Bab 59

Family Series 17159

SELEPAS waktu kerja petang jumaat itu, Affendi dan Zulaikha balik ke banglo Puan Barsyiah seperti yang diminta. Bau enak dari dapur memaksa kaki Affendi menuju ke ruang sana. Zulaikha yang sedari tadi dikepitnya terheret sama.

Puan Barsyiah hanya menggeleng mengekori dari belakang. Dalam hati terasa senang melihat kasih sayang anak menantunya.

“Mama masak apa, bau sedap je ni. Lapar perut Di.”

“Mak teh?! Bila mak teh datang sini? Tak bagi tahu Zu pun.” Zulaikha segera mendapatkan ibu saudaranya yang leka mengacau masakannya.

Tubuh ibu saudaranya itu dipeluk erat dari belakang melepaskan rindu. Sudah lama dia tidak bersua dengan mak tehnya. Hanya telefon yang menghubungkan mereka.

“Rindunya kat mak teh...”

“Mak teh pun rindu anak mak teh ni. Sebab tulah mak teh datang sini. Saja nak bagi kejutan pada Zu.” Dahi Zulaikha diciumnya sekali setelah Zulaikha menyalaminya.

Affendi juga bersalaman dengan Puan Zawiyah.

“Bau sedap ni, mak teh masak apa?” Affendi menjengah periuk yang bertenggek di atas dapur.

“Wah, pengat! Dah lama Di tak makan bubur pengat. Sedapnya!” Affendi teruja. Lebih-lebih lagi melihat hirisan pisang dan nangka. Sangat menyelerakan!

“Ish, kalah budak-budak tau. Malulah dengan mak teh.” Tegur Puan Barsyiah.

Puan Zawiyah dan Zulaikha ketawa sahaja melihatkan Affendi yang memuncung apabila ditegur ibunya.

“Biarlah, Barsyi. Dah teringin sangatlah tu. Hidang pengat ni Zu, kita makan sama-sama. Sedap makan panas-panas ni.”

Petang itu riuh rendah suara mereka berempat di meja makan. Sudah lama tidak ketemu, macam-macamlah cerita yang keluar. Tidak habis di situ, mereka sambung lagi berborak setelah selesai mengerjakan solat maghrib secara berjemaah.

 

 

“MACAM mana hal hari tu, dah selesai?” soal Puan Zawiyah bila tersempak dengan Affendi yang baru hendak berlalu dari dapur lewat malam itu. Rendah saja suaranya bertanya, bimbang didengari orang lain.

“Dah mak teh. Dah selesai dah.” Jawab Affendi lega.

“Hah, apa yang selesai?” Zulaikha bertanya terpinga-pinga.

Berderau darah Puan Zawiyah dan Affendi apabila Zulaikha memandang menagih jawapan dari mereka. Entah dari manalah Zulaikha datang, tiba-tiba sahaja dah terpacul di ruang dapur tersebut.

“Er...tak ada apalah. Mak teh masuk tidur dulu.” Puan Zawiyah segera berlalu meninggalkan ruang dapur. Lama-lama dia di situ, bimbang mulut akan terlepas cakap.

Zulaikha hanya memandang mak tehnya yang semakin hilang dari pandangan.

“Betul ke tak ada apa, bang?” soalnya tidak berpuas hati.

Affendi menjungkit bahu. Ini membuatkan Zulaikha bertambah ragu. Seolah-olah ada perkara yang cuba disembunyikan oleh suami dan mak tehnya. Dia terus merenung Affendi tanda tidak percaya.

“Lah...tenung abang macam tu pulak. Eh, Zu ke dapur nak apa ni?” soal Affendi cuba menyedapkan hati Zulaikha dari berasa yang bukan-bukan.

“Nak minum air.”

Zulaikha mencapai mug dan menuang air ke dalamnya. Kemudian diteguk perlahan bagi membasahkan tekak. Lega rasanya.

“Dah? Jomlah naik, tidur...” ajak Affendi sambil menghulurkan tangan.

Zulaikha akur. Huluran tangan Affendi disambut jua. Mereka beriringan naik ke tingkat atas menuju ke kamar peraduan mereka.

“Betul tak ada apa-apa?” Zulaikha bertanya lagi sebaik sahaja suaminya menutup pintu bilik dan menguncinya.

“Tak ada apa-apa, apanya?” soal Affendi kembali. Lah...dia nak tanya jugak ke? Hatinya berdetik.

“Kenapa Zu rasa abang macam tak jujur je?” soal Zulaikha serius.

“Zu tak percaya abang ke?” tanya Affendi pula.

Wajah isterinya yang serius dipandang sekilas. Dia bersandar di kepala katil kemudian terus memerhatikan Zulaikha yang sibuk menarik selimut.

“Bukan tak percaya... Tapi, abang dengan mak teh tadi macam mengelak je.”

“Sumpah abang tak ada affair dengan mak teh.”

Zulaikha lantas ketawa. Ada ke situ pula yang suaminya fikir? Cepat juga peha suaminya ditepuk kuat.

“Abang ni...ke situ pulak fikirnya!” Zulaikha terus-terusan ketawa.

Lebih-lebih lagi bila melihat suaminya yang menayang wajah ‘blur’.

“Suka ketawakan abang.”

“Dah kelakar, Zu ketawalah.” Balas Zulaikha dengan tawa yang masih bersisa.

“Nakal.” Hidung Zulaikha ditariknya sekali. Dia turut mengukir senyuman.

“Serius, Zu nak tahu jugak apa yang dah selesai tadi.”

“Lah, abang ingat dah lupa. Dah tak ingat nak tanya.”

“Selagi abang tak cakap, mana boleh Zu lupa? Cakaplah, bang. Kalau abang tak nak cakap, abang tidur sorang-sorang. Zu mogok, tidur kat sofa.” Ugut Zulaikha.

“Eh, ada pulak. Berani buatlah.” Cabar Affendi.

Zulaikha telan liur. Ingat tadi nak acah-acah je. Wajah serius Affendi dipandang sekilas. Tak apa, setakat tidur kat sofa, tak ada hal lah. Dia bangkit dan mencapai bantal.

Namun, belum sempat menarik bantal, tangannya dipegang kejap oleh Affendi. Affendi memberi isyarat supaya dia kembali duduk. Dia menurut dengan hati yang mula berbunga. Tahu dia seriau...hehe...

“Janganlah macam ni. Abang bergurau je tadi...”

“Hehe...Zu pun acah abang je...”

“Nakal eh... Apa yang Zu nak tahu sangat ni, sayang? Hal kecil je lah. Tak ada apa yang abang nak sorok dari Zu pun. Selama ni, ada ke abang sembunyikan apa-apa dari Zu? Tak ada kan? Tak pernah. Baiklah, abang terus-terang supaya Zu tak sangsi.”

Affendi membetulkan duduk supaya lebih selesa. Wajah kesayangannya itu ditatap lembut.

“Sebenarnya, abang mengadu dengan mak teh pasal kita hari tu. Abang minta maaf, abang tahu tak sepatutnya hal rumah tangga kita dibicarakan pada orang lain tapi abang buntu sangat. Abang dah tahu nak buat apa masa tu. Berapa hari kita tak bercakap, makin lama jurang kita makin besar. Abang susah hati, Zu...

Apa yang terjadi pada kita sebelum ni, banyak bagi pengajaran pada abang. Abang tak nak rumah tangga kita jadi macam dulu. Cukuplah sekali abang buat kesilapan yang paling bodoh tu. Abang tak nak mengulanginya lagi. Abang serik! Sebab tu abang minta nasihat mak teh.” Terang Affendi tanpa berselindung.

“Abang... Zu minta maaf...” tangan Affendi dicapai dan dicium lama.

Terasa diri amat bersalah. Dia yang memulakannya. Dia tidak menyangka sama sekali, tindakkannya telah membuatkan Affendi tertekan dan begitu susah hati.

“Sudahlah tu, sayang. Janganlah menangis.” Pujuk Affendi lembut apabila belakang tangannya terasa basah.

“Zu...janji tak kan susahkan hati abang lagi tapi Zu buat juga. Zu minta maaf. Zu...sayang abang.”

“Abang pun sayang Zu. Seribu kali sayang Zu.” Zulaikha dibawanya rapat dalam dakapannya. Kepala Zulaikha diciumnya beberapa kali. Menterjemahkan rasa kasih yang tak berbelah bahagi buat si isteri.

“Lepas ni, jangan ada rahsia antara kita. Abang lebih suka Zu berterus-terang apa yang Zu rasa, apa yang Zu fikir, dan kongsi dengan abang segala apa masalah Zu. Baru abang rasa diri abang penting dalam hidup Zu. Kalau tak, abang tak tahu apa yang Zu fikir, apa yang Zu pendam.

Sampai satu tahap abang rasa macam abang tak berguna sebagai suami. Nama saja suami tapi tak tahu apa yang isterinya fikir, tak tahu apa yang isterinya rasa. Sebab tu abang nak Zu bagi tahu apa saja masalah atau cerita Zu. Memang betul, kita suami isteri dan abang perlu peka apa yang Zu rasa.

Tapi...abang lelaki, Zu perempuan. Cara abang fikir mungkin tak sama dengan cara Zu berfikir. Abang perlukan respon dari Zu supaya abang boleh memahami dan berfikir seiring apa yang Zu fikir. Itu namanya perkongsian, sayang. Kita bukan sahaja memiliki diri antara satu sama lain tetapi juga memiliki jiwa pasangan masing-masing.” Panjang lebar ulasan Affendi.

Biarlah malam ini jadi harinya di mana dia meluahkan apa yang berada dibenak fikirannya sekian lama. Mereka sudah berkahwin lebih setahun. Sepatutnya mereka sudah serasi bersama, seiring sejalan, satu pemikiran.

“Abang, Zu bersalah pada abang. Zu minta maaf. Zu khilaf. Dalam pada Zu asyik memikirkan kebaikan abang, perasaan mama, tapi Zu tetap terlepas menilai dari satu sudut yang lain. Betul abang cakap, cara kita berfikir lain. Walaupun kita dah jadi suami isteri, tapi Zu masih belum memahami abang. Zu...”

“Tak apalah sayang. Jangan salahkan diri. Abang sendiri pun belum memahami Zu sepenuhnya. Peluang yang ada ni, kita gunakan sebaiknya. Bina rumah tangga kita sebahagia rumah tangga Rasulullah. Kita bina jalan kita ke Syurga dengan rumah tangga kita. Apa pun cabaran, rintangan dan dugaan kita akan datang kita akan hadapi bersama.”

“Kali ni, Zu tak kan lepaskan lagi tangan abang. Sampai akhir hayat Zu. Zu janji.” Ucap Zulaikha penuh kesungguhan.

Affendi terharu. Sayangnya semakin menggunung buat si isteri.

“Haa...Zu yang janji ya? Abang tuntut janji tu.” Affendi cuba bercanda. Serasakan topik mereka malam ini agak serius pula.

“Tuntutlah. Siapa pulak nak kisah.” Balas Zulaikha

“Oh, menjawab ya. Nanti dia...” Affendi sudah merenung Zulaikha dengan senyuman yang lain macam.

Zulaikha menolak badan Affendi sebelum pantas menarik selimut sehingga menutupi seluruh badannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience