Bab 45

Family Series 17159

TEKAK yang haus memaksa Zulaikha membuka mata. Saat dia mahu mengangkat tangannya, Zulaikha melihat suaminya tertidur di sisi katil dengan tangan yang masih besulam erat menggengam jemarinya. Sayu hatinya melihat suami sendiri tidur dalam keadaan yang tidak selesa.

Seraya dia teringatkan nasihat ibu saudaranya semalam. Hatinya mula berbelah bahagi dengan keputusan yang telah dia buat sebelum ini. Kalau sebelum ini dia sudah bulatkan hati untuk berpisah, tetapi apa yang dikatakan mak tehnya semalam telah memaksa dirinya untuk berfikir sekali lagi.

“Cuba beri peluang pada diri sendiri.”

Cuba beri peluang pada diri sendiri? Mampukah aku untuk menempuhnya sekali lagi?

Ya ALLAH, aku tak tahu apa yang patut aku lakukan.

Kalau kami berpisah, akan terubatkah luka yang ada?

Dan andai aku meneruskan perkahwinan ini, mampukah aku membahagiakan abang Fendi dan mama?

Zulaikha ralit memandang suaminya yang begitu nyenyak melelapkan mata. Teragak-agak dia mahu mengejutkan Affendi. Takut mengganggu tidur Affendi yang begitu lena. Tetapi kalau tidak dikejutkan, tentu suaminya akan sakit tengkuk apabila bangun nanti.

“Abang... Bangun, bang. Abang...” panggil Zulaikha.

Affendi terpisat-pisat mengangkat kepala dari birai katil. Dia memicit-micit tengkuk yang terasa kebas. Zulaikha bergerak bangun perlahan-lahan tetapi segera pula Affendi menahannya.

“Eh, kenapa bangun? Zu nak pergi bilik air ke?” tanya Affendi pelik. Dia cepat-cepat bangun dan membantu isterinya.

Zulaikha terharu dengan keprihatinan suaminya. Sampai begini sekali suaminya menjaganya. Tapi apa yang dia buat? Bukan dia tak tahu mak teh ada memberitahunya yang Affendi tidak sihat diserang demam.

“Tak, Zu nak minum air je.”

Affendi meletakkan sebiji bantal di belakang badan Zulaikha supaya isterinya selesa bersandar. Kemudian dia menuangkan air suam dari termos ke dalam gelas sebelum menyuapkan isterinya. Dia meletakkan kembali gelas yang telah kosong di tempatnya.

“Dah? Tidurlah balik. Baru pukul satu lebih.” Affendi sambil matanya mengerling sekilas ke arah jam.

“Abang tak nak tidur?”

“Lepas Zu tidur.” Affendi membetulkan selimut tebal di tubuh isterinya.

“Abang...” Zulaikha memegang tangan Affendi. Wajah Affendi direnungnya dalam-dalam.

Affendi duduk di birai katil teragak-agak. Tangannya masih berada didalam genggaman isterinya. Affendi tunduk menanti apa yang mahu disampaikan isterinya.

Bukan tidak sudi, tetapi hatinya akan sebak setiap kali melihat wajah Zulaikha yang pucat dan cengkung. Terasa diri tidak berguna kerana mengakibatkan Zulaikha menanggung seksa.

“Zu tak nak abang macam ni. Abang kena jaga diri abang jugak. Abang pun belum berapa baik dari demam kan. Zu dah sihat. Zu boleh jaga diri Zu.”

“Zu tak suka abang jaga Zu ke?”

“Zu tak apa-apa. Abang tak perlulah risau.”

“Abang memang patut risau kan? Abang yang buat Zu terlantar macam ni. Abang bersalah pada Zu.”

“Abang tak ada salah apa-apa pun. Janganlah salahkan diri. Zu dah okey, dah sihat. Dah boleh buat sendiri. Zu kena biasakan diri berdikari tanpa abang.”

“Ap...apa maksud Zu?”

“Abang... abang lupa atau sengaja tak ingat. Kita dah setuju kan...”

“Tak, abang tak ada setuju apa-apa.”

“Kita dah setuju nak berpisah...”

“Zu betul-betul serius nak kita berpisah? Zu memang dah tak nak hidup dengan abang lagi? Zu dah benci abang?” soal Affendi bertubi-tubi.

“Abang, kenapa ni? Zu tak pernah bencikan abang. Sekali pun tak pernah. Abang janganlah fikir macam tu. Zu sayang abang, Zu sangat hormatkan abang. Sudahlah, kan kita dah bincangkan kelmarin?”

“Zu, please... Abang tak nak. Abang rayu Zu, berilah abang peluang. Sekali je Zu. Sekali je. Tolonglah jangan pergi dari hidup abang. Abang sanggup buat apa sahaja kalau itu mampu buat Zu terima abang semula. Demi ALLAH Zu, abang sangat cintakan Zu. Abang tak nak kita berpisah. Abang tak nak. ” Rayu Affendi. Air matanya semerta mengalir hangat.

Zulaikha terpaku. Lidahnya kelu. Suaminya menangis? Sesuatu yang dia tidak pernah lihat sebelum ini. Ya ALLAH, apa yang harus aku lakukan. Apakah benar keputusanku untuk berpisah? Ya ALLAH, bantulah hamba-Mu ini.

Melihatkan Affendi yang masih teresak, Zulaikha sendiri mengalirkan air mata. Esak tangis Affendi sangat menghibakan jiwa yang sememangnya rapuh.

“Zu tak mampu, bang...”

“Zu tipu. Zu kata Zu sayangkan abang.”

“Abang, Zu memang sayangkan ab...”

“Kalau Zu sayangkan abang, Zu tak akan minta berpisah macam ni.”

“Abang...”

“Sudi tak hidup bersama abang hingga akhir nafas abang?” soal Affendi tiba-tiba tanpa sempat Zulaikha menghabiskan ayatnya.

Zulaikha sekali lagi terkelu.

 

 

SOALAN Affendi itu dibiarkan seketika tanpa balasan. Perlukah dia menolak lagi? Perlukah dia memutuskan ikatan perkahwinan mereka kerana sebuah kisah lama yang tak dapat dilupakan? Suaminya sudah berusaha memujuknya dan sedia menerima sejarah silamnya. Kenapa perlu dia keraskan hati dan memohon perpisahan lagi?

“Sudi tak hidup bersama abang hingga akhir nafas abang?” Affendi bertanya sekali lagi.

Wajah Affendi yang penuh berharap ditatapnya. Pertanyaan suaminya hanya mampu dibalas dengan anggukan kecil. Air mata Zulaikha mengalir lagi buat sekian kalinya.

Affendi menyeka air mata Zulaikha dengan ibu jarinya. Pipi Zulaikha dicium berkali-kali. Dahi Zulaikha juga dikucup hangat.

“Terima kasih, sayang... Terima kasih... Abang tak kan mensia-siakan Zu. Abang janji, abang bersumpah Zu...” Affendi kembali memeluk Zulaikha.

Itu tekadnya. Dia akan membahagiakan Zulaikha selagi bernafas. Dia kesal apa yang telah berlaku dalam rumah tangganya. Dia tidak dapat memaafkan dirinya atas apa yang berlaku.

“Jangan bersumpah, bang... Kelak memakan diri. Abang juga tak perlu berjanji dengan Zu. Apa yang berlaku, beri banyak kesan dan pengajaran pada Zu. Zu serik.”

“Jangan cakap macam tu sayang. Abang tahu abang dah banyak buat Zu menderita. Abang menyesal kerana gagal menunaikan janji yang abang buat dulu. Abang lagha dan terlalu mementingkan ego abang sampai abang tak fikir langsung perasaan Zu. Sayang, abang minta maaf... pasal kehilangan anak kita...” ucap Affendi perlahan apabila melihat Zulaikha sudah semakin tenang.

Affendi serba salah dengan renungan Zulaikha. Dia melihat air mata yang mula bergenang ditubir mata isterinya.

“Mungkin bukan rezeki kita untuk memilikinya... Salah Zu sebab tak menjaganya dengan baik. Zu minta maaf...”

“Shhh... Jangan salahkan diri Zu... Abang tahu semuanya berpunca pada abang. Kalau abang bawak berbincang dengan Zu, tentu semua ni tak jadi...dan tentu kita tak kan kehilangan anak kita...” Affendi betul-betul menyesal.

Dia tahu Zulaikha tertekan dengan pergaduhan yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Malah doktor juga mengesahkan kandungan itu terjejas kerana emosi Zulaikha yang tidak stabil.

“Sudahlah, abang... Zu redha dengan kehilangan anak kita. Bukan rezeki kita...” Zulaikha genggam jemari kasar suaminya.

Zulaikha... Benarkah kau redha dengan kehilangan yang kau hadapi?

“Dah lewat ni... Abang baru je baik dari demam. Mak teh bagi tahu Zu, abang tak sihat. Abang tidurlah...” Zulaikha mengusap pipi Affendi dengan penuh kasih sayang.

Sungguh, dia amat menyayangi lelaki ini. Mampukah dia bangkit dari kesedihannya demi membahagiakan kaum adam ini? Dia sendiri tidak pasti.

Affendi sebak mendengarnya. Zulaikha memang isteri yang baik. Dalam keadaan diri sendiri tidak sihat tapi masih lagi memikirkan tentangnya. Affendi mengambil tangan Zulaikha yang berada dipipinya dan mengucup tangan itu lama.

“Abang dah tak apa-apa, sayang. Zu yang patut kena berehat. Badan Zu kan masih lemah...” Affendi membaringkan tubuh isterinya. Selimut tebal itu ditarik sehingga ke dada. Dahi isterinya dicium sekali. Lama.

“Abang nak ke mana?” soal Zulaikha apabila melihat Affendi bergerak menuruni katil mereka.

“Abang nak solat sunat. Sayang tidur dulu ya...” Affendi berlalu ke bilik air. Zulaikha memandang langkah Affendi yang menghilang disebalik pintu bilik air. Dia bersyukur kerana jodohnya dengan Affendi masih panjang.

 

 

SAYUP-SAYUP kedengaran suara suaminya mengalunkan bacaan al-Quran. Pasti suaminya beranggapan dia sudah pun terlena. Sebab itu rendah sahaja alunan suara suaminya membaca Kalam ALLAH itu.

Sudah lama dia dan Affendi tidak mengaji bersama-sama, solat bersama dan juga meluangkan masa bersama mendengar rakaman tazkirah dari penceramah kegemaran mereka.

Sejenak dia mengucap syukur kerana masih lagi berpeluang melakukan perkara itu bersama Affendi pada masa akan datang. Mengapa sebelum ini dia tidak terfikirkan perkara ini?

Terlalu asyik meneladeni rasa sedih dan kecewanya sehingga terlupa kemanisan apabila beribadah bersama suaminya. Benarlah kata orang, hati kita memang tidak pernah dapat lari dari ego. Selalu saja datang perkara negatif dahulu sebelum perkara positif.

“Sayang...kenapa tak tidur  lagi? Suara abang mengejutkan Zu ke? Abang minta maaf.” Ucap Affendi yang sudah pun duduk disebelah Zulaikha yang berbaring. Entah bila suaminya itu selesai dan menghampirinya, dia sendiri tidak sedar.

Zulaikha cuba bangun dengan susah payah. Affendi cepat saja membantu Zulaikha duduk dan meletakkan sebuah bantal di belakang isterinya supaya lebih selesa hendak bersandar.

“Kenapa nak bangun ni, kan dah lewat malam ni?” kata Affendi lagi walaupun tangannya ligat mengemaskan kedudukan bantal supaya Zulaikha lebih selesa untuk bersandar.

“Abang...Zu minta maaf...Zu banyak dosa pada abang.” Zulaikha tunduk mencium tangan suaminya. Air mata mula bergenang ditubir mata.

“Shh...dah sayang. Zu tak ada buat salah. Abang yang banyak dosa pada Zu. Abang gagal melindungi Zu, abang gagal menjadi suami yang baik pada Zu.”

“Tak...abang baik...sangat baik.”

Pedih hati Affendi mendengarnya. Setelah bermacam kata keji yang keluar dari mulutnya sebelum ini pun, isterinya tetap mengatakan dia seorang yang baik. Di mana yang baiknya pada dirinya?

Dia berasa sangat tidak layak digelar seorang yang baik. Dia berasa malu bila dikatakan baik. Malu pada ALLAH, pada mama, pada mak teh dan pada dirinya sendiri, malah pada Zulaikha.

“Zu, abang tak layak dikata baik. Kalau abang betul-betul seorang yang baik, abang tak akan mengeluarkan kata-kata yang kejam pada Zu. Kalau abang baik, abang tak kan buat Zu sampai terlantar di hospital dan keguguran. Abang tak baik, sayang. Abang bukan seorang suami yang baik. Abang kejam!”

“Jangan...jangan cakap macam tu, bang. Zu minta maaf sebab buat abang rasa macam ni. Sebenarnya Zu cuma terfikir yang Zu tak akan ada peluang lagi hendak solat berjemaah dan mengaji bersama abang sekiranya kita benar-benar berpisah.”

“Ya ALLAH, Zulaikha...abang tak pernah terlintas nak berpisah dengan Zu.” Jelas Affendi.

“Tapi, reaksi abang dulu, seolah-olah abang memang dah benci Zu.”

“Sayang, maafkan abang... Memang abang akui, abang melampaui batas berkata dan melampiaskan amarah pada Zu, tapi abang tak pernah harap atau terfikir mahukan perceraian. Zu isteri abang dunia akhirat. Abang tak terfikir langsung akan hidup jauh dari Zu. Cuma abang keliru apa yang abang rasa masa tu. Abang cuma mahukan masa untuk bertenang. Abang tak sedar yang abang dah hilang pertimbangan akal. Abang dah lukakan hati Zu tanpa abang sedar.

Masa Zu keluar rumah kita dulu, abang rasa macam nak gila. Abang tak tahu nak cakap macam mana tapi apa yang pasti, bila abang baca surat Zu hari tu, abang rasa sangat sunyi, rasa kosong seolah-olah separuh dari diri abang diragut pergi, rasa sedih sangat...masa tu, abang rasa menyesal sangat sebab dah bertindak kasar pada Zu. Maafkan abang ya...”

Sungguh, mahupun dia membawa diri tetapi dia tidak pernah berniat mahu melepaskan Zulaikha. Dia tahu dia amat menyintai Zulaikha, cuma pada ketika itu akal waras dan imannya jatuh ditempat yang paling rendah sehingga membenarkan syaitan menghasutnya.

“Sudahlah, bang. Benda dah lepas. Zu tahu, abang tak sengaja. Kalau Zu di tempat abang, Zu juga mungkin akan buat benda yang sama. Kita semua sama, bang. Manusia yang tak mungkin dapat lari dari kesilapan.”

“Tapi abang tetap bersalah. Ab...”

“Zu tak nak ingat lagi, bang.”

 

 

“ORANG dalam pantang, tak elok membaca tau.” Affendi mengambil surat khabar ditangan isterinya dan dilipat lebih kurang sebelum meletakkannya di atas meja kopi sebelah sofa.

Zulaikha hanya tersenyum mendengar teguran suaminya. Tidak pula berasa marah kerana ditegur. Dia cuma menyelak-nyelak surat khabar tersebut lebih kurang sekadar menghilangkan rasa bosan. Hendak membuat kerja, bimbang dileteri oleh mak teh dan mama mentuanya.

Bukan apa sangat pun kerja yang mahu dilakukannya tadi, dia cuma mahu memcuci sebiji cawan yang digunakannya. Itu pun sudah dileteri dengan teruk oleh mak tehnya.

Alasannya dia belum sihat benar dan disuruh berbaring sahaja di dalam bilik. Badannya sendiri sudah terasa lenguh kerana asyik disuruh berbaring sepanjang masa.

Tadi, ketika dia mahu bergerak ke ruang tamu pun, sudah panjang leher mama mentuanya. Segera saja perempuan yang sangat dihormatinya itu menegur dia mahu buat apa. Bimbang benar hendak membiarkan dia bergerak sendirian. Dia tahu, semua orang ambil berat tentangnya. Jadi, dia tidak mahu merisaukan sesiapa.

“Menung apa ni...”

Zulaikha tersentak, terlalu leka memikirkan dua wanita tersebut. Teguran suaminya itu dibalas dengan gelengan sambil tersenyum nipis.

“Zu tak baca pun, selak-selak je. Letih asyik berbaring je sepanjang hari. Abang pun dah masuk dalam geng mak teh dengan mama. Tak bagi Zu buat apa.” Jawab Zulaikha apabila teringat tegahan suaminya tadi.

“Zu belum sihat lagi. Tu yang badan rasa letih. Bukan letih sebab asyik baring.” Ucap Affendi. Dia menarik tangan Zulaikha rapat ke bibirnya. Tangan itu diciumnya beberapa kali bagi meluahkan rasa kasihnya.

“Rehatlah... Badan Zu masih lemah. Doktor pesan, Zu kena banyakkan berehat.” suruhnya lagi.

Pada Affendi, dia kalau boleh mahu tengok Zulaikha cepat-cepat kembali sihat dan ceria seperti dahulu.

“Zu dah okey sikit. Abang janganlah risau sangat. Zu tak apa-apa. Abang lama-lama kat sini, Berjaya macam mana?” soal Zulaikha.

Senyuman kecil segera menguntum dibibir Affendi apabila mendengar pertanyaan isterinya. Dia arif benar dengan helah Zulaikha sekiranya tidak mahu sesuatu topik itu dibincangkan lebih lama. Isterinya itu akan segera mengubah ke topik yang baru seperti keadaan sekarang.

“Abang call Suffian. Minta tolong dia. Pandai ya nak tukar topik. Jangan ingat abang lupa apa yang abang pesan tadi.” Tegur Affendi mengingatkan isterinya.

“Lah, mana pulak Zu tukar topik. Zu tanya je tu. Lagipun kan dah lama abang dekat sini. Zu peliklah.”

“Nak pelik apanya kalau abang tak pergi kerja sebab jaga isteri abang?”

Zulaikha terdiam seketika. Entah mengapa dia terasa dirinya menjadi satu beban pada Affendi pula. Duhai hati, janganlah engkau jadi begitu rapuh...

“Zu dah sihatlah. Abang boleh pergi kerja kalau abang nak. Mak teh dengan mama kan ada, boleh tengokkan Zu.” Balas Zulaikha akhirnya.

“Kalau abang balik sana pun, memang tak boleh buat apa. Hati abang tak kan senang selagi abang tak tengok sendiri dan yakin yang Zu memang dah sihat betul.”

“Zu minta maaf sebab susahkan abang.” Ucap Zulaikha perlahan.

Semakin sukar rasanya untuk dia membuang perasaan itu. Betapa dia telah banyak menyusahkan orang disekelilingnya tanpa dia sedari. Bertambah lagi rasa kerdil dalam diri.

“Kenapa Zu cakap macam tu? Zu tak suka abang di sini, temankan Zu?” suara Affendi sudah lain macam. Sedikit kecil hati dengan kata-kata isterinya sebentar tadi. Seolah-olah dirinya tidak diperlukan.

“Zu minta maaf....”

Affendi menghela nafas berat. Segera dia menyabarkan hati. Kenapa dengan aku ni? Bukankah emosi Zulaikha masih tidak stabil? Aku sepatutnya perlu banyak bersabar dan beralah. Zulaikha memerlukan sokongan moral dariku.

“Zu...abang tahu abang dah buat macam-macam pada Zu. Berilah abang peluang untuk tebus semua tu. Abang sayangkan Zu sepenuh hati abang. Dan abang nak temankan Zu di sini.”

“Zu dah banyak menyusahkan abang.”

“Mana ada susahnya, sayang. Eh, ni stokin mana? Kenapa tak pakai?” soal Affendi apabila terpandangkan kaki Zulaikha tanpa stokin tebal.

Zulaikha turut memandang kakinya sekilas. Bukan dia tak nak pakai, tapi rasa sangat rimas bila sepanjang masa perlu berstokin. Lebih-lebih lagi apabila tiba waktu matahari betul-betul berada di atas kepala.

“Ada tu...” tunjuk Zulaikha pada stokinnya di tepi kaki meja. “Rimaslah. Panas...” adu Zulaikha kemudiannya pula.

“Hmm...ni kalau nampak dek mak teh, sampai ke malam Zu kena bebel. Zu jugak yang panas telinga. Mari, abang pakaikan.”

Zulaikha hendak menegah tetapi Affendi lebih dulu telah mencapai stokinnya dan menyarungkan ke kakinya. Dia hanya membiarkan suaminya itu melakukan tugasnya hingga selesai.

“Jom, abang temankan Zu berehat dalam bilik.”

“Bosanlah terperap dalam bilik je. Bukan boleh buat apa pun.”

“Laa...kan abang cakap abang temankan Zu. So, abang akan temankan Zu berbual kalau Zu tak nak tidur. Abang boleh bacakan novel untuk Zu kalau Zu nak. Amacam? Bukan senang nak dapat layanan first class macam ni tau. Zu seorang je yang boleh dapat.”

“Eleh...nanti novel tu yang baca abang. Zu yang kena berehat, abang yang terlebih tidur. Bukan tak tahu abang tu. Baru baca novel dua muka surat, abang dah lelap. Tak ada mananya abang tu baca.” Ejek Zulaikha.

Memang betul pun. Jangan harap suaminya boleh khatam satu buku novel. Dah banyak kali suaminya menanam azam untuk cuba menghabiskan salah satu novel dari rak bukunya, namun sehingga kini belum terlaksana. Baru satu helai, dia sudah hilang ‘mood’ membaca. Itulah yang selalu menjadi alasannya.

“Amboi, perli abang tak ingat ya. Dah jom, masuk bilik.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience