Bab 44

Family Series 17159

GELAP malam tanpa bintang seolah-olah menggambarkan hatinya yang suram dan kelam. Lama matanya merenung langit kosong tanpa hiasan. Hanya bulan yang masih setia menerangi kegelapan malam.

Namun indah sinar bulan itu masih tidak dapat membuatkan hatinya tenang dan ceria. Affendi meraut anak rambutnya yang ditolak angin malam. Sukar rasanya menerima keputusan isterinya.

Kenyataannya, dia masih buntu mencari jalan dan peluang berbaik dengan Zulaikha. Terasa Zulaikha sudah terlalu jauh untuk digapai. Semakin hari semakin sukar untuk didekati dan difahami.

Zulaikha saat ini tidak seperti Zulaikha isterinya dahulu. Wajah itu telah sirna cahaya kebahagiaan. Wajah itu tidak lagi berseri dengan senyuman manis.

‘Macam mana lagi abang nak buat, sayang?’

Dia dapat lihat, mata isterinya itu masih terpancar perasaan kasih dan cinta buatnya. Tetapi dia tidak mengerti mengapa Zulaikha menolak dari kembali bersama. Masih segar dibenaknya apa yang diperkatakan isterinya dua malam yang  lepas.

“Zu perlukan masa, bang...”

Air mata isterinya itu menganak lesu ke pipi. Sungguh, hatinya pedih melihat linangan air mata di pipi isterinya. Namun, dia seolah hilang daya untuk menyeka air mata tersebut.

“Abang faham kalau Zu tak dapat maafkan abang. Abang memang bertindak kejam pada Zu. Tapi, bagilah peluang pada abang untuk menebus kesalahan abang, Zu... Abang tak mahu kehilangan Zu... Abang cintakan Zu...”

“Abang...Zu dah lama maafkan abang. Tapi rasanya, abang tak perlu minta maaf apa-apa pada Zu. Sebab abang tak buat salah apa pun. Zu yang salah kerana sembunyikan perkara yang sebenar. Zu tak jujur pada abang...”

“Kalau Zu dah maafkan abang, kenapa Zu nak berpisah dengan abang? Kenapa Zu tak nak bersama dengan abang lagi? Zu dah tak sayang abang ke? Zu benci abang?” bertubi-tubi soalan keluar dari mulutnya.

“Abang...jangan cakap macam tu, Zu tak pernah bencikan abang. Sekelumit perasaan benci pun tak ada untuk abang.” Zulaikha menggeleng laju menafikan tuduhan suaminya.

“Habis, kenapa Zu tak nak bersama abang lagi?” soal Affendi tidak puas hati.

“Jujur Zu katakan, Zu sangat bahagia menjadi isteri abang. Selama kita berkahwin, Zu dah tak ingat apa yang berlaku pada masa silam Zu. Sejarah hitam tu dah Zu buang jauh dari ingatan Zu, dari hati Zu. Tapi, apa yang berlaku pada rumah tangga kita akhir-akhir ini, menyebabkan Zu kembali terkenang sejarah pahit itu.

Zu tak berdaya menghakisnya. Zu rasa tak layak untuk abang. Zu malu pada abang, pada mama... Zu tak tahu macam mana nak berhadapan dengan abang lagi. Selagi rasa malu tu ada dalam diri Zu, selagi tu Zu tak dapat buat keputusan apa-apa. Pahitnya sejarah silam tu, hanya Zu yang rasakannya. Bukan mudah untuk Zu menerima semua yang berlaku.

Zu hanya insan biasa, bang. Tahu rasa sakit, tahu rasa pedih, tahu rasa malu. Bertahun-tahun Zu hidup dengan rasa pahit, pedih, malu. Hati Zu sakit setiap kali teringatkannya. Zu tak tahu bagaimana nak buang rasa itu sekali lagi. Zu tak berdaya, bang... tak berdaya sangat-sangat...”

 

 

“FENDI, tak nak masuk? Dah lewat ni...”

Panggilan Puan Zawiyah langsung mencantas lamunan Affendi. Habis berterabur kesemuanya. Dia lantas menoleh ke belakang, memandang Puan Zawiyah yang berdiri dibelakangnya. Dia mengukir segarit senyuman. Hambar.

“Kejap lagi, mak teh...”

“Apa yang Di menungkan ni. Dari tadi mak teh tengok Di kat sini. Di tak sihat lagi ke?” soal Puan Zawiyah penuh prihatin.

Kasihan melihat bola mata anak muda yang telah hilang sinarnya itu. Tadi, dia juga melihat keadaan yang sama pada anak saudaranya. Sudah diluahkan apa dibenak fikiran selama ini. Sekarang hanya terpulang pada anak saudaranya itu untuk mencerna segala nasihat dan pandangannya.

Sebagai orang tua, tanggungjawabnya memberi nasihat telah selesai. Walaupun kalau boleh dia mahu mereka meneruskan ikatan perkahwinan tersebut, namun dia tidak punya hak untuk memaksa. Biarlah anak menantunya menyelesaikan kekusutan yang melanda dengan cara mereka sendiri. Mereka perlu belajar menangani asam garam hidup berumah tangga.

“Tak adalah mak teh, Di dah rasa okey sikit. Demam dah kebah, cuma selsema dan batuk je susah nak baik.”

“Sebab tulah Di kena masuk, berehat.”

“Yelah, mak teh... Di masuk.” Affendi melangkah masuk lalu menutup pintu. Angin malam yang bertiup lembut, berjaya mendinginkan tubuh yang hanya berbaju lengan pendek.

 

 

DAHI luas isterinya diusap berhati-hati agar isterinya itu tidak terjaga. Hanya itu yang mampu dilakukan bagi meredakan rasa rindu yang ditanggung. Dia tahu, selayaknya dia dihukum. Cuma apa yang dikesalkan ialah, dia masih belum berjaya hendak membuatkan isterinya itu kembali kepadanya.

Bagaimana dia harus memujuk lagi?

Sudah bekukah sekeping hati milik isterinya itu untuk terus menyayanginya?

Tidak layakkah dia untuk mendapat kemaafan dan peluang kedua?

Sungguh, andai dapat diputarkan masa, mahu saja dia membetulkan semula keadaan. Dan dia tidak akan lari dari masalah yang melanda.

“Maafkan abang, sayang. Abang sayang sangat pada Zu. Abang minta maaf.”

Dahi isteri dikucup buat sekian kalinya. Kemudian dia bangkit dari duduk dan berlalu ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Hati berasa tidak enak. Biarlah pada ALLAH ya Rabb dia mengadu. Andai dapat diputarkan waktu, dia tidak akan mengecewakan hati isterinya. Dia terasa malu dengan sikap bodohnya.

‘Ya ALLAH, ya Karim, ya Rahim, ya Malik, aku bersujud pada kekuasaan-Mu yang menciptakan setiap kejadian. KAU ampunkanlah dosaku, dosa ibu dan abiku, dosa isteriku dan dosa muslimin dan muslimat. Ya ALLAH, KAU limpah kurniakanlah kesejahteraan hidup umat Muhammad.

Ya ALLAH, aku berdosa pada-MU ya Rahim. Aku gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawabku sebagaimana yang ENGKAU perintahkan. KAU berikanlah kesihatan yang baik pada isteriku. KAU rahmatilah perkahwinan kami ya ALLAH. Aku beryukur atas rahmat dan mehna yang ENGKAU berikan kepada kami.

Aku telah banyak melukakan hati isteriku ya ALLAH. Aku berdosa padanya. Aku gagal melindunginya. Aku gagal menjadi suami yang baik padanya. Aku telah menzalimi isteriku sendiri, aku telah menganiayainya. KAU berilah aku peluang sekali lagi untuk membetulkan segala salah dan silap ku terhadapnya.’

Affendi menangis lagi. Entah berapa banyak air mata mengalir sejak akhir-akhir ini. Dia sudah tidak peduli lagi. Sememangnya jiwa dan batin terasa begitu rapuh ketika ini. Memikirkan nasib rumah tangga yang berada dihujung tanduk, dia bagai hilang kekuatan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience