Bab 9

Family Series 17159

KEESOKKANNYA, majlis sanding juga berjalan dengan lancar. Cuaca pula amat baik dan tidak hujan seperti yang dikatakan ramalan kaji cuaca. Majlis sanding juga diadakan awal iaitu pukul 12 tengah hari. Mereka tidak mahu barsanding bertembung dengan waktu Zohor pada pukul 1.30 petang. Lagi pula, Zulaikha dan Affendi sendiri yang memintanya bagi menghormati waktu Zohor.

Selesai mengambil gambar dan bergambar dengan sanak saudara serta rakan taulan untuk dijadikan kenangan, Zulaikha dan Affendi dibawa ke khemah untuk makan beradab. Jiran-jiran yang hadir serta sanak saudara tidak putus mengusik dan menyakat pengantin sehingga membuatkan Zulaikha malu teramat.

Setelah itu, mereka bersalaman dengan tetamu yang mahu beransur pulang. Zulaikha pula dikenalkan dengan kawan-kawan pejabat dan pekerja-pekerja Affendi.

“Zu, ni... Abang Fendi nak kenalkan Zu dengan kawan baik abang Fendi, Amar Suffian. Abang Fendi kenal Pian ni masa belajar kat UK. Sekarang, Pian kerja sekali dengan abang Fendi. Abang Fendi dah lama kenal Pian ni.” Zulaikha membalas dengan angggukan kecil.

“Betul tu Zu, kami ni dah macam adik-beradik tak seibu tak sebapa.” Gurau Suffian ramah. Zulaikha ketawa senang.

“Ni isteri Pian, Haninazira.” Zulaikha bersalaman dan berlaga pipi dengan wanita disebelah sahabat suaminya.

“Zulaikha.” Zulaikha memperkenalkan diri.

“Hani.” Hani menghulurkan tangan.

Cantik wanita ini, kulitnya putih melepak dan hanya bersolek nipis sudah cukup menyerlahkan wajahnya. Tidak jemu mata memandang. Zulaikha meneka sesuatu apabila melihatkan tubuh Hani yang agak berisi.

“Ni anak sulung kami, Syahmi. Salam auntie Zu, sayang...” Hani memperkenalkan anaknya yang berada dalam dukungan suaminya. Anak kecil itu menghulur tangan menyambut tangan yang disuakan Zulaikha. Zulaikha tersenyum melihat anak kecil yang petah itu. Pipi tembam Syahmi dicuitnya sekali.

“Cepat-cepat, Di...join aku...” sakat Suffian seronok. Affendi tersenyum menyambut kata-kata temannya. Pipi Zulaikha merona merah. Hani pantas mencubit pinggang suaminya. Tentu Zulaikha malu dengan usikan suaminya itu.

“Adoi!” jerit Suffian.

“Jangan ambil hati apa yang Suffian cakap, Zu... Dia memang macam ni.” Hani pantas berkata, bimbang Zulaikha akan berkecil hati. Bukan dia tak tahu sifat suaminya yang gemar menyakat.

“Tak adalah, Hani. Zu tak ambil hati pun.” jawab Zulaikha ringan. Dia tidak berkecil hati langsung dengan usikan teman suaminya itu. Affendi masih lagi ketawa melihat Suffian yang berkerut mengusap pinggang yang ‘diketam’ Hani.

“Tahniah Di, Zu. Selamat memasuki alam rumah tangga. Aku gembira untuk kau Di. Zu, saya dah kenal Di lama. Jangan risau, rekod dia bersih.”

Zulaikha ketawa lagi. Dia amat menyenangi sikap sahabat suaminya yang terlebih ramah itu.

“Ada-ada je kau ni lah, Pian.”

“Okeylah, Di...Zu. Kami nak balik dulu la. Nanti kau bawaklah isteri kau datang rumah aku. Boleh kita borak-borak panjang lagi. Aku nak singgah rumah nenek Hani kat Muar. Dah dekat ni, tak sedap pulak tak singgah. Lagipun, Hani pun nampak macam tak larat dah.” Affendi dan Zulaikha sama mengangguk dan bersalaman.

“Aku faham... Thanks tau Pian, Hani, datang majlis kami.” ucap Affendi ceria penuh pengertian..

“Eh, kawan aku kahwin...tak kan lah aku tak datang. Lagi-lagi kau.” Suffian berkata menepuk-nepuk bahu Affendi mesra.

“Senang-senang, ajaklah Fendi ke rumah. Boleh kita kenal lagi rapat.” ajak Hani pula. Zulaikha mengangguk sambil tersenyum manis kepada Hani. Dia mencium pipi Syahmi yang sudah berada didukungan Hanim.

“Hani tengah pregnant, biasalah...” Affendi menerangkan sebaik kelibat Suffian dan Hani hilang dari pandangan. Zulaikha mengangguk faham. Dia juga sudah dapat mengagak melihatkan fizikal Hani tadi.

Affendi menggenggam jemari Zulaikha erat. Perasaan kasih dan cintanya semakin mendalam buat Zulaikha. Dia dapat merasakan jemari Zulaikha yang sejuk. Zulaikha merenung jemari Affendi di jarinya. Kemudian menatap pula wajah Affendi yang merenungnya. Zulaikha menunduk lantaran malu dan kalah dengan renungan suaminya.

Affendi tersenyum apabila memandang Zulaikha yang sudah tunduk. Dia tahu Zulaikha malu dengannya. Sengaja dia merapatkan lagi tubuhnya dengan tubuh Zulaikha. Dia nampak Zulaikha yang semakin menunduk. Affendi tersenyum nipis. Dia mengajak Zulaikha ke meja makan di khemah kedua bagi menghilangkan rasa malu dan gemuruh isterinya itu.

 

 

“ALHAMDULILLAH, semua dah selesai. Lega rasanya kan Barsyi?” Puan Zawiyah menoleh ke sisinya. Puan Barsyiah mengangguk bersetuju dengan kata-kata sahabatnya dan kini sudah menjadi besannya. Mereka kini sedang duduk di ruang tamu seusai makan malam bersama.

“Affendi, Zulaikha...sekarang korang berdua dah sah sebagai suami isteri. Satu tanggungjawab yang besar telah terletak dibahu masing-masing. Affendi, sebagai nakhoda, Di kena pandai mengemudi dengan baik supaya tidak karam di tengah lautan. Hidup berumahtangga memang seronok untuk mereka yang sabar dan bertolak-ansur satu sama lain. Tapi, ALLAH sentiasa menguji hambanya dan banyakkan bersabar dalam menjalani kehidupan suami isteri.” pesan Puan Barsyiah panjang lebar menasihati anak dan menantunya.

“Betul tu. Fendi, mak teh serahkan Zu pada Di. Jagalah Zu dengan baik. Tegurlah dia apa yang terkurang dan ajarlah dia apa yang dia tak tahu. Zu dah mak teh anggap macam anak sendiri. Mak teh tahu Di macam mana. Mak teh percaya pada Di. Sebab tu, mak teh gembira sangat dengan pernikahan kamu bedua ni.” matanya beralih pula kepada Zulaikha yang diam di sebelah Affendi

“Zu, sebagai isteri, Zu kena patuh dengan Affendi selagi tidak melampaui batas syara’. Zu pun tahu tu kan, dalam kursus kahwin pun dah sebut berkali-kali. Selepas ini, apa saja yang Zu buat, Zu akan bawa nama suami. Zu kena jaga perlakuan Zu supaya tak mendatangkan aib pada Fendi.” Puan Zawiyah berkata sebak. Sayu hatinya untuk melepaskan Zulaikha.

Walaupun Zulaikha hanya anak saudaranya. Tetapi, dia sudah menganggap Zulaikha seperti anak sendiri. Lima tahun Zulaikha tinggal bersamanya sehingga dia berasa berat melepaskan Zulaikha.

“Zu faham, mak teh...” Zulaikha turut menitiskan air mata. Affendi menggenggam jemari halus isterinya. Puan Barsyiah pantas mengusap bahu sahabatnya.

“Walau apa pun masalah yang datang melanda, selesaikan dengan musyawarah. Jangan pendam apa yang tak puas hati, mesti berlebih kurang dan menerima kelemahan satu sama lain.” sambung Puan Zawiyah lagi.

“Zu, selamat datang ke keluarga mama. Mama rasa seronok sangat. Terimalah anak mama ni. Di, mama harap Di tak akan mensia-siakan Zu. Zu dah bawah tanggungjawab Di sekarang.” Puan Barsyiah merenung anak lelaki tunggalnya.

“Di tahu ma, Di akan jaga Zu seperti menjaga nyawa Di sendiri. Insya-ALLAH, Di akan ingat dan amalkan apa yang mama dan mak teh pesan. Mak teh, terima kasih kerana percayakan Di dan merestui Di sebagai suami Zu. Mama, terima kasih sebab carikan Di isteri seperti Zulaikha.” ucap Affendi malu-malu. Puan Barsyiah dan Puan Zawiyah tersenyum mendengar kata-kata Affendi.

Zulaikha pula sudah tertunduk malu.

 

 

“ZU, kenapa tak masuk bilik lagi ni?” Puan Zawiyah menyapa Zulaikha yang sedang duduk di kerusi meja makan. Puan Zawiyah mengerling jam yang sudah menghampiri 12 tengah malam.

Zulaikha terperanjat dengan teguran mak tehnya. Tadi selepas berbual di ruang tamu, mak teh dan ibu mentuanya meminta diri ke bilik masing-masing. Kemudian Afffendi pula mengajak masuk ke bilik. Dia pantas memberi alasan haus dan ingin memeriksa pintu dapur sama ada sudah berkunci atau tidak.

“Err...kejap lagi mak teh, haus pulak tekak ni.” Zulaikha pantas mencari alasan. Puan Zawiyah tersenyum mendegarnya. Dia tahu anak saudaranya itu gementar untuk berduaan dengan Affendi di dalam bilik. Dia menarik kerusi mengambil tempat di sebelah Zulaikha.

“Zu, kenapa?” Puan Zawiyah hampir saja ingin ketawa melihat Zulaikha yang sudah mula gelabah.

“Mak teh...” rengek Zulaikha manja. Sebetulnya, dia masih belum bersedia untuk masuk ke dalam bilik. Takut!

“Zu...Zu... Zu takut apa ni?” sengaja Puan Zawiyah bertanya. Dia melihat Zulaikha yang sudah tertunduk malu. Kali ini Puan Zawiyah sudah tersengih. Dia tahu perasaan yang dirasai oleh Zulaikha. Puan Zawiyah bangun dan menuang segelas air masak dan dihulurkan kepada Zulaikha.

“Baca selawat tiga kali dan Ayat Seribu Dinar. Lepas tu minum.” arah Puan Zawiyah. Zulaikha teragak-agak menyambut gelas yang dihulurkan dan menurut apa yang disuruh oleh Puan Zawiyah.

“Lepas ni Zu masuk ya? Tak baik biar suami tertunggu-tunggu.” Puan Zawiyah berkata lembut setelah Zulaikha habis minum.

 

 

ZULAIKHA akhirnya masuk juga ke dalam bilik dengan seribu rasa di dalam hati. Takut, gementar, gelisah, malu semua bergumpal di dalam hati. Setelah berselawat dan beristighfar beberapa kali, Zulaikha menguak pintu dengan lafaz bismillah. Dia melihat Affendi masih belum tidur dan sedang membaca majalah.

“Assalamualaikum.” sapa Zulaikha perlahan. Affendi menjawab salam dan memandang wajah isterinya. Zulaikha lantas tertunduk malu. Zulaikha kaku tidak tahu berbuat apa. Dia hanya berdiri di hadapan pintu. Langkah terasa canggung sungguhpun dia berada di dalam biliknya sendiri.

Affendi menyembunyikan senyuman melihat Zulaikha yang serba tak kena. Dia tahu Zulaikha tentu sedang gelabah dan malu. Masakan tidak apabila melihatkan isteri yang baru dua hari dinikahinya itu tunduk dan bermain jemari sendiri.

“Kenapa berdiri kat situ je, marilah duduk dekat abang Fendi ni.” pelawa Affendi dengan suara yang dilunakkan bagi mengusir rasa malu isterinya. Zulaikha menghampiri katil dengan dada yang berdebar-debar. Terasa debaran didadanya kian memuncak ketika semakin hampir ke katil.

Zulaikha melabuhkan punggung di atas katil yang empuk. Biliknya telah berubah wajah menjadi serba hijau. Tenang dan mendamaikan. Mak tehnya yang bertungkus-lumus menyiapkan biliknya. Zulaikha tunduk tidak berani menentang pandangan mata Affendi yang masih galak merenungnya.

“Zu penat?” soal Affendi, sebagai permulaannya.

“Tak sangat.” Jawab Zulaikha. Perlahan sekali. Tangan tergenggam erat antara satu sama lain.

“Zu takut ke?”

“Hah? Er...tak..tak adalah.” Wajah Affendi dipandangnya sekilas. Kemudian dia tertunduk kembali. Apa daa... mamat ni tanya aku takut ke tidak. Tak kanlah aku nak cakap aku takut. Ish....

“Baguslah. Sebab...tak ada apa pun yang Zu perlu takutkan. Abang Fendi tak makan orang. Abang Fendi makan nasi.” Affendi cuba berseloroh.

Zulaikha ketawa juga dengan lawak Affendi walaupun dalam hati kalutnya, hanya Tuhan yang tahu. Pandai pulak dia melawak. Memanglah awak tu makan nasi, tak makan orang. Kalau makan orang, awal-awal saya dah cabut!

Agak lama mereka membisu tanpa sepatah kata.

“Zu, abang Fendi tahu Zu belum bersedia sepenuhnya. Jangan kata Zu, abang Fendi sendiri rasa canggung walaupun abang Fendi sangat teruja dengan pernikahan kita. Abang Fendi faham apa yang Zu rasa dan abang Fendi tak paksa. Malam ni biar jadi malam pengenalan untuk kita okey?” akhirnya Affendi memecah kebekuan antara mereka. Affendi mencari wajah isterinya yang menunduk.

Zulaikha mengangguk sebagai balasan memberi persetujuan.

“So, malam ni kita borak-borak. Abang Fendi bagi tahu pasal diri abang Fendi dan Zu cerita diri Zu dekat abang Fendi, boleh?” tanya Affendi lagi.

“Semua?” Zulaikha tidak menjawab sebaliknya bertanya semula.

“Setakat yang Zu nak abang Fendi tahulah. Macam buat sesi ta’aruf. Boleh?”

Zulaikha menjawab pertanyaan suaminya dengan anggukkan.

“Untuk permulaan, kita start dengan panggilan. Abang Fendi tak kisah Zu nak panggil abang Fendi apa, tapi kalau boleh biarlah panggilan hormat isteri kepada seorang suami. Panggilan mesra itu kan salah satu cara mengeratkan hubungan suami isteri. Sunnah Rasulullah kan? Abang Fendi tak paksa Zu panggil sekarang, bila-bila Zu rasa Zu sedia. Abang Fendi tunggu...” ucap Affendi panjang lebar. Pipi Zulaikha merona merah apabila Affendi selesai berkata.

‘Nak Zu panggil apa?’ ringan saja mulutnya ingin bertanya. Memang dia tak tahu. Kalau nak harap dia yang mula dulu, alamatnya sampai bila-bila dia akan menggelar Affendi sebagai ‘abang Fendi’ saja. Namun pertanyaannya itu hanya terlontar di akalnya saja. Dia malu hendak bertanya.

Affendi menyimpul senyuman melihat Zulaikha yang tertunduk meramas jari sendiri. Bukan dia tak tahu isterinya itu, sifat malunya setinggi langit. Selagi dia yang tidak mula dulu, jawabnya sampai sudah rumah tangganya tidak ke mana. Dia tahu, sebagai seorang perempuan tentunya Zulaikha hanya akan menurut, sementelah dia pula masih lagi ‘orang asing’ dalam hidup Zulaikha.

Dan sebagai suami, sudah pastinya menjadi tugasnya untuk meluputkan istilah ‘orang asing’ dan menukarkan ia kepada ‘orang dalam’ agar Zulaikha selesa dan menjadi biasa padanya. Affendi berjeda sejenak sebelum berkata sesuatu.

“Abang mula dulu ya?” tanya Affendi lembut.

“Er...emm...okey.” tergagap-gagap Zulaikha menjawab. Darah rasa semakin menyerbu ke wajahnya. Gugur sudah ‘Fendi’ dan hanya ‘abang’ sebagai ganti nama. Sama ada Affendi salah cakap atau sengaja, itu tidak lagi menjadi perkara pokoknya. Pada logik akal Zulaikha, mungkin itulah panggilan istimewa yang Affendi inginkan.

“Baiklah, abang mula dulu.”

Agaknya memang ‘abang’ lah yang dia nak aku panggil. Fikir Zulaikha apabila Affendi lancar membahasakan diri begitu.

“Tapi sebelum tu... Abang ada permintaan.”

Hah? Permintaan? Dia nak minta apa pulak ni? Zulaikha berasa senak diperutnya.

“Ya?” perlahan sahaja suaranya bertanya. Dada Zulaikha bergetar kuat menanti. Wajah Affendi yang serius, menambah kekalutan dihatinya.

“Zu tolong buatkan abang air kopi, boleh?”

‘Ya ALLAH, aku ingat dia nak apa lah tadi. Punyalah serius bukan main lagi.’ getus hati Zulaikha sambil mengusap dada. Tapi dalam hati ingin tergelak pun ada. Tulah, siapa suruh otak ni fikir macam-macam kan?

“Zu?” seru Affendi kemudiannya apabila Zulaikha tidak memberi respon.

“Hah? Ya?”

“Boleh tak?” soal Affendi lagi.

“Bo..boleh. Kejap, Zu buatkan.” Zulaikha segera bangkit dari birai katil. Malunya sudah tidak tahu hendak letak di mana. Kenapalah aku ni fikir lain tadi!

Affendi melambakkan ketawa sebaik sahaja kelibat Zulaikha hilang di sebalik pintu. Bukan dia tak nampak betapa ‘lega’nya Zulaikha tadi. Bukan main kalutnya membayangkan permintaannya. Dia mula belajar sesuatu tentang isterinya itu. Sungguh, Zulaikha sangat tidak pandai menyembunyikan riak wajah.

 

 

BERMULA sesi suai kenal mereka sebagai suami isteri malam itu, bertemankan seteko kopi dan sedikit kudapan. Dia mahu Zulaikha senang dan berasa selesa dengannya. Malam itu dia mengetahui banyak perkara mengenai isterinya. Selama ini, dia hanya mendengar tentang Zulaikha melalui mamanya. Memang dia pernah bertemu Zulaikha apabila sekali-sekala dia mengikut mamnya ke Melaka. Tetapi jarang sekali dia berpeluang bercakap dengan Zulaikha.

Perasaan sayangnya semakin menebal terhadap isteri yang baru dinikahi. Walaupun pada awalnya Zulaikha seperti malu-malu tetapi lama kelamaan isterinya itu semakin selesa berbual dan bercerita dengannya. Malah, Zulaikha sudah boleh bergelak ketawa apabila sesekali dia membuat lawak.

“Okey, tu je cerita abang sebelum abang kahwin. Abang tahu, bukan senang Zu nak terima diri abang, sikap abang, sifat abang berdasarkan apa yang abang beri tahu pada Zu tapi, segala habit abang atau Zu, biarlah kita belajar perlahan-lahan. Kita ada seumur hidup untuk kenal antara satu sama lain kan?” semakin lancar dia membahasakan dirinya sebegitu.

Zulaikha mengangguk mengiakan. Ya, memang benar mereka ada seumur hidup untuk mengenali hati budi masing-masing. Lagi pula, Saidina Umar pernah berkata pada sahabatnya, tidak akan kita ketahui hati budi seseorang itu melainkan kita bermusafir dengannya sekurang-kurangnya tiga hari, pabila kita makan sepinggan dan tidur bersama, barulah kita boleh nilai budinya.

“Zu ada apa-apa lagi nak tanya pada abang?”

Zulaikha menggeleng sebagai jawapan.

“Kalau macam tu, abang ada soalan nak tanya Zu, boleh?”

Zulaikha mengangguk lagi.

“Zu ni, lucu pulak abang tengok. Tadi angguk, lepas tu geleng, sekarang ni angguk lagi.” tegur Affendi sambil ketawa kecil.

Omelan Affendi itu membuatkan Zulaikha tertunduk malu. Dia juga tersenyum kecil mengenangkan teguran suaminya itu. memang itulah dua perkara yang dilakukannya sedari mereka menjalani sesi ta’aruf. Tidak sangka pula, suaminya itu akan perasan dan menegur perbuatannya.

“Zu.”

“Hmm?”

“Abang nak tanya...”

“Tanyalah.”

“Zu ikhlas terima lamaran, pernikahan kita ni dan  seterusnya menerima abang?” soal Affendi serius. Wajah Zulaikha ditatapnya sepenuh tumpuan. Cuba membaca riak wajah isterinya. Dia teringin untuk mengetahui apa yang sebenarnya tersirat jauh di sudut hati isterinya.

Padanya, ia sangat penting untuk dia mengetahuinya. Soal perasaan, ia boleh dipupuk tetapi jika tiada keikhlasan untuk menerima diri antara satu sama lain, ia tidak mungkin akan kekal lama. Affendi tidak kisah sekiranya saat ini, Zulaikha masih belum menyintai dan menyayanginya tapi sekurang-kurangnya, cukuplah kalau Zulaikha menerima pernikahan mereka dengan seikhlas dan setulus hati.

“Maaf, kalau Zu tak suka dengan pertanyaan abang. Abang cuma nak pastikan yang Zu bukan terpaksa menerima semua ini. Dan abang nak tegaskan, abang ikhlas mengambil Zu sebagai isteri abang, bukan terpaksa kerana permintaan mama. Tapi, hati abang yang mahukannya.”

“Abang Fendi...” Zulaikha berjeda seketika sebelum menyambung. “Zu terima abang, seikhlas hati Zu. Seperti mana abang, Zu pun harap abang ikhlas terima Zu.”

“Abang bukan saja ikhlas menerima Zu tapi, abang memang dah sayang Zu.”

Zulaikha terpana, wajahnya terasa panas. Mana nak letak muka ni? rasa nak menyorok bawah katil je. Aduhai hati...malunya rasa. Tak terpandang lagi wajah Affendi yang dia sedia maklum sedang galak merenungnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience