Bab 31

Family Series 17159

ANGIN pagi yang bertiup, memberikan udara yang nyaman, segar dan amat menyenangkan. Namun, ia masih tidak mampu mengusir lara di hati Zulaikha.

Zulaikha merenung sekumpulan kanak-kanak yang sedang leka dan riang bermain buaian dan jongkang-jongkit di laman Tabika Kasih.

Seronok melihat senyum dan tawa kanak-kanak itu setiap kali bermain dan bergurau antara satu sama lain. Bibirnya sendiri mengukir senyuman melihat telatah mereka. Senyuman yang telah lama hilang semenjak keadaan rumah tangganya menjadi kucar-kacir.

Fikirannya segera terlayar pada suaminya. Tidak menyangka perkahwinan mereka pada awalnya sangat bahagia, berakhir dengan episod duka.

Dia dapat merasakan rumah tangganya tidak dapat diselamatkan lagi walaupun suaminya itu masih tidak memberikan apa-apa kata putus mengenainya.

Tetapi sikap suaminya yang menjauhkan diri, ditambah lagi dengan kata-kata hinaan dari Affendi malam itu, diri semakin pasti bahawa itulah titik noktah perkahwinannya.

Zulaikha menyeka air mata yang mula mencemari pipinya. Tidak mahu sesiapa terlihat air matanya. Nanti apa pula anggapan Khalifah jika melihat dia menangis begini. Dia tidak mahu bersoal jawab dengan Khalifah yang sememangnya terkenal dengan sifat ingin tahunya.

Yang lebih penting, dia tidak mahu segala cerita yang tersimpan kemas selama ini turut terbongkar. Dan jika itu berlaku, dia sanggup lari ke mana sahaja pelosok dunia yang tidak mengenalinya. Di tempat yang orang tidak mengenalinya dengan nama Zulaikha. Dan dia akan hidup membesarkan anaknya dengan tenang.

Anak!

Sepatah perkataan itu menerbitkan kembali air matanya yang sudah berhenti mengalir. Anak yang tidak diketahui kewujudannya oleh bapannya sendiri. Zuriat yang sangat dinantikan oleh mereka selama ini.

Kasihan anaknya ini, bakal lahir tanpa insan bernama ayah. Dia tidak sanggup membiarkan anaknya membesar tanpa kasih seorang bapa.

Namun, siapalah dia untuk merayu kasih pada sang suami yang terang-terang sudah membencinya. Dia tidak berdaya apabila memikirkan semua itu.

“Zu...” sapa Khalifah sambil menyentuh lembut bahu kiri temannya itu. Sedari tadi dia memerhatikan sahabatnya itu leka melayan perasaan.

Raut wajah yang sentiasa tenang itu basah dengan air mata. Bawah matanya kelihatan lebam kesan tidak cukup tidur. Badan temannya itu sangat susut pada pandangan matanya.

Apalah yang berlaku pada sahabatnya itu, ingin sekali dia mengetahuinya. Lebih-lebih lagi kepulangan Zulaikha ke Melaka sendirian tanpa suami. Belum pernah lagi Zulaikha pulang ke Melaka bersendirian setelah berkahwin.

Zulaikha cepat-cepat menyapu air matanya. Walaupun sudah terlambat kerana Khalifah terlebih dahulu duduk di sebelahnya. Sudah pasti Khalifah sudah melihat dia menangis.

Sedaya mungkin dia ingin menyoroknya dari pengetahuan Khalifah. Tetapi apakan daya, silapnya juga yang terlalu leka melayan perasaan sehingga tidak menyedari kehadiran sahabatnya itu.

“Kau menangis?” soal Khalifah pula. Dilihatnya Zulaikha mengukir segaris senyuman.

Senyuman palsu pada pandangannya!

“Lama aku tak jenguk ke sini. Tak banyak yang berubah, ya?”

Khalifah senyum mendengarnya. Dia tahu Zulaikha sedang cuba mengalih perhatiannya. Faham benar akan sifat Zulaikha yang satu itu. Cukup bijak dan pandai menyembunyikan rahsia dirinya. Kalau tidak kena dengan gayanya, memang sampai bila-bila pun, dia tidak akan tahu.

“Setakat ni aku tak ada rancangan nak tambah apa-apa. Aku teruskan aje apa yang dah ada. Nanti-nantilah...”

“Tak cukup modal ke? Aku boleh tambah...”

“Bukan...aku yang tak nak. Lagipun, aku sibuk sikit akhir-akhir ni.”

“Hah, sibuk dengan boyfriend baru kan. Siapa namanya tu? Alahai, tak ingat pulak aku...siapa ek, owh...dah ingat, Fareeq...” usik Zulaikha sambil ketawa kecil.

Seronok mengusik Khalifah yang sudah merah wajahnya menahan malu.

“Zu...ada-ada je kau ni tau...” balas Khalifah malu.

Seketika sepi memenuhi ruang mereka. Kanak-kanak sudah habis sesi rehat dan kembali ke dalam kelas. Zulaikha leka memandang kanak-kanak kecil yang berlari ke kelas masing-masing.

“Hai...aku kat sebelah pun kau boleh termenung macam ni. Kau ada masalah ke Zu? Ceritalah, mana tahu aku boleh bantu...” pujuk Khalifah lembut.

Dia sedar riak wajah Zulaikha yang sedih. Wajah itu tidak gembira dan ceria seperti yang dikenalinya. Zulaikha di hadapannya ini sedang runsing akan sesuatu. Itu yang dia pasti.

Zulaikha tersenyum mendengar pujukan Khalifah. Khalifah memang seorang sahabat yang sangat peka dan prihatin. Tambahan pula mereka sudah lama bersahabat. Semua perkara juga kebanyakannya dilakukan bersama.

“Masalah apa pulak ni Ifah... Aku okey je ni.” dalih Zulaikha. Cuba meyakinkan temannya yang sudah buat muka tidak puas hati.

“Kau sorok macam mana pun Zu, aku tahu kau memang tengah ada masalah.  Cuma aku tak tahu apa jenis masalah kau tu. Kalau kau tak nak cerita sekarang, tak apa. Tapi, bila-bila masa kau nak cerita, aku sentiasa ada untuk kau. Kau tahu tu kan?”

“Ifah...thanks, you’re the best.” Zulaikha peluk bahu Khalifah erat.

Rasa bersalah kerana membuatkan sahabatnya itu tertanya-tanya. Tetapi dia bersyukur mempunyai sahabat yang amat memahami dan tidak pernah mendesaknya.

“Dah berapa hari kau balik sini?” tanya Khalifah setelah Zulaikha meleraikan pelukannya.

“Dah dekat seminggu aku kat sini.”

“Dah dekat seminggu? Baru ni kau nak datang sini jenguk aku?”

“Laa...janganlah marah... Aku tak berapa sihat, tu yang stay kat dalam rumah je.” Zulaikha menjawab dengan nada memujuk apabila melihat temannya sudah berjauh hati.

“Kau demam ke? Aku tengok kau macam lesu je. Badan kau ni pun dah susut benar aku tengok.” Balas Khalifah pula dengan nada risau.

Memang temannya itu kelihatan tidak sihat. Muka lesu dan tidak bercahaya langsung.

“Ye ke susut? Perasan kau je kot. Aku okeylah...janganlah risau. Nama pun baru baik demam...”

“Lebih kau baik pergi klinik, mana tahu kot-kot dah ada ‘isi’. Aku dah lama mengidam nak jadi makcik.”

Zulaikha tersenyum pahit. Memang tak lama lagi kau akan jadi ‘mak cik’, Ifah. Desis Zulaikha sebak. Kalaulah Khalifah tahu dia sedang hamil, tentu rakannya itu menjerit kegembiraan. Namun, dia tidak bercadang untuk mengkhabarkannya. Sedangkan mak tehnya sendiri pun tidak tahu.

“Suami kau tak balik sekali pulak kali ni?”

“Dia...dia outstation.”

 

 

BUNYI kereta di halaman membuatkan Puan Zawiyah bangun menjengah di tingkap. Dia lihat Zulaikha keluar dari kereta dengan tangan yang sarat dengan barang. Dia sedih melihat keadaan anak saudaranya itu.

Sudah dekat seminggu Zulaikha di rumahnya, tetapi jarang sekali Zulaikha mahu berbual dengannya. Asyik terperap di dalam bilik. Dia risau dengan fizikal Zulaikha yang tampak susut benar. Dia tahu Zulaikha sedang menderita saat ini.

“Banyak barang Zu beli?” Puan Zawiyah menyapa sebaik sahaja Zulaikha masuk ke ruang dapur.

“Sikit je mak teh. Zu beli buah sikit. Nampak sedap pulak buah pear ni tadi. Zu ada beli buah naga jugak ni. Mak teh kan suka buah naga.” Jawab Zulaikha jujur sambil meletakkan buah-buahan yang dibelinya di atas meja.

Buah-buahan tersebut dibelinya pulang dari berjumpa Khalifah di Tabika Kasih.

“Banyaknya buah pear Zu beli? Selalu Zu suka lai cina dan epal.”

Puan Zawiyah turut sama membelek buah-buahan yang berbungkus di dalam plastik kuning. Memang dia agak pelik kerana setahunya Zulaikha tidak menggemari buah pear. Tak sedap katanya.

“Sekali-sekali tukar angin. Mak teh dah masak ke?” soal Zulaikha mengalih perhatian ibu saudaranya.

Sebetulnya, dia tidak mahu perkara itu dipanjangkan. Memang dia tidak berapa menggemari buah tersebut dahulu. Tetapi tekaknya tiba-tiba terasa mahukannya akhir-akhir ini.

Dia tidak mahu ibu saudaranya mula mengesyaki akan kehamilannya. Dia belum bersedia lagi mahu memberitakan tentang itu.

“Dah...boleh kita makan sama-sama nanti.”

“Zu...mak teh makan dulu ya? Zu belum lapar lagi.”

“Makan sama-samalah.”

“Zu nak mandi dulu. Lepas Zohor nanti Zu makanlah...” tolak Zulaikha perlahan. Dia melangkah ke biliknya meninggalkan mak tehnya didapur.

Maafkan Zu, mak teh...bisik Zulaikha dalam hati. Dia tahu. Sedikit sebanyak, mak tehnya tentu terasa dengan sikapnya. Tetapi dia tidak punya pilihan lain.

Keadaannya yang sering muntah apabila menelan makanan, tidak perlu sampai ke pengetahuan ibu saudaranya. Dia tahu, jika mak tehnya tahu mengenai janin yang sedang dikandungnya, tentu mak teh akan lebih berkeras hendak memberitahu ibu mentuanya.

Dan sedaya mungkin dia tidak mahu perkara itu terjadi. Dia tahu, kalau ibu mentuanya mengetahui perihal kandungannya, sudah tentu ibu mentuanya itu akan memaksa Affendi memujuknya dan berbaik-baik. Dan jika perkara itu terjadi, dia tahu Affendi akan menurutnya kerana terpaksa. Bukan dengan kerelaan. Bukankah Affendi sudah jijik dengannya?

Paling membuatkannya takut sekiranya Affendi tidak mahu mengaku anak yang dikandungnya. Dia tidak sanggup mendengar sebarang kata-kata keji dari Affendi lagi. Dia sudah tidak kuat untuk itu.

Cukuplah, jiwanya sudah lemah, jiwanya sudah menangis parah, jiwanya sudah terluka dalam. Dia takut dia tidak mampu bertahan lagi.

 

 

PUAN Zawiyah memerhatikan Zulaikha yang asyik mengunyah buah pear dari jauh. Sedari tadi dia melihat perlakuan anak saudaranya yang leka memotong sebiji lagi buah pear.

Setahunya, Zulaikha tidak menggemari buah tersebut dari dulu lagi. Malah, jika dia membelinya sekali-sekala, sepotong pun Zulaikha tidak pernah mahu memakannya.

Sudah beberapa kali dia mengamati susuk tubuh Zulaikha. Hatinya berdetik sesuatu, tetapi dia tidak sampai hati mahu bertanya. Bimbang kalau-kalau telahannya itu tidak benar dan hanya akan menambah kesedihan yang ditanggung Zulaikha ketika ini.

Dan sekiranya telahannya itu benar, bimbang juga jiwa Zulalikha semakin parah. Sudah banyak kali dia cuba bertanya, tetapi akhirnya dia tidak sanggup meluahkannya apabila menatap wajah sendu Zulaikha.

Sudah banyak kali juga dia merangka-rangka ayat, tetapi ia hanya tersekat dikerongkongnya sahaja. Zu, apalah nasib kau, nak?

Namun sebagai orang tua, firasatnya kuat mengatakan yang Zulaikha memang sedang hamil. Lebih-lebih lagi apabila mendengar suara seperti orang sedang termuntah-muntah dari dalam bilik Zulaikha.

Malah, sikap Zulaikha yang selalu saja mengelak untuk makan bersamanya, membuatkannya terfikir akan kemungkinan itu.

Dia mencerna lagi fikirannya tentang sikap Zulaikha. Memang sepanjang anak saudaranya di sini, dia tidak pernah makan bersamanya.

Dan Zulaikha sentiasa memakai pakaian yang agak longgar dan kini, makan pula buah yang tidak gemarinya. Bukankah itu sesuatu yang luar biasa. Semuanya itu menguatkan lagi firasatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience