Bab 66

Family Series 17160

AFFENDI mengeluh kecil apabila Zulaikha menolak untuk menghabiskan makanan dengan alasan sudah kenyang meskipun bubur masih berbaki separuh didalam mangkuk. Kalau macam ni gaya Zu, memang dia tak haraplah nak balik ke rumah sendiri. Harus tinggal dengan mamanya. Sekurang-kurangmya ada yang memantau Zulaikha ketika dia kerja.

“Tak baik mengeluh tau.” tegur Zulaikha bila menangkap keluhan kecil yang keluar dari mulut suaminya.

“Macam mana nak cepat baik kalau Zu makan pun sikit macam ni. Tak ada tenaga tahu tak.”

“Kan Zu makan...”

“Ya lah tapi sikit sangat.” balas Affendi.

“Tak lalu.” jawab Zulaikha dengan nada yang sudah makin merendah. Mendengar gaya percakapan Affendi, dia tahu suaminya sedang mengawal marah.

“Tak lalu? Sekarang ni nak fikir tak lalu Zu ke atau nak fikir keperluan badan Zu?”

Tak tahu kenapa nipis sahaja sabarnya dengan Zulaikha hari ini. Mungkin terbawa-bawa dengan perbincangan mereka tengah hari tadi. Makanya sehingga lewat petang itu marahnya tidak berlalu pergi. Dia marah. Memang sangat marah apabila Zulaikha menyuruh menarik semula dakwaan terhadap Diana.

Zulaikha diam mengunci mulut. Faham benar dengan angin Affendi. Dia tak mahu membalas kata. Orang tengah panas, kalau cakap apa pun tentu tak mahu dengar. Nanti dah sejuk, dia cuba pujuk lagi. Putus Zulaikha dalam hati.

Affendi tahan hati melihat Zulaikha yang hanya buat tak tahu dengan pertanyaannya tadi. Bertambah-tambah marahnya melihat kedegilan isterinya. Kita ni risau pada dia, boleh pula dia buat tak tahu bila kita ni nasihat. Nasib baiklah aku sayang sangat kat dia. Sabarlah hati.

Subuh dinihari itu Affendi terjaga apabila mendengar bunyi bising. Matanya drastik melihat ke arah katil. Zulaikha tiada di situ! Hati terus dipagut risau. Dia sengaja tidur di sofa bilik itu kerana rasa marah yang masih tidak surut.

Dua malam sebelum ini dia setia menemani di sebelah isterinya. Supaya mudah terjaga jika Zulaikha memerlukan apa-apa tetapi tidak malam tadi. Dia bingkas bangun dan menunggu di depan pintu bilik air. Agak lama pula menunggu, dia jadi bimbang.

“Zu? Okey ke tak?” seru Affendi. Tidak mahu menunggu lama, dia memulas tombol pintu. Mujur tidak berkunci.        

“Zu?”

“Aa..banggg....” panggil Zulaikha cemas. Air matanya sudah lebat. Dia tidak berani bergerak walau segarit.

“Zu! Ya ALLAH!” Affendi menerpa Zulaikha yang masih kaku duduk dimangkuk tandas. Beberapa titik darah kelihatan masih segar di atas lantai tandas.

“Abang panggil doktor!” tanpa menunggu lebih lama Affendi bergegas keluar dan memanggil doktor yang bertugas.

           

 

“SYUKUR, alhamdulillah.” lafaz Affendi penuh lega. Segala kerisauan dipundak terus terbang pergi. Dia cukup lega dengan penjelasan doktor tersebut.

“Jadi doktor, berapa lama lagi dia perlu rest on bed?”

“Kita perlu lihat sehari dua lagi. Benar, fetus sihat dan Puan Zulaikha stabil tapi, kami beri juga injection untuk kuatkan rahim kerana tak nak ambil risiko pendarahan terjadi lagi.”

“Boleh I tahu kenapa terjadi bleeding sedangkan dia tak rasa sakit langsung dan tidak melakukan sebarang pergerakan berat.”

“Ya, saya faham. Kadang-kadang severe bleeding ni boleh terjadi apabila bangun dari tidur serta-merta, ia menyebabkan tekanan di abdomen bawah perut. Lagipun dengan apa yang terjadi pada Puan Zulaikha, dia masih ada kecederaan dianggota badan. Sesetengah kes, kemungkinan untuk keguguran adalah tinggi.”

Sejurus keluar dari bilik doktor, Affendi berlalu ke surau hospital. Sementelah solat Subuh masih belum dikerjakan. Panjang doanya pagi itu, penuh kesyukuran dan penuh rendah hati meminta pada Pencipta.

“Ya Rahim, sesungguhnya aku beryukur atas segala nikmat yang Kau berikan kepadaku, Allah. Dengan rahmat dan kasih sayangMu, aku mengecapi bahagia. Maka dengan ujian yang sedikit ini, aku malu mengeluh tetapi tidak malu untuk meminta agar KAU memberikanku kekuatan dan ketenangan untuk menghadapinya.

Sesungguhnya, ujian yang KAU beri hari ini, tak tertanding dengan nikmat yang KAU telah limpahkan kepada keluargaku. Dengan rasa rendah diri, aku meminta padaMU Tuhan, peliharalah zuriat yang membesar dalam rahim isteriku sehingga dia lahir dengan selamat dan sihat di dunia ini untuk menjadi mujahid yang soleh. KAU lindungilah keluargaku dari kecelakaan dan musibah.

Ain Zulaikha adalah isteri yang sebaik-baiknya untukku, ya RABB. Dia tidak menyakitiku dan menyakiti orang sekelilingnya. Dia taat padaku seperti mana dia taat padaMU, ya ALLAH. KAU ringankanlah rasa sakit yang KAU kurniakan kepadanya. KAU tabahkanlah hatinya menghadapi segala keperitan di dunia ini.

Sesungguhnya aku hambaMU yang lemah, yang hanya berharap kepadaMU ya ALLAH. Moga KAU perkenankan doaku kerana KAU lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hambaMU. Amin ya Rabbal a’lamin.”

Lama Affendi berteleku disejadah sebelum dia bangun menuju ke bilik yang menempatkan Zulaikha. Dia mahu menemani isterinya, bercakap, memberi semangat kerana tentunya Zulaikha sangat ketakutan tadi. Dia dapat rasa tangan Zulaikha yang sangat sejuk.

Setibanya Affendi diruang kamar itu, dia terus mengambil tempat dikerusi sebelah katil sejurus mengucup dahi isterinya. Pucatnya wajah yang menyinari hari-harinya. Dia amat kasihan melihat Zulaikha yang terlantar tidak berdaya. Serasa hilang kudratnya untuk meniti hari.

“Abang...Zu minta maaf...” ucap Zulaikha perlahan dan hampir berbisik sahaja suaranya. Terasa panas kelopak mata, menanti saat jatuh dari tubirnya.

“Hey...kenapa menangis ni, sayang... Zu sakit ke?” Affendi kaget melihat Zulaikha yang mengalirkan air mata. Terus redup pandangan isterinya tertunak pada wajahnya.

“Zu banyak sangat susahkan abang kan?”

“Abang tak pernah rasa susah bila hal yang berkaitan dengan Zu, sayang.”

“Terima kasih, abang...”

“Dah, dah. Tak nak menangis macam ni.” pujuk Affendi. Jari bingkas mengelap sisa air mata di wajah isterinya.

“Abang marah lagi?” soal Zulaikha takut-takut.

Affendi kemam bibir sebelum menggenggam jemari isterinya. Duhai isteri, andai saja kau tahu isi hati suamimu ini. Melihat dirimu kesakitan seperti ini membawa separuh dari semangatku pergi.

“Abang akan marah kalau Zu bergerak sesuka hati macam pagi tadi. Kenapa tak panggil abang?”

“Zu ingat...abang dah tak nak ambil tahu pasal Zu.” jawab Zulaikha jujur.

Semakin rendah nada suaranya. Itulah yang dirasakan apabila suaminya tidak langsung mahu bercakap dengannya selepas menyuapkan dia makan malam tadi. Malah suaminya itu tidur di sofa sudut bilik dan bukan disebelah katil seperti dua malam sebelum ini.

Affendi tidak terkata. Dia mahu Zulaikha menilai sendiri. Sudah penat lidahnya bertengkar sebelum ini. Dia tidak mahu kata-kata yang keluar dari mulutnya selepas ini akan membuatkan Zulaikha makan hati. Teringat akan perbincangannya dengan Zulaikha semalam.

 

 

“BIARLAH, kalau orang nak buat kita pun. Perlu ke kita membalas? Kita tak berhak menghukum. Zu tak nak berdendam.”

Sebaris ucapan isterinya itu memang membuatkan Affendi merenung tajam wajah pucat dihadapannya. Berdendam? Zu fikir aku ambil tindakan ini kerana berdendam dengan Diana? Dia tak percaya. Sungguh tak percaya Zulaikha fikir dia cuma mahu membalas dendam kerana Diana mencederakan isterinya semata-mata.

Dahlah Zu suruh aku tarik balik dakwaan. Langsung tak setuju aku buat police report yang menyebabkan Diana sekarang dalam tahanan polis. Dia tuduh pula aku sengaja nak balas dendam. Salahkah aku bertindak untuk melindungi keluarga aku sendiri? Aku bukan buat untuk orang lain, untuk dia juga!

“Zu rasa abang berdendam dengan Diana ke?” soal Affendi dengan suara yang tertahan.

Zulaikha hilang punca. Dia tak bermaksud begitu. Zulaikha tunduk. Tidak berani menentang renungan suaminya yang dirasakan sedang menahan amarah mungkin.

“Abang bukan berdendam. Abang nak Diana beringat.”

“Tapi ada banyak lagi cara lain kita boleh buat untuk dia sedar dan beringat.”

“Cara apa? Cara yang bagaimana maksud Zu?”

“Berbincang, mungkin...”

“Berbincang? Apa, Zu tahu ke selama ni abang pernah berbincang dengan dia atau tak?” Soal Affendi berang.

Zulaikha hilang diksi. Affendi dihadapannya ini seperi tidak dikenali lagi. Mudah benar marah dan melenting.

“Zu....abang memang marah! Sangat marah bila fikir apa yang Diana dah buat pada Zu. Kalau boleh abang tak nak pandang muka dia lagi lepas ni. Apa yang dia dah buat ni memang melampau. Abang tak terfikir seorang perempuan boleh bertindak ganas begitu sekali.” Affendi menggeleng kesal.

“Dia mungkin tak sengaja.”

“Tak sengaja? Tak sengaja yang macam mana maksud Zu sampai lembik Zu kena pukul?” pintas Affendi.

“Abang, orang yang memaafkan lebih mulia hatinya.”

“Siapa kata abang tak maafkan?”

Zulaikha berkerut tidak mengerti. Maafkan apa kalau macam tu? Kalau kata maafkan, kenapa buat laporan polis sampai Diana tu masuk lokap. Tapi semua tu hanya lahir dibenak fikiran. Kalau jawab macam tu, tentu suaminya tambah berang.

“Kalau dah maafkan, lupakanlah apa yang berlaku. Zu tak apa-apa.”

“Zu! Kalau nak jadi baik pun ada batasnya. Zu sedar tak yang Zu dah cedera dan terlantar dalam hospital ni sebab dia? Kita nyaris hilang anak dalam perut tu. Zu sedar tak?” suara Affendi semakin meninggi.

Terangkat sedikit bahu Zulaikha selepas itu. Lagi marah? Bila keluar nada yang tinggi begitu, cepat sahaja dia teringat pada peristiwa lama. Sungguh, rupanya dia masih fobia.

Saat itu baru Affendi tersedar dia sudah terlebih emosi dan melepaskan marah kepada isterinya. Melihat Zulaikha yang terperanjat dengan nadanya, Affendi segera beristighfar dalam hati.

Perbincangan yang berakhir dengan kedegilan Zulaikha dan keegoannya sebagai suami. Dia dengan pendirian dia dan Zulaikha pula dengan tak habis-habis nak beralah! Biar apa orang buat kita... Oh, dia memang tak boleh terima pernyataan itu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience