Bab 56

Family Series 17159

SUASANA rumah yang baru sahaja tenang, kini kembali berkocak dan bergelora. Hubungan yang baru hendak bertaut, kini kembali menjadi jauh. Cuma bezanya, Affendi masih lagi di rumah tersebut, malah tidak pula mengasingkan diri seperti dahulu. Mereka melakukan rutin kehidupan seperti biasa, tetapi tiada perbualan antara mereka berdua.

Affendi berkecil hati, dia amat terasa dengan isterinya sendiri. Dia berasa seolah-olah hanya dia yang menyintai sepenuh hati tetapi isterinya langsung tidak. Sudah tiga hari dia mogok tidak bercakap dengan isterinya.

Tetapi, hatinya sendiri yang sangat terdera dengan keadaan itu kerana Zulaikha hanya membiarkan dirinya meneladeni hati sendiri. Pedihnya hati mengingatkan permintaan Zulaikha yang mahukan perpisahan.

Masakan dia sanggup melepaskan Zulaikha? Melepaskan kebahagiaannya sendiri? Apa ertinya hidup sekiranya tonggak kebahagiaannya pergi jauh darinya?

Arghhhh! Runsing fikirannya mengenangkan sikap si isteri yang tidak mahu mengerti.

Affendi merenung jauh siling ruang tamunya. Fikirannya melayang, teringatkan perbualannya dengan Puan Zawiyah petang tadi.

“Di ada masalah sikit mak teh...”

“Kenapa, ada apa ni Fendi?”

“Mak teh, Zu... Zu minta cerai dari Di.”

“Apa?? Astaghfirullahalazim! Di bergaduh dengan Zu lagi ke?”

“Tak ada, mak teh! Di sendiri buntu. Di tak tahu apa sebabnya Zu sampai nak minta cerai dengan Di. Puas Di tanya apa salah Di. Tapi Zu cakap Di tak salah apa-apa. Bila Di tanya kenapa nak berpisah dengan Di... Zu tak nak jawab. Tolonglah mak teh, Di dah tak tahu nak buat apa.”

“Di, cuba Di bincang baik-baik dengan Zu, nak. Mesti ada yang tak kena. Di sabar, ya? Mak teh harap sangat Di berbincang baik-baik dengan Zu.”

“Entahlah mak teh... Di tak tahu nak berbincang macam mana. Zu dah lain sangat. Di macam dah tak kenal Zu lagi. Sejak apa yang jadi dulu, Zu pasif sangat dengan Di. Dia dah tak macam dulu lagi, mak teh.”

“Zu tak jalankan tanggungjawab dia ke Di?”

“Bukan, Zu tunaikan semua tanggungjawab dia. Tapi, Zu dah tak macam dulu lagi mak teh. Dia susah sangat nak meminta. Susah sangat nak suarakan pendapat sendiri. Susah sangat nak tunjuk perasaan dia. Dia langsung tak cemburu kalau ada perempuan lain selalu call saya. Dia cakap dia tak layak nak cemburu. Di tak faham, mak teh.  Langsung tak faham. Tolonglah Di mak teh. Di dah buntu fikir nak buat macam mana.”

“Sabarlah, Di. Mak teh yakin, Zu memang sayangkan Di. Cuma dia rasa rendah diri. Mak teh dah agak, Zu akan jadi macam ni. Tapi, mak teh tak sangka pulak Zu sampai berani minta cerai.”

“Itu lah yang terjadi mak teh. Di tak tahu apa yang Zu fikirkan sekarang.”

“Tenang, Di. Ada penyelesaiannya. Zu keliru je tu. Tentu ada yang dirunsingkan. Barsyi tahu pasal ni, Di?”

“Tak, Di tak nak mama susah hati pasal kami. Kalau boleh, mak teh jangan cerita pada mama ya? Mak teh pun tahu kan mama macam mana.”

“Iya, mak teh faham. Kamu banyakkan bersabar. Di cuba slowtalk dengan Zu. Pujuk dia baik-baik. Pecahkan tembok rasa rendah diri dia. Insya-ALLAH, mak teh yakin dia akan kembali okey. Di cari masa yang sesuai, berbincang dengan Zu. Peristiwa yang menimpanya menyebabkan Zu hilang keyakinan diri. Di kena bantu Zu. Bantu dia hilangkan rasa rendah diri tu.”

 

 

BANTU Zu hilangkan rasa rendah diri dia? Tapi macam mana? Dia sendiri mati akal memikirkan bagaimana cara yang sesuai untuk menembusi tembok inferior Zulaikha.

Beberapa hari dia berkecil hati ini pun tidak pernah sekali Zulaikha datang memujuknya. Dia juga yang makan hati berulam jantung.

Terfikir juga dibenaknya, sudah tidak ada hatikah Zulaikha terhadapnya kini? Sudah tiada cinta? Tiada kasih? Tiada rasa? Ngeri dia memikirkan itu semua.

Walau bagaimana keadaan sekalipun, dia mahukan isterinya yang dahulu. Zulaikha yang ceria, suka ketawa, periang... Zulaikha yang manja, dan tidak teragak-agak menegurnya. Zulaikha yang tidak pernah kering dengan idea dan Zulaikha yang amat berani menyatakan pendapat.

Bukan seperti sekarang, isterinya itu seperti menjadi kontra dari sifat asalnya. Zulaikhanya yang berani kini menjadi seorang yang lemah. Lemah dengan kekeliruan hati, lemah dengan cabaran dan dugaan yang diberi-NYA. Zulaikhanya kini seorang yang amat memendam rasa. Sangat menjaga perilaku, seolah-olah takut berhadapan dengannya.

Zulaikha di hadapannya kini Zulaikha yang takut menyuarakan pendapat, takut mencurahkan kasih, takut bermain kata dan langsung tiada pendirian. Zulaikhanya kini hanya tahu menurut dan menerima apa saja. Tidak pernah lagi tahu untuk meminta-minta seperti dahulu.

Ya ALLAH! Apa yang sebenarnya ada difikiran Zu? Abang buntu, sayang... perlahan hatinya merintih kesal. Kesal kerana sebagai suami, dia masih lagi tidak dapat memahami apa sebenarnya dibenak fikiran Zulaikha kini. Dia kesal kerana sebagai suami, dia masih lagi gagal mengenali Zulaikha sepenuhnya.

 

 

ZULAIKHA buat tidak faham dengan renungan suaminya di hujung katil. Entah kenapa diri bagai tidak kena apabila suaminya itu merenungnya dengan sebuah pandangan yang sukar dimengertikan.

Tiga hari suaminya itu melancarkan mogok tidak bercakap walau sepatah dengannya. Tidak pulak dia berusaha untuk memujuk suaminya.

“Sampai bila Zu nak kita macam ni?”

Terhenti perbuatannya yang sedang menyisir rambut di hadapan meja solek. Renungan suaminya dibalas melalui cermin meja solek. Tapi, seketika sahaja.

“Kalau Zu rasa dengan berdiam diri boleh buat Zu rasa gembira, tak apalah. Zu buatlah. Abang tahu abang tak berhak minta apa-apa dari Zu. Abang bukan siapa-siapa dalam hidup Zu kan.”

Affendi menarik selimut di hujung kakinya dan merebahkan dirinya perlahan-lahan. Dia mengiring menghadap dinding. Sebak dadanya memikirkan rumah tangganya yang semakin meruncing. Zulaikha mengambil jalan mudah berdiam diri dan dia pula sudah mati cara hendak memujuk.

Dia takut andai dia berkeras, Zulaikha semakin menjauhinya. Lebih parah jika Zulaikha menganggapnya kasar dan tidak menyintainya lagi. Disebabkan itulah dia tidak mahu nampak sangat terlalu mendesak dan merimaskan. Apa yang penting adalah apa yang Zulaikha mahukan. Dia sudah serik dengan apa yang pernah berlaku dalam rumah tangga mereka sebelum ini.

Zulaikha merapati peraduan dengan niat hendak menegur suaminya. Sungguh, hatinya sangat perit melihat suaminya yang seakan membawa diri. Sejenak dia terfikir, sudah terlalu banyak dosanya terhadap Affendi. Akan terampunkah nanti? Ya ALLAH, aku telah banyak berdosa pada suamiku ini.

Perlahan-lahan tangannya diletakkan atas bahu kanan Affendi yang diam tidak berkutik.

“Maafkan, Zu... Zu tahu Zu tak layak dapat keampunan dari abang tapi ini jalan yang terbaik buat kita. Zu tak berdaya, bang. Percayalah, ini penyelesaian yang terbaik buat kita semua.” Ucap Zulaikha perlahan dengan air mata yang sudah jatuh membasahi pipinya.

“Abang tak nampak kat mana yang baiknya Zu. Abang tak nak kita macam ni. Abang nak isteri yang abang nikahi dulu. Abang nak Ain Zulaikha abang yang ceria, yang aktif, yang tidak lekang dengan pendapatnya. Bukan macam Ain Zulaikha yang berada di depan abang sekarang ni. Abang dah rasa jauh sangat dari Zu.

“Ke...memang itu yang Zu cuba lakukan? Buat kita rasa jauh dan akhirnya abang akan setuju dengan perpisahan yang Zu minta? Apa Zu dah tak rasa ke cinta yang abang curahkan pada Zu? Zu dah tak rasa ke kasih sayang yang melimpah ruah hanya intuk Zu? Zu tak rasa ke apa yang telah memenuhi dada abang ni?” tangan Zulaikha ditariknya rapat ke dadanya.

Zulaikha diam. Terasa degup jantung suaminya yang agak laju.

“Abang rayu pada Zu. Abang cinta Zu sepenuh hati abang. Abang belum pun dapat tunaikan apa yang abang dah janji pada diri abang. Abang belum puas membahagiakan Zu. Abang belum puas. Abang nak kita selamanya bersama. Abang tak nampak kenapa kita perlu berpisah.”

“Jangan, bang. Sudah terlalu banyak abang berehsan dengan Zu. Sampai mati pun Zu tak akan dapat membalas segala jasa dan kebaikkan abang. Zu dah bersyukur sangat sebab abang masih sudi menerima Zu walaupun abang dah tahu masa silam Zu. Abang dah terlalu baik pada Zu.” esak tangis Zulaikha semakin menjadi.

“Ehsan? Zu, apa yang Zu merepek ni? Jadi ini yang Zu rasa atas setiap layanan abang pada Zu?” Affendi terus bangkit dari pembaringannya.

Betapa dia terkejut dengan pengakuan isterinya. Rupanya selama ini Zulaikha menganggap cintanya berlandaskan rasa kasihan semata-mata. Rupanya ini yang Zulaikha rasa! Ehsan?! Huh!

“Cinta abang pada Zu, melebihi cinta abang pada diri sendiri. Abang tak akan kahwin dengan Zu hanya untuk berehsan. Jauh bezanya diantara ehsan dan cinta, Zu! Memang abang marah sangat bila abang dapat tahu Zu dulu pernah terlibat dengan kelab malam...sebab cinta abang terlalu dalam. Abang tak dapat terima Zu pernah jadi...GRO...

Tapi kerana cinta abang yang mendalam ni jugalah, abang boleh melupakan kisah silam Zu. Ehsan tak akan dapat membahagiakan abang dan juga Zu... Cinta abang pada Zu semakin kuat malah semakin dalam setelah abang mengetahuinya. Bodohlah abang kalau abang melepaskan Zu kerana sebuah kisah silam.

Abang perlukan Zu sebagai pendorong hidup abang... Abang perlukan Zu untuk bermanja dan bermesra... Abang perlukan Zu untuk melahirkan anak-anak abang... Hanya Zu yang layak menjadi ibu kepada anak-anak kita.  Zu tak perlu rasa rendah diri begini. Abang milik Zu, dan Zu perlu mempertahankannya...

Hidup abang tak kan lengkap tanpa Zu. Jangan seksa hati abang macam ni, Zu... Jauh bezanya antara memberi ehsan dan memberi kasih sayang. Zu adalah amanah ALLAH pada abang. Cinta abang pada Zu adalah kerana ALLAH. Dan abang tak pernah menyesal mengahwini dan menyintai Zu!” terang Affendi tegas.

Dia mahu isterinya itu mengerti apa yang dirasanya. Dia mahu isterinya itu benar-benar faham.

“Tapi Zu perempuan yang tak baik, bang... Zu tak nak abang malu kerana beristerikan Zu. Zu tak nak masyarakat memandang serong pada abang kerana Zu. Zu tak sanggup, bang... tak sanggup!”

“Zu! Pandang abang. Abang tak peduli apa yang orang nak cakap. Hidup kita, jalan kita, kita yang tentukan. Tak ada kaitan dengan mereka. Cukuplah sekadar mama menerima dan menyayangi Zu macam anak dia sendiri. Kalaupun Zu tak fikirkan perasaan abang, Zu fikirlah tentang mama.” Affendi seolah sudah putus asa untuk memujuk isterinya.

“Abang...” Zulaikha kehilangan punca untuk membalas kata-kata suaminya.

Dia rasa amat bersalah. Dia terlupa untuk memikirkan perasaan ibu mentuanya. Malah, dia juga telah mengabaikan perasaan Affendi.

“Zu, tolonglah... Abang merayu pada Zu... tolonglah buang rasa rendah diri tu. Abang tak kisah apa yang jadi pada Zu dulu. Lagipun, ia bukan atas kehendak Zu. Perkahwinan kita, tak kan bahagia kalau betul abang hanya bersimpati pada Zu. Abang berkahwin dengan Zu, ikhlas kerana ALLAH.”

“Cinta abang pada Zu tak ada kaitannya dengan rasa simpati. Hanya Zu yang layak untuk menjadi isteri abang dunia dan akhirat. Hanya Zu yang layak untuk menjadi anak perempuan mama. Dan hanya Zu yang layak untuk menjadi ibu yang baik untuk anak-anak abang. Anak-anak kita...” Affendi merayu lagi pada isterinya. Air matanya juga sudah bergenang di kelopak mata.

Zulaikah memandang suaminya dengan seribu rasa. Dia tidak sanggup melihat Affendi mengalirkan air mata sebegitu. Dan tidak seharusnya dia menghukum Affendi sedangkan Affendi tidak melakukan apa-apa yang menyakitkan hatinya.

“Tapi...kalau orang tahu pasal diri Zu, mac...” Zulaikha tidak jadi meneruskan kata apabila Affendi sudah menutup mulutnya.

“Kita akan hadapinya bersama. Orang lain tak berhak menilai diri kita Zu..Hanya DIA..DIA yang berhak menilai hambanya. Kita hidup atas dunia ni bukan untuk puaskan hati masyarakat, sayang. Tapi untuk mencari redhaNYA. Zu tahu semua itu kan? Zu maklum dengan hakikat itu.

Biarlah apa pun orang nak cakap tentang isteri abang. Abang tak kisah! Yang penting Zu sentiasa disisi abang. Abang tak perlukan orang lain. Lainlah kalau Zu dah tak sudi nak hidup dengan abang. Dah tak sayang abang... dah tak..” ucapan Affendi tergantung apabila jari telunjuk Zulaikha pula menyentuh bibirnya.

“Kasih sayang Zu tak pernah berubah. Cinta Zu pada abang sampai mati. Perasaan Zu pada abang ikhlas keranaNYA. Zu sayang abang...”

Sekejapan, mata Affendi terus bercahaya mendengar ungkapan ikhlas isterinya. Dia menyeka air mata isterinya yang mengalir. Tubuh isterinya itu ditarik rapat ke tubuhnya.

“I love you too...even more, sayang...”

Syukur alhamdulillah!

“Janji dengan abang yang Zu tak akan minta perpisahan dari abang lagi? Walau apa pun yang terjadi, biarlah sampai mati abang jadi suami Zu. Abang nak habiskan sepanjang hayat abang hanya dengan Zu. Hanya dengan Zu...”

“Zu janji, bang... Zu minta maaf.” Tangis Zulaikha lagi.

“Abang maafkan, sayang...abang maafkan.”

Syukur ya ALLAH.

Serentak itu, dikemaskan lagi pelukannya. Bibirnya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Esa. Dengan izin-NYA dia masih berpeluang mendapat kembali cahaya yang hampir sirna. Isterinya adalah anugerah-NYA yang terbesar dalam hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience