Bab 24

Family Series 17159

RANCANGAN komedi yang sedang ditayangkan di kaca televisyen tidak berjaya menarik perhatian Zulaikha. Otaknya tepu dengan masalah yang sarat melanda. Hatinya diburu rasa kesal yang teramat.

Entah di manalah suaminya itu menghilangkan diri. Sejak malam itu, Affendi hilang tanpa khabar. Bukan dia tidak cuba menghubungi suaminya itu tetapi setiap panggilannya tidak diendahkan dan semuanya masuk ke peti suara.

Sungguh dia tidak menyangka Affendi menjauhinya. Dia tidak pernah melihat suaminya begitu sepanjang tempoh perkahwinannya.

Malahan, sudah lama dia tidak dilayan kasar seperti malam itu. Kali pertama dia ditengking oleh Affendi. Dari seorang suami  yang disanjung dan dikasihinya sepenuh hati.

Zulaikha mampir ke pintu utama apabila mendengar bunyi loceng bertalu-talu. Entah sudah berapa lamalah loceng pintu rumahnya itu berbunyi, dia tidak sedar kerana terlalu leka memikirkan suaminya yang tidak tahu khabar berita. Dia mencapai kunci rumah yang tersangkut di dinding sambil sebelah tangannya memicit-micit dahi.

Kebelakangan ini, badannya terasa lesu dan sangat kerap mengalami sakit kepala. Zulaikha tahu, sebenarnya jiwanya yang berasa sakit. Dia masih ingat, ustazahnya pernah berkata sihat jiwa, maka akan sihatlah tubuh badan kita. Krisis yang melanda rumah tangganya, amat memberi kesan terhadap jiwanya sehingga memberi kesan kepada kesihatan fizikalnya.

“Zu tengah buat apa lambat buka pintu?” Puan Barsyiah tersenyum sebaik sahaja melihat menantunya.

Zulaikha tunduk menyalami ibu mentuanya dengan hormat.

“Hmm…tak ada apa-apalah, mama.” jawab Zulaikha lemah.

Zulaikha masuk ke dapur membuatkan air untuk ibu mentuanya. Seketika kemudian Zulaikha keluar menghidangkan air oren di atas meja.

Puan Barsyiah meneguk air oren sejuk itu sehingga separuh. Puan Barsyiah bersandar di sofa merenung menantunya. Bawah matanya gelap. Matanya bengkak tanda telah banyak air mata yang ditumpahkan.

Wajahnya sangat pucat dan lesu walaupun rambutnya tesanggul kemas dan rapi. Badannya pula semakin jelas susut. Memang benarlah telahannya, anak menantunya sedang bermasalah.

 “Hmm…Zu, mama datang ni sebenarnya nak tanya pasal Zu dengan Fendi. Apa sebenarnya dah berlaku antara kamu berdua ni?” Puan Barsyiah bertanya tanpa berselindung.

Zulaikha tidak dapat menghindar dari perasaan terkejut mendengar pertanyaan ibu mentuanya itu. Dia tidak sama sekali menyangka yang ibu mentuanya itu datang kerana ingin menanyakan perihal rumah tangganya. Tahulah dia, suaminya itu pulang ke banglo ibu mentuanya selama ini.

“Tak…tak ada apa-apa, ma…masalah kecil je…” Zulaikha menjawab cuba untuk berdalih.

Terdengar keluhan kecil keluar dari mulut ibu mentuanya.

“Mama bukan nak masuk campur dalam hal rumah tangga kamu berdua. Bukan juga nak cari salah siapa. Jauh sekali nak salahkan Zu. Mama cuma nak tahu apa dah jadi sampai Di dengan Zu berpisah tempat tinggal macam  ni. Mama tengok Fendi dah empat hari di rumah mama.

Mama tanya dia, dia cakap tak ada apa-apa. Tapi mama tengok dia macam gelisah tak tentu arah. Macam ada sesuatu. Lepas tu termenung panjang. Risau mama macam ni.” Puan Barsyiah meluahkan segala yang terbuku di benak hatinya.

Zulaikha membatu sambil memicit kepalanya yang berdenyut-denyut.

“Zu, mama tak tahu apa yang melanda rumah tangga kamu tapi mama nak kamu berdua selesaikanlah dengan cara baik. Dah dekat setahun kamu berdua berkahwin. Bawa-bawalah berbincang bersama. Mama sayang Zu. Dan mama tak nak jadi apa-apa yang tak elok.” Puan Barsyiah berkata sayu seolah-olah telah mati akal. Dia memandang Zulaikha yang duduk dihadapannya penuh mengharap menagih jawapan dari menantunya.

Zulaikha masih membatu sambil memicit kepalanya. Sesekali dahinya berkerut menahan sakit. Sakit kepala yang menyerang semakin menjadi-jadi walaupun dia sudah menelan panadol. Benar-benar membuatkan dia rasa sangat tidak sihat.

Bukan dia minta jadi begini pada rumah tangganya. Dia sendiri sudah separuh hilang nyawanya memikirkan masalah yang melanda. Suaminya pula langsung tiada tanda mahu mendengar penjelasan darinya. Berdamai dengannya jauh sekali.

“Zu? Zu! Zu tak apa-apakah?” Puan Barsyiah bertanya setelah melihatkan menantunya memicit dahi.

Zulaikha terkejut melihat ibu mentuanya yang telah berada disebelah.

“Hmm…mama…pasal kami…mama janganlah risau…kami akan berbincang dan selesaikannya…ya, ma?” Zulaikha menjawab antara sedar dengan tidak.

“Zu…Zu tak sihat ke?” Puan Barsiah pantas meletakkan tangan didahi dan leher Zulaikha.

“Eh…tak. Zu okey je mama. Zu tak apa-apa.” Zulaikha membetulkan duduk dan bersandar memandang ibu mentuanya.

Puan Barsyiah tidak puas hati dan masih risau melihat keadaan Zulaikha. Mukanya tersangat pucat dan tidak berseri.

“Zu, betul ke Zu tak apa-apa ni? Kalau Zu tak sihat, mama bawa Zu ke klinik.”

“Betul ma…Zu tak apa-apa.” Zulaikha bersungguh-sungguh sambil mengangguk meyakinkan jawapannya.

“Kalau Zu betul okey, tak apalah. Mama pun tak boleh lama ni Zu. Mama ada hal lain. Zu fikir ya apa yang mama cakap tadi. Mama balik dulu ya, sayang.” Puan Barsyiah mencium dahi Zulaikha sebelum bangun dan mencapai beg tangannya di atas meja.

Zulaikha turut bangun dan menghantar ibu mentuanya ke pintu.

“Zu bincang baik-baik ya dengan Fendi.” sempat lagi Puan Barsyiah berpesan kepada menantunya yang sedang mencium tangannya. Bahu Zulaikha ditepuk perlahan.

“Jaga diri baik-baik Zu. Makan ubat kalau tak sihat.” Puan Barsyiah berkata lagi sebelum menghidupkan enjin kereta.

Zulaikha hanya mengangguk kecil.

Zulaikha masuk setelah kereta Honda milik ibu mentuanya hilang dari pandangan mata. Dia menutup pintu dan bersandar lesu disitu. Dia mengurut tekak yang berasa loya tiba-tiba. Zulaikha tergesa-gesa ke sinki dapurnya.

Sudah dua hari dia mengalaminya. Segala yang dimakan pasti akan terkeluar semula. Nampaknya, penyakit gastriknya sudah kembali menyerang. Fikir Zulaikha sendiri.

Memang beberapa hari ini, jadual makannya tidak menentu. Gara-gara terlalu memikirkan ke mana suaminya menghilangkan diri.

Hari-hari dia memasak dengan harapan suaminya akan pulang dan makan bersama-sama. Namun, penantiannya hanya sia-sia kerana sehingga kini, bayang suaminya itu langsung tidak kelihatan.

Kedatangan mama mentuanya sebentar tadi jelas memberi tahu, rupanya-rupanya suaminya berada di rumah ibu mentuanya selama ini.

Kepala yang terasa semakin berat memaksa Zulaikha untuk berbaring sahaja. Badannya terasa semakin lesu dan tidak bermaya langsung setelah muntah.

Tambah-tambah lagi selera makan yang semakin hilang menyebabkan badan menjadi lemah dan tidak bertenaga. Perlahan-lahan matanya terpejam dan tidak lama selepas itu dia terlelap di sofa.

 

 

AFFENDI meletakkan surat di atas meja. Dia mencapai remote dan menekannya beberapa kali. Matanya sahaja melekat di televisyen tetapi fikirannya melayang memikirkan isterinya.

Rahsia yang diketahuinya tentang masa silam Zulaikha amat menghiris ulu hatinya. Kesalahan isterinya terlalu besar dan tidak layak dimaafkan. Sehingga kini, kata-kata dari lelaki yang tidak dikenalinya itu terngiang-ngiang ditelinganya.

Puan Barsyiah menapak masuk ke dalam rumah ketika jam menunjukkan pukul 6.15 petang. Dia melihat anak tunggalnya duduk termenung di sofa ruang tamu dengan tv terpasang.

“Fendi, tengok tv ke atau tv tu yang tengok Di?” Puan Barsyiah menyergah anaknya.

“Mama...bila mama balik?” Affendi terkejut melihat mamanya yang telah pun melabuhkan punggung disebelahnya. Lemah saja pertanyaannya.

“Kamu ni Fendi, kalau pencuri masuk pun kamu tak sedar agaknya.” Puan Barsyiah menepuk bahu anaknya sambil menggeleng kepala.

Affendi hanya tersenyum kelat mendengar kata-kata ibunya. Dia terus merenung ke depan. Memang diakui, dia seperti tidak menjadi dirinya lagi setelah mengetahui kisah hidup Zulaikha.

Siapa yang boleh menerima kalau isteri yang dipercayai dan disayangi sepenuh hati rupa-rupanya bekas seorang pelayan kelab malam! Sakit hatinya setiap kali mengingati panggilan telefon yang diterima. Apatah lagi apabila mengingatkan foto yang diterimanya.

“Fendi, pagi tadi mama ke rumah Di.”

“Mama ke sana? Buat apa?” kepala Affendi berpusing memandang ibunya. Ada riak tak puas hati terpapar diwajahnya.

“Aik, kenapa, tak boleh ke mama ke sana? Mama menjenguk menantu mama, salahkah? Dengar, apa yang mama nak cakap ni. Mama tak tahu apa masalah kamu berdua tapi terus-terang, mama tak suka dengan cara yang Di buat ni. Mama faham kalau kamu berdua ada krisis. Tapi apa yang mama tak suka ni, seorang ke timur dan seorang lag ike barat. Kalau macam tu sampai bila-bila pun masalah tak akan selesai.

Tadi mama pergi rumah Di, dan Zu pun tak mahu cerita apa punca kamu berdua jadi macam ni. Mama diam selama Di dekat sini bukan bermakna mama menyokong apa yang Di buat tahu? Mama nak Di balik tengok Zu. Dah berapa hari Di tinggalkan dia kat rumah tu sorang-sorang? Di tak tahu dia sihat ke tak.” Puan Barsyiah berkata lembut cuba memujuk anaknya.

“Alaa mama...dia bukannya budak kecil. Tahulah dia jaga diri dia.” Jawab Affendi acuh tak acuh.

“Fendi...tadi masa mama ke sana, mama tengok muka Zu pucat je. Macam orang tak sihat. Mama risau sangat. Di baliklah, tengok Zu. Tak kan nak biarkan dia macam tu.” Puan Barsyiah memujuk lagi.

“Kalau dia tak sihat, pandailah dia ke klinik.” Affendi menjawab lagi sambil lewa tanpa memandang ibunya.

“Astaghfirullahalzim...apa nak jadi dengan kamu ni Fendi! Zulaikha tu isteri Di, tanggungjawab Di. Tak kan Di nak biarkan! Kalau jadi apa-apa pada Zu, Di tak risau ke?” Puan Barsyiah sudah menjerit. Sakit hatinya dengan sikap sambil lewa anak tunggalnya.

“Mama tak faham...”

“Memang mama tak faham...so, bagi mama faham! Apa sebenarnya masalah kamu berdua ni? Kalau ada masalah sekalipun, selesaikanlah dengan cara baik!” suara Puan Barsyiah sudah bergema di ruang tamu yang sepi itu.

Affendi serba salah apabila mendengar suara ibunya yang telah meninggi. Dia tidak mahu memanjangkannya lagi. Selebihnya dia tidak mahu menegangkan keadaan.

Siapa yang tidak kenal dengan ibunya itu. Ketegasannya memang menggentarkan. Semua staff di Berjaya Holdings tidak berani bertentang mata dengan mamanya apabila mamanya sudah menempik.

Tetapi mereka semua sangat menghormati Puan Barsyiah atas kepimpinannya menerajui Berjaya Holdings dengan jayanya.

“Ya lah...ya lah...besok Fendi balik.” Affendi berlalu pergi.

Puan Barsyiah hanya mampu menggeleng kepala dan memandang anaknya berlalu ke tingkat atas. Runsing hatinya memikirkan rumah tangga anak tunggalnya.

Affendi menghempaskan badannya ke tilam dengan kasar. Kata-kata dari pemangil telefon itu masih membelenggunya.

Sebolehnya dia tidak mahu mempercayai apa yang dikatakan pemanggil itu mengenai isterinya.

Tetapi setelah pemanggil tersebut mengirimkan sekeping gambar Zulaikha dengan dua orang lelaki yang berumur di sebuah pub, dia sangat kecewa. Dia berasa marah dan tertipu.

Kepercayaannya terhadap Zulaikha hancur dan ia amat menyakitkan hatinya. Kasih sayangnya terhadap Zulaikha seolah-olah tenggelam dalam kemarahan dan kebencian yang memuncak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience