Bab 5

Family Series 17159

WAJAH mulus itu direnung lagi tanpa jemu. Sayu hatinya mengenangkan sahabat sewaktu susah dan senang. Satu-satunya sahabat yang sangat ikhlas dalam persahabatan yang dia ada. Entah bagaimanalah dia akan menyesuaikan diri dengan ketiadaan Zulaikha nanti. Khalifah menyapu air matanya dengan tisu yang sudah pun lusuh akibat sudah banyak kali digunakan. Hampir sahaja tisu itu lunyai.

Zulaikha memandang sahabatnya itu dengan senyuman, tidak berniat untuk memujuk. Bukan dia tidak tahu sifat Khalifah yang satu itu. Dia sudah faham benar dengan sifat Khalifah yang mudah mengalirkan air mata. Paling dia tidak tahan, air mata Khalifah akan semakin galak mengalir jika dipujuk. Dia sudahlah memang kalah bab pujuk-memujuk.

“Okeylah, Ifah. Aku serahkan tabika ni pada kau. Mulai hari ni, Tabika Kasih ni bawah jagaan kau sepenuhnya.” Zulaikha berkata setelah melihat Khalifah sudah kembali tenang. Segugus anak kunci diserahkan kepada rakan kongsinya yang juga merupakan sahabat baiknya.

“Sedihnya aku...kau dah nak pindah.” Khalifah berkata sebak.

Zulaikha tersenyum lagi melihat temannya yang masih mengalirkan air mata. Hubungannya dengan Khalifah amat rapat. Walaupun baru lima tahun mengenali wanita bertubuh genit itu, tapi persahabatan yang berlandaskan kejujuran dan keikhlasan kerana Allah telah menjadikan mereka sangat rapat.

“Bukan aku tak balik langsung ke sini. Bila-bila aku balik jenguk mak teh, aku datanglah jumpa kau.” pujuk Zulaikha sebak.

“Memanglah, tapi...entahlah, sunyi aku kalau kau dah pindah.”

“Insya-ALLAH, ukhuwwahfillah yang kita bina, tak kan pudar walaupun kita tidak berjumpa. Teknologi sekarang dah canggih, bila-bila masa je kau boleh call aku.”

Khalifah tergelak mendengar seloroh sahabatnya. Lengan Zulaikha ditepuknya perlahan. Dia tahu Zulaikha mengusiknya.

“Kau ni Zu...i’m gonna miss you, bestie...” ucap Khalifah sebak. Air matanya kembali bergenang.

“Kau ni buat aku rasa berat je lah.” Zulaikha mengusap bahu temannya lembut. Kalau Khalifah berat dengan perpisahan ini, dia lebih-lebih lagi. Tabika Kasih adalah sebahagian dari dirinya.

“Ye lah, kau nak tinggalkan aku. Mana tak sedih.”

“ALLAH...sentimentallah pulak kawan aku ni...”

Khalifah menampar mesra bahu Zulaikha apabila mendengar cecehan temannya itu. Dia akhirnya ketawa juga apabila melihat Zulaikha yang ketawa seronok.

“Macam mana kau sekarang? Dah ready ke ni?” soal Khalifah dengan senyum kambing. Kedua-kedua keningnya terangkat-rangkat menanti jawapan dari sahabatnya.

“You think?” Zulaikha tidak menjawab sebaliknya membiarkan temannya itu berfikir sendiri. Khalifah tesenyum mendengarnya. Dia tahu Zulaikha malu disoal begitu.

“Jadi jugak kau dengan dia kan? Kan aku dah cakap, dia ada hati dengan kau. Kalau dah selalu datang sini, makan masakan kau. Mahunya tak terpikat. Kalau dia tak sangkut pun, maknya yang berkenan dengan kau nak buat menantu.” sakat Khalifah sengaja memprovok Zulaikha.

“Ada pulak. Dah...dah... mulalah kau tu.” dalih Zulaikha malu.

“ALLAH...nak malu pulak. Apa pun, aku doakan kau bahagia Zu.”

“Terima kasih, Ifah...”

 

 

“ZU dah selesaikan semua Zu?” soal Puan Zawiyah pada anak saudaranya yang leka menonton slot Samarinda di TV3.

“Dah mak teh. Zu nak jual semua syer, tapi Ifah tak ada banyak cash. Zu masih ada syer 30% lagi. Berat rasanya nak lepaskan tabika tu. Zu nak jenguk Tabika Kasih lagi sampai Zu pindah.” jawab Zulaikha sedih.

Tabika Kasih itu diusahakannya bersama-sama Khalifah setelah tamat pengajiannya. Tabika itu dibuka demi kasihnya kepada kanak-kanak. Baginya, apabila melihat kanak-kanak membuatkan dia berasa lapang. Keceriaan kanak-kanak, membantu dia melupakan sejarah pahit yang menyakitkan.

“Berat nak lepaskan? Tak apa lah, Zu boleh buka tadika baru di Kuala Lumpur nanti kalau Zu nak. Di sana, lagi banyak demand tau. Kebanyakkan isteri di KL tu semua bekerja kan.” pujuk Puan Zawiyah apabila melihat Zulaikha mula bersedih kembali.

“Tak sama mak teh...” balas Zulaikha sayu.

“Memanglah... tapi nak buat macam mana. Tak kan Zu nak stay sini dan suami Zu pulak dekat KL sana. Kenalah berkorban sikit. Lagipun kalau Zu tak kerja pun, Fendi mampu nak sara Zu.” pujuk Puan Zawiyah lagi.

“Zu faham, mak teh...” jawab Zulaikha perlahan hampir tidak kedengaran.

“Tak sampai sebulan lagi Zu nak tinggalkan mak teh. Sunyilah rumah ni bila Zu dah tak ada nanti...” Puan Zawiyah bersuara lagi setelah keadaan kembali menyepi.

“Mak teh...”

“Mak teh tak apa-apa pun Zu...kamu jangan fikir yang bukan-bukan. Sebenarnya mak teh lah orang yang paling gembira dengan perkahwinan Zu ni tau. Mak teh nak tengok Zu berkeluarga. Ada suami dan anak-anak yang akan melengkapkan hidup Zu.”

“Zu sayang mak teh. Tak dapat Zu nak balas jasa mak teh pada Zu. Terlalu banyak yang mak teh dah buat untuk Zu...” tubuh wanita itu didakapnya erat. Dia memang amat menyayangi ibu saudaranya.

“Mak teh pun sayang Zu...”

Pipi kanan dan kiri ibu saudaranya itu dicium penuh kasih. Inilah wanita yang telah memberikan kasih sayang seorang ibu kepadanya. Tempat dia mencurah kasih, tempat dia bermanja, tempat dia berkongsi masalah dan kerana mak tehnya jugalah dia bersandar dan berpaut untuk membina semula kekuatan menghadapai masa hadapan.

“Zu ikhlas terima Fendi?” soal Puan Zawiyah kemudiannya.

Zulaikha lantas menentang pandangan ibu saudaranya yang nyata serius.

“Insya-ALLAH, atas petunjuk-NYA.” Jawab Zulaikha yakin.

“Zu dah bersedia? Mak teh tahu pada mulanya Zu rasa terpaksa. Tapi rasa kasih, rasa sayang, rasa cinta tu boleh disemai, boleh dipupuk perlahan-lahan. Marriage is not about love only. Perkahwinan ni memerlukan komitmen sepenuhnya. Lepas ni, apa yang jadi kepentingan Zu adalah suami Zu. Hormatilah dia, sayangilah dia, kasihilah dia, dan cintailah dia kerana dialah penentu syurga atau neraka Zu.”

“Zu faham, mak teh. Err..mak teh...AuntyBarsyi dengan abang Fendi dah tahu  ke pasal Zu?” soal Zulaikha teragak-agak.

Soalan Zulaikha itu buat Puan Zawiyah terdiam sejenak. Dia tak nak Zulaikha tahu yang sebenarnya sahabatnya telah lama tahu. Dia mahu Zulaikha membuka lembaran baru.

“Mereka tak perlu tahu, Zu. Biarlah perkara tu tertutup rapi.”

“Tapi...Zu tak mahu mereka rasa tertipu. Terutamanya abang Fendi. Zu takut berlaku sesuatu di kemudian hari nanti dan abang Fendi tidak dapat menerimanya.”

“Zu, dengar cakap mak teh ya, sayang? Mak teh nak Zu lupakan kisah silam Zu. Jangan toleh ke belakang lagi. Tak siapa pun tahu kisah silam Zu dan ia akan kekal begitu. Zu janganlah fikir yang bukan-bukan. Lagipun hal itu bukan atas kehendak Zu.”

“Zu...terus-terang, Zu memang takut.” Akhirnya Zulaikha mengatakan apa yang dirasakannya.

“Tak ada apa yang perlu Zu takutkan. Zu tak pernah buat salah. ALLAH tu Maha Melihat, Maha Adil, dan Maha Penyayang. Yakinlah dengan setiap Qada’ dan Qadar yang telah ditentukan-NYA. Zu jangan bimbang ya, nak?”

“Tapi...abang Fendi?”

“Mak teh percaya, Affendi akan jadi suami yang baik dan ayah yang terbaik pada anak-anak Zu nanti. Pada awalnya, memang Zu rasa kekok tapi mak teh tahu Zu boleh sesuaikan diri bila hidup berdua nanti. Affendi lelaki yang baik, Zu. Mak teh dah kenal dia dari kecil. Mak teh yakin Zu akan bahagia dengan Fendi.”

 

PUAN Barsyiah melangkah perlahan menuju ke bilik anak terunanya. Selepas makan malam tadi, anaknya itu terus masuk ke bilik dan tidak keluar-keluar lagi. Tidak seperti kebiasannya, Affendi akan melepak di ruang tamu dan menonton televisyen. Puan Barsyiah mengetuk pintu bilik anaknya beberapa kali sebelum melangkah masuk.

“Boleh mama masuk?”

“Mama dah masuk pun. Apa lah mama ni. Buatnya Di tak pakai baju tadi?” soal Affendi geleng kepala melihat Puan Barsyiah yang sudah menghampiri. Puan Barsyiah tersenyum mendengarnya.

“Alah, mama jaga Di dari kecil tau?” jawab Puan Barsyiah dengan senyum yang masih terukir cantik dibibirnya.

“Tu masa kecil ma...” balas Affendi. Dia juga sudah tersenyum dengan kata-kata mamanya. Dia mengengsot sedikit memberi ruang pada mamanya itu duduk di sebelahnya.

“Anak mama ni tengah buat apa? Selalu Di tercongok dekat bawah. Dua tiga hari ni mama tengok lain macam je. Di ada masalah ke?”

“Eh, tak ada lah. Pandai je mama ni...” Affendi tergelak mendengar serkap jarang dari mamanya.

“Mama tanya betul-betul ni. Gelak pulak dia.” pantas sahaja tangannya mencubit peha Affendi.

“Ma...sakitlah...” Affendi menggosok bekas cubitan mamanya. Perit!

“Di ada masalah ke?” soal Puan Barsyiah lagi.

“Tak ada lah ma...”

“Dah tu... Berjaya ada problem ke?” teka Puan Barsyiah lagi tidak putus asa. Affendi ketawa lagi melihat mamanya yang beria-ia bertanya.

“Taklah. Ada ke? Selama Di uruskan belum pernah Di bagi masalah dekat Berjaya kan?” soal Affendi pula. Puan Baryiah mengangguk mengiakan.

“Ye, mama tau...mama saja je tanya. Di, runsingkan apa ni? Pasal Zulaikha?” serkap Puan Barsyiah yakin.

Affendi terperanjat dengan serkap jarang mamanya yang tepat. Memang dia sedang memikirkan Zulaikha. Tetapi, bukannya apa cuma memuhasabah diri dengan perkahwinan yang bakal tiba tidak lama lagi. Semakin menghampiri tarikh pernikahannya, semakin terasa pula debarannya.

Mampukah dia memegang amanah ALLAH nanti?  Apakah dia sudah bersedia menempuhi alam rumah tangga? Adakah dia mampu menjadi suami dan ayah yang baik untuk bakal isteri dan bakal anak-anaknya nanti? Yang paling penting, dia mahu perkahwinannya nanti seumur hidup dan bertahan sampai ke Syurga.

“Di tak boleh terima Zu ke?” soal Puan Barsyiah lagi apabila melihat anak terunanya masih berdiam diri.

“Eh, tak lah ma...bukan...” nafi Affendi pantas.

“Habis tu, kenapa? Kalau Di masih tak bersedia, bagi tahu mama. Mama nak Di bahagia, gembira. Mama tak pernah paksa Di, ingat tu.” ujar Puan Barsyiah tegas.

“Ma...dah tinggal dua minggu je lagi. Baru sekarang mama nak tanya Di sedia ke tak? Semua persiapan pun dah siap. Tunggu nikahnya aje.” seloroh Affendi sambil ketawa.

“Di, cakap betul-betul. Kalau Di tak boleh nak terima Zu, kita batalkan je. Mama tak nak Di rasa terpaksa terima Zu kerana mama.” ucap Puan Barsyiah serius. Langsung tidak tertarik dengan gurauan anaknya. Melihatkan ibunya yang serius, Affendi menarik tangan tua itu sebelum memeluknya erat. Kepalanya direbahkan di bahu wanita yang telah melahirkannya.

“Ma...Di ikhlas nak ambil Zu sebagai isteri. Kalau mama tak cakap nak pinang Zu, Di sendiri yang minta mama pergi pinangkan dia.” jawab Affendi jujur. Sampai masanya dia berterus-terang sahaja dengan mamanya. Lagipun, apa yang hendak dimalukan lagi kan?

“Betul?” tanya Puan Barsyiah untuk kepastian.

“Yup. Infact, I think...I...love her.” ucap Affendi malu-malu. Pertama kali memberitahu perasaannya kepada Puan Barsyiah. Dia tetap berasa malu sungguh pun wanita itu ibunya.

Sebelum ini dia tidak pernah bercerita tentang perempuan kepada mamanya. Malah, ibunya itu pernah menyoal sama ada dia gay dan berminat dengan lelaki. Mengucap panjang dia mendengarnya. Mana taknya, dia tidak sangka yang mamanya boleh terfikir sejauh itu semata-mata kerana dia masih belum sampai seru hendak menamatkan zaman bujangnya.

“Really? Syukur alhamdulillah. Itu yang mama nak dengar. Tapi, mama nak bagi tahu Di somethingjugak ni...”

“Apa dia mama?” Affendi mengangkat kepalanya dari bahu Puan Barsyiah. Pandangannya dihalakan tepat pada wajah wanita tua itu. Dahinya sedikit berkerut menanti jawapan.

“Mama rasa, mama memang dah lama tahu yang Di sukakan Zu.” sebaris ayat dari Puan Barsyiah itu membuatkan Affendi terperanjat. Dilihat mamanya sudah tersenyum sumbing. Ketara sangat ke yang aku ni suka Zu? Adoi...malunya aku dekat mama.

“Mama...you’re the best mom in the world...” pantas tubuh gempal Puan Barsyiah itu dipeluk erat. Puan Barsyiah tersenyum dengan gelagat anaknya.

“Dah nak nikah pun masih nak bermanja dengan mama.”

“Yelah... Nanti dah ada bini, Di manja-manja dengan Zu. Di tak manja dengan mama dah.” Balas Affendi sambil tersengih. Puan Barsyiah menggeleng tersenyum mendengarnya. Anaknya ini ada saja jawabnya. Dari kecil begitu.

“Dah ready ke nak jadi suami? Nak galas tanggungjawab?” soal Puan Barsyiah serius. Hilang senyuman yang terukir sebentar tadi.

“Yeah, i guess so...” Afffendi menjawab penuh yakin. Ya, dia memang yakin tentang itu. Sudah sampai masanya dia melaksanakan sunnah yang satu itu. Pernikahan adalah perkara fitrah yang dituntut dalam agama. Dan merasakan sudah sampai masanya dia perlu berumah tangga dan melahirkan zuriat pejuang Islam.

“Mama harap, Di tak akan sia-siakan Zu. Jadi suami ni besar tanggungjawabnya. Banyakkan bersabar. Mama dah didik Di yang terbaik. Lepas ni Di akan ada keluarga sendiri. Di yang akan mencoraknya, tolak ansur tu penting dalam rumah tangga. Terima diri Zu bukan sahaja kelebihannya tapi terima kekurangan dia juga.” ucap Puan Barsyiah panjang lebar.

Sebenarnya ada maksud tersirat disebalik kata-katanya. Harapannya jika hal itu terbongkar satu hari nanti, anaknya tidaklah sampai bertidak yang bukan-bukan. Dia mahu Affendi menerima semuanya dengan lapang hati dan sebagai ujian dalam rumah tangga. Kita bukan boleh pilih semua yang kita nak sempurna. Malah kesempurnaan bukanlah milik melainkan Pencipta.

            “Di faham mama. Di akan cuba sebaik dan sedaya mungkin. Di rasa Di dah bersedia nak beristeri.Jelouslah tengok Pian, anak dah nak masuk dua. Di jugak yang terkontang-kanting.”

“Ada pulak?” peha anaknya ditepuk perlahan. Lucu mendengar kata-kata anaknya itu. “Tulah, siapa suruh tak cari cepat-cepat? Ikut sunnah umur 25 dah elok sangat nak menikah. Tapi Di ni dah terlajak dah.”

“Apalah mama ni. Di ni tak adalah kira terlajak sangat kot, 30 pun belum kan? Kalau cari awal-awal, tak dapatlah  Zu ni. Serius, ma. Di memang dah jatuh sayang pada Zu. Di tak kan sia-siakan Zu.”

“Ingat, jangan cakap je. Mama pegang kata-kata Di ni.”

“You can count on me, ma. Di buat yang terbaik.”

Memang itulah azamnya. Dia akan cuba sebaik yang mungkin memberikan bakal isterinya yang terbaik. Perkahwinan adalah satu komitmen yang memerlukan keikhlasan sepenuh hati. Dia yakin yang dia sudah cukup bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Mama harap, Di jalankan satu amanah ALLAH ni sebaik-baiknya. Zu tu budak baik. Mama berkenan sangat dengan dia. Mama yakin Zulaikha dapat melengkapkan hidup Di.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience