Bab 64

Family Series 17160

KEDATANGAN Diana pada petang itu sangat tidak dijangka. Zulaikha terkejut melihat Diana yang datang menyapa ketika dia sedang menyiram bunga sambil menanti kepulangan Affendi.

Tampang wajah yang kelat itu seolah-olah memberitahu Zulaikha yang dia datang bukan untuk berbaik-baik. Zulaikha menutup pili air.

“Aku ada hal nak cakap sikit.” ujar Diana keras.

“Duduklah dulu.” jemput Zulaikha ikhlas.

“Tak payah. Aku bukan datang nak beramah mesra.”

Zulaikha mengawal riak wajah. Ya, saya tahu awak bukan nak beramah mesra kalau dah terjah rumah orang macam ni. Ingin sekali dia membalas jika tak mengenangkan dia puas menyabarkan hati.

“Aku cintakan Affendi”

Sebaris ucapan Diana itu membuatkan Zulaikha tergamam lagi. Okey, memang sangat jujur pengakuan dia.

“Aku cintakan fendi dah lama. Dah bertahun.”

Zulaikha diam. Masih tidak bereaksi.

“Aku tak boleh lupakan Fendi.”

Zulaikha diam lagi.

“Aku sangat-sangat cintakan dia.”

“Jadi, untuk apa awak nak bagi tahu saya semua ni?” soal Zulaikha setelah lama berdiam.

Rasa sakit pula telinga mendengar Diana mengulang-ulang lafaz cintanya itu. Agaknya Diana fikir dia tak ada hati?

“Aku tahu kau lebih tahu agama. Tak salah kalau Affendi nak berpoligami.”

Zulaikha yang mendengar sudah tercengang. Oh, tak dapat buat milik sendiri, kongsi pun boleh ya?

“Abang Fendi yang suruh Diana cakap pada saya ke?”

Giliran Diana pula diam.

“Saya izinkan jika Abang Fendi sendiri yang minta untuk kahwin lagi.” jawab Zulaikha tenang.

“Masalahnya dia tak nak. Dia dah bodoh dan buta sebab kau! Jadi aku nak kau cakap dengan dia!” cegil mata Diana membalas.

Zulaikha senyum sinis. Perempuan ni bercakap memang menyakitkan orang.

“Cara awak bercakap, seolah-olah awak ada hak untuk meletakkan semua perkara dalam tangan awak. Cara awak bercakap seolah-olah saya ni merampas hak awak.”

“Memang! Memang kau rampas Fendi! Kenapa kau datang dalam hidup dia? Kenapa dia mesti nampak kau? Aku ni lebih dulu kenal dia, sayang dia!”

“Bukan ke soalan itu awak kena tanya pada Abang Fendi sendiri? tingkah Zulaikha.

“Saya rasa, bukan urusan saya jika hal ni berkaitan awak dengan Abang Fendi. Kalau awak datang sini semata-mata nak beritahu saya tentang perkara ni, maaf, saya tak dapat nak tolong.” sambung Zulaikha lagi.

Bimbang kesabarannya semakin menipis dan dia bimbang dia sendiri tidak boleh mengawal kemarahan nanti.

“Kau faham tak? Aku nak kan Fendi!” Diana menjadi berang dengan ketenangan Zulaikha.

“Ya, Diana. Saya faham dan saya memang tersangat nampak tu. Tapi saya dah cakap juga saya tak boleh nak buat apa-apa. Semuanya terletak pada abang Fendi.” Zulaikha cuba mengumpul sabar yang semakin berterabur.

Diana bungkam sendiri. Tidak dinafikan langsung akan kebenaran pada kata-kata Zulaikha yang jelas. Masalahnya Fendi memang tak nak aku!

“Sudah, sudahlah tu Diana. Kita sama-sama perempuan, awak tentu faham apa yang saya rasa sebagai seorang wanita. Awak rasa terluka bila abang Fendi tolak cinta awak. Tapi, sebagai seorang yang berilmu, awak tentu juga tahu kan yang cinta itu tak boleh dipaksa.” Dia harap sangat Diana sedar.

“Arghhhh!!” jerit Zulaikha sebaik habis menutur kata.

Seraya itu dia terdorong ke belakang. Dia tidak menjangka Diana menjadi agresif seperti ini. Diana menumbuknya dimuka! Pinar matanya seketika.

“Kau ingat aku datang sini nak dengar kau cakap macam ni! Hey, aku tak pernah kalah tahu tak? Aku akan dapatkan juga Affendi walau dengan apa cara sekali pun.”

“Ya ALLAH, Diana. Sabar...”

“Aku berhak dapat apa yang orang lain boleh dapat. Aku mesti kahwin dengan Fendi. Kau faham tak?!!” jerit Diana beremosi.

Sejurus itu dia menerkam lagi ke arah Zulaikha. Lantas beg tangannya di hayun kuat kepada Zulaikha beberapa kali sehingga Zulaikha terjatuh di atas tanah.

Sedaya upaya Zulaikha menahan serangan Diana yang tak terduga itu. Zulaikha menolak kuat tubuh Diana yang masih berusaha menghempuknya.

Sebaik saja dapat menjarakkan diri Diana, Zulaikha lantas bangun. Tetapi Diana lebih pantas menarik hujung baju Zulaikha dan menyebabkan dia terjatuh lagi.

Sakit! Itulah yang Zulaikha rasakan ketika ini. Seluruh badannya terasa sakit. Dia langsung tidak menjangka Diana boleh jadi sekejam ini.

“Diana, apa yang awak dapat jika awak buat macam ni?” tanya Zulaikha sambil menahan pukulan Diana.

“Aku puas! Biar kau rasa sakit macam mana aku rasa!” Diana bagai orang gila.

Mata mula melingas mencari sesuatu supaya boleh memukul Zulaikha. Dia memang baran dan selama ini belum pernah dia datang meminta pada orang. Inilah kali pertama. Dia sanggup menghadapi apa sahaja asalkan dia beroleh apa yang dia mahu.

 

 

ALLAH! ALLAH! ALLAH! Hanya itu yang terlintas di hati Zulaikha. Sakitnya tidak tertahan. Dia berharap Affendi cepat sampai. Sedaya upaya cuba bangun walaupun serasa usahanya itu tidak berjaya kerana seluruh kudratnya diserap pergi.

“Di..ddiana..walaupun awak bunuh saya, belum tentu Affendi terima aaa..wak. Sedarlah.” ucap Zulaikha susah payah.

“Aku benci orang lain dapat apa yang aku suka!”

Diana bertambah berang apabila Zulaikha masih tak berhenti menasihatinya. Matanya menangkap kerusi kayu yang terdapat di situ. Kerusi tersebut diangkat dan dihayun ke badan Zulaikha yang cuba untuk bangun.

Zulaikha terus terbaring. Bibirnya bergerak menyebut kalimah suci. Sakit! Terlalu sakit. Air mata sudah bercampur dengan darah dibibirnya yang pecah akibat ditumbuk Diana.

Saat itu, dia hanya mampu berdoa agar Diana tidak bertindak lebih jauh. Dia amat berharap Diana masih ada sisi baiknya.

Diana memandang Zulaikha yang hampir hendak terpejam matanya. Setelah beberapa kali memukul tubuh Zulaikha dengan kerusi, Diana berhenti puas. Puas kerana Zulaikha sudah tidak lagi bercakap konon nak tunjuk baik! Nafasnya turun naik dengan laju kerana kepenatan.

“Dd..diana.. Tt..ttolongg ssaya...” rayu Zulaikha perlahan.

Diana seolah-olah tersedar. Diana melihat mata Zulaikha sudah terpejam. Wajah itu tidak berkerut seperti tadi. Dia menguis tangan Zulaikha dengan hujung kasutnya. Tidak begerak! Diana mula cemas sendiri. Dia seolah-olah telah dirasuk tadi. Dia tidak sedar tindakannya boleh menyebabkan kematian!

Dia mula takut dan memandang sekeliling. Kerusi yang dicampakkan tadi terus dibetulkan kedudukannya. Dia cuba bertenang sebelum berjalan pantas memasuki keretanya dan segera memandu laju meninggalkan perkarangan rumah itu. Tidak mahu sesiapa terlihat kelibatnya.

Zulaikha sedar Diana menyentuhnya tetapi dia tidak berdaya untuk membuka kelopak matanya. Dia dengar saat bunyi enjin kereta Diana semakin sayup meninggalkan kawasan rumahnya. Hatinya hanya mampu berdoa agar Affendi cepat sampai ke rumah.

 

 

DIANA memandu dengan laju meninggalkan kawasan perumahan elit itu. Dia mahu segera pergi sejauhnya dari kawasan rumah itu kerana baru terfikir akan kemungkinan Affendi balik dari kerja ketika itu. Dia tidak berniat untuk mencederakan Zulaikha pada awalnya. Dia cuma mahu berbincang.

Tapi bila Zulaikha berlawan kata dengannya, dia jadi berang dan tidak dapat mengawal marah. Kenapa? Kenapa Zulaikha juga yang Affendi cintai sedangkan dia lebih segala-galanya dari Zulaikha? Kenapa Affendi masih menerima Zulaikha walaupun telah mengetahui kisah silamnya? Kenapa bukan dia yang Affendi pilih?

Diana menangis kesal. Dia juga berhak memiliki yang terbaik. Dia juga seperti orang lain. Mahukan yang terbaik untuk diri sendiri. Sedari kecil dia perlu berusaha keras untuk dapatkan sesuatu. Dia bukan datang dari keluarga yang berharta. Dia mula bermewah pun setelah berkerja.

Kenapa orang lain mudah tapi dia tidak? Jadi tak salah jika dia ingin berkahwin dengan orang yang kaya. Dia tak nak bakal anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah dan serba kekurangan.

Dia rasa bertuah apabila berurusan dengan syarikat Affendi. Affendi datang dalam pakej yang lengkap. Punya harta, rupa dan kerjaya yang bagus. Terutamanya status bujang!

Dia cuba menonjolkan diri dimata Affendi. Sayangnya Affendi tak pernah melihatnya sebagai wanita yang sepadan. Hanya rakan sekerja. Dia tak boleh terima! Dia mahu lebih dari itu. Dia mahu kehidupan yang stabil dari segi kewangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience