Bab 47

Family Series 17159

MALAM itu Puan Barsyiah, Puan Zawiyah dan Fendi berbual di ruang tamu sambil menonton televisyen. Sengaja mereka berbual memandangkan besok Affendi akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk menjenguk pejabat yang lebih seminggu ditinggalkan. Kesempatan itu diambil Puan Barsyiah untuk bertanya perkembangan syarikat dari anaknya.

Zulaikha telah berlalu ke biliknya untuk berehat. Alasan itu sengaja dicipta untuk mengelakkan dia dari ditanya macam-macam. Sebenarnya dia bukan hendak tidur sangat pun. Dia terkebil-kebil di atas katil sambil memikirkan apa yang berlaku dalam hidupnya akhir-akhir ini. Dia tidak sangka krisis yang berlaku dalam hidupnya telah meragut nyawa bayinya.

Perlahan perut yang kempis itu diusap lembut. Zuriat yang dinantikan telah tiada lagi. Maafkan ibu, sayang. Berkali-kali kata-kata itu keluar dari mulutnya. Kehilangan yang dirasai bukan sedikit kesannya. Lebih-lebih lagi, benih itu sudah hampir empat bulan menghuni rahimnya. Sudah ada roh, sudah terasa denyutan nadi diperutnya.

Berkali-kali dia mengajar hati supaya menerima suratan Ilahi. Namun, dia masih tidak berjaya membuang rasa sedih yang bertamu. Sudah puas dia memujuk hati, bukan rezeki dia kali ini.

Tapi, dia tetap terkilan. Kalau dia tidak menurut rasa hati, sudah tentu dia tidak mengalami keguguran. Sudah tentu kandungan itu masih melekat dan bernyawa dirahimnya.

Zulaikha menyeka air mata yang mengalir dipipi. Esak tangis ditahan daripada didengari sesiapa. Dia tidak mahu mama atau mak tehnya tahu dia masih bersedih. Lebih-lebih lagi Affendi. Dia tidak mahu suaminya itu rasa bersalah sekiranya mendapat tahu dia masih bersedih dengan kehilangan kandungan itu.

“Mama...mak teh, Di nak masuk bilik dulu lah. Nak tengok Zu.” Affendi bangun setelah mak teh dan mamanya mengangguk.

Entah kenapa hatinya tidak sedap mengenangkan Zulaikha di dalam bilik. Dia tahu Zulaikha memendam perasaan. Bukan dia tidak sedar akan sikap isterinya.

“Pergilah, Zu tu belum sihat sangat.” balas Puan Barsyiah.

 

 

PERLAHAN-LAHAN Affendi menolak pintu bilik tidurnya bersama Zulaikha. Tubuh isterinya yang diselubungi selimut direnungnya. Perlahan dia melangkah menghampiri isterinya. Dia tahu isterinya itu masih belum tidur.  Isterinya itu pasti sedang menangis menahan sendu.

Dia tahu Zulaikha berpura-pura mengatakan sudah tidak bersedih lagi atas kehilangan itu. Dia kenal benar dengan isterinya itu walaupun Zulaikha berkali-kali meyakinkannya dia sudah tidak apa-apa. Bukan dia tidak tahu sikap isterinya itu, Zulaikha akan termenung setiap kali bersendirian.

“Zu...abang tahu Zu belum tidur lagi...” Affendi mengusap lembut bahu Zulaikha yang baring membelakangkannya.

Dia menarik badan Zulaikha supaya baring menghadapnya. Dia nampak sisa air mata dipipi Zulaikha. Apatah lagi dengan hidung yang merah.

“Luahkanlah, sayang.... Abang tak kisah kalau Zu nak menangis depan abang. Jangan simpan sendiri macam ni.” pujuk Affendi lagi.

Amat perlahan suaranya hanya cukup didengari mereka berdua sahaja. Rambut Zulaikha yang hampir menutup wajah disisir dengan jari.

Perlahan-lahan air mata yang ditahan itu mengalir semula apabila mendengar gemersik suara Affendi. Dibiarkan sahaja jemari suaminya itu menyeka air mata yang mengalir hangat ke pipi.

“Abang... kenapa ALLAH ambil baby kita? Zu nak sangat anak tu. Zu dah cuba... But i can’t let it go... I’m really sorry for the baby... Zu gagal menjaganya dengan baik...” Zulaikha berkata dengan suara yang serak kerana banyak menangis.

“Don’t blame yourself, honey...please...”

“But it was my fault. Kalaulah Zu tak....”

“Shhhh.... Jangan salahkan diri lagi. Abang tahu Zu menyayanginya. Abang juga menyayanginya seperti mana Zu. Abang gembira sangat bila mama bagi tahu abang yang Zu pregnant. But, just because to pretend my ego... Abang tahan hati tak nak pujuk Zu walaupun abang rindu sangat pada Zu masa tu.”

Zulaikha hanya memandang kosong dinding biliknya.

Affendi menarik nafas sebelum menyambung kata.

“Abang tahu Zu sedih apa yang abang dah buat pada Zu. Abang minta maaf, kerana abang, kita kehilangan baby kita. Abang tak mungkin dapat maafkan diri abang kerana gagal menjaga Zu dengan baik. Abang betul-betul kesal dengan tindakan abang. Betul cakap mama, abang ikutkan rasa hati.”

“Abang tak nak Zu simpan sorang-sorang. Kita hadapi kehilangan kita ni bersama. Abang tahu memang susah untuk kita terima, tapi kita kena percaya dengan apa yang telah ditetapkan-NYA untuk kita, sayang.” panjang lebar bicara Affendi mengharapkan pengertian daripada isterinya.

“Kalau...kalau Zu tak gugur...hari tu, mesti abang tak...datang sini, kan?”

Affendi terpana. Soalan Zulaikha itu tajam menghiris hati Affendi. Mengalir air matanya merenung anak mata Zulaikha yang masih menagih jawapan.

“Abang minta maaf, sayang... Abang tak salahkan Zu bila Zu fikir macam tu. Abang tahu abang gagal jadi pelindung pada Zu. Sepatutnya abang percayakan Zu tapi yang abang buat, abang menghukum Zu tanpa beri peluang pada Zu untuk memberi penjelasan.

Percayalah, sayang... Abang kesal dengan apa yang berlaku. Abang memang nak ke Melaka bila mama cakap nak ke sini. Abang ingat abang nak menyusul petang tu, tapi abang tak daya nak drivepun. Abang tak sangka abang benar-benar terlewat bila mak teh bagi tahu Zu miscarriage.

ALLAH saja yang tahu betapa abang menyesal dengan sikap bodoh abang tu. Anak kita jadi mangsa. Sampai bila-bila pun abang tak akan dapat maafkan diri abang. Zu marahlah abang kalau tu dapat membuatkan Zu rasa tenang. Abang tahu salah abang besar dan abang tak layak dapat kemaafan dari Zu.” Affendi tersedu disebelah Zulaikha.

Sayu hati Zulaikha mendengarnya. Dia tidak berniat langsung untuk melukakan hati suaminya. Siapalah dia untuk menjatuhkan hukuman kepada suami sendiri.

Dia tidak sanggup melihat Affendi bersedih apatah lagi menyalahkan Affendi atas kehilangan yang dialaminya. Tidak adil untuk dia menghukum Affendi seorang sedangkan mereka sama-sama menanggung keperitan itu.

Air mata Affendi yang mengalir dikesat perlahan. Hiba hatinya melihat Affendi menangis begitu. Zulaikha bergerak memeluk suaminya. Rasa bersalah mengepung hati kerana telah menyebabkan suaminya mengeluarkan air mata.

“Maafkan abang, ya... Abang tahu Zu sedih sangat dengan keguguran tu. Kita sama-sama cuba untuk bina hidup baru. Abang yakin dengan janji ALLAH. Semua yang berlaku ni ada hikmahnya. Kita akan cuba lain kali. Insya-ALLAH akan ada peluang kita menjadi ibu bapa pada anak-anak kita.”

“Abang tahu tak mudah untuk Zu melaluinya. Kita cuba ya... Kita sama-sama perbaiki diri kita, amalan kita supaya kehilangan kita tak sia-sia. Abang mahu kita jadi ibu bapa yang terbaik. Mungkin ALLAH mengambilnya kerana kita masih tidak bersedia. DIA lebih mengetahui.” Affendi mencium kening Zulaikha sayu.

Perlahan-lahan kata Affendi meresap ke dalam sanubari. Sedikit sebanyak kata-kata Affendi itu berjaya membuatkan Zulaikha berfikir. Dia lupa dengan hikmah yang dijanjikan ALLAH dan ALLAH jua lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience