BAB 3

Romance Series 30157

BUNYI azan Subuh yang berkumandang menampar halus cuping telinganya Rayyan. Dalam keadaan terpisat-pisat, dia bangun dari lenanya. Matanya digosok-gosok.

“Hrmm ... dah Subuh.”

Kaki dibawa melunjur ke lantai lantas bangun menapak menuju ke bilik air. Air wuduk diambil dengan tertib bagi menunaikan ibadah solatnya sebagai seorang Muslim. Solat itu tiang agama, jadi lebih baik dia solat diawal waktu moga-moga tiang imannya itu lebih kukuh.

Beberapa minit kemudian, songkok di atas meja diambil seraya diletakkan di atas kepala. Baru sahaja dia berura-ura mahu membentangkan sejadah, bunyi deringan telefon Nokia menghentikan tindakannya.

Rayyan mengeluh perlahan. Telefon Nokia lama miliknya di atas meja kayu di hujung ruang tamu dikerling.

Siapa pulaklah pagi-pagi dok menelefon orang ni... dia tak faham ke pagi itu waktu privasi?

Dalam membebel tangan digagahkan jua mencapai telefon Nokia tersebut. Punat untuk menjawab panggilan ditekan. Tekap ke telinga kanan.

“Hello, bos. Ada apa?” Tanpa berbasa-basi, Rayyan terus meluru melontarkan soalan.

Tengok nama ‘Encik Mokhtar’ yang tertera sahaja sudah dia tahu apa tujuan lelaki itu telefon pagi-pagi buat begini. Tak lain tak bukan, suruh buat kerja lebihlah tu.

“Hello Rayyan, awak apa khabar? Sihat?”

Eceh! Pandai membodek orang tua ni!

Rayyan menggelengkan kepala sekali.

“Eleh bos. Nak tanya-tanya khabar pulak. Padahal baru semalam kita jumpa. Cakap jelah bos telefon saya ni sebab nak suruh saya kerja lebih kan?” Rayyan menyerkap jarang.

Terletus tawa Encik Mokhtar di hujung talian. Macam tahu-tahu saja budak Rayyan ni.

“Betullah kamu ni dah lama kerja dengan saya Rayyan. Pandai betul kamu teka.”

Rayyan cebirkan bibir. Masuk tahun ini, sudah 6 tahun lebih dia bekerja di bawah Encik Mokhtar. Segala peel lelaki tua ini semua dia dah hafal. Tak payah beritahu sebab pun dia dah dapat teka semudah buka kuaci. Kacang!

“Hah, kerja apa yang penting sangat sampai bos call saya pagi-pagi buta ni?” Rayyan menyoal semula tak mahu bazirkan masa.

Encik Mokhtar berdehem kecil beberapa kali. Rayyan menanti jawapan.

“Semalam awak ada hantar makanan dekat satu syarikat ni kan? Syarikat... hah! Syarikat Mestika Sdn. Bhd. Awak ingat?”

Terkebil-kebil biji mata Rayyan mendengarkan nama syarikat itu. Otak cuba mengingati sesuatu. Dan pada saat itu juga wajah minah senget semalam menyerap masuk ke dalam kepala. Sah!

“Ohh... syarikat tu. Haah, ada encik. Kenapa?” Itonasi suara berubah kendur. Rasa tak menarik pula nak bercerita pasal Syarikat Mestika ini.

Encik Mokhtar menganggukkan kepalanya.

“Semalam saya ada dapat order. Lebih kurang dalam 100 tempahan daripada sana. Selamatlah 100 sahaja. Sempatlah isteri saya masak nasi ayam tadi. Banyak juga tu. Jadi alang-alang awak yang hantar bungkusan ke syarikat tu semalam, hari ini awak yang hantar lagi ye?” Tenang dan lancar Encik Mokhtar berkata-kata.

Rayyan terkedu sejenak. Haih, aku lagi. Hatinya disapa tanda tanya.

Baru sahaja semalam dia menghantar bungkusan kepada Ara, salah seorang staff di syarikat itu. Sekarang order sampai 100 pulak? Takkanlah baru sekali Ara pekena makan terus popular satu ofis? Ataupun ... benda ni dirancang? Hati Rayyan berdesis sendiri. Sudah Detective Conan dah lagaknya.

“Hello ... Rayyan? Awak masih disana ke?”

Teguran daripada Encik Mokhtar menyentakkan lamunan Rayyan.

“Errr ... baiklah bos. Jangan risau. Nanti saya hantar.” Rayyan terima tanpa rela.

Tersenyum Encik Mokhtar mendengar jawapan itu. Sememangnya Rayyan adalah seorang pekerja yang tak pernah mengecewakannya dari dulu.

“Terima kasih, Rayyan. Jumpa awak nanti. Assalamualaikum.”

Sejurus meletakkan panggilan, Rayyan menghela nafas berat.

Hadeh ... nampaknya gayanya dia terpaksalah berhadapan dengan minah senget itu lagi. Argh! Rasa macam nak terbalik dah dunia.

Wajah minah senget itu terlayar di ruang mata. Nak kata cantik tu ... cantik. Tapi tulah, senget! Rayyan duduk memikirkan tentang gadis semalam. Tergeleng-geleng kepala mengingatkan insiden yang telah menimpa kepada mereka.

Mata secara tidak sengaja ternaik memandang ke arah jam di dinding kayu.

Ya Allah ... dah pukul 6.30!

Pantas tanpa berlengah cepat-cepat dia menunaikan solat Subuh.

Aduhai, kau ni Rayyan. Fikirkan anak dara orang sampai lupa perintah Allah! Berdosa ni! Hati berbicara sendiri.

Selesai menunaikan solat, kaki ditapak menuju ke dapur menjalankan rutinnya untuk menyiapkan bekalan makanan diri sendiri. Itulah perkara hariannya. Memandangkan duit gaji pun semput-semput rasanya lebih baik dia tidak membazir duit membeli makanan di luar. Cukuplah dia dapat mengisi perutnya apabila penat bekerja nanti.

Bekas makanan diletakkan di dalam sebuah beg plastik. Rayyan menukar baju dan seluarnya. Topinya yang sudah lusuh dan luntur diletakkan di kepala seraya melangkah keluar dari rumah bersama dengan kunci motosikal. Beg plastik tadi dibawa lalu dimasukkan ke dalam raga motosikal.

Pintu rumah sudah dikunci siap-siap. Rumah usang buruk pun ... kalau dah namanya pun rumah perompak masuk jugak. Janji ada hasil.

Bunyi deruan motosikal kuat mengaum tatkala dia menghidupkan enjin. Rayyan tersenyum sambil tangannya membelai kepala motosikal itu.

“Let's go sayang ... kita cari rezeki sama-sama ye? Vroom vroom!” Motosikalnya terus memecut laju, menuju ke tempat kerja.

MELINDA melangkah masuk ke dalam pantri. Fasha dan Fahmi sedang berbual di dalam pantri menanti kedatangan runner yang membawa makanan tempahan mereka kepada Food Mega. Melinda menyandarkan tubuhnya ke dinding. Bibirnya mengukir senyum senget melihat adegan manis Fasha dan Fahmi itu.

“Ehem ... ehem!”

Melinda berdehem kecil lantas menyebabkan Fasha dan Fahmi menoleh. Bibir masing-masing mengukir senyuman kepada Melinda.

“Korang pergi buat kerja apa yang patutlah. Biar saya tunggu,” ujar Melinda. Kepala Fasha dan Fahmi diangguk-angguk. Mereka berdua melangkah keluar dari pantri meninggalkan Melinda keseorangan.

Melinda hanya mampu tersenyum. Nasib lah dia dapat mengetahui siapakah yang menghantar makanan pada hari ini. Jika tidak, terlepas lah peluang ketiga untuk melihat wajah lelaki yang membuat dirinya gila.

Melinda memandang kearah skrin iPhone. Nombor telefon Rayyan dipandang lama. Dia berfikir sejenak sebelum menelefon nombor tersebut. Kakinya melangkah keluar dari pantri dan masuk ke dalam lif apabila pintu lif terbuka.

Rayyan melangkah masuk ke dalam bangunan Syarikat Mestika Sdn. Bhd. Bunyi deringan dari telefon Nokia menyebabkan dia terpaksa meletakkan beg plastik yang dipenuhi bekas makanan di atas lantai. Punat untuk menjawab panggilan ditekan sambil sebelah tangannya membawa beberapa beg plastik dipenuhi bekas makanan.

“Hello…”

“Hello, ini Rayyan ke? Awak yang hantar makanan untuk jamuan hari ini kan?” soal Melinda. Rayyan terkedu mendengar suara tersebut.

“Dari mana kau dapat number aku ni?”

“Haih … dah lupa ke?”

Kening Rayyan berkerut. Otaknya cuba mengingati kejadian semalam.

“Kau dapat number aku semalam masa kau ambil telefon aku eh?” Rayyan menduga dan Melinda mengangguk laju.

“Yelah. Cepatlah hantar. Beberapa minit lagi Tuan Remy nak sampai.”

“Macam mana nak cepat? Korang order macam sejuta orang makan. Terkehel tulang pinggul aku mengangkat benda ni semua,” rungut Rayyan. Perlahan-lahan dia berjalan untuk ke lif bangunan tersebut. Baru sahaja jarinya naik untuk menekan punat lif, pintu lif tiba-tiba sahaja terbuka. Matanya bertemu dengan anak mata Melinda. Erk!

“Oh, tepat pada masanya.”

Melinda merampas beberapa beg plastik supaya meringankan beban Rayyan lagi. Bibirnya tersenyum lalu memberikan ruang kepada Rayyan untuk masuk. Rayyan menarik nafasnya dalam lalu masuk ke dalam lif bersama-sama dengan Melinda.

Mata Melinda masih memandang ke arah skrin iPhone miliknya. Melihat mesej perbualan ringkas dia bersama auntienya, Naura.

“Hahahaha...”

Melinda menekup mulutnya sebelum melepaskan tawa kecil. Dia tidak menghiraukan Rayyan yang berada disebelahnya itu. Sikap auntienya, Naura memang sama seperti unclenya. Patutlah kuat jodoh mereka berdua.

Melinda mengangkat panggilan daripada Naura apabila iPhone tiba-tiba sahaja berdering. Bibirnya mengukir senyuman.

“Hello, auntie. Tengah buat apa tu? Uncle mana?”

Rayyan hanya diam mendengar perbualan Melinda dengan auntie gadis itu. Dia tidak mempunyai niat untuk mengganggu atau mengacau perbualan tersebut. Tak ada selera okay!

“Hah? Bila nak kahwin? Baru umur 22 tahun kot. Muda masih. Kalau lah Mel ada calon, boleh lah bawa jumpa papa dengan mama.”

Melinda ketawa mendengar gurauan manja dari Naura. Naura tidak habis-habis mengusiknya tentang cinta.

“Hrm? Memilih? Taklah. Mel dah ada seorang lelaki yang tarik perhatian Mel. Dia bukanlah kerja macam CEO. Dia kerja biasa-biasa sahaja tetapi dia boleh buat Mel jadi gila tau!”

TING!

Melinda terkejut apabila pintu lif terbuka.

“Auntie, nanti call. Mel dah sampai ni.” Melinda mematikan panggilan.

Dia melangkah keluar dari lif diikuti Rayyan dari belakangnya. Seakan-akan memiliki aura yang sangat kuat, mata semua pekerja di tingkat 50 itu tertumpu kepadanya.

“Hai, Mel!”

Melinda hanya tersenyum apabila disapa oleh beberapa orang pekerja. Rayyan pun dapat merasakan kehebatan aura Melinda apabila berada di tempat kerja.

Kaki Melinda menapak masuk ke pantri. Dia meletakkan beberapa beg plastik ke atas meja lalu perlahan-lahan mengeluarkan bekas makanan. Tangannya laju dan cekap membuat kerja. Tidak terlalu ayu dan terhegeh-hegeh seperti wanita lain.

“Sini!” Melinda merampas beberapa lagi beg plastik di tangan Rayyan. Beberapa beg plastik yang kosong ditolak sehingga jatuh ke lantai. Rayyan mengambil beberapa beg plastik yang jatuh di atas lantai. Tak baik membazir!

“Fuh, siap.” Melinda melipat beg plastik. Laci almari di pantri ditarik lalu memasukkan beg plastik itu ke dalam. Kepalanya ditoleh kearah Rayyan.

“So, kau tak ada kerja ke?”

Rayyan terdiam. Matanya tajam memandang ke arah Melinda.

“Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu? Kalau tak, saya boleh dah berambus dari sini kan.” Kaki Rayyan hendak melangkah pergi namun laju ditarik oleh Melinda.

Melinda mendekati Rayyan. Walaupun dia sudah memakai kasut tumit tinggi namun dia terpaksa mendongakkan kepalanya ke atas untuk memandang ke arah wajah tampan Rayyan. Ketinggian Rayyan sangat tidak dapat dinafikan kecuali apabila Rayyan berdiri di tepi Remy. Namun antara Remy dengan Rayyan, dia lebih suka Rayyan. Mengapa? Dia pun tidak pasti dengan perasaannya sekarang.

“Kau busy sekarang? Kalau tak, jom kita makan. Aku belanja kau.”

“Tak payah!” Laju mulut Rayyan menolak tawaran Melinda itu menyebabkan gadis itu mencebik. Melinda menggenggam tangannya.

“Ikut sahaja lah.”

“Taknak!”

“Rayyan! Ikut sahaja lah. Bukan aku bawa kau kahwin lari pun.”

“Aku taknak! Aku taknak! Aku taknak!” Rayyan menegah kuat namun itu tidak diendahkan oleh Melinda.

“Ramai pekerja kat tingkat 50 ni, Rayyan. Aku akan jerit tau kalau kau tolak tawaran aku lagi,” ugut Melinda. Rayyan mengetap giginya.

“Tolong! Ada orang cuba...”

Belum sempat Melinda menghabiskan ayatnya, mulutnya ditekup menggunakan tangan Rayyan. Rayyan mendengus kasar.

“Yelah! Aku ikut kau makan.”

Melinda tersenyum. Laju dia menarik tangan Rayyan yang menekup mulutnya. Mereka berdua keluar dari pantri lalu ke lif. Rayyan dengan muka redanya hanya mengikuti Melinda dari belakang.

Anda memang terbaik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience