Bab 27

Family Series 17159

LANGKAH kaki dipercepatkan lagi untuk sampai ke muka pintu apabila ketukan tidak henti-henti kedengaran. Puan Zawiyah tergesa-gesa mencapai gugusan kunci yang berada di atas kabinet berhampiran pintu rumahnya.

Siapa pula datang ke rumahnya pagi-pagi begini. Lebih-lebih lagi pada hari bekerja.

“Eh, Zu! Kenapa ni, nak?” soal Puan Zawiyah penuh kehairanan.

Terkejut melihat anak saudaranya yang berada di depan pintu rumahnya. Puan Zawiyah membalas pelukan Zulaikha yang terus menangis apabila melihatnya.

Puan Zawiyah semakin hairan dengan perlakuan anak saudaranya namun, dia mengambil jua beg yang dibawa Zulaikha masuk ke dalam rumah. Puan Zawiyah memimpin Zulaikha untuk duduk disofa yang berada di ruang tamu.

“Bertenang Zu. Cuba cakap dengan Mak teh apa sebenarnya yang dah jadi ni?” Puan Zawiyah mengusap lembut kepala Zulaikha yang masih menangis didalam pelukannya.

Esak tangis semakin menjadi apabila mendengar pertanyaan yang keluar dari mulut ibu saudaranya. Zulaikha hanya menggeleng. Dia tidak bersedia untuk memberitahu mak tehnya. Dia tidak sanggup membuka pekung masalah perkahwinannya. Dia tak nak ibu saudaranya risau atau runsing dengan halnya lagi.

Sudah cukup rasanya dia menyusahkan wanita itu. Walaupun dia tahu, ibu saudaranya itu pasti mengesyaki yang bukan-bukan setelah melihat keadaannya ketika ini.

“Zu, kenapa ni? Apa yang dah jadi ni? Fendi mana?” soal Puan Zawiyah lagi. Nada suaranya semakin tinggi.

Zulaikha cuba bertenang. Air matanya merembes keluar seolah-olah tiada tanda akan berhenti. Dia tidak mahu ibu saudaranya  berfikir yang bukan-bukan. Terasa kesal kerana datang ke rumah mak tehnya. Tetapi, kalau dia tidak ke sini, ke mana lagi dia mahu pergi?

Puan Zawiyah semakin tidak keruan melihat wajah anak saudaranya yang sangat kusut. Wajah yang dulunya indah berseri tetapi kini kelihatan sangat teruk. Bawah matanya lebam tanda sudah terlalu banyak menangis.

Hatinya meneka, tentu sesuatu terjadi antara anak saudaranya dan Affendi. Zulaikha tidak pernah pulang sendirian ke Melaka setelah berkahwin.

“Zu tak apa-apa mak teh.” Jawab Zulaikha akhirnya dengan suara yang amat rendah.

“Mana boleh tak ada apa-apa kalau dah menangis teruk macam ni. Mata bengkak! Tak kan Zu nak nangis suka-suka je!” balas Puan Zawiyah tidak percaya.

Mana ada orang menangis tak ada sebab. Dia bukan budak kecil. Memang dia tak percaya.

“Mak teh, boleh tak Zu nak tumpang duduk beberapa hari kat rumah ni?” pohon Zulaikha dengan sendu yang tidak berkurang.

Jemari tua ibu saudaranya itu digapai dan digenggam erat tanda dia amat berharap. Soalan mak tehnya itu hanya dibiarkan tidak berjawab.

Biarlah...apa saja tanggapan ibu saudaranya itu. Saat ini, terasa pundaknya lemah. Tidak berdaya menampung beban fikiran yang menyesakkan.

Dia telah terbang terlalu tinggi sehinggakan terlupa kepada bumi yang menanti. Bila terhempas, dia tidak mampu untuk bangkit dan terbang semula.

“Apa yang Zu merepek ni, nak? Ni kan rumah Zu jugak, kenapa sampai nak minta kebenaran pulak? Lagi satu, mana Fendi? Kenapa dia tak balik sekali dengan Zu? Kenapa ni Zu? Apa dah jadi ni?”

Soalan ibu saudaranya itu disambut dengan air mata yang baru mahu kering. Nama Affendi yang disebut sebentar tadi menyebabkan air matanya kembali menderu laju menuruni lekuk pipi yang semakin cengkung.

“Abang Fendi sibuk mak teh, Zu balik sorang kali ni.” Zulaikha menjawab perlahan.

Maafkan Zu, mak teh. Bisiknya dalam hati. Dia tahu dia sudah berbohong. Tapi dia tidak punya pilihan lain. Dia terpaksa berbuat demikian.

“Tapi selama ni, sibuk macam mana pun dia, dia tak pernah biarkan Zu balik sini sendiri.” ulas Puan Zawiyah kurang percaya.

Zulaikha tunduk membatu tanpa sebarang niat untuk berkata. Hanya sesekali, dia menyeka air mata yang tidak putus menangis.

Melihatkan itu, Puan Zawiyah mengucap panjang. Tidak boleh tidak, hatinya berdetak hebat kerana tidak keruan menatap wajah Zulaikha yang sangat berserabut. Hati tuanya kuat mendesak anak saudaranya itu sedang dilanda masalah.

“Baiklah, mak teh tak mahu paksa Zu cerita. Tapi mak teh tahu memang ada yang tak kena. Mak teh tunggu Zu sendiri bagitahu. Affendi tahu Zu di sini?” Puan Zawiyah bertanya pada Zulaikha.

Zulaikha hanya menggeleng menjawab pertanyaan ibu saudaranya itu.

“Zu...berdosa Zu tinggalkan rumah tanpa izin suami. Tak cium bau Syurga! Zu tahu tu kan?” Puan Zawiyah terperanjat apabila mengetahuinya. Suaranya sedikit meninggi tidak bersetuju dengan tindakan Zulaikha.

“Zu dah tinggalkan surat, nanti abang Fendi tahulah.  Mak Teh, Mak Teh jangan bagi tahu mama ya, yang Zu ada kat sini?” suara Zulaikha mendatar penuh nada merayu dan mengharap. Jemari Puan Zawiyah digenggam erat.

“Zu...Zu tak bolehlah macam ni, nak. Salah hukumnya! Mana boleh Zu main tinggal surat saja. Berdosa besar Zu tinggalkan rumah tanpa izin suami tahu!”

“Tolonglah Mak teh...Zu merayu sangat-sangat.”

“Tapi...”

“Kalau tak boleh...Zu terpaksa cari tempat lain!” Zulaikha sudah berdiri. Air matanya dikesat kasar bersedia untuk beredar.

Dalam luar sedar, hanya itu yang terucap sedangkan dia tidak tahu mana hala dia nak tuju. Disaat ini fikirannya benar-benar bercelaru.

“Zu!” Puan Zawiyah terperanjat mendengar kata-kata Zulaikha.

Dia kaget melihat tindakan Zulaikha. Segera dia menahan Zulaikha yang sudah berdiri memegang beg.

Zulaikha duduk semula dengan kepala tertunduk merenung lantai. Dia lelah. Lelah memikirkan hal yang terjadi.

“Zu...Zu nak pergi mana kalau bukan rumah mak teh...tak kan Zu nak pergi dalam keadaan macam ni.”

“Zu tak tahu mak teh...Zu tak tahu.” Zulaikha menangis hiba. Memang sungguh dia tidak tahu apa yang mahu dilakukan ketika ini. Fikirannya buntu.

Puan Zawiyah semakin pedih melihat keadaan Zulaikha. Dia tidak sanggup membiarkan anak saudaranya pergi. Dia tidak mahu Zulaikha mengambil tindakan yang bukan-bukan lebih-lebih lagi melihatkan keadaan Zulaikha yang amat teruk.

“Baiklah...mak teh tak bagi tahu Barsyi...” Puan Zawiyah memeluk Zulaikha bagi menyalurkan kekuatan.

Zulaikha membalas pelukan Puan Zawiyah kuat. Dia terus menangis lagi. Basah bahu Puan Zawiyah dengan air mata Zulaikha. Puan Zawiyah semakin diserang perasaan bersalah.

“Terima kasih mak teh...terima kasih...”

‘Ya ALLAH, anak saudaraku. Apa yang dah jadi sebenarnya ni? Janganlah anak ku ini disakiti lagi. Aku mohon padaMU ya Rabb!’. Pinta Puan Zawiyah dalam hati.

 
 

“ABANG tak kan sesekali membuang Zu. Tak akan.”

Kata-kata itu bagai terngiang-ngiang di telinga Zulaikha kala ini. Suatu ketika dulu, suaminya pernah mengucapkan kepadanya bahawa dia tidak akan dibuang oleh Affendi.

Tetapi, apa yang berlaku kepadanya ketika ini? Rumah tangganya sudah sampai ke penghujungnya. Tidak akan dapat dibaiki lagi.

“Abang sentiasa doa perkahwinan kita akan ke Syurga. Abang tak nak isteri lain di akhirat nanti. Abang tak nak bidadari yang dijanjikan ALLAH untuk semua umatNYA. Abang hanya nak Zu yang bergandingan dengan abang. Tu doa abang.”

Zulaikha menangis lagi mengenangkan ucapan Affendi malam itu. Pedih hatinya setiap kali mengenangkan janji-janji suaminya.

Apa yang amat dikesali, dia tidak pernah diberi kesempatan untuk menjelaskan keadaan yang sebenar. Dia tidak kisah jika Affendi mahu terus menghukumnya tetapi biarlah setelah dia memberitahu hal yang sebenar.

Malah, yang lebih membuatkan dia kesal dan malu adalah setiap kali dia teringatkan ibu mentuanya. Tentu ibu mentuanya akan turut membencinya seperti mana Affendi telah membencinya kini.

Jika dia mampu mengundurkan waktu, dia tidak akan mengambil keputusan untuk berkahwin. Kerana dia memang tidak layak untuk mana-mana lelaki sekali pun.

Ketukan di pintu menyedarkan Zulaikha dari lamunan yang panjang. Cepat-cepat dia menyeka air mata yang mengalir hangat.

“Masuklah mak teh, pintu tak kunci.” Pelawa Zulaikha sambil merapikan rambut yang sedikit kusut.

Sedaya mungkin dia mahu meyakinkan mak tehnya yang dia tidak mengalami apa-apa masalah dengan Affendi seperti yang didakwa oleh wanita tersebut.

“Ada apa mak teh?” soal Zualikh asebaik sahaja wajah mak tehnya menyapa pandangan mata. Wanita itu tidak menjawab sebaliknya mengambil tempat disebelahnya.

“Zu, mak teh nak bercakap dengan Zu.” Suara Puan Zawiyah kedengaran serius. Sebelah tangannya mengusap kepala Zulaikha penuh kasih.

“Mak teh nak cakap apa?” tanya Zulaikha tidak sedap hati.

“Zu, mak teh minta maaf kalau apa yang mak teh nak cakap lepas ni buat Zu rasa tak senang. Zu, dah dua hari Zu kat sini. Most of the time pun Zu berkurung dalam bilik dan menangis. Walaupun Zu cuba sembunyikan dari mak teh, mak teh tahu there is something wrong somewhere.”

“Zu dua hari kat sini, suami Zu pun tak tahu. Hari ni, mak mentua Zu dah banyak kali call mak teh tahu tak? Mama Zu tahu ke yang Zu dengan Fendi tengah berkrisis? Dia tanya mak teh sama ada Zu ada mengadu apa-apa pada mak teh atau tak..” Beritahu Puan Zawiyah.

Memang benar sahabat baiknya itu ada menelefonnya. Dia dengan berat hati terpaksa berbohong kerana sudah berjanji dengan Zulaikha.

Puas ditanya pada sahabatnya itu apa yang terjadi antara Affendi dan Zulaikha, tetapi sahabatnya itu memberitahu yang dia juga tidak tahu mereka bergaduh kerana apa.

“Tapi yang hairannya, mama Zu tak tanya pulak yang Zu ada datang sini ke tak. Agaknya dia tak tahu Zu dah keluar rumah.” Sambung Puan Zawiyah lagi.

“Habis tu, mak teh ada bagi tahu mama ke yang Zu ada kat sini?” soal Zualikha dengan dada yang mahu pecah.

“Ikutkan hati, memang mak teh nak bagi tahu sebab kesian dengan mak mentua Zu. Dia dah pening kepala tengok Affendi dengan Zu tak baik-baik. Ni belum lagi dia tahu yang Zu dah keluar dari rumah.”

Rasanya, mahu sahabatnya itu naik gila kalau mendapat tahu Zulaikha lari dari rumah. Bukan dia tak tahu sayangnya Puan Barsyiah terhadap Zulaikha.

Air mata Zulaikha menitis satu-persatu membasahi tangannya yang berada di atas peha. Rasa bersalah menyerbu hatinya.

Maafkan Zu, mama... Nampaknya permasalahan yang melanda antaranya suami isteri, telah menyusahkan orang lain.

“Zu, share lah dengan mak teh sayang... Dulu, Zu boleh cerita apa sahaja benda dengan mak teh, kenapa sekarang tak boleh? Kenapa Zu nak diamkan diri macam ni? Ceritalah Zu...mak teh susah hati tengok Zu macam ni tahu.” pujuk Puan Zawiyah perlahan apabila melihat Zulaikha yang sudah mula teresak.

“Mak teh...Zu tak tahu nak mula macam mana.”

“Kenapa ni? Cuba bagi tahu mak teh. Apa sebenarnya yang dah berlaku antara Zu dengan Fendi? Korang gaduh ke?”

Zulaikha angguk sebagai jawapan.

“Apa yang Zu dengan Di gaduhkan sebenarnya ni? Tak kan sampai Zu bawak diri ke sini seorang diri? Cuba cakap dengan mak teh.”

“Entahlah mak teh. Zu dah tak berdaya nak fikir lagi. Zu rasa hidup Zu dah musnah, mak teh...dah tak ada apa lagi yang tinggal!” Zulaikha mengongoi menangis. Tubuh ibu saudaranya itu dipeluk erat. Dia menangis hiba di bahu Puan Zawiyah.

Puan Zawiyah sambut pernyataan anak saudaranya itu dengan dahi yang berlapis. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh kata-kata Zulaikha itu.

“Kenapa ni Zu? Cuba cerita betul-betul dengan Mak teh. Mak teh tak fahamlah. Apa maksud Zu ni?” Puan Zawiyah bertanya cemas.

Puan Zawiyah memegang bahu Zulaikha cuba mencari raut wajah anak saudaranya. Sayu hatinya melihatkan wajah Zulaikha yang sembab dan mata yang bengkak tanda banyak menangis. Air mata Zulaikha dikesat dengan jarinya. Namun air jernih itu tetap juga mahu mengalir keluar.

“Mak teh...apa yang Zu takutkan dulu, dah pun terjadi. Sekarang, abang Fendi dah tahu pasal tu Mak teh.” beritahu Zulaikha tersekat-sekat dengan suara yang serak.

“Astaghfirullahalazim...” Puan Zawiyah hanya mampu beristighfar dan menutup mulut apabila mendengarnya. Dia memandang Zulaikha dengan mata yang berkaca.

Zulaikha terus dibawa ke dalam pelukannya semula. Hatinya kesal kerana tidak mendengar kata-kata Zulaikha setahun yang lalu.

Puan Zawiyah dan Puan Barsyiah berkawan sejak dari sekolah menengah dan sama-sama melanjutkan pelajaran ke luar negara. Persahabatan mereka begitu akrab seperti saudara kandung.

Ketika Puan Barsyiah datang melawatnya di rumah, dia amat berkenan pada Zulaikha yang sopan dan berbudi bahasa. Lantas mahu meminang Zulaikha untuk anak lelakinya.

Zulaikha menolak apabila diberitahu tentang hasrat sahabatnya itu. Zulaikha takut kisah silamnya enam tahun dahulu diungkit.

Sememangnya Zulaikha trauma dengan kejadian yang berlaku dalam hidupnya. Namun, setelah dipujuk berkali-kali oleh Puan Zawiyah, Zulaikha akur menerima pinangan Puan Barsyiah.

Kini, perkara yang ditakuti oleh Zulaikha telah terbongkar. Puan Zawiyah berasa amat bersalah apabila melihat keadaan anak saudaranya. Nyata keputusan yang diambilnya dahulu telah memudaratkan hidup anak saudaranya.

“Fendi marah?”

Pertanyaan Puan Zawiyah itu disambut dengan senyuman kelat. Tersangat kelat.

“Terlalu marah sehingga tak boleh nak maafkan Zu agaknya.” memang itulah yang Zulaikha rasakan.

“Mana Fendi dapat tahu? Zu cerita pada dia?”

Zulaikha geleng.

“Dah tu, dari mana pulak dia tahu? Siapa yang bagi tahu?”

“Tak tahu. Zu tak tahu siapa yang bagitahu abang. Zu...” Zulaikha menangis hiba.

Akhirnya dia menceritakan apa yang berlaku. Bermula dari hari Affendi mula tidak bercakap dengannya sehinggalah kejadian malam Affendi menunjukkan fotonya. Cuma kejadian selepas dia pulang dari klinik sahaja yang tidak diberitahu.

Mengucap panjang Puan Zawiyah setelah Zulaikha selesai menceritakan segala-segalanya.

“Dah jelaskan pada Affendi perkara yang sebenar?” soal Puan Zawiyah tidak puas hati. Dia tidak mahu terlalu cepat membuat kesimpulan.

“Zu dah cuba mak teh. Tapi, abang Fendi tak nak dengar penjelasan Zu. Dia dah tak percaya Zu lagi. Dia dah benci Zu!”

“Zu dah cuba cakap elok-elok?”

“Mak teh, abang Fendi dah tak balik rumah lebih dua minggu. Dah puas Zu cuba telefon dia tapi satu pun panggilan dari Zu abang tak nak angkat. Mesej Zu pun dia tak balas. Abang Fendi dah buang Zu, mak teh. Dia dah tak nak Zu. Dia benci tengok muka Zu!” sehabis berkata, Zulaikha memeluk erat ibu saudaranya.

Puan Zawiyah hilang ayat untuk bersuara. Pelukan Zulaikha dibalasnya penuh rasa simpati. Melihatkan keadaan anak saudaranya yang begitu teruk, membuatkan dia turut terkena tempias sebak dihati. Rasa bersalah bertubu-tubi datang memenuhi ruang legar hati yang dipalu sebak.

‘Barsyi...kita dah salah buat keputusan ke?’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience