Bab 29

Family Series 17159

AFFENDI memecut keretanya laju menuju ke rumah. Hatinya yang betul-betul membara dan meluap-luap dengan api kemarahan tidak sabar untuk bersemuka dengan isterinya. Sedikit sebanyak kata-kata Diana itu berjaya meracun pemikirannya.

Setibanya di rumah, Affendi pelik kerana pagar rumahnya bermangga. Namun kereta Zulaikha ada diparkir. Affendi menebarkan pandangannya ke sekitar rumah. Tiada satu pun tingkap di rumahnya yang terbuka. Affendi menekan-nekan loceng rumahnya tapi tidak bersambut.

Affendi membuka pintu rumahnya dan meluru masuk memanggil nama isterinya keluar. Affendi ke dapur untuk melihat tetapi hampa. Dia berlari ke tingkat atas namun sekali lagi hampa apabila tiada kelibat Zulaikha kelihatan di bilik itu. Sempat dia menjengah ke bilik air di kamar tidurnya, di situ juga kosong tiada orang. Lantai bilik air kering seolah-olah sudah lama tidak digunakan.

Tanpa berlengah, Affendi pantas menuju ke almari pakaian. Tiada sehelai pun baju Zulaikha di dalamnya. Dia melangkah lemah turun ke ruang tamu di tingkat bawah. Affendi merebahkan badannya lemah ke sofa.

Ke mana dia pergi? Detik hati Affendi. Sudah banyak hari dia tidak balik ke rumah semenjak hari itu. Pulang ke rumah mamanya juga tidak. Khuatir mamanya akan bertempik marah lagi. Matanya jatuh pada sampul surat yang ditindih dengan gubahan bunga di atas meja tamu. Pantas surat itu dikoyak rakus.

 

Assalamualaikum, abang....

            Terlebih dahulu, Zu mohon ampun dan maaf dari abang dari hujung rambut ke hujung kaki. Zu terpaksa mengambil keputusan ini. Zu tak tahu bila waktunya abang akan terpandang dan membaca surat Zu ini nanti. Mungkin sehari, seminggu atau mungkin juga sebulan selepas pemergian Zu.

            Tapi Zu berharap sangat abang memberi keizinan Zu keluar dari rumah disaat abang membacanya. Dan mungkin keadaan akan jadi lebih baik pada abang setelah Zu keluar dari rumah ini...dari hidup abang... Sudah tiada maknanya lagi untuk Zu tinggal di rumah ini sekiranya kasih sayang dan kepercayaan abang sekelumit pun sudah tiada untuk Zu.

            Paling penting, abang sudah membenci Zu. Tapi Zu tidak pernah menyalahkan abang kerana Zu sedar siapa diri Zu. Cuma...Zu sedih kerana tidak diberi peluang untuk menjelaskan kedudukan sebenar kepada abang dan mama. Zu kesal kerana telah memalit warna hitam dalam hidup abang.


Bukan Zu pinta untuk melalui semua ini. Sungguh, kalau seorang hamba ALLAH mampu memilih sendiri corak hidupnya, Zu juga tidak mahu mempunya sejarah silam yang sangat memalukan itu. Tapi, Zu hanya seorang hamba yang lemah dan tidak dapat lari dari ujian-Nya. Zu redha segala apa jua ketetapan yang ALLAH telah aturkan untuk Zu.


Zu minta ampun dan maaf atas segala kekurangaan dan kesalahan Zu sepanjang Zu menjadi isteri abang. Walaupun Zu tahu dan Zu sedar, Zu tak layak dapat kemaafan abang. Terima kasih kerana memberi peluang kepada Zu untuk merasai cinta dan kasih sayang abang.

            Tiada saat yang lebih bahagia dan bermakna dalam hidup Zu selain menjadi isteri abang dalam tempoh hampir lapan bulan ini. Halalkan segala yang abang belanjakan untuk Zu sepanjang Zu bersama abang. Selebihnya, terpulanglah pada abang dan takdir Allah. Zu redha...


Andainya sudah ditakdirkan kita berpisah selepas ini, izinkan Zu menyimpan kenangan kita berdua sehingga ke akhir helaan nafas Zu. Kehadiran abang amat bermakna dalam rantai perjalanan hidup Zu sebagai hamba-Nya. Walaupun hanya seketika, tetapi ia cukup bermakna buat Zu.


Zu sentiasa mendoakan agar hidup abang dilimpahi kebahagiaan, dan kesejahteraan dari ALLAH SWT. Zu berdoa agar abang ditemukan dengan wanita yang baik dan indah budi pekertinya yang selayaknya menjadi suri hidup abang dan menantu untuk mama...


Sampaikan salam maaf Zu buat mama. Zu sedar Zu banyak berhutang kasih pada mama. Entah bila Zu berpeluang membalasnya. Zu berdosa pada abang dan juga mama kerana menyembunyikan hal yang sebenar.

Maafkan Zu atas segala yang terjadi...

 

Isterimu,

      Ain Zulaikha Razali

 

            Affendi meronyok kertas ditangannya. Dia mencapai pula telefon bimbit, kunci kereta dan beberapa keping kad di atas meja. Tadi dia tak perasan pula. Dia kenal kesemua barang tersebut.

Nampaknya isterinya benar-benar sudah terluka. Kalau tidak, masakan isterinya itu meninggalkan semua hadiah pemberiannya? Memang terang lagi nyata Zulaikha tidak mahu dijejaki atau dihubungi.

Kini Zulaikha telah pergi dari hidupnya. Tetapi...kenapa hatinya langsung tidak berasa bahagia dengan pemergian Zulaikha itu?

Affendi meraut rambutnya kesal. Air matanya bergenang juga tanpa diminta. Hakikatnya dia sangat menyintai Zulaikha sepenuh hati. Tetapi perkara yang diketahuinya amat memalukan dan mencalar maruah lelakinya.

Kenapa?
Ke mana perginya amarahku yang menggunung sebelum ini?
Kenapa mesti aku rasa sesedih ini sedangkan aku amat marah tak boleh melupakan apa yang Zu dah buat pada hidup aku?

Zu....kenapa mesti Zu? Kenapa Zu mempunyai sejarah silam yang amat memeritkan abang? Ya ALLAH, bantulah hamba-Mu ini.

 

 

AFFENDI hanya membisu seribu bahasa apabila Puan Barsyiah bertanyakan tentang Zulaikha. Puan Barsyiah terus mendesak Affendi untuk menjelaskan perkara yang sebenar terjadi dalam rumah tangganya. Puan Barsyiah semakin hilang sabar apabila melihat Affendi tetap membisu.

“Apa masalahnya ni Fendi. Mana Zu? Kenapa Di balik sini lagi? Apa yang dah jadi dalam rumah tangga kamu sebenarnya? Apa yang Zu dah buat sampai Di buat dia macam ni?” Puan Barsyiah memandang anaknya geram.

“Fendi...kamu dengar tak apa yang mama tanya ni?!” Puan Barsyiah semakin berang melihatkan sikap Affendi yang sambil lewa.

“Mama tak faham dengan kamu ni Fendi. Kamu kahwin pun tak sampai setahun. Kamu nak isteri mama dah carikan. Tapi macam ni Di layan Zu. Jangan buat macam ni dekat anak orang, Di. Mama tak didik kamu untuk menyakitkan anak orang. Zu tu dah cukup baik untuk Di. Kenapa kamu layan dia macam ni?” soal Puan Barsyiah geram.

Affendi diam tidak berkutik. Badannya lesu kerana tidak cukup rehat. Seharian dia sibuk di pejabat. Malamnya pula, matanya langsung tak mahu lelap walaupun badan terasa amat penat.

Dia benar-benar tertekan dengan keadaan rumah tangganya yang bagai retak menanti belah. Dia tidak tahu kenapa dia memandu kereta menghala ke rumah mamanya tadi.

Setelah membaca surat yang ditinggalkan isterinya tadi, dia seperti hilang arah tuju. Dia hanya nampak rumah mamanya sahaja.

Bait-bait kata yang tersusun dalam surat Zulaikha tadi kembali berulang tayang di ruangan matanya. Sungguh, dia amat sebak membaca surat tersebut.

Namun, rasa sakit hatinya lebih hebat dari rasa sebaknya. Sedikit sebanyak dia turut rasa kesal kerana langsung tidak memberi peluang pada isterinya untuk membela diri tempoh hari. Kini, dia semakin keliru apa yang dirasainya.

“Fendi! Kamu dengar tak apa mama tanya ni? Sampai bila kamu nak biarkan Zu dekat rumah tu sorang-sorang Fendi? Kalau ada masalah sekali pun, berbincanglah. Jangan seorang ke timur, sorang ke barat. Kalau macam tu, sampai bila-bila masalah tak akan selesai.”

“Ma...please...bagilah masa pada Di untuk berfikir. Di penat ma.” Perlahan Affendi bersuara. Puan Barsyiah terkedu mendengarnya. Dia simpati, tetapi dia jugak tidak boleh berdiam diri.

“Nak bagi masa berapa lama lagi? Mama bukan nak bagi tekanan pada Di, tapi mama tak nak hal ni berlarutan. Dah terlalu lama Di melarikan diri dari masalah. Di sebagai ketua keluarga, perlu buat keputusan. Kan Di dah balik rumah hari tu? Tak kan tak selesai lagi dengan Zu.” Suaranya kembali kendur.

Affendi telan liur. Pasti ibunya sangka dia sudah berbaik dengan Zulaikha. Walhal, dia menyewa di hotel selepas keluar malam itu. Kemudian dia menggeleng kecil.

Bukan dia tidak mahu balik. Masalahnya sekarang kalau dia balik pun ia sudah tidak berguna lagi. Zulaikha sudah pun meninggalkan rumah.

“Mama...Di...” Affendi tidak tahu hendak mula dari mana. Dia tiba-tiba hilang daya untuk berbicara. Wajah ibunya direnung dengan rasa serba-salah.

“Apa yang Di nak cakap sebenarnya? Cuba bagi tahu mama??” soal Puan Barsyiah buru-buru. Dia rasa tidak sedap dengan maksud pandangan anaknya itu.

“Di tinggal kat hotel...” hanya itu yang mampu diluahkan.

“Apa?? Ya ALLAH, Affendi...apa nak jadi dengan kamu ni?? Di balik sekarang. Balik! Mama kata balik sekarang. Mama tak nak tengok muka Di kat rumah ni lagi. Balik!” tempik Puan Barsyiah berapi.

Affendi senyap tanpa reaksi. Bagaimana dia mahu berterus-terang? Terasa kering darahnnya memikirkan reaksi mamanya andai tahu Zulaikha telah pun keluar meninggalkan rumah tika ini.

“Affendi! Mama tengah bercakap dengan kamu ni! Mama tak kira, mama nak Di balik rumah Di sekarang jugak. Selesaikan apa yang patut. Kalau tak, jangan jejak lagi ke rumah ni!” ugut Puan Barsyiah. Dia berkira-kira mahu melangkah pergi.

“Mama...” terhenti seketika. Affendi tarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba mencari kekuatan untuk berterus-terang.

“Tak guna Di balik mama....Zu dah tak ada.” Affendi menunduk sambil mengeluarkan surat yang sudah terkoyak dua dan dikeronyok keluar dari poket seluarnya.

Puan Barsyiah lantas berpaling. Matanya merenung tepat pada kertas ditangan Affendi. Tanpa berlengah, dia mendapatkan Affendi dan membaca tulisan tangan yang tertera di atas kertas tersebut..

“Ya ALLAH, Affendi!!” Puan Barsyiah hampir meraung setelah membaca surat ditangannya. Dia berasa kasihan mengenangkan Zulaikha. Sedih hatinya membaca dan mengingatkan satu persatu ayat yang ditulis oleh Zulaikha.

‘Maafkan mama sayang'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience