Bab 42

Family Series 17160

AFFENDI termenung panjang memikirkan kembali kata-kata Puan Zawiyah. Dia melihat Casio di tangan. Sudah pukul 11 malam. Affendi bingkas bangun dan menutup pintu.

Langkah diatur menuju ke bilik. Affendi memulas tombol pintu dan membukanya perlahan-lahan. Tidak jadi meneruskan langkah apabila mendengar suara Zulaikha.

“Dah pukul sebelas ma, mama tidurlah...Zu boleh ambil sendiri kalau Zu nak apa-apa nanti.” Zulaikha menegur Puan Barsyiah yang masih setia menemani.

“Tak apa lah Zu... Zu pun bukan kuat sangat. Masih lemah lagi. Doktor pesan tak bagi Zu bergerak sangat. Badan Zu lemah lagi.” Puan Barsyiah membalas sambil tangan sibuk membetul-betulkan selimut ditubuh Zulaikha.

“Mama...janganlah layan Zu baik sangat...”

“Aik...tak boleh ke? Zu kan menantu mama, memang patut pun mama layan Zu.”

“Ma...Zu rasa bertambah sedih bila mama layan Zu baik sangat macam ni. Lagipun mama dah tau segalanya tentang Zu. Zu rasa malu dengan mama.”

“Zu...benda tu dah lama. Zu janganlah ingatkan lagi perkara lama. Yang penting sekarang Zu kena jaga kesihatan. Zu masih lemah.”

“Zu tak tahu macam mana nak berdepan mama. Zu rasa malu sangat ma...”

“Zu, kenapa nak fikirkan perkara tu lagi? Perkara tu dah lama berlalu, sayang... Jangan kenangkan lagi, nak. Mama sayang Zu macam mama sayang anak mama sendiri. Mama ada Zu dengan Fendi je.”

“Mama...dengarlah Zu cakap ni...Zu tak tahu macam mana nak balas budi mama dan abang Fendi. Zu bertuah sangat dapat kasih sayang mama...dan juga abang Fendi...” Zulaikha berhenti mengatur kata, mengesat air mata yang mengalir.

Jemari Puan Barsyiah digenggam erat tidak mahu dilepaskan.

“Zu tak nak rosakkan keturunan mama. Zu dah fikir, memang ada hikmah kenapa ALLAH takdirkan Zu keguguran. Nama baik keluarga mama akan tercemar kalau Zu terus menjadi isteri abang Fendi...” sambung Zulaikha.

“Zu...Zu masih belum sihat...jangan fikir bukan-bukan. Zu tidurlah...ma...”

“Tak nak...Zu tak nak tidur. Mama dengarlah dulu apa Zu nak cakap. Zu dah habis fikirkan perkara ni...Zu rasa...lebih baik...kami berpisah mama.” Putus Zulaikha nekad.

Walaupun berat untuk membuta keputusan tersebut, tetapi dia tahu itulah yang sewajarnya. Demi kebaikan semua pihak. Pada pihak mama dan lebih-lebih lagi kepada suaminya sendiri.

Pada Affendi, tidak perlu diterangkan lagi kerana Affendi awal-awal telah memperlihatkan sikapnya. Dia tahu berpisah adalah perkara terbaik yang tinggal sebagai jalan keluar kepada kemelut rumah tangganya.

Bukan dia tidak sedih melepaskan Affendi. Tetapi, apakah pilihan lain yang masih ada? Dia tidak mahu terus-terusan menjadi bebanan dan menjadi palitan lumpur dalam hidup orang lain.

Biarlah selepas ini, segala caci hina masyarakat, ditanggung sendiri. Dia tidak rela melihat keluarga mentuanya dimalukan kerana bermenantukan perempuan sepertinya.

“Zu! Merepek apa ni? Dah! Jangan fikir bukan-bukan. Zu tak sihat lagi. Tak elok kalau Zu berfikir macam-macam. Soal Zu dengan Fendi, kita bincangkan selepas Zu dah sihat nanti.”

“Tapi, mama...”

“Tak ada tapi-tapinya lagi Zu. Mama tak nak bincang benda ni sekarang.”

“Mama, tolonglah...kali ni saja. Zu rayu mama. Dengarlah sekali ni je, ma. Zu tak tahu bila lagi peluang Zu nak cakap lepas ini. Apa yang terjadi kebelakangan ni...dah banyak sangat Zu susahkan mama, susahkan mak teh, susahkan abang Fendi. Zu tak nak jadi beban kepada sesiapa lagi.

Dah cukup Zu lukakan hati abang Fendi dengan kebenaran yang dah terbongkar. Zu tahu dan sedar dari dulu, mama...yang Zu tak pernah layak untuk sesiapa pun. Abang Fendi berhak dapat wanita yang terbaik, mama. Biarlah kami berpisah. Zu rasa itu yang sebaiknya untuk keluarga mama terutama pada abang.” Zulaikha memotong percakapan ibu mentuanya.

“Apa? Apa yang baiknya Zu? Tidak. Mama tak kan biarkan Fendi ceraikan Zu!”

“Mama...abang Fendi berhak dapat yang terbaik mama, Zu tak nak menyeksa hati dia dengan berpura-pura sayang Zu. Mungkin sampai sini saja jodoh kami...”

Puan Barsyiah mengangkat punggung meninggalkan Zulaikha tanpa sebarang kata. Puan Barsyiah terlanggar tubuh Affendi yang berdiri tegak di balik pintu. Matanya merah merenung Affendi seketika sebelum berlalu.

“Mama...mama! Ma...”

 

 

ZULAIKHA berhenti daripada terus memanggil apabila terpandang susuk tubuh Affendi di muka pintu. Zulaikha terus melarikan pandangan ke bawah.

Affendi naik ke atas katil dan duduk disebelah isterinya. Affendi menolak dagu Zulaikha yang tertunduk. Zulaikha pejam mata apabila Affendi menolak dagunya.

Affendi memandang wajah Zulaikha lama. Luruh hati melihat wajah pucat si isteri. Malahan wajah itu juga basah dengan air mata. Mata bundar itu bengkak kerana terlalu banyak menangis.

Terasa diri telah berlaku zalim pada isteri. Affendi menarik Zulaikha ke dalam pelukan.

“Maafkan abang...abang tahu abang dah banyak sangat melukakan hati Zu...” luah Affendi.

Semakin lebat air mata Zulaikha apabila mendengar ucapan yang keluar dari bibir Affendi. Zulaikha kaku tidak membalas pelukan suaminya.

Affendi melepaskan pelukan apabila menyedari reaksi Zulaikha. Isterinya tertunduk, masih tidak mahu membalas renungannya.

“Abang tahu abang zalim pada Zu... Abang rindukan Zu... Maafkan abang, Zu... Abang tahu abang dah melampau...tapi, abang masih sayang dan menyintai Zu... Percayalah, sayang...” Affendi mencium tangan Zulaikha yang berada digenggaman.

“Jangan...jangan pegang. Zu kotor, bang... Zu tak layak untuk abang sentuh...”

Zulaikha merenung Affendi buat kali pertama. Tangan yang berada digenggaman Affendi ditarik perlahan.

Affendi pandang wajah sendu itu. Semerta terasa lemah seluruh sendi. Bukan itu perkataan yang mahu didengar dari Zulaikha. Pedih hati Affendi mendengarnya.

Terkenang segala hinaan dan cercaannya pada Zulaikha. Itulah ucapannya sebelum ini. Tangan Zulaikha dicapai kembali dan dipegang kemas.

“Zu...maafkan abang, sayang...jangan cakap macam tu! Abang sayangkan Zu... Maafkan abang. Abang tahu abang salah.” Affendi dipalu hiba mendengar kata-kata isterinya. Berkali-kali kata maaf meluncur dari bibirnya.

“Abang tak ada buat salah pada Zu.”

“Tak...abang memang banyak dosa dengan Zu. Abang tahu Zu kecewa dengan abang kan? Abang menyesal apa yang abang dah cakap pada Zu malam tu. Abang tak bermaksud langsung! Abang tak tahu apa abang fikir masa tu. Abang terlepas cakap sebab abang terlalu marah.”

“Terlalu marah sebab Zu merahsiakannya kan, bang? Zu tahu, memang salah Zu. Sebab tu  Zu rasa malu sangat. Zu tak tahu macam mana nak berdepan dengan abang... Zu malu dengan diri Zu, dengan abang...lebih-lebih lagi dengan mama...” esak tangis Zulaikha semakin kuat.

“Lupakan perkara tu, sayang... Abang tak mahu Zu kenangkan perkara tu lagi.”

“Zu tak mampu...”

“Zu boleh! Abang ada...”

“Biarlah kita bawa laluan masing-masing, bang... Zu nak abang bahagia. Zu tak nak abang terikat dengan Zu... Zu tak layak untuk abang. Zu perem...”

Affendi menahan Zulaikha daripada meneruskan kata-kata. Kepala digeleng perlahan sambil jari dibibir pucat isterinya.

“Jangan, Zu...jangan teruskan apa yang Zu nak cakap. Abang tak sanggup dengar. Abg tak nak berpisah dengan Zu... Kebahagiaan abang di sini, bila Zu disisi abang. Abang tahu abang dah melampau tuduh Zu macam-macam... Berilah abang peluang untuk membahagiakan Zu... berilah abang sekali sahaja peluang Zu. Sekali je...” Affendi merayu.

“Abang tak faham... Zu rasa kerdil, Zu malu sangat. Teramat malu. Abang dah tahu semuanya pasal Zu. Zu rasa tak boleh lagi berdepan dengan abang... Zu...” Zulaikha tidak dapat meneruskan kata-kata. Dia menangis lagi.

“Apa pun yang berlaku pada Zu dulu, kisah lama... Abang tak nak Zu ingat lagi kisah lama. Kita mula hidup baru ya... Abang tak sanggup berpisah dengan Zu. Abang tak boleh tak ada Zu. Abang perlukan Zu... Abang sayangkan Zu...” Affendi menarik Zulaikha ke dalam pelukan sekali lagi.

“Maafkan abang ya sayang...” Affendi menyambung kata lagi apabila terasa Zulaikha membalas pelukannya. Dia mengemaskan pelukan.

“Zu maafkan abang?” Affendi bertanya sambil memandang Zulaikha menagih jawapan.

Zulaikha membalas pandangan Affendi dengan renungan kosong. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Dia amat menyintai Affendi, tetapi saat ini dia merasakan dirinya terlalu kotor dan tidak layak untuk sesiapa.

Dia tidak sanggup berhadapan dengan sesiapa ketika ini. Dia merasakan dirinya terlalu hina untuk menjadi isteri Affendi. Dia malu dan dia tidak mahu Affendi malu beristerikan perempuan sepertinya.

“Zu tak boleh, abang...”

Sejurus dengan itu, air mata mengalir lagi menuruni lekuk pipi yang ketara semakin cengkung. Badan dijarakkan dari sisi Affendi.

Affendi kaku tidak bereaksi. Lidah tiba-tiba dipaku dari mengatur madah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience