Bab 14

Family Series 17159

HARI ini Affendi mula bekerja setelah dua minggu bercuti. Semua pekerjanya juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas perkahwinannya. Dua minggu meninggalkan pejabat, tentu saja banyak kerja yang menanti. Nasib baik ada Suffian yang boleh dipercayai membantu menguruskan Berjaya Holdings.

Memang diakui, dia agak ‘liat’ hendak bangun pagi tadi. Seminggu ‘berulit’ dengan Zulaikha dirumah sendiri, benar-benar membahagiakannya. Kalau boleh, dia mahu berkepit dengan isterinya itu setiap masa. Malah, dia sengaja bermalas-malasan di atas katil. Jenuh juga Zulaikha mengejutnya.

“Bangunlah, bang. Dah dekat pukul lapan ni. Kata nak masuk office hari ni.” kejut isterinya pagi tadi.

Dia pula hanya membatukan diri dengan keadaan pegun, berbaring mengiring. Terasa tapak tangan isterinya yang hinggap dibelakang badannya, sejuk menyentuh kepala. Rambutnya dielus lembut oleh Zulaikha beberapa kali.

“Abang...” panggil isterinya lagi. Rambutnya terus-terusan dielus.

Matanya semakin dipejam rapat. Kemudian satu ciuman hangat pula singgah disisi dahi. Hangat sentuhan bibir itu menambah lagi buai perasaannya.

“Tak nak bangun ke... Dah dekat pukul lapan ni.”

“Kalau tak pergi tak boleh?” matanya masih terpejam.

“Dah tu, duduk rumah nak buat apa?” soal isterinya.

“Buat kerja dengan Zu lah. Abang nak bagi Zu pahala.”

“Abang ni...mengada!” pantas bahunya ditepuk kuat.

Dia ketawa seronok dapat menyakat Zulaikha. Lantas badannya dipusing. Kini berbaring terlentang sambil tangan Zulaikha dipegang erat di atas dadanya.

“Nak bangun ke tak nak ni...”

“Kalau abang bangun, Zu nak bagi apa?”

“Lah, main hadiah-hadiah pulak.”

“Eh, mestilah. Mana ada orang buat sesuatu dengan free tanpa balasan? Cepatlah! Abang tanya ni... Zu nak bagi abang apa kalau abang bangun?” suaranya sengaja dilunakkan. Raut wajahnya pula sengaja dimanjakan

“Ee...tak nak layan abanglah. Suka tau buat macam ni.”

“Eh, abang buat apa?”

“Buat tu lah.”

“Buat apanya, sayang?”

“Buat muka penggoda macam tu lah.”

“Laahh...yeke? Habis tu, Zu tergodalah tengok abang sekarang ni...?”

Dan isterinya terus tertunduk malu. Wajahnya sudah tidak terkata merahnya. Dia ketawa suka. Akhirnya dia bangun juga. Walaupun ikutkan hati, nak je dia tarik Zulaikha sama-sama berbaring.

‘Cupp!!’ bibir isterinya dipagut seketika sebelum dia bangun.

“Upah sebab kejut abang.” Ucapnya selamba.

 

 

SUFFIAN hanya memerhatikan sahaja gelagat Affendi dari tadi. Entah apalah yang dia ni berangan agaknya. Bukan main lagi sengih sampai ke telinga. Lepas tu tergeleng-geleng pula kepalanya. Namun, tidak susah untuk dia meneka. Dia dulu merasai apa yang dilalui oleh sahabatnya sekarang. Dia faham sangat.

Macamlah aku tak tahu apa yang dia dok terbayang depan mata dia sekarang. Tahulah baru kahwin. Sampai aku dah tercongok berdiri dekat sepuluh minit depan pintu dia ni pun dia boleh tak sedar. Hish, rosak betul kawan aku ni!

“Tuan Affendi, boleh saya masuk?”

Affendi tersentak. Habis berterabur segala ingatannya di rumah pagi tadi. Dia memandang Suffian yang sudah melangkah masuk.

“Woi, hantu kau, Pian! Patut pun aku dengar suara tu macam familiar sangat. Tak boleh bagi salam dulu? Main terjah je. Apa halnya?”

Suffian sudah tergelak besar. Selamba saja dia duduk di kerusi tanpa dipelawa.

“Saja nak menjenguk pengantin baru ni. Amboi, ceria berseri muka. Apa rahsia? Ada teman baru?” Suffian sudah mula mengajuk iklan ‘Fair And Lovely’.

“Kau kalau tak sakat aku satu hari tak boleh?”

“Mana...dah dua minggu pun aku tak sakat kau, tak kacau kau.” Suffian sudah mula buat muka sedih. Kononnya terasa dengan kata-kata Affendi.

“Sudah lah kau! Tak payah buat muka sedih kat sini. Tak laku. Hani yang pregnant, kau pulak yang terlebih sensitif.” tempelak Affendi sudah ketawa.

Suffian juga sudah mengekek ketawa. Memang beginilah dia dengan Affendi. Tidak pernah berubah walaupun dia sudah berkahwin dan mempunyai anak, hubungannya dengan Affendi tetap seperti di zaman belajar dahulu. Akrab.

“Macam mana Di?” soal Suffian setelah ketawa mereka reda.

“Macam mana apa?” soal Affendi kembali buat-buat tak faham.

“Alaa...kau jangan buat-buat tak faham pulak.”

“Kalau aku tahu macam ni rasanya ada isteri, lama dulu aku dah nikah.” Affendi segera terbayangkan wajah isterinya. Hatinya mula diterpa rasa rindu pada Zulaikha.

“Hah, patut pun sengih bukan main lebar tadi kan. Sampai aku dah berdiri lama kat pintu tu pun kau tak sedar.” Sergah Suffian. Tak susah untuk dia meneka. Lelaki sama lelaki, ke mana lagi arah tuju fikirannya kan?

“Alamak, ya ke?” Affendi tayang muka segan. Macam manalah aku boleh tak sedar ni? Buat malu dengan Suffian je. Tapi, alah...apa yang nak kisah sangat. Suffian je. Bukan orang lain pun!

“Tu lah...rugi kahwin lewat-lewat ni...”

“Tak ada lah lewat sangat. Cara kau bercakap macamlah aku ni dah tua sangat.” sanggah Affendi sambil ketawa kecil.

“Yelah...yelah...jom, pekena roti canai kat bawah. Aku tak breakfast lagi ni. Hani tak berapa sihatlah.” ajak Suffian. Dia telah bingkas bangun dari duduknya.

“Morning sickness lagi ke?” soal Affendi prihatin.

“Muntah-muntah dah tak ada. Mungkin dia letih sikit dengan kerenah Ami. Eh, jomlah! Laparlah.” Ajak Suffian lagi. Dia memang sudah lapar sangat.

“Sorry la, bro...aku dah breakfast la tadi. Kenyang lagi ni. Aku temankan kau je, okey?” Affendi juga turut bangun mengekori Suffian.

“Oh, alamak! Macam mana aku boleh lupa...kau bukan bujang lagi. Sekarang dah ada bini. Tentulah Zu dah buat breakfast yang sedap-sedap untuk kau kan...” Suffian menepuk dahinya.

Affendi hanya mampu ketawa melihat reaksi Suffian yang lebih dulu ketawa besar. Bahu kawannya itu ditumbuk mesra. Memang masaklah dia kena giat dek Suffian seminggu dua ni agaknya.

“Dah...dah...jalan! Layan kau ni memang tak kan habis.”

 

 

AFFENDI dan Zulaikha tiba di rumah Suffian, ketika jam menunjukkan pukul 8.15 malam. Mereka datang menziarah atas pelawaan Hani yang teringin sangat merapatkan hubungan parsahabatan. Lagi pula, semenjak majlis perkahwinan mereka dulu,  belum pernah lagi mereka dapat meluangkan masa bersama.

“Sampai jugak kau ke rumah aku ni. Kalau tak jadi datang tadi, kempunanlah bini aku.” Sambut Suffian gembira dengan kedatangan Affendi dan Zulaikha

“Sampailah, kan dah janji.”

“Eh, Zu, Fendi... marilah masuk. Abang ni, bukan nak di ajak diorang ni masuk. Ada ke berbual kat luar ni.” ujar Hani yang mendukung Syahmi.

“Lah, mana pulak. Fendi ni baru sampailah.” Sangkal Suffian. Sambil itu, tetap menuntun mereka masuk ke dalam rumah.

“Betul tu, Hani. Kami baru je sampai. Maaflah, lambat sikit sebab cik abang ni sakit perut. Melantak buah durian tak sedar diri dari pagi sampai petang. Sampai makan nasi pun dia tak mahu.” Dijelingnya Affendi sekilas.

“Eh, Zu jangan tak tahu, Fendi ni memang pantang nampak durian. Memang dia balun cukup-cukup. Sanggup tak makan benda lain kalau dah ada durian depan mata.” Suffian membuka cerita.

“Itulah, Zu pun terkejut tengok dia makan. Boleh habis 10 biji dia seorang. Zu bukan apa, risaukan dia je. Tengoklah, tadi pun dah merengek-rengek sakit perutlah, panaslah, tekak sakitlah.”

Affendi hanya menayang baris giginya yang putih apabila isterinya menjeling. Tahu sangat maksud jelingan isterinya. Acap kali isterinya itu menasihati agar berpada makan raja buah tersebut. Tapi nak buat macam mana kan, dah dia memang suka makan buah durian. Sedap tu!

“Hah, tu tak pe lagi. Pernah sekali tu, dia makan buah durian sampai hilang suara. Lepas tu demam sebab panas sangat. Itupun tak serik-serik jugak. Mama pun pening nak layan dia ni, bukan nak mendengar kata.” Suffian semakin ramah memberitahu.

“Wei, sudah-sudahlah tu mengutuk aku depan Zu. Teruklah kau ni, Pian.” Affendi memuncung. Zulaikha ketawa dan menepuk lengan suaminya sebelum beredar mengikut Hani ke dapur.

“Syahmi, ingat aunty lagi tak? Sini, mari dekat aunty. Pandainya dia.” Sekejapan Syahmi sudah beralih ke tangan Zulaikha.

“Zu tahu nama Syahmi?” soal Hani sedikit pelik. Setahunya dia belum menyebut nama anaknya di depan Zulaikha lagi kecuali semasa menghadari majlis kahwin Affendi Zulaikha dahulu. Itupun hanya sekali.

“Lah, kan dulu masa datang kenduri, Hani ada bagi tahu nama Syahmi ni?” jelas Zulaikha, masih leka mengagah Syahmi.

“Yelah, sekali itu jelah. Kan dah lama tu. Tak sangka Zu ingat lagi. Kebanyakkan orang, susah nak mengingat. Lagi-lagi bukan selalu jumpa kan.”

“Zu dulu buka tabika. Sekali dengan tadika, taski dan nursery. Kena ingat nama setiap budak-budak yang hantar kat tabika. Itu yang terbiasa kot. Sekali je jumpa, insya-ALLAH Zu akan ingat. Tapi kalau bertahun tak jumpa tu, susahlah.”

“Wah, bagusnya. Hani lupa, Pian ada cerita yang Zu ada tabika sendiri.”

“Makin tembam Syahmi ni Zu tengok. Geramnya!” ucap Zulaikha sambil bermain dengan Syahmi dipangkunya. Rindu benar rasanya hendak melayan budak. Kalau dulu, dia bergelumang dengan kanak-kanak tetapi kini tidak lagi.

“Hai, teringin dah ke?” sakat Hani. Tangannya ligat menuang air ke dalam gelas. Makan malam sudah siap terhidang di atas meja.

Zulaikha tersengih sahaja. Siapa yang tak teringin kan? Kalau boleh dia memang inginkan anak secepat mungkin. Tetapi rezeki belum berpihak pada dia dan Affendi lagi. Dia kena bersabar. Lagipun, perkahwinannya masih terlalu muda.

“Insya-ALLAH, ada rezeki Zu tu. Jangan rancang-rancang.”

“Ish, tak adalah Hani. Zu dengan abang Fendi tak merancang pun. Belum ada rezeki kot.”

“Sabarlah, lagipun Zu dengan Fendi belum sampai dua bulan pun. Sekaranglah masa nak berdua-duan, nak manja-manja. Orang kata apa ya? Masih dalam ‘mood honeymoon’.” Hani mengeyit mata.

Zulaikha tertawa lepas. Hani juga turut ketawa sama.

“Hah, apa yang seronok sangat ni? Punyalah lama kita orang tunggu panggil makan. Perut ni dah berdendang-dendang dah tau. Kan Di?”

“Eleh, Fendi tak apa-apa, abang je yang lebih-lebih. Pasal makan, dialah nombor satu.” Jawab Hani.

“Samalah dengan cik abang ni, Hani.” Sampuk Zulaikha pula.

“Eh, abang pulak yang kena?”

Tawa mereka berempat bergabung. Syahmi walaupun tidak mengerti apa-apa dan masih dalam pangkuan Zulaikha, juga turut ketawa riang kerana melihat mereka berempat ketawa. Sudahnya bertambah gamat suasana ruang makan sederhana besar itu.

Mereka makan malam sambil bercerita dan mengenang kisah lama. Suffian pula sibuk menyingkap perihal Affendi semasa belajar. Sesekali Zulaikha ketawa dan menjeling manja pada Affendi yang sedikit malu apabila Suffian asyik menceritakan kisahnya.

 

 

SELESAI makan malam sambil bercerita panjang, Suffian naik ke atas, meletakkan Syahmi yang sudah tertidur ke dalam ‘baby cot’ di biliknya. Dan Affendi menuju je ruang tamu menonton televisyen. Zulaikha dan Hani pula masih di dapur, menyediakan pencuci mulut.

Ketika menuruni tangga akhir, Suffian menolong membawa juadah apabila melihat Hani dan Zulaikha yang kebetulan keluar dari ruang dapur.

“Di! Nah, minum. Tak kanlah muncung lagi dengan aku kot?” Suffian tidak henti menyakat. Tangannya menghulur secawan teh hijau yang dibancuh Hani.

Di meja makan tadi, sehingga mati akal Affendi dibuatnya apabila dia dengan ringan mulutnya ramah menceritakan hal peribadi sahabatnya itu.

“Yelah, ada ubi ada batas. Jagalah kau.” Ucap Affendi selamba. Tapi tangannya menyambut jua huluran cawan teh yang diberi Suffian.

“Terima kasihlah banyak-banyak. Kau dah lupa, apa kau buat kat aku dulu? Patutnya aku yang cakap macam tu tau. Aku baru lepas balaslah ni. Dulu, ‘kaw-kaw’ kau mengata aku depan Hani kan. Kira adil lah ni, kan?”

Affendi terus tepuk dahi. Dia benar-benar lupa.

“Ya lah, aku lupa.” Affendi tersengih tidak bersalah.

“Tapi Zu, Affendi sahabat saya yang paling saya sayang, saya respek dan yang paling rapat dengan saya. Banyak-banyak kawan yang saya kenal, Fendilah yang paling lain dari yang lain. Dia tak sombong walaupun berharta, rajin, baik, sangat menghargai persahabatan, ju...”

“Wei, sudah-sudahlah. Malu pulak aku rasa bila orang puji aku depan-depan ni. Lebih baik kutuk aku pun tak apalah dari kau puji aku.” Sampuk Affendi sebelum sempat Suffian meneruskan kata.

“Hah, ni lagi satu sifat Fendi kalau Zu nak tahu. Dia malu kalau kena puji. Macam perempuan pulak kan?”

“Eh, Pian... Sempat mengutuk aku pulak!”

“Lah, tadi kata tak nak aku puji, nak aku kutuk. Bila dah kutuk, marah pulak.”

Semakin gamat suara mereka berempat ketawa. Kesempatan yang ada, mereka manfaatkan dengan merapatkan lagi hubungan persahabatan. Hani pula, berasa sangat seronok kerana isteri sahabat suaminya itu seorang yang mudah berkawan walaupun pada awalnya Zulaikha seperti malu-malu. Tetapi bila dah makin kenal, dia semakin selesa.

Zulaikha tidak sombong, ramah dan gerak geri serta tutur katanya sopan. Dan dia sangat suka melihat setiap kali Zulaikha senyum dan ketawa. Senyumannya tampak tampak sangat ikhlas.

“Kami beransur dulu lah Pian, Hani. Dah lewat sangat ni.”

“Alah, baru pukul sebelas.”

“Memanglah Encik Pian. Tapi aku kesian kat Hani tu. Mesti dah letih. Macam-macam dia masak hari ni.”

“Sikit je lah, tak mana banyaknya pun. Janji Di bawak Zu datang sini. Hani dah seronok sangat. Hilang penat.” Jelas Hani.

“Tak apalah, lain kali Zu ajak abang Fendi datang sini lagi. Hani berehatlah, baby pun dah penat agaknya, tunggu mama dia tak tidur-tidur.” Sampuk Zulaikha pula.

Bukan apa, dia sendiri tidak sampai hati melihat Hani melayan dan bersusah-payah menyediakan macam-macam kerana menyambut kedatangan mereka berdua. Walaupun kandungannya masih tidak terlalu sarat, tetapi dia tahu, Hani tentu kepenatan.

Hani tersenyum sambil mengusap perutnya. Akur juga dengan kata-kata Zulaikha itu. Tidak dinafikan badannya terasa agak letih sidikit tetapi rasa seronok dan gembira jauh lebih banyak dan mengatasi keletihannya.

“Nanti, dah due jangan lupa bagi tahu.” ucap Zulaikha ketika bersalaman.

“Jangan risau, saya sendiri bagi tahu Affendi nanti.” Janji Suffian.

“Senang-senang, datanglah ke rumah. Boleh kita berbual-bual lagi.” pelawa Zulaikha ikhlas.

Suffian dan Hani mengangguk hampir serentak. Suffian melingkarkan tangannya ke bahu Hani. Zulaikha sempat tersenyum melihat kemesraan pasangan itu. Tidak lama selepas itu, dia dan Affendi beransur pulang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience