Bab 40

Family Series 17159

ZULAIKHA dibenarkan keluar setelah doktor yang merawat mengesahkan keadaannya semakin baik. Puan Barsyiah masih tidak mempedulikan kehadiran Affendi. Dia masih kecewa dengan musibah yang menimpa Zulaikha.

Hatinya pedih setiap kali memandang wajah anaknya. Dia lebih senang menyibukkan diri mengurus keperluan Zulaikha di dalam bilik daripada menentang pandangan satuu-satunya anak yang dia ada.

Pulang dari masjid petang itu, Affendi melihat beberapa orang perempuan sebaya ibunya keluar dari bilik yang menempatkan Zulaikha. Wanita-wanita tersebut bersalaman dengan Puan Zawiyah sebelum pulang. Affendi mendengar mak teh mengucapkan terima kasih kerana datang melawat.

Tidak berapa lama kemudian, Affendi melihat ibunya pula keluar dari bilik dan menutup pintu bilik tersebut perlahan-lahan. Affendi mengatur langkah mengekori ibunya sambil memanggil ibunya.

Dia mahu memujuk. Dia tahu Puan Barsyiah amat marah  dan sengaja mengelakkan diri. Dia amat terasa namun, dia tahu memang dia yang mencari nahas.

Mendengarkan sahaja panggilan anaknya itu, Puan Barsyiah semakin melajukan langkah kakinya ke dapur. Kecewanya bukan sikit-sikit. Dia mahu mengajar anaknya. Biar Affendi rasa betapa sakitnya hati apabila tidak diendahkan orang.

“Mama...sorry, ma...” Affendi berdiri betul-betul di hadapan Puan Barsyiah yang langsung tidak memandangnya.

Puan Barsyiah meletakkan termos yang dipegangnya di atas kabinet dapur.

“Mama...Fendi minta maaf...dengarlah apa Di nak cakap...Di bukan tak mahu ikut mama balik hari tu...tapi...”

“Dahlah Fendi...mama dah tak nak dengar apa-apa pun dari kamu...” Puan Barsyiah memintas kata-kata Affendi sebelum anaknya itu sempat menghabiskan ayat.

“Mama...please...listen to me, ma. Di bukan sengaja tak nak ikut tapi memang...”

“Sudah! Mama tak nak dengar apa-apa dari Di lagi. Bukan mama tak tahu, Di memang sengaja buat macam tu kan? Sekarang senanglah hati Di...Zu dah keguguran. Di bolehlah terus ceraikan dia, kan?” Puan Barsyiah membalas sinis sambil menjeling Affendi. Tangannya pantas menadah air di sinki untuk dijerang.

“Mama...Di tak pernah terniat langsung nak buat macam tu...” Affendi menafikan.

“Tapi ada terlintas kan? Dah lah Di...terseksa Zulaikha tu kamu buat. You can see her condition by your own...how’s suffer is she...she lost her baby. Tak ada ke sedikit pun rasa kasihan dihati Di pada Zu? Mama tak tahulah macam mana Di boleh tergamak layan Zu macam tu?” Puan Barsyiah semakin sakit hati.

Affendi tertunduk mendengarnya. Her baby is mine, mama.

“Mama tak pernah didik kamu macam ni Fendi. Di betul-betul kecewakan mama. Mama tak sangka sampai macam ni sekali kerasnya hati Di. Zu tengah bawak anak Di tahu tak? Zuriat Di! Kamu nak seksa Zu tu macam mana lagi Fendi?” Puan Barsyiah terus-terusan melampiaskan amarah.

“Mama...sampai hati mama tuduh Di. Kenapa mama tak nak dengar penjelasan Di dulu? Lepas tu mama tuduh Di yang bukan-bukan pulak. Di sayangkan Zu, Di tak akan ceraikan dia.” Affendi semakin tidak betah mendengar tuduhan mamanya.

“Oo...pandai pulak Di marah bila mama tak mahu dengar apa Di cakap? Tapi Di pernah fikir tak apa yang Zu rasa bila Di tak nak dengar penjelasan dia? Di tuduh dia macam-macam lagi ada!” Puan Barsyiah menuang air yang ditadahnya ke dalam cerek elektrik dan menekan suis.

Affendi terpana mendengar kata-kata pedas dari mulut ibunya.

“Tu, dia terlantar macam tu kat dalam bilik tu, sebab apa? Sebab dapat suami macam Di! Tak ada hati perut betul pada isteri sendiri. Sayang konon! Sayang apa kalau macam tu? Mana perginya rasa sayang yang menggunung kononnya tu? Mana perginya suami dia ketika dia hampir putus nyawa?

Disaat dia hampir putus nyawa tu pun, Zu masih teringatkan Di, masih nak minta maaf pada Di. Di tahu tak? Terus-terang, mama memang kecewa dengan kamu, Di. Kecewa sangat! Mama tak boleh terima apa yang Di dah buat pada Zu.

Dahlah, Fendi...mama dah letih nak cakap apa-apa lagi. Mama cakap ke, mama nasihat ke, bukan Di nak dengar kan? Kalau cakap lebih-lebih pun, semua dah terlambat. Zu dah keguguran pun. Terpulanglah apa yang Di nak buat lepas ni. Mama malas nak ambil tahu.

Cuma mama nak Di tahu yang mama memang tak pernah rasa kesal langsung mengahwinkan Di dengan Zu dulu. Mama tak pernah anggap dia menantu mama. Mama sayang Zu macam mama sayang kamu, macam anak sendiri. Dan dia tak ada kurangnya dari perempuan lain.” seusai berkata-kata, Puan Barsyiah berlalu ke anjung rumah meninggalkan Affendi yang masih termangu di dapur.

Kata-kata mama tajam menembusi hati. Memang tiada yang salahnya dengan bicara mama tadi. Dia telah menghukum Zulaikha tanpa memberi peluang kepada isterinya untuk memberikan penjelasan.

Malah apa yang lebih kejam, dia telah mengeluarkan kata-kata yang kesat kepada Zulaikha. Dia menghina isteri sendiri. Affendi pegang kepala!

 

 

SEDANG leka melayan perasaan, Affendi terkejut apabila bahu kanannya ditepuk oleh seseorang. Hanya senyuman hambar diberikan pada Puan Zawiyah yang tersenyum manis memandangnya. Wanita itu turut melabuhkan punggung untuk duduk sama menyertainya.

“Emm...boleh mak teh tahu apa masalahnya ni...” Puan Zawiyah cuba berbicara dengan anak muda itu.

Perasan riak muka Affendi yang keruh sepanjang berada di rumahnya. Wajah anak muda itu dipandang sekilas.

“Err...tak ada apa-apa lah mak teh...” Affendi menjawab lemah cuba berdalih.

“Mak teh faham apa yang Di rasa...sabarlah, tak ke mana marahnya mama kamu tu, Fendi. Benda baru jadi, tengah ‘panas’ lagi kan. Lama-lama nanti okeylah mama Di tu.” pujuk Puan Zawiyah.

“Di tak pernah tengok mama marah macam tu. Di memang dah kecewakan mama, kecewakan mak teh..dan kecewakan Zu kan?”

“Sudahlah tu.. Di dah tengok Zu?” Puan Zawiyah bertanya lagi.

“Sudah mak teh...tapi Zu tengah tidur tadi...Di...tak mahu ganggu dia berehat...”

“Emm...keadaannya masih lemah. Dia pun masih terkejut, masih sedih. Eloklah Zu tidur, tak adalah dia fikir yang bukan-bukan. Di dah isyak?”

Pertanyaan mak tehnya itu hanya dijawab dengan anggukan kecil.

“Err...mak teh...macam mana...err...Zu boleh...err...gugur?” Affendi bertanya teragak-agak setelah lama keadaan menyepi antara mereka. Pandangan dipusatkan kepada wanita disebelahnya.

“Emm...suddenly happened, Di. Mak teh pun tak sangka kandungan tu tak sempat diselamatkan. Pagi tu Zu nampak biasa-biasa je, sihat. Dia pun tak ada buat kerja sangat. Memang sepanjang Zu kat sini, Zu banyak berkurung dalam bilik. Cuma sejak pagi tu mak teh perasan yang dia dah gosok-gosok pinggang, macam tak selesa.

Sebelum mak teh keluar duduk kat pangkin tu, mak teh tanya kenapa, Zu cakap rasa lenguh kat pinggang sejak malam tu. Zu cakap mungkin sebab dia tak cukup tidur. Mak teh suruh dia masuk bilik berehat. Tak berapa lama tu Zu turun darah, makin lama makin banyak.

Tapi doktor cakap badan Zu lemah sangat. Zu kurang sangat makan. Morning sickness pulak teruk. Apa yang Zu makan, semua termuntah semula. Tu yang berat badan dia turun mendadak. Tambah lagi emosi dia terganggu akhir-akhir ni, beri kesan pada janin dalam kandungan. Rahimnya tiba-tiba mengecut.. Tu yang Zu terus turun darah.”

Affendi semakin dikepung rasa bersalah apabila mendengarnya.

“It’s all my fault kan mak teh? Kalau Di datang awal-awal hari tu pujuk Zu, mesti Zu tak keguguran. Mesti anak kami masih hidup.”

Affendi menopang dahi dengan kedua-dua tangan. Dia yang menyebabkan Zulaikha menanggung keadaan ini. Dia tahu Zulaikha sangat bersedih dengan kehilangan kandungan tersebut.

Sehingga kini, masih terdengar-dengar tangisan Zulaikha pada ibunya ketika di hospital tempoh hari.

“Sabarlah, Di...jangan salahkan diri. Bukan rezeki Di kali ni. Redhakanlah apa yang dah berlaku. Mungkin ada hikmahnya kenapa ALLAH bagi Di ujian ni. ALLAH akan gantikan yang lebih baik untuk Di dan Zu satu hari nanti.” Pujuk Puan Zawiyah halus. Jatuh kasihan dia melihatnya

Dia tidak  mahu Affendi berkecil hati dan berterusan menyalahkan diri sendiri. Siapa yang tak pernah lepas dari melakukan kesilapan? Manusia hanya merancang dan ALLAH yang menentukan segalanya.

Jika itu sudah aturan dan takdir ALLAH, siapa kita untuk mempersoalkannya?

“Di zalim pada Zu mak teh...Di buat Zu merana...sampai kami kehilangan anak kami. Kandungan tu dah nak masuk empat bulan mak teh, dah ditiupkan roh...tentu Zu kecewa sangat dengan Di...” ucap Affendi kesal.

Tidak dapat membuang rasa bersalah didalam diri. Dia yang menyebabkan Zulaikha merana.

“Di, Zu sayangkan Di...sangat. Tu mak teh tahu...Di ambillah peluang ni untuk cuba pujuk Zu. Hati Zu lembut, Di...mak teh nak Di bersabar dengan dia. Dia rasa rendah diri dengan apa yang menimpa dia sebelum berkahwin dengan kamu.” Puan Zawiyah menasihati Affendi perlahan.

“Mak teh faham, Di tak boleh terima kisah silam Zu. Mak teh juga faham sebagai seorang lelaki, tentu saja Di mahukan isteri yang mempunyai sejarah yang baik. Mak teh tak nafikan semua tu. Entahlah, mungkin masalah ni tak timbul kalau mak teh dan mama Di....” Puan Zawiyah menghembus nafas berat.

Terasa payah hendak menyambung kata. Wajah Affendi ditatapnya sekilas.

Affendi tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh mak tehnya. Kerana mak teh dan mama? Apa maksud mak teh?

“Kenapa mak teh? Apa yang mama dan mak teh dah buat? Di tak faham...” pantas Affendi bertanya dengan dahi yang berkerut ingin tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience