Prolog (Bab 1)

Family Series 17160

"YA ALLAH, Barsyi... Kau sungguh-sungguh ke ni? Kau tak main-main? Aku salah dengar ke?” tanya Puan Zawiyah dengan suara yang amat terperanjat. Sememangnya apa yang disampaikan oleh sahabatnya itu adalah sesuatu yang amat memeranjatkannya. Dia tidak pernah terfikir akan perkara yang diutarakan sahabatnya sebentar tadi. Memang berjaya membuatkannya terkelu.

“Wiya...aku tak main-main. Tak kanlah aku nak main-main pasal ni. Aku serius ni. Aku nak pinang Zulaikha untuk Affendi, anak aku tu...” beritahu Puan Barsyiah dengan bersungguh-sungguh. Wajahnya dipamer serius. Tanda dia amat bersungguh tentang perkara tersebut.

“Yang kau menangis ni apa hal pulak...” Puan Barsyiah sudah mengusap bahu sahabatnya yang mula berendam air mata.

Puan Zawiyah ketawa jua dalam tangisnya. Dia mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kurung kedahnya. Terasa petang Sabtu itu adalah hari yang amat membahagiakannya. Tidak menyangka kunjungan sahabatnya itu membawa berita yang amat membahagiakannya.

“Aku gembira sangat, Barsyi...” mengalir air matanya ketika menuturkannya.

Puan Barsyiah tersenyum mendengarkan ayat yang keluar dari bibir sahabat baiknya itu. Bahu sahabatnya itu diusap lagi. Wajah temannya itu direnung tepat. Walaupun umur sudah menjangkau lebih 50 tahun, tapi padanya temannya itu masih kelihatan muda.

“Tapi Barsyi...kau tahu kan pasal kisah silam Zu. Fendi tak kisah ke dengan apa yang menimpa Zu sebelum ni?” soal Puan Zawiyah dengan dahi yang berkerut. Tanda memikirkan sesuatu.

“Fendi tak perlu tahu pasal tu, Wiya.”

Puan Zawiyah terkejut dengan ucapan sahabatnya. Wajah temannya itu direnung dalam tanda tidak bersetuju.

“Aku tak setuju, Barsyi. Tak adil untuk Affendi. Dia perlu tahu segalanya tentang Zu. Aku bukan apa, aku tak nak benda ni menjadi masalah pada mereka masa akan datang.” Puan Zawiyah menyuarakan pendapatnya. Ada nada risau dalam bicaranya.

“Aku tak kisah apa yang berlaku dalam hidup Zulaikha pada masa silamnya. Aku tahu Zu perempuan yang baik-baik. Lets bygones be bygones. Aku tahu Zu mampu membahagiakan Affendi. Dia yang terbaik untuk jadi menantu aku.”

“Tapi itu kata kau. Ni soal masa depan mereka berdua, Barsyi. Aku tak nak Affendi rasa tertipu nanti. Aku takut nak ambil risiko tu.”

“Kau jangan risau... Everything will be okay. Tapi, yang aku risau, nak ke si Zu tu? Kan dah banyak kali dia tolak semua yang hendakkan dia. Dulu budak kampung ni pinang dia pun kena tolak kan? Ni tak mustahil dia refuse jugak.” Puan Barsyiah menyuarakan kebimbangannya.

Puan Zawiyah terdiam sejenak memikirkan kebenaran akan kata-kata sahabatnya itu. Dia hampir terlupa akan masalah yang satu itu setelah mendengar hasrat murni Puan Barsyiah. Memang benar, dia amat gembira dengan perkhabaran itu, tetapi masalahnya adakah Zulaikha akan menerimanya?

“Kau cubalah pujuk Zu. Umur dia pun dah sedang elok sangat nak fikirkan hidup berkeluarga. Aku berkenan sangat dengan Zu tu, Wiya. Aku dah anggap dia macam anak aku sendiri. Aku tahu yang Fendi pun dah suka dengan Zu tu. Cuma dia je tak nak cakap dengan aku.” Beritahu Puan Barsyiah gembira.

“Iye ke, Barsyi? Mana kau tahu? Entah-entah kau je yang sangka macam tu sedangkan Fendi biasa-biasa je.” Sanggah Puan Zawiyah tidak berpuas hati.

“Ermm...kau jangan risaulah Wiya. Aku kenal sangat dengan anak aku tu. Aku tahu, dia memang ada hati dengan Zulaikha, cuma dia je yang segan nak bagitahu aku.” Ucap Puan Barsyiah yakin.

Memang dia menyedari Affendi menyimpan perasaan pada Zulaikha. Dia juga menanti saatnya Affendi memberitahu sendiri kepadanya. Tetapi, sehingga kini anaknya itu tidak pernah jumpa ‘cara’ untuk memberitahunya. Dia, sebagai ibu kepada anak yang dilahirkannya, bertindak dengan caranya sendiri. Dia yakin, Affendi tidak akan membantah. Kan anaknya itu memang sudah jatuh cinta pada Zulaikha?

“Kalau dah tu kata kau, aku lega. Lagipun, aku dah kenal Fendi dari kecil sampailah dah besar panjang ni. Aku yakin dengan dia. Aku tahu dia boleh jaga Zu dengan baik. Aku akan cuba pujuk Zulaikha. Harap-harapnya dia tak kan menolak lagi. Sampai bila dia nak macam tu. Aku sendiri pun naik risau.”

“Kau pujuklah Zu baik-baik. Aku tahu, jauh di sudut hatinya pasti dia ada rasa hendak bersuami, hendak berumah tangga. Tapi dia fobia, dia takut, dia rasa rendah diri dengan apa yang telah dia lalui pada masa lampau dia. Tapi, yelah...sampai bila pula Zu mampu nak tolak semua lelaki yang masuk meminang dia kan?”

Puan Zawiyah mengangguk bersetuju dengan hujah sahabat akrabnya. Dalam fikirannya sudah tercerna hujah-hujah bernas yang akan diperkatakan kepada Zulaikha supaya anak saudaranya itu tidak akan punya alasan lagi untuk mengelak dan menolak. Ya, dia sudah bersedia dengan jawapan bagi semua persoalan yang bakal dibangkitkan oleh Zulaikha nanti.

Satu senyuman kecil terukir nipis dipinggir bibinya secara tidak disedari. Dia sudah ada cara membuatkan Zulaikha akur kali ini!

“Oit! Apa hal pulak tersenyum sorang-sorang ni. Nak senyum ajak aku sekalilah.”

Puan Zawiyah menggosok pehanya yang perit ditepuk kawannya. Dia lupa seketika didepannya wujud teman yang masih menagih jawapan darinya.

“Kau ni! Aku nak senyum pun tak boleh ke?’

“Bukan tak boleh tapi...tak ke pelik kalau orang tengok kau tersengih, tersenyum sorang-sorang?

“Alah...bukan ada orang pun yang tengok aku tersenyum sekarang, kau je.”

“Amboi! Dah tu, aku ni bukan orang ke?”

“Hehe...kau ni sensitif pulak.”

Akhirnya mereka berdua tertawa sendiri.

“Eh, Wiya! Zu tu nak ke mana tadi Wiya?” soal Puan Barsyiah setelah ketawa mereka kembali reda. Teringat dia kepada Zulaikha yang sudah bersiap sedia hendak keluar ketika dia sampai tadi.

“Dia keluar dengan kawan dia, budak Khalifah tu. Pergi tamanlah agaknya tu.”

“Fendi tahu kau ke sini, Barsyi?” wajah bersih Puan Barsyiah ditatap lagi.

“Tak, dia outstation dua hari. Aku merayaplah ke sini, bosanlah aku. Datang sini, ada juga faedahnya kan? Dapat jumpa kau, jumpa Zu...”

“Eleh, betul ke kau datang sini nak jumpa aku. Entah-entah nak menengok Zu je.” Tebak Puan Zawiyah.

Puan barsyiah tersengih sendiri. Tujuan asalnya datang ke Melaka sememangnya kerana Zulaikha. Secara tidak langsung menyampaikan hasrat hati.

“Samalah tu! Aku tak sabar, Wiya. Nak tengok Fendi dan Zu menikah.”

“Insya-ALLAH, Barsyi...jika diizin ALLAH. Kita sama-samalah berdoa.”

RIUH suara kanak-kanak berlari, bermain dan berkejaran di taman rekreasi petang itu. Ceria raut wajah kanak-kanak yang sedang bermain, menarik rasa gembira di hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Alangkah indahnya menjadi anak-anak kecil yang tidak perlu memikirkan apa-apa tanggungjawab.

Lembut tiupan angin berpuput menyapa wajah, membawa udara petang yang amat menyenangkan fikiran. Matanya dipusatkan lagi ke tawa riang kanak-kanak yang leka bermain ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Dunia kanak-kanak, memang penuh dengan keriangan, keceriaan dan kegembiraan.

“Wei, Zu! Ko dengar tak apa aku tanya tadi ni?”

Zulaikha  tersentak dengan sergahan dari temannya. Wajahnya dipaling ke arah Khalifah yang sudah pun cemberut kerana kelekaannya. Kanak-kanak kecil memang boleh membuatkannya ralit.

Akhirnya dia hanya menayang sengihan. Sungguh, dia memang tidak mendengar langsung apa yang ditanyakan oleh Khalifah sebentar tadi.

“Kau ni kan, memang tau. Kalau ada budak kecil depan mata, leka! Penatlah mulut aku ni dok bertanya.”

“Alah, sensitifnya pulak kau ni Ifah. Apa yang kau tanya tadi? Aku nak jawablah ni. Hah, apa dia?”

“Kau tu memang, aku dah membebel macam ni baru kau kalut nak tanya balik. Aku tanya, AuntyBarsyi datang sini kenapa?”

Khalifah memang sudah mengenali kawan baik kepada mak cik Zulaikha itu. Lantaran hubungan rapatnya dengan Zulaikha dan Puan Zawiyah, secara tak langsung dia mengenali kebanyakkan kenalan keluarga Zulaikha.

“Lah...kau ni. Macam tak biasa pulak tengok Aunty Barsyi tu datang sini. Biasalah, mestilah dia datang sini jumpa mak teh aku. Aunty Barsyi tu kan memang selalu datang sini. Bukan kau tak tahu, dia kan kawan baik mak teh.”

“Ya ke dia datang saja-saja je. Silap-silap, dia datang sebab nak pinang kau. Bestnya, bolehlah aku makan nasi minyak nanti. Sedapnya!” Ucap Khalifah seronok.

Pantas juga tangan Zulaikha menepuk peha Khalifah yang sedang membayangkan hidangan nasi minyak di depan mata.

“Jangan nak mengarut yang bukan-bukan petang-petang macam ni boleh tak? Entah apalah yang kau mimpi malam tadi ni agaknya.” Sanggah Zulaikha sedikit geram.

“Alah, aku cakap je. Dah selalu sangat pula Aunty Barsyi ke sini kan. Selalunya tu, anak dia pun mesti ada sekali. Untung jugak Zu, tak payah susah-susah diri nak cari calon lagi tau. Kalau aku, aku terima je. Ya lah, siapa tak nak dengan lelaki macam Affendi tu tau. Full package!” petah mulut Khalifah lancang mengeluarkan hujah.

“Hish, cik Ifah! Kau ni kalau bab mengarut, bagilah kat kau kan. Buta ke apa mata Affendi tu nak pandang perempuan kampung macam kita ni. Dia tu kan pernah study luar negara dulu. Jangan nak merepeklah. Tak kan adanya dia nak berkenan dengan perempuan kampung.” sanggah Zulaikha lagi.

Dia tersenyum dengan ocehan Khalifah yang dirasakan tidak masuk dek akal. Khalifah kalau bab ‘mengkenenkan’ orang, bagi sajalah dekat dia. Tapi diri sendiri pun belum berpunya. Heboh jodoh orang, sedangkan mereka berdua tu sebaya je. Zulaikha menggeleng kepala beberapa kali. Geli hatinya dengan sikap teman yang kadang-kadang sangat lucu dirasakan.

“Apa yang kau geleng-geleng ni Zu. Tak ada benda yang mustahilnya pun Zu. Kalau ALLAH nak kata jadi, memang jadilah dia Zu. Jodoh pertemuan ni kan di tangan ALLAH. Kalaupun Affendi tak berkenan kat kau seperti dakwaan kau tu, tapi aku jamin yang Aunty Barsyiah tu mesti dah tersangkut dengan kau tau? Masin mulut aku ni.”

“Ifah, yang kau beria-ia benar ni kenapa? Petang yang aman damai ni pulak kau sebut pasal nikah kahwin. Pening kepalalah.” dalih Zulaikha pula.

Tak pernah-pernah isu kahwin dibangkitkan dengan serius seperti ini. Tetapi kini, Khalifah bersungguh benar mengutarakan topik itu. Siapa yang tidak mahu berkahwin? Tetapi akan ada lelakikah yang boleh menerima dirinya seadanya dengan seikhlas dan setulus hati? Lebih-lebih lagi dengan sejarah silamnya yang amat pahit untuk diingati.

“Tak salah kan? Tak pernah cakaplah nak kena cakap sekarang. Umur kita ni bukan makin lama makin ke belakang.” Hujah Khalifah lagi.

Satu hal ini menyebabkan dia tidak faham dengan temannya itu. Sedari dulu dia perasan Zulaikha sering mengelak apabila tiba pada topik jodoh. Acap kali benar. Kawannya itu dilihat seperti tidak kisah langsung dengan umurnya yang semakin meningkat tetapi masih tidak mahu memikirkan soal rumah tangga.

Bukan dia tak tahu Zulaikha pernah dirisik oleh anak jiran di kampung mereka. Yang membuatkan dia tidak faham, kenapa Zulaikha menolak pinangan itu sedangkan bukan mereka tidak tahu malah satu kampung pun tahu pemuda tersebut memang baik budi pekerti dan juga mempunyai peribadi yang disenangi ramai. Tetapi Zulaikha tetap menolaknya.

AFFENDI leka merenung siling dalam bilik hotel itu. Entah apa yang menariknya pada siling putih itu seolah-olah terukir sebuah lukisan yang cantik sehingga tidak jemu mata memandang. Pandangannya jauh sekali sehinggakan sudah terlalu lama dia merenung siling putih tersebut tanpa jemu.

Affendi tersenyum pula. Memang tiada lukisan yang terukir di siling bilik itu, tetapi ia telah terukir wajah manis Zulaikha, anak saudara mak teh Zawiyah. Kawan karib mamanya sendiri. Entah apa yang berlaku pada dirinya akhir-akhir ini. Bayang Zulaikha seakan-akan mengekorinya ke mana-mana.

Affendi pusing ke kiri sambil memeluk bantal hotel yang sangat gebu. Hai, hati...apa yang dah jadi kat kau ni? Apa hal pulak asyik teringat kat dia? Affendi menghela nafas berat. Seakan ada beban yang terkumpul dibenak dadanya. Amat menyesak hati dan perasaannya.

Ain Zulaikha...

Bibir Affendi mengukir segaris senyuman. Pertemuannya dengan Zulaikha ketika bertandang ke Melaka menemani mamanya bertemu mak teh Zawiyah, menggamit rasa aneh dihatinya. Sudah lama dia tidak ke Melaka dan bertemu Puan Zawiyah.

Bukan dia tidak pernah bertemu Zulaikha sebelum ini tapi sudah lama tidak bertemu pandang dan berbual panjang seperti beberapa bulan lepas. Tidak sia-sia dia mengikut Puan Barsyiah ke Melaka. Itu pun setelah puas didesak oleh mamanya!

Ain Zulaikha...macam manalah aku tak terpikat. Cara dia yang malu-malu tu buat aku rasa semacam je. Lagi pun, masakan dia...boleh tahan jugak. Kalaulah dia boleh jaga makan pakai aku. Hai...betullah kata orang, nak tambat hati lelaki diperutnya. Lebih-lebih lagi jenis yang suka makan macam aku ni.

Aduhai...aku dah jatuh cinta ke ni? Ini ke simptom penyakit cinta? Perkara pertama yang dia akan ingat dahulu selepas dia bangun tidur adalah Zulaikha. Alahai...kenapa aku jadi macam ni? Tak boleh jadi ni. Kena bagi tahu mama, pinangkan terus Zulaikha untuk aku. Tapi, boleh ke macam tu?

Argghhh...apa aku nak buat ni. Macam tak kena je nak cakap dengan mama, aku nak kahwin. Sebelum ni aku mana pernah cerita bab-bab macam ni dekat mama. Mana aku nak letak muka? Adusss....malulah nak bagitahu mama. Tapi, kalau nak mengurat Zulaikha, lagilah macam tak betul je. Dan aku juga tak pernah mengurat anak dara orang sebelum ni. Aku tak reti!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience