Hari ini, Hasnah dan Zahid akan berangkat pulang ke kampung selepas bermalam lebih dua hari lagi di Villa Kaseh. Itupun jenuh Puan Sri Amirah menahan tidak membenarkan mereka pulang. Tetapi kerana Zahid perlu menerima rawatan kesihatan di klinik di pekan mereka, Amirah akhirnya akur juga.
“ Lain kali senang-senang datang sini lagi ye Has. Rindu saya nanti kamu tak ada.” ucap Amirah setelah berpelukan dengan Hasnah.
Hasnah tersenyum senang membalas pelukan Puan Sri Amirah yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Begitupun, ikatan yang baru terjalin antara mereka bertambah kuat kerana hubungan kasih sayang anak-anak.
“ Insha Allah Puan Sri. Puan Sri pun senang nanti jemputlah ke pondok kami di kampung.” ujarnya juga sekalian mengajak ke rumah mereka.
Amirah mengangguk. “ Insha'Allah Has.”
Tan Sri Zahid yang berjalan lemah dengan sokongan tongkat juga turut berpelukan dengan Zahid yang sudah duduk di dalam kereta.
“ Terima kasih tuan tumpangkan kami di sini selama beberapa minggu ni. Banyak sangat yang saya dan Hasnah susahkan tuan. Tak tahu nak balas macam mana nanti.” sebak suara Zahid berterima kasih. Sayup pandangannya menatap Tan Sri Zahid.
Tan Sri Zahid menyentuh lembut bahu Zahid, bekas pemandu lamanya dahulu. Bibir tersenyum nipis.
“ Tak ada apa yang susahkan saya pun sebaliknya saya yang banyak terhutang budi dengan kamu berdua. Jasa pengorbanan kamu menjaga dan membesarkan Puteri sangat saya hargai. Tak terbalas dek segunung intan pun. Allah saja yang tahu.”
“ Manja tu amanah kepada kami tuan. Kami cuma menjalankan tanggungjawab saja. Kami tak mahu dipersoalkan nanti tentang tanggungjawab yang tak selesai ni dekat sana esok. Biarlah semuanya selesai elok. Saya minta maaf kalau ada kekurangan kami dalam mendidik dan menjaga dia sehingga besar ni.” jujur Zahid berkata ketika menyampaikan perasaannya.
“ Tak..tak..Zack. Jangan cakap macam tu. Puteri dah cukup sempurna budi serta akhlaknya buat saya. Itu sudah memadai. Saya sangat sanjungi budi kamu dan Hasnah.” tingkah Tan Sri Zahid.
“ Manja anak yang baik dan mendengar kata. Dia tumbuh membesar mengikut akar yang berpasak di tanah bumi. Subur tanah, subur jugalah hasilnya. Saya dan Hasnah umpama air dan cahaya yang menjadi sumber tumbesaran dia agar bertambah elok saja. Kita sendiri ada peranan masing-masing dalam kehidupan dia tuan. Insha Allah saya doakan kebahagiaan tuan sekeluarga. Terima kasih sekali lagi kerana terima kami dalam keluarga tuan.” ujar Zahid. Hatinya sedikit sebak mengenangkan anak yang dikasihi selama ini bakal beralih kasih. Tetapi, dia tahu Ann Layli sekali kali tidak akan melupakan dia dan Hasnah.
Tan Sri Zahid mengangguk mengerti. Setelah berpelukan agak lama, pelukan mereka terlerai. Hasnah mula masuk ke dalam kereta dan duduk bersebelahan suaminya. Abang Mat, mula menutup pintu bahagian penumpang dan bergerak ke arah tempat pemandu pula. Mereka sudah mahu beransur.
“ Jumpa lagi.” ucap Tan Sri Zahid ke arah Hasnah dan Zahid yang sudah melambai tangan kepadanya dan Amirah.
Sejurus itu, vellfire putih tersebut mula menjalar keluar meninggalkan kawasan Villa Teratak Kaseh itu.
*******
Berikutan selepas malam tersingkapnya kebenaran itu, Benz Fahri sekali lagi mengeluarkan arahan tak rasminya kepada Tan Sri Zahid agar Ann Layli tinggal di Teratak Kaseh sehingga Hasnah dan Zahid pulang. Ini kerana demi menjaga keselamatan wanita itu.
Selepas malam itu juga, Benz Fahri tidak pernah lagi muncul di Villa Teratak Kaseh. Katanya, mahu memberi ruang masa kepada Ann Layli untuk menerima keadaan dan situasi hubungan mereka selepas menghormati permintaan gadis itu yang tidak mahu langsung berhubungan dengannya. Ternyata dia mengotakan janji. Dia mahu Ann Layli selesa menjalani rutinnya bersama keluarga baru tanpa kehadirannya di situ. Ann Layli sedikit lega. Akhirnya, apabila Zahid dan Hasnah pulang, Ann Layli juga ikut pulang ke ‘rumahnya’.
“ Puteri, jaga diri ya. Apa-apa bagitahu mama dan babah. Mama dan babah selalu ada dengan Puteri.” belakang anak perempuannya itu digosok lembut ketika berpelukan untuk melepaskan anak itu pulang seperti kemahuannya dan atas kebenaran Benz Fahri yang secara rasminya telah menjadi tunangan Puteri Ann Layli.
Pada malam yang sama, setelah Benz Fahri berlalu pergi, Ruhana mengeluarkan bekas cincin baldu berwarna biru diraja di hadapan Ann Layli.
Ibu kepada Benz Fahri itu, dengan rendah diri meminta keizinan dari Tan Sri Zahid dan Hasnah untuk menyarung cincin permata itu ke jari manis Ann Layli sebagai tanda pertunangan antara anak mereka terjalin. Bersama persetujuan Ann Layli yang akhirnya menerima keputusan Tan Sri Zahid untuk menjodohkan dia dengan Benz Fahri, membenarkan Ruhana menyarungkan cincin itu. Dengan itu, secara rasminya dia menjadi tunangan dan bakal isteri Benz Fahri.
Malah, Ruhana turut menyampaikan khabar dari Benz Fahri bahawa tempoh pertunangan yang akan berlangsung itu adalah selama setahun. Itu semua telah Benz Fahri tetapkan dan Tan Sri Zahid yang dari awal lagi sudah mengetahui rancangan lelaki itu menerangkan buruk baik keputusan anak buahnya kepada semua yang ada. Sudah tentu, Ann Layli orang pertama yang gembira dengan permintaan itu. Gembira kerana dia merasakan tempoh setahun itu cukup untuk jadi ukuran kepada . Tak perlu dia bersusah payah lagi meminta peluang dan ruang masa untuk memikir keputusannya nanti. Dengan itu, dia begitu senang hati menerima permintaan Benz Fahri yang satu itu walaupun mendapat bantahan Ruhana yang mahukan perkahwinan mereka dipercepatkan berikutan masalah kesihatan Tan Sri Zahid yang tidak menentu. Tetapi setelah ahli keluarga berbincang dengan teliti, Ruhana juga akhirnya akur dengan permintaan anaknya itu.
“ Insha'Allah ma. Mama pun jaga diri. Jaga babah. Kalau babah tak sihat, cepat-cepat bagitahu Ann ye.” balas Ann Layli.
“ Ya, apa-apa mama update Puteri.” jawab Amirah melepaskan pelukan. Ciuman sayangnya juga turut berlabuh di kedua belah pipi anak itu.
Kemudian, Ann Layli turut berpelukan dengan Tan Sri Zahid. Air mata kedua beranak itu turut tumpah kerana hajat untuk menghabiskan masa bersama tidak kesampaian. Walaupun Ann Layli berasa lega, tetapi saat terpandangkan wajah suram Tan Sri Zahid dia sangat berasa bersalah. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Apa saja yang telah terjadi telah pun terjadi. Takkan dapat diulangi lagi. Cumanya mampu dibetulkan saja. Jika tidak kerana masa, semuanya tak mampu diubah.
**********
“ Okey Ann, jumpa lagi nanti.” Tangan diangkat ke arah wanita itu melambai dari tempat pemandu dengan senyuman mesra.
“ Terima kasih abang Mat!” turut mengangkat tangan membalas lambaian pemandu peribadi babahnya.
“ Sama-sama.” angguknya. Abang Mat menekan butang cermin tingkap tanda mengakhiri perbualan.
“ Abang Mat!!”
Terhenti rotar cermin Abang Mat saat dipanggil. Kepala di bawa berpaling semua ke luar tingkap. Nasib, kereta belum bergerak lagi. Hanya Abang mat baru masuk gear saja.
“ Kenapa Ann?”
“ Kalau babah tak sihat atau apa-apa, please..” bibirnya di gigit menahan sebak yang ingin terlepas namun ditahan. Kepala didonggakkan tidak mahu cecair hangat menitis ke pipi. Setelah reda di bawa kepala tunduk semula ke wajah Abang Mat.
“ Please bagitahu Ann A.S.A.P.!” Tangannya ditongkat ke cermin tingkap. Suara pun sama bergetar dengan tubuh.
“ Insha Allah. Ann jangan risau. Tahulah abang Mat tengokkan babah nanti. Ann jaga diri je baik-baik. Kalau tak jenuh abang Mat nak menjawab dengan Tuan Benz pulak.” Abang Mat sambung pesan.
Selain pesanan penaja yang dah berapa ratus kali abang Mat ulang ketika dia ikut hantar mak dan ayah pulang ke Kuala Selangor tadi sampai lah sekarang ni; di hadapan pintu rumahnya pula. Dia tahu segala pesanan tu datangnya dari Tuan abang Mat yang bermuka ketat tu. Sibuk je!
“ Promise!” pintanya dengan wajah sendu.
Abang Mat pula sampai naik kesian tengok wajah muram tu terpaksa angguk dan memberi jaminan.
“ Ye, Abang Mat janji. Dah pergi masuk!” arah Abang Mat.
Ann Layli akur dengan arahan tersebut. Pintu pagar rumah lamanya dia tuju. Berpura-pura membuka mangga rumah itu sebelum berlenggang masuk ke dalam setelah memerhatikan kenderaan rasmi Abang Mat berlalu pergi. Dia menarik nafas lega. Setelah memastikan abang Mat sudah hilang di situ cepat cepat Ann Layli keluar dan berjalan masuk ke rumah sebelah pula.
Sejak selalu berada Di Teratak Kaseh, bukan saja hubungannya dengan ahli keluarga rumah itu rapat, tetapi dengan pemandu peribadi babahnya juga. Sudah dianggap abang Mat itu abangnya kerana sifat prihatin lelaki itu. Ann Layli yang bersikap mudah mesra dengan sesiapa pun itu cepat benar bermesra dengan abang Mat.
**********
“ Tuan!” tangan mengangkat tabik ke tepi pelipis kiri saat dipanggil mengadap dengan Deputi Superintenden Polis (DSP) iaitu DSP Zainal Abidin bin Mohamed di ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri.
“ Ya Zen, sila duduk.” DSP Zainal menyambut huluran salam Zen Huzaini bersama senyuman mesranya. Tangan di arahkan kerusi mempersilakan lelaki itu duduk.
“ Ada apa tuan panggil saya. Ada sebarang masalah dengan balai kawalan saya ke?” soalnya pelik.
Pagi-pagi mendapat perkhabaran dari Reza yang DSP Zainal mencemar duli turun ke IPD nya agar segera bertemu beliau di IPK pada petang tersebut.
“ Terima kasih Zen, sudi bertemu saya. Tak ada apa sebenarnya. Saja saya singgah ke pejabat kamu tadi. Kebetulan saya ada hal di kawasan berdekatan.” terangnya.
Zen Huzaini tarik nafas lega. Ingatkan apalah urusannya sampai DSP besar tu turun mencari dia. Kalau urusan rasmi tentunya secara rasmi juga dia mendapat perkhabaran dan bukannya secara peribadi begitu. Masalah peribadinya yang terjadi selama beberapa minggu ni buatkan otaknya makin serabut dan terganggu sedikit. Jadinya, fokusnya turut terganggu sehinggakan DSP turun mencemar pangkat pun dia naik risau sampai tak boleh nak berfikir baik.
“ Oh saya, ingatkan apa tadi. Sebab budak balai cakap tuan nak jumpa saya dekat sini. Itu yang saya pelik.” tergelak. Rahang yang terasa tegang tadi dilurut perlahan menghilangkan resah. Langsung letak duduk di kerusi itu di betulkan selesa.
“ Tuan apa khabar?” baru juga teringat dia nak bertanya.
“ Alhamdulillah khabar baik. Saya ada hal dekat ofis sampai ke petang. Jadi dah alang-alang nak jumpa kamu tadi, kamu tak ada saya pesan dengan diorang jemput kamu datang ke sini.” terang DSP Zainal Abidin lagi.
Terangguk-angguk Zen Huzaini mendengar penjelasan.
“ Zen, saya dengar cerita kamu nak naik pangkat lagi. Betul ke?”
“ Naik pangkat?” kerut keningnya naik berlapis. Eh, bila masa?!
“ Hmm..naik pangkat. Diam-diam kamu buat kerja ya. Tahniah!” sambung DSP Zainal Abidin dengan senyuman meleretnya.
“ Eh, pangkat apa pulak tuan. Tak ada official letter lagi ni?” terkejut dan blur bersamaan wajah Zen Huzaini sudah bertukar rupa. Dada juga berdebar tak semena.
Ketawa DSP Zainal Abidin makin galak dan kuat. Roman wajahnya juga sudah bertukar merah.
Zen Huzaini sedikit termangu. Lawak sangat ke?
“ Zen..Zen..” DSP Zainal menggeleng kepala. Wajah Zen Huzaini yang kehairanan itu dipandang lucu.
“ Maksud tuan apa?"
“ Naik pangkat bini lah. Hebat betul kamu sekarang ni!” sela DSP Zainal Abidin.
Zen Huzaini tersedak liur sendiri. Sakit tekaknya menahan kesedakan. Semerta tangan naik mengurut bawah leher mengurangkan perit dengan senyuman kelat.
“Oh, pangkat yang itu!”
“ Ya, bila nak langsungnya?”
“ Tak tahu lagi tuan. Tunggu green light dari pihak sana.”
“ Oh, baguslah. Dapat juga saya makan nasi minyak Tuan Zamani nanti. Dulu majlis pertama dia saya tak dapat datang. Jauh di Perlis berlangsungnya. Kebetulan saya pun ada kes besar masa tu.” mesra DSP Zainal berceloteh mengimbau kenangan lalu.
Tuan Zamani yang disebut DSP Zainal Abidin itu adalah bapa Zen Huzaini yang merupakan ketua DSP nya sewaktu berkhidmat sebagai ketua balai di IPK Teluk Intan. Ketika perkahwinan pertama Zen Huzaini bersama Hani Wardah dia tidak dapat menghadirinya. Kini, sebaik mengetahui cerita itu dari bekas ketuanya yang secara kebetulan dia terjumpa ketika pulang ke kampung di Pokok Sena, Kedah kelmarin, dia tumpang gembira. Dan langsung ucapan tahniahnya disuarakan terus kepada tuan punya badan.
“ Oh, ayahlah yang bercerita ni. Patutlah lain sangat cerita naik pangkat tu!” ujar Zen Huzaini. Dia juga akhirnya tergelak sendiri.
Seminggu selepas perbincangannya bersama Hani Wardah tentang mahu masuk meminang Ann Layli, isterinya itu mengajak dia pulang ke kampung dan berbincang sama dengan kedua belah keluarga. Kata Hani Wardah mereka tak boleh membelakangkan keluarga. Kata sepakat dari keluarga juga harus diambil kira jika Zen Huzaini mahu mendirikan mahligai perkahwinan keduanya. Restu ibu bapa juga sama penting seperti isteri. Sudahnya, Zen Huzaini akur dengan ajakan Hani Wardah.
Pulang ke kampung, dia bertemu Haji Zamani dan Hajah Sariah memberitahu keinginannya memperisterikan Ann Layli.
Pada awalnya, Hajah Sariah menolak mentah-mentah keinginan anak lelaki tunggal mereka itu, tetapi setelah berkali dipujuk menantunya Hani Wardah akhirnya Hajah Sariah memberi kata putus juga.
“ Baik, umi terima dia. Tapi dengan syarat!” keras saja nadanya.
Zen Huzaini yang duduk sebaris dengan Hani Wardah dan berhadapan dengan wanita kesayangannya itu sudah tidak senang duduk. Tertelan air liur jantannya. Mendongak dia pandang wajah Hajah Sariah dengan jantung yang berdebar kuat. Peluh jantan juga kelihatan merenik di dahi. Nasib, Hani Wardah disebelah menggenggam erat tangannya di sebelah. Kurang sedikit debar di hati.
Siapa yang tak takut pandang wajah garang Hajah Sariah yang menyandang gelaran bekas pengetua sekolah itu, walaupun sudah hampir 12 tahun berpencen. Gerun.
Malah, ayahnya Haji Zamani yang berwajah garang itu juga kadang kala kalah dengan aura pengetua si umi.
“ Syarat apa umi?"
“ Umi akan bercakap sekali saja. Umi takkan ulang lagi selepas ini.” Jeda.
Pandangan Hajah Sariah beralih ke arah Hani Wardah pula. Ditatap seketika wajah menantu idaman dan pilihannya itu. Kalau tidak kerana dek pujukan Hani Wardah tak akan sesekali dia memberi kebenaran dan menyetujui idea gila si anak.
Malu wajahnya dengan si menantu itu. Tapi apakan daya, pujukan dan harapan Hani Wardah membuatkan hatinya terbuka untuk menerima pilihan si anak.
Kalau bukan di sebabkan soal zuriat sebagai penyambung warisan keturunan, tidak juga dia berhasrat menerima permintaan Zen Huzaini.
“ Umi cuma bagi peluang dua tahun saja untuk kamu dan Ann punya zuriat. Lebih dari itu, umi mahu kamu ceraikan dia.”
“ Umi!”
“ Sari!”
Serentak suara Zen Huzaini bertingkah dengan Haji Zamani. Masing-masing berpandangan terkejut ke arah sang ibu dan isteri.
“ Umi sedar tak umi cakap apa ni? Takkan sampai macam tu sekali. Tak adil untuk Ajai dan Ann.” bangkang Zen Huzaini.
“ Adil atau tak keputusan umi tetap sama. Muktamad!”
“ Sari, cuba istighfar. Jangan ikut sangat perasaan tu.” tegur Haji Zamani.
“ Saya bukan ikut perasan. Yang ikut perasaan dan nafsu tu anak abang. Keputusan saya tetap sama. Kalau Ajai nak kahwin dengan janda tu dengan alasan zuriat, saya tak ada masalah. Dipersilakan. Tapi, andaikata dua tahun selepas pernikahan dia tak juga dapat anak saya mahu dia ceraikan janda tu.” lantang Hajah Sariah berkata-kata menyatakan ketidakpuasan hatinya secara terang-terangan.
“ Umi, jangan buat Ajai macam ni. Kesiankan lah Ajai. Ajai cuma nak restu umi dan ayah je. Takkan semata soal zuriat umi nak Ajai tinggalkan dia. Tak adil umi!"
Mencerlung tajam wajah Hajah Sariah. Senyuman sinis dilemparkan buat Zen Huzaini.
“ Kamu cakap soal adil dengan umi? Kamu yang sebenarnya tak adil dengan Hani. Sebab zuriat, kamu sanggup lukakan hati Hani. Hati umi. Kamu pentingkan diri sendiri.”
Zen Huzaini picit pelipis. Terbelit lidah nak membalas kata-kata Hajah Sariah.
Ya, alasan utama Zen Huzaini untuk berkahwin dua adalah kerana soal zuriat. Walhal, dia bukan kisah sangat tentang itu. Tetapi, dek kerana cinta yang masih utuh terpahat di hatinya untuk Ann Layli sanggup dia korbankan hati dan perasaan Hani Wardah yang banyak bersabar dengan sikapnya selama hampir lima tahun perkahwinan mereka.
“ Umi, takkanlah sampai nak bercerai berai. Tak baik umi. Lagipun Ann tu dah pernah berpisah mati dengan arwah suami dia. Kalau Kali ni, abang pula yang ceraikan dia kesianlah dia umi.” pujuk Hani Wardah. Dia terpaksa masuk campur apabila mendengar kata putus Hajah Sariah yang tak masuk akal itu. Walaupun dia gembira kerana ibu mertuanya tetap berpihak kepada dirinya tetapi apabila Hajah Sariah menyatakan soal penceraian, dia tidak bersetuju. Ann Layli sudah dia anggap seperti adik. Jika perkahwinan kali ini juga berakhir dengan perpisahan apalah nasib wanita baik budi pekerti itu.
Tidak mahu keadaan bertambah keruh dengan perdebatan anak beranak itu, Hani Wardah bangun dari duduk dan mendekat dengan Hajah Sariah. Tangan ibu mertua itu diraih dan digenggam erat.
“ Umi, Hani dah redha dengan semua ketentuan ni. Ini semua ujian untuk kita. Allah uji sebab Allah sayang. Hani restu dengan pilihan abang. Demi Hani, boleh tak kali ini umi restu pilihan abang seperti mana abang berbesar hati terima Hani sebagai isteri atas pilihan umi?" pintanya. Tangan tua Hajah Sariah dicium lembut.
Kaku tubuh Hajah Sariah dengan kata-kata Hani Wardah. Sungguh mulia hati menantunya itu. Dia sendiri sukar untuk terima permintaan anaknya. Tetapi Hani Wardah dengan senangnya memberi keizinan itu. Tidak tahu lagi dia mahu berkata apa. Hatinya begitu sakit dengan ulah Zen Huzaini terhadap menantu kesayangannya itu. Namun, apa lagi Yang boleh dia buat andai isteri anaknya itu sudah memberi keizinan.
“ Ikut suka dialah. Hari depan kalau ada masalah jangan cari umi. Pandai-pandai sendiri nak hidup. Dan satu lagi.. Hani aje menantu kesayangan umi." ujar Hajah Sariah seraya bangun dari duduk dan berlalu masuk ke bilik.
Tergeleng kepala Haji Zamani melihat tingkah sang isteri. Zen Huzaini juga mengeluh membuang resah yang menghimpit perasaan. Hani Wardah juga diam tidak terkata apa. Hanya berharap dan berdoa hati ibu mertuanya akan lembut dan berubah untuk menerima Ann Layli.
“ Sabar ye Hani..Ajai! Umi tu marah sekejap aje. Esok-esok lembutlah hati dia tu. Banyakkan berdoa. Insha'Allah semuanya akan dipermudahkan nanti.” nasihat Haji Zamani kepada kedua anak menantunya yang masih kekal duduk termangu setelah mendengar kata akhir Hajah Sariah tadi.
“ Tak apa yah, Ajai faham. Salah Ajai juga yang tak pandai ambik hati umi tu. Ayah janganlah risau, nanti Ajai pujuk umi lagi.” ujar Zen Huzaini.
Ya, dia akan berusaha lebih lagi untuk memujuk umi agar menerima Ann Layli sebagai isterinya nanti. Dia tahu hati uminya sekarang kecewa. Tetapi soal hati dan perasaannya sendiri saat ini lebih utama berbanding perasaan orang lain.
******
jemput baca semua..tq yg komen n rate. luv u all :-*
Share this novel