Bab 7

Family Series 17159

“WEI, kerja lagi kau? Aku ingat kau dah start cuti.” Affendi mendengus mendengar sergahan sahabatnya yang tiba-tiba.

“Kalau iya pun, bagilah salam. Kalau aku ada heart attack tadi, dah jalan dah tahu tak?” marah Affendi. Suffian hanya tersengih membalas ucapan Affendi. Dia terus masuk dan duduk dikerusi yang disediakan tanpa dipelawa.

“Sebab tahu kau tak ada lemah jantung lah aku berani buat macam tu.” balas Suffian selamba. Affendi menggeleng mendengarnya.

“Ada-ada je kau ni lah. Hah, apa halnya kau datang bilik aku ni?” tanya Affendi hairan. Setahunya semalam mereka sudah berbincang semua perkara yang akan diambil-alih oleh Suffian sepanjang dia bercuti.

“Tak ada apalah. Aku lalu bilik kau ni, aku tengok kau ada kat dalam. Aku ingat kau nak cuti dah. Ye lah, orang dah nak menikah. Mestilah banyak benda yang nak kena buat kan.” Ujar Suffian sambil tersengih seperti kerang busuk. Kedua-dua keningnya pula terangkat beberapa kali.

Affendi menggeleng lagi melihat wajah temannya. Senyuman nipis tergaris juga dibibirnya. Suffian ni, memang ada sahaja modalnya!

“Bosanlah. Aku duduk rumah pun bukan buat apa. Mama dah sediakan semua. Orang excited nak dapat menantu la katakan...” adu Affendi mengenai mamanya. Dia melihat mamanya amat seronok menyiapkan persiapan perkahwianannya. Suffian tergelak mendengarnya.

“Ye lah, kau kan satu-satunya anak dia. Tentulah excited. Lagi pulak umur kau tu dah nak masuk 30 hujung tahun ni. Mana tak risau mama tu. Kita sebaya, tapi aku dah nak masuk dua anak.”

“ALLAH, bukannya aku tak nak menikah. Calon je tak ada.” dalih Affendi. Baginya angka 30 pada seorang lelaki sepertinya bukanlah terlalu tua.

“Bukannya tak ada, tapi kau tu yang jual mahal. Diana tu lama dah tergila nakkan kau, kau tu tak nak.” sakat Suffian. Dia tahu Affendi tidak berkenan dengan cara Diana yang suka meleser dengan lelaki tak kira siapa. Jangan kata Affendi, dia sendiri pun tidak sanggup. Mintak simpang.

“Kau ni... Agak-agaklah kalau ye pun. Perempuan macam tu kau nak bagi aku buat bini. Pakai baju pun macam tak cukup kain je. Baik aku membujang sampai mati kalau disuruh kahwin dengan Diana tu. Mintak jauh. Seram.” jawab Affendi sudah geli-geliman. Suffian ketawa besar mendengarnya.

“Eh, manalah tahu, bila dah kahwin dengan kau, dia nak berubah? Apa yang kau suruh dia buat, dia tak kan bantah?” sakat Suffian lagi. Seronok melihat wajah Affendi yang cemberut setiap kali dia menyebut nama Diana.

“Aku ni bukan alim mana, Pian. Kalau boleh, aku nak isteri yang sudah terbentuk akhlak dia. Terbentuk peribadi dia. Kalau dah tua-tua, tunggu dah kahwin baru nak berubah, susah Pian. Silap-silap hari bulan, bukan dia nak mendengar cakap kita pun. Hish, aku tak sanggup menanggung dosa kerana gagal mendidik isteri. Sedangkan dosa aku ni pun dah berguni agaknya. Ni nak tambah lagi?” bidas Affendi panjang lebar.

Suffian ketawa sambil menggeleng kepala. Niatnya hanya hendak menyakat Affendi, tidak menyangka pula sahabatnya itu serius memberi jawapan balas. Tetapi memang ada benarnya apa yang dikatakan Affendi. Bukan senang kita hendak membentuk atau menasihati orang dewasa. Sebab itulah melentur buluh mesti dari rebungnya. Sedangkan budak-budak pun susah hendak dibentuk, inikan pula yang dah tua bangka.

“Ya, aku setuju pendapat kau tu Di. Jadi, kau memang terimalah pilihan mama kau ni. Siapa nama tunang kau tu? Hah, Zulaikha kan nama dia?” dulu dia pernah bertanya, tetapi dia masih mahu bertanya. Bukan apa, Affendi sudah dianggap sebagai saudara kandungnya sendiri. Dia mahu lihat Affendi bahagia kerana bahagia Affendi, bermakna dia juga turut sama rasa bahagia.

Demi mendengar sahaja nama Zulaikha, membuatkan riak wajah Affendi bertukar menjadi sangat berseri-seri. Dia segera tersengih. Suffian menggeleng melihat reaksi luar biasa kawannya itu. Rosak! Macam ini rupanya Affendi bila dilanda penyakit cinta.

“Hehe... Er...sebenarnya Pian, aku memang dah lama berkenan dengan Zulaikha tu. Tapi aku tak adalah cakap kat mama. Sebabnya, Zulaikha sendiri macam tak mesra dengan lelaki. Kalau dengan mama aku elok aje dia berborak, bila dengan aku...senyap aje. Kalau kena gaya, banyaklah dia bercakap.”

“Wah, wah, wah! Part yang ni kau tak ada pun bagi tau aku pulak hari tu. Kononnya terima pilihan mama. Ceh, rupanya dah lama sangkut kat Zulaikha tu.”

“ALLAH...aku nak buat macam mana? Rezeki aku lah. ALLAH dengar doa aku, baru je aku nak cuba masuk line, mama cakap dia dah pinangkan.”

“Blahlah kau, Di!”

Affendi hanya ketawa riang.

“Alaa...aku nak buat macam mana, Pian? Aku nak mengorat, macam tak kena je. Aku manalah ada pengalaman nak tackle anak dara orang. Nak cakap dengan mama pulak, macam tak kena gaya je. Yelah, aku mana pernah cerita hal-hal cinta kat mama kan. Lagi pulak si Zu tu macam mengelak dari aku je.”

“Dia malu dengan kau kot. Yalah, kalau kau dah pandang dia macam nak telan, macam mana dia tak segan.” tempelak Suffian.

“Tapi aku rasa, dia pun suka kat kau. Kalau tak, masakan dia terima pinangan mama kau kan?” sambungnya lagi

“Entahlah, tak pernah aku rasa macam ni. Kali ni, aku memang dah trully in love lah.” Affendi tersengih lagi.

Terbayang-bayang akan wajah Zulaikha yang manis. Zulaikha tidaklah berkulit terlalu cerah dan tidaklah tinggi lampai persis model. Ketinggian Zulaikha sederhana sahaja dan tidak terlalu kurus malah tidak pula terlalu gemuk. Kelebihan Zulaikha adalah pada senyumannya. Dia suka setiap kali Zulaikha tersenyum kerana senyumannya nampak sangat ikhlas.

“Hah,dah...dah... Malas aku nak layan kau ni. Sudah-sudahlah tu berangan, Di. Tiga hari je lagi. Sabar sikit.” usik Suffian.

Dia turut menumpang gembira kebahagiaan yang dirasai sahabatnya. Bukan mudah untuk membuatkan Affendi jatuh cinta. Dan kini, dia lega apabila Affendi mengambil keputusan untuk bernikah dan hendak berkomitmen, mempunyai isteri dan seterusnya anak-anak.

“Okeylah, Fendi. Aku ‘chow’ dulu. Jumaat ni aku tak dapat datang tau. Aku datang masa majlis sanding je okey?” Affendi mengangguk dan menghantar kawannya keluar dengan pandangan mata. Baru hendak menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi, kepala Suffian menjengah di sebalik pintu.

“Hah, apa hal lagi ni?” soal Affendi hairan melihat kawannya.

“Lupa... Tahniah tau. Tak lama lagi boleh join aku. Menambahkan umat Nabi.” ucap Suffian sempat lagi menyakat sahabatnya.

“Nikahnya pun belumlah.” Affendi ketawa suka. Suffian ni, memang banyak modalnya nak menyakat.

“Eh, aku bagi perangsang!” Suffian sudah tersengih nakal.

“Banyaklah kau punya perangsang, Pian. Otak kuning. Rosak aku ni kalau lama-lama dengan kau tau tak?” balas Affendi tidak mahu kalah.

“Lahh... Betul apa. Kau tu dah 30 tahun tau. Kena buat anak cepat-cepat. Nanti dah tua baru nak ada anak, orang tanya, cucu ke? Hah, tak ke haru tu?”

“Wah, lebih kau ni! Tahulah aku dah tua. Tapi baru 30 tau. Itu pun belum masuk 30 lagi. Melampau kau mengata aku ya.”

Affendi sudah menggumpal kertas dan segera membalingnya ke arah Suffian yang ketawa seronok. Pantas juga suffian mengelaknya dengan menutup pintu. Affendi hanya mampu ketawa dengan gelagat Suffian yang selalu sahaja menyakatnya.

Baru sahaja ingin memulakan kerjanya, pintunya diketuk lagi. Kemudian terjengul wajah Suffian di balik pintu dengan sengihan.

“Hah, apa lagi ni?” tanya Affendi tidak ikhlas. Apa sahajalah sahabatnya yang satu ini.

“Alah, janganlah marah Di. Nanti tak berseri muka tu tau.”

“Macam tu pulak?” Affendi sudah menggeleng kepala. Dia akhirnya hanya mampu ketawa. “Seriously, ada apa?”

“Tak...aku nak ucap tahniah. Seriously, aku gembira kau nak menamatkan zaman bujang. Aku doakan yang terbaik untuk kau, Di.” ucap Suffian

“Terima kasih, Pian.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience