Bab 39

Family Series 17160

SUASANA sepi menyelubungi bilik kecil itu. Tiada kata dan bicara yang keluar dari mulut Affendi mahupun Zulaikha. Affendi sendiri menahan rasa sebal apabila isterinya itu lebih senang memanggil jururawat untuk mengurus dan membantunya.

Terasa kehadirannya seolah-olah cuba dinafikan isterinya. Begitukah yang dirasai isterinya ketika dia tidak menghiraukan kehadiran Zulaikha dahulu?

Affendi bergerak ke katil menghampiri isterinya. Dia duduk dikerusi katil Zulaikha. Perlahan-lahan tangan isterinya itu diambil dan digenggam erat. Tidak mahu isterinya itu terjaga dari lena.

Sepanjang hari ini dia melihat Zulaikha tidak henti mengalirkan air mata. Saat itu dia terasa gagal segagal-gagalnya menjadi suami kepada Zulaikha.

Affendi menggeleng kesal. Kesal dengan sikapnya yang kejam terhadap isterinya sendiri. Sememangnya dia tidak layak bergelar suami jika hanya pandai melihat kesalahan isterinya tanpa melihat dahulu kesilapan pada diri sendiri.

Natijahnya, dia kehilangan sesuatu yang amat berharga. Anaknya menjadi korban egonya sendiri! Hubungannya dengan Zulaikha pula nampak seperti tidak boleh dibaiki lagi.

Letih memikirkan krisis yang melanda, akhirnya Affendi terlelap juga di sisi katil Zulaikha. Tambahan lagi, demamnya masih belum baik sepenuhnya. Walaupun bilik itu sudah tersedia sofa, dia lebih selesa berada disamping isterinya.

Namun, lenanya hanya seketika. Affendi terjaga apabila tangan isterinya bergerak dan dilihat isterinya itu berusaha untuk bangun.

“Zu nak ke toilet ke?”

Suara itu!

Pertanyaan Affendi dibiarkan sepi. Mendengar suara suaminya itu sahaja boleh membuatkannya mengalirkan air matanya kembali.

Zulaikha cuba turun perlahan-lahan dari katil sambil menampung abdomen bawahnya. Dahinya berkerut apabila terasa sakit di bawah ari-arinya ketika dia cuba bergerak.

Melihatkan itu, Affendi pantas memimpin Zulaikha turun dari katil walaupun pertanyaannya langsung tidak dihiraukan. Memang patut pun kalau Zulaikha tidak mahu menghiraukannya lagi sebab dia sendiri pernah melakukan perkara itu terhadap isterinya sebelum ini. Malah lebih teruk lagi!

"Terima kasih.” ucap Zulaikha perlahan setelah dia kembali semula ke katil.

Dingin sekali nada suara Zulaikha. Dia membiarkan sahaja si suami yang sedang merapikan selimut ditubuh. Wajah Affendi tidak sanggup ditatap walaupun wajah itu yang amat dirindui saban waktu.

Affendi menahan hati mendengar dua patah perkataan yang diucap isterinya sebentar tadi.

'Terima kasih'

Perkataan pertama untuknya sepanjang dia menunggu di hospital. Itupun dengan nada yang sangat dingin dan tidak berperasaan.

 

 

SEBAL rasa hati menahan perasaan yang kian gerhana melihat keadaan Zulaikha yang bermurung. Lusuh wajah isterinya menambah rasa perit yang kian meruncing dihatinya.

Salah dia yang tidak pandai mengendalikan masalah. Salah dia yang terlalu mengikut hasutan syaitan durjana. Salah dia juga yang terlalu membesarkan ego diri!

Puaskah hatinya melihat isterinya kini?

Itukah yang dimahukannya?

Melihatkan keadaan Zulaikha yang masih terbaring di atas katil, melihatkan tubuh yang dahulunya gebu berisi tetapi kini kurus dan semakin cengkung, terasa diri telah gagal menjadi seorang suami.

Gagal melaksanakan tanggungjawab yang terletak dipundaknya.

Gagal melunaskan janji yang dibuatnya sendiri. Dan gagal melindungi isterinya yang sedang membawa zuriatnya.

Suami jenis apakah aku? Langsung tiada tolak ansurnya. Langsung tidak berfikir panjang. Terlalu menjunjung ego lelakiku sehinggakan hilang sifat perikemanusiaanku terhadap isteri sendiri.

Lamunan Affendi  terbang sebaik sahaja pintu bilik kecil itu dikuak dari luar. Kelihatan tubuh Puan Zawiyah diikuti Puan Barsyiah masuk merapati katil isterinya. Dia segera bangun dan mencium tangan kedua-dua wanita yang amat dihormatinya itu disalami dan dicium tanda hormat.

Affendi membalas kuntuman senyuman yang diberikan mak tehnya. Tetapi apabila melihat wajah ibunya yang serius, baris senyumamnnya terus pudar. Tahulah mama masih lagi marah. Dan dia tahu, sesiapa pun tentu marah kalau dapat anak sepertinya.

“Macam mana Zu rasa hari ni?” sapa Puan Barsyiah selepas menghadiahkan ciuman didahi dan pipi.

“Dah sihat.” jawab Zulaikha lemah sambil menguntum segaris senyuman yang sangat hambar.

Zulaikha bangun berhati-hati sambil dibantu oleh ibu mentuanya. Segera tangan mentuanya disalami. Diikuti pula ibu saudaranya.

“Makan dulu ya, mama ada masak untuk Zu.”

“Zu nak balik, mama.”

Puan Barsyiah memandang tepat anak mata Zulaikha. Terhenti pergerakkan tangannya yang sedang membuka mangkuk tingkat. Dia melihat bening pandangan menantunya yang sayu. Matanya pula digenangi cecair jernih, tanda bila-bila masa saja akan jatuh membasahi pipi.

“Zu kan tak sihat lagi?”

“Zu dah sihat.”

“Tinggallah sehari dua dulu. Biar betul-betul sihat.” Pujuk Puan Barsyiah lembut.

Air mata Zulaikha mengalir hangat. Jiwanya merusuh.

Tidak fahamkah mama yang hatinya pedih setiap kali terpandangkan potret bayi di dinding bilik itu?

Tidak fahamkah mamanya yang hatinya sakit setiap kali mendengar tangisan bayi di bilik berdekatan?

“Zu, jangan macam ni. Mak teh tahu Zu sedih. Kuatkan diri, sayang.” Pujuk Puan Zawiyah pula. Mana tahu Zulaikha mahu mendengar katanya.

“Kalau Zu jaga ‘dia’ elok-elok, tentu Zu tak terlantar atas katil ni kan? Zu gagal lindungi anak Zu sendiri. Zu bukan ibu yang baik. Kenapa Zu yang kena lalui semua ni, mak teh... Zu tak kuat...”

“Tak, sayang... Mak teh tahu Zu kuat, Zu tabah. Sabar, ya sayang. Banyakkan istighfar. Ingat ALLAH. DIA melihat, DIA mendengar, DIA lebih tahu akan setiap kejadian. Semua yang berlaku ni tentu ada hikmahnya. Kena kuat, sayang.”

Puan Zawiyah memeluk Zulaikha erat. Kepala anak saudaranya itu diusap dan dicium beberapa kali. Berharap dengan cara itu berjaya meniupkan sedikit semangat. Puan Barsyiah yang melihat sudah lama mengalirkan air mata.

Affendi yang sedari tadi melihatkan keadaan itu, tertunduk memandang lantai. Air matanya sendiri sudah bergenang.

‘Affendi, kau tengok apa yang kau dah buat pada isteri kau tu? Kau memeng zalim, Fendi. Zalim pada isteri dan anak kau.’ Bisik satu suara.

Hati...aku tahu, aku bersalah. Aku tahu aku sudah terlalu mengikut nafsu marahku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience