Bab 32

Family Series 17159

TOMBOL pintu bilik Zulaikha dipulasnya penuh cermat. Dia melihat Zulaikha yang berada di tepi tingkap memandang permandangan luar. Begitu asyik merenung sehingga tidak menyedari akan kehadirannya di dalam bilik.

“Zu...mari makan, sayang...” Puan Zawiyah menghampiri Zulaikha yang pegun berdiri dijendela.

“Zu, menangis lagi?” Puan Zawiyah dapat melihat sisa air mata diwajah Zulaikha.

“Eh, tak...tak adalah Mak Teh...” Zulaikha berdalih tidak mahu mak tehnya risau dengan keadaannya.

“Zu...jangan ikutkan hati...mak teh tengok Zu dah makin susut. Muka pun dah tak berseri macam dulu. Pipi Zu ni dah cengkung sangat.”

Zulaikha terus menangis lagi mendengarnya.

“Zu....rindukan abang Fendi, mak teh... Terlalu rindukan dia.” Zulaikha menjawab perlahan dalam esak tangisnya. Hilang rasa malunya selama ini.

Puan Zawiyah menghela nafas berat. Kasihan dia melihat Zulaikha. Tangannya diletak dipipi kiri Zulaikha.

“Zu tak boleh macam ni...nanti Zu sakit. Kita makan ya... Mak teh tengok badan Zu dah susut sangat.”

“Zu tak ada seleralah mak teh...Mak teh makanlah dulu. Nanti kalau Zu lapar, Zu turun makan...” Zulaikha berdalih lagi. Dia cuba melukis senyuman yang paling manis. Namun, ia tetap hambar.

Puan Zawiyah menggeleng kepala tidak setuju.

“Tak boleh. Dah seminggu Zu kat sini. Belum sekali pun Zu makan dengan mak teh. Hari ni Zu mesti teman Mak Teh makan.”

Puan Zawiyah nekad. Sebagai orang tua, dia tidak boleh membiarkan Zulaikha berterusan begitu. Sampai bila Zulaikha mahu mendiamkan diri. Itu belum lagi termasuk soal kandungan yang sedang cuba disembunyikan dari pengetahuannya itu.

Zulaikha serba salah.

Puan Zawiyah telah pun menarik tangannya keluar dari bilik menuju ke dapur. Zulaikha hanya mampu menurut. Bukan niatnya tidak mahu makan bersama ibu saudaranya tetapi dia takut akan termuntah apabila mengambil makanan. Dia tidak mahu ibu saudaranya tahu tentang itu.

Dalam keadaan terpaksa, Zulaikha menelan juga makanan yang telah dimasak ibu saudaranya. Dia meneguk air sejuk sebaik sahaja selesai mencuci tangan. Dia tersenyum melayan mak tehnya berbual. Sungguh berselera ibu saudaranya makan.

“Dah, Zu? Sikit je Zu makan.” Puan Zawiyah tidak puas hati.

“Banyak dah tu mak teh.” Zulaikha tersenyum lagi.

Zulaikha memandang mak tehnya yang berselera menggatah ikan terubuk bakar. Senyumannya mati apabila mula rasa tidak selesa. Tekaknya diurut perlahan bagi meredakan rasa mual. Tolonglah jangan muntah di sini.

“Mak teh dah lama tak masak terubuk bakar ni tau. Banyak mak teh makan hari ni. Lagi bila ada Zu teman makan, makin berseleralah.” cerita Puan Zawiyah.

“Zu pun dah lama tak makan ikan terubuk.” ujar Zulaikha sambil menahan rasa loya yang menggila.

“Hah, ada depan mata ni, makanlah lagi. Ratah cecah air asam, sedap.”

Puan Zawiyah menolak pinggan ikan terubuk kepada Zulaikha. Sambil tangan kanannya masih sibuk mengasingkan tulang ikan dipinggannya sendiri.

“Tak apalah, mak teh makan...”

Zulaikha pantas menutup mulutnya dan kelam-kabut bangun mencari sinki di belakangnya. Rasa mual sudah tidak tertahan lagi ditekaknya. Habis segala apa yang dimakannya sebentar tadi terkeluar semula.

Puan Zawiyah segera membasuh tangan dan mengurut belakang Zulaikha cemas. Zulaikha membasuh muka dan berkumur-kumur membersihkan mulut namun, tidak berapa lama kemudian dia termuntah lagi.

Dia menekan-nekan perut yang berasa sakit kerana kerap muntah. Zulaikha berdiri di tepi sinki. Nafasnya berombak-ombak dengan muka yang merah padam.

Beberapa ketika kemudian dia berpaling lagi ke sinki. Pandangannya rasa berbalam dan berpinar-pinar kerana terlalu lama tertunduk didepan sinki.

Puan Zawiyah menghulurkan air suam kepada Zulaikha yang telah duduk dikerusinya semula. Hatinya semakin yakin dengan telahannya selama beberapa hari ini. Dia memandang Zulaikha yang meneguk air tersebut perlahan.

“Zu...Zu mengandung ke?” Puan Zawiyah terus bertanya setelah Zulaikha habis meneguk air suam yang dihulurkan. Memang tidak tertahan-tahan lagi pertanyaan yang sudah lama disimpan.

Zulaikha tergamam mendengarnya. Pantas dia menggeleng kepala laju.

“Cakap betul-betul Zu. Jangan tipu mak teh.” Puan Zawiyah mendesak lagi.

“Zu, dah banyak kali mak teh dengar Zu muntah-muntah tahu. Cuba berterus-terang dengan mak teh.”

Zulaikha tercengang namun dia tetap menggeleng lagi cuba menafikan. Puan Zawiyah mengeluh. Kalau Zulaikha tidak mahu mengaku, dia juga ada caranya tersendiri supaya Zulaikha mengaku.

“Baiklah, kalau macam tu, kita ke klinik!”

 

 

“MAK teh...tolong, jangan...” Zulaikha sudah menggeleng kepala berkali-kali.

Puan Zawiyah sudah menarik tangan Zulaikha. Zulaikha pantas memegang tangan tua itu sambil merenung mak tehnya memohon simpati. Air matanya mula mengalir. Perit untuk dia memberitahu mak tehnya. Akhirnya Zulaikha memejam mata sambil mengangguk perlahan.

“Memang Zu mengandung.” akui Zulaikha berat.

Puan Zawiyah terpaku seketika. Dia gembira dengan berita itu, tetapi dia tidak tahu hendak memberi reaksi yang bagaimana memandangkan apa yang terjadi sekarang.

“Alhamdulillah...Fendi tahu?” Zulaikha memandang seketika pada wanita dihadapannya sebelum menggeleng. Puan Zawiyah semakin sebal.

“Mak teh nak call Barsyi.” putusnya.

“Jangan...jangan mak teh...please... Zu rayu mak teh.” rayu Zulaikha.

“Mak teh tak boleh nak diam lagi. Fendi kena tahu pasal anak ni. Biar mama dia bagi tahu pasal kandungan ni. Lagipun, Fendi berhak tahu. Anak ni anak dia jugak.”

Puan Zawiyah mula mengatur langkah menuju ke telefon. Dia tidak boleh berdiam diri lagi dengan hanya melihat sahaja tanpa membantu menyelesaikan masalah yang sudah bertambah kusut.

Zulaikha pantas menghalangnya.

“Tolonglah mak teh...Zu rayu mak teh...Zu tak nak abang Fendi tahu tentang anak ni. Tolonglah mak teh...” bersungguh-sungguh Zulaikha menghalang.

“Kenapa dengan Zu ni? Zu tahu tak, masalah ni dah makin besar. Sekarang Zu bukan kena fikir pasal diri Zu saja, Zu kena fikirkan anak ni jugak tahu? Dia tak bersalah. Zu tak boleh ketepikan haknya. Mana tahu, Fendi akan lembut hati bila mengetahuinya?” Puan Zawiyah cuba memujuk lagi.

“Untuk apa mak teh? Zu tak nak kerana kandungan ni abang Fendi terpaksa menerima Zu kembali. Itu yang Zu tak nak. Kami tak akan bahagia kalau macam tu keadaannya. Lambat laun, kami akan berpisah jugak.”

“Zu...percayalah, keadaan akan kembali baik bila Fendi tahu Zu mengandungkan zuriatnya. Bukankah dia memang sangat menantikan kehadiran cahaya mata?”

“Tak mak teh...Zu tak percaya! Abang Fendi dah benci Zu. Dia jijik dengan Zu yang kotor ni dan abang Fendi juga tentu tak akan terima anak ni. Tolonglah mak teh...sekali ni saja...Zu merayu pada mak teh, dengarlah cakap Zu ni. Zu dah tak sanggup lagi nak dengar kata-kata hinaan daripada abang. Tak sanggup!” semakin kuat tangisan Zulaikha.

Puan Zawiyah serba salah mendengarnya. Dia tidak sampai hati melihat Zulaikha yang bagai berputus asa dengan kehidupannya. Akhirnya Puan Zawiyah hanya mengangguk mengusap rambut Zulaikha yang lurus. Dahi Zulaikha diciumnya bekali-kali. Mengalir air matanya melihat Zulaikha yang tersedu-sedu menahan esak tangis.

“Zu berehatlah. Dah Zu...tak elok Zu berterusan macam ni...kesian anak Zu. Dia turut terkena tempiasnya.” Puan Zawiyah berkata perlahan. Dia membawa Zulaikha masuk ke dalam bilik. Dia mahu Zulaikha berehat.

Dia sedih melihat Zulaikha bersedih. Dia turut berasa sakit melihat Zulaikha yang lesu dan tidak bermaya. Rasa bersalah bertimpa-timpa mengenangkan kesudahan nasib Zulaikha.

Salah diakah yang terlalu berkeras dengan Zulaikha satu ketika dahulu?

Apa lagi ujian yang harus dihadapi anak saudaranya itu?

“Mak teh...janji ya? Jangan bagi tahu mama atau abang Fendi?” tagih Zulaikha lagi apabila dilihat ibu saudaranya ingin beredar dari kamar tidurnya.

Puan Zawiyah tersentak lagi. Lambat-lambat dia mengangguk tidak pasti.

“Terima kasih, mak teh...”

Sebaris ucapan itu menambah lagi rasa bersalah Puan Zawiyah.

‘Mak teh minta maaf, sayang. Mak teh tak boleh biarkan perkara ni tanpa penyelesaian. Mak teh nak Zu bahagia. Mak teh tak nak tengok Zu berterusan macam ni.’ bisik hati kecil Puan Zawiyah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience