Bab 20

Family Series 17160

SEDANG asyik menghadapi hidangan makan tengah hari, Affendi dikejutkan panggilan telefon dari Suffian. Ceria suara temannya itu memberitahu Hani sudah selamat melahirkan cahaya mata kedua membuatkan dia jadi tidak sabar untuk menziarah. Terkocoh-kocoh langkahnya menuju ke meja makan semula sebaik sahaja selesai bercakap dengan Suffian.

“Mama, Hani dah bersalin. Pian dapat baby boy lagi. Di ingat nak pergi lawat lepas ni. Mama dengan mak teh nak ikut sekali?” beritahu Affendi dengan nada gembira. Wajahnya juga kelihatan ceria sekali menggambarkan keseronokkan dihatinya.

“Mama dengan mak teh dah ada janji dengan kawan. Tak elok pulak kalau kami tak pergi. Kamu pergilah dengan Zu. Pian yang dapat anak, kamu pulak yang seronok ya, Di?” tegur Puan Barsyiah melihatkan wajah ceria anaknya.

Affendi hanya tersengih suka. Memang tidak dinafikan dia seronok dan sudah tidak sabar-sabar hendak ke hospital.

“Mestilah, Di kan kawan Pian. Seronok Pian, seronoklah Di jugak.”

“Eloklah tu. Manalah tahu, melekat dekat Zu ni. Cepat kami ni bercucu.” sampuk Puan Zawiyah pula. Matanya merenung Zulaikha dihadapannya.

Zulaikha buat tidak faham dengan renungan ibu saudaranya. Dia tahu ibu mentuanya dan ibu saudaranya kalau sudah buka topik cucu, memang teruk dia kena giat. Seeloknya dia mematikan diri sahaja.

“Kamu nak balik rumah bila?” tanya Puan Barsyiah pula.

“Ingat nak balik petang. Tapi, ni dah nak keluar tengok Hani, Di rasa lepas ke hospital nak terus balik rumah kami lah. Tak apa, ma?”

“Mama tak kisah. Lagipun, kami punya perjumpaan tu entah pukul berapa sudahnya.”

“Mak teh lama lagi kat sini kan?” soal Zulaikha kepada ibu saudaranya.

“Tak lah lama sangat. Mak teh punya seminar tu ada tiga kali lagi. Maksudnya tiga hari lagi lah kat sini.”

“Singgahlah ke rumah nanti mak teh...” rengek Zulaikha manja. Tak puas rasanya dia mahu bermanja dengan ibu saudaranya itu. Tiba-tiba dia rindu pada waktu sebelum dia berkahwin. Dia sentiasa menemani ibu saudaranya walau ke mana.

“Mak teh tak janji, okey? Zu pun tahu kan?” balas Puan Zawiyah tidak berjanji.

Zulaikha akur dengan jawapan ibu saudaranya. Dia arif sangat dengan tuntutan kerjaya Puan Zawiyah yang selalu padat dengan jemputan memberi ceramah dan motivasi.

 

 

KETIKA mereka sampai di hospital. Hani tiada di atas katil, Suffian juga tidak kelihatan. Malah, bilik air yang terdapat dalam bilik sederhana besar itu juga kosong. Tidak lama kemudian, Suffian masuk ke dalam bilik tersebut dengan memimpin isterinya.

“Eh, Fendi, Zu! Lama dah sampai?” sapa Suffian sebaik sahaja terlihat Affendi dan Zulaikha. Wajahnya kelihatan letih tetapi terpancar sinar kebahagiaan. Dia mendudukkan isterinya berhati-hati di atas katil.

“Baru je. Ke mana tadi ni?” Soal Affendi pula lalu bersalam dan memeluk bahu sahabatnya. “Tahniah.” ucapnya lagi sepatah.

“Aku bawa Hani tengok baby. Thanks.”

Suffian tersenyum menyambut ucapan Affendi. Sempat melirik pada Zulaikha yang sedang menyalami isterinya.

“Tahniah ya. Hani macam mana, sihat?” ucap Zulaikha.

“Terima kasih. Hani sihat je... Alhamdulillah. Zu ni bila lagi?” tanya Hani sambil merenung wajah tenang Zulaikha.

“Coming soon...tak puas honeymoon lagi.” jawab Affendi pantas. Bahu isterinya dipeluk erat.

Suffian dan Hani ketawa melihatnya. Bukan dia tidak kenal dengan Affendi. Bila ditanya, ada sahaja jawabnya. Mereka ketawa lagi apabila melihat Zulaikha mencubit perut suaminya.

“Mana baby?” soal Affendi teruja.

“Dekat nurse. Kejap lagi dia hantarlah tu. Aku dapat baby boy...” ucap Suffian dengan suara yang sangat ceria.

“Tahulah, kan kau dah cakap tadi.” Affendi menepuk bahu temannya mesra.

Suffian hanya tersengih dengan kealpaannya. Terlalu seronok dan bahagia sehingga terlupa dia telah memberitahu Affendi di dalam telefon tadi. Seketika bilik itu riuh dengan tawa gembira mereka berdua.

“Dah letak nama apa?”

“Aku cadang nak letak Syahim, Hani pulak suka nama Aizat. So, letak dua-dua. Syahim Aizat. Fair and square.” Lebar sengihan Suffian.

“Abangnya Syahmi Ahnaf, yang ni Syahim Aizat. Kena sangatlah tu. Eh, lupa pulak. Mana Syahmi?” soal Affendi. Terlupa dia dengan anak sulung temannya itu. Teruja dengan kelahiran Syahim, sampai tak teringat dengan budak kecil yang rapat dengannya.

“Ada kat rumah dengan mak Hani.”

Affendi mengganguk faham.

Tiba-tiba pintu bilik itu dikuak dari luar. Seorang jururawat masuk sambil menolak katil bayi. Suffian segera mendapatkan anaknya dan mengucapkan terima kasih kepada jururawat tersebut. Suffian merenung bayi comelnya yang lena. Hatinya tidak henti mengucapkan syukur dan memuji kebesaran Maha Pencipta setiap kali merenung wajah mulus bayinya.

Affendi memerhati sahabatnya yang leka mencium pipi bayi comel itu berkali-kali. Terbit sedikit rasa cemburu dihatinya. Umur mereka sebaya tetapi dia masih lagi tidak mempunyai zuriat sendiri. Sejenak dia merenung kasih pada wajah isterinya. Dilihat Zulaikha turut merenungnya. Zulaikha menjungkit kening tanda bertanya apa yang difikirkannya. Affendi hanya membalas dengan gelengan sambil menghadiahkan senyuman manis.

“Apa yang kau tergeleng-geleng ni? Nah, tadi tanya sangat mana baby.” Suffian menghulurkan bayinya kepada Affendi.

“Hani nak pergi tandas, bang.” Pinta Hani setelah bayi bertukar tangan.

Affendi mengendong bayi yang baru beberapa jam lahir itu dengan hati-hati. Segera wajah comel itu diciumnya. Dia rasa tenang melihat bayi yang lena. Sikit pun tidak berkutik walaupun dicium bekali-kali. Sungguh mengasyikkan dapat mencium bayi yang masih merah itu.

Perbuatannya itu direnung Zulaikha dengan perasaan yang bergetar. Bahu Affendi diusapnya dengan sebelah tangan. Hanya mereka berdua ketika itu. Suaminya itu menoleh dan merenungnya dengan pandangan yang ingin menyampaikan sesuatu. Buat seketika, mereka berbalas pandangan.

“Abang pun nak baby macam ni, sayang...” bisik Affendi hampir ditelinga isterinya.

Zulaikha merenung wajah suaminya yang sangat polos. Matanya jernih dan sangat ikhlas. Akhirnya dia tersenyum penuh makna sambil mengerdipkan matanya.

“Insya-ALLAH, abang...akan ada rezeki kita.”

“Eh, silap....abang nak yang lagi comel dari ni.”

“Abang ni...” panjang senyumannya dengan kerenah Affendi. Dia melihat Affendi mencium bayi itu lagi.

“Bagilah Zu pulak. Dah lama abang pegang.” Pinta Zulaikha.

“Mana ada, baru sekejap.”

“Alaa...bagi Zu pulaklah...”

“Tak mahu...”

“Teruk tau abang ni. Kedekut.”

Affendi ketawa sambil mencebik pada isterinya yang sudah berwajah cemberut.

“Hah, tulah. Nanti, beranak sekali dua, tak payah rebut-rebut dengan Fendi.” Sampuk Suffian sambil membantu Hani duduk di atas katil. Ketawa kecil segera terbit selepas itu.

“Kau gelakkan aku ya, Pian. Nantilah, aku dapat sekali dua, baru kau tau siapa Taufiq Affendi kawan kau ni.” Balas Affendi tidak mahu kalah.

Zulaikha menepuk bahu Affendi seusai suaminya berkata begitu. Suaminya itu kalau sudah jumpa Suffian, memang tak ingat apa. Sudahnya, dia juga yang malu dengan gurauan sebegitu. Affendi hanya tersengih menayangkan sebaris giginya yang putih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience