BAB 24

Romance Series 30157

JAM dinding bilik Melinda mula menunjukkan angka 7. Dua tubuh terbaring di atas katil kerana masih berada di alam mimpi. Zuhaira memulas tombol pintu perlahan. Kepalanya digeleng beberapa kali melihat Rayyan dan Melinda masih terlena.

“Rayyan...”

Zuhaira berusaha untuk mengejutkan Rayyan.

“Ayan... bangun!”

Rayyan menggeliat kecil.

“Ish, cici. Shuh, shuh! Jangan kacau aku.”

Zuhaira menepuk dahinya.

“Rayyan ... bangun sayang!” Zuhaira menepuk pipi Rayyan. Rayyan mengerutkan dahinya. Lambat-lambat dia membuka mata sebelum terkejut melihat wajah ibu mertuanya.

“Ouh mama....”

Rayyan bangun perlahan.

“Bangunkan Mel tu,” pesan Zuhaira sebelum keluar dari bilik. Rayyan menoleh memandang Melinda yang masih nyenyak tidur. Dia bangun lalu melangkah menghampiri Melinda menggunakan lututnya di atas tilam. Bahu Melinda digoncang.

“Woi! Bangun! Bangun! Bangun!”

Melinda tidak membalas sahutan Rayyan itu. Suhu badannya panas.

“Woi, Mel! Bangunlah!”

Melinda masih tidak membalas.

“Mel...”

Tangan Rayyan terpegang dahi Melinda. Dia terkedu.

“Wuish ... macam biskut oven. Kau demam ni.” Rayyan menggoncang bahu Melinda.

“Eh, bangun! Ajak mama kau gi klinik.”

Melinda perlahan cuba membuka mata.

“Nantilah. Aku okey. Jangan risau. Tak perlu pun gi klinik.” Melinda menarik selimut.

Rayyan menarik selimut kuat.

“Mana boleh tak pergi. Kang berjangkit dgn aku. Dah lah satu rumah ni bervirus.”

“Hish! Pergilah jauh dari aku. Kau nak sangatkan.” Melinda menarik semula selimut. Rayyan menghela nafasnya.

“Macam mana nak jauh? Kita sebilik.”

“Tidurlah kat bilik Luthfi.”

“Huh?”

Rayyan mengusap tengkuk.

“Hish, kau duduk sini diam-diam. Degil!”

Melinda diam lalu menyambung tidur.

Rayyan masuk ke bilik air. Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan sebaldi air suam dan tuala kecil. Rayyan duduk di sebelah Melinda.

“Pusing!”

Melinda memusingkan tubuhnya.

“Kau nak apa?”

Rayyan diam. Tuala direndam ke dalam air. Dia memerah tuala tersebut sehingga lembab. Tuala dituam ke kepala Melinda.

Melinda memejamkan mata.

“Hrmmmmm...”

“Kau rehatlah. Aku kerja hari ini. Masuk lambat je.”

“Eh?” Melinda membuka mata payah. Dia cuba ingin bangun.

“Aku boss. Aku kena datang.”
“Tak payahlah degil. Kau tu demam. Kang jatuh tepi jalan kang. Kau duduk.”

Melinda menggeleng kepala.

“Aku tak demam lah. Aku okey. Jangan risau. Aku nak pergi kerja.” Melinda cuba berjalan. Namun Rayyan pantas menahan Melinda lalu menarik gadis itu untuk duduk semula ke katil.

“Jangan degil! Jangan degil!”

Melinda memukul dada Rayyan lemah.

“Aku nak kerja. Duduk rumah,” ujar Rayyan sambil menangkap kedua pergelangan tangan Melinda.

“Taknak! Bosan!”

“Duduklah. Kenapa kau ni degil sangat, eh?”

“Kau degil boleh pulak. Kenapa aku tak boleh degil?” Melinda memegang dahinya.

“Aku degil? Bila masa?”

“Semalam. Kau...”

Melinda menghentikan pertuturannya seketika.

“Kau degil taknak dengar kata aku.”

Rayyan menghela nafasnya.

“Sebab aku tak selesa. Aku tak suka bila guna hak orang. Aku betul-betul tak suka.”

Melinda terkedu. Tangannya yang lemah masih cuba memukul bidang dada Rayyan.

“Itu bukan hak orang lah!” Perasaan Melinda mula tidak stabil. Air matanya mula mengalir.

“Itu hak kita. Kau suami aku. Aku isteri kau. Itu hak kita, Rayyan.”

Rayyan terkedu. Pandangannya dihalakan ke arah lain. Mulutnya terkunci.

“Kalau kau nak teruskan dengan ego kau. Aku boleh pergi.”

Melinda cuba bangun. Dia melangkah perlahan untuk mencapai tualanya. Rayyan memandang Melinda. Bibirnya diketap. Namun matanya membulat apabila tubuh gadis itu tiba-tiba sahaja ingin tumbang.

“Melinda!!”

Rayyan pantas menyambut tubuh itu.

“Ya Allah…”

Tanpa berfikir panjang, tubuh Melinda terus dicempung naik semula ke atas katil. Rayyan perlahan-lahan mengeluh. Tuam dahi gadis itu semula menggunakan tuala tadi. Suhu badan Melinda semakin naik.

“Aku dah kata. Jangan degil.”

Perlahan-lahan Rayyan melangkah keluar dari bilik. Rumah yang kosong membuatkan dia tidak berasa kekok dengan ketiadaan ahli keluarga Melinda yang mungkin mempunyai urusan di luar.

“Rayyan. Jangan...”

Rayyan pantas menoleh ke arah Melinda.

“Jangan...”

“Jangan tinggalkan aku...” Kata-kata tersebut membuatkan Rayyan terdiam seketika.

“Aku nak turun dapur je. Kau tak sihat. Aku nak masak bubur.”

Melinda terdiam. Kepala diangguk perlahan.

Rayyan tersenyum lalu keluar dari bilik. Dia menuju ke dapur untuk membuat bubur ayam.

RAYYAN meletakkan mangkuk yang dipenuhi bubur ayam di atas dulang bersama dengan air suam. Dia perlahan-lahan naik semula ke bilik. Dulang diletakkan di meja sebelah katil.

“Nah. Makanlah.”

Melinda membuka matanya.

“Kau ni. Susahkan diri kau saja.”

“Tak susah pun. Masak je. Bukan berperang.”

“Kau tak tahu aku tengah berperang dengan apa sekarang, Rayyan?” Melinda cuba untuk bangun. Rayyan mengerutkan dahinya.

“Huh?” Rayyan terkebil-kebil.

“Perang apa?”

“Tak perlulah kau tahu.”

Melinda mencapai mangkuk bubur.

“Ceh…”

Tangan bergetar-getar untuk menyuap diri sendiri. Rayyan topang dagu dan memerhati perbuatan Melinda.

Untuk menyuap diri sendiri sudah mengambil masa yang agak lama kerana tubuhnya masih lemah. Melinda terpaksa mengalah.

“Aku taknaklah makan. Susah nak makan.”

“Ish kau ni! Inilah dia padah tak makan vitamin A! Sini!”

Rayyan mencapai mangkuk dan sudu. Sudu disua ke mulut Melinda. Melinda tolak perlahan. Dia menggeleng kepala.

“Tak payahlah, menyusahkan kau saja!”

“MAKAN!”

Melinda terpaksa menelan payah bubur untuk mengisi perutnya yang kosong. Rayyan tersenyum kerana akhirnya urusannya menjadi senang apabil Melinda memberikan kerjasama yang cukup.

“Hah, kan bagus!” puji Rayyan.

“Bak kata omputih, good girl!” Rayyan senyum segaris. Melinda tersenyum tawar. Rayyan meneruskan sesi menyuap Melinda.

“No, sudah!”

“Last.”

Melinda menelan payah suapan yang terakhir. Rayyan pula meletakkan mangkuk ke atas dulang semula.

“Tidurlah.”

Melinda tersenyum.

“Thank you. Sayang kau,” ucap Melinda dengan ceria walaupun lemah. Rayyan hanya membiarkan tanpa membalas kata-kata tersebut.

“Tak kau bagi aku ubat?”

“Ubat? Aku kalau sakit tak makan ubat. Minum air banyak-banyak.”

Melinda mengangguk kepalanya.

“Tidurlah. Kau kena rehat secukupnya.”

Melinda tersenyum sebelum memejamkan matanya.

Terima kasih, anda semua adalah terbaik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience