Bab 4

Family Series 17160

TUALA putih yang tersangkut ditengkuk sudah lembab dengan air peluh yang merejeh keluar. Affendi meneguk air mineral yang dibawanya dari rumah dengan rakus. Habis separuh air mineral tersebut masuk dalam tekaknya. Tekak yang kering tadi kembali basah meredakan kehausan yang menggila.

Affendi menebarkan pandangannya ke taman rekreasi yang tidak kurang dengan orang ramai. Maklumlah, hari cuti begini. Masa inilah hendak nak beriadah dengan ahli keluarga. Affendi tarik nafas panjang. Sesekali angin pagi bertiup menyapa wajahnya, memberikan udara yang segar dan nyaman.

Dia mahu berehat sebentar sebelum menyambung kembali jogingnya. Sudah lama dia tidak beriadah. Daya staminanya juga sudah semakin menurun. Kalau dulu, dia boleh joging tanpa henti 40 minit tapi kini, baru 20 minit dia sudah tidak larat. Nampak benar dia sudah lama tidak turun padang.

Baru saja hendak mengatur langkah kembali berjoging, telefon bimbitnya menjerit berbunyi minta diangkat. Dia kelam kabut mengeluarkan gajet kecil itu dari poket seluar tracksuitnya. Dari nada deringnya, dia tahu pemanggilnya dari siapa.

“Ya, mama. Di dekat tamanlah ni ma. Tadi kan Di dah bagi tahu.” Jawab Affendi setelah mendengar soalan mamanya. Hilang semua salam, suara mamanya itu kedengaran gembira benar. Sehingga bertanya dia di mana, sedangkan dia sudah pun memberitahu sebelum dia keluar tadi.

“Di, balik sekarang boleh? Mama ada benda nak bagitahu ni.” Ceria suara itu meminta.

“Penting sangat ke ma? Cakap dalam telefon je tak boleh ke?”

“Alah, Di baliklah. Mama nak cakap sendiri dengan Di. Balik sekarang ya?”

“Tak boleh tunggu ke, ma? Di baru 20 minit kat sini. Tak puas jogging lagi.” Pinta Affendi.

Memang betul dia belum puas berjoging. Lagipun, perkara penting apalah yang mamanya hendak beritahu sangat sampaikan tidak boleh dikhabarkan dalam telefon atau tunggu dia pulang ke rumah saja nanti.

“Penting. Penting sangat-sangat.”

Affendi ketawa mendengar jawapan dari mamanya. Beria benar mamanya meminta dia pulang segera. Akhirnya dia hanya mampu bersetuju. Terus sahaja dia menuju ke keretanya dan menghala jalan pulang ke banglo mamanya.

 

 

AFFENDI termangu setelah mendengar apa yang disampaikan oleh mamanya sebentar tadi. Otaknya kembali mencerna patah-patah perkataan yang keluar dari bibir wanita yang sangat dikasihinya itu.

“Mak teh dah telefon mama bagi tahu yang Zu dah setuju.”

“Setuju? Setuju apanya, mama?”

“Setujulah nak kahwin dengan Di. Tak kan dengan mama pulak...”

“Apa??”

Kerja gila. Mamanya salah cakap atau dia yang salah dengar tadi? Ke dia tengah mamai? Ke dia tengah berangan sekarang ni? Affendi mencubit sedikit peha kanannya. Wajahnya sedikit berkerut menahan sakit. Aduh, sakit! Jadi, aku memang tak berilusi. Memang betullah apa yang aku dengar benda yang mama aku cakap ni. Affendi bermonolog sendiri.

“Di...dengar tak ni? Di?!” panggil Puan Barsyiah kuat.

“Hah? Ye, ma. Di dengar...” jawab Affendi perlahan.

“Dah tu, senyap je?”

“Err...mama, Di tak salah dengar ke ni, ma?” soal Affendi pula.

Dia masih dalam keadaan tidak percaya. Tidak tahu hendak membalas dengan reaksi yang bagaimana. Betulkah apa yang didengarnya ini? Ke dia terlebih ‘angau’kan Zulaikha sehingga tidak dapat menumpukan perhatian?

Puan Barsyiah ketawa. Lucu melihat wajah anaknya yang jelas terpinga-pinga.

“Ya ALLAH, budak ni. Tak kanlah mama nak main-main hal macam ni. Betul...mama dah pinangkan Ain Zulaikha, anak saudara mak teh Wiya kamu tu untuk kamu. Tadi mak teh kamu bagi tahu yang Zulaikha dah setuju.” Beritahu Puan Barsyiah sekali lagi.

“Zulaikha anak saudara mak teh Wiya tu?” tanyanya untuk kepastian.

“Ya Rabbi... Iyalah, anak saudara mak teh Wiya tu. Zulaikha mana lagi?”

Sah. Memang betullah aku dengar tadi ni. Aku nak menikah? Ya ALLAH, dengan Zulaikha? Yahoooo...hati Affendi menjerit riang. Dia baru berkira-kira hendak menyampaikan hasrat hatinya kepada mamanya itu, tetapi dia tidak tahu cara apa yang sesuai untuk menyampaikannya. Walaupun dia memang rapat dengan mamanya, namun selama ini dia tidak pernah berkongsi cerita tentang cinta kepada mamanya itu. Dia tidak pandai hendak memulakannya. Malu!

“Tengok tu. Terdiam ni kenapa? Di setuju tak?” peha anaknya itu ditepuk kuat. Geram pula melihat anaknya yang hanya mendiamkan diri sedari tadi.

“Mama tak pernah bincang pun. Hari ni tetiba je tanya Di setuju ke tak. Pada hal mama dah pergi pinang pun.” ucap Affendi perlahan. Matanya dikalihkan dari memandang wajah ibu kesayangannya. Sengaja hendak melihat reaksi mamanya yang sangat mengharapkan jawapan darinya.

Eceh...Affendi, saja nak buat jual mahal konon... Padahal dalam hati ni dah melonjak suka! Cakap jelah kau nak, saja nak menyakat mama. Tapi, best jugak buat mama dup dap dup dap sekejap kan? Hehe.... Hati Affendi berbisik nakal.

“Err...maksudnya Di tak nak ke?” soal Puan Barsyiah dengan nada suara yang rendah. Melihatkan riak wajah Affendi yang ‘kosong’, dia seakan sudah dapat membayangkan jawapan anak tunggalnya. Wajahnya jadi suram serta-merta.

Affendi akhirnya tersenyum kecil. Tidak tahan melihat wajah ibunya yang sudah bertukar cemberut. Hilang terus wajah berseri yang menyambutnya tadi. Tangan ibunya diambil dan digenggam erat. Tangan ibunya dicium sekali, lama.

“Mama, apa yang mama rasa terbaik untuk Di, Di ikut je.”

Puan Barsyiah memeluk anaknya dengan rasa gembira. Matanya berkaca, menangis kerana rasa terharu dan sangat gembira. Kepala anaknya itu diusap manja. Dia tahu, Affendi tidak akan menolak. Lagi pula, dia lebih dulu makan garam. Dia sudah tahu apa yang tersirat dihati anaknya itu. Dan dia yakin yang dia tidak silap menilai.

“Mama tahu Di tak kan tolak.” Puan Barsyiah berkata setelah pelukan mereka terlerai.

“Iye ke mama tahu? Mana mama tahu?”

“Alah, anak mama. Mama yang besarkan kamu dari tapak kaki kamu besar dua jari sampailah kamu dah besar panjang. Tentulah mama tahu.” Balas Puan Barsyiah sambil ketawa riang.

Affendi tersenyum mendengar jawapan balas dari mamanya. Riak kegembiraan jelas terpancar dimata ibunya. Tidak pernah dia melihat wanita yang sangat dikasihinya ini, sangat gembira seperti sekarang. Wajahnya jelas cerah, bersinar dan berseri. Setelah itu mamanya leka menceritakan rancangan yang telah diaturkan. Affendi hanya tersenyum melihat keseronokkan ibunya bercerita.

Dalam hati, dia sendiri melonjak gembira. Manakan tidaknya, dia baru berkira-kira hendak memberitahu mamanya tentang perasaan yang suah bermukim di hatinya tetapi belum habis fikir caranya, dia sudah dikejutkan dengan berita gembira ini. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. ALLAH telah memberinya kemudahan yang tak dijangka.

Syukur segera dipanjatkan dalam hati. Tidak kira ia dikira tuah badan atau pun rezekinya, yang penting Zulaikha telah pun menerima lamaran ibunya. Dan bodohlah dia kalau menolaknya kan?

 

TERASA puas apabila badan mengeluarkan peluh setelah sejam berhempas pulas membantai bola tenis. Sudah lama rasanya dia tidak beriadah seperti petang ini. Suffian sudah beristeri dan mempunyai anak. Masa untuk beriadah bersama kawan-kawan sudah jatuh tempat terbawah mengikut tuntutan kepentingan tanggungjawab.

Kalau masa bujang dahulu, tidak perlu memikirkan isteri, tidak ada apa yang perlu dikejarkan di rumah kerana tiada yang menanti. Tetapi kini, dia perlu memikirkan perkara itu terlebih dahulu demi menjaga keharmonian dan kerukunan rumah tangganya bersama isteri tercinta. Walaupun isterinya tidak pernah menghalang aktivitinya di luar, tetapi dia sebagai suami, telah sendiri faham bagi menjaga hubungan mereka.

Dia memusatkan pandangannya kepada Affendi yang sedang mengelap peluh. Masing-masing telah basah bermandikan peluh setelah bermain dua set ‘game’. Disebabkan besok hari Sabtulah dia bersetuju hendak mengikut Affendi bermain tenis. Lagipun entah apalah yang penting benar hendak disampaikan oleh temannya itu sehinggakan begitu mendesaknya.

“Hah, cakaplah. Apa yang penting sangat nak bagitahu aku sampai paksa-paksa aku ni?” tanya Suffian tidak sabar. Sedari tiba tadi dia telah cuba mengoreknya tetapi Affendi bagai sengaja menguji tahap kesabarannya. Setiap kali dia bertanya, temannya itu hanya tersengih dan menyuruhnya bersabar.

“Alah, kau ni Pian. Tak sabar betul!” ucap Affendi sambil ketawa kecil. Sengaja mahu menyakat Suffian.

“Eh, aku dah cukup sabar ni pun tau! Dari tadi aku tanya, kau kata lepas game. Ni dah habis gamedah. Bagi tahulah. Aku dah tak sabar ni!” desak Suffian lagi. Geram pula dia melihat Affendi yang tidak putus tersengih. Menyebabkan dia tidak dapat menahan sabar hendak tahu.

“Okeylah, aku bagitahu ni. Sebab kesian dekat kau...” Affendi sengaja berhenti kerana melihat riak wajah ‘ingin tahu’ Suffian yang sangat ketara. Sedaya mungkin dia menahan senyum yang mahu  terhambur.

“Hish, Di! Kau ni main-mainkan aku ya? Cepatlah cakap!” gesa Suffian geram.

Affendi ketawa senang.

“Kau rasa?” sengaja dia hendak berteka-teki dengan Suffian.

“Di! That’s it! Aku geram betul ni. Kau nak bagitahu ke tak nak?” marah Suffian. Sakit pula hatinya dengan tindakan Affendi yang sedari tadi bagai sengaja hendak mempermainkannya.

Affendi tersengih membuat riak tidak bersalah. Sedikit pun dia tidak kisah dengan kemarahan yang mula bertapak di hati sahabatnya. Hatinya sedang berbunga. Hanya rasa bahagia yang sedang bermukim di hatinya kini. Lagipun. Jauh manalah marah si Pian ni kan? Dia dengan Suffian sudah bersahabat lama.

“Okeylah, janganlah marah. Aku nak bagi tahu kau ni yang aku....aku nak kahwin tak lama lagi.” rendah sahaja suaranya. Tapi dia yakin Suffian dapat mendengarnya dengan jelas.

“Hah? Apa Di?!”

“You heard me, Pian.”

“Is it true? Ya ALLAH..betul ke ni, Di? Kau tak main-main kan? Dengan siapa? Diana ke? Eh, setahu aku kau tak berkenan dengan dia? Kenapa pulak nak kahwin dengan dia ni?”

“Kau mengarut apa ni Ammar Suffian Safar. Kot iya pun terkejut, janganlah dok merapu tak tentu pasal. Bila masa pulak aku bagi tahu kau yang aku nak kahwin dengan Diana. Aku cuma bagi tahu yang aku nak kahwin je.”

“Hehe...sorry, aku terkejut sikit. Jadi betullah kau nak kahwin ni? Dengan siapa? Siapalah perempuan malang tu?”

“Kurang asam kau Pian! Sesedap kau ajelah nak kutuk aku kan. Eh, bertuah tau siapa yang jadi bini aku nanti.” Pantas saja tangannya menumbuk bahu Suffian yang tersengih suka.

“Sakitlah Di. Aku gurau je. Tak kan itu pun nak marah? Sensitif pulak kau ya? Patutlah seminggu dua ni lain macam je aku tengok. Rupanya hati tengah berbunga. Siapa perempuan tu, Di? Aku kenal tak?” soal Suffian gembira.

“Kau tak kenallah...”

“Yeke? Waa...sampainya hati kau Di. Kau tak pernah bagi tahu aku pun yang kau tengah bercinta. Tahu-tahu je, kau cakap nak kahwin. Ni yang buat aku rasa nak kecik hati dengan kau ni. Nama aje aku ni kawan baik kau, konon. Merajuklah aku macam ni.”

“ALLAH, kau ni Pian...Hani yang mengandung, kau pulak yang kena tempias sensitif. Apa hal pulak ni?” Affendi ketawa kuat. Dia tahu Suffian sengaja mengacahnya.

Suffian ketawa jua akhirnya.

“Wah, macam tak percayalah kawan aku Taufiq Affendi nak menikah!”

“Lailahaillallah budak ni. Kau dah kenpa? Apa, kau ingat aku ni tak ada rasa nak berbini ke? Melampaulah kau ni Pian.” Marah Affendi pula.

“Hehe...marah pulak? Yelah, selama ni punyalah ramai perempuan nak mengurat kau, kau jual mahal. Umur kita sebaya, tapi aku dah nak masuk dua anak, kau masih lagi macam ni...bujang terlajak.”

“Wei, ni betul-betul lebih ni! Belum terlajak lagilah. Baru 30. Mana boleh kira terlajak. Kau tu kalau nak kutuk aku, ada je modal kau kan.”

Suffian hanya tersengih sumbing.

“So, bagitahulah aku...perempuan mana yang kau nak menikah ni? Mana kau jumpa? Macam mana kau lamar dia? Bila langsungnya majlis kau tu?”

“Pergh, banyak betul soalannya. Yang mana satu aku patut jawab dulu ni?”

“Hehe...aku bukan apa Di. Teruja sikit. Kawan baik aku nak kahwin kan.” Suffian tersengih lagi. Sedar kekalutannya bertanya.

“Bukan aku yang cari tapi mama aku pinangkan anak kawan dia. Mak teh Zawiyah aku tu punya anak saudara. Zulaikha namanya.” Jawab Affendi tanpa berselindung.

“Wah, sedap namanya. Mesti lawa orangnya kan. Aku ingat kau yang cari sendiri. Kau setuju je dengan pilihan mama kau? Kau boleh terima ke?”

“Aku dah kenal Zu tu. Tapi taklah rapat. Kan aku kira selalu jugak temankan mama aku pergi Melaka. Rumah kawan baik dia tu. So, indirectlah aku kenal dia. Mama aku dah pinangkan, aku ikut jelah. Orangnya biasa-biasa je, Pian” Jelas Affendi jujur.

Memang betul dia berkenalan dengan Zulaikha secara tak langsung dan amat jarang berpeluang menegur Zulaikha. Cuma yang tak betulnya, dia memang sudah ‘terbagi’ hati kepada Zulaikha. Itu yang dia tak beritahu Suffian. Malulah kan?

“Ya ALLAH, tak sangka. Aku masih tak percaya yang kau akan berkahwin tak lama lagi. Kalau aku bagi tahu Hani ni, mesti dia tak percaya jugak. Apa pun, aku ucapkan tahniah. Asalkan kau bahagia, aku pun turut bahagia. Tahniah, Di.”

“Thanks, Pian.”

“Bila majlisnya ni?”

“Bulan lepas masa kami bertunang, semua dah sepakat nak tetapkan nikah lagi dua bulan, insya-ALLAH. ”

“Hah? Lagi dua bulan? Kau ni, memang betul-betul tak ingat kawanlah Di. Dah bertunang rupanya. Baru sekarang ni kau nak bagitahu aku. Teruklah kau Di!” marah Suffian. Betul-betul terasa hati.

Affendi hanya ketawa. Nak buat macam mana? Semuanya terlalu drastik sehinggakan dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu kepada Suffian. Dia hanya menurut. Segalanya telah sedia diatur oleh mamanya.

“Janganlah marah, Pian. Aku pun tak tahu macam mana nak bagi tahu kau. Semuanya berlaku terlalu pantas. Mama aku tu dah tak sabar-sabar nak bermenantu.” Seloroh Affendi.

“Nasib baiklah kau ni kawan baik aku. Kalau tak, putus kawanlah macam ni.”

“Alah, serius ke kau ni, Pian. Kan aku dah bagi tahu ni. Aku bukan sengaja nak rahsiakan. Sorrylah. Aku belanja kau makan lepas ni. Cakap je nak makan apa. Semua beres.”

“Hah, pandailah nak pujuk aku. Aku nak ‘paw’ kau cukup-cukup sebagai denda untuk kau sebab lupakan aku. Aku nak makan ikan stew, nak makan stik, nak makan dim sum, nak makan...”

“Wah, dah bagi betis nak peha kau ya.” sampuk Affendi segera sebelum sempat Suffian menghabiskan kata-katanya.

“Mestilah. Siapa suruh sorok-sorok.” Balas Suffian sambil ketawa senang.

Affendi hanya tertawa menggeleng dengan kerenah Suffian. Anak nak masuk dua pun, perangai tak pernah berubah. Ada saja modalnya nak menyakat aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience