Bab 65

Family Series 17159

KASIHAN isteri abang...’ ucap Affendi acapkali apabila mengusap kepala isterinya. Berkali-kali juga dia mencium dahi dan tangan si isteri. Entah apa silap diri sehingga Zulaikha pula menjadi mangsa.

Mangsa cinta buta Diana! Sungguh dia tidak menyangka Diana boleh jadi sekejam ini. Sebagai seorang wanita yang sepatutnya dilahirkan dengan fitrah santun dan kelembutan, tetapi Diana? Tega memukul isterinya!

Alangkah terkejutnya dia bila mendapati Zulaikha sedang kesakitan di taman mini rumahnya. Teringat dia akan kejadian lewat petang tadi.

Affendi memberi salam apabila melihat tiada kelibat si isteri di gazebo. Biasanya bila pagar terbuka dan tidak terkunci begitu, tentu saja Zulaikha sedang menyiram pokok bunga di taman mini.

Sementelah dia sudah maklum kepada isterinya awal-awal bahawa dia akan sampai dalam masa setengah jam lagi. Biasanya bila dia sudah memberitahu, Zulaikha akan siap-siap menunggu di gazebo.

Dan dari parkir kereta, memang boleh terus nampak gazebo rumahnya dengan jelas. Tetapi hairannya, bayang Zulaikha tidak kelihatan di situ. Affendi terus sahaja masuk dan meletakkan beg kerjanya. Sambil itu matanya mencari kelibat Zulaikha di dalam rumah.

“Zu?” panggil Affendi pula.

Kaki terus melangkah ke arah pintu di balkoni tepi rumah yang membawa ke gazebo di taman mini. Zulaikha jarang sekali membiarkan dia balik tidak bersambut.

“Zu!” panggilnya lagi.

Dia menjenguk ke luar rumah dan menapak ke taman mini.

“Abang..”

“Zu?” Affendi seakan mendengar suara isterinya. Dia mencari arah suara itu.

“Abang....” lemah sekali suara Zulaikha.

Sungguh, dia tidak berdaya. Rasa sakit disegenap tubuh. Dia langsung tidak berdaya untuk menyahut apatah lagi bangun.

“Zu! Ya ALLAH, Zu...kerja siapa ni? Ya ALLAH.”

Laju jantungnya mengepam darah. Wajah Zulaikha lebam, tudungnya hampir terlerai dab bibir pula pecah berdarah!

Dia cuba memangku kepala Zulaikha tetapi isterinya itu menjerit kesakitan apabila dia menggerakkan tubuh isterinya.

“Sssakittt...arghh..ssaa..kittt..” erang Zulaikha halus.

“Zu....”

“Sssaakit, bang...” air mata Zulaikha sudah bercampur dengan darah yang masih mengalir dibibir.

“Abang bawa Zu ke hospital!”

Dia tidak boleh ingat detik cemas ketika membawa Zulaikha ke hospital lewat petang itu. Apa yang dia tahu dia ingin segera sampai ke hospital bila melihat keadaan Zulaikha yang sangat tidak berdaya. Separuh nyawanya terbang melihat insan yang disayangi lebam sana sini.

Affendi tersedar dari lamunan bila terasa ada gerakan pada jemari Zulaikha. Dia melihat wajah isterinya berkerut seketika sebelum membuka mata.

Alhamdulillah.

Segera bibir melafaz syukur bila melihat Zulaikha yang mulai terjaga dari lena yang panjang.

“Sayang...Zu? Abang ada di sini.” ucapnya lembut. Ingin memberitahu bahawa dia ada disisi.

“Hai...” sapa Zulaikha perlahan.

Sangat perlahan. Bibir cuba melakar senyum namun tidak berjaya. Keadaan muka yang bengkak, menyukarkannya.

“Sayang...” Affendi cuba membalas senyuman isterinya tapi entah bagaimana ukirannya. Dalam hati yang tidak tenteram, tentu saja dia tidak boleh berlagak seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

“Abang okey?”

Affendi menggeleng perlahan apabila mendengar pertanyaan isterinya. Sedarkah Zulaikha yang terlantar di atas katil ketika ini dia dan bukannya dirinya? Dia tersenyum pahit. Berkaca matanya sebelum dikerdipkan beberapa kali.

“Patutnya soalan tu abang tanya pada isteri abang...”

“Zu tak apa-apa...” lemah suara Zulaikha.

“Sakit lagi tak?” soal Affendi.

Dia memang tak boleh terima jika Zulaikha mengatakan dia tak apa-apa. Huh, tak apa-apa yang macam mana kalau dah satu badan lebam, biru sana sini? Dia memang tak boleh terima!

“Sakit sikit je...” balas Zulaikha sambil mengerdipkan mata, tanda dia mahu memaksudkan apa yang dia kata. Melihat wajah Affendi yang sangat ‘serabut’ dia boleh meneka, betapa keadaannya itu menyebabkan Affendi jadi begitu.

Dahi Zulaikha berkerut hebat bila dia cuba menggerakkan tubuh. Sungguh dia tidak mampu untuk menggerakkan badan. Terasa badan bagai dihimpap beban yang berat. Seluruh tubuh berasa sangat tidak selesa.

“Jangan.. Doktor tak bagi Zu bergerak sangat, sayang...” pantas Affendi menghalang bila melihat Zulaikha ingin mengalih posisi badan.

“Zu okey, abang.” bohong Zulaikha pula.

“Tak boleh, sayang... Zu tak boleh banyak bergerak. Badan Zu lemah.”

“Tapi rasa lenguh badan sebab lama sangat baring.”

“Sorry, sayang..abang tak boleh bagi Zu bangun untuk kebaikan Zu dan baby kita.” sudahnya Affendi memberitahu khabar itu.

Sebaris ucapan Affendi itu membuatkan Zulaikha terkedu. Wajah Affendi dicari tanda kepastian. Benarkah apa yang didengar? Sejurus melihatkan Affendi mengerdipkan mata beberapa kali dan meletakkan tangan di atas perutnya, air mata mengalir tanpa dipinta.

Perlahan bibir mengucapkan tahmid dan syukur pada Yang Esa. Affendi faham apa yang dirasai Zulaikha ketika ini. Tentunya ini menjadi berita yang sangat membahagiakan mereka berdua. Malah dia sendiri pun sangat terkejut dengan apa yang disampaikan oleh doktor semalam. Bagai terngiang-ngiang ditelinga.

“Melalui xtray, kita lihat tiada tulang yang retak atau patah. Tapi kita masih perlu tahan isteri Encik Affendi sehari dua ni untuk pastikan tiada kecederaan dalaman yang lain dan kandungannya tak apa-apa.”

“Sorry? Kandungan? My wife is pregnant, doctor?”

“Yes, almost three month and i prefer she to have rest on bed just to ensure no abdominal pain or bleeding that might harm the fetus.”

Terkejutnya Affendi ketika itu bukan sikit-sikit. Dalam pada fikiran tak berapa nak fokus sebab melihat si isteri yang disayangi terbaring dengan lebam penuh satu badan. Sempat juga dia mengucap syukur walaupun tidaklah selega mana selagi dia tak melihat Zulaikha kembali sihat. Suami mana yang tak risau kan?

“Abang...” panggilan yang sungguh lemah itu mematikan lamunan Affendi.

“Ya, sayang..”

“Terima kasih..” ucapan yang seiring dengan air mata yang mengalir dipipi yang pucat.

Genggaman jemari Affendi dipererat. Ingin Affendi tahu bahawa dia benar-benar bersyukur. Tak dapat dibayangkan jika Affendi tidak pulang lagi ketika itu.

“Nak air...”

Permintaan isterinya itu dituruti dengan senang hati. Botol minuman dibuka dan penyedut minuman dimasukkan ke dalam botol sebelum dia sendiri minum air itu sedikit. Supaya air yang penuh itu tidak tumpah bila disuakan ke bibir isterinya.

“Eh, eh..jangan bangun. Kan abang kata Zu tak boleh bergerak sangat.” larang Affendi bila dilihat Zulaikha cuba juga untuk duduk.

“Nak minum air, kenalah duduk.” jelas Zulaikha.

“Ya lah, tapi Zu tak payah bangun, abang suapkan air guna straw, senang.”

Setelah menyuakan air ke bibir isterinya, Affendi meletakkan kembali botol air tersebut di meja tepi katil.

“Abang...baby kita okey ke?” soal Zulaikha bimbang. Hati mula dipagut rasa tidak enak. Dia jadi hairan apabila suaminya beriya-iya benar melarang dia bergerak waima sedikit.

“Baby kita okey, sayang. Tapi doktor tak bagi Zu gerak sangat sebab tak nak ada pendarahan. Doktor nak Zu rest on bed beberapa hari. Zu jangan risau ya.” Affendi tarik senyum nipis.

Penjelasan suaminya itu disambut dengan nafas yang sangat lega. Entah kenapa matanya terasa sangat berat dan dia terlena sekali lagi dengan bibir yang tersenyum bahagia. Bahagia hati seorang bakal ibu.

 

 

PUAN Barsyiah memicingkan pandangan pada anak tunggalnya yang berdiri di jendela bilik kecil yang menempatkan Zulaikha. Panas hati mendengar penjelasan Affendi atas apa yang terjadi kepada menantu kesayangannya. Hal sebesar ini mahu disorokkan dari pengetahuannya? Kasihan menantunya!

“Ada juga manusia macam ni dalam dunia. Sekarang ni orang bertindak mengikut hawa nafsu. Mama nak Di dan Zu pindah rumah mama. Tak payah lagi duduk rumah sendiri. Mama tak nak jadi apa-apa lagi pada menantu mama, pada cucu mama.” terserlah ketegasan dalam suara Puan Barsyiah.

Dia masih ingat awal pagi tadi Affendi menelefonnya dan memaklumkan tentang kehamilan menantunya itu. Tetapi tidak pula anak bertuahnya itu memberitahu Zulaikha sakit dan dimasukkan ke hospital kerana dipukul!

Bersungguh benar anaknya melarang dia datang ke hospital melawat menantunya. Kononnya Zulaikha itu sihat-sihat sahaja. Kononnya dia perlu tunggu di rumah sahaja. Tapi sampai ke petang takkan masih belum boleh keluar hospital!

Mujur juga dia sengaja datang kerana naluri seorang ibu! Dari getaran suara Affendi, dia pasti ada sesuatu yang disorokkan. Rasa bahagia seorang bakal nenek terus berterabur apabila melihat Zulaikha terlantar lemah. Mengalir air matanya tatkala mata menangkap kesan lebam di wajah mulus itu.

“Mama nak Di pastikan perempuan tu dapat hukuman setimpal. Mama nak dia diberi pengajaran. Kita hidup atas dunia ni bukan tak ada undang-undang. Apa hak dia nak pukul menantu mama sampai macam ni sekali. Perempuan jenis apa macam tu!” tekan Puan Barsyiah pula.

Affendi dalam diam mengiyakan. Malah, dia telah pun membuat laporan polis dan mendakwa Diana atas tuduhan cubaan membunuh isterinya. Bukan dia tak pernah memberi amaran kepada Diana sebelum ini supaya tidak mengganggu rumah tangganya tapi nampaknya Diana masih lagi belum serik!

Jika diikutkan hati yang bagai lahar, dia sendiri mahu membalas perbuatan Diana terhadap isterinya. Biar perempuan itu rasa apa Zulaikhanya rasa. Biar dia rasa sakit seperti mana isterinya.

“Dengar tak ni?” soal Puan Barsyiah garang.

“Ya ma, Di kan dah bagitahu yang Di dah pun buat laporan polis dan dakwa dia. Di pun tak kan benarkan sesiapa bertindak sesuka hati pada Zu. Di tak sanggup tengok Zu sakit terlantar dengan badan lebam sana sini. Di takkan biarkan macam tu saja.”

Memang itulah tekad Affendi dalam hati setelah mengetahui segala perbuatan Diana melalui rakaman CCTV di rumahnya. Bagai orang gila Diana memukul Zulaikha, menumbuk, menampar, dan kemuncaknya menghempuk Zulaikha dengan kerusi rehat yang ada di taman mini rumahnya

Gila! Memang gila tindakan Diana yang tak ubah seperti lelaki! Belasah serupa tak ingat hukum.

“Menantu mama dah bangun? Zu okey, sayang?”

Pertanyaan Puan Barsyiah itu mencantas fikiran Affendi. Dia segera menghampiri figura dua wanita kesayangannya. Terserlah kasih sayang yang tumpah dari ibunya. Zulaikha memang tak pernah dianggap seperti menantu malah sama tarafnya dengan anak kandung.

Kasih sayang ibunya buat Zulaikha memang tak dapat dinafikan. Yalah, apa nak dihairankan sementelah peribadi isterinya itu memang mudah buat orang tua seperti ibunya itu jatuh sayang.

“Zu okey... Bila mama sampai? Kenapa tak kejutkan Zu?” balas Zulaikha lemah sambil menyimpul senyum.

“Mama...Zu tak apa-apa..” jelas Zulaikha lagi apabila ibu mentuanya tidak menjawab tetapi mengalirkan air mata. Dia tak mahu wanita tua itu susah hati melihat keadaannya.

“Zu cepat baik ya. Nanti duduk dengan mama.” tutur Puan Barsyiah akhirnya.

Tak mungkin dia benarkan Affendi dan Zulaikha duduk sendiri lagi. Jika dia terpaksa berkeras dengan Affendi, dia akan lakukan. Demi cucu yang bakal lahir. Biar Zulaikha didepan matanya sendiri.

Zulaikha memandang Affendi tidak mengerti. Lantas mencari wajah suami untuk kepastian. Dia tak faham atas sebab apa ibu mentuanya berkata begitu. Tentu ada yang telah dibincangkan semasa dia tidur tadi. Affendi hanya mengerdipkan mata.

Setelah beberapa ketika, Puan Barsyiah akhirnya meminta diri. Hari sudah lewat benar. Dia akan solat Maghrib di surau hospital sebelum balik. Khuatir sangkut dalam kesesakan lalu lintas, terbabas pula waktu Maghrib yang sememangnya singkat.

“Ingat mama cakap tu.” bisik Puan Barsyiah ditelinga anaknya sebelum balik.

Affendi hanya mengangguk kecil. Kalau boleh dia tak nak Zulaikha tahu apa butir perbincangan mereka tadi.

“Abang...kenapa mama nak kita duduk dengan dia?” tanya Zulaikha sebaik sahaja kelibat Puan Barsyiah menghilang disebalik pintu.

Affendi berjeda sebentar sebelum mencari kata-kata yang sesuai. Dia perlu menjaga emosi Zulaikha dalam setiap apa yang bakal diucapkan. Lama dia diam sambil tangan tetap mengusap jemari Zulaikha. Sesekali membawanya ke mulut dan dicium penuh kasih.

“Abang...” panggil Zulaikha lagi.

“Mama tak nak jadi apa-apa pada Zu. Kalau Zu tak selesa tinggal di sana, tunggu Zu sihat betul dan si kecil di dalam ni kuat sikit, baru kita duduk rumah kita sendiri ya?” tangannya beralih pula pada perut isterinya yang masih belum berubah bentuk. Tak sangka rupanya sudah masuk 11 minggu usianya.

“Zu tak kisah tinggal di mana pun. Cuma tak nak menyusahkan mama.”

“Mama lagi suka kalau kita tinggal terus di sana. Abang nak pergi solat. Zu nak solat ke? Abang panggilkan nurse untuk tolong Zu ambil wudhu.”

Kalau boleh, dia tak mahu Zulaikha banyak berfikir ketika ini. Dia mahu Zulaikha tumpu pada soal kesihatannya sahaja. Biar isterinya kuat barulah dia boleh bincang apa perkara sekalipun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience