Bab 3

Family Series 17159

 

“JANGAN lari! Woi!” tempik suara itu kuat.

Zulaikha meneruskan lariannya tanpa mempedulikan jeritan dua orang lelaki yang mengejarnya. Dia nekad melarikan diri walau apa pun yang terjadi padanya malam ini. Dia tidak boleh bertangguh lagi. Zulaikha masuk ke lorong sebelah kirinya.

“Woi!” jerit salah seornag daripadanya. Zulaikha menguatkan lariannya. Dia masuk ke dalam lori yang berada di tepi jalan tersebut. Zulaikha duduk diam di dalam lori tersebut .

Dari dalam lori, Zulaikha mendengar bunyi tapak kaki dua orang lelaki yang mengejarnya. Zulaikha memberanikan diri meninjau dari celah kanvas yang menutupi lori tersebut.

“Mana dia? Laju betul budak tu lari.” ujar lelaki yang berbadan besar itu tercungap-cungap.

“Entahlah. Ada kat depan tu agaknya! Tak kan lah budak tu boleh lari jauh lagi. Jom!” balas lelaki yang seorang lagi. Dia melihat kedua-dua lelaki tersebut terus berlari ke depan. Zulaikha keluar dari lori tersebut setelah merasakan keadaannya selamat.

Zulaikha terus keluar ke jalan bertentangan yang di ambil oleh lelaki-lelaki kelab malam tersebut. Dia menahan teksi yang lalu. Dia mahu balik ke rumahnya dengan segera. Dia mahu menemui ibu dan adik-adiknya. Sekali-sekala dia menoleh ke belakang, bimbang lelaki-lelaki tersebut mengejarnya kembali.

 

 

SESAMPAI sahaja dia di  rumahnya, Zulaikha melihat hanya terdapat bangkai rumah yang sudah terbakar. Pantas air matanya merembes laju ke pipi. Dia menjerit-jerit memanggil emak dan adik-adiknya. Zulaikha terduduk di atas tanah.

“Mak, mak kat mana? Arif! Afiq!” jerit Zulaikha lagi. Zulaikha memandang sekeliling rumah yang semak.

“Mak! Afiq! Arif!” panggil Zulaikha lantang.

Berbagai-bagai andaian keluar dari kotak akalnya. Dia tidak mampu menerima apa-apa lagi kemungkinan. Zulaikha terkejut apabila bahunya disentuh seseorang. Dia melihat seorang wanita bertudung menyapanya.

“Zu? Zulaikha ke ni?” soal wanita tersebut.

“Mak Milah! Mak Milah, mana mak Zu dan adik-adik pergi? Kenapa rumah ni boleh terbakar, Mak Milah? Mana diorang Mak Milah?” soal Zulaikha terburu-buru.

“Ya Allah, betul ni Zu.” Pantas waniuta tersebut menarik Zulaikha ke dalam pelukannya. Wanita itu menangis teresak-esak.

“Mak Milah, mana mak Zu?” tanya Zulaikha lagi. suaranya sudah serak kerana banyak menangis. Zulaikha tidak sedap hati melihat wajah serba salah jirannya itu. Wanita itu memang baik dengan keluarganya. Mak Milah memang telah banyak membantu dia adik-beradik.

“Kita ke rumah Mak Milah dulu, Zu.” ajak Mak Milah. Mak Milah memeluk bahu Zulaikha dan membawa Zulaikha ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Zulaikha meneguk air suam yang dihulurkan kepadanya. Mak Milah memandang Zulaikha dengan rasa simpati dan kasihan. Dia tahu segala yang menimpa keluarga Zulaikha.

“Mak Milah, cakaplah...mana mak dan adik-adik Zu?”

“Zu...err...Zu sabar ya apa yang Mak Milah nak bagi tahu ni?” Mak Milah mengambil tempat di sebelah Zulaikha.

“Mak Milah...apa yang Ma...Mak Milah nak cakap ni? Apa dah jadi dengan mak dan adik Zu?” cecair jernih mula bertakung ditubir mata Zulaikha.

“Mak...mak dan adik...adik kamu dah me..meninggal Zu.”

“Apa? Mak Milah, Zu tak nak percaya. Cakaplah benda ni semua tak betul. Cakaplah Mak Milah!” jerit Zulaikha. Zulaikha menggeleng kepalanya berkali-kali. Kenyataan Mak Milah bagaikan batu besar jatuh dan menghempapnya. Dia tahu Mak Milah tidak berbohong apabila melihat air mata wanita tersebut.

“Sabar Zu...Mak Milah tahu Zu kuat. Sabar ya, nak...” pujuk Mak Milah. Zulaikha yang berada dipelukannya cuba ditenangkan. Simpatinya makin melimpah-ruah melihatkan keadaan Zulaikha.

“Ya ALLAH, ujian apa yang Kau beri? Aku tak kuat, ya Allah...” rintih Zulaikha. Mak Milah mengusap bahu Zulaikha simpati. Sayu hahtinya mendengar suara Zulaikha begitu.

“Afiq meninggal sebab demam panas. Dia tak dapat rawatan di hospital. Mak Zu dan Arif pula baru saja meninggal sebab kebakaran, bulan lepas.” jawab Mak Milah apabila Zulaikha bertanya bagaimana ibu dan kedua adikya meninggal dunia.

Dua hari Zulaikha menumpang di rumah jirannya itu, dua orang lelaki yang mengejarnya dulu mencari dia di rumah. Lelaki-lelaki tersebut membuat bising di tapak rumahnya dan mula bertanya kepada jiran-jiran yang berhampiran.

“Ada nampak perempuan dalam gambar ni?” soal lelaki tersebut pada orang kampung yang lalu di jalan rumahnya. Zulaikha ketakutan melihat lelaki tersebut masih tidak berganjak dari tapak rumahnya.

“Mak Milah, Zu kena pergi. Orang-orang tu cari Zu. Zu tak nak diorang apa-apakan Mak Milah.”

“Zu, ikut jalan pintu belakang. Hati-hati, nak.” Mak Milah sebak. Tubuh Zulaikha dipeluk seketika. Zulaikha keluar dari pintu belakang rumah Mak Milah setelah mengucapkan terima kasih. Dia terus berlari tergesa-gesa meninggalkan rumah Mak Milah.

Malang tidak berbau, entah di mana silapnya, Zulaikha terserempak juga dengan lelaki-lelaki yang mengejarnya tempoh hari. Ketakutan yang menyerbu hati mendesak Zulaikha untuk melarikan diri lebih pantas. Dia terus berlari di kawasan rumah teres tidak jauh dari situ. Sesekali Zulaikha menoleh ke belakang dan dapat melihat pemuda-pemuda berbadan tegap itu semakin menghampirinya.

Ketika sedang berlari menyeberangi jalan, dia tidak perasan kereta yang sudah menuju laju dari sebelah kanannya. Sekelip mata tubuhnya sudah tercampak di tepi jalan. Dia dapat mendengar bunyi brek yang kuat dihasilkan daripada kereta yang melanggarnya. Dia nampak seorang perempuan menghampirinya, namun pandangannya sudah semakin kabur.

 

 

“ASTAGHFIRULLAHAL’AZIM!” Zulaikha terjaga daripada lenanya. Mimpi ngeri itu datang lagi setelah lama dilupakan. Dada Zulaikha turun naik mencari udara. Peluh-peluh kasar telah membasahi wajah dan lehernya. Zulaikha mencapai telefon yang berada di meja sisi katil. Jam sudah menunjukkan pukul 3.05 pagi.

Zulaikha bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Bermula malam itu dia mengerjakan solat sunat taubat dan solat sunat istikharah. Panjang doanya pada Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Pengasih. Selepas itu dia mencapai al-Quran dan mula mengaji. Melontarkan Kalam Allah itu dengan penuh rendah hati. Mengaji membuatkan jiwa muslim jadi tenang.

‘Rasullullah berpesan pada sahabat-sahabatnya, waktu sepertiga malam adalah waktu hamba paling hampir pada Penciptanya. Mintalah apa sahaja yang kita mahu kerana ALLAH sangat suka hamba-NYA yang meminta-minta. Dan mintalah dengan hati yang rendah dan penuh rasa tawadu’ seorang hamba. Zulaikha masih ingat pesan Ustazah Saadiah, dalam kelas fiqah yang diikutinya.

Besok pagi, dia akan mengkhabarkan jawapannya kepada ibu saudaranya. Sudah tujuh hari ia tertangguh, dan dia tidak mahu membuat mana-mana pihak ternanti-nanti. Dia harap, keputusan yang akan dibuat akan memberikan kebahagiaan pada semua pihak. Dan dia tidak akan menoleh lagi ke belakang. Apa pun yang terjadi pada masa akan datang, dia akan hadapinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience