Bab 37

Family Series 17159

KITA hanya mampu merancang, tetapi TUHAN yang menetapkan segala-segalanya. Apa sahaja yang berlaku di dunia ini adalah hanya dengan izin ALLAH S.W.T. Hanya DIA yang lebih mengetahui percaturannya. Sebagai seorang hamba yang patuh pada amar makruf nahi mungkar, kita perlu redha dengan setiap qada’ dan qadar dari-NYA.

Puan Zawiyah memandang sahabatnya yang sedang mengesat air mata. Dia juga sedih tetapi dia perlu mengawal perasaannya. Siapa yang tak sedih sekiranya impian yang amat dinantikan hancur musnah sekelip mata.

Baru beberapa hari ini berita kehamilan Zulaikha menggembirakannya, namun dia tidak menjangka langsung secepat ini kegembiraan tersebut diragut pergi.

“Sudahlah tu Barsyi...tak guna salahkan sesiapa. Dah tak ada rezeki bayi tu nak hidup. Kita kena redhakan setiap yang berlaku.” Puan Zawiyah cuba untuk memujuk sahabatnya yang masih menangis.

“Aku geram Wiya...kalau Fendi ikut aku hari tu, tentu benda ni tak berlaku. Kau tengoklah apa Fendi dah buat. Nasib baik Zu selamat.” Puan Barsyiah mengesat air matanya yang mengalir.

“Sudahlah tu...benda nak jadi, Barsyi. Banyakkan bersabar. Kalau Zu tengok kau macam ni, tentu dia lagi bertambah-tambah sedih.”

“Ya ALLAH, Wiya...apa kita nak beritahu Zu nanti Wiya? Zu pasti bertambah derita setelah mengetahuinya. Aku tak sanggup Wiya nak tengok air mata Zu. Lepas satu, satu ujian yang dia dapat.”

“Jangan macam ni, Barsyi. Aku percaya, semua ni ada hikmahnya. Kita berserah pada ALLAH, Barsyi. Tentang Zulaikha, aku tahu dia seorang yang tabah. Apa yang penting sekarang, kita kena bagitahu Fendi tentang hal ni.”

“Aku tak mahu call dia. Kau call lah kalau kau nak.” Puan Barsyiah berlalu meninggalkan Puan Zawiyah.

Dia masuk ke dalam bilik yang menempatkan Zulaikha. Puan Zawiyah mengeluh memandang sahabatnya yang hilang disebalik pintu. Pantas tangannya mengeluarkan handphone untuk menghubungi Affendi.

 

 

AFFENDI terjaga dari lenanya apabila diganggu dengan bunyi telefon yang tidak henti-henti menjerit minta diangkat. Affendi cuba bangun dan bersandar di kepala katil.

Tadi dia terlena juga akhirnya. Telefon bimbit di atas meja dicapainya lemah. Dia melihat nama ‘Mak teh Zawiyah’ terpampang di skrin telefonnya sebelum menekan butang hijau.

“Waalaikumussalam. Fendi...mak teh ni...” Puan Zawiyah bersuara setelah mendengar suara garau Affendi menyapanya memberi salam.

“Ye...mak teh...” Affendi terbatuk-batuk.

“Kamu tak sihat ke, Di?”

“Ya, mak teh...dah dua hari demam...”

“Fendi...mak teh call ni sebab nak bagitahu sesuatu...”

“Kenapa mak teh?”

“Di...Zu...”

“Kenapa dengan Zu mak teh?” Affendi kelam-kabut bertanya.

“Zu kat hospital, Di...bleeding. Kami di hospital sekarang ni. Di datanglah sini, nak...”

“Bleeding?! Macam mana keadaan Zu sekarang mak teh?” soal Affendi cemas. Dadanya bagai mahu pecah mendengar berita tersebut.

“Di, Zu...”

“Zu okey kan mak teh?” Kencang dadanya menambah renek peluh.

“Kandungannya tak dapat diselamatkan, Di...”

“Ya ALLAH!” Handphonenya terlepas dari genggaman. Affendi terkaku sebentar. Rasa sedih menuntun hati mendengar kehilangan kandungan tersebut.

Dia tergesa-gesa mengemas baju untuk ke Melaka. Badannya yang tidak sihat ditolak tepi. Dia mahu menemui Zulaikha. Dia bergegas menghidupkan enjin kereta dan memecut ke Melaka.

Affendi mahu cepat-cepat sampai ke Melaka supaya dia dapat menemui Zulaikha dengan segera. Hatinya diburu perasaan kesal dan rasa bersalah. Malah dia kecewa kerana kandungan isterinya itu tidak dapat diselamatkan.

Dia memang bersalah kerana telah mengabaikan Zulaikha yang sedang mengandungkan zuriatnya. Dan kini, dia telah kehilangan anugerah itu.

 

 

PUAN BARSYIAH mengusap kepala Zulaikha dengan penuh rasa kesal. Air matanya mengalir hangat melihat sekujur tubuh menantunya yang lemah tidak bermaya. Tidak sanggup dia membayangkan apa jua reaksi Zulaikha apabila bangun nanti.

Apa yang harus diberitahu? Apa yang harus dia khabarkan?

Disaat ini dia berasa amat marah dengan sikap anaknya yang sanggup memperlakukan Zulaikha sedemikian rupa.

Di manakah janji anaknya dahulu yang kononnya akan menjaga Zulaikha dengan baik?
Di manakah letaknya kewarasan akal anaknya itu sehinggakan sedikit pun tidak ada rasa simpati pada wanita yang sedang mengandungkan zuriatnya sendiri?

“Maafkan mama, sayang.” Ucap Puan Barsyiah sambil mengucup dahi menantunya penuh kasih sayang.

Ingatannya kembali teringat detik-detik cemas ketika dalam perjalanan menghantar Zulaikha ke hospital tadi.

“Mama...ssakitnya, ma. Ya ALLAH....”

“Sabar, Zu...Zu mesti kuat. Zu tak akan apa-apa.” Suaranya menggeletar memujuk Zulaikha bertenang.

Sedangkan hatinya sendiri berkecamuk hebat. Melihatkan bibir Zulaikha yang semakin membiru dan darah yang semakin banyak mengalir, menambahkan kekalutan yang sedia ada.

“Ma..ma...ampunkan Zu ya? Tto...tolong... Sssampaikan...maafff Zu pada...abang Fff..Fendi. Zu...bbbanyak dosa...pada abang.” ucap Zulaikha dengan nada suaranya tersekat-sekat.

Sungguh dirasakan saat kematiannya semakin hampir. Nyawanya bagai sudah sampai ke penghujung. Sakitnya serasa tidak mampu lagi ditanggungnya.

Andai sudah ajalnya sampai di sini saja, dan ditakdirkan jua dia tidak lagi berkesempatan bertemu suaminya, sekurang-kurangnya dia sudah meminta maaf. Walaupun maafnya itu hanya mampu disampaikan melalui mama mentuanya.

“Sayang, bertahanlah. Istighfar, nak. Mama tahu Zu kuat. Wiya cepat sikit!” Gesa Puan Barsyiah pada Puan Zawiyah yang sedang memandu.

“Barsyi...”

Puan Barsyiah menoleh pada sahabat yang sedang berdiri di sebelahnya. Berterabur segala ingatannya sebentar tadi.

“Maafkan aku, Wiya.”

“Sudahlah tu, Barsyi...aku tak pernah salahkan kau. Ingat tu! Dah ini ujian yang DIA nak beri pada Zulaikha, aku redha. Aku harap Zulaikha akan tabah menerima semua ni.” Puan Zawiyah menjawab perlahan.

Pandangannya dilayarkan kepada wajah anak saudaranya yang masih tidak sedarkan diri. Dia tidak dapat membayangkan apa reaksi anak saudaranya itu sebaik sahaja sedar nanti.

“Aku dah call Fendi. Dia dalam perjalanan ke sini. Dia tengah tak sihat, Barsyi. Demam.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience