Bab 12

Family Series 17159

UDARA malam di Cameron Highlands memang amat menyegarkan. Hiruk-pikuk Kuala Lumpur hilang entah ke mana. Kedamaian dan keheningan suasana malam di Cameron Highlands telah menambat hati Affendi.

Walaupun dinginnya meresap ke tulang hitam, namun ia tidak mematahkan keinginan Affendi untuk terus duduk santai di balkoni bilik mereka. Affendi merenung langit yang dihiasi cahaya bulan. Tiada satu pun bintang kelihatan malam ini.

“Termenung jauh...” suara halus Zulaikha menyapa gegendang telinga Affendi. pantas dia menoleh dan menyambut mug kopi yang dihulurkan isterinya itu dengan senyuman nipis.

“Tenangnya suasana malam dekat sini. Tak macam dekat KL. Nyaman je udaranya.”

Zulaikha turut mengukir senyuman nipis sambil mendongak ke langit hitam. Cahaya bulan menerangi suasana di balkoni mereka. Sengaja Affendi tidak mahu memasang lampu di balkoni tersebut.

Affendi sisip kopi yang dihulur isterinya selepas meniupnya perlahan. Matanya asyik merenung Zulaikha yang leka merenung bulan penuh minat. Riak wajah Zulaikha yang sentiasa tenang sentiasa memberi kelapangan kepada hatinya.

“Thanks for being my wife, honey...” Affendi berkata dengan suara yang rendah, penuh emosi. Terkedu Zulaikha seketika mendengar ucapan suaminya. Terserlah keikhlasan dari nadanya.

Zulaikha merenung anak mata Affendi dalam-dalam. Buat pertama kalinya dia berani meletakkan anak matanya ke dalam anak mata suaminya. Affendi menggamit jemari halus isterinya. Lantas jemari itu dibawa ke bibir dan dikucup hangat. Zulaikha membiarkan.

“Abang bahagia dengan perkahwinan ni. Abang nak Zu tahu, walaupun pada mulanya mama yang mahukan Zu sebagai menantunya, tapi sebenarnya abang memang dah mula sukakan Zu sebelum tu lagi. Bila mama bagitahu nak pinang Zu, abang terus bersetuju. Perasaan abang ikhlas...menyintai Zu.” luah Affendi. Sama seperti yang pernah diucapkannya dulu ketika malam mereka membuat sesi ta’aruf.

Zulaikha diam. Terkesima sebenarnya. Belum lagi Affendi membicarakan soal hati dan perasaan sepanjang mereke bernikah. Hanya sekali iaitu ketika malam pertama mereka bersama dalam satu bilik, malam ta’aruf.  Itulah sekali, dan Affendi tidak pernah menyuarakannya lagi sehinggalah saat ini.

“Abang tak tahu apa akan jadi masa akan datang, tapi abang berdoa supaya ALLAH memberkati perasaan abang ni pada Zu. Biarlah apa yang abang rasa sekarang, berkekalan hingga akhir hayat abang. Abang sayang sangat dengan apa yang abang ada sekarang ni.”

“Perkahwinan adalah perkongsian dua hati, dua jiwa. Abang nak tahu dan nak kongsi segala duka dan gembira Zu. Biarlah perasaan kasih dan sayang Zu, ikhlas lahir dari hati nurani Zu dan bukan kerana terpaksa menerima abang, menerima perkahwinan ni. Abang tak nak paksa, tapi abang nak Zu cuba buka hati Zu. Benarkan cinta abang membahagiakan Zu...” panjang lebar Affendi meluahkan rasa hatinya.

“Kalau Zu nak tanya kenapa abang boleh jatuh cinta pada Zu dan bukan orang lain, abang tak ada jawapannya. Kerana cinta itu sangat subjektif. Abang tak sedar bila saatnya abang mula sukakan Zu. Tahu-tahu saja, abang dah lain macam. Selalu saja teringatkan Zu. Syukur alhamdulillah, ALLAH bagi peluang pada abang rasa nikmat ini. Abang bersyukur sangat.”

Zulaikha semakin terharu mendengar bicara suaminya.  Bohonglah dia kalau masih mahu menolak kehadiran Affendi yang sememangnya sudah bertapak di dalam hatinya semenjak mereka ditunangkan. Mereka sudah bernikah dan tidak ada batasan perasaan lagi kepada suami sendiri.

Cuma anggapan suaminya tentang dia, tidak benar. Dia sudah lama membuka pintu hatinya untuk Affendi. Dia bukan tidak cintakan suaminya, dia sudah mula belajar menyayangi Affendi semenjak mereka bertunang lagi. Dan ianya semakin memekar setelah Affendi melafaz akad. Cuma dia malu hendak mengaku seperti mana suaminya. Dia tidak mempunyai keberanian untuk yang satu itu.

Nafas ditarik dalam sebelum menghelanya. Dibalas genggaman erat jemari kasar suaminya. “Zu...Zu juga ikhlas terima perkahwinan ni... Zu terima abang seadanya, seikhlas hati Zu. Seperti mana yang Zu pernah bagi tahu malam tu, Zu ikhlas. Maafkan Zu sebab menidakkan hak abang sebagai seorang suami sepanjang kita bernikah. Tegurlah Zu, bimbinglah Zu untuk jadi seperti Saidatina Khadijah dan Saidatina Aisyah yang sentiasa menjadi isteri yang menyenangkan hati Rasulullah.”

Zulaikha tunduk mencium tangan Affendi. Perlahan air matanya mengalir hangat. Dia benar-benar rasa bersalah. Tiba-tiba dia rasa sangat berdosa pada suaminya. Sepanjang mereka bernikah, Affendi tidak pernah memaksanya menjalankan tanggungjawab sebagai isteri yang sebenar-benarnya. Walaupun Affendi tidak pernah mengungkit tentang tanggungjawabnya yang satu itu, tetapi dia sendiri tahu, jauh di sudut hati Affendi, tentu sekali suaminya itu terasa hati dengan sikapnya.

“Zu tak pernah buat salah pada abang. Abang tahu, abang tak berhak paksa, walaupun kuasa di tangan abang. Insya-ALLAH, sayang...kita sama-sama berusaha menjadi pebimbing antara satu sama lain. Bukan bermakna abang suami, dan abang yang akan sentiasa betul. Zu juga berhak menegur abang.”

“Abang tak marah?”

“Marah? Marah kenapa?”

Zulaikha terdiam sejenak mencari ayat yang sesuai.

“Er...sebab...sebab kita masih belum jadi suami isteri dalam istilah yang sebenar-benarnya?” teragak-agak dia mahu bertanya. Malu rasa bertingkat-tingkat tebalnya.

Affendi tersenyum nipis. Dia terkenangkan malam pertamanya berkongsi bilik dengan Zulaikha. Jangan kata hendak berbaring, duduk dengannya di atas katil pun Zulaikha seperti takut-takut. Malah, bersalaman dengannya pun tangan Zulaikha bukan main sejuk. Bukan dia tak sedar tu semua.

“Zu dah menjaga dan mempertahankan kehormatan Zu selama ini. Kenapa mesti abang meragutnya tanpa izin yang empunya diri? Memang dari segi hukum abang lebih dari berhak. Tapi, abang nak semua tu lahir dari kehendak hati Zu sendiri bukan paksaan dari abang.”

“Andai kata cinta abang pada Zu tak berbalas, abang tak marah?”

“Tak ada sebab abang nak marah, sayang... Hak Zu untuk membalas atau menolak kasih sayang abang, abang tak boleh paksa. Tapi, hak abang untuk menyintai Zu dan Zu tak boleh ambil hak itu. Abang akan tunggu sehingga Zu buka hati Zu untuk abang. Zu isteri abang dunia akhirat.

Selagi diizinkan ALLAH untuk abang merasai nikmat ini dan selagi abang terdaya, abang akan pertahankan perkahwinan kita. Tapi, andainya Zu tak bahagia dengan perkahwinan ni, Zu perlu cakap, dan abang akan cuba terima walaupun pahit. Tak guna abang memaksa kalau hati Zu tak suka. Nanti kita sama-sama menderita sudahnya. Abang nak Zu bahagia. Abang bersedia lep..”

Zulaikha segera menutup bibir Affendi dari meneruskan kata-kata. Dia tidak pernah rasa terseksa dengan perkahwinan yang masih baru benar. Tidak terlintas di hatinya mahupun dibenak fikirannya tentang perkara yang satu itu.

“Jangan cakap macam tu, bang...jangan... Zu bahagia dengan apa yang Zu lalui sekarang. Zu...Zu..pun rasa apa yang abang rasa.” Zulaikha mula terasa darah menyerbu ke wajahnya. Tidak terkira rasa malu hendak menyatakan perasaan kasihnya.

“Apa yang Zu rasa?” Affendi bertanya sengaja.

“Tu lah.” Balas Zulaikha. Semakin rendah sahaja suaranya.

Affendi pula sudah menahan tawa. Dia tahu sangat sifat isterinya yang satu ini. Entah bila akan hilang malunya itu padanya. Walaupun tanpa lafaz mahupun pengakuan, tetapi dari rentak gaya Zulaikha, dia tahu Zulaikha juga menyayanginya. Tidak perlu bibir bersuara melafazkan kata cinta, tetapi hati mereka sendiri sudah melaungkan bahasa cinta. Dan hanya hati dia dan Zulaikha sahaja yang memahami bahasanya.

“Tak apa...tak nak cakap sekarang, abang tunggu sampai Zu cakap sendiri.”

 

 

PAGI yang paling indah buat Affendi dan Zulaikha. Affendi merenung wajah Zulaikha penuh kasih sayang. Rambut yang menutupi sebahagian dahi isterinya disebak ke belakang. Dikucup lembut dahi isterinya yang masih lena.

Zulaikha terjaga apabila terasa hangat didahinya. Wajah suaminya begitu hampir dengan wajahnya. Zulaikha berpaling menoleh ke kiri, memandang dinding bilik. Malu untuk menatap wajah Affendi apabila mengenangkan apa yang mereka lalui malam tadi.

“Selamat pagi, sayang...” ucap Affendi dengan senyuman yang tersungging dibibir. Dia tahu Zulaikha malu untuk menatap wajahnya. Pelukannya diperkemaskan lagi sehingga dia terasa dengupan jantung isterinya yang kencang. Dia mencium leher isterinya yang terdedah.

“Abang...dah pagi...” Zulaikha berkata malu-malu. Hampir saja tak kedengaran suaranya. Malah masih tidak sanggup untuk memandang suaminya. Malu!

“Ya lah, tak kan nak malam lagi kan...” balas Affendi selamba. Sengaja menyakat Zulaikha yang kelihatan malu-malu. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

Zulaikha bertambah malu dengan ucapan dan senyuman suaminya. Dia tahu Affendi sengaja ingin menyakatnya. Bukan dia tidak tahu sifat suaminya yang amat gemar menyakatnya. Selalu sangat menyakatnya sehingga membuatkan dia termalu sendiri.

“Dah tu, jomlah bangun... Zu nak mandi. Subuh dah nak masuk ni.” Zulaikha membalas berani. Malunya tadi cuba ditolak jauh. Zulaikha cuba meleraikan pelukan suaminya.

“Hah? Nak mandi sama? Jom...” Affendi bingkas duduk. Bulat mata Zulaikha mendengar ucapan suaminya. Wajahnya sudah tidak mampu menahan malu yang amat sangat. Tidak pernah Affendi bergurau seberani ini sebelum ini.

“Abang! Jangan nak mengada...” Zulaikha juga bingkas bangun menarik selimut untuk menutupi badannya. Cepat juga dia menuju ke bilik air meninggalkan Affendi yang sudah ketawa besar.

Tanpa disedari, bibirnya juga mengukir senyuman manis. Malahan senyumannya itu panjang melebar sepanjang dia mandi. Zu sayang abang!

 

 

“JOM, dah ready? Kita nak pergi ladang strawberi pagi.” Affendi menghulurkan tangan kepada isterinya. Zulaikha menyambutnya dengan dahi yang berkerut.

“Bukan abang kata kita nak masuk hutan Brinchang ke?” soal Zulaikha pelik. Sebelum datang ke Cameron lagi, suaminya itu sendiri yang berhajat untuk memasuki Hutan Simpan Brinchang. Dah lama tak ‘bau’ hutan katanya.

“Memang abang plan nak masuk hutan tu tapi awal pagi tadi kan hujan? Bahaya je kalau kita nak masuk hutan. Jalan licin.”

“Eh, baru adventure tau kalau macam tu.”

“Ha’ah? Adventure la sangat... Kalau dah terpelecok sana, terseliuh sini kaki tu, baru tau nikmat ya. Abang tak nak. Karang tak pasal-pasal je abang pulak yang kena bebel dengan mama kalau jadi apa-apa pada Zu. Zu kan menantu kesayangan mama.” Getus Affendi.

“Eh, Zu pulak.”

“Betullah.” Affendi sengih tidak bersalah.

Zulaikha mengangguk faham. Saja mahu menyakat suaminya sebentar tadi. Memang seawal empat pagi tadi hujan turun agak lebat. Hujan hanya berhenti selepas subuh. Itupun, masih renyai-renyai.

“So, kita pergi ladang teh dengan ladang strawberi je hari ni ya? Malam nanti kita pergi pasar malam dekat sini pulak.” beritahu Affendi tentang rancangannya. Tangannya pantas memaut pinggang si isteri.

Zulaikha memandang tangan suaminya yang sudah melingkari pinggangnya. Kemudian dia memandang pula wajah suaminya seperti ingin mengatakan sesuatu.

“Kenapa?” soal Affendi buat-buat tak faham. Padahal dia tahu dan faham sangat maksud pandangan isterinya itu. Dia tahu Zulaikha tidak selesa dan malu.

“Malulah...” Zulaikha cuba meleraikan tangan kasar suaminya yang melingkari pinggangnya.

“Aik, malam tadi tak malu pun.”

“Abang!” buntang mata Zulaikha. Semerta dia tertunduk dengan  wajah yang jelas kemerahan disakat begitu.

Affendi ketawa suka.

“Teruk tau abang ni.” balas Zulaikha perlahan. Tak terpandang wajah Affendi serasanya. Ada ke patut cakap macam tu? Suaminya ini memang tau. Sejak segalanya dah ‘rasmi’ ni, main sedap je dia bercakap. Tak ada tapis-tapis lagi.

Bertambah galak Affendi ketawa.

“No worries...married.” balas Affendi selamba.

“Memanglah tapi...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Jom...” Affendi pantas mencantas bicara isterinya. Pipi Zulaikha diciumnya geram. Zulaikha hanya mampu menjeling tajam suaminya tanda tidak berpuas hati.

“Janganlah jeling abang macam tu yang oi...” ucap Affendi ketawa-ketawa. Dia tahu tak ke mana marah isterinya.

Akhirnya Zulaikha juga turut ketawa dan menggeleng kepala melihat suaminya. Tidak kuasa lagi menegah suaminya kerana dia tahu hanya sia-sia. Jauh disudut hati, dia sendiri menyenangi layanan mesra suaminya itu.

“Jom, kita pergi breakfast dulu. Abang dah lapar la...”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience