya. Namun, dia merasa sedikit lega. Lega kerana separuh dari masalah itu dapat diluahkan walaupun belum dapat diselesaikan. Setidaknya Ann Layli tahu akan perasaannya yang tidak pernah padam mahupun hilang.
“ Abang..”
Zen Huzaini terkejut sebaik dipanggil. Dia menoleh dan mendapati Hani Wardah berdiri di depan pintu rumahnya dengan riak yang tak dapat ditafsir.
Entah bila isterinya itu sampai dia tidak dapat memastikannya. Tahu-tahu sudah berdiri di situ.
“ Sayang dah balik?” Dia bangun lalu berjalan merapati Hani Wardah dengan hatinya yang berdebar-debar tetapi cuba ditutup dengan senyuman.
“ Baru balik. Mana Ann?” Tangan Zen Huzaini dicapai lalu dicium sejenak. Sebelum mereka berpapasan ke ruang tamu semula.
Menjungkit bahu Zen Huzaini membuat riak tidak tahu.
“ Abang pun baru sampai. Kat bilik dia kut!”
“ Oh.. abang dah makan. Nak makan tak? Hani ada belikan cream puff dekat Sentosa Village tadi. Truffle chocolate pun ada ni." ujar isterinya sambil berlalu ke ruang makan.
Meletakkan kesemua plastik makanan yang dia beli tadi ke atas meja Hani Wardah berjalan ke rak pinggan pula. Mengambil beberapa piring lalu di bawa ke meja semula dan mula menyalin makanan tersebut ke dalam piring. Di keluarkan satu persatu dan dihidang Di atas meja
” Duduklah..Hani ada benda nak bincang dengan abang dan Ann. Kejap Hani panggilkan Ann dulu. Kalau abang rajin, tolong bancuhkan nescafe kejap.” beritahu Hani Wardah. Wajahnya berseri-seri sekali membuatkan Zen Huzaini merasa sedikit pelik.
Hani Wardah kemudiannya berjalan melepasi suaminya lantas menuju ke bilik Ann Layli untuk memanggil wanita itu keluar. Mahu mengajak wanita itu makan petang sekaligus mahu menyampaikan berita baik kepadanya.
Tok!!Tok!!
“ Ann.. akak ni. Akak ada hal nak bincang dengan Ann ni. Boleh keluar sekejap?” laung Hani Wardah dari balik pintu.
Dua saat menanti akhirnya Ann Layli membuka pintu. Senyum manis yang menghiasi bibir Hani Wardah membuatkan kecut perut di perutnya sedikit menyurut.
“ Kenapa kak?”
“ Ann tak sibukkan. Boleh akak ajak Ann santai-santai sambil minum petang. Ada hal penting akak nak bincang. Jomlah..Abang Ajai pun ada sama.”
Mendengarkan nama Zen Huzaini yang dikatakan Hani Wardah turut ada dalam perbincangan mereka terus membuatkan wajah Ann Layli bertukar. Dia tidak mahu bersua muka dengan lelaki itu buat sementara waktu ini apatah lagi baru sekejap tadi dia mendengar perkara yang paling mengarut yang disuarakan lelaki itu. Dia merasa geram, sakit hati dan marah kepada Zen Huzaini.
“ Tak apalah kak, lain kali la kita bincang. Ann segan dengan abang. ”
“ Eh, mana boleh tangguh-tangguh. Ini soal hidup dan mati. Kena bagitahu sekarang. Abang Ajai tak makan oranglah. Tak payah segan dengan dia. Lagipun dia kena tahu hal ni jugak. Ann nak ke dia hantar Ann balik kampung kalau tak dapat kerja? Dah nak dekat seminggu dah ni..” gertak Hani Wardah. Sengaja dia menjegilkan matanya.
Beberapa kali dipujuk akhirnya Ann Layli setuju untuk berbincang. Dia mengekor langkah Hani Wardah ke dapur dan mendapati Zen Huzaini sedang duduk di meja makan sambil melihat telefon pintar.
Dengan perlahan, Ann Layli melabuhkan duduk di sebelah Hani Wardah.
“ Thanks abang tolong bancuhkan air nescafe.” ucap Hani Wardah sambil menyentuh tangan suaminya.
“ Hmm..” Zen Huzaini menimpal acuh tak acuh. Matanya masih fokus ke dada telefon. Bukannya dia tak mahu angkat muka tetapi bimbang Ann Layli bertambah marah dengannya dan kemungkinan lebih teruk dari tadi. Bukannya dia tidak sedar akan kehadiran wanita itu di meja makan tersebut.
“ Ann jemputlah makan. Tengok buat apa? Sedap tau cream puff ni. Akak selalu singgah dekat bakery ni beli.” Hani Wardah mengambil sebiji cream puff kastard dan sebiji cream puff peanut butter bersama coklat lalu meletakkan ke dalam piring Ann Layli.
“ Abang pun makanlah. Ni kan feveret abang.” ujar Hani Wardah sambil memandang suaminya.
“ Hmm..” Zen Huzaini mengiakan. Dia mencapai seketul creampuff kastard dari pinggan besar lalu diletakkan ke dalam piring kecil di hadapannya. Tidak bercakap banyak seketul cream puff itu terus disumbat ke dalam mulutnya. Terkembung-kembung pipi Zen Huzaini menikmati hidangan petang itu.
“ Sedapkan! Ann cubalah..” timpal Hani Wardah lagi. Seoronok dia melihat suaminya menikmati creampuff tersebut.
Ann Layli mengambil sebiji cream puff itu lalu turut menyuapkan ke dalam mulutnya. Ya, dia terpaksa mengakui yang cream puff tersebut sangat sedap dan turut menepati citarasanya.
“ Kenapa diam je semua orang ni. Akak macam bercakap dengan tunggul je.” keluh Hani Wardah. Dia juga akhirnya turut mengambil cream puff lalu menyumbatkan ke dalam mulutnya dan menikmati hidangan tersebut.
“ Sayang cakap tadi ada hal nak bincang. Apa dia?” soal Zen Huzaini yang akhirnya memecahkan kesunyian mereka bertiga di meja makan itu.
“ Oh, hampir Hani lupa.” ujar Hani Wardah lalu bangun dari duduknya. Dia berlalu ke ruang depan untuk mengambil sesuatu.
Seminit menghilang ke ruang depan, Hani Wardah muncul semula bersama sehelai kertas putih yang bergulung elok di tangan.
Dia menyerahkan kertas tersebut kepada Ann Layli lalu mengisyaratkan wanita itu untuk membukanya.
“ Apa ni kak?”
“ Bukak dan baca sendiri.” Sengihnya.
Manakala Zen Huzaini pula sekadar memerhati gelagat kedua orang kesayangannya itu. Sempat di dalam kepalanya berfikir yang surat itu adalah borang poligami. Kalau betul seperti yang disangkanya, dia tidak akan mempersiakan Hani Wardah malah akan cuba menyayangi dan menyayangi wanita itu sebaiknya kerana terlalu memahami isi hatinya sebagai seorang suami.
“ Betul ke ni kak? Bila Ann boleh mula?” soal Ann Layli teruja.
Dan suara teruja Ann Layli mencantas lamunan Zen Huzaini yang sudah berkelana entah ke mana. Tak mungkin itu borang poligami memandangkan Ann Layli begitu seronok dan teruja saat itu.
“ Tadi akak tanya dekat owner dia kata Ann boleh datang paling awal esok. Borang tu isi siap-siap and bagi dekat pekerja dia esok. Lepas interview sikit mungkin diorang bagitahu bila boleh mula.” ujar Hani Wardah.
“ Borang apa tu?” Tidak dapat tidak untuk mengetahui isi borang itu Zen Huzaini terpaksa bertanya.
“ Borang jawatan kerja kosong dekat bakery yang Hani pergi ni. Dekat Sentosa Village tu. Kebetulan Hani nak beli cream puff dan truffle chocolate tu Hani ternampak iklan jawatan kosong ni. Teruslah Hani tanyakan untuk Ann.” terang Hani Wardah lagi.
Ann Layli begitu teruja sebaik mendengar cerita Hani Wardah.
“ Oh!” Hanya sepatah perkataan itu yang terbit dari bibir Zen Huzaini. Melihat kedua orang wanita itu yang berbual rancak dan seperti tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti berbual dia sudah malas mahu masuk campur. Semangatnya yang mencanak tadi kini mulai mengendur. Melepas harapannya. Kalaulah Hani Wardah boleh membaca perasaannya tika ini alangkah bagus. Tidak perlu dia bersusah payah berdepan dengan situasi begini. Terpaksa berpura-pura di depan mereka yang dia baik-baik saja. Tetapi hatinya tersiksa.
“ Abang masuk dulu. Nak rehat.” ujarnya lalu bangun dari kerusi.
“ Eh, abang dah sudah ke? Cepat betul, banyak lagi cream puff ni..” ujar Hani Wardah.
“ Dah sudah. Lagipun perut abang tak sihat. Meragam dari tengah hari.” ujarnya acuh tak acuh.
“ Oh okay. Rehatlah dulu. Kejap lagi Hani dan Ann masak makan malam.”
“ Hmm..” Terus Zen Huzaini bangun dari duduk dan melangkah mahu keluar dari ruang makan itu.
“ Tapi bang.. Ann dah dapat kerja ni boleh kan Ann terus duduk dengan kita. Tak payah hantar dia balik kampung kan..”
Kaki Zen Huzaini yang dah melangkah separuh keluar dari pintu dapur tu terbejat. Mendengar pertanyaan Hani Wardah itu semerta membuatkan fikirannya bertambah runsing dan pening.
“ Nanti kita bincang lain.. atau tanya Ann dulu. I will no objection if she agree with you.” Putusnya lalu berjalan keluar dari ruang makan.
Sehingga malam menjemput Zen Huzaini tidak keluar dari bilik untuk makan malam. Hani Wardah terpaksa menjemputnya di bilik.
Melangkah kaki ke bilik, Hani Wardah terpanar. Kakinya terbejat dihadapan pintu yang sedikit terbuka dek bunyi dari petikan gitar yang sedang beralun. Sayu sekali dan sangat meruntun hati.
Merapati pintu itu, dia mengintai di sebaliknya. Kelihatan Zen Huzaini sedang bersantai di kerusi bersama gitar kesayangannya. Lelaki itu, mengalunkan melodi mengikut rentak tempo dari petikan gitar. Perlahan suaranya membisikkan sebuah lirik..
Senada cinta bersemi di antara kita..
Menyandang anggunnya peranan
jiwa asmara..
Terlanjur untuk terhenti di jalan
yang telah tertempuh semenjak dini..
Sehidup semati..
Kian lama
Kian pasrah ku rasakan jua..
Janji yang terucap
tak mungkin terhapus saja..
Walau rintangan berjuta..
Walau cobaan memaksa..
Diriku terjerat dipeluk asmara..
Hani Wardah mengesan kelainan dari tampang suaminya itu. Sepertinya sangat rapuh dan terluka malah sedang berada di dunia yang lain.
Menjadi persoalan di benaknya saat itu kerana seingatnya sudah lama Zen Huzaini tidak menggunakan gitar tersebut semenjak mereka berpindah ke situ. Gitar yang menjadi sentimental value kepada suaminya. Gitar yang membuatkan suaminya naik hantu kepadanya semasa usia perkahwinan mereka baru menginjak beberapa hari kerana ulah seekor kucing. Dan, baru beberapa minggu yang lalu dia mengetahui tentang si pemberi gitar itu.
Apa yang membuatkan suaminya menjadi begitu? Rasa ingin tahu membuak-buak di dalam dirinya tetapi mana mungkin dia bertanyakan kepada Zen Huzaini atau perlukah dia bertanya kepada Ann Layli?
Menggigit bibir, Hani Wardah cuba meredamkan perasaan yang berantakan. Segala syak wasangka mula bergelayut di tangkai hatinya. Niatnya untuk memanggil suaminya makan jadi terbantut. Tidak menunggu lama, dia berpatah semula ke ruangan dapur kerana bimbang hatinya makin berprasangka.
~ Tears are always the last gift of your loyalty ~ W£
*****
Minggu itu sekali lagi Benz Fahri M.I.A. tanpa memberitahu kepada sesiapa termasuk Puan Ruhana. Seperti sebelumnya dia menemani Tan Sri Zahid pulang ke kampung tetapi turut ditemani Puan Sri Amirah isterinya.
Tan Sri Zahid begitu teruja mahu memperkenalkan Amirah kepada Zahid dan Hasnah sekali gus menjemput kedua bekas pekerjanya itu ke rumahnya.
Apa tidaknya, hujung minggu itu mereka seisi keluarga mahu mengadakan majlis kesyukuran sempena kesembuhan Tan Sri Zahid serta pertemuan semula dengan anak perempuannya yang terpisah hampir tiga puluh tahun.
“ Ben tahukan rumah Ann dekat mana?” soal Zahid.
Sekadar mengangguk dia tersenyum. Stereng kereta dikejapkan lagi pegangannya memandangkan pemandu peribadi Tan Sri Zahid tidak menemani mereka minggu itu kerana mempunyai hal yang tak dapat dielakkan.
Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur hati Benz Fahri berbunga senang. Tidak sabar dia mahu menemukan Ann Layli kepada bapa saudaranya itu.
“ Kita terus ke rumah dia ajelah. Mak cik dan pak cik boleh berehat di sana. Tak perlu ikut tuan balik.” usul Hasnah kepada Benz Fahri.
“ Tak apa Has, terus ke rumah kami saja. Esok baru kita jumpa Puteri. Lagipun dah lewat sangat ni. Dah pukul sepuluh. Mesti Puteri dah tidur.” ujar Tan Sri Zahid.
“ Betul cakap tuan Zahid tu, kita terus ke rumah saja. Esok baru kita jumpa Puteri.” ujar Amirah.
“ Kalau dah begitu kata puan dan tuan, kami ikut je. Harap tak menyusahkan puan dan tuan.” ujar Zahid pula. Dia juga bersetuju dengan cadangan Tan Sri Zahid kerana perjalanan mereka yang sudah lewat malam itu.
“ Tak ada yang menyusahkan pun. Saya yang banyak susahkan Zack dan Hasnah. Saya terhutang budi sangat dengan kamu berdua sebab sudi jaga dan besarkan Puteri. Tak tahulah saya boleh balas ke tidak jasa kamu ni.” Menarik keluh Tan Sri Zahid membuang pandang ke luar tingkap. Pekat malam di luar juga seperti hatinya kini. Terlalu gelap tanpa cahaya kerana perasaan bersalah yang dia tanggung semenjak kehilangan anak perempuannya itu masih tidak dapat ditebus malah menggunung tinggi.
“ Tak perlu balas tuan..kami dah anggap Puteri macam anak kandung kami sendiri. Kami bersyukur sebab diberi peluang jaga dan besarkan dia...kerana dia kami dapat menumpang kasih.” balas Hasnah.
“ Yelah, kita sama-sama beruntung sebab dapat Puteri.” Menarik senyum segaris, Tan Sri Zahid membalas kata.
Setidaknya dia kini berasa lega kerana Zahid dan Hasnah yang telah memelihara anak itu. Kalau tidak kerana mereka, dia tidak tahu akan untung nasib anak itu. Sungguh dia bersyukur.
“ Boleh saya tahu, Puteri dah ada anak ke dengan arwah suami dia?” soal Amirah menamatkan keheningan yang terjadi. Tidak mahu terus menambahkan sedih suaminya lagi. Bimbang emosi suaminya bertambah buruk sekaligus memberi impak kepada kesihatan yang baru mahu pulih itu.
“ Belum Puan. Dia baru kahwin dalam enam bulan macam tu sebelum arwah kemalangan. Arwah memang merancang untuk dapatkan anak kembar tapi tulah belum rezeki dia.” terang Hasnah dengan senyuman getir. Teringat dia akan gurauan arwah menantunya Muqri yang mahu memberikannya cucu kembar.
Terangguk-angguk Amirah mendengar cerita Hasnah sebelum Tan Sri Zahid pula yang bertanya.
“ Puteri dan arwah suami dia memang bercinta ke?”
“ Puteri tu dulu berkenalan dengan orang lain. Baik budaknya. Kalau tak silap bakal polis, teman lelakinya tu. Tapi nak di jadikan cerita lepas teman lelaki dia masuk kursus polis suami saya sakit dan kami terpaksa balik ke kampung. Jadi dia terputus hubungan dengan budak tu. Bila di kampung, ada antara kawan baik kami berkenan dengan Puteri dan mahu menjodohkan anak mereka dengannya. Ibu bapa mertuanya merupakan orang yang sangat disegani dan terkenal dekat kampung tu. Tak tahulah macam mana Puteri boleh terbuka hati nak berkahwin dengan arwah suami dia tu sebab diorang tak pernah bercinta. Tapi mungkin sebab orang tua dah merestui keduanya mereka akhirnya disatukan.” cerita Hasnah membuka sedikit kisah lama antara Ann Layli dan Muqri.
Dia pernah memberitahu Ann Layli agar tidak menerima lamaran itu kerana dirinya mahupun Zahid. Dia tidak mahukan harta untuk anak itu membalas jasa mereka tetapi Ann Layli mengatakan dia menerima Muqri kerana sayangkan mereka berdua.
“ Terima kasih ya, Zack..Hasnah..sebab carikan jodoh yang baik untuk Puteri. Saya seronok dengar kehidupan Puteri baik-baik aje kecuali soal jodohnya dengan arwah yang tak panjang. Kalaulah saya dapat berjumpa dengan dia dari awal mesti lebih meriah kehidupan kita sekarang.” timpal Zahid. Ada riak gembira yang terlakar di wajahnya saat itu.
“ Has..kalau nak tahu, Ben ni sebenarnya tunangan di alam rahim untuk Puteri. Ibu bapa diorang dah jodohkan diorang dari dalam zaman dalam perut lagi sebab mahu warisan keluarga terus maju dan berkembang.” Sengaja Amirah memberitahu Hasnah.
“ Ma..!” Benz Fahri yang sedari tadi fokus dalam pemanduannya terdengar bualan kosong itu lalu memanggil Amirah. Dia memandang Amirah melalui cermin pandang belakang. Isyarat gelengan diberikan kepada wanita itu sebaik Amirah turut memandang biasan cermin di depannya. Tanda tidak mahu terus dibicarakan soal hubungan yang padanya tidak pasti itu. Mengembang wajahnya seketika bila dikaitkan dengan Ann Layli. Berbahang seketika wajahnya.
Zahid dan Tan Sri Zahid tersenyum melihat wajah Benz Fahri yang sudah merona merah. “ Sudahhlah Irah, malu si budak Ben ni. Dia pun tak tahu pasal hal jodoh ni. Semua rancangan keluarga.” ujar Tan Sri Zahid cuba menegah isterinya dari terus mengusik Benz Fahri.
“ Oh iye..ada jugak ye orang dulu-dulu jodohkan anak macam tu. Tak sangka masih mahu meneruskan warisan keluarga dengan menjodohkan anak-anak. Tapi apa salahnya kalau sambung balik hubungan tu kan. Puteri pun dah bujang balik. Tapi itulah status tu dah tak samalah macam anak dara.” ucap Hasnah.
Dia tidak kisah jika Ann Layli kembali berkahwin kerana dia tahu ada orang yang lebih layak menjaga anaknya. Tidaklah dia kerisauan tentang Ann Layli yang duduk keseorangan di bandar besar seperti itu. Di ajak pulang ke kampung dia tidak mahu. Puas sudah dia dan suaminya Zahid memujuk namun tetap saja Ann Layli menolaknya. Pelbagai alasan diberikan anak itu.
“ Apa nak kira dengan status tu Has.. Rasulullah dulu semasa berkahwin dengan Saidatina Khadijah pun seorang balu yang kematian suaminya. Rasulullah tak pernah pun membezakan status wanita. Kita manusia yang selalu membezakan pangkat dan status seseorang. Semua manusia ni sama. Yang membezakan kita adalah amalan je. Kalau Allah berkehendak dengan kata ‘Kun Fa Ya Kun' aje, semuanya jadi.” jelas Tan Sri Zahid. Dia tidak mengisahkan apa pun pangkat mahupun status seseorang. Baginya yang penting akhlak seseorang tu saja.
“ Betul lah tu tuan. Kami tak mempermasalah pun siapa yang akan jadi pilihan hati dia. Yang penting cukup dapat jaga dan sayang Puteri sebaiknya.” balas Zahid pula.
Hampir dua jam perjalanan mereka tiba di kediaman Tan Sri Zahid dan Puan Sri Amirah. Benz Fahri membelok keretanya memasuki garaj kereta Villa Seroja itu.
“ Ben bawak mak cik dan pak cik ke bilik tamu ye. Mama dah suruh Ida dan Dessi siapkan bilik.” arah Puan Sri Amirah.
“ Babah macam mana? Biar Ben hantar babah ke bilik dulu.” soalnya. Melihat Tan Sri Zahid yang sudah keletihan itu membuatkan hatinya risau sementelah babahnya melalui perjalanan yang panjang tadi.
“ Tak apa, mama akan uruskan babah. Ben bantu mak cik dan pak cik dulu. Lagipun Ben pun letih memandu tadi. Rehatlah.” ujar Amirah. Bahu Benz Fahri ditepuk lembut.
“ Baik ma.” balas Benz Fahri sambil membantu mengeluarkan beg pakaian Hasnah dan Zahid dari perut kereta setelah mendapat arahan Amirah. Membawa beg tersebut dia meminta kedua mereka mengikutinya ke arah bilik tamu yang disediakan.
“ Has..Zahid..berehatlah dulu. Esok kita berjumpa dengan Puteri. Saya minta diri ke bilik dulu.” ujar Amirah sambil memimpin Tan Sri Zahid.
“ Yelah, terima kasih banyak puan layan kami.” timpal Hasnah sebelum mereka berpisah di ruangan tamu itu.
Benz Fahri menghantar Zahid dan Hasnah ke bilik mereka sebelum dia juga turut berlalu ke biliknya untuk berehat setelah seharian sibuk menguruskan beberapa perkara dan kemudian memandu ke Perak menjemput tetamu bapa saudaranya itu.
Haii gaiss, kembali bersiaran.. Nah, chapter secoet utk mlm ni..buat isi ruang kebosanan,, hahah.. sbb i is geram dengan Ajai :-[ .. jemputlah geram berjemaah,, Tq yg support and tunggu updated FFM.. Muchas Gracia's 。◕‿◕。
Share this novel