Bab 33

Family Series 17160

“HELLO...Assalamualaikum, Barsyi.” Puan Zawiyah menyapa sebaik talian bersambung.

Sesekali matanya liar memandang pintu bilik Zulaikha. Setelah memastikan Zulaikha tidur, dia segera mendail nombor sahabatnya.

Dia tidak mahu lagi berdiam diri melihat rumah tangga anak saudaranya hancur begitu sahaja. Padanya, rumah tangga anak saudaranya itu masih boleh diselamatkan. Affendi perlu tahu keadaan yang sebenar.

“Waalaikumussalam, Wiya. Dah dapat berita pasal Zu ke?” pantas Puan Barsyiah bertanya. Puan Zawiyah  semakin diserbu rasa bersalah.

“Err...Barsyi, aku minta maaf. Sebenarnya Zu memang ada kat rumah aku. Aku terpaksa tipu kau sebab Zu tak bagi aku bagi tahu kau dia ada dekat sini. Maafkan aku, Barsyi...” akhirnya dia berterus-terang. Dia tahu sahabatnya tentu kecewa dengan tindakannya.

“Ya ALLAH, Wiya...betul ke? Tak apalah, syukur sangat-sangat...yang penting Zu selamat. Zu mana Wiya? Dia sihatkah? Aku nak cakap dengan dia.” balas temannya. Puan Zawiyah menarik nafas lega.

“Jangan! Aku telefon ni pun, tanpa pengetahuan dia. Kalau dia tahu aku bagi tahu kau yang dia ada kat sini, entah ke mana dia nak pergi. Aku rasa, baik kau je yang datang sini. Tengok sendiri keadaan dia.”

“Wiya...aku minta maaf...”

“Sudahlah, Barsyi. Benda dah jadi macam ni, bukan kita minta kan? Aku rasa, elok kau datang sini secepat yang mungkin. Aku dah tak sanggup tengok keadaan dia. Dia tengah mengandung sekarang, Barsyi. Aku pun baru tahu tadi. Itu pun sebab aku desak dia berterus-terang.”

“Betul ke Wiya? Syukurlah, alhamdulillah... Aku lega dia dengan kau Wiya. Sekurang-kurangnya aku tahu, dia selamat. Aku minta maaf Wiya... Aku tak sangka Affendi akan bertindak macam ni.” ucap Puan Barsyiah kesal.

“Tak apalah, Barsyi...macam aku cakap tadi, benda dah jadi. Aku cuma risaukan Zu sekarang. Mesti dia tertekan, dah lah dia tengah mengandung.” balas Puan Zawiyah pula.

Sememangnya dia risau melihat badan Zulaikha yang semakin susut. Dia takut ia akan menjejaskan kandungannya.

“Zu mengandung?! Betul, Wiya?”

“Betul, Barsyi.”

“Aku betul-betul kesal jadi macam ni. Besok aku ke sana. Aku akan pujuk Fendi sekali. Mesti dia seronok kalau tahu Zu tengah mengandung.” gembira sungguh hatinya apabila mengetahui berita yang amat dinanti-nantikan itu.

“Kau cakaplah baik-baik dengan Fendi nanti Barsyi. Apa yang aku dengar, Zu bagitahu aku yang Fendi dah benci dia. Sebab tu dia tak mahu kau atau Fendi tahu dia ada di sini. Aku tak nak rumah tangga dia orang berdua musnah, Barsyi. Apa yang aku tengok, Zu macam dah hilang semangat. Aku takut sangat Barsyi.”

“Kau jangan risau Wiya, aku akan cuba pujuk Fendi. Mana tahu hatinya lembut bila dia dengar Zu mengandung?” Puan Barsyiah membalas yakin. Dia yakin Affendi akan mendengar katanya.

“Hopefully, Barsyi...” Puan Zawiyah juga berharap begitu. Dia sendiri tidak sanggup melihat anak saudaranya terus bermurung menangisi apa yang berlaku.

“Thanks, Wiya...”

Puan Barsyiah meletak gagang setelah menjawab salam dari Puan Zawiyah. Hatinya lega dan gembira setelah mendapat tahu Zulaikha selamat. Yang paling menggembirakannya ialah berita tentang kehamilan Zulaikha.

 

 

PUAN Barsyiah membuka pintu dengan senyuman melebar. Affendi terkejut melihatkan mamanya yang membuka pintu sambil tersenyum.

Sudah lebih seminggu ibunya itu murung setelah mendapat tahu Zulaikha keluar dari rumah. Tetapi hari ini dia pelik apabila ibunya menyambut kepulangannya dengan senyuman.

Affendi berlalu ke sofa sambil menanggalkan tali lehernya. Beg bimbit dicampak disofa sebelahnya. Dia bersandar keletihan disofa. Nikmat rasanya dapat merehatkan badan yang lesu.

“Mama nampak gembira hari ni, kenapa?” tanya Affendi perlahan. Senyuman Puan Barsyiah semakin lebar.

“Di, mama dah tahu Zu kat mana. Dia kat rumah mak teh Wiya.” Puan Barsyiah memberitahu dengan perasaan yang sangat gembira.

Affendi terkejut dan tergamam mendengarnya. Terhenti tangannya yang sedang menanggalkan tali leher. Namun dia cuba berlagak tenang dan selamba yang boleh.

Seolah-olah langsung tidak menunjukkan minat. Sampai hati mak teh berbohong kepadanya ketika mama bertanya keberadaan Zulaikha.

“Fendi, kamu dengar tak apa mama cakap ni. Kita ke rumah mak teh besok ya, Di? Kita pujuk Zu balik sini semula. ” Puan Barsyiah memujuk lagi.

Affendi diam tidak berkutik.

“Mama nak Di selesaikan masalah Di dengan Zu baik-baik. Bertolak-ansurlah dengan Zu. Mama tak nak perkara lain pulak yang timbul. Lagi satu, tadi mak teh bagi tahu mama yang Zu tengah mengandung sekarang.” Puan Barsyiah memberitahu dengan penuh teruja.

Affendi terkejut bukan kepalang tatkala mendengarnya. Biar benar? Zulaikha mengandung? Betul ke? Wow..yeah...! Tiba-tiba rasa bahagia menyelinap masuk dalam jiwanya. Aku bakal jadi ayah ke? Kenapa Zu tak bagitahu aku?

Sampai hati Zu! Sedikit sebanyak dia rasa kecewa kerana Zulaikha langsung tidak memberitahunya. Namun segera dia mengawal riak wajahnya supaya tidak menunjukkan riak gembira yang ketara dengan berita baik itu.

Dia mencapai briefcasenya sebelum melangkah menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas.

“Fendi! Mama tengah bercakap dengan kamu ni! Mama nak kita ke Melaka besok. Mama nak kamu bawa balik Zu. Dah lama sangat kamu biarkan dia. Entah macam mana keadaannya. Lagi-lagi dia tengah mengandung sekarang.”

Dia memerhatikan Affendi yang semakin menghampiri tangga.

“Affendi, kamu dengar tak apa mama cakap ni? Kita pergi Melaka besok pagi.”

“Mama pergilah, Di banyak kerja.”

“Tinggalkan kerja Di! Suruh Pian buat. Kalau Di tak nak cakap, biar mama yang telefon Pian.”

“Tak usah. Mama nak pergi, mama pergilah.”

“Fendi! Di sedar tak apa Di cakap ni? Mama tak sangka sampai hati Di boleh buat Zu macam ni. Lagi-lagi dalam keadaan dia yang sedang mengandungkan zuriat Di! Di tak fikir ke?” Puan Barsyiah hampir menengking.

Affendi diam seribu bahasa.

“Tolonglah Di. Mama tak sanggup tengok je apa Di buat dekat Zu. Kalaupun dah bencikan Zu sangat, Di tak kesian ke dengan anak tu? Darah daging Di tahu? Di nak ke anak Di besok tak kenal bapa dia sendiri?”

“Mama, Di letih sangat...Di nak naik berehat. Lain kali lah kita bincang pasal ni. Di tak ada mood.” Putus Affendi. Dia meneruskan langkah.

“Di, sekarang ni dah tak ada masa nak tunggu mood Di tu. Benda ni dah lama sangat. Zu tu tengah mengandung anak Di sekarang! Kamu sedar tak ni? Cubalah Di fikirkan tentang anak tu. Selesaikan cepat-cepat masalah kamu berdua. Mama tak peduli, pagi-pagi besok mama akan ke sana.” ujar Puan Barsyiah lagi.

Dia tidak tahu bagaimana lagi caranya untuk memujuk hati Affendi. Dia hanya mampu memandang anaknya yang mula mengatur langkah mendaki anak tangga.

“Ingat Di, kalau berlaku sesuatu pada Zulaikha, mama tak akan maafkan Di!”

 

AFFENDI menghempaskan tubuhnya ke tilam. Hatinya masih sakit dengan kisah silam Zulaikha. Namun, dia tidak berdaya menafikan perasaan rindu yang menggunung yang cuba dibuang ke sudut paling jauh dalam hatinya.

Kalaulah otak manusia seperti komputer yang boleh dipadam sesenang hati. Sudah tentu, dialah orang pertama yang akan melakukannya.

Rasa rindu dan cintanya pada Zulaikha tidak pernah padam walau sedikit. Buktinya, seminggu dia tidak keruan mencari isterinya. Dia tidak sangka isterinya itu tega meninggalkan rumah, meninggalkan dia.

Tapi memang padanlah dengan mukanya, kalau dah dia sendiri pun tidak balik ke rumah, selama manalah isterinya itu boleh bertahan.

Dalam kelembutan sifat isterinya itu, dia tidak menyangka isterinya sanggup meninggalkannya. Tentu sekali isterinya sangat terluka dengan kata-katanya. Sungguh, dia merindui senyuman Zulaikha, belaian Zulaikha, suaranya, ketawanya, wajahnya dan segala-galanya tentang Zulaikha ketika ini. Hatinya meronta menjerit merindukan Zulaikha tetapi egonya menghalang dia untuk menemui isterinya.

Entah mengapa, di saat ibunya memberitahu Zulaikha ada di rumah mak teh Zawiyah, hatinya tiba-tiba jadi beku. Dia sendiri tidak faham. Sedangkan sebelum ini bagai nak gila dia mencari Zulaikha di merata tempat. Tetapi, setelah mengetahuinya, lain pula yang dirasa. Tiba-tiba perasaan marah itu kembali.

Tapi, Zu mengandung? Zuriatnya? Hatinya terpekik gembira mendengar berita itu dari mamanya tadi tetapi egonya menghalang untuk menemui Zulaikha. Kenapa Zu tak bagi tahu aku? Macam mana nak bagi tahu kalau sendiri dah tak nak dengar apa dia nak cakap. Kehadiran Zulaikha di rumah itu juga tidak dipedulikan inikan pula mendengar apa yang ingin Zulaikha perkatakan.

Perlahan bibirnya mengukir senyuman. Dia bakal bergelar ayah. Zuriat yang sangat dinanti-nantikan. Entah mengapa hatinya berasa amat senang ketika ini. Hilang segala amarahnya. Hanya terbit rasa bahagia yang menggebu dalam hatinya kini.

 

 

MALAM itu, Puan Zawiyah mengetuk lagi pintu bilik anak saudaranya. Dia mahu melihat Zulaikha. Sejak makan tengah hari itu, anak saudaranya tidak lagi keluar dari bilik. Dia tahu Zulaikha sudah bangun bersolat, dia mendengar deru air dari bilik air yang terdapat di dalam bilik tersebut.

“Zu? Baru lepas isyak ke?” tanya Puan Zawiyah sambil melabuhkan punggungnya ke birai katil. Matanya memandang anak saudaranya melipat telekung dan menyidainya di tempat yang disediakan.

Zulaikha hanya mengangguk sebagai balasan pertanyaan ibu saudaranya. Badannya terasa sangat lesu dan letih kerana banyak muntah. Tambahan lagi dengan keadaan emosi yang terganggu. Dia kemudiannya turut sama duduk dibirai katil.

“Mak teh... Zu minta maaf sebab selalu sangat menyusahkan mak teh.” tangan tua ibu saudaranya dibawa rapat ke bibir. Tangan itu dicium lama.

“Kenapa Zu cakap macam tu? Mak teh yang patut minta maaf. Kalaulah mak teh tak paksa Zu terima pinangan ni dulu, tentu hidup Zu tak jadi macam ni. Maafkan mak teh, nak...”

Zulaikha menggeleng mendengar ucapan mak tehnya. Dia tidak pernah menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku dalam hidupnya. Dia tahu itu adalah aturan-NYA. Tak perlu menyalahkan sesiapa jauh sekali menyesali apa yang berlaku.

“Ini semua suratan hidup Zu, mak teh. Bukan salah mak teh, bukan salah sesiapa. Kita tak tahu apa yang disediakan ALLAH untuk kita pada masa akan datang. Zu tahu, mak teh cuma mahukan Zu hidup bahagia. Zu tak pernah salahkan mak teh apa yang jadi pada Zu sekarang.

Cuma, Zu malu nak berhadapan dengan mama, dengan abang Fendi... Entah apalah yang mama fikir pasal Zu sekarang. Zu malu nak berhadapan dengan mama, mak teh. Malu sangat-sangat.”

“Zu...jangan fikir macam tu, jangan... Mak teh tahu, Barsyi tak akan fikir apa-apa. Mak teh kenal Barsyi dah lama, mak teh tahu dia macam mana.”

“Tapi mak teh, siapa yang sanggup terima perempuan macam Zu mak teh? Sedangkan abang Fendi sendiri pun dah buang Zu. Dia jijik beristerikan perempuan kotor macam Zu. Apatah lagi mama.” Air mata kembali hangat menyapa tubir mata.

“Tidak. Mak teh kenal Barsyi. Zu jangan fikir yang bukan-bukan lagi. Mak teh tak nak Zu berterusan macam ni. Zu kena kuat. Ini semua dugaan untuk Zu. ALLAH pilih Zu untuk diuji kerana DIA tahu Zu mampu menerimanya. Zu kena fikirkan kandungan Zu. Apa yang Zu rasa, dia turut merasakannya.” Nasihat Puan Zawiyah lagi.

Zulaikha tunduk merenung perutnya yang agak berisi. Perut itu diusap lembut. Benih yang masih belum diketahui oleh suaminya. Zuriat yang sangat-sangat di nantikan oleh mereka berdua sebagai penguat kasih sayang.

“Mak teh, Zu minta maaf sebab tak bagi tahu mak teh pasal ni. Zu bukan tak nak bagi tahu tapi...Zu takut kalau Zu bagi tahu, mesti mak teh paksa Zu balik rumah abang Fendi. Mesti mak teh bagitahu mama. Zu...”

“Tak apa, mak teh faham.” Ucap Puan Zawiyah dengan perasaan bersalah. Apa tidaknya, memang dia telah mengkhabarkan perihal itu kepada sahabat baiknya. Dan dia sangat pasti yang Affendi juga tentu sudah tahu.

“Kesian anak ni nanti, mak teh...lahir tanpa kasih sayang seorang ayah. Dia tak patut terima tempias malang hidup Zu. Zu nak dia lahir dalam keluarga yang sempurna. Punya ibu, punya ayah. Bukan dalam keadaan seperti ini.”

“Apa Zu cakap ni? Jangan merepek! Perkahwinan Zu dan Fendi masih boleh diselamatkan. Ini semua salah faham je. Affendi belum tahu hal yang sebenar. Mak teh percaya Fendi masih cintakan Zu...” pujuk Puan Zawiyah lembut.

“Zu tak mahu berharap lagi, mak teh...” tolak Zulaikha.

Sememangnya dia tidak mahu berharap apa-apa lagi dengan rumah tangganya. Dia redha jika jodohnya dengan Affendi hanya sampai setakat ini saja. Dia sedar, memang dia tidak layak untuk mana-mana lelaki sedari dulu lagi.

“Zu jangan mengarut. Apa pun yang Zu rasa sekarang ni, Zu kena fikirkan anak dalam perut tu. Anak ni perlu mendapat haknya. Selagi Affendi tak putuskan apa-apa, Zu jangan sesekali fikir kemungkinan yang satu tu. Nauzubillah!” pantas saja Puan Zawiyah mengatur kata.

Dia mengucap panjang dalam hati. Anak saudaranya ini telah jauh menyimpang pemikirannya. Sedikit sebanyak, dia amat takut melihat keadaan anak saudaranya itu. Dia takut kalau-kalau Zulaikha kembali menjadi Zulaikha yang dulu. Enam tahun dulu. Dia tidak mahu Zulaikha hidup dalam rasa inferior lagi.

“Memanglah abang Fendi tak pernah lafazkannya. Tapi, tak perlu tunggu kata putus dari abang Fendi pun Zu tahu memang jodoh kami sampai sini saja. Lagipun, abang Fendi sendiri cakap, dia menyesal kahwin dengan Zu. Dia benci Zu, mak teh. Dia benci Zu! Dia jijik dengan Zu!

Cinta abang Fendi dah tak ada untuk Zu. Zu dah tak nampak lagi sebab abang Fendi nak teruskan perkahwinan kami. Zu sedar, memang dari dulu Zu tak layak untuk abang Fendi. Zu dah redha mak teh, kalau itu yang tersurat untuk Zu.”

“Zu, tolonglah jangan fikir macam tu. Zu tak boleh menyerah macam ni. Zu kena memperjuangkan apa yang Zu ada. Sebagai isteri, Zu ada hak.”

“Hak? Zu sendiri tak pasti sama ada perempuan macam Zu ni layak mempersoalkan tentang hak atau tak. Zu dah tak ada apa lagi yang hendak diperjuangkan, mak teh. Zu cuma ada anak ni sebagai harta Zu.”

“Kalau macam tu Zu kena ingat, anak ni berhak hidup bersama ayah dan ibunya.”

“Ya, Zu tahu tu. Zu tak akan sekali-kali menafikannya. Zu tahu anak ni ada hak untuk mengenali ayahnya.  Tapi, apa yang Zu mampu lakukan? Bukan Zu yang mahukan semua ni. Zu tak minta, mak teh. Bahagia yang Zu harapkan berpanjangan, akhirnya bencana yang terjadi.”

“Jangan cakap macam tu, Zu. Mak  teh percaya, Fendi tak sedar masa dia cakap macam tu. Dia cuma keliru. Mak teh tahu, dia masih sayangkan Zu. Zu kena maafkan dia. Dia tak berniat.”

“Zu memang tak pernah salahkan abang Fendi. Abang Fendi tak salah apa-apa. Agaknya, kalau Zu di tempat abang Fendi, Zu pun akan buat perkara yang sama. Peritnya semua ni, mak teh...Zu rasa tak berdaya lagi.” Zulaikha menyapu air matanya yang semakin galak berlinang.

“Sabar, sayang...”

Puan Zawiyah menarik Zulaikha dalam pelukannya. Hanya itu yang mampu diucapkan. Sungguh, dia tidak sanggup melihat keadaan anak saudaranya. Badan Zulaikha sudah terlalu susut. Dia tahu anaknya itu makan hati dengan apa yang berlaku. Anaknya menderita dari dalam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience