BAB 26

Romance Series 30122

PARA pekerja Food Mega fokus membuat kerja mereka seperti memasukkan bekas makanan yang dihantar dari pembekal dan bersedia untuk menghantar makanan untuk pelanggan. Helmi dan Rayyan mengusap-usap helmet masing-masing menunggu giliran untuk menghantar makanan.

“Zu!”

Seorang makcik tua tiba-tiba sahaja masuk ke dalam bangunan tersebut menyebabkan fokus pekerja Food Mega mula terganggu. Rayyan mengerutkan dahinya apabila mendengar suara tersebut.

“Hel, kau dengar tak?”

“Dengar apa?”

“Zu! Mak datang ni.”

“Hah, itu. Kau dengar tak?” soal Rayyan. Helmi mengangguk kepalanya.

“Dengar lah. Eh, siapa punya ibu pula sesat kat sini ni wei?” soal Helmi semula. Rayyan mengangkat bahunya.

“Biarlah. Nanti pandai-pandailah anak dia cari.” Helmi mengangguk kepalanya.

“Helmi, mana Zu?”

Helmi mengerutkan dahinya.

“Woi, Rayyan.”

“Hrmmm…”

“Kau dengar tak nama yang dipanggil makcik tu?” soal Helmi. Rayyan mengangguk kepala.

“Helmi. Kenapa?”

“Siapa dalam syarikat ni nama sama macam aku?”

“Mana ada lagi. Kau sorang je.”

Helmi terkejut. Pantas dia bangun dari tempat duduknya. Dia terkedu melihat Mak Kiah yang berada di bangunan itu.

“Mak!”

Rayyan mengangkat wajahnya. Matanya memandang Helmi yang berlari ke arah Mak Kiah.

“Helmi, mana Zu? Zu tinggalkan mak lagi ke?”

Helmi menggeleng kepalanya. Tangannya menggenggam erat tangan emaknya.

“Mak, Zu sambung belajar kat luar negara,” tipu Helmi. Mak Kiah menghela nafasnya.

“Tapi, kenapa pula dia tak jumpa mak masa dia nak bertolak ke sana?” soal Mak Kiah. Helmi menghela nafasnya. Sejak kematian adik angkatnya, Zulaikha, Mak Kiah semakin teruk sakitnya. Helmi berusaha mengumpul duit untuk merawat sakit Mak Kiah. Namun, gaji kerja Food Mega sememangnya tidak cukup untuk membuat rawatan dalam masa yang terdekat.

“Mak, jom balik!”

“Aku taknak! Mana Zu?!”

Melinda menuruni tangga apabila mendengar sedikit kekecohan di tingkat bawah. Matanya terpandang Helmi yang cuba memujuk Mak Kiah.

“Helmi!”

Helmi menoleh ke belakang. Air liur ditelan kesat. Takut apabila Melinda memarahinya kerana Mak Kiah membuat kekecohan di sini.

“Kenapa ni?”

Melinda melangkah mendekati Helmi dan Mak Kiah. Mak Kiah tersentak melihat wajah Melinda yang hampir sama seperti Zulaikha.

“Zu…”

Mak Kiah berlari lalu memeluk erat tubuh tinggi itu. Melinda tersentak dengan tindakan wanita tua itu.

“Zu, mak rindu Zu. Kenapa Zu tak bagitau mak yang Zu nak pergi sambung belajar ke luar negara? Zu nak tinggalkan mak ke?”

Melinda terkedu mendengar ayat yang keluar dari mulut Mak Kiah itu. Matanya tepat memandang ke arah wajah Helmi. Helmi mula berasa bersalah.

“Mak…”

Melinda menolak perlahan tubuh wanita tua itu. Bahu wanita tua itu dipegang lembut. Sebuah senyuman manis diukir untuk Mak Kiah.

“Mak tunggu Zu ye?” soal Melinda dengan suara lembutnya menyebabkan Helmi terkedu. Mak Kiah mengangguk kepalanya.

“Mak rindu Zu. Zu jangan tinggalkan mak tau!”

Melinda mengangguk kepalanya.

“Kerusi, please.”

Seorang pekerja pantas menolak kerusi ke arah Melinda. Melinda memperlawa Mak Kiah untuk duduk. Mak Kiah hanya mengikuti perlawaan Melinda sahaja.

“Mak, mak nak apa? Bagitau Zu.”

Mak Kiah tersengih.

“Mak nak air. Air kopi.”

Melinda mengangguk kepala lalu memandang ke arah Helmi.

“Helmi, pergi buat air kopi yang sedap untuk mak awak.” Helmi mengangguk kepala lalu berlalu ke dapur. Tangan Melinda digenggam oleh Mak Kiah secara tiba-tiba.

“Zu…”

Melinda menoleh ke arah Mak Kiah.

“Ya, mak?”

“Zu, mak nak beli baju kurung boleh?”

Melinda tersenyum. Dia duduk meninggung di hadapan Mak Kiah.

“Boleh jer.”

Mak Kiah tersenyum gembira. Kepalanya diangguk beberapa kali.

“Thank you, Zu.”

“You welcome, mak.”

Rayyan hanya memerhati dari jauh kejadian tersebut. Sebuah perasaan mula merasuki jiwanya. Cemburu.

Terima kasih, anda semua adalah yang terbaik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience