Bab 34

Family Series 17159

DERUMAN enjin kereta di halaman rumah menarik perhatian Zulaikha yang sedang leka membaca buku “La Tahzan’. Sambil memegang buku tersebut dengan tangan kanannya, dia menyelak sedikit kain langsir untuk meninjau ke luar.

Alangkah terkejutnya dia melihat kereta yang sedang memasuki parkir adalah kereta yang amat dikenalinya. Dia nampak ibu mentuanya keluar dari tempat memandu sambil tersenyum kepada Puan Zawiyah yang menyambutnya.

Puan Zawiyah sibuk mengambil beg pakaian sahabatnya. Mereka berpelukan melepaskan kerinduan.

Puan Barsyiah memandang Zulaikha yang merenungnya. Segera dia menguntum senyuman. Tapi indah senyumannya langsung tidak disambut menantunya.

Mama?

Tanpa berfikir apa, Zulaikha terus bergegas berlalu ke bilik tidurnya. Dia menangis di atas katil semahunya. Kedatangan Puan Barsyiah memanggil kembali kesedihan yang cuba dibuang jauh dari hatinya.

Dia tidak sanggup berdepan dengan ibu mentuanya. Dia tidak kuat dan dia malu. Mak teh berbohong padanya.

Zulaikha membiarkan tangan yang singgah di bahunya. Tidak perlu melihat, dia pasti itu tangan mama mentuanya.

“Zu...Zu tak rindu mama ke...” bergenang air matanya melihat Zulaikha yang tersedu-sedu menangis.

“Zu...pandang mama Zu. Mama lega bila dapat tahu Zu ada kat sini.” Zulaikha hanya membiarkan Puan Barsyiah menyelak rambut yang menutupi wajahnya. Dia menangis tanpa mempedulikan Puan Barsyiah disisi.

“Zu, jangan menangis macam ni, sayang... Zu tak kesiankan mama ke? Mama risau Zu pergi tak bagitahu. Kenapa tak nak mengadu dengan mama? Merata mama cari Zu. Apa, Zu dah tak sayang mama ke? Mama ni bukan mama Zu ke sampai Zu lari bawa diri macam ni?” soal Puan Barsyiah sebak.

Sebak kerana akhirnya dia ketemu jua dengan Zulaikha dan sebak kerana melihat keadaan menantunya yang sangat menderita. Hatinya dipalu rasa bersalah yang menggunung kerana apa yang ditanggung menantunya kini.

“Mama...Zu minta maaf. Zu tak berniat nak...”

“Sudahlah tu. Yang penting sekarang mama dah jumpa Zu. Mama nak bawa Zu balik ikut mama. Nanti kita balik sana ya?”

“Mama...Zu... Zu nak tinggal dengan mak teh je, mama. Mama tentu dah tahu kan? Zu tahu, mesti mak teh dah cerita. Takkan mama sanggup lagi nak terima Zu? Abang Fendi sendiri dah benci Zu. Zu rasa, biarlah Zu di sini saja.”

“Zu tak kesiankan mama ke? Zu dah tak sayang mama?” tanya Puan Barsyiah dengan air mata yang bergenang.

Sebaris ayat itu meluruhkan lagi air mata Zulaikha. Melihat air mata yang mengalir dari tubir mata mama mentua yang sangat disayanginya, membuatkan hatinya tersayat pilu.

Siapa kata dia tak sayang? Kerana sayanglah dia rasa tertekan begini. Akhirnya dia hanya mampu menunduk dengan sendu yang semakin berlagu pilu.

“Sudah sayang... Mama datang sini sebab nak sangat jumpa Zu. Mama tak nak tengok Zu menangis macam ni lagi. Lagipun, tak elok untuk kandungan Zu kan...” pujuk Puan Barsyiah pula.

Zulaikha pantas memandang ibu mentuanya disebelah. Nyata dia terkejut mendengar kata-kata itu keluar dari mulut ibu mentuanya sendiri.

Nampaknya perkhabaran yang satu itu juga turut diberitahu oleh mak tehnya. Semakin pilu hatinya apabila soal kandungannya dibangkitkan.

“Mama...” Zulaikha memeluk Puan Barsyiah erat.

Puan Barsyiah mengusap belakang badan Zulaikha lembut. Simpati dia tumpah di situ. Dia tahu Zulaikha menderita. Melihatkan tubuh yang susut dan wajah cengkung menantunya, membuatkannya rasa amat berdosa.

“Zu...maafkan mama, sayang. Mama yang bersalah sebab tak cerita pada Fendi. Mama dah menjadikan Zu mangsa keadaan. Maafkan mama, Zu...” Puan Barsyiah mengesat air matanya yang mula mengalir.

Zulaikha terkejut lagi mendengarnya. Puan Barsyiah mengangguk mengiakan maksud pandangan menantunya.

“Sebenarnya, dari dulu lagi mama dah tahu pasal kisah silam Zu...dan mama tak pernah salahkan Zu sebab mama tahu bukan salah Zu...bukan kehendak Zu...Zu terpaksa. Sebab tu mama jodohkan Zu dengan Fendi. Mama tahu Zu perempuan yang baik.” Puan Baryiah berterus-terang. Tangisan Zulaikha semakin meninggi. Hatinya bertambah sedih dan tersagat pilu.

“Tak mama, Zu bukan perempuan yang baik. Tak kira benda tu bukan atas kehendak atau kemahuan Zu, tapi ia tetap terpalit dalam hidup Zu kan mama? Zu tetap kena bawa sejarah silam tu kan? Walaupun mama boleh menerimanya, tapi abang Fendi tak boleh mama!”

“Tak, abang Fendi tak tahu cerita yang sebenar. Kalau dia tahu, dia tak kan buat macam ni. Mama yakin Fendi masih lagi menyintai Zu. Dia cuma keliru. Maafkanlah dia, nak. Mama tak nak sampai Zu dan Fendi jadi apa-apa. Mama tahu Fendi masih sayangkan Zu. Mama yakin ten...”

“Tak mama! Abang Fendi jijik dengan Zu. Zu perempuan kotor mama! Zu tak layak untuk abang Fendi. Zu rasa diri Zu terlalu hina. Zu malu dengan diri Zu. Betul cakap abang Fendi, Zu kotor!”

“Zu...jangan cakap macam tu, sayang...” Puan Barsyiah menyapu air mata yang mengalir hangat dipipi Zulaikha walaupun dia sendiri sedang menangis. Puan Barsyiah hanya mampu memandang Zulaikha yang menangis hiba.

 

 

PUAN Zawiyah masuk ke dalam bilik. Dia melihat dua insan itu masing-masing sedang bertangisan. Dia mengajak Puan Barsyiah keluar dari bilik bagi memberi peluang pada Zulaikha untuk menenangkan diri.

Mereka berlalu ke ruang tamu. Puan Zawiyah mendengar keluhan yang keluar dari bibir sahabatnya.

“Teruknya keadaan Zu, Wiya...aku tak sanggup melihatnya.” Puan Barsyiah bercakap tanpa memandang sahabatnya.

“Dia kembali seperti enam tahun yang lalu, Barsyi...malah lebih teruk. Aku takut dia tak mahu bangkit lagi.” Puan Zawiyah menyuarakan kegusarannya.

“Tapi Zu perlu fikirkan anak yang sedang dikandungnya, Wiya. Badan dia tu, dah susut sangat aku tengok. Zu tak sihat ke?”

“Entahlah Barsyi... Dah banyak kali aku nasihatkan dia. Dah puas mulut aku ni bercakap, bagi nasihat suruh dia fikirkan pasal anak dia. Fizikalnya nampak sihat. Tapi Zulaikha tak sihat di dalam. Jiwanya merusuh. Dia rindukan Fendi, Barsyi...”

Puan Baryiah memandang sahabatnya.

“Aku kesal sebab tak berjaya pujuk Affendi datang sini. Pagi tadi sebelum aku bertolak pun, aku dah cakap dengan dia. Dia boleh buat tak tahu je apa aku cakap dengan dia. Tak tahulah aku apa nak jadi dengan budak seorang tu. Pening aku dibuatnya, Wiya.”

“Sabarlah, Barsyi. Aku faham apa yang Fendi rasa. Dia terkejut. Dia tak sangka benda macam ni jadi dekat dia. Eh, dia tahu tak yang Zu tengah mengandung sekarang?”

“Tahu. Aku bagi tahu dia semalam. Tapi, entahlah...”

“Sabarlah, Barsyi. Mungkin Fendi perlukan masa.”

“Aku ke yang salah percaturan, Wiya? Macam mana kalau Fendi memang dah tak nak bersama Zu lagi? Ya ALLAH...janganlah jadi sampai macam tu. Kita nak buat macam mana, Wiya? Aku minta maaf, Wiya. Kalau tak kerana aku yang...”

“Dah, Barsyi...jangan salahkan diri. Jangan fikir lagi perkara lalu. Semua ni dah ketentuan-NYA. Aku tak pernah salahkan kau. Apa yang penting sekarang, aku cuma nak tengok Zu kembali macam biasa. Aku risau tengok badan dia yang dah semakin susut. Aku takut beri kesan pada kandungan dia.”

Akhirnya mereka sendiri buntu memikirkan jalan penyelesaian untuk Affendi dan Zulaikha.

 

 

BUNYI ketukan di pintu membuatkan lamunan Zualikha terhenti. Selesai sahaja solat Isyak tadi, dia memang tidak keluar bilik. Tak perlu bertanya, dia sudah tahu siapa gerangan yang mengetuk pintu biliknya.

“Masuklah mama. Zu tak kunci pintu pun.” Dia bingkas bangun dari pembaringan sambil merapikan rambut yang sedikit kusut.

Puan Barsyiah masuk dengan senyuman tersungging dibibirnya. Dia merapati Zulaikha yang sedang duduk dibirai katil.

“Mana Zu tahu mama yang ketuk pintu? Jom, makan sekali. Dari petang tadi Zu tak makan apa-apa. Nanti perut tu masuk angin.” ajak Puan Barsyiah lembut.

“Zu belum terasa nak makan, mama. Zu tak lapar.”

“Perut rasa tak selesa lagi ke?” soal Puan Barsyiah.

Petang tadi ketika minum petang, Puan Zawiyah memberitahunya yang Zulaikha mengadu tidak sedap perut. Entah betul atau tak, mungkin juga Zulaikha cuma beralasan bagi mengelak bertemu pandang dengannya.

Semenjak dia sampai pagi tadi, Zulaikha banyak berkurung di dalam bilik. Dia hanya keluar untuk makan tengah hari. Itupun setelah dipaksa oleh temannya.

“Zu dah okey.” Jawab Zulaikha perlahan. Rasa bersalah menyerbu perasaannya.

“Kalau macam tu, jomlah makan sekali. Kalau Zu tak makan, mana nak datang tenaga. Zu kena jaga kesihatan. Lebih-lebih lagi sekarang Zu hidup untuk dua orang. Si kecil kat dalam tu berhak dapat yang terbaik dari mamanya.” Nasihat Puan Barsyiah perlahan.

Lembut sekali nada suaranya sehingga menyentuh lantai hati Zulaikha. Serta-merta ia mengundang cecair jernih dimata Zulaikha. Entah mengapa, dia memang mudah tersentuh pabila wanita penyayang ini berbicara.

“Mama faham Zu sedih, Zu rasa malu, Zu rasa dah tak boleh nak berhadapan dengan mama. Zu cuba mengelak dari mama kan? Tapi, mama tak boleh tengok Zu terus macam ni. Kalau boleh mama nak Zu ceria macam biasa. Mama nak sangat Zu bangun, bangkit dari kesedihan.”

Tapi mama juga faham, sayang. Berat mata mama memandang, berat lagi bahu Zu yang menanggungnya. Cuma apa yang mama nak, mama harap sangat yang Zu jaga diri, jaga nyawa yang baru nak hidup dalam perut Zu baik-baik. Kalau Zu tak selesa mama di sini, besok mama balik KL.”

“Mama...jangan.” pantas Zulaikha memegang jemari ibu mentuanya. Rasa bersalah bertimpa-timpa semakin mencengkam ulu hatinya.

“Mama...Zu minta maaf.”

“Shh...tak ada apa yang nak dimaafkan, sayang.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience