Bab 53

Family Series 17159

PETANG itu, Suffian singgah di bilik Affendi sebelum balik. Sengaja dia mahu mencuba nasib mengajak Affendi bermain boling. Sudah lama dia tidak keluar meluangkan masa bersama.

Maklumlah, masing-masing ada hal dan komitmen masing-masing. Walaupun mereka berkerja dalam satu bumbung, tetapi masa yang ada begitu terhad.

Senyuman kecil terukir dibibir apabila melihat Affendi yang masih tekun menghadap dokumen. Affendi, siapa yang tak tahu dengan sikapnya yang satu itu. Kalau buat sesuatu, memang tekun habis.

“Hai, boleh aku masuk?”

“Hah, kau Pian. Bertuah kau. Dah masuk, baru nak tanya boleh ke tak? Pian...Pian.” Affendi geleng kepala.

Kawannya yang satu ini. Ada-ada sahaja. Affendi menutup dokumen yang diselaknya dan meletakkannya di sebelah kanan sudut meja.

Suffian tersengih-sengih sambil menarik kerusi dan duduk di hadapan Affendi tanpa dipelawa.

“Aku ingat kau dah balik. Selalu tu cukup time je, cepat nak cabut.”

“Alah, Di. Perli aku ke apa tu?”

“Eh, mana ada aku perlilah. Yelah...orang ada anak. Tak sabar la nak jumpa anak kat rumah kan. Lainlah aku ni.”

“Alah, Di. Insya-ALLAH, sampai rezeki kau lepas ni, kau pun akan macam tu jugak. Eh, aku sebenarnya nak ajak kau keluar. Main boling nak? Dah lama la tak keluar dengan kau Di. Lagipun, aku ada perkara nak bagi tahu.”

“Hai, lain macam je bunyinya tu. Perkara apa pulak?” soal Affendi ingin tahu.

“Aik, mana boleh cakap sekarang. Kau setuju nak keluar, baru aku bagi tahu.”

“Ada pulak? Yelah, yelah. Kita keluar lepas ni.”

 

 

“HAH, cakaplah. Perkara apa sangat yang kau nak bagi tahu aku tu. Dah satu ‘frame’ habis. Ni sampai dah masuk ‘frame’ kedua pun kau tak jugak bagitahu. Kau ‘auta’ aku je ek?” soal Affendi geram.

Mana taknya, dari sampai ke pusat boling ni tadi lagi dia bertanya, tetapi Suffian hanya tersengih menayangkan baris giginya yang putih melepak. Mana Affendi tak panas hati. Suffian membuat lontaran apabila tiba gilirannya pula. Sengaja berlengah menjawab pertanyaan kawannya.

“Pian...” panggil Affendi lagi.

Suffian tersengih memerhatikan markahnya. ‘Strike’ lagi. Suffian ketawa suka. Wajah bangga diberikan kepada Affendi yang dah menarik muka bengang.

“Wah, ni dah lebih. Okey, aku tak akan tanya lagi. Kau nak cakap, cakap. Tak nak cakap, sudah.” Affendi bengang.

“Rileks la bro...”

“Banyak kau punya bro.”

“Ee...tua-tua pun nak merajuk. Macam manalah Zu boleh tahan dengan kau ni agaknya.” sakat Suffian tidak puas.

“Eh, babit nama Zu pulak.” Affendi bangkit membuat balingan. Hanya lapan saja pin saja yang jatuh.

“Yelah, aku nak bagitahulah ni... Hani pregnant.” Beritahu Suffian dalam nada suara yang benar-benar ceria.

“Hah??”

Ketika itu Affendi baru hendak melontar bola, menghabiskan baki dua pinnya tadi. Dek kerana terkejut yang amat, bolanya terlepas dari pegangan dan jatuh bergolek memasuki longkang ‘lane’.

Suffian ketawa melihat reaksi Affendi yang dirasakan lucu. Dua kali fikir, macam keterlaluan pulak kalau benar terkejut pun. Yelah, apalah yang hairan sangat kalau dia memberitahu isterinya mengandung kan. Affendi je bereaksi lebih-lebih.

“Aku tak salah dengar ke?” soal Affendi pula.

Suffian yang masih ketawa hanya mampu menjawab dengan gelengan. Tanda sahabatnya itu tidak salah mendengar.

“Hani pregnant?” soal Affendi lagi masih ‘blur’.

Suffian mengangguk pula mengiakan.

“Syahim baru enam bulan kan?”

Suffian mengangguk lagi mengiakan.

“Wah, gila dahsyat kawan aku ni. Produktif!” jerit Affendi kemudiannya. Tangan segera dihulur pada Sufiian dan dia menarik Suffian seketika dalam pelukannya. Dia menepuk perlahan bahu Suffian.

“Tahniah, Pian. Seronoknya kalau aku jadi kau.”

 

 

PERKHABARAN mengenai Hani, tidak segera diberitakan kepada Zulaikha. Dia masih berkira-kira bagaimana mahu disampaikan berita itu kepada isterinya. Dia takut membayangkan reaksi Zulaikha nanti. Lebih-lebih lagi membayangkan bening anak mata isterinya. Affendi betul-betul bimbang emosi Zulaikha akan tercalar.

Semenjak keguguran dulu, Zulaikha semakin sensitif jika isu bayi diutarakan. Walaupun Zulaikha kelihatan biasa-biasa saja, tetapi Affendi tahu  yang isterinya masih kesedihan kerana kegagalan kandungannya.

“Eh, Pian tak ada bagi tahu abang apa-apa?” soalan Zulaikha lantas mencantas lamunan Affendi.

“Bagi tahu apa?” tanya Affendi kembali pura-pura tidak tahu.

Walhal dia sudah dapat mengagak. Apa yang nak dihairankan kalau Zulaikha juga turut tahu memandangkan hubungan Hani dan isterinya yang akrab. Tentu Hani sendiri yang menyampaikannya.

“Syahmi dan Syahim nak dapat adik.”

“Ada Pian bagi tahu tadi. Bila Hani bagi tahu Zu?”

“Petang semalam, Hani datang sini. Baru sebulan tak jumpa Syahim. Dah makin bijak dah Ayim tu. Geram Zu tengok. Tapi tak lama lagi nak beradik dah.”

“Rezeki Pian dan Hani.”

“Hmm...” Hanya itu yang terluah dari Zulaikha.

Kemudian masing-masing sepi tanpa bicara. Seolah-olah masing-masing hilang idea untuk berbicara.

“Hah, malaikat lalu ya.” Cetus Zulaikha setelah beberapa ketika mereka sepi tanpa bicara.

Affendi terus ketawa kecil mendengarnya. Zulaikha dilihatnya tersenyum manis. Wajah isterinya ditatap sayang. Ah, bening mata itu...membuatkan dia tidak senang hati. Isteriku, apakah yang sedang bermain dihatimu sebenarnya? Khabarkan pada suamimu ini agar aku tahu apa yang bermain dihati dan jiwamu.

Tolonglah berhenti berpura-pura bahagia sedangkan hatimu telah luka parah. Tolonglah isteriku. Rintih Affendi dalam hati. Sungguh, dadanya bagai dihiris dengan pisau setiap kali melihat Zulaikha ketawa palsu. Dia pasti ada sesuatu disebalik wajah ceria isterinya itu. Dia amat pasti!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience