Bab 41

Family Series 17160

"SETAHUN dulu, sebelum Di dan Zulaikha bernikah, Zu menolak lamaran dari mama Di. Zu membantah keras tidak mahu apabila kami hendak jodohkan Zu dengan Di. Zu cakap dia tak layak untuk Di. Bukan untuk Di saja, malahan mana-mana lelaki pun.

Sebab sebelum tu pun dia dah tolak pinangan orang lain. Tapi, masa tu mak teh pujuk Zu untuk lupakan kisah silam. Ya lah...lagipun benda tu dah berlalu, lima tahun dahulu. Tambah pulak, mama Di beria-ia nak jodohkan Di dengan Zu. Dia cakap Zulaikha tiada kurangnya dimata dia. Mak teh pun setujulah.

Tapi, lain pula alasan Zu. Zu cakap dia tak nak sesuatu yang pahit lagi berlaku dikemudian hari. Dan Zu tak nak kisah hitam dia terpalit pada orang lain. Mak teh nak Zu buka lembaran baru dalam hidupnya...jadi isteri Di. Masa Di bertunang dulu pun, Zu nak mak teh bagitahu hal yang sebenar pada mama dan Di. Tapi Zu langsung tak tahu yang mama Di sebenarnya dah lama tahu kisah silam dia.

Lepas kahwin, mak teh dapat lihat perubahan Zu. Dah makin ceria dan tak lagi rasa rendah diri macam dulu. Setiap kali Zu call mak teh tanya khabar, mak teh dapat dengar suara dia yang ceria. Mak teh gembira sangat Zu bahagia dengan Di.” Puan Zawiyah merenung ke hadapan, memutar kembali kenangan lama.

“Err...mak teh... Kenapa... Err...kenapa... Err...Zu... Err...boleh... Boleh terdorong jadi... Err...GRO?” tanya Affendi dengan suara yang amat rendah.

Dia membalas pandangan Puan Zawiyah. Lama Puan Zawiyah terdiam sebelum mengeluh kecil.

“Kira-kira lima tahun sebelum kamu kahwin, tak silap mak teh masa tu umur Zu baru 20 tahun. Zu dapat tawaran masuk U, tapi keluarga dia tak mampu. Ayahnya kaki judi dan tak pernah ambil kisah anak bini. Zu yang tanggung adik-beradik dia. Mak Zu pulak selalu sakit.

Zu tak bagi tahu pun emak dia yang dia dapat tawaran ke universiti walaupun dia boleh pergi sebab fully biasiswa. Zu tak nak tinggalkan emak dan adik-adiknya. Suatu malam, sekumpulan lelaki datang ke rumah mereka. Ayahnya kalah judi dan berhutang dengan orang.

Rupa-rupanya ayah Zu jual dia sebagai ganti menebus hutang. Demi emak dan adiknya yang diancam bahaya, Zu ikut mereka. Zu dipaksa jadi GRO dekat kelab malam mereka. Tapi ayah Zu tak pernah serik. Dia terus berjudi. Sanggup dia biarkan anak isteri tak makan asalkan dia dapat berjudi.” Puan Zawiyah menahan sebak yang bermukim.

“Habis tu mana mak dan adik-adik Zu yang lain?” Affendi yang sedari tadi tekun mendengar menyampuk.

Puan Zawiyah menarik nafas sebelum menyambung cerita.

“Adik bongsu Zu demam panas dan meninggal dunia kerana tak diberi rawatan. Masa tu adik dia baru tujuh tahun. Emak dan adik Zu seorang lagi baru 15 tahun ketika tu, terkorban dalam kebakaran.” Puan Zawiyah mengesat air mata yang mengalir.”

Zu selalu dipukul kerana tak mahu melayan pelanggan yang datang. Suatu hari, dia dipaksa tidur dengan orang yang dah bayar dia. Zu larikan diri dari kelab malam tu. Dia balik ke rumah dia, tapi jiran dia bagi tahu apa yang berlaku sepanjang Zu tak ada.

Zu terkejut dan takut. Dia macam dah hilang pedoman masa tu. Zu ingat dia dah terlepas dari orang-orang kelab malam tu. Tapi orang-orang tu masih cari dia. Mereka datang cari Zu, sekali lagi Zu lari sebab tak nak membahayakan jiran yang menumpangkan dia.

Masa Zu larikan diri dari dikejar orang-orang tu lah mak teh terlanggar dia. Zu parah masa tu. Mak teh takut sangat. Mak teh perasan orang-orang tu terus lari bila tengok Zu dah parah. Mak teh bawa Zu ke hospital. Tiga hari dia tak sedarkan diri. Bila dia sedar, Zu hanya menangis.

Mak teh pujuk Zu ikut mak teh balik rumah. Zu macam takut-takut dengan mak teh. Dia langsung tak nak berbual. Mak teh tahu nama dia pun dari IC dia masa nak daftarkan dia dekat hospital.” sambung Puan Zawiyah panjang lebar.

“Mak teh, Zu kan anak saudara mak teh...kenapa mak teh tak tahu nama Zu?” Affendi pelik mendengar cerita dari Puan Zawiyah. Puan Zawiyah hanya tersenyum mendengarnya. Air mata yang mengalir dipipi tidak lagi segalak tadi.

“Fendi, setiap orang ada kisah dan sejarah lama yang tersendiri kan? Masa mak teh di U.K dulu, sesuatu telah berlaku dalam keluarga mak teh. Bila mak teh balik, kakak mak teh dah tak ada. Seorang pun tak berani buka mulut cerita apa yang berlaku. Apa yang mak teh tahu, ayah mak teh tak nak dengar apa-apa lagi pasal kakak mak teh.

Ibu mak teh hanya cerita pada mak teh beberapa hari sebelum mak teh bertolak ke luar negara. Kakak mak teh dah kena halau sebab tak mahu berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga. Lepas ayah mak teh nikahkan dia dengan ayah Zu, ayah mak teh tak nak tengok lagi muka mereka.” Affendi tekun mendengar sejarah keluarga keluarga Puan Zawiyah dan sekali gus asal-usul isterinya.

“Balik dari luar negara, mak teh cari kakak mak teh. Lama mak teh cari dan mak teh tak pernah putus asa mencari. Akhirnya ALLAH perkenankan doa mak teh. Dia temukan mak teh dengan Zu. Mak teh terlanggar Zu masa mak teh tengah mencari alamat tempat tinggal kakak mak teh.

“Masa mak teh tanya Zu pasal gambar dalam purse dia, Zu cakap tu mak dia, mak teh tanya nama mak dia, mak teh yakin gambar tu gambar kakak mak teh. Bila mak teh cakap yang mak teh ni adik mak dia, Zu tak percaya. Mak teh tunjukkan gambar mak teh bersama ibunya, baru lah Zu percaya.”

“Sejak tu, Zu tinggal dengan mak teh. Lagipun Zu tak ada tempat lagi nak tuju. Lama masa yang diambil untuk Zu terima kenyataan hidupnya. Mak teh pujuk dia sambung pengajian untuk bantu dia lupakan kisah lama. Zu memang trauma dengan apa yang menimpanya.”

“Mak teh sayang Zu macam anak mak teh sendiri, Fendi. Ya lah, kalau anak mak teh masih hidup, mesti sebaya dengan Zu. Suami mak teh pun dah meninggal, jadi mak teh tak sunyi lagi sejak Zu ada.” Puan Zawiyah tersenyum mengakhiri kata-katanya.

Riak wajah Affendi berubah mendengarnya. Sedih dan kesal kerana dia telah melemparkan kata-kata yang kesat pada Zulaikha. Dia menghina isterinya sendiri.

“Mak teh...apa yang Di dah buat ni mak teh...Di bersalah pada Zu...Di gagal melindungi dia. Sepatutnya Di membela dia, tapi Di pulak...” Affendi tunduk pegang kepala. Dia meraup rambutnya ke belakang.

Rasa kesal dan bersalah bertubi-tubi datang. Rasa sebak mengepung hatinya. Dia tak pernah ambil tahu hidup Zulaikha sebelum ini.

“Fendi, mak teh tahu kamu tak sengaja...Di tak tahu hal sebenar. Mak teh tahu, Di tak bermaksud melakukannya. Pujuklah Zu, dia amat menyayangi Di. Zu seorang yang lembut hati. Sepanjang Zu berada di rumah ni pun, dia banyak menangis. Dia rindukan Di...” ucap Puan Zawiyah perlahan.

“Emm...mak teh nak masuk dulu ni. Mak teh tak Isyak lagi. Di pun masuk nanti ya...” Puan Zawiyah bangun sambil menepuk-nepuk bahu Affendi memberi semangat sebelum berlalu meninggalkan anjung rumah.

Affendi termangu sendirian. Otaknya mencerna semula apa yang diceritakan mak teh sebentar tadi. Kalau itulah cerita sebenar yang terjadi pada Zulaikha sebelum menjadi isterinya, sungguh dialah suami paling kejam di dunia kerana menghukum tanpa menyiasat perkara sebenar.

Bukan Zulaikha sengaja menyembunyikan kisah silamnya. Tapi dia yang membutakan hati, menulikan telinga tidak mahu mendengar sebarang penjelasan dari isteinya itu.

Saat ini, dia terasa dialah lelaki paling zalim yang menganiayai isteri sendiri. Memang dia tidak pernah menyakiti fizikal Zulaikha, tetapi dia menzalimi mental dan hati isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience