Bab 11

Family Series 17160

AFFENDI dan Zulaikha akhirnya pergi berbulan madu di Cameron Highlands. Mereka pergi untuk tiga hari sahaja. Setelah selesai berkunjung melawat sanak-saudara di sebelahnya dan juga sebelah Zulaikha, mereka menurut kehendak Puan Barsyiah dan Puan Zawiyah yang mahukan mereka berbulan madu.

Walaupun begitu, mamanya tetap tidak berpuas hati kerana dia tidak bercuti lama dan hanya ke Cameron Highlands untuk berbulan madu. Affendi dan Zulaikha hanya tersenyum apabila mendengar rungutan Puan Barsyiah. Akhirnya mereka sampai juga di tanah rata. Matahari pagi tidak mampu memberi kepanasan menentang kedinginan udara tanah tinggi.

Affendi mendaftar masuk ke hotel yang sudah ditempah awal oleh mamanya. Ketika menaiki bukit Cameron tadi, hujan sedang turun renyai-renyai. Namun, cuaca semakin baik apabila mereka sudah memasuki Brinchang. Kedinginan udara bukit memberi udara yang segar menyambut mereka pagi itu.

“Penat ke?” Soal Affendi melihat isterinya duduk di sofa berkembar yang disediakan dalam bilik tersebut. Isterinya itu menggeleng perlahan sambil memberikan senyuman manis.

“Tak lah. Biasa je...” jawab Zulaikha ringkas.

“Betul? Kita nak keluar kejap lagi ni. Abang nak bawak Zu pergi Taman Rama-rama dan Taman Bee.” Affendi berkata sambil tangannya menyelak langsir di pintu ‘sliding’. Cahaya matahari masuk menerangi bilik mereka.

“Zu boleh je. Betul...” ucap Zulaikha meyakinkan suaminya. Sehingga hari ini hubungan mereka berjalan seperti sahabat baik. Zulaikha semakin menyesuaikan diri berdampingan dengan suaminya. Dia juga  masih dalam proses mengenali peribadi dan memahami tingkah laku suaminya itu.

Bagi Affendi pula, dia sudah bersedia menerima Zulaikha dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi dia memang sudah lama menyukai Zulaikha dalam diam. Perasaannya semakin mekar dan subur dan dia semakin pasti cintanya memang untuk isterinya. Dia tidak mahu memaksa sebaliknya dia mahu Zulaikha sendiri menyerahkan diri sebagai isteri dalam erti kata sebenar.

“Okey, kalau macam tu, kejap lagi kita turun. Mari, abang tolong Zu kemas baju dalam almari dulu.” Zulaikha mengangguk.

Affendi memang seorang yang ringan tulang membantunya. Sepanjang tempoh seminggu lebih berkahwin, dia melihat Affendi seorang yang mementingkan kebersihan dan kekemasan. Kadangkala, Affendi sendiri akan mengemas katil sekiranya Zulaikha sudah bangun dahulu.

 

 

MEREKA turun ke lobi hotel dan keluar menuju ke kereta yang di parkir tidak jauh dari bangunan tempat mereka menginap. Affendi memandu keretanya menuju ke Taman Madu Lebah yang dikatakan tadi. Tidak terlalu ramai pelancong tempatan. Sebaliknya ramai pelancong daripada luar negara. Perempuannya memakai purdah dan didominasi oleh wanita dan kanak-kanak.

Setelah membuat pembayaran, Affendi dan Zulaikha turun meneroka Taman Lebah tersebut. Semasa meembayar tiket, penjaga tiket tersebut menasihati supaya tidak membuat bising kerana dikhuatiri mengganggu lebah-lebah tersebut. Malah, banyak juga papan tanda amaran yang meminta pelancong supaya tenang dan senyap.

“Zu pose kat situ, abang nak snap picture Zu ni.” Affendi mengarah Zulaikha untuk berdiri berhampiran dengan patung lebah gergasi. Zulaikha menurut dan segera membuat pose ‘peace’. Kamera digital bertukar tangan dan Zulaikha berkira-kira untuk mengambil gambar suaminya pula.

“Alahai...tak payah lah, dah tua...” dalih Affendi segan dengan pelancong-pelancong wanita yang berhampiran dengan tempat mereka.

“Alaa...mana aci macam ni.” ucap Zulaikha dengan memek wajah tidak puas hati. Afffendi ketawa melihat wajah isterinya yang sudah berubah kelat.

“Aci kat kedai la, sayang...” usik Affendi. Zulaikha ketawa dengan gurauan suaminya. Merah mukanya disapa malu kerana panggilan ‘sayang’ itu. Affendi memang kuat menyakat. Kadang-kadang ada sahaja ideanya untuk menarik perhatiannya.

“Abang ni...tak ada, jangan nak mengelat.” gesa Zulaikha lagi. Dia menolak Affendi berdiri berhampiran dengan patung lebah gergasi tersebut. Nak tak nak, Affendi menurut sahaja perintah Zulaikha. Dia sendiri seronok setiap kali melihat Zulaikha tersenyum setiap kali mengambil gambarnya.

Mereka melangkah menuju ke tempat madu lebah yang lain. Affendi meraih tubuh isterinya rapat. Zulaikha memandang wajah suaminya dengan pipi yang merona merah. Dia segan dan malu setiap kali Affendi menyentuhnya. Bulu romanya akan berdiri tegak setiap kali menerima sentuhan daripada suaminya.

Namun, untuk menegah dia rasa tidak patut pula. Sedangkan selama mereka bernikah Affendi tidak pernah memaksanya menyerahkan mahkota yang dijaga selama 26 tahun. Dalam erti kata lain, sehingga ke saat ini mereka masih lagi belum menjadi suami isteri dalam istilah yang sebenar-benarnya.

“Picture kita berdua tak ada pun...” ucap Affendi setelah selesai mengambil sekeping lagi gambar isterinya. Affendi meminta tolong pelancong tempatan yang kebetulan berada di situ. Pelancong lelaki itu dengan senang hati menolong.

Affendi dan Zulaikha beransur keluar dari taman lebah setelah lebih satu jam menghabiskan masa di situ. Zulaikha sempat membeli beberapa botol madu lebah untuk mak teh dan ibu mentuanya. Rasa madu di taman itu sungguh segar dan manis. Harga yang ditawarkan juga berpatutan.

 

 

SETELAH puas mengunjungi Taman Madu Lebah, mereka bertolak pula ke Taman Rama-Rama yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Taman Madu Lebah. Zulaikha begitu teruja melihat binatang yang terletak di dalam kotak pameran. Sesekali pujian diberikan pada Yang Maha Berkuasa kerana mencipta binatang yang pelbagai rupa dan bentuk.

“Jom, kita tengok kaktus kat sana.” Ajak Affendi setelah puas melihat binatang dan serangga. Zulaikha mengekori rapat langkah suaminya.

“Wah, besarnya! First time Zu tengok kaktus besar macam ni.” ucap Zulaikha teruja. Matanya bercahaya melihat pokok kaktus bulat yang sebesar pemeluk. Terdapat juga kaktus yang melebihi tingginya.

“Berdiri kat situ, abang nak ambil gambar Zu.” arah Affendi sambil tersenyum. Dia sendiri seronok melihat isterinya gembira.

“Abang pulak.” ucap Zulaikha mengambil kamera digital di tangan suaminya. Kemudian dia bergerak melihat kaktus-kaktus yang terdapat dibahagian itu. Affendi hanya mampu menggeleng kepala melihatkan keterujaan isterinya meneroka kaktus yang terdapat di situ.

“SubhanALLAH, besarnya bunga!” Zulaikha menjerit halus apabila terpandang deretan pokok bunga raya yang pelbagai warna. Bunganya pula lebih besar dari kepala manusia. Rama-rama pula berterbangan dengan bebas. Sesekali hinggap badannya.

“Zu, berdiri diam-diam...abang nak snap pic.” ucap Affendi apabila melihat seekor rama-rama hinggap ditudung isterinya. Zulaikha cepat-cepat kaku apabila menyedarinya. Dia cepat membuat gaya dengan senyuman manis.

“Abang, Zu nak ambil gambar dekat dengan bunga raya ni pulak.” Zulaikha sudah bersedia berdiri berdekatan dengan pokok bunga raya berwarna pic. Bunganya besar, lebih besar dari kepalanya dan mempunyai dua rona warna, membuatkan ia kelihatan sangat cantik unik. Pantas sahaja Affendi mengambil gambar isterinya.

“Abang tak nak?” soal Zulaikha kepada suaminya. Affendi tersenyum dan menggeleng kepala.

“Zu sorang cukuplah.” tolak Affendi lembut. Dia memang tidak berapa gemar bergambar. Sejak dulu lagi dia lebih selesa menjadi jurugambar daripada menjadi model untuk bergambar.

“Alah, tak nak la macam tu.” pujuk Zulaikha. Setiap kali giliran Affendi, memang jenuh dia kena memujuk.

“Tak nak. Berdua dengan Zu abang nak.” ucap Affendi sambil tersengih. Zulaikha menjeling manja suaminya yang sudah tersengih. Dia melihat Affendi yang sudah meminta tolong pelancong lain untuk mengambil gambar  mereka.

Affendi berdiri di sebelah isterinya dengan senang hati. Pinggang isterinya itu dipeluk erat. Tambah pula dengan kedinginan cuaca bukit. Terasa hangat badan isterinya, memberi keselesaan padanya. Dagunya saja diletakkan di bahu isterinya.

Dada Zulaikha berdebar kencang dengan pelukan suaminya. Affendi tidak pernah terlalu rapat seperti ini. Lebih seminggu bernikah, Affendi tidak pernah pula berkelakuan romantik seperti sekarang. Sedikit sebanyak ia telah membuai fitrah wanitanya.

Walaupun diselubungi rasa malu yang amat sangat, namun jauh di sudut hati Zulaikha, dia mula menyenanginya. Terasa kasih sayang Affendi mengalir dan meresap ke tubuhnya. Dan akhirnya sampai ke dasar hati yang paling dalam. Perlahan-lahan Zulaikha menyelesakan diri didalam dakapan suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience