Bab 57

Family Series 17159

ZULAIKHA duduk santai di taman mini rumahnya sambil menanti kepulangan suaminya. Petang ini, mereka sudah berjanji akan keluar ke pasar raya bersama untuk membeli keperluan dapur. Sengaja Affendi hendak turut serta berbelanja barang rumah. Selalunya Zulaikha akan pergi sendiri dan biasanya di sebelah pagi.

Zulaikha memandang pada kereta yang berhenti dihadapan pagar rumahnya. Kereta itu tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Dahinya berkerut memandang wanita yang sangat bergaya keluar dari tempat pemandu.

Diana? Apa yang dia nak? Hatinya tertanya-tanya sendiri apabila melihat kelibat Diana yang sudah memandangnya dengan pandangan sinis. Zulaikha membuka pagar rumahnya mempelawa tetamunya masuk.

“Jemput masuk, cik Diana.” Zulaikha mempelawa ikhlas sebagai adab menerima tetamu.

Walau apa pun tujuan kedatangan Diana, tidak wajar rasanya jika membiarkan tetamunya berbual di luar rumah. Bukankah Rasulullah telah berpesan, walau pun tetamu yang datang ke rumah kita itu adalah musuh ketat kita, kita harus menerima dan melayannya dengan baik.

Diana melangkah masuk mengekori langkah Zulaikha masuk ke dalam rumah. Matanya meliar memerhati ruang tamu yang kemas dan dihias cantik. Zulaikha memetik suis kipas di ruang tamu.

“Jemputlah, duduk. Saya ke dapur sekejap.”

“Tak payah! I datang bukan nak minum atau nak makan. I nak bercakap dengan you.” Diana pantas menghalang sambil mengambil tempat disofa. Suaranya kedengaran kasar dan sinis.

Zulaikha tidak jadi ke dapur. Dia bergerak mengambil tempat duduk. Setentang dengan Diana. Diana sedang merenung tajam ke arahnya. Hatinya mula berasa kurang senang dengan tetamunya yang tidak diundang ini.

“Apa yang cik Diana nak cakap sebenarnya?” Zulaikha bertanya terus-terang. Hatinya dapat merasakan Diana datang bukan dengan niat yang baik.

“Apa yang kau dah buat dekat Fendi sampai dia boleh terima kau yang dah tercela ni?” Diana berkata sombong. Menampakkan hatinya yang busuk.

Zulaikha sangat terkejut dengan kata-kata kasar dari tetamunya itu. Kan betul Diana ni datang bukan dengan niat yang baik? Fikir Zulaikha. Dia beristighfar beberapa kali, cuba menyabarkan hati yang sakit.

“Maksud cik Diana?” tanya Zulaikha lembut.

Tidak memahami apa yang cuba disampaikan Diana, kononnya. Paling tepatnya, dia sengaja buat tak faham. Padahal dia amat faham, amat mengerti, amat mengetahui niat Diana terhadap rumah tangganya.

“Huh, buat-buat tak faham pulak! Kau tahu apa maksud aku. Kau ni tak layak langsung jadi isteri Fendi tahu tak? Sepatutnya aku yang jadi isteri Fendi, bukan kau! Aku tak faham kenapa Affendi boleh tergila-gila sangat dekat kau.”

“Jawapan tu ada hanya pada abang Fendi. Hak dia nak pilih siapa untuk jadi isterinya. Kenapa tak tanya pada Affendi sendiri?”

“Tak guna tanya pada Affendi kalau kau dah guna-gunakan dia!”

“Jangan menuduh sebarangan, Diana.” rendah suara Zulaikha menahan marah.

Hilang panggilan ‘cik’ dipangkal nama seperti awal bicara mereka tadi. Dia merasakan tidak sepatutnya dia menghormati wanita dihadapannya ini sedangkan wanita itu dengan senang hati menghinanya di dalam rumahnya sendiri.

“Huh, betul apa aku cakap. Lelaki mana yang nak dengan perempuan tercela macam kau ni. Affendi tu dah bodoh sebab kau guna-gunakan dia. Sedarlah diri tu sikit. Kau tu pelacur!” Diana semakin lantang berkata-kata. Langsung tidak memikirkan hati dan perasaan Zulaikha.

Zulaikha merenung tajam wajah Diana. Sebelum ini dia hanya mendengar Diana menghina di dalam telefon sahaja. Tetapi kali ini dia mendengarnya secara langsung, depan matanya. Pedih mendengar kata cacian dan hinaan di depan mata tentu saja lebih hebat dari sekadar bertelefon. Senyuman sinis dibibir Diana tambah memedihkan hati.

“Kalau tujuan awak datang ke sini semata-mata hendak menghina saya, saya rasa lebih baik awak balik sekarang. Terima kasih banyak-banyak sebab susah payah nak ambil tahu hal kami suami isteri.”

“Kau jangan kurang ajar, Zulaikha! Aku tak akan biarkan kau. Affendi tetap akan jadi milik aku suatu hari nanti. Kau belum kenal aku siapa. Aku akan pastikan Affendi akan jadi milik aku. Aku akan pastikan!” Diana sudah bangun dari duduknya.

Besar matanya memandang Zulaikha seolah-olah hendak menelan Zulaikha hidup-hidup.

Zulaikha sudah membuka pintu rumahnya. Tanda tidak berminat lagi hendak mendengar dan melayan kata-kata tetamunya. Dia tidak mahu membiarkan kata-kata kesat Diana menjatuhkan keyakinan diri yang baru sahaja hendak bertapak kukuh.

Affendi tak nak tengok dia lemah. Affendi mahu dia yakin pada diri sendiri. Suaminya itu mahu dia kuat dan tabah menghadapi masa depan. Zulaikha tidak mahu mengecewakan suaminya.

“Huh, kau ingat! Aku belum habis lagi dengan kau!”

Diana keluar dengan perasaan yang sangat marah. Dia sangat geram melihat riak wajah Zulaikha yang tenang. Seolah-olah kata-katanya langsung tidak memberi kesan pada wanita itu. Dia datang untuk menyakitkan hati Zulaikha, sebaliknya dia pula yang sakit hati.

Berdecit tayar keretanya menandakan kemarahan yang menyala di hatinya. Dia memandu pulang dengan hati yang sebal dan amarah yang memuncak.

“Jaga kau Zulaikha!” Diana menghentak stereng keretanya kuat.

 

 

ZULAIKHA tersandar dibalik pintu rumahnya sebaik sahaja Diana keluar. Sedaya mungkin dia tidak mahu memikirkan kata-kata Diana. Namun, dia tidak berdaya. Dia dapat melihat kesungguhan Diana untuk menghancurkan rumah tangganya bersama Affendi. Tipulah kalau dia tidak kisah langsung dengan ancaman Diana.

Dia ingin kuat, dia ingin menjadi tabah seperti yang Affendi mahu. Tapi, dia tidak mampu. Apa yang telah berlaku dalam hidupnya memberi kesan yang cukup hebat terhadap jiwanya. Rasa rendah diri itu begitu menebal di dalam hati. Bertahun-tahun dia cuba membina keyakinan diri. Bukan mudah baginya melupakan apa yang tersirat di dalam hidupnya.

Tapi, dia sudah berjanji dengan Affendi. Dia perlu juga jadi kuat. Dia perlu juga jadi tabah. Demi Affendi, demi rumah tangganya. Apa pun yang terjadi selepas ini, dia akan hadapinya.

“Zu, buat apa dekat sini? Buat terkejut abang je.” Soal Affendi pelik. Terperanjat dia melihat Zulaikha sedang tersandar di balik pintu. Riak wajah isterinya itu jelas tampak serabut.

“Eh, abang... Zu tak sedar pun abang balik.” Zulaikha mencapai tangan suaminya sebelum mencium tangan itu lembut. Suaminya pantas menghadiahkan ciuman dipipi kanan dan kiri sebelum beralih ke dahinya sebagai balasan.

“Zu okey? Serabut je muka tu abang tengok.”

“Really? Perasan abang je tak? Jomlah, kita gerak. Abang dah asar belum?” Zulaikha pantas berdalih.

Dia tidak mahu Affendi mengesan hatinya yang tidak tenteram. Dia tidak mahu merosakkan masa kualiti mereka berdua ketika ini.

Namun, Affendi lebih bijak meneka. Dia tahu isterinya itu cuba menyembunyikan sesuatu daripadanya. Apa pun yang cuba disembunyikan, hanya Zulaikha yang tahu. Soalan isterinya dibiarkan tidak berjawab. Sebaliknya dia pula yang menyoal.

“Betul? Abang tak nak Zu simpan sorang-sorang. Apa jua perkara, hal atau isu yang merunsingkan Zu, abang nak kita kongsi bersama. Zu faham kan?”

Zulaikha serba salah. Dia tidak berniat untuk membelakangkan Affendi. Cuma masa dan waktunya tidak sesuai. Dia sendiri ingin tahu siapa sebenarnya Diana dalam hidup Affendi sebelum ini.

“Zu tak apa-apa. Kita pergi sekarang ya...” akhirnya Zulaikha memutuskan untuk menyimpan dahulu perkara tersebut.

Affendi hanya mampu menjongket bahu apabila isterinya sudah bergerak mencapai tas tangan di atas kabinet. Pinggang isterinya itu diraih rapat sebelum mereka sama-sama menuju ke kereta.

 

 

DERINGAN telefon menjerit lantang minta diangkat. Zulaikha segera mengelap tangannya ala kadar sebelum bergegas di sudut tangga.

Siapa pulalah yang menelefon waktu-waktu macam ni? Zulaikha berfikir sejenak. Selalunya memang jarang sangat telefon rumahnya berbunyi waktu tengah hari begini. Affendi hanya akan telefon talian rumah apabila tidak dapat menghubungi telefon bimbit.

“Hello. Assalamualaikum. Nak bercakap dengan siapa ya?” soal Zulaikha lembut.

“Aku tak habis lagi dengan kau. Kau ingat tu! Berani kau halau aku semalam. Kau tahulah nasib kau nanti, perempuan bodoh! Kau belum kenal aku siapa.”

“Diana, saya buat apa pada awak sampai awak sakit hati sangat dengan saya?  Kenapa nak ganggu saya?”

“Aku tahu kau dah guna-gunakan Fendi tu, sebab tu Fendi tu bodoh. Perempuan macam kau pun dia masih nak simpan! Kalau aku jadi lelaki,aku tak hingin!! Dah berapa banyak jantan kau layan? Tak cukup-cukup? Sedarlah diri tu sikit.”

“Beginilah, kalau Diana nak sangat dengan abang Fendi, silalah kalau abang Fendi tu mahu. Awak pergilah pujuk dia berkahwin dengan awak. Saya tak melarang.” Balas Zulaikha malas.

Cukuplah, dia dah tak larat menadah telinga semata-mata untuk mendengar perempuan tersebut menghinanya. Tapi... Benarkah dia tidak melarang?

“Kalau aku pujuk pun, bukannya jalan. Kau dah guna-gunakan dia. Kau dah bodohkan dia!” dengus Diana kuat.

“Dah tu, apa yang awak nak dari saya sebenarnya?”

“Kau berambus dari hidup Fendi. Aku nak kau berambus! Faham tak? Aku nak kau berambus!” jawab Diana angkuh.

“Maaflah, saya  tak dapat buat. Saya isterinya. Saya tak akan tinggalkan abang Fendi melainkan dia sendiri yang cakap dia tak mahukan saya.”

Sejurus itu dia terus meletak gagang. Dia tidak peduli lagi andai perbuatannya dilabel sebagai amat tidak sopan. Dia takut jika terus-terusan mendengar caci maki dan hinaan dari Diana, dia sendiri yang akan lemah jiwa. Sebelum itu berlaku, lebih baik dia letak telefon.

Baru sahaja hendak berlalu, telefon itu berdering lagi. Zulaikha berpaling semula. Tika tangannya ingin menggapai gagang, dia terfikir mungkin juga Diana yang menelefonnya lagi. Dia mengambil keputusan untuk membiarkannya saja.

 

 

“CIS, berani perempuan tu tak jawab panggilan aku! Dia tak kenal lagi aku siapa. Dia memang nak cari nahas dengan aku! Jaga kau Zulaikha. Aku tak kan mengalah selagi aku tak dapat apa yang aku nak. Aku akan buat kau menyesal sebab tak dengar cakap aku. Arghhhh!!!” Diana menjerit kuat.

Serentak itu dia bangun dan membuang semua barang-barang di atas mejanya. Buat seketika dia kelihatan seperti orang yang sudah hilang akal. Segala kertas, telefon, bekas pen, semuanya berterabur di atas lantai.

Sebentar kemudian, dia menangis pula. Dia terduduk di sudut meja.

“Kenapa, Fendi? Kenapa kau tak pilih aku? Aku cintakan kau lebih dari Zulaikha cintakan kau. Kenapa kau tak nampak tu? Aku sanggup buat apa saja kalau kau kahwin dengan aku. Tapi kau tolak jugak aku.” Diana menangis lagi.

Ketukan yang bertalu-talu di pintunya dibiarkan saja. Dia masih melayani hatinya yang terluka parah.

“Dah macam-macam aku buat supaya kau ceraikan isteri tak guna kau tu. Tetapi kenapa? Kenapa?! Arghhhhhhh!!!” jeritan Diana semakin kuat.

Ketukan di pintu masih tidak berhenti.

“Diamlah, bodoh! Pergi!” jerit Diana pada mereka yang sedang mengetuk pintu biliknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience